|
Jemaat Khana, rumah ibadah orang Ismaili |
15 Mac 2020
“Bhai jaan, kamu mirip sekali dengan orang Pakistan,” kata Shah,
pemandu kereta yang membawa aku menuju Booni yang terletak di daerah Upper
Chitral.
Aku
sudah lali dengan pujian orang-orang tempatan. Mungkin kerana tubuhku yang
sentiasa tak lepas dengan pakaian tradisi lelaki Pakistan shalwar kamiz berpadu bersama topi pakol di atas kepala sepanjang
berkelana di negara ini. Tak jarang juga, aku sering disalah anggap sebagai
orang tempatan. Namun Pakistan bukanlah India. Jika di India aku selalu
menyembunyikan statusku sebagai orang asing, di Pakistan pula aku lebih suka
mendedahkan identitiku sebagai mehman.
“Achaa.. Bohut acha hai.. Bagus sekali,” puji seorang penumpang
lain.
“Bhai jan, mein Musliman hoon. saya ini Muslim,” jawab aku
“Mashallah. Masya Allah,” ucap Shah kagum, dan tanpa henti memuji
nama Tuhan.
Kereta yang aku tumpangi ini
bergoncang hebat. Jalan di Upper Chitral adalah sebatang jalan setapak sempit berdebu
yang menanjak dan meleret mengikuti bahu pergunungan, tepat di tepi sungai
Chitral yang bergolak hebat. Perjalanan berat ini hanya sejauh kira-kira 30
kilometer, namun memakan masa selama hampir dua jam penuh kerana permukaan
jalannya yang teruk dan tidak mulus. Entah bila pemerintah Pakistan bakal
membangun jalan raya berturap di sini, hanya Tuhan saja yang tahu. Lewat tengah
hari, aku akhirnya selamat tiba di Booni ketika salji renyai-renyai turun menghujani
seluruh desa ini.
|
Perjalanan menuju daerah Upper Chitral tidak mudah, terlebih lagi apabila berselisih dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan |
Aku masuk ke sebuah kedai makan
yang berdekatan untuk berlindung daripada salji dan dinginnya hembusan angin
yang menggigit. Sekilas pandang, ia terlihat seperti kafe hipster. Seketika aku
merasa takjub bila menemukan sebuah kafe seperti ini di desa terpencil kawasan
pergunungan Pakistan. Kedai ini bernama Nan Cafe. Ia merupakan sebuah kafe yang
diusahakan oleh wanita. Kafe ini menyediakan ruang makan kontemporari yang
begitu bersahabat untuk menjamu para pengunjung dengan hidangan Chitrali dan
makanan segera tempatan. Bahagian pengurusan dan dapur kedai ini turut
dioperasikan oleh wanita sekaligus menjadikan Nan Cafe sebagai satu-satunya
kedai makan mesra wanita di mana orang lelaki dan perempuan boleh makan bersama.
Sungguh, belum pernah aku jumpa kafe yang seumpama ini di Pakistan.
Ini kerana di Booni, atau secara
umumnya di daerah Upper Chitral, majoriti penduduknya adalah terdiri daripada pengikut
aliran Ismaili.
Booni adalah sebuah desa
besar yang berlokasi di persimpangan antara Sungai Mastuj dan lembah Rich dan
Tirich yang menghadap dataran tinggi Qaqlasht. Sekilas pandang, suasana pekan
Booni terlihat biasa seperti pekan-pekan kecil di belahan Pakistan yang lain,
namun yang tak biasa adalah kaum perempuan di sini begitu bebas bercengkerama
di jalanan, tanpa niqab, dan tanpa burqa.
“Ajaran kami tidak mengenal
cadar untuk membungkus perempuan. Perempuan kami bebas dan merdeka, sebagaimana
manusia seharusnya,” terang Adnan, anak lelaki kepada pemilik kafe ini. Dia
bertugas sebagai pelayan pelanggan. Orangnya segak dan tampan, berjambang rapi,
tutur katanya lembut dan ramah, serta mampu berbahasa Melayu dengan baik kerana
dia pernah bekerja di Malaysia beberapa tahun yang lalu.
Lihatlah seluar moden dan
jaket yang dia pakai. Cuba dengarkan lagu-lagu yang dia mainkan di dalam kafe
ini. Belum lagi mulutnya yang turut fasih berbahasa Inggeris. Adnan dan
rakan-rakannya adalah marhaen Pakistan yang sama seperti orang-orang lain yang
aku telah temui sebelum ini, tetapi betapa
modennya penampilan mereka ini di mata aku.
Ajaran Ismaili terkenal
sangat moderate. Perempuan Ismaili di
Pakistan tidak membungkus wajahnya dengan burqa serta bebas keluar rumah,
kerana mereka percaya bahawa perempuan itu sama kedudukannya dengan orang
lelaki. Ajaran Ismaili juga tidak terlalu menekankan pada ritual keagamaan
seperti puasa Ramadan dan naik haji.
“Saya memang tidak puasa,
tetapi saya tetap sembahyang,” kata Mursed, seorang peniaga kedai runcit.
Bahkan orang yang rajin sembahyang pun terbilang jarang di sini. Solat aliran
Ismaili sangat berbeza dengan solat Muslim Sunni dan Syiah. Posisinya hanya
duduk saja dan tidak berdiri. Tangannya dikatupkan seperti orang bersembah.
Sembah ke kanan. Sembah ke kiri. Maksud dari gerakan ini disebut imam didar, iaitu menghormati para imam.
Aliran Ismaili adalah
pecahan daripada Islam Syiah. Orang Syiah menjunjung tinggi garis Imamat, garis keturunan Nabi yang
lelaki. Setelah wafatnya imam Syiah keenam (Ja’far as-Sadiq) yang mempunyai dua
putera, orang Ismaili mengikuti Ismail ibn Ja'far sedangkan orang Syiah
mengikuti Musa al-Kadhim. Garis Imamat
orang Syiah terhenti sampai di imam yang kesebelas, dan kini mereka sedang
menantikan kedatangan Imam kedua belas, iaitu Imam Mahdi. Sedangkan garis Imamat umat Ismaili masih terus berjalan,
hingga sekarang imam ke-49, Yang Mulia Aga Khan, yang kini sudah menjadi warga
negara Eropah. Umat Muslim majoriti di Pakistan, Afghanistan, dan bahkan Iran
sering memandang rendah terhadap orang Ismaili, malah ada yang melabelkan
mereka sebagai non-Muslim.
Orang Ismaili tidak
sembahyang di masjid. Rumah ibadah mereka disebut jemaat khana, yakni rumah para jemaah. Di Desa Booni ada dua buah jemaat khana, tapi sayangnya aku tak
berpeluang untuk masuk ke dalam kerana hanya umat Ismaili yang dizinkan masuk
ke tempat ibadah mereka.
Javed Ahmed, lelaki 50-an
yang menjawat jawatan pegawai tinggi kerajaan parti pembangkang tiba di kafe ini
untuk menjemput aku ke rumahnya. Aku menghubungi Javed setelah mendapat anjuran
daripada Farid, si producer radio
yang menjadi tuan rumah aku di Kota Chitral. Untuk beberapa hari di sini, aku
akan menginap di rumah Javed.
|
Rumah Javed di kaki gunung |
Umat Ismaili terkenal dengan
budaya menyambut tetamu yang luar biasa. Javed adalah seorang lelaki yang
langsung tak pernah kukenal sebelum ini, bahkan bersemuka dengannya pun tidak
pernah sama sekali. Berbekalkan anjuran seorang kawan yang diatur melalui
perbualan telefon, aku kini sudahpun berada di rumahnya.
“Tinggallah di sini berapa
hari pun kamu mahu,” katanya, “kerana rumah kami adalah rumahmu juga.”
Rumah-rumah orang Ismaili
berbentuk sama seperti rumah-rumah moden, kecuali empat penjuru atap rumah yang
dilengkungkan sedikit menaik seperti bumbung pagoda. Rumah ini disokong oleh
lima tiang, yang pada awalnya merupakan simbol dewa-dewa dalam kepercayaan kuno
pemujaan api Zarathustra, namun kini sudah diganti dengan makna lima anggota
utama keluarga Nabi, iaitu Muhammad, Ali, Hassan, Hussain, dan Fatimah.
Ketika aku duduk di mehman khana (ruangan tetamu), anak
perempuan Javed langsung muncul dari dapur dan menghidangkan teh hangat bersama
beberapa keping roti bakar. Perihal yang paling mengejutkan aku di sini adalah
menatap wajah perempuan - sesuatu yang sama sekali mustahil untuk berlaku di
wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Aku bertanya tentang
kewajipan memakai tudung bagi mereka, sepertimana tradisi wanita Pashtun yang
menyarung burqa.
Burqa malah tidak dikenal
dalam kamus Javed. Dia sempat tersasul lidah menyebut kata itu, “Bur-qa atau
buq-ra? Apa ya namanya?” Javed hanya tahu kata chadri atau cadar,
padanan kata burqa yang lebih banyak digunakan di sini.
Bagi perempuan Ismaili di
Upper Chitral, cadar sungguh adalah barang yang asing. Mereka tidak mengenakan
pelitup kepala secara menyeluruh dan hanya membalut shawl pada sebahagian kepala dengan mendedahkan rambut hadapan,
seperti kaum wanita Iran. Shawl juga
berfungsi sebagai pelindung wajah mereka daripada tersiram debu yang sentiasa
berterbangan di setiap sudut jalan.
|
Javed dan anak perempuannya |
“Orang Ismaili adalah
pecinta kebebasan. Dan sudah seharusnya ada kebebasan terhadap perempuan,
kerana perempuan itu sejajar dengan lelaki,” terang Shafenaz, anak perempuan
Javed, “kamu tahu, di Pakistan, perempuan Sunni tidak pergi ke masjid. Tetapi
kaum perempuan Ismaili bersama-sama dengan kaum lelakinya juga pergi beribadah
di jemaat khana, rumah ibadah orang
Ismaili, tiga kali sehari.”
Orang Ismaili, nampak jauh
lebih moderate berbanding orang
Pakistan lainnya. Seperti halnya dengan Muslim di Malaysia, perempuan di sini
memiliki kedudukan yang cukup tinggi seperti orang lelaki. Hal ini tersirat
langsung dalam ajaran Aga Khan. Pemimpin spiritual umat Ismaili itu mengatakan:
“Jika kau punya anak, maka kau wajib menyekolahkan anak-anakmu. Namun jika kau
tidak punya cukup wang untuk menyekolahkan semua anakmu, maka sekolahkanlah
dulu anakmu yang perempuan!”
Hal ini terbukti dengan
tahap pendidikan di Upper Chitral yang boleh dikira menakjubkan. Berkat
daripada Jaringan Pembangunan Aga Khan (AKDN) yang merambah di seluruh pelusuk
Pakistan utara, angka celik huruf di Upper Chitral menghampiri 100 peratus,
sedangkan menurut data yang diambil pada tahun 2017, baru sekitar 59% penduduk
Pakistan mampu membaca dan menulis manakala 45 daripada 100 gadis Pakistan
masih buta huruf.
“Di tahun 1970-an, Pakistan
adalah negara berkembang,” kenang Javed, “bahkan kala itu Malaysia, Thailand,
Indonesia pun masih dibelakang. Pada masa itu, 1 US dollar bersamaan dengan 4.7
rupee, betapa kukuhnya matawang kami. Tapi sekarang? Kami jadi negara
terkebelakang dan setidaknya Indonesia masih terus berkembang. Apa sebabnya?
Ketika itu setiap kota sekurang-kurangnya hanya punya satu madrasah saja, tapi
sekarang ada ribuan madrasah.”
Madrasah di Pakistan, yang
menurut Javed adalah sumber keterbelakangan negaranya, kerana cuma mengajari
muridnya ilmu agama tanpa pengetahuan lain sama sekali. Tak ada matematik dan
ilmu sains, pelajar madrasah juga tidak belajar geografi dan biologi. Madrasah
semakin menumbuh di negara ini ketika para pemimpin negara berkompromi dengan
ketua agama, demi mengekalkan kekuasaan masing-masing. Agama terus
dipolitikkan, menjadi komoditi, dan lama-kelamaan menjadikan negara ini semakin
tercicir digilas putaran roda zaman.
Javed turut mengkritik
presiden Imran Khan sebagai seorang pemimpin sekular yang tidak memikirkan
kemajuan rakyatnya di Pakistan utara, hinggakan organisasi dari luar milik Aga
Khan yang datang ke desa-desa terpencil untuk membuat pembangunan. Aku tak tahu
banyak tentang politik terkini Pakistan. Yang aku tahu presiden ini mempunyai
hubungan yang sangat baik dengan Tun Mahathir, ramai yang suka namun tak
sedikit pula yang membenci.
“Kaum Ismaili di Pakistan
utara lebih moden jika dibandingkan dengan orang Pakistan lain,” ujar Javed,
“kuncinya adalah pendidikan. Upper Chitral, walaupun terpencil di celah
pergunungan, tapi tidak ada penduduk yang buta huruf.”
(Bersambung)
|
Bersama Adnan di hadapan kafe milik keluarganya |
|
Pejabat pos yang begitu usang |
|
Pekan Booni |