Selamat datang ke Rumah Mawart |
Pengalaman mendulang ilmu dan
kemahiran sebagai barista ketika di Australia beberapa tahun yang lalu
mendorong Ujay Omar Zaki, 30, memendam hasrat untuk menceburi bidang perniagaan
dalam industri makanan dan minuman.
Kini, sang pengembara itu
berjaya merealisasikan impiannya dengan mengusahakan sebuah kafe bernama Rumah Mawart yang tersembunyi di suatu sudut Kampung Mawar, terletak tidak jauh dari
Kota Mahsuri dan berkonsepkan galeri dan bengkel seni merangkap hostel buat backpackers.
“Trend orang muda sekarang suka mengambil gambar dan berkongsi di
media sosial memberi idea kepada saya membuka kafe ini, malah pengembaraan
sebelum ini yang telah membawa saya bepergian ke berbagai belahan dunia memberi
inspirasi kepada saya untuk membuka kafe dan hostel di sini,” katanya.
Uniknya Rumah Mawart ini,
dinding dan lantainya menggunakan kayu kerana ia bertemakan rumah melayu klasik yang memaparkan suasana hijau kampung di luar jendela dan didekorasikan dengan
bermacam barangan antik di beberapa bahagian kafe. Semua itu adalah hasil
tangan Ujay dan seorang rakan kongsinya yang mesra disapa dengan nama Lan.
Berkongsi cerita, pemuda
kelahiran Kelantan ini yang gemar menjelajah ke ‘tempat orang’ sudah mengembara
sejak usia remaja dan telah mengunjungi negara-negara Asia Tenggara hingga ke
Timur Tengah sekaligus memberi ilham kepadanya untuk membuka kafe berkonsepkan galeri
seni dan hostel itu.
“Sebenarnya kafe ini baru saja
beroperasi sejak empat bulan yang lalu,” ujar Ujay, “sebelum ini Rumah Mawart
adalah sebuah studio seni bebas yang telah dibuka sejak tahun 2015.
Bengkel seni disediakan buat pengunjung yang ingin belajar melukis Antara hasil lukisan pengunjung terdahulu yang menghiasi dinding bengkel
“Pada asalnya studio ini
dikendalikan oleh saya dan Lan, dan kami hanya menawarkan produk-produk tentang
seni lukisan. Selain itu kami juga mengajarkan pengunjung cara menconteng batik
selain menawarkan pelbagai jenis batik untuk dijual, serta barangan kraftangan
yang lain,” tambahnya lagi.
Sejak penubuhannya, Rumah
Mawart tidak hanya menawarkan servis dan produk seni mereka di Pulau Langkawi, malahan
menjalin kerjasama dengan kompleks kraf, hotel-hotel, dan turut terlibat dengan
pelbagai exhibition di sekitar
semenanjung Malaysia.
Sebagai seorang penggemar
kopi, Ujay telah banyak mencuba bermacam jenis minuman kopi di setiap negara
yang disinggahinya. Namun pengalamannya meminum kopi di Indonesia telah
memberinya ilham untuk membuka perniagaan kafe dan dia terus memendam impian itu
hinggalah dia berhasil mempelajari teknik-teknik barista semasa di
Australia.
“Sejak Langkawi dibuka pada 16
September yang lalu, Rumah Mawart sedia menerima pelanggan yang ingin menginap
di sini. Buat masa sekarang, kami mempunyai 8 katil bagi dormitory dan sebuah private
room,” terang Ujay.
Ketika menyediakan kopi, sang barista akan turut bercerita
Variasi biji-biji kopi yang
dikisar di sini datangnya dari berbagai penjuru dunia seperti Toraja
(Indonesia), Santos (Brazil), Santa Ana (El Salvador), dan Dalat (Vietnam). Selain
minuman kopi, Rumah Mawart juga menyediakan pelbagai juadah pencuci mulut yang
terdiri daripada kek dan puding bermacam perisa.
Ketika kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini, alangkah terujanya aku tatkala mendapati yerba mate juga turut ditawarkan di kafe ini. Mate, juga dikenali
sebagai chimarrão atau cimarrón merupakan sejenis minuman seduh berkafein yang dihasilkan
dalam kalangan orang-orang Guaraní dan Tupí di benua Amerika Selatan; ia
dihasilkan daripada daun tumbuhan spesies Ilex
paraguariensis serta dihidangkan dengan bekas dan penyedut khas. Minuman
ini terkenal sebagai minuman kesihatan. Ia biasanya diminum di Argentina di mana
ia dikenali sebagai ‘minuman kebangsaan’ negara tersebut.
‘Mate’ berasal dari perkataan
Bahasa Quechua ‘mati’ yang merujuk kepada sejenis labu (Lagenaria vulgaris).
Mengulas lanjut, Ujay dan Lan mula
mengusahakan penjenamaan semula Rumah Mawart selepas beliau kembali ke tanah
air pada tahun lalu.
“Memandangkan situasi pandemik
yang masih belum memungkinkan saya keluar mengembara, ditambah pula dengan
ketiadaan pelancong ke Langkawi yang menjejaskan aktiviti seni Rumah Mawart,
kami berpendapat inilah masa sesuai untuk ‘kasi jadi’ idea perniagaan yang
telah dirancang sejak dulu.
“Sepanjang tempoh PKP yang lalu,
saya bersama Lan berkongsi melaburkan duit simpanan sendiri sebagai modal untuk
mengubah spektrum bisnes kami. Bermula dengan berdua, kini kami sudah berenam,”
kata Ujay.
Ujay mengakui pada permulaan
perniagaan, ia tidak begitu memberangsangkan berikutan sektor pelancongan domestik
masih belum dibuka.
Namun, sejak Langkawi dipilih
menjadi perintis bagi gelembung pelancongan, ditambah pula dengan bantuan pelanggan-pelanggan
kafe yang mempromosikan Rumah Mawart melalui media sosial, telah menjadikan kafenya
semakin dikenali ramai.
Malah, anak ketiga daripada 20
beradik ini sekarang sudah mula tersenyum lebar apabila jualan makanan serta
minuman di kafenya kini melonjak naik apabila menjadi tular.
Mengakhiri perbualan, Ujay sempat
mengatakan bahawa jiwa petualangannya masih belum padam dan dia mempunyai impian
untuk mengunjungi dan melihat sendiri kehidupan di Afghanistan selepas Taliban
merampas kembali negara itu daripada kerajaan terdahulu.
Namun buat masa ini, dia mahu fokus
dengan perniagaannya terlebih dahulu sehingga ianya benar-benar stabil sebelum
dia menggalas backpacknya semula dan kembali
menjengah dunia yang luas.
Bersama Ujay Ruang bacaan Bilik dormitori
Jangan lupa berkunjung ke Rumah Mawart sekiranya anda bercuti di Langkawi kelak! |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan