Kenangan menggapai penghujung tanah Borneo di Kudat |
Sebaik
mendapat email tentang pembatalan penerbangan aku ke Pakistan pada hujung
Oktober lalu, aku langsung mendapatkan tiket baru yang dijadualkan berlepas
pada 1 Disember. Ketika itu, otak aku mula ligat berfikir ke manakah destinasi
yang perlu aku pergi untuk mengisi kekosongan bulan November. Setelah
berkira-kira dan membuat sedikit research, aku membuat keputusan drastik dengan memilih untuk terbang ke Sabah setelah berjaya menyambar tiket satu
hala ke Sandakan dengan harga yang tidak sampai RM45.
Mengenangkan Sabah yang merupakan negeri terakhir
untuk aku melengkapkan perjalanan ke semua negeri di Malaysia, desus hati aku
kuat mengatakan, “inilah masanya!” Dan dalam masa yang sama, aku turut mahu merangkumkan
perjalanan ini bersama Labuan memandangkan wilayah itu juga merupakan
satu-satunya wilayah persekutuan yang belum pernah aku pergi.
Sehingga
pada hari pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sandakan, aku
seakan masih tidak percaya yang aku telahpun sampai di negeri terakhirku.
Meskipun sejak zaman sebelum pandemik dahulu terdapat banyak tiket penerbangan
murah yang boleh aku dapatkan untuk ke sini, namun hati aku tak pernah sekalipun
berkeinginan untuk mendapatkannya kerana aku lebih banyak menghabiskan masa
berkelana di luar negara sejak 2017.
Kota Sandakan memberikan aku kejutan pertama setibanya aku di Sabah |
Kejutan
pertama yang aku terima di kota Sandakan ialah ketidakwujudan hostel yang aku
tempah secara dalam talian. Lebih memeningkan, hostel tersebut juga tidak
wujud di dalam Google Map! Hal ini menyebabkan aku terpaksa menyewa sebuah single room berharga RM45/malam di Sandakan Backpackers selama
di Sandakan berikutan 7 buah backpackers
hostel yang pernah wujud kini semuanya telah menghentikan operasi. Demikian begitu dahsyatnya badai pandemik yang sama sekali telah mematikan bisnes-bisnes
penginapan bajet di seluruh kota.
Sabah
adalah negeri amat luas memandangkan ia negeri kedua terbesar di Malaysia
selepas Sarawak. Luasnya kira-kira dua kali ganda negeri Pahang. Perjalanan dari
Sandakan ke Kota Kinabalu (KK) sahaja mengambil masa lebih enam jam. KK ke Tawau
pula mengambil masa kira-kira sembilan jam. Malahan ia lebih lama daripada tempoh
perjalanan warga Kuala Lumpur untuk pulang ke Kelantan.
Apa yang membezakannya ialah,
tidak ada lebuh raya bertol di sini. Rata-rata rakyatnya akan menggunakan laluan yang melalui Kundasang untuk bepergian dari pantai barat ke pantai timur Sabah.
Selamat datang ke Kota Kinabalu, metropolis keenam terbesar di Malaysia |
Selama
berjalan di negeri ini, pelajaran pertama untuk aku adalah nama seseorang tidak menggambarkan agama. Pernah beberapa kali aku terkeliru samada orang-orang
yang aku temui itu beragama Islam ataupun bukan. Di negeri ini, bangsa bukanlah
penanda mutlak untuk mengecop status agama seseorang. Agama juga tidak merujuk
kepada bangsa, kaum, dan etnik tertentu.
Semasa
dalam perjalanan dari Kampung Melangkap menuju Ranau, satu pasangan kekasih
beretnik Kadazan-Dusun telah menumpangkan aku dengan jeep mereka. Pada awalnya, aku
sangka pasangan itu bukan orang Muslim namun sebenarnya mereka beragama Islam. Semasa di Kudat pula, aku
pernah mengikut seorang lelaki tempatan yang mengundang aku minum bersama
rakan-rakannya di sebuah restoran cina.
Para lelaki itu berbangsa Rungus. Si lelaki yang membawa aku ke restoran itu beragama Islam.
Rakan lain daripada kaum sama pula beragama Kristian.
Gereja Katolik umat Nasrani Sabah |
Hal
ini mungkin kerana kebanyakan daripada mereka lebih terbuka dengan konsep
perkahwinan campur.
Di
mata rakyat Sabah, ia bukan suatu hal yang pelik jika satu keluarga mempunyai
ramai ahli keluarga dengan agama yang berbeza.
Ini
belum mengambil kira dari segi aspek asimilasi kepercayaan tertentu yang
diwarisi daripada nenek moyang mereka. Keunikan gaya hidup ini jelas dapat dilihat
ketika upacara tertentu seperti jika ada berlaku kematian.
Untuk
mengelakkan daripada kekeliruan, aku lebih banyak menyapa orang dengan kata
kata “salam” berbanding “assalamualaikum” ketika bercakap dan bersalaman.
Ini
kerana nama seseorang mungkin kedengaran seperti orang Islam, tetapi sebenarnya
bukan.
Aneka makanan boleh didapati di pasar makanan Kota Kinabalu yang dibuka setiap petang |
Perjalanan
sentiasa tidak pernah gagal mengajarkan kita berbagai pengetahuan baru. Di
sini, aku baru tahu tentang kaum dan etnik Sabah sebenarnya lebih banyak
daripada apa yang aku tahu sebelumnya seperti orang Bugis, Kadazan-Dusun, dan Bajau. Ada
lebih daripada 30 kumpulan lain seperti Lundayeh, Bonggi, Paitan, Lotud, Minokok,
Tidung, serta Ubian. Ada banyak Bahasa yang sama sekali berbeza, namun bahasa
Melayu dalam loghat Sabah telah menyatukan kesemua etnik di negeri ini.
Ketika
di Tanjung Aru, seorang teman ada menceritakan keluarga besarnya yang menganut
berbagai agama. Ibunya merupakan seorang Kristian manakala bapanya beragama
Islam. Dia menceritakan minggu lalu dia baru sahaja menghadiri majlis
perkahwinan ibu saudaranya di sebuah gereja di Tambunan. Upacaranya amat
panjang iaitu hampir dua jam. Ia diselangi dengan ucapan paderi, doa keagamaan
dan lantunan lagu dalam tiga bahasa termasuk bahasa Melayu. Namun bagi aku
sendiri, ia bukanlah suatu perihal yang pelik apabila nama Allah ada disebut di
dalam gereja kerana aku juga pernah menyaksikan hal serupa di negara jiran.
Tambahnya,
majlis resepsi perkahwinan yang diadakan di negeri ini juga tidak ada banyak masalah
tentang hidangan kerana tuan rumah biasanya akan menyediakan dua stesen bufet
untuk orang Muslim dan bukan Muslim.
Titik pertemuan antara Laut China Selatan dan Laut Sulu di Kudat |
Toleransi
antara kaum dan agama yang kuat ini juga dapat dilihat pada papan-papan iklan
di tepi jalan yang banyak memaparkan iklan mengenai program agama bukan Islam.
Pelbagai
jenis gereja dan kuil Buddha yang berukuran besar dan kecil juga mudah
ditemukan di mana-mana daerah seluruh Sabah.
Konsep
keterbukaan seperti ini mungkin sukar untuk dilihat di tanah semenanjung tapi
dari sudut pandang aku sendiri yang telah banyak berkelana di berbagai negara,
ini adalah apa yang disebut sebagai keharmonian.
Makan
semeja dengan orang yang bukan seagama juga buka lagi perkara pelik.
Ia
bukanlah hal yang tabu untuk diperkatakan dan mereka juga tidak terlalu cepat
melatah mengenai isu berkaitan makanan. Mereka bukannya tidak menitikberatkan
hukum, cuma rata-ratanya tidak menjadikan ia sebagai satu isu dalam pergaulan keseharian.
Yang
pastinya, mereka tetap menghormati agama dan kepercayaan masing-masing.
Pekan lama Beaufort yang menggamit nostalgia masa lalu |
Meskipun
aku tidak dapat mengembara ke seluruh pelusuk negeri kerana hanya ada tiga
minggu untuk diisi, Sabah sempat menyedarkan aku bahawa ada banyak perkara yang
aku perlu belajar lagi daripada penduduk negeri ini. Namun pelajaran terbesar
yang diajarkan di sini adalah; pentingnya toleransi bagi mengecapi kehidupan
yang harmoni.
Pertanyaan
tentang apa agamaku apa agamamu serta perbalahan tentang siapa pendatang dan
siapa tuan tanah tidak akan memberikan sebarang langkah kehadapan.
Kerana
ia adalah sangat penting untuk menciptakan perpaduan hidup senegara, yang hanya
boleh terwujud ketika orang-orang dapat menghormati perbezaan dan menjunjung
persamaan harkat kemanusiaan daripada sekadar membabi-buta membela kesempitan identiti dan agama masing-masing. Bagaimana kita boleh mengharapkan penyatuan keluarga
malaysia, kalau kita masih belum mampu berdamai dengan diri kita sendiri?
Terima
kasih Sabah.
Berkhemah di Polumpong Campsite, Kota Belud |
Ranau menjadi destinasi pilihan aku berbanding Kundasang yang terlalu sesak dengan pengunjung |
Aki Nabalu, dahulu hanya di dalam angan, kini sudah di depan pandangan |