Memaparkan catatan dengan label keretapi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label keretapi. Papar semua catatan

Panduan Menaiki Keretapi Sabah


Mungkin tak ramai yang tahu, di Sabah terdapat laluan keretapi sepanjang 134 kilometer yang menghubungkan bahagian pantai barat dan bahagian pedalaman negeri tersebut. Pengangkutan ini dikendalikan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dan ia merupakan satu-satunya sistem pengangkutan rel yang beroperasi di Pulau Borneo. Setakat ini, laluan keretapi ini mempunyai 15 stesen yang bermula dari Sembulan (juga disebut Sekretariat) di Kota Kinabalu sehingga ke Tenom.

Perkhidmatan keretapi di Sabah sebenarnya telah wujud sejak zaman pemerintahan British North Borneo Company (BNBC) lagi. Landasan keretapi yang pertama dibina pada tahun 1896 bermula dari Sungai Bukau di utara Beaufort ke selatan di Pelabuhan Weston yang bertujuan untuk mengangkut hasil tembakau dari kawasan pedalaman ke kawasan pantai untuk dieksport.

Kepentingan keretapi di Sabah justeru telah mewujudkan pekan-pekan kecil dan bandar-bandar seperti Membakut, Papar, Kinarut, Putatan dan lain-lain yang telah membangun di sepanjang laluan keretapi tersebut.

Laluan keretapi Sabah. Stesen Weston dan Melalap masih belum dibuka dan akan diberitahu kelak

Perkhidmatan keretapi ini juga menjadi sistem perhubungan yang utama pada waktu itu dan sekaligus antara penyumbang penting kepada perkembangan ekonomi negeri.

Begitupun, keretapi yang menjadi impian bagi para pengembara ke Sabah bukanlah keretapi yag beroperasi dari Tanjung Aru ke Beaufort kerana laluan ini sudah menggunakan koc baharu yang berhawa dingin, tetapi keretapi dari Beaufort yang menuju Tenom kerana ia masih lagi beroperasi dengan menggunakan gerabak lama dan ramai yang menyebutnya sebagai heritage train. Gerabak keretapi ke Tenom juga tidak panjang, hanya menggunakan dua gerabak penumpang yang ditarik oleh locomotive. Tempat duduknya terhad, selebihnya hanya lantai kosong sahaja. Salah satu sebab ada ruangan lantai kosong adalah kerana penduduk setempat kebiasaanya akan membawa pelbagai jenis barangan menaiki keretapi ini, termasuk kayak selain barangan runcit terutama pada Hari Tamu (pasar mingguan) di Tenom, yang membuatkan perut gerabak ini penuh dan sesak.

Jadi di antara koc baru dan lama, yang manakah pilihan anda? Atau anda mahu menaiki keduanya? Jom aku kongsikan informasi serta panduan buat anda yang bercadang mahu merasai pengalaman menaiki keretapi apabila berkunjung ke Sabah kelak.

Koc baru yang beroperasi dari Beaufort ke Sembulan

Ruang dalam yang lengkap berhawa dingin

Jadual Perjalanan

Keretapi Sabah biasanya beroperasi pada setiap hari termasuk hari Sabtu, hari Ahad, dan hari cuti pelepasan am. Sebelum anda merancang perjalanan dengan keretapi ini, jadual jam pelepasan adalah hal yang perlu diberikan perhatian kerana terdapat 3 jadual yang belainan berdasarkan hari. Jadi sebaiknya rancang dahulu perjalanan anda dengan meneliti waktu keretapi bertolak. 

Keretapi Sabah tidaklah selaju seperti sistem pengangkutan rel di Lembah Klang. Ianya sangat berbeza. Jadi anda tidak boleh meletakkan ekspektasi yang tinggi untuk perkhidmatan keretapi Sabah. Keretapi ini hanya mempunyai kelajuan rata-rata 50-70 km/h sahaja. Jadi sekiranya anda ingin cepat sampai ke destinasi, maka perkhidmatan keretapi ini tidak sesuai untuk anda. Always expect the unexpected. Apa saja kemungkinan boeh berlaku di sepanjang perjalanan ini.

Untuk pengetahuan anda, keretapi yang bertolak dari Tanjung Aru tidak ada yang direct menuju ke Tenom. Keretapi dari Tanjung Aru akan berlepas pada jam 7.45 pagi dan mengambil masa kira-kira 2 jam untuk tiba di Beaufort di mana di sana kita perlu mengambil keretapi lain menuju Tenom yang bertolak pada jam 1.30 petang. Sebenarnya ada yang lebih awal, iaitu pada jam 7.50 pagi, tapi sekiranya anda datang dari Kota Kinabalu, maka memang tak sempatlah untuk mendapatkan keretapi pagi itu.

Berikut adalah jadual keretapi Sabah:


Jadual keretapi menuju Tenom

Jadual keretapi menuju Kota Kinabalu (Sembulan)

Ini merupakan jadual perjalanan dan harga tiket dari Tanjung Aru ke Tenom secara ringkas;

Tambang Tanjung Aru – Beaufort: RM4.80
Tambang Beaufort – Tenom: RM2.75
Jumlah tambang pergi & balik: RM15.10

Perjalanan Tanjung Aru - Beaufort: bertolak 7.45 am, tiba 9.40 am
Masa menunggu keretapi berikutnya: 4 jam
Perjalanan Beaufort - Tenom: bertolak 1.30 pm, tiba 3.30 pm

Jadual perjalanan Tenom - Beaufort: 7.30 am atau 1.00 pm
Jadual keretapi Beaufort - Tanjung Aru: 5.00 am atau 11:00am (hanya 2 masa ini sahaja)

Berdasarkan penerangan di atas, anda pasti sedar bahawa ianya mustahil untuk kita pergi ke Tenom dari KK dan pulang semula ke KK pada hari yang sama dengan pengangkutan ini. Jika anda ingin kembali ke kota kinabalu (KK), ada satu alternatif lain iaitu menaiki bas Sipitang Express dari Beaufort ke KK pada jam 3.30pm. Tambang bas berharga RM12. Justeru semasa aku di KK, aku telah merangka 3 plan yang berbeza mengikut kesesuaian dengan keadaan semasa pada ketika itu;

  1. Naik train di stesen Tanjung Aru - 7:45 pagi > tiba di stesen Beaufort - 9:40 pagi > Next train Beaufort ke Tenom -1:30 petang > Sampai stesen Tenom - 3:55 petang. [Perlu bermalam di Tenom]
  2. Naik bas dari KK ke Beaufort (anggaran perjalanan 1 jam 45 minit) > naik train jam 7.50 pagi ke Tenom dan pulang semula ke Beaufort dengan train jam 1 petang. [Pulang ke KK dengan bas]
  3. Naik bas pagi dari KK ke Tenom (anggaran perjalanan 3 jam) > naik train jam 1 petang dari Tenom ke Beaufort. [Pulang ke KK dengan bas]
Selepas berkira-kira dengan bajet dan masa, aku memutuskan untuk memilih plan yang pertama memandang aku travel tanpa sebarang itinerari dan tidak perlu terkejar-kejar untuk pulang ke KK pada hari yang sama. Ini sekaligus membolehkan aku memiliki masa yang cukup untuk meneroka pekan Beaufort dan Tenom menerusi perjalanan ini.

Namun semua perancangan aku gagal apabila diberitahu bahawa perkhidmatan keretapi dari stesen Beaufort ke Tenom telah digantung buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan landasan yang sedang dilakukan. Hampa sekali, tetapi perjalanan tetap harus dinikmati. lalu aku hanya membeli tiket return dari Tanjung Aru ke Beaufort sahaja.

Menikmati panorama pekan lama di persisir Sabah dari kaca jendela

Menurut keluhan orang tempatan, laluan keretapi yang menghubungkan Beaufort dan Tenom memang kerap terganggu akibat faktor alam seperti banjir, tanah runtuh, dan sebagainya terutama pada musim tengkujuh. Jadi sekiranya berlaku gangguan, maka tidak akan ada perkhidmatan keretapi ke Tenom. Kalau ada pun mungkin tidak sampai ke Tenom, kereta api hanya akan beroperasi separuh perjalanan sahaja untuk membawa penumpang ke stesen-stesen yang tidak terjejas sebelum berpatah balik ke Beaufort.

Jadi nasihat aku di sini, anda perlu sentiasa mengikuti Page Facebook atau Website Jabatan Keretapi Negeri Sabah untuk mengetahui status terkini laluan keretapi supaya tidak kecewa seperti aku yang gagal untuk merasai pengalaman menaiki heritage train ke Tenom. Menurut petugas kaunter tiket, tempoh yang diambil untuk membaiki landasan biasanya mengambil masa kira-kira seminggu atau lebih. 

Fasiliti dan sistem tiket

JKNS telah menjalankan pelbagai usaha untuk menambahbaik perkhidmatan yang sedia ada. Keretapi Sabah telah dijenamakan semula sejak 2011 agar setanding dengan perkhidmatan rel di semenanjung Malaysia. Antara fasiliti yang disediakan adalah termasuk sebuah stesen moden seperti di Tanjung Aru. Namun tiket hanya boleh dibeli sebelum keretapi bertolak. Contohnya jika keretapi dari Tanjung Aru bertolak pada jam 7.45 am, anda perlu berada di sana sekurang-kurangnya 15-20 minit lebih awal. Oleh itu, rancang perjalanan anda sebaiknya sebelum keluar dari tempat penginapan di KK bagi mengelakkan kaunter tiket ditutup. Hari biasa dari Isnin hingga Jumaat pula tidak sama jadualnya dengan Sabtu dan Ahad.

Pembelian tiket di stesen Tanjung Aru

Tiket return ke Beaufort

The North Borneo Railway

Ini merupakan salah satu daripada beberapa buah vulcan steam train yang masih beroperasi di muka bumi. Ia dikendalikan sepenuhnya oleh pengurusan Sutera Harbour dan hanya beroperasi bagi tujuan pelancongan sahaja. Keretapi stim ini bergerak dari Kota Kinabalu ke Papar, melintasi Putatan, Kinarut, dan Kawang. Keseluruhan perjalanan pergi dan pulang mengambil masa kira-kira 4 jam sekaligus membolehkan penumpang menikmati pemandangan landskap yang spektakular di bahagian pantai dan luar bandar Sabah.

Koc klasik North Borneo Railway

Untuk pengetahuan anda, keretapi ini hanya diminati oleh pelancong asing sahaja memandangkan harga tiketnya yang agak mahal, iaitu RM358.50 untuk dewasa dan kanak-kanak berusia 4 tahun ke atas. Harga tiketnya adalah beserta makanan yang disediakan untuk sarapan dan makan tengah hari di dalam koc yang klasik namun mewah. Kebanyakan veteran perang amat meminati menaiki keretapi ini bagi mengimbau kenangan lama. Pada zaman penjajahan British dahulu, keretapi ini cuma dinaiki oleh pegawai-pegawai tinggi British dan keluarga mereka manakala orang-orang tempatan pada ketika itu hanya bekerja sebagai petugas keretapi. Oleh itu, para pelancong yang menaiki keretapi ini kini dapat merasai pengalaman menjadi 'sir' dan 'madam' pada zaman kolonial.

Perkhidmatan keretapi ini hanya beroperasi 2 kali seminggu iaitu pada setiap hari Rabu dan Sabtu. Jika anda berminat untuk mencubanya, boleh hubungi pihak Sutera Harbour di sini.

Kepentingan Keretapi di Sabah

Aku melihat keretapi Sabah boleh menjadi sumber pendapatan negeri, jika kerajaan dapat menumpukan untuk membangun jaringan rel yang lebih luas. Keretapi Sabah mempunyai nilai signifikan dalam usaha untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di dunia. Seperti Lebuhraya Pan-Borneo, tidak mustahil landasan keretapi Trans-Borneo juga boleh diwujudkan bagi menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan wilayah Kalimantan di Indonesia memandangkan Indonesia juga sedang membangun jalur keretapi di sisi mereka. Ini secara tak langsung dapat memangkin sumber pendapatan rakyat dan sumber pendapatan negeri dan malah negara secara amnya.

Jika dilihat dari kaca mata pelancong atau pengembara, menaiki keretapi itu dapat memberikan pengalaman yang mengujakan apabila dibawa merentasi laluan berliku sepanjang tebing Sungai Padas dan celah Banjaran Crocker.

Keretapi mengambil penumpang di Stesen Papar

Jambatan rel Papar

Bagi pengemar sukan lasak, perkhidmatan keretapi ini adalah salah satu pengangkutan penting untuk menuju ke destinasi berkayak yang popular di Sabah iaitu di jeram Sungai Padas yang terletak di Kampung Pangi, Tenom.

Selain itu, bahagian pedalaman Sabah seperti daerah Tenom, perkampungan di sepanjang tebing Sungai Padas, dan daerah Beaufort amat bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan ini bagi melakukan pelbagai urusan. Apakah tiada alternatif lain untuk ke Tenom dari Beaufort? Jawapannya ada. Dari Beaufort ke Tenom memang ada jalan darat jika kita ingin menaiki kereta mahupun bas tetapi buat masa ini belum ada lagi jalan darat yang menghubungkan Beaufort dengan kampung-kampung kecil yang terdapat di sepanjang laluan keretapi ini.

Lalu pengangkutan inilah yang memudahkan urusan penduduk setempat serta membantu anak-anak desa pedalaman untuk pergi ke sekolah sekaligus mengurangkan kadar keciciran murid sekolah. Tambahan pula ia juga menjadi nadi penting untuk mengangkut hasil pertanian, bahan binaan dan pelbagai barangan penduduk di samping menjadikan hari tamu sebagai hari penting untuk penduduk menggunakan pengangkutan ini bagi membawa hasil pertanian keluar dari desa untuk dijual kepada penduduk lain yang ingin membeli keperluan harian mereka.

Itu saja informasi yang boleh aku kongsikan buat masa ini, semoga tulisan ini bermanfaat buat anda yang merancang untuk menaiki keretapi Sabah kelak!


Laluan keretapi Sabah

Gerabak lama

Koc baru mempunyai kelajuan maksimum sehingga 80 km/h

Mumbai: Metropolis Dua Dunia



9 Mac 2017

Mumbai adalah dua dunia yang hidup bersama, kontras-kontras yang saling berpadu, membentuk sinergi warna-warni kehidupan yang dinamik, energik, namun juga penuh derita dan air mata.

Tak seharusnya aku mengeluh dengan berat badan yang menyusut dan tubuh yang semakin mengurus akibat selalu mengikat perut (bajet makan aku cuma 100 rupee/hari), setidaknya aku masih boleh tidur di atas katil bertilam, meneguk minuman manis, berkeliling kota, memotret foto, dan segala kenikmatan lain yang mungkin hanya mimpi bagi para gelandangan yang tidur beralas kotak karton di jalanan.

Aku pernah menginap di daerah Colaba di selatan Mumbai. Daerah ini memang hiruk pikuk. Bangunan megah bersenibina Inggeris berbaris rapi. Jalan beruas-ruas dan sempit, dipenuhi kereta-kereta mewah. Ferrari turut dapat dilihat di sini. Orang-orang Mumbai yang lalu-lalang dipacu dengan kemodenan. Para wanita bermake-up tebal, memakai baju dengan fesyen terkini. Yang lelaki pula berpenampilan segak, berpakaian kemas, persis bintang Bollywood. Imej India yang ditonton dari filem-filemnya memang ada di sini.

Kota Mumbai

Tetapi di tempat yang sama, di kawasan orang-orang kelas atasan lalu-lalang membeli pakaian mahal dan makan di restoran mewah, hidup pula kelompok manusia kelas bawahan. Ada ibu yang menyuap tiga anaknya makan di tepi jalan. Ada lelaki yang tidur di atas kereta tolak di kaki lima. Air liur mengalir di pipi, larut dalam mimpi indahnya. Aku tak boleh mengira lagi berapa ramai orang yang tidur di sepanjang jalan yang aku lalui itu.

Namun yang paling membuat aku hiba adalah bila terlihat seorang bayi perempuan, bertanda tika berwarna hitam di dahinya, tidur di balik selimut merah. Tangannya yang mungil berhias gelang-gelang cantik. Bajunya bersih. Wajahnya manis dan damai. Kecomelannya ironi, kerana terbaring sendirian di atas kaki lima, di pinggir pagar besi pinggir jalan. Ratusan kaki berlalu-lalang sepanjang hari, namun tak ada seorang pun yang berhenti. Pemandangan seperti itu sudah terlalu lazim di kota ini.

Bayi yang dibuang, ditinggalkan begitu saja oleh orang tuanya, bukan lagi berita gempar di surat khabar India. Namun, tempoh hari aku ada terbaca berita tentang bayi lelaki yang dibuang di Bihar. Ceritanya menjadi gempar kerana kes pembuangan bayi lelaki merupakan sebuah ketidaklaziman di negara ini. 

Stigma sosio-budaya India memjadikan anak perempuan agak kurang disukai. Mempunyai anak perempuan bererti harus menanggung beban yang berat untuk menikahkannya di kemudian hari, kerana perlu membayar duit 'dowry' atau 'jehez' yang jumlahnya sampai berlakh-lakh (ratusan ribu rupee). Keluarga miskin yang sudah menjerit kerana deraan beban hidup memilih jalan pintas, membuang bayinya begitu saja. Justeru di negara berpopulasi 1.3 billion penduduk ini, mencari ibu bapa bayi yang terbuang adalah lebih sukar daripada mencari jarum di dalam jerami padi.

Pada masa kini kerajaan India juga telah melarang hospital untuk melakukan imbasan jenis kelamin bayi di dalam kandungan. Penyebabnya juga sama. Terlalu ramai orang yang cenderung melakukan pengguguran selepas mengetahui bayinya perempuan.

Memang sedih bila melihat bayi mungil ditinggal di tepi jalan. Bagaimanapun dia tidak sendiri. Ada jutaan bayi bernasib sama, lahir tanpa tahu siapa orang tua yang hanya membekalkannya dengan selimut, baju baru, dan setitik tika di dahi. Manakala rubuan kaki yang lalu-lalang terus melintas tanpa henti.

Taj Mahal Palace

Beberapa puluh meter dari tempat ini, di depan pintu gerbang Gateway of India, menjulang megah sebuah binaan indah bernama Taj Mahal Palace. Istana ini adalah hotel lima bintang yang sudah lebih dari seabad usianya, dibangun oleh Jamsetji Tata, pendiri syarikat kelas dunia dari India – Tata Group.

Kubahnya merah menyala, memancarkan keanggunan barisan tingkap kaca yang berjajar mengikut baris dan kolum. Dindingnya memantulkan sinar matahari, mengiluminasi bayang-bayang keagungan masa lalu. Hotel ini pernah dihuni orang-orang berkelas dunia, mulai dari Elvys Presley, Putera Charles, Bill Clinton, Raja Maghribi, dan ramai lagi. Taj Mahal Palace dan Gateway of India juga sering menjadi lokasi penggambaran filem-filem Bollywood, menayangkan gambaran India sebagai negara yang kaya dengan penduduk yang semuanya tampan dan cantik berpakaian anggun menari penuh gairah.

Tetapi fantasi tidaklah seindah realiti. Jangan bayangkan anda boleh melihat gambaran itu di stesen kereta api Mumbai. Tak ada seorang pun lelaki yang melamar gadis cantik berpakaian sari di tengah keramaian, memberikan bunga, sambil menari-nari dengan ratusan pengiring. Yang ada adalah terminal yang penuh dikerumuni lautan manusia. Puluhan ribu penumpang diangkut dari tempat ini setiap hari. Di atas lantai, beberapa gelandangan tidur lelap tanpa beralas apapun. Ada pula kanak-kanak yang mencari sesuap nasi dengan mengemis, mencium kaki orang, dan mengilatkan kasut.

Lautan penumpang menanti Metro Mumbai pada waktu puncak

Pengalaman menaiki Metro Mumbai sungguh mengerikan, apatah lagi ketika waktu puncak. Ribuan orang tak pernah bersabar menanti kedatangan keretapi yang akan menghantar mereka pulang. Setiap sepuluh minit keretapi akan tiba. Namun kerumunan orang di bahu landasan tak pernah juga berkurang.

Sebuah keretapi datang perlahan, merapat di stesen. Belum sempat ia berhenti, para penumpang yang tak sabar terus melompat liar ke dalam. Jangan harap untuk mendapat tempat duduk jika anda terlalu bertolak ansur. Aku hanya berdiri dekat pintu, dihimpit ratusan manusia.

Stesen berikutnya, luapan penumpang semakin menghambat. Aku diseret lagi, semakin terhimpit ke dalam perut keretapi. Stesen berikutnya, aku sudah tak ada lagi tempat berdiri. Tangan kanan hanya mampu terus berpaut pada pegangan, berdiri pun hanya dengan satu kaki. Negara ini memang sudah terlalu ramai penduduk, bahkan untuk berdiri pun sudah tak ada tempat lagi. Waktu pergi dan pulang kerja di Mumbai sungguh mengerikan. Cukuplah sekali aku mendapat pengalaman yang sedemikian.

Kontras-kontras Mumbai terus bermain di dalam minda hingga ke hari ini. Hotel bak istana menjulang megah, orang-orang berkelas dunia menginap di dalamnya. Sementara di luar, para manusia yang terpinggir bermimpi di bawah langit bertudung bintang. Sementara kisah aku tersepit di dalam keretapi yang merayap perlahan, sentiasa segar dalam ingatan ketika bertualang mengejar mimpi di kota dua dunia ini.


Catatan perjalanan ini pernah disiarkan di kolum 'xventour' Majalah BackPackerz - The Ultimate Travel Magazine volume 32 pada tahun 2019.

Barber jalanan

Teratak para gelandangan

Si ibu mencari kutu di kepala anak perempuannya

Penjahit pakaian di permukiman slum

Keseharian warga kota

Peniaga jalanan di kota Mumbai

Crawford Market, segala macam jenis jualan boleh didapatkan di sini

8 Perjalanan Keretapi yang Anda Harus Cuba Salah Satunya Jika ke India


Dari timur ke barat, dari utara ke selatan, atau dari mana sahaja, percayalah: melakukan perjalanan panjang di India dengan keretapi adalah salah satu pengalaman yang sangat mengujakan di negara berjuta warna ini. 

Berikut adalah lapan perjalanan keretapi yang anda harus cuba salah satunya (atau semuanya) sekiranya anda berpeluang melancong ke India:


1. Kalka - Shimla Toy Train

Perjalanan menaiki toy train ke Shimla yang menawarkan aroma keterujaan

Perjalanan dengan keretapi ini terkenal bagi pelancong kerana pemandangan dramatik yang dapat dilihat dari jendela keretapi serta laluannya yang berbelok-belok menyusuri bahu pergunungan. 
Menaiki Kalka-Shimla Toy Train boleh diibaratkan sebagai perjalanan menembus masuk ke jantung alam semulajadi.

Keretapi ini mengambil masa selama hampir enam jam untuk mendaki dari Kalka ke Shimla, melalui 102 terowong, lebih 87 jambatan, dan berbelok-belok di sekitar 900 selekoh. Keretapi ini juga telah beroperasi membawa penumpang melihat ke-majestik-an Himalaya sejak 1903. Cukup lama bukan?

Laluan: Kalka - Dharampur - Solan - Kandaghat - Taradevi - Barog - Salogra - Totu - Summerhill – Shimla

P.S. Tempahan untuk laluan keretapi ini hanya boleh dibuat sebulan sebelum tarikh berlepas, tidak seperti tempahan keretapi lain yang biasanya dibuka dua bulan lebih awal.

2. Qazigund – Baramulla

Perjalanan ketika musim sejuk lebih mengujakan 

Sebuah laluan keretapi yang masih belum diketahui oleh ramai pelancong, namun indah menyusuri lembah Kashmir. Ini adalah perjalanan yang sangat patut diambil sekiranya anda melawat Kashmir pada musim sejuk kerana tiada apa yang lebih menenangkan jiwa selain melakukan perjalanan yang menyegarkan merentasi hamparan salji di sepanjang lembah Kashmir, dengan puncak-puncak putih banjaran Himalaya dan pokok-pokok chinar di sekeliling.

Pastikan kamera anda sentiasa bersedia untuk memotret keindahan pemandangan luar di sepanjang perjalanan dari dalam train!

Laluan: Qazigund - Sadura - Anantnag - Bijbehara - Panjgam - Avantipura - Kakapore - Pampore - Budgam - Mazhom - Pattan - Hamre – Baramulla

3. The Desert Queen (Delhi - Jaisalmer Express)

Perjalanan menempuh gurun gersang 

Saya berani untuk mengatakan bahawa pengalaman membuat perjalanan panjang menyusuri gurun-gurun Rajasthan memang agak luar biasa, dan jika anda menganggap perjalanan keretapi gurun ini cuma membosankan, ternyata anda silap. Bahkan perjalanan menaiki keretapi ini akan membuatkan anda seakan berlayar di samudera padang pasir di mana kesunyian gurun itu sendiri bakal mempengaruhi jiwa spiritual para pengembara untuk melihat dan menatap kemonotonan panorama yang gersang. Inilah alam semulajadi yang masih berdiri dalam keagungan purba, di mana semua perihal dunia moden tidak wujud sama sekali.

Laluan: Delhi - Jaisalmer - Osian – Jodhpur

4. The Maharaja's Express

Keretapi mewah The Maharaja's Express

Diundi sebagai "The World's Leading Luxury Train" sebanyak empat kali berturut-turut, perjalanan dengan keretapi ini adalah tidak kurang seperti memasuki alam fantasi yang berduniakan permaidani merah dan teh kelas atasan untuk menemukan semula kegemilangan zaman keanggunan dan keagungan romantisme.

Keretapi ini melalui lima laluan berbeza yang merangkumi lebih daripada 12 destinasi sepanjang utara, barat dan sentral India antara bulan Oktober hingga April.

Laluan: Anda boleh memilih salah satu daripada beberapa laluan yang ditawarkan:

The Heritage of India (8 hari 7 malam)
Mumbai - Ajanta - Udaipur - Jodhpur - Bikaner - Jaipur - Ranthambore - Agra - Delhi

Treasures of India (4 hari 3 malam)
Delhi - Agra - Ranthambore - Jaipur - Delhi

Gems of India (4 hari 3 malam)
Delhi - Agra - Ranthambore - Jaipur - Delhi

Indian Panorama (8 hari 7 malam)
Delhi - Jaipur - Ranthambore - Fatehpur Sikri - Agra - Gwalior - Orchha - Khajuraho - Varanasi - Lucknow - Delhi

Indian Splendor (8 hari 7 malam)
Delhi - Agra - Ranthambore - Jaipur - Bikaner - Jodhpur - Udaipur - Balasinor - Mumbai

5. Goa Express

Keretapi melintasi air terjun Dudhsagar yang megah

Bagi saya, sebenarnya agak sukar untuk para pelancong melihat bio-diversiti yang terdapat di Western Ghats dalam satu percutian singkat melainkan anda adalah seorang long term traveler. Namun begitu pengalaman menaiki Goa Express yang ikonik ini dapat menawarkan peluang buat anda untuk membuat perjalanan dengan jendela yang terbuka sekaligus menyaksikan sendiri keindahan flora dan fauna ketika keretapi ini meluncur menyusuri banjaran ini yang usianya sendiri adalah lebih tua dari Himalaya.

Laluan: Vasco da Gama, Goa - Londa, Karnataka

6. The Darjeeling Himalaya Railway

DHR masih beroperasi menggunakan arang batu

Darjeeling Himalaya Railway atau DHR adalah pengangkutan yang tertua di antara semua keretapi pergunungan di India, malah ia juga diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Pengalaman menaiki keretapi ini akan membawa anda melalui beberapa siri landskap, altitud, dan perubahan iklim yang berlainan.

Circular Loops adalah laluan yang menakjubkan bagi kereta api ini dan Batasia Loop adalah yang paling terkenal kerana menawarkan pemandangan Gunung Kanchenjunga (puncak ketiga tertinggi di dunia selepas Everest dan K2) serta kota Darjeeling yang sangat memukau.

Laluan: Darjeeling - New Jalpaiguri

7. The Island Express (Kanyakumari - Trivandrum)

Hanya warna hijau tropika yang mendominasi pemandangan sepanjang perjalanan 

The Island Express adalah perjalanan singkat yang membawa penumpang menembusi kehijauan alam tropika, barisan pokok-pokok kelapa dan hutan belukar. Keretapi ini menawarkan salah satu pemandangan terbaik yang menghiasi kehidupan perkampungan di Kerala.

Laluan: Kanyakumari - Thiruvananthapuram

P.S. Walaupun dinamakan The Island Express, namun tiada satu pun bahagian laluan keretapi ini yang melalui pulau. Nama itu telah diberikan kerana dahulu keretapi ini biasanya menamatkan laluan perjalanannya di stesen Cochin Harbour Terminus di Pulau Willingdon, Cochin, sehingga pertengahan tahun 1970.

8. The Sea Bridge Ride (Mandapam - Rameswaram)

Perjalanan keretapi menyeberangi Gulf of Manner

Selain daripada keseronokan dalam pengembaraan, Jambatan Pamban - Rameshwaram adalah salah satu kebanggaan bagi kereta api India. Ia merangkumi lebih dari 2 kilometer dengan 143 tiang jambatan dan akan memberikan pengalaman dan pemandangan melintasi samudera luas.

Laluan: Mandapam - Rameswaram


Melakukan perjalanan dengan keretapi sememangnya mengujakan dan memberi berbagai pengalaman manis dan pahit bagi setiap pelancong dan pengembara yang melawat India. Pernahkah anda menaiki keretapi di India dan laluan manakah yang anda sukakan? Kongsikan kepada saya di ruangan komen :)

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!