Para pengemis menyambut kedatanganku di perkarangan makam.
Pemilik restoran bersahut-sahutan memanggil, memintaku untuk membeli kupondan memberi makan kepada para kaum fakir.
Laki-laki berkopiah putih berkeliaran ke sana ke mari, mengenakan pakaian kurta
longgar hingga ke lutut, berpadu dengan seluar hingga ke mata kaki. Para wanita yang berjubah hitam pekat hanya menampakkan segaris pandangan mata.
Mendekati kawasan makam Hazrat Shaikh Khwaja Syed Muhammad Nizamuddin Auliya atau lebih terkenal sebagai Hazrat Nizamuddin, jalanan
semakin sempit seiring dengan deretan kedai yang menampal di kedua sisi. Ramai
penjual pajangan kaligrafi, buku dan kitab islamik, kurma, bunga hingga dupa.
Berbeza dengan tradisi negara kita yang menggunakan pelbagai variasi bunga
ketika berziarah, mulai bunga mawar, melati dan kenanga, namun di sini hanya
menjual bunga mawar yang dirangkai menyerupai kalung atau diletakkan di atas
piring yang terbuat daripada daun.
Tak hanya bunga. Para penziarah turut membawa dupa dan chaddar;
kain berwarna yang dibingkai dengan renda kuning keemasan. Deretan chaddar ini
tergantung di kedai-kedai. Di tengahnya bertulis lafaz dalam tulisan Urdu, mirip
dengan tulisan jawi. Tak kurang juga yang bertuliskan lafaz Basmallah dan
Syahadah. Sungguh kain ini mengingatkan aku dengan kain penutup keranda yang
membawa jenazah di negara kita.
Hazrat Nizamuddin Dargah
Di sini, denyut jantung kebudayaan dan tradisi sufisme
bervibrasi kuat. Seorang lelaki mengalunkan syair dan puisi, diselingi alunan muzik harmonika dan tabla yang dimainkan rakan-rakannya. Mereka
duduk bersenandung berkiblatkan makam seorang wali Allah.Tradisi muzik pemujaan kepada Sang Khaliq dan
salam hormat kepada para sufi ini dinamakan qawwali. Ia sangat popular di negara-negara
Asia selatan, seperti India, Bangladesh dan Pakistan. Para pemuzik duduk
bersila di atas lantai, berjajar dalam dua baris. Di baris depan, di hadapan
mikrofon, ada penyanyi utama dan pemain harmonium – alat muzik seakan organ
kecil yang bunyinya dihasilkan oleh paip udara yang mengembang dan mengempis
seperti akordion. Di barisan belakang, juga duduk bersila, adalah penyanyi
pengiring yang bertepuk tangan. Tepuk tangan, bersama tetabuhan gendang, adalah
bahagian penting dalam sajian muzik qawwali.
Menurut buku Among the Believers tulisan peraih anugerah
nobel sastera V.S. Naipaul yang pernah aku baca, Islam di Asia selatan adalah campuran kebudayaan yang pra-Islam, termasuk India tentunya. Di sini hidup spiritual sufisme berdaya mistik, yang merupakan detak jantung Islam di India, Pakistan, Bangladesh, hingga ke negara-negara Asia tengah. Islam yang mula-mula hidup subur di belahan tanah besar ini adalah sufisme, dan hingga sekarang masih nampak wujudnya.
Di antara kebiasaan yang tidak Islamik yang bercampur dengan
kehidupan Islamik adalah tradisi berkunjung, berziarah, dan berdoa di makam-makam
orang suci. Makam para sufi atau wali ini disebut dargah, tempat bersemayamnya
Hazrat Syed Muhammad Nizamuddin Auliya, seorang muslim sunni merangkap
guru sufi yang masyhur sekitar abad ke 14, adalah salah satu ikon kota Delhi
yang dikunjungi ramai orang terutama pada hari Khamis dan ‘Urs’ (peringatan
hari kematian) sang hazrat.
Para wanita yang mengunjungi makam
Aku tidak melihat bagaimana ramainya peringatan Urs di sini,
tetapi aku terhanyut dalam alunan muzik mistik ini. Qawwali adalah alunan muzik
Islamik yang berakar dari kebudayaan India dan Pakistan. Tradisi yang bermula
sejak 7 abad silam ini diadakan di hadapan dargah. Namun menurut Abdul Mannan, seorang pemuda yang baru aku temui di sini mengatakan bahawa tradisi qawwali ini sebenarnya berasal dari Parsi (Iran dan
Afghanistan ketika ini) sejak 800 tahun yang lalu. Ketika Islam masuk ke tanah
Hindustan, tradisi ini semakin merambah Asia selatan. Kemudian seorang Sufi di
Delhi bernama Amir Khusro Dehlavi menggabungkan tradisi muzik Parsi dan India lalu
terciptalah tradisi qawwali yang kita kenal hingga saat ini. Nama rasmi bagi
tradisi ini adalah Mehfil-e-sama.
Kebanyakan lagu qawwali menggunakan bahasa Urdu, bahasa
kebangsaan negara Pakistan yang turut digunakan oleh sebahagian besar penduduk
Muslim India. Urdu adalah gabungan antara bahasa Hindi dan Parsi. Lagu qawwali pula
berupa bait-bait puisi yang secara implisit memiliki makna spiritual, meskipun
adakala liriknya terdengar seperti lirik lagu sekular. Namun tema utamanya
adalah tentang kecintaan, pengabdian dan kerinduan seorang hamba kepada Rabb nya.
Liriknya diawali dengan pujian kepada Allah dan kemudian disusul dengan selawat
kepada Nabi Muhammad dan dilanjutkan dengan lagu bertemakan cinta yang biasa
dikenal dengan ghazal.
Di makam, aku melihat para penziarah membakar dupa dan memasuki
kawasan batu nisan. Nisannya dikelilingi tembok dan kayu menerawang. Penziarah
kemudiannya menutupkan chaddar di atas batu nisan dan menebarkan bunga. Berdoa
dan dilanjutkan lagi dengan berjalan perlahan mengelilingi makam. Di India, wanita
tidak diperbolehkan mendatangi perkuburan umum, tapi dibolehkan mendatangi
makam wali atau sufi. Itupun digarisbataskan dengan hanya di luar
tembok yang memagari batu nisan tersebut. Para kaum hawa membaca kitab Al
Quran dengan khusyuk. Duduk bersimpuh sambil badannya melambai maju dan mundur. "Membaca Al Quran seperti ini adalah kebiasaan bagi orang India," terang Abdul Mannan.
Kaum wanita hanya dibolehkan berada di luar makam
Di tembok pula melilit ratusan bahkan ribuan benang merah
yang seakan benang wool menandakan sebuah ikatan antara penziarah dengan wali Allah.
Penziarah yang datang ke sini tidak hanya daripada kalangan kaum muslim, tetapi juga
penganut Hindu dan agama lain. Mereka percaya bahawa kedatangan ke makam wali dapat
mendatangkan berkah dan menyembuhkan penyakit, dan segala permohonan akan
dikabulkan.
”Bhar do jholi meri ya Muhammad.. Laut kar main na jaonga khali..” Nyanyian qawwali baru bermula ketika para pengunjung lelaki dan perempuan kian membanjiri tempat ini. Semakin ramai pengunjung yang berdesak-desak duduk bersila menghadap barisan penyanyi. Tak sangka, lagu kegemaranku dalam filem Bhajrangi Bhaijaan turut dinyanyikan di sini. Di tengah-tengah keramaian, seorang lelaki berjalan perlahan dengan membawa kipas berukuran jumbo yang terbuat daripada (mirip) bulu binatang. Mengibaskan kipas ke arah penziarah dan mengharapkan sedekah. Kibasan ini dianggap mendatangkan berkah. Dia turut menyemburkan wangian ke arah penonton. Aroma semerbak bunga mawar membawa kesegaran mengiringi lantunan muzik tradisional.
Aku menangkap beberapa lirik bahasa Urdu seperti “datanglah kekasih hatiku, datanglah…” atau “Tuhanku yang tercinta, di manakah engkau?”, atau “Allah hi Allah bol, hanya ucapkan nama Allah!” Dalam tradisi sufi, Tuhan digambarkan sebagai sang kekasih hati. Syair qawwali, isinya membangkitkan kecintaan pada Tuhan, kadangnya melantun panjang memerlukan kekuatan pita suara yang luar biasa, dan kadangnya rancak, cepat, dinamik dengan iringan tepukan tangan yang serentak.
Para pemuzik dihujani wang tanpa henti
Ekstasi spiritual, demikian ia disebut. Muzik ini mempunyai daya hipnotis yang luar biasa. Lagu-lagu qawwali berisikan pemujaan berpadu dengan kata-kata yang merasuk sukma. Tak jarang para pendengarnya boleh terkhayal dan terasuk kebahagiaan yang tiada tara mendengar keagungan dan kebesaran asma Allah. Tanpa sedar, para pendengar boleh menggeleng-gelengkan kepala tanpa henti ketika semakin larut dalam kedahsyatannya. Ada lelaki tua berjanggut yang serta merta berdiri, berputar-putar di depan penyanyi, semakin lama semakin cepat, terlarut dalam kebahagiaan spiritual yang tiada duanya. Pengunjung yang lain, masing-masing membawa not kertas rupee, menghujani para pemuzik dengan tompokan wang tanpa henti.
Tak perlu faham dengan maksud dan kata-kata di dalam lagu qawwali. Alunan nadanya sudah menggemakan kekuatan spiritual yang tak terhingga. Tengah malamnya, di kuburan seorang suci di kota Delhi, aku menyaksikan kekuatan muzik sufi yang lebih dahsyat lagi.
Esak tangis mengiringi pemergian seorang lelaki tua berkasta Brahmin. Raungan, ratapan, dan
air mata membasuh aroma kesedihan. Jenazah itu dibilas ke dalam air Sungai
Ganges yang keruh, ditabur bunga bersama 'Puja
Thali' (sesajen atau semahan yang mengandungi lilin, beras, kelapa, dan
serbuk berwarna yang dipersembahkan ketika menjalani ritual keagamaan). Alunan
mantera Hindu turut mengiringi.
Kayu api bersusun rapi di tepi sungai. Dalam tradisi pembakaran
mayat umat Hindu, kasta juga memainkan pengaruh. Yang termasuk di dalam
golongan atasan, keluarga kerajaan, dan kasta tinggi, mayatnya dibakar di
tempat khas, malah ada juga tempat pembakaran mayat yang eksklusif. Dan bagi
para kasta bawahan pula, mayatnya dibakar di merata kawasan.
Di sini aku berkenalan dengan Raj. Lelaki ini menjelaskan,
lelaki tua itu adalah orang besar yang sangat dihormati. Kematiannya pun
dikatakan wajar, sakit tua. Jenazah si mati diletakkan di atas tompokan kayu,
setelah itu dibilas lagi dengan air suci oleh sang pendeta. Denting loceng,
alunan mantera, dan ratapan pilu terus mengiringi ketika api mulai marak.
Ini merupakan kali pertama aku menyaksikan proses pembakaran
mayat sedekat ini. Tubuh kaku itu terlihat jelas meleleh seperti lilin.
Jari-jari kakinya mulai menyatu, kemudian membulat, dan seterusnya hancur tak
berbentuk. Ketika jasad ini mati, semuanya kembali ke dalam wujud yang sama. Tidak
peduli dengan apa kastanya, sebesar mana kekayaannya, setinggi apa jawatannya,
sebanyak manapun pencapaian yang pernah digenggamnya, tubuh dan jasad akan
hancur bersama menjadi abu dan debu.
kremasi
Di hadapan kematian, manusia seperti menjadi ahli filsuf. Di
depan upacara pembakaran tubuh si mati, Raj menerangkan kepada aku tentang erti
kehidupan dan kematian. Beliau menerangkan, betapa tak abadinya hidup manusia,
bermula daripada ketiadaan dan kembali semula kepada ketiadaan. Alangkah
sayangnya jika hidup yang berharga ini dilewatkan begitu sahaja, tanpa makna
dan tanpa faedah. Roh kehidupan yang melekat di dalam tubuh hanya untuk
sementara. Setelah itu, hidup yang kita jalani hanya akan menjadi sejarah yang
cuma akan dikenang oleh segelintir orang. Tidak ada ertinya lagi semua
kebanggaan, kekayaan duniawi, dan populariti yang diraih – semuanya lenyap
bersama jasad yang melebur.
"Ramai orang yang hidup tetapi tak hidup. Mereka semua
salah tentukan tujuan hidup. Kebanyakannya hanya mengejar wang, properti, emas,
perempuan, kuasa... Tapi apakah mereka bahagia?" Tanya Raj kepada aku
ketika kami bersama menyaksikan mayat yang berada di atas tompokan kayu itu
perlahan-lahan melepuh dan melebur ditelan api yang garang menjulang.
"Palsu, semua itu palsu. Ramai orang tak pernah tahu apa yang penting di dalam
dunia. Itulah sebuah hidup yang hampa," kata Raj lagi, "bahagia itu
tak pasti, cuma mati yang pasti. Ingatlah pada kematian, itu kunci kebahagian.
Maka berterima kasihlah dengan kematian, kerana kematian adalah guru terbesar
dalam kehidupan."
Anggota keluarga yang ditinggalkan siap memasuki fasa perkabungan.
Kaum perempuan terus meratap. Kaum lelaki mencukur habis rambut mereka, dan cuma
menyisakan sejumput kecil di bahagian belakang kepala.
Penganut Hindu percaya dengan reinkarnasi. Kematian bukanlah
pengakhiran melainkan sebuah permulaan bagi perjalanan baru. Roh yang baru sahaja
meninggalkan jasad setelah tubuh hancur, kini bersiap sedia untuk memulakan
lagi kehidupan yang berikutnya. Abu mayat ditabur ke dalam Sungai Ganges yang
mengalir perlahan, lalu ia akan menyusuri perjalanan ratusan kilometer hingga
ke muara sungai di Teluk Benggala di timur India, sekaligus menutup kisah babak
kehidupannya yang baru sahaja berlalu. Dan babak yang baru pula akan segera
bermula.
Seorang wanita menabur abu mayat ke Sungai Ganges
Varanasi adalah tanah impian buat para penganut Hindu mengakhiri
kehidupan, terutamanya bagi golongan warga emas yang sedang menanti ajal.
Justeru itu terdapat ramai kaum tua yang menghuni Shri Satua Baba Ashram
berhampiran dengan Manikarnika Ghat. Mereka percaya bahawa jiwa manusia yang
mati akan menemukan 'moksha'
(keselamatan) apabila dibakar di hadapan Sungai Ganges. Oleh sebab itulah ramai
orang tua dari seluruh penjuru negara mengimpikan untuk mati di sini. Mereka
datang ke Varanasi dan menghabiskan hari-hari terakhir mereka untuk menyerap karisma
ghat – semangat yang membuat kematian tidak menyakitkan dan tidak penting untuk
difikirkan. Walaubagaimanapun, keadaan tempat ini agak merimaskan. Orang-orang
tua terbaring di atas katil yang berjajar, berdesak-desak di dalam ruangan yang
sempit. Ruang dapur agak gelap dan berbau. Terlihat kelibat seorang lelaki tua
sedang menyiapkan makanan di atas kuali. Namun, di tengah kesederhanaan
kehidupan manusia di tempat ini, tersirat kegembiraan daripada riak senyum di
wajah mereka.
Beberapa perempuan tua berbaju sari pelbagai warna duduk di
anjung. Mereka sudah sangat tua, kerut-kerut wajah mereka mengguratkan usia
yang teramat lanjut. Tangan mereka bergetar. Tetapi, bulatan tika di dahi terlihat
seakan pancaran aura mistik. Hanyut dalam alunan tetabuhan dan mantera dari yang
terdengar dari ghat berdekatan, para wanita tua itu larut ke dalam dunia
spiritualiti.
Menantikan kematian
Sebagai tempat yang suci, Ashram ini juga dipenuhi dengan ramai
petapa Hindu seperti Raj yang disebut 'sadhu'
– golongan manusia yang melepaskan segala ke-duniawi-an mereka untuk mencari
kebenaran hakiki. Para sadhu ini
telah berkelana dan mengembara ke seluruh penjuru negeri, hidup dari belas
kasihan alam dan orang lain, melepaskan mimpi-mimpi tentang kehidupan, dan tampil
dalam wujud yang sukar digambarkan.
Ada sadhu yang
berambut pilinan, bersahabat dengan ular dan serangga. Ada yang tubuhnya
berbalut abu, tidak berbaju dan hanya mengenakan lungi lusuh menutup alat kelamin. Berbekalkan tongkat kayu dan
kantung sedekah, mereka berkeliling memberi berkah. Para sadhu tidak mencukur rambut dan janggut. Ketika mati, mayat mereka
juga tak dibakar, kerana roh mereka dikatakan lepas dari putaran reinkarnasi.
Begitupun, tidak semua sadhu
itu benar-benar merupakan orang suci. Di zaman yang serba materialistik kini, ada
golongan penunggang agama yang sanggup berdandan menjadi sadhu demi untuk mendapatkan wang. Ada yang menikmati hidupnya
menjadi orang suci kerana gemar menghisap hahish
atau ganja – untuk hanyut ke dalam kenikmatan nirwana. Ada pula yang bergaya di
hadapan kamera untuk mendapatkan duit pemberian para pelancong, malah ada pula
beberapa sadhu yang cukup agresif
menarik tangan aku meminta difoto (dan diberi sedekah tentunya).
Sadhu di Varanasi
Aku berkesempatan mengunjungi penempatan sadhu yang berdekatan
dengan Manikarnika Ghat. Tempat ini dihuni lebih daripada lima orang suci. Di
penempatan yang sesederhana ini, terdapat juga lembu dan kambing yang tinggal
bersama. Dalam agama Hindu, lembu dianggap haiwan yang suci. Maka tidak
hairanlah para sadhu juga tidur
bersama lembu. Di siang hari, ritual menghisap ganja berlangsung. Seorang sadhu muda tampan bersama balutan kepala
yang tinggi, dengan daun telinga yang berlubang besar ditembusi anting-anting
berat, dengan penuh kekhusyukan, mata terpejam, perlahan-lahan menghisap paip hookah. Kepulan asap dihembus dari mulutnya.
Matanya tetap terpejam, menikmati setiap hembusan kenikmatan itu. Paip
berpindah dari tangan ke tangan sadhu
lain yang berjanggut lebat. Dia turut menikmati kenikmatan yang sama. Lima
orang lelaki suci ini duduk bersama membentuk bulatan, bergilir menikmati
kedamaian nirwana.
Seorang sadhu menarik
aku masuk ke dalam, meminta aku untuk memeriksa sebuah peti televisyan yang
rosak. Dia baru sahaja memperolehi sekeping cakera DVD tentang Afrika, tetapi
apabila dimainkan, tv ini sama sekali tidak mengeluarkan sebarang suara.
Rupanya di tempat ini, selain kenikmatan syurgawi daripada marijuana, juga terdapat
alat tontonan yang mengisi kebosanan mereka.
Di antara sadhu yang
paling dihormati di Manikarnika Ghat, ada seorang lelaki tua berumur lebih
tujuh puluh tahun yang dipanggil baba, menjalani hidupnya dengan hanya meminum
susu lembu. Dia tidak pernah makan sama sekali dan tidak juga minum minuman
lain. Tubuhnya kurus melidi, berambut panjang, tidak terurus, kesat, dan
digulung menjadi seperti sanggul di atas kepalanya yang terlihat seperti fesyen
dreadlocks.
Baba sudah berkelana ke hampir seluruh pelusuk India dan Nepal.
Dia juga sering mendapat undangan untuk mengajar dan memberi ceramah keagamaan.
Walaupun sumber kehidupannya cuma daripada susu lembu yang suci, tetapi ilmunya
sudah mendatangkan ramai murid dari Nepal dan seluruh negara.
Baba
Di India, Shiva, Vishnu, dan Parvati merupakan tiga dewa utama
Hindu. Manikarnika mendapat namanya daripada bahasa Sanskrit yang bererti
'anting-anting'. Ada dua mitos yang mengisahkan tentang sejarah ghat suci ini. Alkisahnya, Dewa Shiva
telah turun untuk mandi di ghat sebuah
kolam yang dibina oleh 'chakra' Dewa
Vishnu. Usai mandi, Shiva merasa begitu segar dan bertenaga lalu membuatkannya
menari riang ketika menaiki tangga ghat,
sehingga membuatkan anting-anting ditelinganya tercicir lalu hilang tanpa
disedari.
Sebuah lagi mitos mengisahkan bahawa Dewi Parvati telah
menyembunyikan anting-antingnya sendiri di kota ini dan meminta Dewa Shiva untuk
mencarinya supaya orang-orang suci akan datang dan menetap di Kashi (nama kuno
bagi Varanasi) sebagai 'Vishwanath'
(penyembah Dewa Shiva). Penganut Hindu juga percaya apabila mati di sini, Yamaduta (malaikat maut) tidak dapat
menghantar roh si mati ke neraka kerana dengan adanya Dewa Shiva sebagai
pelindung.
Varanasi, kota suci yang disebut-sebut sebagai tamadun kedua
tertua di dunia ini penuh dengan mistik dan spiritual. Kota ini telah tertulis
di dalam sejarah selama lebih daripada tiga ribu tahun. Di dalam sebuah catatan
perjalanan, Mark Twain pernah mengatakan bahawa Varanasi adalah lebih tua
daripada sejarah, lebih tua daripada tradisi, malahan lebih tua daripada
lagenda peradaban dan bermungkinan dua kali lebih tua jika kesemuanya
disatukan.
Secara purata, kira-kira 250 hingga 300 mayat dibakar di sini
pada setiap hari, dari pagi sehingga malam. Namun begitu, roda-roda kehidupan
terus berputar seperti biasa – bunyi hon kenderaan yang tidak pernah sunyi,
lembu dan kambing yang berkeliaran di lorong-lorong kota, kuil-kuil yang tidak
henti menerima kunjungan para penziarah yang mahu beribadah, peniaga-peniaga
jalanan yang memekik-mekik memanggil pembeli, para sadhu yang mencari hakikat, golongan tua yang menanti ajal, jenazah-jenazah
yang hancur meleleh, dan abu mayat yang ditabur ke dalam Sungai Ganges menantikan
reinkarnasi.
Berdiri di hadapan mayat-mayat yang melepuh ditelan api, manusia
menjadi sedar, bahawa hidup di dunia ini hanyalah sebuah perjalanan yang
bermula daripada debu yang akhirnya akan kembali semula menjadi debu.
Kanak-kanak bersembahyang di hadapan Sungai Ganges pada setiap pagi
Upacara penyucian tubuh dan rohani di Sungai Ganges
Apakah mereka benar-benar 'orang suci' ataupun sekadar 'penunggang agama'?
Ting.. tang… ting… tang…, kedua bilah gunting besi beradu dengan pantas sekali, berdentang-denting bergantian di sisi kiri dan kanan telingaku. Sebuah irama yang sudah sekian lama tidak aku dengar, setelah hanya mesin pemotong rambut elektrik yang merajai barbershop pada masa kini.
Dimulai dari rasa rimas yang teramat sangat, menyengat kedua sisi kepalaku yang ditumbuhi oleh rambut-rambut yang semakin hari semakin melebat, aku melangkahkan kaki mencari tukang gunting rambut di hujung pekan. Cukup tersembunyi di balik lorong-lorong sempit tak jauh dari rumah Gobi (host couchsurfing) di Thanjavur, Tamil Nadu, sebuah kedai gunting rambut dengan hanya dua bangku terjajar rapi, dua orang barber, dan dua orang yang pelanggan. Ruangan mungil ini dilengkapi dengan dua buah sinki, nampaknya kepala pengunjung akan ditempatkan ke sinki itu untuk dibasahi sebelum gunting dan pisau cukur menjalankan tugasnya di kepala mereka. Tak nampak satu pun peralatan elektrik di sini, semuanya serba mekanik. Oh, tak lupa juga bunyi bilah-bilah gunting yang terus beradu berdenting-denting.
Ketika tiba giliranku mendapatkan pelayanan, rambutku terlebih dahulu mendapatkan 'siraman' segar dari air yang mengucur deras dari sinki kecil itu. Tak lama kemudian, bilah-bilah gunting rambut yang panjang itu mula beradu sengit menunaikan tugas mereka, yang denting-dentingnya mengingatkanku pada waktu kecilku, dua puluh tahun yang lalu, ketika mama mendorong kepalaku ke depan dan ke belakang sambil menggunting rambutku yang masih lebat. Dan pada saat itu, selalu dengan tak sabar aku bertanya pada mama, “dah ke belum ma? lama lagi ke?”. Bilah-bilah gunting terus beradu, dan mereka bekerja dengan begitu sabar sekali, hingga beberapa ratus hembusan nafasku berlalu.
Kepalaku didorong ke depan, ke belakang, ke kiri, dan ke kanan. Helai-helai rambut berjatuhan, bak daun-daun berguguran menjelang musim luruh di utara negara ini tiba. Dan ketika kira-kira sudah terasa sejuknya udara di kepalaku, manakala rambut-rambut yang menutup sisi kepala itu perlahan-lahan menjarang, si pemotong rambut bermisai lebat itu mengambil sebidang cermin sambil menantikan aku mengangguk-anggukkan kepala. Kemudian, kedua tangannya dikatupkan, disertakan dengan hentaman keras memijat-mijat kulit kepalaku. Sakit dan pening yang aku dapat rasakan. Namun aku tahu, banyak pengunjung yang datang ke sini hanya untuk merasakan hentaman dan pijatan itu.
"Wokey anne.. Fifty rupee. Sudah selesai, abang. 50 rupee." Si pemotong rambut ini mengakhiri tugasnya sambil menanti wang bayaran yang bakal aku hulurkan.