Para pengemis menyambut kedatanganku di perkarangan makam.
Pemilik restoran bersahut-sahutan memanggil, memintaku untuk membeli kupon dan memberi makan kepada para kaum fakir.
Laki-laki berkopiah putih berkeliaran ke sana ke mari, mengenakan pakaian kurta
longgar hingga ke lutut, berpadu dengan seluar hingga ke mata kaki. Para wanita yang berjubah hitam pekat hanya menampakkan segaris pandangan mata.
Mendekati kawasan makam Hazrat Shaikh Khwaja Syed Muhammad Nizamuddin Auliya atau lebih terkenal sebagai Hazrat Nizamuddin, jalanan
semakin sempit seiring dengan deretan kedai yang menampal di kedua sisi. Ramai
penjual pajangan kaligrafi, buku dan kitab islamik, kurma, bunga hingga dupa.
Berbeza dengan tradisi negara kita yang menggunakan pelbagai variasi bunga
ketika berziarah, mulai bunga mawar, melati dan kenanga, namun di sini hanya
menjual bunga mawar yang dirangkai menyerupai kalung atau diletakkan di atas
piring yang terbuat daripada daun.
Tak hanya bunga. Para penziarah turut membawa dupa dan chaddar;
kain berwarna yang dibingkai dengan renda kuning keemasan. Deretan chaddar ini
tergantung di kedai-kedai. Di tengahnya bertulis lafaz dalam tulisan Urdu, mirip
dengan tulisan jawi. Tak kurang juga yang bertuliskan lafaz Basmallah dan
Syahadah. Sungguh kain ini mengingatkan aku dengan kain penutup keranda yang
membawa jenazah di negara kita.
![]() |
Hazrat Nizamuddin Dargah |
Di sini, denyut jantung kebudayaan dan tradisi sufisme
bervibrasi kuat. Seorang lelaki mengalunkan syair dan puisi, diselingi alunan muzik harmonika dan tabla yang dimainkan rakan-rakannya. Mereka
duduk bersenandung berkiblatkan makam seorang wali Allah. Tradisi muzik pemujaan kepada Sang Khaliq dan
salam hormat kepada para sufi ini dinamakan qawwali. Ia sangat popular di negara-negara
Asia selatan, seperti India, Bangladesh dan Pakistan. Para pemuzik duduk
bersila di atas lantai, berjajar dalam dua baris. Di baris depan, di hadapan
mikrofon, ada penyanyi utama dan pemain harmonium – alat muzik seakan organ
kecil yang bunyinya dihasilkan oleh paip udara yang mengembang dan mengempis
seperti akordion. Di barisan belakang, juga duduk bersila, adalah penyanyi
pengiring yang bertepuk tangan. Tepuk tangan, bersama tetabuhan gendang, adalah
bahagian penting dalam sajian muzik qawwali.
Menurut buku Among the Believers tulisan peraih anugerah
nobel sastera V.S. Naipaul yang pernah aku baca, Islam di Asia selatan adalah campuran kebudayaan yang pra-Islam, termasuk India tentunya. Di sini hidup spiritual sufisme berdaya mistik, yang merupakan detak jantung Islam di India, Pakistan, Bangladesh, hingga ke negara-negara Asia tengah. Islam yang mula-mula hidup subur di belahan tanah besar ini adalah sufisme, dan hingga sekarang masih nampak wujudnya.
Di antara kebiasaan yang tidak Islamik yang bercampur dengan
kehidupan Islamik adalah tradisi berkunjung, berziarah, dan berdoa di makam-makam
orang suci. Makam para sufi atau wali ini disebut dargah, tempat bersemayamnya
Hazrat Syed Muhammad Nizamuddin Auliya, seorang muslim sunni merangkap
guru sufi yang masyhur sekitar abad ke 14, adalah salah satu ikon kota Delhi
yang dikunjungi ramai orang terutama pada hari Khamis dan ‘Urs’ (peringatan
hari kematian) sang hazrat.
![]() |
Para wanita yang mengunjungi makam |
Aku tidak melihat bagaimana ramainya peringatan Urs di sini,
tetapi aku terhanyut dalam alunan muzik mistik ini. Qawwali adalah alunan muzik
Islamik yang berakar dari kebudayaan India dan Pakistan. Tradisi yang bermula
sejak 7 abad silam ini diadakan di hadapan dargah. Namun menurut Abdul Mannan, seorang pemuda yang baru aku temui di sini mengatakan bahawa tradisi qawwali ini sebenarnya berasal dari Parsi (Iran dan
Afghanistan ketika ini) sejak 800 tahun yang lalu. Ketika Islam masuk ke tanah
Hindustan, tradisi ini semakin merambah Asia selatan. Kemudian seorang Sufi di
Delhi bernama Amir Khusro Dehlavi menggabungkan tradisi muzik Parsi dan India lalu
terciptalah tradisi qawwali yang kita kenal hingga saat ini. Nama rasmi bagi
tradisi ini adalah Mehfil-e-sama.
Kebanyakan lagu qawwali menggunakan bahasa Urdu, bahasa
kebangsaan negara Pakistan yang turut digunakan oleh sebahagian besar penduduk
Muslim India. Urdu adalah gabungan antara bahasa Hindi dan Parsi. Lagu qawwali pula
berupa bait-bait puisi yang secara implisit memiliki makna spiritual, meskipun
adakala liriknya terdengar seperti lirik lagu sekular. Namun tema utamanya
adalah tentang kecintaan, pengabdian dan kerinduan seorang hamba kepada Rabb nya.
Liriknya diawali dengan pujian kepada Allah dan kemudian disusul dengan selawat
kepada Nabi Muhammad dan dilanjutkan dengan lagu bertemakan cinta yang biasa
dikenal dengan ghazal.
Di makam, aku melihat para penziarah membakar dupa dan memasuki
kawasan batu nisan. Nisannya dikelilingi tembok dan kayu menerawang. Penziarah
kemudiannya menutupkan chaddar di atas batu nisan dan menebarkan bunga. Berdoa
dan dilanjutkan lagi dengan berjalan perlahan mengelilingi makam. Di India, wanita
tidak diperbolehkan mendatangi perkuburan umum, tapi dibolehkan mendatangi
makam wali atau sufi. Itupun digarisbataskan dengan hanya di luar
tembok yang memagari batu nisan tersebut. Para kaum hawa membaca kitab Al
Quran dengan khusyuk. Duduk bersimpuh sambil badannya melambai maju dan mundur. "Membaca Al Quran seperti ini adalah kebiasaan bagi orang India," terang Abdul Mannan.
![]() |
Kaum wanita hanya dibolehkan berada di luar makam |
Di tembok pula melilit ratusan bahkan ribuan benang merah
yang seakan benang wool menandakan sebuah ikatan antara penziarah dengan wali Allah.
Penziarah yang datang ke sini tidak hanya daripada kalangan kaum muslim, tetapi juga
penganut Hindu dan agama lain. Mereka percaya bahawa kedatangan ke makam wali dapat
mendatangkan berkah dan menyembuhkan penyakit, dan segala permohonan akan
dikabulkan.
Aku menangkap beberapa lirik bahasa Urdu seperti “datanglah kekasih hatiku, datanglah…” atau “Tuhanku yang tercinta, di manakah engkau?”, atau “Allah hi Allah bol, hanya ucapkan nama Allah!” Dalam tradisi sufi, Tuhan digambarkan sebagai sang kekasih hati. Syair qawwali, isinya membangkitkan kecintaan pada Tuhan, kadangnya melantun panjang memerlukan kekuatan pita suara yang luar biasa, dan kadangnya rancak, cepat, dinamik dengan iringan tepukan tangan yang serentak.
![]() |
Para pemuzik dihujani wang tanpa henti |
Ekstasi spiritual, demikian ia disebut. Muzik ini mempunyai daya hipnotis yang luar biasa. Lagu-lagu qawwali berisikan pemujaan berpadu dengan kata-kata yang merasuk sukma. Tak jarang para pendengarnya boleh terkhayal dan terasuk kebahagiaan yang tiada tara mendengar keagungan dan kebesaran asma Allah. Tanpa sedar, para pendengar boleh menggeleng-gelengkan kepala tanpa henti ketika semakin larut dalam kedahsyatannya. Ada lelaki tua berjanggut yang serta merta berdiri, berputar-putar di depan penyanyi, semakin lama semakin cepat, terlarut dalam kebahagiaan spiritual yang tiada duanya. Pengunjung yang lain, masing-masing membawa not kertas rupee, menghujani para pemuzik dengan tompokan wang tanpa henti.
Tak perlu faham dengan maksud dan kata-kata di dalam lagu qawwali. Alunan nadanya sudah menggemakan kekuatan spiritual yang tak terhingga. Tengah malamnya, di kuburan seorang suci di kota Delhi, aku menyaksikan kekuatan muzik sufi yang lebih dahsyat lagi.