Karachi: Antara Kemegahan dan Kekacauan


Mazar-e-Quaid, makam Muhammad Ali Jinnah, menjadi landmark kota Karachi

 

Karachi, metropolis yang terletak di pesisir Laut Arab, pernah menjadi ibu kota republik baru ketika Pakistan lahir ke peta dunia. Walaupun kini ia tidak lagi berfungsi sebagai ibu kota, Karachi masih memainkan peranan utama sebagai pusat perindustrian dan komersial negara, di mana terletaknya dua pelabuhan terbesarnya – Pelabuhan Karachi dan Pelabuhan Ibn Qasim. Di kota inilah, pengasas Pakistan, Muhammad Ali Jinnah, dilahirkan dan dikebumikan, menandakan signifikan sejarah yang tidak dinafikan. Dikenali sebagai ‘Kota Cahaya’ (The City of Light) sejak tahun 1960-an kerana kehidupan malamnya yang gemerlap, Karachi hari ini adalah sebuah kota yang mempertemukan sejarah, budaya, dan realiti kehidupan yang kompleks.

 

Sebagai ibu kota pertama Pakistan ketika negara ini berpisah dengan India pada tahun 1947, Karachi menyaksikan gelombang besar penghijrahan penduduk, terutama kaum Muhajir, iaitu imigran Muslim dari India. Dari sebuah kota yang asalnya dihuni oleh orang Sindhi, Karachi kini telah berkembang menjadi bandar kosmopolitan yang dihuni oleh pelbagai kaum seperti Pashtun dari Afghanistan, Rohingya dari Burma, dan komuniti Parsi pasca revolusi di Iran. Demikian pula kepebagaian komuniti – dari Protestan, Katolik, Sikh, Hindu, Ahmadiyah, hingga Yahudi dan Majusi – hidup bersama dalam keharmonian yang tidak dapat ditemui di tempat lain. Dengan populasi yang melonjak dari 450,000 kepada lebih 18 juta, bandar ini menjadi kuali percampuran bangsa, bahasa, etnik, dan agama yang unik, tetapi juga menanggung pelbagai isu sosial dan politik.

 

Clifton Beach, pantai paling sibuk di Karachi

  
Kesesakan di kota moden


Wajah Kota yang Beragam

Dari kaca mata aku, Karachi adalah bandar penuh kontras. Pada satu sisi, ia menampilkan kemegahan Menara Bahria, bangunan tertinggi di Pakistan yang mencakar langit sebagai simbol kemodenan dan kemajuan. Pada sisi lain, penempatan setinggan yang luas menjadi tempat perlindungan bagi ribuan penduduk yang bergelut dengan kemiskinan dan kehidupan serba kekurangan.

 

Salah satu tarikan utama Karachi adalah Clifton Beach, pantai yang sering dikunjungi penduduk tempatan untuk bersiar-siar dan menikmati pemandangan laut. Keunikannya terletak pada unta yang ditawarkan kepada pelancong untuk ditunggangi, satu hal yang jarang ditemui di pantai lain di dunia. Namun, pantai ini bukanlah tempat untuk berenang atau berjemur seperti di Bali, kerana budaya setempat yang masih konservatif dalam hal berpakaian. Clifton Beach mengingatkan aku dengan Marina Beach di Chennai, India kerana dataran pasirnya yang luas, walaupun tidak begitu cantik namun tetap memiliki daya tarik tersendiri.

 

Kontras yang hidup bersama


Kehidupan di sini tak mudah


Kawasan Saddar yang sibuk menawarkan bazar yang meriah, penuh dengan jualan pakaian, makanan, telefon pintar, dan burung peliharaan. Bangunan-bangunan kolonial dari era pemerintahan British masih berdiri di sini, mencerminkan jejak sejarah yang tersisa di tengah hiruk-pikuk kota moden. Ironinya, banyak bangunan moden di sini terbengkalai atau mengalami masalah struktur, menyebabkan ada yang terpaksa dirobohkan walaupun masih baru dibangun.

 

Tidak jauh dari Saddar, di Clifton, terletaknya rumah keluarga Bhutto, salah satu keluarga paling berpengaruh dalam sejarah politik Pakistan. Rumah itu berdiri megah seperti istana, berbeza jauh daripada apartmen-apartmen usang yang banyak terdapat di bandar ini.

 

Bahria Tower, bangunan tertinggi di Pakistan

Bangunan zaman kolonial menjadi penghias kota terbesar Pakistan


Konflik dan Cabaran Kota Metropolitan

Di sebalik kemajuan dan kepelbagaiannya, Karachi juga menghadapi pelbagai cabaran. Masalah konflik etnik, ketegangan mazhab, dan keganasan politik masih menghantui kota ini. Pada tahun 2014, Karachi pernah tersenarai sebagai bandar ke-6 paling berbahaya di dunia, dengan kadar jenayah yang tinggi. Namun, usaha pihak berkuasa seperti Pakistan Rangers dalam membanteras penjenayah dan kumpulan militan telah berjaya meningkatkan keselamatan, menjadikan Karachi melonjak ke kedudukan 115 dalam senarai bandar paling berbahaya pada tahun 2021.

 

Selain itu, isu bekalan elektrik yang kerap terputus, infrastruktur yang usang, dan sistem pengurusan bandar yang lemah turut menambah kesulitan hidup penduduk. Apartmen dengan nama gah seperti Glamour Residence atau City View sering kali tidak mencerminkan kemewahan seperti namanya, malah berdepan dengan masalah seperti lif rosak dan kebocoran air yang berterusan. Lif sering kali hanya dibaiki apabila kedua-duanya rosak sepenuhnya, menambahkan lagi keperitan para penghuni.

 

Di tengah pembangunan yang pesat, Karachi juga berdepan dengan masalah pengurusan sampah. Sungai-sungainya tercemar, gunungan sampah memenuhi jalanan, dan kanak-kanak dari penempatan slum terpaksa bekerja sebagai pemungut sampah untuk menyara kehidupan. Ini adalah sisi gelap Karachi yang jarang diceritakan.

 

Mohatta Palace, sebuah istana lama yang kini menempatkan sebuah muzium dengan pameran seni moden


Frere Hall, sebuah bangunan Kolonial British yang kini menempatkan galeri seni dan perpustakaan

Kontras yang Mengagumkan

Karachi adalah kota yang penuh dengan paradoks. Ia adalah tempat di mana gadis-gadis berpakaian moden berjalan beriringan dengan wanita yang masih terkurung burqa. Ia adalah bandar di mana Masjid dan Gereja Parsi berdiri bersebelahan tanpa sebarang konflik. Ia adalah kota yang menggabungkan kemegahan seni bina kolonial bersama ketidakteraturan kota moden.

 

Di satu sudut, Karachi boleh menjadi bandar penuh kebebasan dan keterbukaan, dengan kafe-kafe hipster yang dipenuhi anak muda yang merokok dan berbincang tentang politik atau seni. Namun, di sudut yang lain, terdapat kawasan yang dikuasai puak konservatif di mana peraturan ketat dikenakan terhadap wanita dan minoriti.

 

Di tengah kekacauan dan keindahan yang bercampur-baur, Karachi tetap berfungsi sebagai tunjang ekonomi Pakistan. Ia bukan hanya sebuah metropolis, tetapi sebuah kisah hidup yang terus berkembang. Siapa saja yang tidak terkesima dengan gabungan kemewahan, kesesakan, keganasan, dan harapan yang membentuk wajah Karachi? Bagi pengembara yang ingin melihat Pakistan dari sudut yang lain, Karachi adalah kota penuh kejutan yang akan menghantarkan anda ke dalam paradigma kembara yang baru.

 

Aku sempat bertemu Adil Shah, seorang pegawai biro pelancongan Wilayah Sindh

 
Burns Road, food street kota Karachi, tempat segala macam makanan Pakistan boleh didapati

Keindahan matahari terbenam di hujung bumi Pakistan



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!