![]() |
Kurang
daripada sebulan lagi umat di seluruh dunia akan merayakan Hari Raya Aidil
Adha. Aidil Adha juga disebut sebagai Hari Raya Qurban, kerana pada hari raya
tersebut umat Islam dianjurkan untuk menyembelih haiwan qurban.
Kata qurban sendiri berasal
daripada perkataan qaruba-yaqrubu-qurbanan
yang berarti hampir, dekat, atau mendekati. Dalam bahasa Arab kata qurban
disebut udhiyyah. Kata udlhiyyah merupakan bentuk jama’ dari
kata dlahiyah yang berarti binatang
sembelihan, juga disebut nahr (ibadah
qurban).
Sebagaimana yang kita sedia
maklum bahawa berqurban itu merupakan suatu tuntunan syariat kepada umat Islam,
ibadah ini juga turut memiliki beberapa hikmah. Hikmah yang pertama adalah,
qurban merupakan suatu bentuk ungkapan syukur kepada Allah yang telah memberikan
nikmat yang terlalu banyak kepada kita.
Kedua, bagi orang yang
beriman kepada Allah, dapat mengambil pelajaran daripada kisah keluarga nabi
Ibrahim AS, iaitu: kesabaran nabi Ibrahim dan puteranya Ismail AS ketika kedua-duanya
diminta untuk menjalankan perintah Tuhannya. Nabi Ibrahim juga mengutamakan
ketaatan kepada Allah dan mencintai-Nya lebih daripada mencintai diri sendiri
dan anaknya.
Ketiga, qurban juga sebagai
realisasi ketakwaan seseorang kepada Allah. Keempat, dengan berqurban kita dapat
membangunkan kesedaran tentang keprihatinan terhadap sesama saudara seiman,
terutamanya orang-orang miskin yang kurang berkemampuan.
Allah SWT berfirman:
“Berilah
makan kepada orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak
meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan
unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah
al-Hajj: 36)
Tahun lepas aku bersama 14 orang rakan-rakan sosial media berhasil berkongsi wang dan menyumbangkan 2 ekor lembu bersama seekor kambing buat warga miskin di desa Odigram, Lembah Swat. Terima kasih aku ucapkan kepada anda semua yang sudi berbagi (anda tahu anda siapa). Untuk tahun ini, aku ingin mencari lagi sesiapa yang berminat untuk berkongsi sedikit wang bagi membeli binatang sembelihan sekaligus menjalankan ibadah qurban di sana.
Seperti yang anda tahu, Pakistan adalah negara miskin di
Asia selatan yang telah mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi sejak tahun lalu.
Tahun ini, situasi di sana mungkin beransur pulih sedikit demi sedikit setelah program
vaksinasi mula dijalankan, namun sosioekonomi di kawasan-kawasan luar bandar
seperti Odigram justeru semakin merosot dan ramai penduduk yang mendadak miskin
dan aku kira, mereka lebih memerlukan sumbangan daging yang jarang sekali dapat
dirasai.
Oleh itu, aku sangat
mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berbesar hati untuk menyertai program qurban
tahun ini yang bakal dijalankan di tempat yang sama seperti tahun lalu. Segala perkara
yang berkaitan qurban akan diamanahkan kepada keluarga Jalal Uddin, kepala desa
yang aku pernah ceritakan pada siri ke 19 Backpacking Pakistan.
Akhir kata, ibadah qurban sesungguhnya
adalah sedekah yang lebih baik jika dibandingkan dengan sedekah menggunakan
wang tunai. Kerana setelah haiwan qurban disembelih atas nama Allah, sedekah
yang terbaik adalah dengan mengagihkan daging qurban tersebut untuk
saudara-saudara Islam yang lain.
Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan