Backpacking Pakistan 34: Gilgit-Baltistan

 

Gilgit terletak di antara beberapa pemandangan gunung yang paling dramatik di dunia

22 Mac 2020

Jarak dari Abbottabad menuju kota Gilgit di utara hanya sejauh 386 kilometer. Akan tetapi seperti halnya perjalanan lain di Pakistan yang penuh dengan liku-liku petualangan, tempoh perjalanan kami telah memakan masa sepuluh jam lebih.

Gilgit adalah ibu kota bagi wilayah Gilgit-Baltistan. Kota ini terletak di lembah yang luas berdekatan dengan pertemuan Sungai Gilgit dan Sungai Hunza, yang merupakan salah satu dari dua kota penghubung utama di Northern Areas untuk melakukan ekspedisi ke banjaran Himalaya. Kota yang lain ialah Skardu. Para trekker dan pendaki yang menuju ke pergunungan Karakoram mahupun Himalaya akan singgah di Gilgit terlebih dahulu. Kebanyakan orang biasanya memilih untuk pergi ke Gilgit melalui jalan udara, kerana perjalanan darat dari Islamabad ke Gilgit yang melalui Lebuhraya Karakoram harus ditempuhi setidaknya antara 14 hingga 24 jam, sedangkan perjalanan udara hanya mengambil masa selama 45 hingga 50 minit.

Dikisahkan, kira-kira satu milenium yang silam, lembah ini pernah menjadi pusat utama bagi agama Buddha, di mana agama ini menyebar dari Asia Selatan ke seluruh penjuru Asia. Ia dianggap sebagai koridor Buddhisme kerana ramai sami Cina yang datang ke Kashmir untuk belajar serta mengajarkan agama Buddha. Selain itu, ia juga merupakan perhentian penting bagi Jalan Sutera kuno di mana nama Gilgit pernah disebut dalam catatan perjalanan pengembara lagenda Tang Xuanzang.


Monumen persahabatan yang dibangun di persimpangan Lebuhraya Karakoram

Hari ini, Gilgit berfungsi sebagai persimpangan utama Lebuhraya Karakoram yang bersambung ke kota Kashgar di Xinjiang serta bandar-bandar lain Pakistan termasuk Skardu, Chitral, Peshawar, dan Islamabad. Kegiatan ekonomi bandar ini pula tertumpu kepada pertanian, dengan gandum, jagung, dan barli adalah penghasilan utama bagi tanaman penduduk di sini.

Wilayah yang sejuk ini adalah entiti politik paling utara di Pakistan. Ia berbatasan dengan Khyber-Pakhtunkhwa, Koridor Wakhan di Afghanistan, Xinjiang di China, dan Jammu Kashmir di India. Selama di Gilgit, aku tinggal di rumah seorang rakan Couchsurfing merangkap seorang pegawai bank bernama Zamin Haidir, yang terletak di pinggir kota.

Zamin sebenarnya adalah penganut syiah aliran Jaafari, yang sama sekali berbeza dengan orang Ismaili yang mendominasi daerah Chitral. Gilgit-Baltistan adalah satu-satunya wilayah yang dihuni oleh majoriti orang Syiah dengan 80% penduduknya merupakan Syiah Jaafari, 10% daripadanya pula orang Ismaili, manakala 10% lagi adalah pengikut Sunni yang merangkumi kedua-dua aliran Deobandi (jamaah tabligh) dan Barelwi (ahli sunnah) yang berpegang kepada mazhab Hanafi.

Jaafar as-Sadiq adalah imam keenam bagi pengikut syiah. Selepas kewafatannya, orang syiah mula berbeza pendapat tentang siapa yang akan menjadi imam setelahnya kerana Jaafar memiliki dua orang putera. Lalu lahirlah aliran Ismaili apabila sebilangan orang syiah memilih untuk mengikuti Ismail ibn Jaafar manakala yang selebihnya pula mengangkat Musa al-Kadhim sebagai imam ketujuh. Jaafar as-Sadiq juga turut dihormati oleh orang Sunni kerana riwayat yang menyatakan bahawa beliau pernah menjadi guru bagi Abu Hanifa (pendiri mazhab Hanafi) dan Malik bin Anas (pendiri mazhab Maliki).

Kehidupan di desa tempat tinggal Zamin berjalan sederhana. Pagi hari, selepas Zamin keluar bekerja, aku hanya melewatkan masa beristirehat di halaman rumah sambil membaca buku dan menghirup teh hijau hangat yang disediakan ibunya. Ada daya magis luar biasa yang aku rasakan di sini. Barisan gunung tinggi seakan memancarkan udara murni untuk bernafas. Di sini tak perlu kita bicara tentang pencemaran dan pemanasan global. Kenyamanan Gilgit justeru menjadikan aku malas. Siapa saja yang tak menjadi malas apabila menikmati kehidupan tanpa hingar-bingar, keluh-kesah, dan kemorat-maritan dunia? Siapa pula yang tak terbius dengan keindahan nirmala gunung-ganang Himalaya dan Rakaposhi? Di sini yang berkuasa hanyalah nyanyian bisu barisan pergunungan yang bergema hingga ke relung hati. Satu jam.. Dua jam... Aku terbang bersama waktu.


Bersama anak lelaki Zamin yang berusia 2 tahun

Daripada terus terpana oleh daya pukau gunung-gunung itu, aku memilih untuk keluar menjelajahi kota Gilgit. Seperti biasa, keramahtamahan khas warga Pakistan yang aku temui di jalanan bukan lagi sesuatu yang mengejutkan selepas berbulan-bulan aku berjalan di negara ini. Undangan minum teh memang tak pernah berhenti ditawarkan oleh orang-orang samada dari pejalan kaki, pengusaha hotel, mahupun pemilik warung.

Pukul 13:00, aku singgah di sebuah restoran untuk makan tengah hari. Di restoran ini aku berjumpa dengan Tim dan Lauren, pasangan dari Belanda yang mengembara di Pakistan menggunakan sebuah jeep yang dipandu langsung dari negaranya menuju India. Ketika bertemu aku, pertanyaan yang pertama yang keluar dari mulut Tim adalah, "Is the Wagah border still open?" Mereka sebenarnya sudah mulai khuatir sekiranya tidak dapat menyeberang ke India kerana baru-baru ini pemerintah Pakistan sudahpun mengambil langkah menutup pintu ke Iran di perbatasan Taftan demi mengekang penularan wabak coronavirus.

Pasangan ini baru saja datang dari Hunza setelah melewatkan beberapa hari di sana, dan sekarang menuju ke Abbottabad, lalu ke Islamabad, dan ke Lahore.

Sebaik mengetahui aku dari Malaysia, Lauren menjadi sangat teruja.

"Wow! I love your country very much!" serunya.

Dia masih terkenangkan betapa damainya ‘syurga’ di Pulau Tioman, beberapa tahun lalu. Aku seakan tak percaya tatkala mendengarkan nama Pulau Tioman disebut di dalam sebuah restoran dekat utara Pakistan. Kemudian dia sibuk menceritakan betapa indahnya pergunungan Karakoram dan Pamir yang perkasa dengan jubah putih yang menjuntai dari puncak hingga ke lereng di Lembah Hunza. "You should go there, it’s fantastic!"

Luar biasa, gunung-gunung yang berpuisi, aliran sungai yang memahat, dan hamparan padang hijau yang mewarnai. Hari-hari yang mereka lalui serasa terbang di hadapan puncak-puncak tirus pergunungan ‘katedral’ Passu yang menjulang ke langit dan Lembah Hunza bersalju, ditemani dudhpatti – teh susu panas, roti chapati, dan seplastik aprikot kering.

Dari cerita menggebu-gebu pasangan Belanda inilah aku mulai meraba bayang-bayang Hunza. Ya, daerah tetangga itu hanya berjarak 100 kilometer di sini.

Kami mengucapkan salam perpisahan sekitar pukul 15:30, apabila Tim dan Lauren mula meminta diri untuk meneruskan perjalanan mereka menuju ke Abbottabad di selatan. Di luar restoran, terpampang barisan huruf-huruf gergasi yang berdiri sejajar membentuk sepotong ayat tipikal seperti di kota-kota lain seluruh dunia.

"I LOVE GILGIT". Itulah tanda ungkapan yang dibangun oleh pihak pentadbiran tempatan untuk menunjukkan semangat patriotisme terhadap wilayah ini. 

(bersambung)


Ukiran batu Buddha di Gilgit, membuktikan agama ini telah bertapak di sini sejak sekian lama

Dumpling atau manto, adalah makanan popular di daerah ini

Kota Gilgit

Aktiviti berjabat tangan sudah dilarang sejak coronavirus mula menular di Gilgit-Baltistan

Tanda patriotisme

Pejabat pos besar Kota Gilgit



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!