Kalash Valley adalah sebuah lokasi eksotik di Pakistan utara yang terletak di barat
Chitral. Ia terletak berhampiran dengan perbatasan Afghanistan dan
masih cukup berbahaya untuk menuju ke sini disebabkan banyak aktiviti
‘bawah tanah’ yang dilakukan di tengah jalan oleh para penjahat dan oknum
pejuang Afghan. Maka oleh kerana itu, menuju ke Kalash memerlukan kita
untuk mengeluarkan sedikit ‘wang keamanan’ untuk pihak polis atas tentera
Pakistan bagi menjaga keselamatan para pengunjung.
Di Lembah Bumburet, aku menginap di sebuah desa yang bernama Krakal. Cuaca awal pagi di desa yang dikepung oleh barisan pergunungan Hindu Kush ini begitu membekukan.
Aku menggigil kedinginan walaupun tungku api tak pernah berhenti menyala. Kayu
api dari pokok oak adalah bahan bakar utama tungku yang tersambung dengan
cerobong asap berjelaga.
Daripada hanya berdiam diri di
rumah, Hakeem mengajak aku berkeliling ke desa-desa lain di Lembah Bumburet.
Selain Krakal, ada desa Batrik, Brun, dan Anish yang menarik untuk dikunjungi
bagi melihat sendiri kehidupan suku kalash yang juga disebut Waigali atau Wai.
Suku ini merupakan keturunan asli daripada kumpulan Dardic. Mereka bertutur
dalam bahasa Kalasha, salah satu bahasa daripada bahasa keluarga Dardic cabang
Indo-Aryan dan dianggap unik di kalangan orang Pakistan. Mereka juga dianggap
sebagai kumpulan etnik agama terkecil di negara ini, yang menganut agama yang
disifatkan oleh beberapa penulis dan ahli akademik lain sebagai bentuk
animisme, iaitu sebuah kepercayaan kepada makhluk halus dan roh yang dipercayai
merupakan asas kepercayaan agama yang mula-mula muncul dalam kalangan manusia
primitif purba kala.
Istilah ini juga digunakan untuk merujuk kepada banyak suku yang berbeza termasuk Vai, Cima-nisei, Vanta, serta penutur Ashkun dan Tregami. Kalash dianggap sebagai penduduk asli benua Asia, melalui penghijrahan nenek moyang mereka ke Lembah Chitral dari suatu lokasi lain yang mungkin lebih jauh di bahagian selatan, yang disebut orang Kalash sebagai ‘Tsiyam’ dalam lagu dan dongeng rakyat mereka. Sebilangan tradisi Kalash menganggap orang Kalash adalah pendatang atau pelarian. Mereka juga dianggap cabang beberapa keturunan orang asing, seperti orang Gandhari dan orang-orang India di timur Afghanistan. Berdasarkan analisis pergeseran genetik, orang Kalash mungkin merupakan keturunan migran penghuni Eurasia utara, sekaligus antara pendatang terawal dari Asia Barat ke Asia Selatan.
Afghanistan hanya terletak di balik gunung |
Wanita Kalash |
Suku Nuristani yang menghuni
wilayah Nuristan (dulunya dikenali sebagai Kafiristan) di timur Afghanistan pernah
mempunyai budaya yang sama serta mengamalkan kepercayaan yang serupa yang
dipegang oleh suku Kalash walaupun terdapat beberapa perbezaan. Pencerobohan
Islam pertama di wilayah mereka tercatat dalam sejarah oleh sang penakluk,
Mahmud Ghaznavi pada abad ke-11 sementara keberadaan mereka sendiri pertama
kali dibuktikan pada tahun 1339 ketika pencerobohan Timur Lenk. Suku Nuristani
telah memeluk agama Islam pada tahun 1895–96, walaupun beberapa bukti
menunjukkan ada sebilangannya yang masih mengamalkan adat budaya mereka. Namun
suku Kalash di Chitral masih lagi mengekalkan tradisi mereka yang tersendiri sehingga
kini.
“Di masa lalu asalnya mereka
tidak tinggal di lereng gunung, tapi di dataran dekat sungai,” terang Hakeem,
“tapi disebabkan pernah terjadi banjir besar, rumah mereka musnah dan
akhirnya terpaksa berpindah naik sampai ke lereng gunung dan membangun penempatan baru
menggunakan kayu-kayu.”
Penduduk Kalash sangat baik
dan menyambut hangat para pengunjung yang datang. Yang menarik adalah
kebanyakan wanitanya semua mengenakan pakaian berwarna warni dari hujung kepala sampai ke mata kaki.
“Di sini memang umumnya
wanita, kalau pun ada lelaki, mereka sudah tua dan cuma melewatkan hari di
rumah saja. Lelaki muda semuanya berhijrah ke kota besar di Pakistan untuk
mencari wang. Dikumpulkan dan dibawa pulang untuk menyara keluarga kemudian
kembali ke kota semula,” tambah Hakeem lagi.
Lembah Kalash dianugerahkan
dengan tanah yang subur, meliputi lereng pergunungan yang dipenuhi pokok
oak dan membolehkan pertanian intensif dilakukan, walaupun sebahagian besar orang-orang di sini masih menggunakan kaedah tradisional. Sungai Kunar yang mengalir
melalui lembah ini dimanfaatkan untuk menggerakkan kincir air bagi menyiram tanaman melalui penggunaan saluran pengairan yang efektif.
Gandum, jagung, anggur, epal, aprikot dan walnut adalah antara tanaman yang
diusahakan di lembah ini, bersama beberapa lagi tanaman yang digunakan untuk
memberi makan haiwan ternakan.
Suku Kalash memproduksi
minuman anggur (wine) untuk diminum
sendiri disamping juga menjualnya bagi menunjang kehidupan harian. Justeru, pokok anggur kebanyakannya ditanam di sekitar rumah mereka. Selain meminum wine, mereka juga memakan daging kambing
sebagai makanan ruji dan sayur-sayuran serta jagung yang banyak tersimpan di
dalam stor penyimpanan makanan di bawah rumah mereka sebagai stok makanan.
“Ketika salji lebat di musim sejuk, mereka sukar untuk keluar rumah. Jadi mereka hanya perlu mengambil
dari stok jagung yang tersimpan di bawah rumah untuk dimasak,” terang Hakeem.
Budaya orang Kalash adalah
unik dan berbeza dalam banyak hal berbanding etnik Islam kontemporari yang
mengelilingi mereka di Pakistan utara. Mereka dianggap
orang-orang musyrik kerana alam semula jadi memainkan peranan yang begitu signifikan dan
spiritual dalam keseharian mereka. Sebagai bahagian daripada tradisi
keagamaan mereka, haiwan korban akan ditawarkan dan festival diadakan sebagai bentuk ucapan terima kasih ke atas sumber daya yang melimpah di ‘Kalasha Desh’ (tiga lembah Kalash) yang
memiliki budaya yang berbeza, iaitu Lembah Rumbur, Bumburet,
dan Birir. Lembah Birir adalah yang paling tradisional sekaligus konservatif di antara kesemuanya.
Mitologi dan cerita rakyat
Kalash juga sering dibandingkan dengan dongeng Yunani kuno, tapi sebenarnya mereka lebih dekat
dengan tradisi Indo-Iran (pra-Zoroastrian-Veda). Kalash telah memikat para
antropologi kerana budaya mereka yang begitu unik berbanding wilayah lain.
“Perempuan Kalash cantik sekali,
bola matanya yang berwarna biru bahkan membuat mereka semakin cantik,” kata aku
bersenda.
“Ya, ramai pengunjung dari luar pun berkata begitu,” jawab Hakim, “tapi kalau kamu tanya saya wanita mana yang
tercantik di Pakistan, saya akan jawab wanita Pashtun.”
Penjelasan Hakeem itu
membuat aku teringat kepada Shah Hussain, pemuda yang aku kenali di Mardan. Dia
pernah memberitahuku bahawa tidak ada wanita dari berbagai bangsa di Pakistan
yang dapat mengalahkan kecantikan wanita Pashtun. Bahkan wanita dari Kashmir
sekalipun. Namun begitu, menurut hukum dan tradisi orang Pathan, kecantikan
bukan untuk dipamer. Oleh sebab itulah wanita Pashtun sentiasa terkurung
burqa dan hampir mustahil sama sekali untuk terlihat oleh lelaki asing.
DIJAUHKAN
DARI KELUARGA
Pada umumnya wanita Kalash
sangat sihat dan kuat. Namun apa yang lebih menarik, saat datang bulan ataupun hamil, mereka harus meninggalkan rumah dan akan diisolasikan di satu
penempatan khusus, yang disebut bashalini,
sekaligus dijauhkan daripada anggota keluarganya. Terdapat sebuah bashalini di setiap desa untuk menempatkan gadis-gadis
yang sedang datang bulan, dan juga bagi wanita yang hamil. Penghuni bashalini terikat dengan aturan yang sangat ketat, sesuai dengan adat dan kepercayaan orang Kalash. Bahkan kaedah memberi
makanan kepada mereka pun tidak boleh melibatkan sebarang sentuhan.
Bashalini, penempatan khusus buat gadis yang menginjak remaja dan wanita hamil |
Si gadis yang sedang
diisolasikan akan dipanggil ke luar, lalu makanan yang
mahu diberikan akan diletakkan di halaman bashalini, kemudian diambil sendiri oleh gadis tersebut. Aktiviti harian mereka di bashalini adalah menjahit pakaian sendiri dengan mengait bebenang pelbagai berwarna, simbolik kepada kecerahan hidup dan semangat hidup wanita Kalash.
Sementara itu, pakaian
lelaki Kalash hanya biasa-biasa saja seperti pakaian lelaki Pakistan lain umumnya –
shalwar kamiz yang sederhana disamping topi pakol yang
beratap datar dengan bulu burung menyembul di salah satu hujungnya. “Ini adalah
gaya signifikan topi pakol Chitral,” terang Hakeem, “kamu takkan dapat lihat gaya
seperti ini di mana-mana wilayah lain di Pakistan.”
PERAYAAN
Tiga festival utama di Lembah
Kalash adalah Chilam Joshi pada pertengahan Mei, festival Uchau pada musim
luruh, dan Chawmos pada pertengahan musim sejuk.
Mereka percaya bahawa Dewa Pastoral
Sorizan melindungi ternakan pada musim luruh dan dingin dan berterima kasih
kepadanya semasa festival Chawmos mengambil tempat. Sementara Goshidai (dipercayai sebagai
Dewa Kalash) turut melakukan hal yang sama sampai festival Pul (pertengahan September)
dan turut diraikan ketika festival Joshi di musim bunga. Joshi dirayakan
pada akhir Mei setiap tahun. Hari pertama bagi Joshi adalah ‘Hari Susu’, di mana
orang Kalash akan mempersembahkan susu yang telah diperam selama sepuluh
hari sebelum festival berlangsung.
Festival Kalash yang terpenting adalah Chawmos yang dirayakan selama dua minggu ketika titik balik matahari
musim dingin bulan Disember. Ia menandakan pengakhiran bagi kerja-kerja penuaian
tanaman pada tahun tersebut. Festival ini melibatkan banyak muzik, tarian, dan haiwan korban. Banyak kambing yang didedikasikan untuk Dewa Balimain, yang diyakini
datang berkunjung dari tanah air mitos Kalash, Tsyam selama tempoh perayaan. Haiwan ternakan yang dijadikan korban akan dipersembahkan di rumah ibadah Jestak Han, yang didedikasikan untuk nenek moyang mereka.
Jestak Han, rumah ibadah orang Kalash |
Aku diberitahu bahawa ada satu festival yang disambut pada masa lalu tetapi kini sudah tidak lagi diraikan, iaitu festival Budulak, di mana seorang remaja lelaki terpilih akan dihantar ke pergunungan untuk tinggal bersama kambing sepanjang musim panas. Dia seharusnya menjadi gemuk dan kuat dari susu kambing yang dikonsumsi selama tempoh isolasi. Apabila perayaan tersebut tiba, dia diizinkan untuk melakukan hubungan seksual dalam lingkungan tempoh 24 jam dengan wanita mana pun yang dia inginkan, termasuk isteri orang, ataupun gadis perawan. Setiap anak yang dilahirkan dalam tempoh ini dianggap berkat. Namun demikian, orang-orang Kalash mendakwa mereka telah menghentikan amalan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana mendapat publisiti negatif di seluruh dunia. Selain daripada festival Budulak, suku Kalash di Chitral terus memelihara dan mempraktikkan adat tradisi budaya mereka dengan baik sehingga ke hari ini.
Keberuntungan aku ditemukan dengan Hakeem yang secara sukarela menjadi tour guide membawa aku berkeliling Kalash tidak kekal lama. Kesesokan pagi, seluruh penjuru desa dihujani salji yang luar biasa lebat, tak henti mencurah dari langit kelam. Lalu aku dinasihatkan oleh Hakeem untuk segera meninggalkan Bumburet sebelum aku terperangkap total selama berhari-hari di sini.
Tak ada pilihan, dalam kedinginan pagi yang menggigit, aku cepat-cepat mendapatkan tumpangan kenderaan yang keluar dari Bumburet menuju ke Kota Chitral. “Khuda hafiz, Tuhan memberkati, datanglah lagi ke Kalash musim panas nanti,” pesan Hakeem sambil memeluk aku erat-erat, sekaligus mengakhiri kunjungan aku yang cuma sempat bertahan tiga hari di Lembah Kalash.
(bersambung)
Peta Lembah Bumburet |
Perkuburan lama Kalash. Orang Kalash dulunya tidak menanam mayat si mati, cukup dengan meletakkan mayat di dalam keranda kemudian ditempatkan di perkuburan |
Orang Kalash memperingati nenek moyang mereka dengan memahat patung kayu dan menempatkannya di pintu masuk desa. Kundurik adalah bahagian daripada ritual Gandua |
Tangga rumah orang Kalash yang begitu tradisional |
Bersama Hakeem, tuan rumah sekaligus tour guide aku di Lembah Bumburet |
Taburan salji lebat di hari ketiga memaksa aku segera meninggalkan Bumburet sebelum terperangkap selama berhari-hari di desa ini |
Terima kasih diatas coretan anda sedikit sebanyak memanaskan jiwa saya yg sedang suam suam Kuku 😆
BalasPadamMujurlah suam-suam kuku saja masih belum kedinginan 😂
BalasPadam