30 Januari 2020
Asap hashish (ganja) mengepul, memenuhi ruangan kecil yang dikerumuni
oleh puluhan lelaki. Gendang berdetak bertalu-talu, berpadu dengan petikan
sitar dan irama harmonium menghipnosis semua yang ada. Seorang lelaki
bertingkah kaki menari di tengah lingkaran, beraksi seperti orang yang
dikhayalkan ekstasi. Larut dalam buaian spiritualiti.
Sufisme, juga dikenal sebagai tasawuf, adalah aliran mistik dalam Islam yang percaya bahawa mendekatkan diri kepada Tuhan tidak hanya melalui satu cara saja, tetapi juga termasuk dengan muzik dan tarian. Di Asia Tengah dan sub-benua India, Sufisme adalah sebahagian daripada budaya Islam itu sendiri.
Baca juga: Qawwali
Hari ini hari Khamis, bulan
bersinar terang merambah kegelapan malam Jumaat. Suasana Dargah (makam) Syed Sitar Shah yang terletak di Lakar Mandi, sebuah
kawasan penempatan padat di Peshawar seakan melemparkan aku ke alam lain.
Tempat ini hidup di dalam dunianya sendiri, dalam dunia yang begitu
berbeza dengan hiruk pikuk kesibukan kota tua ini.
Aku menyusuri lorong-lorong sempit
sebelum tiba di makam suci ini. Semua orang harus menanggalkan kasut di depan
pintu. Di balik gerbang, ada sebuah halaman lapang berlantaikan marmar. Di sini
hanya ada laki-laki. Perempuan dilarang masuk sama sekali. Ratusan lelaki
berpakaian shalwar kamiz berpusu-pusu menuju ke ruang acara di mana persembahan
qawwali mengambil tempat.
Untungnya aku menjadi
satu-satunya orang asing di sini. Aku dipelawa maju ke hadapan sekaligus
mendapat tempat terbaik untuk menyaksikan para pemuzik qawwali. Di antara
kerumunan lelaki lelaki Pashtun ini, Semerbak baru harum bunga mawar bercampur
dengan asap yang mengepul di mana-mana. Bau hashish,
candu, menusuk tajam ke dalam rongga hidung.
"Ini adalah cara
mendekatkan diri kepada Tuhan," kata seorang lelaki, sambil menghisap
dalam-dalam hashish yang sudah dicampur
ke dalam rokoknya. Aku meminta izin untuk memotret gambarnya menghisap candu namun tak dibenarkan dengan alasan khuatir gambar dia akan tular kerana
dia adalah seorang penjawat awam.
Kerumunan pengunjung menonton pemuzik sufi di ruangan sempit |
"Ini bukannya
Islam!" Kata Hasnin, "apanya yang Sufi,
mereka cuma orang-orang kebanyakan yang mencari alasan untuk menghisap barang
haram." Hasnin adalah pemuda Peshawar yang membawa aku ke sini bagi menyaksikan qawwali. Menurut dia, amalan menghisap hashish sudah menjadi tradisi negara ini
sejak dahulu lagi dan hampir 50% lelaki di seluruh Pakistan mengambilnya.
Sufi, adalah aliran Islam
yang menembus kemapanan, anti peraturan yang mengikat. Kalau Wahabi dan Taliban
melarang muzik, pengikut Sufi justeru menggunakan muzik sebagai salah satu cara
ibadah mereka. Candu dilarang dalam Islam, tetapi beberapa orang pengikut sufi
menggunakannya untuk memudahkan mereka mencapai keadaan yang menyatu dengan
Tuhan. Penggunaan hashish untuk
mencapai kenikmatan spiritualiti mengingatkan aku kepada golongan sadhu, pertapa Hindu di India yang
melepaskan diri mereka daripada kesenangan duniawi.
Remang-remang lampu
menambahkan lagi suasana mistik di kawasan permakaman ini. Semakin malam,
suasana semakin ramai dan padat dengan orang yang berdatangan. Bunyi tabla dipukul bertalu-talu,
menghantarkan nuansa pemujaan ke tempat ini.
Memasuki alam bawah sedar |
Di sebuah ruangan lain,
bunga-bungaan terkalung di tubuh seorang lelaki berjubah lusuh, berjaket tebal,
berkulit gelap dan berkepala botak. Matanya terpejam. Perlahan, perlahan,
badannya berayun, semakin cepat, semakin cepat, sehingga begitu cepat. Ada daya
hipnotis di dalamnya. Tubuhnya berputar… semakin cepat, semakin cepat, hingga
tubuhnya larut dalam putaran. Aku melihat orang-orang lain yang menonton, juga
mula menggeleng-gelengkan kepala seperti penagih ekstasi.
Di sebuah ruangan yang
lainnya pula, kali ini lebih terang dengan cahaya lampu, ada tiga orang penari,
yang satunya berbaju coklat, dua lagi berbaju kelabu, menari di tengah
lingkaran. Mereka bertingkah kaki, berpadu mengikut irama paluan tabla. Kepala
mereka bergeleng-geleng, berirama bersama alunan harmonium. Ketika tabla mereda
kecepatannya, gerak kaki dan tariannya itu melambat. Ketika muzik bergema
cepat, mereka beraksi lincah seperti orang yang sedang dirasuk. Bunyi trompet
yang ditiup oleh seorang pemuzik lelaki semakin menambah kemistikan suasana.
Mereka tenggelam ke dalam irama
dan lagu. Entah kekuatan magis apa yang membuat para penari ini semakin hanyut.
Gerakan berputar, bertingkah, aroma hashish,
asap rokok, dan chillum berisi air,
serta lantunan doa-doa dan puisi-puisi Islamik yang terus mengalir, membawa
nuansa magis yang semakin menghanyutkan. Orang-orang berteriak, "Jhulelal! Jhulelal!", naik
turun seperti debur ombak. Jhulelal adalah seorang suci yang diagungkan umat
Hindu dan di-sufi-kan oleh umat Muslim.
Bergilir menikmati chillum |
Malam semakin larut, suasana
semakin menghipnosis. Si pemain tabla semakin bersemangat menabuh alat muzik
yang dimainkannya cepat-cepat. Semakin cepat juga gerakan tari dan putaran yang
semakin menggila, melompat-lompat, membuat tubuh manusia-manusia yang seakan
terasuk itu semakin tidak terkawal lagi gerakan badannya.
"Pemain gendang itu
sebenarnya pekak dan bisu," bisik seorang pemuda lain ke telingaku. Dengan
kecacatan pendengarannya itu dia tak merasakan betapa dahsyatnya kekuatan
tabuhannya. Muzik magis ini sudah menghipnosis ramai penonton di barisan hadapan.
Dua orang lelaki tua berjanggut lebat, duduk bersila menundukkan kepalanya
sambil kedua telapak tangannya bertepuk laju tanpa sedar. Penonton lain sudah
tenggelam ke dalam asap ganja, alunan doa, dan irama muzik spiritual ini.
Lewat tengah malam, semakin ramai orang yang ikut menari. Keringat mengucur deras. Mata mereka terpejam. Kepala mereka terus menerus digeleng dengan cepat, kabur dalam remang-remang lampu pekuburan.
Irama muzik qawwali bagaikan daya graviti yang membuat planet-planet berputar. Para penari terus
berputar, melompat, bertingkah, berseru, liar bak gasing yang dilepas daripada
talinya. Ratusan bintang yang menghiasi langit malam turut menjadi penonton putaran
tubuh manusia-manusia berjubah ini.
Aku turut hanyut ketika melihat jubah seorang lelaki yang berkibar bak Superman
yang sedang menari tanpa henti. Tanpa sedar, kepala aku juga turut bergoyang
seakan larut ke dalam muziknya yang merasuk sanubari.
"Mast
qalandar!!!!" seorang lelaki gemuk yang sedang menonton
berteriak. "Mast qalandar mast! Mast
qalandar mast! Mast! Mast!" Ratusan orang lain yang berada di depan
unggun api di perkarangan makam menyambut teriakannya. Mast qalandar adalah
seruan bagi seorang guru Sufi ternama dari abad ke-13, Hazrat Lal Shahbaz
Qalandar. Mast adalah keadaan di mana seseorang dirasuk ilham, mendapat
pencerahan, lalu menyatu dengan kekuatan spiritual yang agung.
"Jangan kamu
fikir mereka itu sedang menari," ujar seorang lelaki yang menyapa aku,
"tidak ada tarian dalam Islam, gerakan itu disebut dhamal."
"Dalam keadaan seperti
itu," seorang lelaki lain berbisik, "ketika mereka sudah tidak sedar
lagi apa yang mereka lakukan, mereka merasa begitu dekat dengan Allah, dengan Khuda (Tuhan). Itulah tujuan dari semua
ini."
Di tengah kegelapan malam,
di bawah pengaruh ganja dan candu berserta alunan muzik qawwali yang menghipnosis
para hadirin, beberapa lelaki berjubah terus berputar… berputar… berputar… Memasuki
alam bawah sedar, orang-orang ini mencapai orgasme spiritual.
(bersambung)
Makam orang suci yang disebut dargah |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan