Pusat bandar Lahore yang sesak dan padat |
13 Januari 2020
Tak
banyak yang dapat aku lihat pada tiga hari pertama di Pakistan kerana aku
tinggal di Manawan, sebuah pekan yang terletak 15km jauhnya dari Lahore, dan
berjarak 20km dari sempadan India. Di hari berikutnya baru aku punya
kesempatan untuk meneroka Kota Lahore sekaligus memasuki dunia Pakistan yang
sebenar. Padat, ramai, kotor, kuno, dan hanya kaum lelaki yang mendominasi segenap
sudut pandangan.
Lahore adalah bandar kedua
terbesar di Pakistan, dan merupakan ibu kota tradisional wilayah Punjab selama
lebih satu milenium yang dianggap sebagai pusat kebudayaan negara. Pusat bandar Lahore adalah Walled City, sebuah kawasan yang begitu
padat dengan penduduk di setiap kilometer persegi. Ia telah bertapak sejak
ribuan tahun yang silam dan telah menjadi pusat selama ia diwujudkan. Warisan
empayar Mughal dan Sikh masih bertahan di Kubu Lahore, Masjid Badshahi dan
Gurdwara, sementara Mall pula dipenuhi dengan bangunan kolonial-gothik dari British
Raj, manakala pinggiran bandar Gulberg pula menempatkan rumah-rumah agam dan
kawasan membeli-belah kelas atasan.
Lahore berpopulasi kira-kira 12 juta penduduk dan sangat meriah dengan pentas kehidupan. Metropolis ini merupakan bandar mesra yang sosial dan liberal. Ia telah melalui berbagai lintasan waktu serta zaman perevolusian budaya, intelektual, muzikal, sastera, dan humanistik. Inilah Pakistan di dalam bayanganku, yang aku mimpikan selama ini. Para lelaki berjubah panjang berkibar-kibar lalu lalang di sepanjang jalan. Aroma kebab yang menusuk hidung, juga lazatnya teh susu panas yang dituang ke dalam barisan cawan. Suara minyak yang pecah menjerit di atas kuali datar, menggoreng roti nipis yang renyah lagi panas. Sayang sekali kerana duit saku aku yang terhad, aku tidak berkehendak sedikitpun untuk merasainya. Setiap hari makananku adalah hidangan yang disediakan oleh tuan rumah - kiriman Ilahi yang selalu aku syukuri.
Sejak meninggalkan India
beberapa hari lalu, kehidupan manusia di seberang sana kini tinggal
memori. Sekarang aku sudah berada di Pakistan, sebuah dunia yang sama sekali
berbeza. Di jalanan hanya ada lelaki, dan cuma lelaki. Aku sempat terpesona dengan
busana tradisional yang dipakai oleh semua lelaki Pakistan bernama Shalwar kamiz. Shalwar adalah seluar besar dan longgar
yang kalau dibentang lebarnya boleh mencapai satu meter. Kamiz pula adalah jubah panjang yang menjuntai sampai ke lutut.
Sungguh bila dipakai angin musim sejuk yang menggigit langsung menerobos ke dalam seluar.
Justeru aku menjadi tertarik dengan trend pakaian yang dahsyat ini.
Bagaimana pula halnya dengan
perempuan di sini? Aku nyaris tak melihatnya sama sekali. Mereka sebenarnya
ada, namun jumlahnya boleh dihitung dengan jari, itu pun terbungkus rapat dari
hujung kepala sampai ke mata kaki. Memang di negara ini, umumnya perempuan
tidak keluar rumah sendirian tanpa ditemani oleh saudara lelaki. Ini tentu saja
sebuah kejutan budaya bagiku walaupun aku berasal dari negara yang bermajoriti
Muslim. Jangan hairan kalau ada perempuan yang berjalan sendirian di jalanan,
dia pasti menjadi pusat perhatian ratusan pasang mata para lelaki yang menatap
tajam dan liar. Ramai backpacker
perempuan asing yang mengalami hal seperti ini ketika berkunjung ke Pakistan.
Di tempat-tempat umum Pakistan,
misalnya di terminal bas, stesen kereta api atau restoran, air minum percuma
selalu tersedia namun hanya dengan sebuah gelas. Satu-satunya gelas ini boleh
digunakan oleh sesiapa saja, dan tidak perlu dicuci terlebih dahulu. Boleh
dikatakan, ini adalah 'air minuman umum' dan 'gelas umum' yang sentiasa
tersedia. Semua orang bebas minum dengan menggunakan gelas yang sama tanpa
rasa jijik. Aku membayangkan jikalau ada penyakit berjangkit menular di
Pakistan, pasti seluruh negara ini akan tertular, kerana kebiasaan mereka
meminum air dari gelas yang sama. Namun ada orang Pakistan berkata kepada aku,
"penyakit itu kehendak Allah. Jika Allah mahu engkau sakit maka engkau
akan sakit. Jika Allah mengkehendaki engkau sihat maka engkau akan terus sihat."
Perkongsian gelas seperti ini sama sekali tidak wujud di India, sekaligus membuatkan
aku pada mulanya seperti tak biasa. Namun ini adalah budaya di negara ini, dan aku
seharusnya tidak perlu risau untuk mengikuti cara mereka.
Kereta keldai masih menjadi pengangkutan utama untuk mengangkut barang |
Di Anarkali Food Street aku
berjumpa dengan sekumpulan lelaki berbangsa Pashtun dari Afghanistan yang kini
menetap di Pakistan. Ini adalah kali pertama aku bertemu dengan orang-orang
Afghan. Sepertimana yang pernah aku lihat di internet, susuk wajah orang Afghan
memang identik dengan gambaran klise: sedikit bengis, berjanggut lebat, bersama
tatapan mata yang tajam. Mereka memilih untuk melarikan diri dari negaranya dan
memulakan kehidupan baru di Pakistan akibat kemelut berpanjangan yang
menggoncang negara mereka sejak bertahun lama.
Kehidupan pelarian Afghan di
sini merupakan dilema tersendiri bagi kerajaan Pakistan. Pada satu sisi, mereka
adalah saudara sesama Muslim yang perlu dibantu, namun di sisi lain kedatangan
mereka semakin meningkatkan jumlah pengangguran, kemiskinan, dan jenayah di
negara ini. Para pelarian Afghan ini umumnya tidak mempunyai pekerjaan tetap di
Pakistan. Di Lahore, ramai yang bekerja sebagai pedagang di bazar,
sedangkan anak-anak kecil malah ada yang menyelongkar gundukan sampah di
sudut-sudut jalan.
Anak jalanan yang
rata-ratanya berbangsa Pashtun ini adalah salah satu sisi dinamik pergulatan
hidup di Pakistan. Menurut laporan badan PBB, dianggarkan kira-kira 1.2 juta
kanak-kanak hidup di jalanan Pakistan, menghasilkan pendapatan kurang dari dua
dolar sehari, lalu menjadi sasaran penyalahgunaan kanak-kanak dan eksploitasi
seksual. Mereka melakukan berbagai pekerjaan, mulai dari mengorek sampah,
mencuci pinggan mangkuk di restoran, menjual buah-buahan, mencuci kereta,
hingga melayani tetamu hotel.
Seiring dengan keadaan di
Afghanistan yang mulai stabil, ramai pelarian Afghan mula mengorak langkah
pulang ke kampung halaman. Tetapi para lelaki ini memilih untuk menjalani
kehidupan di tanah pelarian, kerana bagi mereka kampung halaman masih belum
aman. Seorang lelaki tersenyum kepada aku dan berkata, "Kunjungilah negara
kami, tanah bangsa Pashtun, dan kamu akan lihat bagaimana ramahnya orang
Pathan sepertimana kami menyambut kamu di sini."
Pasar harian |
Bangsa Pashtun adalah bangsa
majoriti yang menghuni Afghanistan, tetapi juga merupakan etnik minoriti terbesar
di Pakistan. Mereka mendiami daerah barat Pakistan, terutama di Peshawar, di dalam
wilayah besar yang bernama Khyber Pakhtunkhwa. Di Pakistan, mereka juga disebut
sebagai Pathan, dan sering menjadi 'bahan' masyarakat Pakistan kerana sifat
mereka yang umumnya konservatif, keras, kasar, dan tidak boleh bertutur bahasa Urdu dengan baik.
Menurut sejarahnya,
Afghanistan dan Pakistan dibelah oleh garis yang dilakar oleh tangan penjajah
British. Garisan ini disebut sebagai Durrand
Line, yang secara tepat membelah negeri orang Pashtun seperti mana Sir Cyril
Radcliffe membahagi sempadan Punjab untuk Pakistan dan India. Akibatnya,
sebahagian orang Pashtun tinggal di Afghanistan, dan sebahagian lagi tinggal di
Pakistan dan menjadi Pathan.
Namun begitu ramai orang
Pashtun yang tidak menerima pembelahan ini. Orang Pashtun di Kandahar masih
menganggap Khyber Pakhtunkhwa yang sekarang dimiliki Pakistan adalah bahagian
daripada negeri mereka. Sedangkan orang Pathan di Pakistan pun tidak sepenuhnya
terintegrasi dengan masyarakat arus utama Pakistan, kerana mereka punya tradisi
yang berbeza, bahasa Pashto yang berbeza, bahkan gaya hidup yang sama sekali
berbeza.
Tatapan mata dan ekspresi
yang berbeza, setiap wajah mereka punya cerita. Tentang hidup, tentang
perjuangan, tentang kepercayaan, tentang impian, harapan, angan-angan,
cita-cita, dan mimpi. Aku ingin mendengarkan cerita-cerita itu lebih banyak
lagi, memahami apa makna perjalanan dan perjuangan hidup bagi mereka. Aku ingin
bertemu dengan lebih ramai orang, belajar dan bertutur dalam bahasa mereka,
mendengarkan langsung kisah hidup itu diceritakan dari mulut mereka dalam
bahasa mereka sendiri. Begitu banyak yang ingin aku tanyakan, begitu banyak
yang ingin aku dengarkan.
(bersambung)
Tukang jahit dan pedagang sayur |
Stesen keretapi Lahore |
Pakora dan manisan, makanan jalanan yang mengingatkan aku dengan India |
Ramai kanak-kanak tak bersekolah yang bekerja dan menjaja di jalanan |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan