Islamabad di bulan Januari |
22 Januari 2020
"Aap
hamare mehman hai. Kamu adalah tetamu saya," ucap Rehan
Saeed Khan, 47 tahun, seorang penunggang Uber
Bike yang menghantar aku pulang ke Islamabad dari kaki Bukit Margala.
Selain menolak menerima bayaran, beliau turut mengajak aku singgah sebentar di sebuah restoran untuk minum teh selain menawarkan aku makan tengah hari.
Sungguh aku hampir tak mampu berkata-kata menerima ketulusan persahabatan ini.
Jika anda menjelajah
Pakistan, ada satu perihal yang selalu hadir, iaitu keramahtamahan. Kalau
penduduk Lucknow di India punya 'Tehzeeb'
dalam budaya mereka, di sini orang Pakistan menyebutnya dengan kata 'Mehmannavazi'. Tak peduli betapa miskin
orang-orangnya, setinggi manapun tingkat pendidikan dan latar belakang
sosialnya, semuanya seakan berlumba menawarkan sesuatu yang terbaik untuk tetamu.
Mehman,
sebuah konsep yang melekat dalam sanubari rakyat jelata. Begitu kuatnya,
sampai aku jadi malu sendiri. Tuan rumah tak makan tak mengapa, asalkan tetamu
dijamu dengan makanan yang cukup. Hidup miskin tak mengapa, asalkan tetamu
tetap merasa nyaman untuk tinggal bersama. Menggigil kedinginan bukanlah
masalah, asalkan sang tetamu tetap hangat dalam lelap.
Pintu masuk ke taman negara |
Selepas dua hari berkhemah
di Bukit Margala, aku kembali ke zon selesa - menginap di salah satu penempatan
elit di Islamabad - keberuntungan mendapat undangan daripada seorang pemilik
guesthouse di kota ini. Ada beberapa rakan lain yang menawarkan tumpangan, tapi
aku pilih untuk menolak. Aku sebenarnya sudah cukup malu untuk menerima semua
keistimewaan yang mereka berikan. Aku menyertai aktiviti hujung minggu mereka
di sini tanpa dikenakan sebarang bayaran, semuanya ditanggung. Dan sekarang
mereka malah mahu menghantar aku pulang sampai ke pintu rumah. Sudah terlalu
banyak pengorbanan mereka dari segi wang, tenaga, dan masa, justeru aku tak
mahu lagi menikmati semua keistimewaan ini dengan percuma. Lalu aku membuat keputusan menaiki
Uber sahaja untuk kembali ke Islamabad. Lagipun penginapan aku hanya berjarak
20 minit dari sini, dan tambang yang perlu aku bayar hanya 80 rupee, sekitar RM
2.10. Tidak mahal.
Hari ini hari minggu yang indah. Sinar matahari memancar cerah menghangatkan cuaca dingin yang membungkus Islamabad pada bulan Januari. Pengalaman bermalam di Margala
Hills National Park yang membekukan kini hanya tinggal kenangan. Barisan
bukit sambung menyambung mengepung seluruh kota menampakkan keagungan yang
langsung meresap ke relung hati. Suria pagi yang perlahan-lahan terbit dari
timur menampakkan keindahan alam yang tak terperi. Aku belum sampai ke Northern
Areas, tapi di sini aku seakan sudah mula merasakan sedikit keindahan alam yang
ditawarkan oleh bumi Pakistan. Setiap pemandangan adalah ucapan syukur terhadap
rahmat Tuhan ke muka bumi. Setiap langkah kaki adalah kekaguman akan
ciptaannya.
Aku hanya perlu menunggu selama 10
minit di tepi jalan sebelum Rehan Saeed tiba dengan motorsikalnya.
"Assalamualaikum," sapa lelaki ini, "kaha jana hai? Mahu ke mana?"
"Waalaikumussalam bhaijaan," jawab aku, "hantarkan
saya ke Sektor E-11."
"Kamu pelancong luar bukan? Tinggal di hotel mana?" Dia bertanya lagi.
"Ya, saya dari
Malaysia. Saya tak tinggal di hotel, tapi menumpang di rumah kawan," jawab
aku ringkas sambil melompat naik ke tempat duduk.
Meskipun matahari memancar
hebat dari langit biru yang cerah, membonceng motorsikal di tengah ibu kota
Pakistan ini tetap saja terasa dingin. Angin menderu kencang membekukan
seluruh wajah. Bulan Januari boleh dikatakan sebagai puncak musim sejuk, suhu tertinggi
di sini hanya mampu mencapai paras 14°c pada waktu siang. Aku tak dapat membayangkan
bagaimana dingin keadaan di kawasan pergunungan Hunza dan Gilgit Baltistan.
Jelas sekali ini bukanlah waktu terbaik untuk ke sana. Seharusnya aku pergi
meneroka wilayah-wilayah lain yang lebih bersahabat terlebih dahulu sekurang-kurangnya
sehingga akhir bulan ini.
"Mahukah kamu singgah di
kedai makan?" Tiba-tiba Rehan bertanya, "saya tahu kamu sedang
kesejukan, mari kita minum teh sebentar."
'Minum teh' dalam kamus
orang Pakistan adalah bukan sekadar minum. Kenyataannya adalah mereka akan
menawarkan kita dengan limpahan makanan lazat pada masa yang sama. Apa saja
hidangan istimewa yang ada di kedai makan ini, dia meminta aku untuk
mencubanya. Tapi aku merasa segan dengan tawaran lelaki ini, lalu aku hanya
memesan sekeping capati bersama telur dadar.
Rehan Saeed yang baik hati |
"Capati saja?" Tanya
Rehan, "kamu tak mahu makan briyani ayam atau kambing? Itu lebih
mengenyangkan."
"Tak mengapa bhaijaan," aku menolak, "semua
itu mahal, harganya 300 rupee. Sedangkan tambang Uber yang saya bayar baru 80
rupee."
"Tidak, kamu tak perlu
membayar tambang Uber saya," lelaki ini membantah, "aap hamare mehman hai!" Kata mehman itu sungguh membuat aku tersedak seketika. Ungkapan ini langsung
mengingatkan aku dengan Shazad, si penjual buah yang menghulurkan aku sepiring fruit chaat di pasar Rawalpindi tempoh
hari.
Di restoran ini yang aku
sama sekali aku tak tahu lokasinya, aku sekali lagi bertemu dengan Muhammad
Jawad, pemuda yang menumpangkan aku di rumahnya ketika aku pertama kali tiba di
Islamabad dari Lahore lebih seminggu yang lalu. Di kota yang besar ini alur
perjumpaan pun turut tak terduga, perpisahan, pertemuan semula, sudah teratur
bak jalan cerita filem India. Betapa Jawad ceria sekali apabila berjumpa aku di
sini, larut dalam tawanya.
"Islamabad memang
besar, tapi dunia ini kecil. Kita boleh berjumpa di mana-mana!" Kata Jawad
girang.
Dua orang lelaki yang sekarang
sudah duduk bersama-sama aku di restoran ini malah berebut pula untuk membayarkan
semua kos makan dan minum di meja ini. Tapi akhirnya Jawad terpaksa mengalah kerana
Rehan tetap berkeras mahu membelanjakan duitnya.
Aku begitu tersentuh dengan
kemurahan hati lelaki tua ini. Dengan penghasilan hariannya sebagai penunggang Uber
Bike yang tentunya tidak seberapa, beliau masih saja menolak bayaran tambang dari aku dan malah
mengeluarkan duit poket sendiri untuk mengenyangkan perut aku.
Menjelang petang aku dihantar
pulang oleh Rehan, setelah beberapa jam meluangkan masa duduk berborak di restoran dan membawa aku bersiar-siar keliling kota. Di bawah naungan kibaran bendera hijau
putih bersama bulan sabit dan bintang, keramahtamahan terus menjadi jalan
hidup orang Pakistan.
(bersambung)
Bersiar-siar di sekeliling kota moden |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan