Memaparkan catatan dengan label backpacking pakistan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label backpacking pakistan. Papar semua catatan

Backpacking Pakistan 35: Repatriasi

 

Bulan-bulan penuh perjuangan di atas jalan kembali bermain dalam memori

11 April 2020

    Sudah 3 minggu aku terkandas di ibu kota Islamabad akibat sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap seluruh negara. Ini berikutan situasi wabak Covid-19 yang sudah diluar kawalan dan semakin memburuk hari demi hari. Pakistan juga telah menutup semua pintu sempadan dan juga lapangan terbang, sekaligus menyebabkan aku juga tidak dapat keluar dari negara ini.

20 Mac lalu, aku baru saja menarik nafas lega setelah selamat tiba di kota Gilgit dari Abottabad selepas mengharungi perjalanan yang begitu panjang dari Lembah Swat. Dan ketika aku ingin melanjutkan petualangan menuju utara ke Lembah Hunza, tiba-tiba satu SMS singkat oleh seorang teman dari desa Karimabad membubarkan segala perancangan yang telah aku rangka.

"Shareef, saya fikir kamu tak boleh datang ke Hunza sekarang. Pihak kerajaan baru saja mengumumkan lockdown di seluruh wilayah Gilgit-Baltistan," demikian tulisnya. Ringkas, namun cukup menghampakan aku yang membacanya.

Kemudian datang lagi SMS yang kedua, "lekas keluar dari Gilgit sebelum tidak ada kenderaan langsung di atas jalan. Pergilah ke Islamabad supaya kamu dapat berhubung dengan pihak konsulat," pesan Najeeb, pemuda yang pada awalnya mengundang aku ke rumahnya di Hunza.

Aku menurut apa yang telah dinasihatkan Najeeb menerusi SMS darinya, tetapi dalam masa yang sama aku berdepan masalah untuk mencari tempat tinggal di sekitar Rawalpindi mahupun Islamabad. Ini kerana tidak ada seorang pun host dari Couchsurfing yang bersedia menerima tetamu tika pandemik Covid-19 sudah mulai menular ke seluruh penjuru negara. Tambahan lagi, wilayah Punjab, Balochistan, dan Sindh antara yang paling teruk terkesan setelah menghimpun ramai angka korban.

Guesthouse di sekitar ibu kota juga sudah tidak lagi mengalu-alukan kedatangan warganegara asing. Tak kurang juga hotel-hotel dan penginapan lain yang sudah mula diarah untuk menghentikan operasi oleh pihak berkuasa tempatan.

Aku amat bernasib baik apabila Mohsin dan Sara, pasangan suami isteri yang aku kenali ketika aku di Islamabad Januari lalu menawarkan aku untuk menginap di rumah mereka. "Tinggallah seberapa lama pun yang kamu mahu," kata Sara, wanita Iran yang baru saja berkahwin dengan Mohsin pada hujung tahun 2019, "sudah menjadi kewajipan kami membantu musafir yang terkandas."

Sepanjang tiga minggu aku di Islamabad, aku mendapati ibu kota ini begitu kontras dengan kota kembarnya, Rawalpindi. Di Islamabad, hanya premis-premis perniagaan sahaja yang ditutup. Namun kehidupan hariannya tetap berjalan seperti biasa. Penjaja di jalanan kota masih berdagang seperti biasa, kenderaan-kenderaan tetap lalu lalang di atas jalan raya seperti biasa, para pengemis, dan orang awam masih berjalan ke sana ke sini seperti tidak ada apa-apa yang berlaku, dan begitu juga masjid, tempat di mana para lelaki berhimpun untuk melakukan ibadah setiap hari, tetap ramai seperti hari-hari biasa.

"Imam kami mengatakan virus ini tidak akan menjangkiti kami seperti di negara barat," ujar Haji Durani, lelaki 52 tahun yang aku temui di gerbang sebuah masjid pinggir kota, "umat Islam mementingkan kebersihan diri, kita mencuci tangan, muka, dan kaki lima kali sehari sebelum bersolat, lalu kenapa kita harus khuatir? Khuda (Tuhan) sentiasa ada bersama kita!"

Aku menyangkal kata-kata Haji Durani. Setinggi manapun tingkat iman kita, siapakah di antara kita yang lebih afdal daripada para sahabat? Mereka yang dimuliakan pun turut tidak terlepas dari serangan wabak. Pada zaman kepimpinan Umar al-Khatab, pernah tersebar sejenis wabak berjangkit dan bahkan ada sahabat-sahabat Nabi yang mulia seperti Abu Ubaidah al-Jarrah (salah satu dari 10 orang yang dijamin masuk syurga), Muadz Bin Jabal, dan beberapa lagi sahabat lain yang menjadi korban akibat dijangkiti wabak itu.

"Saya mahu azan sebentar lagi. Kalau kamu mahu ikut solat, silakan masuk ke dalam masjid. Tak ada apa yang perlu dirisaukan, kuatkan iman kamu dan percaya pada yang Satu," kata Haji Durani lantas meninggalkan aku terpinga-pinga di pintu masjid.

Jamia Masjid Diwan Umar Farooq di sektor F-10, Islamabad

Tentu saja aku tidak menerima pelawaan lelaki itu. Menyaksikan kedegilan para ahli masjid di seluruh Pakistan ini, takut sekali aku membayangkan sekiranya gelombang kedua dan ketiga datang membadai negara yang berpopulasi 220 juta orang ini.

Keesokan harinya, aku pun membuat keputusan untuk menamatkan perjalanan aku di sini yang sudah menjangkau setengah tahun dan pulang ke Malaysia kerana bimbang dengan ketidakpastian hari-hari mendatang sekiranya aku terus menetap di Pakistan. Dengan bantuan kakitangan pihak Konsulat dan kedutaan Malaysia di Islamabad, juga hasil perbincangan dua hala antara pihak Wisma Putra dan menteri luar Pakistan yang memakan masa selama berminggu-minggu, akhirnya sebuah pesawat khas berjaya diaturkan untuk berlepas dari Islamabad ke Kuala Lumpur.

Hari ini merupakan detik bersejarah buatku. Tanggal 11 April 2020, pesawat Pakistan International Airline bernombor PK894 meninggalkan landasan tepat pada pukul 3 pagi menuju Kuala Lumpur. Pesawat yang berkapasiti lebih daripada 300 tempat duduk ini tampak lengang dengan banyak kekosongan kerusi kerana hanya 196 orang penumpang sahaja yang mengisi perut pesawat.

Terlalu banyak rintangan dan halangan yang perlu aku hadapi untuk pulang ke tanah air. Dari proses mendapatkan tiket penerbangan yang sangat mahal bagi ukuran dompetku, sehinggalah perjalanan untuk mencapai lapangan terbang pada malam keberangkatan yang mana aku rasakan terlalu panjang untuk dituliskan di sini. Justeru aku hanya bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memudahkan segala urusanku.

Singkat cerita, pesawat sudah pun perlahan-lahan berlepas meninggalkan bumi. Sudah lama sekali aku tidak naik pesawat. Seperti anak kecil yang baru pertama kali terbang, aku duduk di pinggir jendela, terpegun menyaksikan perubahan spektrum bumi. Lampu-lampu kota Islamabad tampak seperti kerlipan bintang yang bertabur sejauh mata memandang.

Garis langit kota dalam beberapa jam berubah menjadi puncak-puncak gunung salju yang samar-samar disuluh cahaya bulan. Gagah dan penuh keagungan. Mungkinkah pesawat ini sedang terbang di atas bumi India? Apakah di bawah itu Himachal Pradesh? Atau Uttarakhand? Kenangan aku melayang pada beratnya petualangan di Himachal Pradesh, mulai dari Manali, hingga ke Chitkul, desa terakhir India di sempadan Tibet. Mungkin jalan pergunungan yang dulunya menghalang perjalanan aku ke Lembah Spiti masih lagi terbungkus salji pada ketika kini.

Aku teringat betapa beratnya melintasi pergunungan Himachal Pradesh, kepanikan semasa kereta yang aku tumpangi kemalangan ditimpa batuan gunung, atau ketika menunggu tumpangan berjam-jam di lereng gunung kerana tidak ada kenderaan yang melintas, atau seksaan tidur malam pada musim dingin yang menggigit di sebuah kedai makan, juga momen-momen berserah diri ketika sesat tanpa telefon pintar yang rosak di Dehradun.

Di sini, di kerusi tempat aku duduk sekarang, ribuan kaki di atas bumi, semua rintangan dan halangan di darat berlalu dalam hitungan saat. Dengan kelajuan 832 kilometer sejam, bulan-bulan penuh perjuangan di India dan Pakistan di atas daratan yang berkerut-kerut sama dengan perjalanan udara beberapa minit saja. Tetapi inilah keajaiban sebuah perjalanan. Ratusan hari perjalanan darat memang boleh digantikan dengan beberapa minit penerbangan, tetapi kebijaksanaan yang diajarkan oleh alam memang tak dapat disamakan.

Selamat tiba di KLIA

Pukul 12 tengah hari, 12 April 2020, pesawat ini selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, atau lebih dikenali dengan nama KLIA. Malaysia, panas dan lembab. Dibandingkan Pakistan yang dingin dan kering, ini adalah dunia yang berbeza. Aku belum sampai di rumah, tetapi kampung halaman di sini rasanya sudah dekat sekali. Perjalanan setengah tahun tanpa henti, melintasi pergunungan Himalaya, gurun pasir Gujarat, warna-warni India, kehangatan persahabatan Pakistan, petualangan gila di daerah berbahaya Tribal Area, kemodenan Islamabad, dan tak lupa juga hari-hari yang getir sepanjang lockdown di Pakistan, akhirnya berakhir di sini.

Aku yakin, suatu saat nanti (yang kita belum tahu bila), badai pandemik Covid-19 ini pasti akan berlalu, dan sebahagian besar dari kita akan terus berjuang. Namun yang jelas, dunia kita pasca pandemik mungkin tidak akan pernah sama lagi. Banyak hal yang akan berubah dalam hidup kita. Yang paling jelas adalah cara kita mengembara. Sektor yang paling terjejas dari pandemik ini adalah industri yang berhubungan dengan perjalanan, iaitu pengangkutan dan pelancongan, yang akan memerlukan waktu lebih panjang untuk kembali pulih dari trauma. Para pejalan di masa akan datang mungkin akan diminta menunjukkan sijil kesihatan bebas corona atau buku rekod vaksin corona, sebagaimana surat keterangan vaksin 'yellow fever' yang diminta beberapa negara di masa kini. Para pelancong pun akan lebih mempertimbangkan faktor kesihatan dalam memilih destinasi mereka, sehingga negara-negara yang gagal menangani pandemik ini dengan serius mungkin tidak lagi menjadi pilihan.

Covid-19 telah menjadi tentangan bersama yang perlu dihadapi seluruh umat manusia. Pandemik ini untuk sementara waktu, memang terlihat seperti raksasa halimunan yang menghentikan roda globalisasi dunia kita secara mendadak. Tetapi sebagai produk globalisasi, ia tetap mengajarkan hal yang sangat penting tentang globalisasi: bahawa takdir semua umat manusia di bumi ini saling terikat antara satu sama yang lain. Kita semua adalah manusia yang sama, di bumi yang sama, berganding bahu untuk menghadapi masa depan global yang sama.

Tak ada kata yang cukup untuk mengungkapkan perasaan aku setelah dapat kembali semula ke tanah air selepas memulakan perjalanan dari Kerala, Oktober tahun lalu. Ribuan terima kasih aku ucapkan kepada semua kenalan di Malaysia (anda tahu anda siapa) yang secara langsung dan tidak langsung memberikan sokongan di sepanjang perjalanan aku di Asia Selatan.

Jutaan penghargaan buat tuan Deddy Faisal dan semua petugas Malaysia In Pakistan, Fareed producer stesen Radio Chitral FM, seluruh keluarga Jalal Uddin di Lembah Swat, pasangan Mohsin dan Sara di Islamabad, Biren Thapar di Lucknow, teman pertamaku di Lahore Yasir Muhammad, Kevin Baldha dan rakan-rakan yang menyelamatkan aku di Gujarat, Sharif Ahmad di Lembah Kalash, Adnan Aloi si pemilik Nan Cafe di Upper Chitral, dan semua penduduk Pakistan yang sentiasa menghulur tangan bagi musafir. Tanpa bantuan persaudaraan daripada mereka semua, mungkin agak mustahil untuk aku bertahan dan terus berjalan.

Terima kasih, jazakallah, dhanyavaad, syukriya, mehrbani, tashakor, dir manana, and thank you to all of you guys. Stay bless, stay safe, and take care.

Pakistan, aku pasti akan kembali.

Phir milenge.

(Tamat)

Keadaan Lapangan Terbang Islamabad yang lengang selepas pemerintah menutup sempadan negara

Penjarakan sosial dipraktikkan di dalam pesawat

Semua penumpang pesawat perlu menjalani ujian kesihatan sejurus tiba di Malaysia

Aku ditempatkan di Putrajaya Mariott Hotel bagi menjalani kuarantin wajib selama 14 hari

Backpacking Pakistan 34: Gilgit-Baltistan

 

Gilgit terletak di antara beberapa pemandangan gunung yang paling dramatik di dunia

22 Mac 2020

Jarak dari Abbottabad menuju kota Gilgit di utara hanya sejauh 386 kilometer. Akan tetapi seperti halnya perjalanan lain di Pakistan yang penuh dengan liku-liku petualangan, tempoh perjalanan kami telah memakan masa sepuluh jam lebih.

Gilgit adalah ibu kota bagi wilayah Gilgit-Baltistan. Kota ini terletak di lembah yang luas berdekatan dengan pertemuan Sungai Gilgit dan Sungai Hunza, yang merupakan salah satu dari dua kota penghubung utama di Northern Areas untuk melakukan ekspedisi ke banjaran Himalaya. Kota yang lain ialah Skardu. Para trekker dan pendaki yang menuju ke pergunungan Karakoram mahupun Himalaya akan singgah di Gilgit terlebih dahulu. Kebanyakan orang biasanya memilih untuk pergi ke Gilgit melalui jalan udara, kerana perjalanan darat dari Islamabad ke Gilgit yang melalui Lebuhraya Karakoram harus ditempuhi setidaknya antara 14 hingga 24 jam, sedangkan perjalanan udara hanya mengambil masa selama 45 hingga 50 minit.

Dikisahkan, kira-kira satu milenium yang silam, lembah ini pernah menjadi pusat utama bagi agama Buddha, di mana agama ini menyebar dari Asia Selatan ke seluruh penjuru Asia. Ia dianggap sebagai koridor Buddhisme kerana ramai sami Cina yang datang ke Kashmir untuk belajar serta mengajarkan agama Buddha. Selain itu, ia juga merupakan perhentian penting bagi Jalan Sutera kuno di mana nama Gilgit pernah disebut dalam catatan perjalanan pengembara lagenda Tang Xuanzang.


Monumen persahabatan yang dibangun di persimpangan Lebuhraya Karakoram

Hari ini, Gilgit berfungsi sebagai persimpangan utama Lebuhraya Karakoram yang bersambung ke kota Kashgar di Xinjiang serta bandar-bandar lain Pakistan termasuk Skardu, Chitral, Peshawar, dan Islamabad. Kegiatan ekonomi bandar ini pula tertumpu kepada pertanian, dengan gandum, jagung, dan barli adalah penghasilan utama bagi tanaman penduduk di sini.

Wilayah yang sejuk ini adalah entiti politik paling utara di Pakistan. Ia berbatasan dengan Khyber-Pakhtunkhwa, Koridor Wakhan di Afghanistan, Xinjiang di China, dan Jammu Kashmir di India. Selama di Gilgit, aku tinggal di rumah seorang rakan Couchsurfing merangkap seorang pegawai bank bernama Zamin Haidir, yang terletak di pinggir kota.

Zamin sebenarnya adalah penganut syiah aliran Jaafari, yang sama sekali berbeza dengan orang Ismaili yang mendominasi daerah Chitral. Gilgit-Baltistan adalah satu-satunya wilayah yang dihuni oleh majoriti orang Syiah dengan 80% penduduknya merupakan Syiah Jaafari, 10% daripadanya pula orang Ismaili, manakala 10% lagi adalah pengikut Sunni yang merangkumi kedua-dua aliran Deobandi (jamaah tabligh) dan Barelwi (ahli sunnah) yang berpegang kepada mazhab Hanafi.

Jaafar as-Sadiq adalah imam keenam bagi pengikut syiah. Selepas kewafatannya, orang syiah mula berbeza pendapat tentang siapa yang akan menjadi imam setelahnya kerana Jaafar memiliki dua orang putera. Lalu lahirlah aliran Ismaili apabila sebilangan orang syiah memilih untuk mengikuti Ismail ibn Jaafar manakala yang selebihnya pula mengangkat Musa al-Kadhim sebagai imam ketujuh. Jaafar as-Sadiq juga turut dihormati oleh orang Sunni kerana riwayat yang menyatakan bahawa beliau pernah menjadi guru bagi Abu Hanifa (pendiri mazhab Hanafi) dan Malik bin Anas (pendiri mazhab Maliki).

Kehidupan di desa tempat tinggal Zamin berjalan sederhana. Pagi hari, selepas Zamin keluar bekerja, aku hanya melewatkan masa beristirehat di halaman rumah sambil membaca buku dan menghirup teh hijau hangat yang disediakan ibunya. Ada daya magis luar biasa yang aku rasakan di sini. Barisan gunung tinggi seakan memancarkan udara murni untuk bernafas. Di sini tak perlu kita bicara tentang pencemaran dan pemanasan global. Kenyamanan Gilgit justeru menjadikan aku malas. Siapa saja yang tak menjadi malas apabila menikmati kehidupan tanpa hingar-bingar, keluh-kesah, dan kemorat-maritan dunia? Siapa pula yang tak terbius dengan keindahan nirmala gunung-ganang Himalaya dan Rakaposhi? Di sini yang berkuasa hanyalah nyanyian bisu barisan pergunungan yang bergema hingga ke relung hati. Satu jam.. Dua jam... Aku terbang bersama waktu.


Bersama anak lelaki Zamin yang berusia 2 tahun

Daripada terus terpana oleh daya pukau gunung-gunung itu, aku memilih untuk keluar menjelajahi kota Gilgit. Seperti biasa, keramahtamahan khas warga Pakistan yang aku temui di jalanan bukan lagi sesuatu yang mengejutkan selepas berbulan-bulan aku berjalan di negara ini. Undangan minum teh memang tak pernah berhenti ditawarkan oleh orang-orang samada dari pejalan kaki, pengusaha hotel, mahupun pemilik warung.

Pukul 13:00, aku singgah di sebuah restoran untuk makan tengah hari. Di restoran ini aku berjumpa dengan Tim dan Lauren, pasangan dari Belanda yang mengembara di Pakistan menggunakan sebuah jeep yang dipandu langsung dari negaranya menuju India. Ketika bertemu aku, pertanyaan yang pertama yang keluar dari mulut Tim adalah, "Is the Wagah border still open?" Mereka sebenarnya sudah mulai khuatir sekiranya tidak dapat menyeberang ke India kerana baru-baru ini pemerintah Pakistan sudahpun mengambil langkah menutup pintu ke Iran di perbatasan Taftan demi mengekang penularan wabak coronavirus.

Pasangan ini baru saja datang dari Hunza setelah melewatkan beberapa hari di sana, dan sekarang menuju ke Abbottabad, lalu ke Islamabad, dan ke Lahore.

Sebaik mengetahui aku dari Malaysia, Lauren menjadi sangat teruja.

"Wow! I love your country very much!" serunya.

Dia masih terkenangkan betapa damainya ‘syurga’ di Pulau Tioman, beberapa tahun lalu. Aku seakan tak percaya tatkala mendengarkan nama Pulau Tioman disebut di dalam sebuah restoran dekat utara Pakistan. Kemudian dia sibuk menceritakan betapa indahnya pergunungan Karakoram dan Pamir yang perkasa dengan jubah putih yang menjuntai dari puncak hingga ke lereng di Lembah Hunza. "You should go there, it’s fantastic!"

Luar biasa, gunung-gunung yang berpuisi, aliran sungai yang memahat, dan hamparan padang hijau yang mewarnai. Hari-hari yang mereka lalui serasa terbang di hadapan puncak-puncak tirus pergunungan ‘katedral’ Passu yang menjulang ke langit dan Lembah Hunza bersalju, ditemani dudhpatti – teh susu panas, roti chapati, dan seplastik aprikot kering.

Dari cerita menggebu-gebu pasangan Belanda inilah aku mulai meraba bayang-bayang Hunza. Ya, daerah tetangga itu hanya berjarak 100 kilometer di sini.

Kami mengucapkan salam perpisahan sekitar pukul 15:30, apabila Tim dan Lauren mula meminta diri untuk meneruskan perjalanan mereka menuju ke Abbottabad di selatan. Di luar restoran, terpampang barisan huruf-huruf gergasi yang berdiri sejajar membentuk sepotong ayat tipikal seperti di kota-kota lain seluruh dunia.

"I LOVE GILGIT". Itulah tanda ungkapan yang dibangun oleh pihak pentadbiran tempatan untuk menunjukkan semangat patriotisme terhadap wilayah ini. 

(bersambung)


Ukiran batu Buddha di Gilgit, membuktikan agama ini telah bertapak di sini sejak sekian lama

Dumpling atau manto, adalah makanan popular di daerah ini

Kota Gilgit

Aktiviti berjabat tangan sudah dilarang sejak coronavirus mula menular di Gilgit-Baltistan

Tanda patriotisme

Pejabat pos besar Kota Gilgit



Backpacking Pakistan 32: Sebuah Desa di Pinggiran Abbottabad

 

Permainan kriket mengisi petang hari anak-anak muda di desa Sheikul Bandi


20 Mac 2020

    Di sebuah desa kecil Sheikhul Bandi, 3 kilometer dari kota Abbottabad, aku diundang untuk menginap di rumah keluarga Pathan.

Pemuda ini bernama Qassim Jadoon, berumur 24 tahun. Wajahnya bujur. Bola matanya besar. Hidungnya mancung, dan garis wajahnya kuat. Tubuhnya sederhana dan kurus. Kulitnya putih bersih, jauh lebih putih daripada ukuran orang Punjabi atau Sindhi. Qassim adalah lelaki dari suku Jadoon, salah satu cabang suku bangsa Pashtun, yang disebut Pathan dalam Bahasa Urdu. Orang Pashtun juga sering dipanggil sebagai Afghan, etnik terbesar yang menduduki Afghanistan.

Persinggahan aku di rumah keluarga Qassim sebenarnya adalah secara kebetulan. Ketika dalam perjalanan menuju ke Gilgit dari Lembah Swat yang jauhnya lebih 600 km, aku baru tahu rupanya aku tak akan sampai ke destinasi yang dituju pada hari yang sama. Pemandu kereta yang aku tumpangi menyarankan aku untuk turun bermalam di Abbottabad sebelum mencari tumpangan lain ke Gilgit pada keesokan hari. Kebetulan pula Qassim, pemuda yang aku kenali dua bulan lalu di Islamabad sedang bercuti di kampung halamannya. Melalui perbualan singkat menerusi Whatsapp, dia mengajak aku bermalam di desanya yang bernama Sheikhul Bandi.


Bersama Qassim semasa di Islamabad

Abbottabad berada dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa atau KPK, wilayah yang terletak di sempadan Afghanistan peninggalan kolonial Inggeris. Majoriti penduduk wilayah ini merupakan etnik Pashtun atau Pathan, bangsa yang tersohor akan kegagahan dan kekeraskepalaannya. Tak seperti British India yang tertakluk dalam kekuasaan Inggeris, orang Pathan mempunyai daerah yang separuh merdeka. Daerah itu dinamakan Federally Administered Tribal Area (FATA) atau Pentadbiran Persekutuan Daerah Persukuan di mana undang-undang kolonial tidak terjangkau di sana. Di tribal area, orang Pathan masih menerapkan hukum adat dan kesukuan mereka yang didasarkan atas nilai-nilai Pashtunwali.

Catatan berkaitan Tribal Area: Backpacking Pakistan 15

Kini, romantisme tribal area sama sekali bukan lagi tentang romantisme suku-suku eksotik yang menghuni pedalaman gunung-ganang tersembunyi. Bila bercakap tentang tribal area di wilayah KPK, yang terbayang adalah orang-orang berkopiah dan bertopi pakol yang menggalas senjata atau pejuang Taliban yang bersembunyi di gua-gua. Hanya beberapa kilometer sahaja dari kota Peshawar, sejurus melintasi Baab-i-Khyber (Gerbang Khyber) menuju ke Khyber Pass, tribal area digarissempadankan. Daerah tersebut sama sekali terlarang untuk dikunjungi oleh orang asing, atas alasan keselamatan.

Catatan berkaitan Khyber Pass: Backpacking Pakistan 14

Sheikhul Bandi, kampung bagi suku Jadoon, memang bukan dalam lingkaran tribal area. Tetapi di dalam sebuah warung teh, saat aku berbual bersama para lelaki Pathan di depanku, ada hembusan keganasan tribal yang dapat aku rasakan, terutamanya melalui percakapan seorang rakan Qassim.

“Saya benci orang Hazara,” katanya.

Hazara adalah etnik kedua terbesar di Afghanistan, tetapi minoriti di negara ini. Di Pakistan, kebanyakan orang Hazara tinggal di Quetta di wilayah Balochistan. Bangsa ini mempunyai raut wajah Mongoloid dan menganut fahaman Syiah.

“Di Afghanistan sana, Hazara membunuh ramai orang Pashtun. Mereka itu kafir!” Tambah lelaki ini.

Konflik Hazara membunuh Pahstun dan Pashtun membunuh Hazara sudah menjadi berita yang seakan tak ada kesudahan di Afghanistan. Di negara perang tersebut, darah dibalas darah. Dendam kesukuan tidak pernah habis. Perang tak pernah berakhir di sana sejak puluhan tahun yang lalu. Semangat kebencian suku-suku Afghan itu bahkan sampai di Pakistan, atau lebih tepat lagi di Balochistan, wilayah yang dihuni oleh majoriti pelarian Hazara dari tanah Afghanistan.


Pelitup muka mula dijual secara besar-besaran di jalanan kota selepas kematian pertama berkaitan Covid-19 dilaporkan pada 20 Mac


Kalau konflik Hazara dan Pashtun adalah masalah rumit primordialisme etnik yang bercampur dengan dendam, kebanggaan kesukuan, sentimen agama, budaya, fanatisme, dan pergeseran nilai, namun di mata Qassim semuanya itu sederhana, “Hazara membunuh orang Pashtun sebab kami bercakap bahasa yang berbeza,” ujar Qassim, “kami bertutur Pashto sedangkan mereka berbahasa Dari!”

Aku tak tahu pasti bagaimana ketegangan permusuhan antara dua bangsa ini di seberang sana. Yang aku tahu, situasi di sini memperlihatkan aku lebih kepada penindasan ke atas orang-orang Hazara. Komuniti Hazara di Quetta, dikhabarkan menjadi korban penganiayaan dan kekerasan. Sudah ribuan lelaki, wanita dan anak-anak kecil Hazara kehilangan nyawa mereka dan lebih daripada 1500 orang tercedera dalam beberapa siri insiden pengeboman di Quetta sejak tahun 2013. Kelompok militan ekstrim Muslim Sunni Pakistan dan Lashkar-e-Jhangvi, dipercayai menjadi dalang di balik serangan-serangan ke atas komuniti Hazara tersebut.

Sejarah menuliskan, bangsa Hazara telah tinggal di Pakistan sejak abad ke-17, di sebuah wilayah bernama Khurasan, yang kemudiannya dimasukkan ke wilayah Afghanistan secara politik.  Lalu bangsa ini berpindah tempat pada masa selanjutnya kerana penganiayaan yang dilakukan oleh Emir Abdul Rahman Khan, raja Afghanistan yang berkuasa pada abad ke-19. Orang Hazara secara umumnya merupakan minoriti Muslim Syiah yang berada di Pakistan, negara yang didominasi Muslim Sunni dan bangsa ini mudah dikenali melalui wajah Mongoloid mereka.

Berbagai pertubuhan pembelaan seperti Hazara Tribe International Network, dibentuk bagi menyuarakan kecaman, serta perhimpunan untuk melakukan penentangan terhadap penindasan. Diaspora Hazara di Australia, Eropah Barat dan Amerika Utara juga melakukan tunjuk perasaan dari masa ke semasa. Haji Mohammad Mohaqiq, seorang pemimpin politik Hazara di Afghanistan, turut menunjukan keprihatinan terhadap masyarakat Hazara di Quetta.

Tapi konservatisme Islam versi Pathan bukan perihal yang boleh dibuat main. Bangsa ini berpegang teguh dengan pegangan sunni Hanafi. Siapa saja yang berfahaman bukan sunni adalah kafir di mata mereka. Noktah. Perbahasan tentang konflik sektarian terus menjadi topik pengisi minum petang aku bersama para pemuda Pathan ini yang terus berkobar-kobar menghujat orang Hazara tanpa ampun. Menyesalnya aku kerana membangkitkan pertanyaan tentang isu ini pada awalnya. Di warung teh ini, di mana warga desa yang lain turut bercengkerama melewatkan petang hari, menatap aku dengan penuh keingintahuan apabila mendengarkan perbualan kami yang membicarakan tentang syiah dan Hazara.


Ramai pemilik kedai di Abbottabad mula menutup kedai sejak Covid-19 sudah menular ke wilayah Khyber Pakhtunkhwa meskipun pada ketika itu pihak pemerintah masih belum mengisytiharkan lockdown di seluruh negara

Di sini, aku menyerahkan sepenuhnya nasib aku di tangan Qassim yang menemaniku. Orang Pashtun, walaupun terkenal dengan sifat keras dan garang, sebenarnya memegang kuat prinsip hidup bangsa mereka yang disebut Pashtunwali. Perkara nombor satu daripada semboyan hidup mereka adalah melmastia, iaitu keramahtamahan. Mereka sentiasa memberikan yang terbaik bagi tetamu, tanpa mengharap imbalan apa pun. Jangan terkejut, tuan rumah bahkan sanggup merelakan nyawanya tergadai demi melindungi sang tetamu. Boleh jadi itulah alasan yang paling kukuh untuk menjelaskan mengapa Mullah Omar, komandan mujahidin Pashtun yang memimpin Taliban tak mahu menyerahkan Osama Bin Laden walaupun negaranya diporakperandakan tentera musuh. Osama, pengasas al-Qaeda berwarganegara Arab Saudi yang dibuang kerakyatan datang ke Afghanistan sebagai tetamu. Ribuan nyawa orang Afghan melayang hanya untuk melindungi sang tetamu yang satu ini.

Selepas sepuluh tahun diburu, Osama akhirnya ditembak mati di kota ini, Abbottabad pada tahun 2011, atau lebih tepat lagi di Bilal Town, sebuah pekan kecil yang hanya berjarak kurang 5 km dari desa Sheikhul Bandi.

Seorang lelaki menyampuk, “Osama itu hanya watak ciptaan Amerika untuk memecahbelahkan umat Islam. Bahkan bangunan WTC pun dihancurkan Amerika sendiri untuk dijadikan alasan menyerang umat Islam!”

Teori konspirasi ini tampaknya sangat lazim di banyak negara. Aku pernah mendengar penjelasan yang serupa ketika aku di India dahulu.

Check this out: Air Asia Grocer

Petang berganti senja, desa Sheikhul Bandi pun berganti wajah. Langit biru yang mulanya bermandi awan, berubah menjadi merah dan jingga ketika mentari mulai perlahan-lahan terbenam di balik pergunungan menjulang. Tumbuhan di sekeliling yang kembali menghijau pasca musim dingin tetap menyejukkan mata yang memandang. Anak-anak muda masih rancak bermain kriket di kaki bukit sedangkan para penggembala mula memimpin haiwan ternakan balik ke kandang. Aku sempat meneguk secawan teh yang terakhir di warung ini, sebelum Qassim mengajak aku pulang.

Dalam remang-remang senja, dari jauh aku melihat siluet beberapa lelaki berjalan menggalas senapang di bahu. Mungkin pihak berkuasa yang sedang membuat rodaan, atau mungkin pula penduduk desa yang baru pulang dari memburu. Aku tak tahu.

Tapi tak ada apa yang perlu dikhuatirkan ketika menjadi mehman di sini. Ada Qassim yang sentiasa melindungi aku. Sebagai seorang tetamu, aku amat menghargai akan kemurahan hati orang Pashtun yang sangat memuliakan mehmannya.

(bersambung)


Bermain ludo bagi mengisi kebosanan masa lapang 

Bersantai di bawah matahari bersama keluarga Qassim

Hidangan malam istimewa: Roti nan bersama otak lembu

Bukannya barisan kenderaan yang mengisi jalanan desa sebaliknya haiwan ternakan yang berkeliaran


Backpacking Pakistan 30: Berkeliling Desa


18 Mac 2020

       Bayang matahari sudah lenyap di balik gunung batu yang menjulang bak tembok raksasa di kiri dan kanan. Langit petang di Sarghuz yang muram bertukar senja. Aku membonceng motosikal yang ditunggangi Sadiq pulang.

Meskipun desa ini begitu sepi ditinggalkan penduduk setiap kali tibanya musim sejuk, namun bukan bermakna semua rumah di sini kosong tak diduduki. Masih ada setidaknya 3 ke 4 rumah yang aku lihat masih ada penghuninya. Anak kecil berkejar-kejaran di halaman rumah, berteriak senang tatkala melihat ‘orang asing’ berjalan melintasi mereka. Ada yang malu-malu mengintip dari balik kaca jendela. Semua berjaket tebal, bertopi hangat. Beberapa daripadanya mengenakan sarung tangan yang berlubang-lubang. Daif sekali. Biri-biri Sarghuz lebih beruntung, kerana dikurniakan bulu yang tebal, menjuntai panjang sampai menyentuh tanah.

Walaupun alam di sini keras dan tak bersahabat, penduduk Sarghuz tidak luntur dengan kehangatannya menyambut ‘mehman’. Orang Pakistan tidak pernah bermain-main ketika menyebut kata mehman. Erti harfiah bagi tetamu. Kata itu menyiratkan penghormatan yang luar biasa terhadap musafir, kemurahan hati sebagai bahagian daripada ibadah, dan ketulusan untuk menolong sesama insan.

Sebuah pintu rumah batu terbuka. Seorang lelaki yang aku kira dalam lingkungan 50-an berkemeja kotak dan rompi merah mengundang aku dan Sadiq untuk singgah ke rumahnya. Dia langsung mendakap aku, ibarat saudara jauh yang sudah lama terpisah. Di Pakistan, berpelukan dahulu sebelum berjabat tangan adalah norma (atau mungkin budayanya?) berbanding negara kita yang melakukan sebaliknya. Menurut Sadiq, pelukan adalah tanda sebagai wujud penghormatan manakala bersalaman itu sunnah untuk menggugurkan dosa.



Lelaki ini adalah pakcik Sadiq, seorang freelancer yang baru berpindah ke desa ini sekitar tiga tahun lalu setelah sepuluh tahun bermustautin di United Kingdom. Penampilannya kemas dari batang tubuh hingga ke mata kaki, tentu saja dia bukan orang biasa. Tingkat pelajarannya tinggi. Bahasa Inggeris yang laju mengalir dari mulutnya sedikit sukar untuk aku fahami kerana loghat Britishnya yang agak kental.

Sebagaimana layaknya seorang intelektual, perbualan kami banyak berkisar tentang kemajuan. Katanya, dia kini bersama sebuah pertubuhan NGO miliknya sedang giat melakukan usaha untuk meminta pihak pemerintah membawa sambungan internet dan elektrik yang stabil masuk ke kawasan lembah tersembunyi ini. Dia juga berhubung rapat serta menjalin kerjasama dengan organisasi milik pemimpin umat Ismaili, Aga Khan Development Network dan  Aga Khan Foundation untuk merambah pembangunan sosio-ekonomi bagi komuniti marginal desa ini.

Impiannya memang menggunung tinggi, ingin melihat perubahan di dusun mati ini. Mimpi-mimpi itu juga yang membawanya pulang meninggalkan kehidupan selesa di eropah sana demi membaktikan diri kepada masyarakat desa. “Nabi berpesan,” katanya, “sebaik-baik manusia adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain.”

Aku jadi teringat dengan Javed semasa aku di Booni tempoh hari. Dia pernah mengatakan bahawa  orang Ismaili memang jarang berangkat naik haji. Imam besar mereka, Karim Aga Khan, menyarankan pengikutnya untuk menyumbangkan wang ke jemaat khana – masjid orang Ismaili – yang kemudiannya akan mengatur penggunaan wang itu buat keperluan ummah.

“Itulah sebabnya orang Ismaili lebih berpendidikan,” kata pakcik Sadiq menepuk dadanya dengan bangga, “Sembilan puluh sembilan persen orang Ismaili boleh baca tulis. Sedangkan Muslim lain di Pakistan, buta hurufnya sampai 60 persen, terutama kaum perempuan.”

Isterinya turut berada di ruangan ini. Tapi dia tak banyak bicara. Hanya tersenyum senang melihat kami berbual panjang. Dengan cekatan perempuan bertudung separa ini langsung menyiapkan chapati, yang digoreng di atas kuali datar. Kemudian datang pula seorang jiran perempuan, bergabung bersama kami. Kedua-dua wanita ini bersalaman dan saling mencium tangan pada saat bersamaan.

Angin masih menderu kencang ketika kami meminta diri untuk meninggalkan rumah pakcik Sadiq. Gelap senja menutup pandangan. Di sini hanya ada satu jalan, tidak ada percabangan atau persimpangan. Semuanya dibatasi bayangan gunung-gunung raksasa yang megah bak tembok tak tertembus.

Malam hari, giliran ibu Sadiq pula yang bekerja. Perempuan separuh abad yang bertudung hijau ini sibuk menyiapkan makan malam. Menunya adalah hirisan kentang dan daging kambing. Baunya harum sekali. Dia memasak di ruangan yang sama dengan tempat tidur. Tetapi justeru di bahagian ruangan inilah kedinginan musim sejuk terasa begitu hangat.

Tempat memasak rumah ini berhubung dengan cerobong. Asap dapur menguap berkepul-kepul ke luar rumah. "Cerobong ini baru diperkenalkan di awal tahun 80-an," terang bapa Sadiq, "sebelumnya, tanpa cerobong asap, banyak kecelakaan, bayi-bayi menjadi buta."

"Oh bahaya juga ya," aku tercengang melihat kepulan asap hitam itu, sambil membayangkan anak-anak kecil yang tidur dalam ruang yang dipenuhi asap yang dihasilkan oleh bakaran kayu kering.

Tangan ibu Sadiq sangat cekap menguli tepung, kemudian mencelupkan ke dalam minyak di kuali, digoreng dengan api kecil. Ini adalah shelpek, roti goreng tradisional orang Asia Tengah. Ia dihidangkan bersama dooth pati chai (teh susu) yang masin. Sebelum mula bersantap, dua anak saudara Sadiq terlebih dahulu melayani orang-orang dewasa di rumah ini.

Yang seorang membawa pot berisi air hangat, seorang lagi dengan baskom dan serbet. Air mengucur dari leher pot, membasahi kedua-dua tangan aku, dan mengalir ke baskom yang ditadah di bawah. Kemudian giliran ayah Sadiq, disusuli Sadiq dan abangnya. Di sini turutan juga adalah penting. Mehman selalu yang pertama.

Tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Ayah Sadiq bergegas bangkit dan menyalakan lampu mentol yang menggunakan tenaga bateri sekaligus menambah seberkas cahaya dalam kepekatan malam. Api unggun di tengah ruangan terus berkobar marak.

Dalam remang-remang cahaya di rumah ini, denting dawai rubab abang Sadiq memecah kesunyian. Suaranya melenting, mengalun lembut, membawa nuansa pergunungan dan padang rumput ke dalam ruangan gelap ini. Sadiq pula memainkan seruling. Semua diam, takzim mendengarkan sang pelantun yang wajahnya berkedip-kedip dalam keremangan mentol lampu.

Lailai lailailailai lailai lailailailaiiiii….,” dia memulakan lagunya, dilanjutkan sebaris puisi dalam bahasa Khowar atau Chitrali, bahasa yang dipakai di Lembah Mastuj dan berkerabat dengan bahasa Shina yang dituturkan penduduk Lembah Yasin, dekat wilayah Gilgit-Baltistan.


Memetik rubab di dalam remang cahaya lampu

Gunung-gunung tinggi yang menjulang mengurung manusia-manusia dalam keterisolasian menjadikan lembah-lembah di Pakistan Utara kaya dengan keragaman budaya, identiti, dan bahasa. Dari orang gunung bawah yang berbicara bahasa Kohistan, orang Kalash yang animis bertutur Bahasa Kalasha, sampai orang Hunza yang berbahasa Burusashki yang menghentak, hingga orang Tajik di Broghil yang bercakap bahasa Wakhi dan menghirup teh susu bercampur garam seperti orang Kashmir.

Pukul dua belas tengah malam, seluruh isi rumah sudah mula mengantuk. Mata aku juga mulai terasa berat. Badan aku sudah remuk setelah menempuh perjalanan berat dari Booni ke Mastuj, selain seharian berjalan berkeliling desa, bertamu di rumah pakcik Sadiq, sampai mendengar cerita abangnya yang seakan tiada kesudahan. Sadiq menyiapkan tilam tebal, lengkap dengan dua lapis selimut tebal yang berat. Aku membenamkan tubuh seperti roti sandwich di antara lipatan selimut.

Lampu mentol dimatikan. Gelap menyelimuti seluruh ruangan.

Fir milenge. Jumpa lagi besok,” ucap aku menutup malam.

“Insya Allah….,” Si bapa menyahut.

(Bersambung)


Kanak-kanak desa riang melihat orang luar berkunjung ke Sarghuz

Kambing biri-biri di Sarghuz yang berbulu lebat


Backpacking Pakistan 29: Tanpa Sinar Matahari

 

Desa Sarghuz terperangkap di tengah kepungan gunung dan terletak di dasar lembah

17 Mac 2020

    Sarghuz terperangkap dalam sepi. Meskipun salji setinggi lutut yang pernah menutup jalan kini sudah cair sepenuhnya, langit kelam terkadang masih lagi mengguyurkan salji halus, menyelimuti puncak gunung dengan warna putih yang merambah ke semua sudut. Teras-teras dusun terlihat bagaikan lautan salju yang berombak. Aku terperangkap di desa ini.

Sarghuz adalah salah satu daripada beberapa buah kampung yang terletak di Mastuj. Mastuj, juga dieja Mastooj, merupakan sebuah permukiman kecil atau ‘tehsil’ (تحصیل) bagi daerah Upper Chitral di bahagian utara wilayah Khyber-Pakhtunkhwa. Ia terletak pada altitud 7742 kaki dan berfungsi sebagai pusat pentadbiran bagi sejumlah desa di sini. Istilah ‘tehsil’ yang digunapakai sebenarnya telah menggantikan istilah pembahagian geografi yang sebelumnya, seperti ‘pargana’, ‘pergunnah’, dan ‘thannah’, yang digunakan ketika di bawah pemerintahan British Raj.

Aku tiba di Mastuj dengan menaiki sebuah jip yang menumpangkan aku dari Booni. Di dalam perjalanan, si pemandu memacu kenderaannya dengan laju sekali di seutas jalan sempit yang berbelok-belok di bibir jurang. Aku terlonjak-lonjak ketakutan dan menghembus nafas panjang berkali-kali ketika jip kami berselisih dengan kenderaan lain yang datang dari arah hadapan. Hingga pada akhirnya, aku selamat tiba selepas dua jam mempertaruhkan nyawa di tangan si pemandu yang membawa aku bertualang menyusuri pinggang gunung.


Perjalanan di medan berat menuju Mastuj

Jalan menuju Sarghuz juga tidak kurang seramnya

Di Mastuj, aku berkenalan dengan seorang pemuda. Lelaki ini bernama Sadiq Ullah, seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah milik kerajaan. Dia pada awalnya cuma mengundang aku ke rumahnya di Sarghuz untuk sekadar menghirup doodh pati chai, namun kemudian bapanya menawarkan aku untuk menginap. “Keramahtamahan adalah hukum utama di tempat ini,” kata si bapa, “semua orang suka menerima tetamu.”

Rumah ini, dari luar tampak seperti kotak kelabu yang tak menarik sama sekali. Di dalamnya pula, di balik tirai tebal yang menutup lubang pintu, kehangatan sebuah keluarga langsung menyambut aku. Walaupun ukuran rumah ini tidak besar, orang yang tinggal di dalam rumah ini ramai sekali. Lebih dari sepuluh yang jelas, setidaknya ada tiga generasi. Sistem kekeluargaan yang berlaku adalah semua kerabat tinggal bersama sebagaimana budaya dan tradisi penduduk Asia Selatan.

Kehangatan tentunya bukan hanya disebabkan ramainya penghuni di rumah ini. Di tengah ruangan ada sebuah tungku dan cerobong asap berjelaga. Api menyala dari dalam tungku yang berisi kayu api dan ranting kering. Seorang perempuan menjerang air, menyiapkan cawan, sambil menata roti untuk dihidangkan kepadaku.

Hanya ada satu ruangan di rumah ini. Di sekeliling tungku, keempat sisinya berupa panggung yang terbuat daripada tanah. Kaum lelaki duduk di satu sisi, manakala kaum wanita dan anak-anak di panggung seberang. Walaupun duduk terpisah, wanita anggota keluarga dan aku si tetamu lelaki masih duduk di ruangan yang sama, berbual-bual tanpa ada sebarang halangan.

“Kami adalah pemeluk Ismaili,” kata Sadiq seraya menunjukkan potret sang pemimpin spiritualitinya, Yang Mulia Aga Khan. “Dalam ajaran Ismaili orang perempuan itu sama darjatnya dengan laki-laki.”


Pemimpin umat Ismaili, Aga Khan

Di bahagian lain Pakistan, jangankan berada dalam satu ruangan dengan kaum perempuan, memandang dan bercakap pun hampir mustahil sama sekali. Maka sebab itulah semua rumah di negara ini mempunyai sekurang-kurangnya sebuah ‘mehman khana’ – ruangan tetamu (atau disebut betak dalam bahasa Pashto) kerana pentingnya menjaga aurat anggota keluarga yang perempuan agar tidak sampai terlihat oleh orang luar. Tetapi di bahagian utara Pakistan yang rata-ratanya dihuni penganut Ismaili seperti di Upper Chitral, Sost, Skardu, Lembah Hunza dan Gojal, aturannya jauh lebih longgar kerana kehidupan mereka yang boleh dikatakan moderate.

Tengah hari, Sadiq mengajak aku berkeliling desa. Ternyata ada puluhan rumah di sini. Buta arah, aku mengikut saja ke mana Sadiq berjalan. Angin menderu tanpa ampun, menebarkan dingin yang menggigilkan seluruh tubuh. Rumah-rumah terlihat seragam, kotak-kotak dari tanah liat. Warnanya sama persis dengan warna bumi, rumput kering, pohon gondol tak berdaun, gunung yang kehilangan karpet hijaunya. Dunia di desa ini hanya diliputi satu warna: kemeranaan hidup tanpa cahaya matahari. Tapi tawa Sadiq yang meledak-ledak ketika berbual denganku menghalau segala perasaan merana yang menerpa.

“Inilah tempat di mana sinar matahari tak muncul selama dua bulan lebih pada musim sejuk,” kata Sadiq sambil menunjukkan rumah-rumah desa yang nampak tak berpenghuni. Rumput-rumput liar dan kering berpencaran di lorong-lorong kecil penempatan. Kelabu. Gersang sekali.


Desa hantu

Sarghuz terletak cuma empat kilometer jauhnya dari Mastuj. Tapi tiada akses jalan sempurna yang menghubungkannya dengan kawasan pekan. Justeru kami harus menyeberangi Sungai Laspur dan Sungai Yarkhun semasa menuju ke sini. Letaknya di dasar lembah. Di sebelah kiri, tebing gunung menjulang bak dinding yang menggapai angkasa. Di sebelah kanan pula, gunung lain yang sama angkuhnya mendongak. Matahari musim dingin yang berlegar-legar rendah di sebelah selatan tak mampu menjamah rumah-rumah di desa ini, terhalang oleh tembok batu raksasa.

Tak terjangkau sinar mentari, Sarghuz hanya hidup di bawah bayang gelap dan dingin gunung-gunung tinggi. Bukannya sinar matahari yang datang di sini, tetapi longsoran batu dan pasir dari puncak gunung yang boleh meluncur turun pada bila-bila masa.

“Kamu lihat bangunan itu?” Tanya Sadiq sambil menunjuk ke sebuah bangunan kosong yang seakan terbiar, “itulah Jemaat Khana, masjid orang Ismaili.”

Jemaat Khana bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadah, tapi juga sebagai pusat komuniti, tempat bermusyawarah, dewan pernikahan, dan lain-lain majlis buat orang Ismaili. Di musim dingin yang membeku di Sarghuz, Jemaat Khana ini sepi ditinggal tanpa kunjungan.

Malahan bukan cuma rumah ibadah yang mirip rumah hantu, rumah-rumah warga desa pun kosong belaka. Para penduduk berbondong-bondong meninggalkan penempatan mereka untuk beberapa bulan. Desa ini tak bernyawa, hanya rumah hantu dan sawah ladang mati yang ditinggalkan begitu saja setiap kali tibanya musim sejuk. Angin berhembus kencang, suaranya menderu seram.

“Sarghuz memang tak berpenghuni di musim sejuk,” kata seorang pemilik kedai runcit – satu-satunya kedai yang menjual barangan keperluan penduduk desa, mulai dari paku, pisau cukur, sampai mentol lampu. “Warga desa semuanya berpindah ke desa-desa di daerah Lower Chitral yang lebih hangat. Penghasilan saya juga jatuh merudum sebab tak ada pembeli," rungutnya.

Lelaki tua ini ternyata masih belum habis dengan hujahnya, “lihatlah betapa sukarnya hidup di sini sekarang. Bekalan makanan terhad, tak ada air, sambungan elektrik pun cuma dibekalkan empat jam sehari. Pakistan memang negara yang mundur. Kita perlukan komunisme di sini!”

Aku hanya mampu mendengar dan mengiyakan saja kata-katanya. Tapi beranikah dia membicarakan dengan lantang tentang perihal komunisme di luar sana? Mungkin tidak. Hanya dengan aku si orang asing dia merasa nyaman untuk mencurahkan segala isi hatinya, kemarahannya, cita-cita, dan impiannya. Putin dipuja, Xi Jinping disanjung, Uyghur dan Arab dicela. Tetapi itu cuma menjadi gosip politik pengisi bosan di kala dingin menggigit tulang.

(Bersambung)


Kegagalan sinar matahari menembus masuk di musim sejuk menyebabkan kedinginan mencengkam di seluruh desa

Sepi tanpa penghuni

Longsoran tanah adalah kejadian sehari-hari di sini

Tembok raksasa

Sungai Laspur yang perlu direntasi untuk ke desa Sarghuz

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!