![]() |
Poster filem Pashto di sebuah panggung wayang Peshawar |
Sempena Hari Wanita Sedunia, 8 Mac 2025
Hari Wanita Sedunia yang disambut hari ini
membawa aku kembali ke tahun 2020 ketika aku bertemu dengan Ammara, atau
lebih mesra disapa Ammu, seorang backpacker wanita dari Oman yang
menjelajah Pakistan seorang diri. Sejak awal Januari lalu, dia telah melangkah
dari lembah Naran Kaghan yang sejuk ke puncak Khunjerab yang dingin, dari
keindahan Hunza hingga hiruk-pikuk kota Lahore. Aku bertemu dengannya di
Islamabad, di mana kami berkongsi malam ketika perjumpaan bersama komuniti Couchsurfing
tempatan sebelum dia meneruskan perjalanan ke selatan dan aku ke barat. Namun,
lebih daripada cerita-cerita tentang pemandangan gunung dan kota, kisah Ammu
tentang wanita Pakistanlah yang menarik untuk aku kongsikan.
Sebelum tiba di Pakistan, Ammu mengaku
dirinya dibelenggu rasa takut. Cerita-cerita seram tentang gangguan seksual
daripada lelaki-lelaki Pakistan terhadap pelancong wanita - pandangan tajam
yang menusuk, sentuhan tak diundang - membuat dia ragu. Malah aku sendiri,
sebagai lelaki asing, pernah merasakan ketidakselamatan itu. Tetapi setelah
hampir dua bulan menjelajah ke berbagai belahan Pakistan, Ammu mendapati
realiti yang berbeza. “Saya tidak pernah diganggu,” katanya, “malah
keramahtamahan orang Pakistan membuat saya terharu.”
Di Lahore, dia diundang untuk menginap di
rumah keluarga seorang penunggang rickshaw. Dalam ruang sederhana itu,
tiga generasi hidup bersama - bapa, anak, menantu, dan cucu - membentuk ikatan
yang erat. Di sinilah Ammu mendapat keistimewaan khas yang mustahil untuk
pengembara lelaki seperti aku dapatkan: sebagai wanita asing, dia boleh
berbual dengan kaum lelaki keluarga di ruang terbuka, namun dalam masa yang
sama dia juga diizinkan memasuki dunia intim wanita di bahagian rumah yang
tersembunyi. Dari situ, dia mendengar cerita yang tak pernah sampai kepada aku - cerita tentang kehidupan di balik cadar.
![]() |
Terbungkus burqa |
Wanita Pakistan, yang di jalanan tampak sebagai bayang-bayang dalam niqab atau burqa, ternyata memiliki dunia sendiri yang penuh warna. Mereka berbual tentang kosmetik terkini, membandingkan pelembab wajah, dan berkongsi teknik menghias tangan dengan henna. “Kehidupan mereka selesa,” ujar Ammu. Pagi hari dipenuhi tugas rumah - menyediakan sarapan, memasak, mengemas - namun selepas itu, mereka bertransformasi. Alis dirapi, kuku dicat, dan tangan menjadi kanvas seni. Tetapi keindahan ini hanyalah untuk suami mereka; di luar rumah, semua tertutup rapat, meninggalkan sepasang mata yang berbisik tentang rahsia hati.
Suatu hari, Ammu diajak menonton filem
bersama keluarga itu di panggung wayang. Sejak petang, wanita-wanita di rumah
itu sibuk berdandan - memilih pakaian, menyolek wajah, memakai perhiasan -
selama dua jam, hanya untuk ke panggung. Namun, begitu melangkah keluar dari
pintu rumah, mereka lenyap dalam kurungan burqa. Ketika tiba di panggung,
semasa Ammu cuba turun dari rickshaw, jeritan kecil terdengar: “Jangan!
Bahaya!” Bagi mereka, dunia luar adalah ancaman. Tanpa lelaki dari anggota
keluarga, mereka tak pernah berani melangkah sendirian. Ketakutan itu, kata
Ammu, seperti bayang-bayang yang tak pernah pergi.
![]() |
Wanita Pakistan di bazaar |
Pengalaman aku menonton filem Pakistan di Peshawar pula meninggalkan kesan berbeza. Jalan ceritanya kacau - tembak-menembak tanpa logik, beralih mendadak ke tarian sensual yang penuh simbolik. Wanita dalam filem itu, walaupun tak mendedahkan aurat, digambarkan dengan gerakan yang provokatif, mengundang tafsiran yang jauh dari nilai konservatif negara ini. Tiga jam berlalu dengan babak yang berganti kasar, meninggalkan aku dengan rasa hampa. Itu bukan cerminan Pakistan yang aku kenali.
Bagi Ammu, pengalaman tinggal bersama
wanita Pakistan membuka matanya pada kontradiksi yang menyentuh. Mereka
dilindungi dengan ketat - ruang khas di dalam bas, ruangan tertutup di
restoran, keutamaan tanpa beratur - tetapi perlindungan ini justeru lahir dari
ketakutan. Ketakutan terhadap lelaki yang masih memandang mesra walaupun cadar
menyelubungi. “Ini semua untuk keselamatan,” kata Ammu, namun dia juga bertanya
dalam diam: keselamatan dari apa? Tradisi yang mengurung, atau dunia yang
memang tak pernah aman bagi perempuan-perempuan itu?
![]() |
Perempuan Pakistan umumnya tidak pergi ke masjid |
Aku jadi teringat dengan seorang lelaki yang aku temui di Mardan, yang pernah bekerja di Arab Saudi, berkongsi simpatinya terhadap wanita Indonesia dan Filipina yang bekerja di luar negara. “Kasihan mereka, terpaksa berjauhan dengan keluarga,” ujarnya, di mana suami mereka?” Baginya, wanita sepatutnya kekal di dalam ‘istana’ rumah, dilindungi dan disayangi. Bagi wanita Pakistan yang Ammu temui, rumah memang benteng keselamatan - tempat mereka bebas menjadi diri sendiri. Tapi di luar, dunia jadi penjara yang mengintai.
Kisah dari Ammu membuat aku merenung: apa
yang biasa bagi kita, belum tentu tepat bagi mereka. Kebebasan yang kita
agungkan mungkin adalah belenggu bagi yang lain. Di Hari Wanita Sedunia ini,
aku sekali lagi membayangkan - adakah kehidupan wanita Pakistan itu permata
tersembunyi dalam sangkar adat, atau sekadar bayangan indah yang menari di
balik cadar, menyimpan impian bisu yang menanti sinar? Jawapannya mungkin terlepas
dari genggaman kita, tetapi ia berkilau, hidup, di antara lipatan kain dan
nafas mereka.
![]() |
Bersama Ammu di Margalla Hills |