Tujuh Lokasi Menarik yang Aku Terokai di Lombok


Apa lagi yang anda tahu tentang tempat-tempat menarik di Lombok selain daripada Pantai Senggigi, Gili Trawangan, dan Gunung Rinjani? Sebenarnya terdapat banyak lagi. Walaupun ramai yang mengatakan Lombok adalah kembarnya Bali, pulau ini sebenarnya menawarkan keindahan tersendiri yang mustahil boleh ditemui di Bali. Lombok bagi aku adalah seperti kaleidoskop alam semula jadi yang menyajikan berbagai pengalaman kembara yang tersendiri.

Berikut adalah hidden gems yang aku telah terokai ketika di Lombok sekaligus menjadikan perjalanan aku ke sini menjadi sedikit luar biasa:


1. GUA BANGKANG

Kalau anda punya perancangan untuk ke Pantai Kuta di Lombok Tengah, masukkan sekali Gua Bangkang ke dalam bucketlist anda.

Pembentukan stalaktit dan stalagmit di dalam gua ni sungguh luar biasa, serasa seperti di dalam filem Indiana Jones. Lantai gua ini yang berbatu dan dindingnya terukir indah secara semula jadi. Ruang dalamannya yang besar menempatkan kira-kira 5 juta kelawar. Terdapat lubang pada siling gua yang membolehkan cahaya matahari menembus masuk.


Lokasi gua ini tersembunyi di desa Bangkang

Ruang dalaman gua yang begitu indah terlihat apabila dimasuki cahaya matahari

Ketika berjalan di dalam gua, pastikan anda tidak mengganggu kelawar-kelawar yang bergantungan. Ada yang boleh dilihat namun kebanyakannya tidak kerana suasana yang sedikit gelap. Tapi jika anda mahu menyaksikan detik yang lebih dramatik, lakukan kunjungan ke gua ini pada waktu senja, ketika mana semua kelawar keluar di dalam kumpulan yang besar untuk pergi memburu. Aku rasa gua purba ini memang merupakan salah satu lokasi yang harus anda terokai sekiranya berkunjung ke Lombok.

Lokasi Gua Bangkang agak tersembunyi. Ia terletak di bawah bukit di pedalaman Kampung Bangkang, di daerah Pujut. Tempat ni jarang dilawati dan cuma terkenal dikalangan warga tempatan. Akses untuk ke sini tidak mudah dan tidak juga terlalu sukar, tetapi anda perlu menempuh jalan berbukit. Lokasinya agak strategik kerana dikelilingi Pantai Kuta dan Pantai Mawun di kiri dan kanannya. Jarak antara kedua-dua pantai ini pula kurang dari satu jam perjalanan.


2. PANTAI SEMETI

Buat yang meminati fotografi, Pantai Semeti akan memberikan anda perspektif yang dramatik. Di sini terdapat batu-batu yang membentuk susunan kristal seperti di Planet Krypton (planet asal Clark Kent a.k.a Superman) yang berselerak di persisirannya. Ada juga beberapa bongkah batu yang terbentuk seakan piramid Mesir, berdiri teguh di tengah laut. Pantai Semeti sungguh mengingatkan aku kepada planet asal Superman. Justeru tak hairanlah pantai ini juga dikenali sebagai Krypton Beach di dalam Google Map!


Krypton Beach

Panorama Pantai Semeti

Ia terletak di Lombok Tengah dan hanya beberapa kilometer dari Pantai Selong Belanak yang mungkin anda juga tidak pernah dengar akan namanya. Perjalanan untuk sampai ke pantai ini agak sukar, kerana kita perlu melalui laluan tanah yang berbatu (keadaan menjadi lebih buruk ketika hari hujan). Begitupun, dengan pemandangan yang menarik dan suasana yang damai, anda pasti takkan menyesal dengan kesukaran yang perlu ditempuh untuk sampai ke sini.

P.S. Cara terbaik untuk mendapatkan keseluruhan panorama pantai ini adalah dengan melakukan pendakian ke atas batu-batu di pantai ni. Pastikan anda menggunakan kasut yang sesuai jika mahu mendaki bebatuan di sini kerana ketinggiannya yang mencapai 20 meter.


3. PANTAI NAMBUNG

Ini merupakan suatu lokasi yang sangat unik di Lombok Barat. Terdapat air terjun yang mengalirkan air laut! Air terjun ni sebenarnya terhasil oleh ombak ganas yang menghentam batu-batu di tebing lalu mengalir semula ke pantai. Di bawah air terjun ini pula terbentuk sebuah kolam besar yang jernih dan selamat untuk berenang di dalamnya. Walaubagaimanapun, semua risiko adalah tergantung kepada kita sendiri.


Kolam semulajadi di Pantai Nambung

Air terjun unik di tepi pantai

Pantai Nambung adalah hidden gems yang paling eksotik bagi aku. Ia adalah pantai yang sama sekali belum tersentuh, tempat yang orang luar pun tak pernah tahu tentangnya di Lombok Barat. Dan tentu saja, perjalanan ke sini tidak mudah. Aku terpaksa menempuh perjalanan yang begitu menyeksakan, menelusuri desa-desa pedalaman. Oleh sebab pantai ni tersembunyi, aku perlu berjalan kaki hampir satu kilometer dari tempat parkir, dengan pasir pantainya yang menelan kaki hingga ke buku lali. Hampir kejang betis aku untuk tiba di sini. Sungguh penat, tapi berbaloi!


4. TANJUNG POKI

Lebih kurang satu kilometer dari Tanjung Ringgit ada sebuah teluk yang disebut Tanjung Poki (atau Puki). Landskapnya spektakular, seakan sama dengan Tanjung Ringgit. Keduanya mempunyai tebing berbatu yang berdiri bersebelahan dengan laut. Pemandangan di sini tiada had ke seluruh aras selat. Yang membezakan kedua-dua tanjung ni adalah gelombang ombaknya. Di sini, ombak laut yang menghentam tebing Tanjung Poki mampu mewujudkan kesan tindak balas ombak setinggi 10 meter. Keganasan ombak di sini seakan fenomena tsunami kecil.


Ombak tinggi yang terhasil mampu mencecah 10 meter tinggi


Tanjung Poki

Adalah bahaya jika kita mahu menyaksikan ombak ni secara dekat kerana dikhuatiri terjatuh ataupun dipukul ombak ganas tersebut. Tapi aku melihat ada beberapa pengunjung yang berani turun ke tebing yang lebih rendah demi untuk mendapatkan gambar-gambar yang lebih dramatik. Berenang di sini adalah dilarang sama sekali. Di tebing-tebing sekitarnya, terdapat kelibat pemancing-pemancing tegar. Menurut salah seorang pemancing yang aku sapa, ada aktiviti pertandingan memancing anjuran warga tempatan diadakan di sini pada setiap tahun.

Kenderaan pula tidak boleh sampai ke sini. Pengunjung perlu berjalan kaki sejauh ratusan meter naik dan turun bukit sebelum dapat tiba di penghujung tebing. Jika anda punya perancangan untuk ke Pink Beach atau Pantai Ekas, masukkan Tanjung Poki ke dalam bucketlist anda untuk menyempurnakan day trip ke Lombok Selatan.


5. AIR TERJUNG KELIWON

Air Terjun Keliwon, satu lagi lokasi yang sesuai untuk kita menyatu dengan alam. Terletak di Kabupaten, Lombok Tengah, tempat ni terletak di dalam kawasan Air Terjun Benang Kelambu dan Benang Stokel yang terkenal, cuma bezanya lokasi ini masih baru dan tidak ramai yang tahu tentangnya.

Laluan ke sini adalah laluan yang sama ke Air Terjun Benang Kelambu. Namun laluannya cukup panjang dan lebih jauh. Setibanya di Benang Kelambu, kita harus mendaki lagi untuk ke sini.


Air terjun ini tersembunyi jauh di dalam hutan dan tidak ramai yang tahu kewujudannya

Guru terbaik adalah alam. Setiap petualangan pasti akan mengajarkan sesuatu yang bernilai

Laluan turun dan naiknya yang licin agak ekstrem. Sesuatu yang menarik tentang air terjun ni adalah lokasinya yang tersembunyi. Selain itu, tempat ini juga dikelilingi bebatuan. Aliran airnya sangat deras dan dan mencapai ketinggian 15 meter. Hembusan anginnya yang dingin dapat dirasai sebelum kita menghampiri air terjun ini dengan lebih dekat.

Tempat ni adalah hidden gems yang kebanyakan orang tempatan sendiri pun tidak pernah tahu. Jikalau mahu ke sini, dapatkan tour guide terlebih dahulu kerana belum ada penunjuk arah untuk ke lokasi ini. Buat yang anti-mainstream, nah, Air Terjun Keliwon harus ada di dalam bucketlist anda!


6. TANJUNG AAN

Pantai Tanjung Aan adalah satu pantai yang jarang dikunjungi pengunjung luar. Lokasinya bersebelahan dengan Pantai Kuta yang masyhur. Pantai yang sepanjang 2 kilometer ni berhadapan secara langsung dengan Lautan Hindi.


Tanjung Aan juga turut memiliki buaian seperti di Gili Trawangan

"Waktu yang diluangkan di pantai adalah waktu yang dihabiskan dengan baik"

Pantai ini juga merupakan tempat asal Puteri Mandalika. Siapakah Puteri Mandalika? Menurut mitos masyarakat lokal, Puteri Mandalika telah terjun dari atas bukit ke dalam laut kerana mahu mengelak pinangan seorang pangeran yang mahu menyuntingnya. Mitos tersebut turut menyatakan Puteri Mandalika telah bereinkarnasi menjadi Nyale.

Nyale adalah sebutan orang Lombok untuk sejenis cacing laut yang muncul di pantai ini pada waktu tertentu, biasanya pada Februari. Maka sebab itulah perayaan besar rakyat Lombok yang disebut ‘Ritual Bau Nyale’ diadakan di sini pada setiap tahun. Jika anda berminat untuk menyaksikan bagaimana perayaan ni disambut, cuba berkunjung ke Lombok pada bulan Februari. Tarikh sambutannya bergantung kepada bulan penuh di pertengahan Februari.

Apa yang menarik di sini, kita boleh menghabiskan masa selama berjam-jam dengan bersiar-siar, bergambar, dan bermain buaian tanpa gangguan pengunjung lain. Justeru, kenapa perlu beratur panjang di Gili Trawangan sedangkan kita boleh mendapatkan buaian yang serupa di Tanjung Aan?


7. BUKIT MERESE

Tempat ni bukan lagi hidden gems kerana kian popular dan diketahui ramai. Bukit Merese juga sebenarnya tidak ada di dalam perancangan asal aku.

Aku datang ke sini disebabkan planning aku untuk ke utara dan timur Lombok bagi meneroka tiga lagi lokasi tersembunyi telah gagal disebabkan kekangan kos dan masa.

Terletak di Lombok Tengah dan tidak jauh dari Kuta, bukit ni adalah lokasi kegemaran pengunjung yang ingin menikmati matahari senja. Dari bukit ini juga, kita dapat menyaksikan pemandangan pantai Tanjung Aan hingga ke Batu Payung dari aras tinggi.

Tanjung Aan dapat dilihat dari Bukit Merese

Pantai itu menyenangkan, sedangkan gunung pula menenangkan

Keindahan senja dari Bukit Merese

Sedikit tips untuk datang ke sini:

1) Waktu berkunjung

Bukit ni selalunya penuh dengan kunjungan, terutamanya sebelah petang. Jadi sekiranya anda tidak sukakan keramaian, datang pada waktu pagi.

Pertengahan tahun adalah waktu terbaik untuk berkunjung kerana kurang hujan. Pada waktu inilah anda boleh mendaki dengan lebih bebas dan selamat kerana permukaan treknya kering. Pemandangan sekitar bukit ini juga terlihat eksotik dengan rumput yang menguning.

2) Kasut yang sesuai

Trek pendakian ke Bukit Merese tidak sukar dan kurang mencabar serta tidak terlalu tinggi. Untuk menggapai puncak, kita hanya perlukan sekitar 15 minit. Namun begitu, ia bergantung juga dengan keadaan tapak kasut anda kerana permukaan bukit yang licin.

Sebaiknya gunakan kasut yang sesuai kalau mendaki pada awal pagi ataupun selepas hujan. Ketika aku mendaki di sini, tapak kasut aku telah tertanggal akibat tergelincir.

3) Jelajah ke semua sisi bukit

Bukit ni cukup luas. Amatlah rugi jika anda hanya tertumpu di satu tempat sahaja ketika di puncak. Cuba jelajah ke semua sisi bukit dan nikmati seluruh panorama yang terbentang.

4) Bawa air

Pendakian memang mudah, tetapi apabila berjalan dari satu lokasi ke satu lokasi, banyak tenaga yang kita akan habiskan terutama jika kita ke sini pada waktu petang dan cuaca panas.

5) Jaga kebersihan

Tidak ada tong sampah yang disediakan di puncak bukit. Jagalah kebersihan dengan tidak membuang sampah sebarangan.

Jikalau semua pengunjung yang datang ke sini tidak memelihara pesekitaran Bukit merese, lama kelamaan hilanglah seri bukit yang indah ini. maka jadilah seorang traveller yang bertanggungjawab demi menjada kelestarian alam.

Aku rasa itu saja perkongsian tentang kunjungan aku ke Pulau Lombok. Sebenarnya terdapat banyak lagi hidden gems yang boleh diteroka sekiranya kita tak pernah segan untuk bertanya dengan warga tempatan. Walaubagaimanpun, aku menganggap trip ini masih belum sempurna disebabkan aku gagal menyempurnakan kunjungan ke tiga lagi lokasi yang terletak di Lombok Utara.

Semoga aku dapat berkunjung lagi kelak.


Bakso beranak adalah salah satu makanan tempatan yang wajib anda cuba di Lombok

Lombok adalah destinasi yang damai untuk dikunjungi berbanding Bali yang begitu padat dengan pelancong

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Featured Post

Backpacking Pakistan 2: Menembus Perbatasan

Baab-i-Azadi bermaksud 'Gerbang Kemerdekaan' dalam erti harfiah   10 Januari 2020      Perbatasan Wagah dan Attari, demikian ia dik...

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!