Haridwar: Mengubah Sudut Pandang


27 November 2019, Haridwar

"Pergilah ke Uttarakhand. Saya jamin semua tanggapan kamu tentang betapa kotornya Sungai Ganges akan berubah sama sekali," seorang lelaki di Varanasi pernah berkata kepada aku, dua tahun lalu. "Di sana kamu akan melihat Ganges yang berbeza. Sungai suci yang bersih, jernih, dan air yang biru." 

Sungai Ganges merupakan sungai suci kepada penganut agama Hindu yang memujanya sebagai dewi Ganga, di samping juga kaya dengan kepentingan sejarah: banyak sekali bekas ibu kota wilayah atau diraja seperti Patliputra, Kannauj, Kara, Allahabad, Murshidabad, dan Kolkata terletak di sepanjang tebingnya. Pada awal Zaman Veda hingga Zaman Rigveda, Sungai Indus dan Sungai Sarasvati adalah sungai suci yang utama. Namun sejak Veda ke-3, Sungai Ganges mendapat tempat. Dataran Ganges juga telah menjadi saksi bisu terhadap berbagai lokasi peradaban dari Empayar Maurya hinggalah ke Empayar Mughal yang pernah menguasai tanah Hindoostan.

Dalam buku 'Dicovery of India' terbitan 1946, mantan perdana menteri India yang pertama, Jawaharlal Nehru pernah menyanjungi keagungan Sungai Ganges dengan berkata;

"Sungai Ganges ialah sungai terpenting di India, yang menawan sanubari dan menarik berjuta-juta orang ke tebingnya semenjak bermulanya sejarah. Kisah Sungai Ganges, dari puncanya hingga ke laut, dari zaman dahulu hingga masa kini, ialah kisah tamadun dan kebudayaan India, kisah kebangkitan dan kejatuhan empayar, kisah kota-kota agung dan megah, kisah pengembaraan manusia…"

Bathing Ghat menjadi tempat pemandian umum setiap hari

Lembangan sungai Ganges menyalirkan air kepada keluasan yang melebihi sejuta kilometer persegi untuk menampung salah sebuah kawasan yang paling tinggi ketumpatan pendudukan manusia di dunia, iaitu sekitar 400 juta orang yang tinggal di kiri dan kanan tebingnya bermula dari Haridwar, Kanpur, Allahabad, Varanasi, Ghazipur, Patna, hingga ke Kolkata. 

Sungai ini melebihi 2500 kilometer panjang, bersumber dari glacier yang cair di Gangotri, pergunungan salju yang menggapai paras 8000 meter di barat banjaran Himalaya, lalu mengalir ke arah delta Sungai Sundarban di Teluk Benggala dan berakhir di sana. Salah satu daripada cabangnya menjadi Sungai Yamuna, di mana Taj Mahal agung berdiri di pinggirnya. Seperti Ganges, Yamuna juga sangat dihormati dalam agama Hindu dan disembah sebagai dewi Yamuna. Ia melintasi beberapa negeri seperti Uttarakhand, Haryana, Uttar Pradesh, Himachal Pradesh, dan Delhi sebelum bersatu semula dengan Ganges di Triveni Sangam, Allahabad. 

Dua tahun berselang, kini aku telahpun berada di Uttarakhand, negeri ke-17 dalam siri petualanganku ke seluruh India. Negeri ini mulanya dikenal dengan nama Uttaranchal dari tahun 2000 hingga 2006 sebelum ditukar kepada Uttarakhand. Ia secara sah telah menjadi negeri Republik India yang ke-27 pada 9 November 2000. Negeri ini bersempadan dengan Daerah Autonomi Tibet (China) di bahagian utara, Nepal di sebelah timur, dan berjiran dengan Himachal Pradesh di barat serta Uttar Pradesh di selatan.

Benar saja, Sungai Ganges di sini sangat berbeza sama sekali berbanding apa yang aku lihat di Varanasi. Terlepas dari statusnya sebagai sungai kelima yang paling tercemar di dunia, Sungai Ganges yang mengairi kota Haridwar ternyata jernih membiru. Airnya dikatakan dari kaki lotus dewa Vishnu yang mengalir ke rambut dewa Shiva menjadi pemandian umum keseharian bagi ribuan penganut Hindu yang mengunjungi Haridwar dengan tujuan berziarah.

Memanjatkan doa kepada dewi Ganga

Sungai ini amat suci bagi umat Hindu. Ada keyakinan yang mengatakan barang sesiapa tidak pergi ke sungai ini seolah-olah mereka tidak akan dapat masuk ke syurga. Penganut Hindu yang mula menurunkan kaki ke dalam air akan menampung air Ganges di kedua telapak tangan dahulu sebelum membasuh tubuh mereka bagi menyucikan diri daripada dosa-dosa lampau. Seusai mandi, mereka akan membawa pulang sebotol air dari sungai ini.

Berjalan menyusuri tebing Sungai Ganges di Haridwar yang seakan menjadi lokasi perkelahan para pengunjung dari seluruh negara, aku tersenyum menyaksikan gelagat beberapa orang pemuda yang takut-takut untuk mencelupkan tubuh ke dalam air sungai yang sangat dingin. Tak kurang juga mereka yang berenang-renang girang. Ada si bapa yang menarik paksa anak lelakinya turun ke gigi air, ada pula si gadis yang sengaja mencurahkan air ke kepala ibunya sebelum si ibu menjerit kesejukan. Gurau senda yang disambut dengan penuh tawa riang, sungguh detik bersama yang mengeratkan ikatan persahabatan dan kekeluargaan.

Namun di sisi yang lain pula, abu mayat orang yang telah meninggal dunia akan ditabur ke dalam sungai ini terutama sekali di Varanasi. Malah Ganges turut menjadi tempat buangan najis berjuta-juta manusia yang menjalani kehidupan seharian di sepanjang tebingnya. Lalu wujudlah pelbagai penyakit merebak seperti jangkitan Schistosomiasis, kolera dan lain-lain wabak penyakit. Alangkah sayangnya bila melihat sungai sebersih ini menjadi salah satu sungai yang paling tercemar. Pelan Tindakan Ganges telahpun cuba dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk membersihkan Ganges di Varanasi namun masih tidak dilaksanakan akibat kekurangan sokongan dari pihak berkuasa agama yang terus berpegang kuat dengan dogma Hinduisme. 

Sekiranya masalah ini berterusan, seperti apakah wajah Ganges untuk 10 atau 20 tahun yang akan datang? Mungkinkah Ganges akan menaiki takhta sebagai sungai pertama yang paling tercemar di dunia? Ataupun kesedaran manusia yang muncul pada akhir nanti bakal menjadikan sungai ini lebih baik berbanding sekarang? Penulisan ini memang tidak mampu menghadirkan solusi. Namun apa yang pasti, jika melihat kondisi sungainya yang kini sadis dan tragis, Vishnu dan Shiva pun mungkin akan menangis lagi.

Kota suci ini turut dipenuhi golongan sadhu

Menghanyutkan diya untuk mencari keberkatan

Sukar untuk aku percaya sungai yang sebiru ini mengalir dalam
pencemaran yang dahsyat melalui Varanasi sampai West Bengal

Upacara Ganga Aarti diadakan pada setiap petang

Ibadah para penziarah

Chitkul (3): Saat Untuk Berpindah


24 November 2019, Reckong Peo.

Di kanan gunung batu. Di kiri pun gunung batu. Gersang sekali. Angin berhembus kencang, dinginnya menusuk hingga ke liang pori-pori wajah. Ia menderu seram, membawa bulir-bulir debu berputar-putar. Kami sekarang berada di ketinggian 3260 meter. 

Dentuman kuat itu datang dari depan. Kesukariaan kami berlima menikmati perjalanan dari Chitkul menuju Reckong Peo seketika terhenti di tengah-tengah jalan bebatuan yang sepi tak berpenghuni. Sebongkah batu (sebesar buah limau bali aku kira, namun tak sebesar tembikai) tiba-tiba memecah masuk ke dalam kereta. Ia bergolek jatuh dari atas pergunungan lalu melantun ke cermin tingkap pemandu dan dalam sekelip mata, batu ini sudah mendarat di dalam kereta. 

Darah mengucur dari leher Prateek, tapi dia memegang bahunya, mengerang kesakitan. Untuk tiga saat yang pertama, semua penumpang di dalam kereta ini seakan terpaku dengan apa yang berlaku sebelum Heena cepat-cepat bertindak mengeluarkan batu tersebut. Lalu aku dan Prince segera memapah Prateek keluar dari kereta dan menempatkannya di tepi jalan sambil Jyoti mendapatkan peti kecemasan dari dalam but. Mujur semuanya ada tersedia. 

"Bahu saya sakit, tangan saya tak boleh diangkat," rintih Prateek apabila aku meminta beliau menanggalkan jaket untuk membersihkan serpihan kaca yang penuh melekat di pakaiannya.

"Din, kamu tolong bersihkan semua kaca di dalam kereta," arah Prince, "kita tak boleh berhenti lama di sini, saya akan pandu kereta ini ke Reckong Peo dengan segera!"

Kami berempat khuatir dengan kecederaan Prateek. Batu itu tepat menghentam bahunya sejurus memecah masuk ke dalam kereta. Takut sekali aku membayangkan sekiranya kereta yang dipandu Prateek ini cepat sesaat, pastinya batu itu akan menimpa aku yang duduk di belakang pemandu. 

Selepas Heena selesai membersihkan luka dan serpihan kaca di tubuh Prateek, kami semua kembali ke dalam kereta dan kini Prince siap mengambil alih tempat pemandu. "Masih ada sejam setengah lagi untuk sampai, bertahanlah Prateek," katanya.

Kereta kembali bergerak pantas menyusuri pinggang gunung dengan kecepatan purata 60 km/j (ini sudah dikira laju ketika melalui jalan bebatuan). Di luar sana, barisan sambung-menyambung terus berjajar dari gunung salju yang menggapai awan-awan tinggi. Sepanjang lintasan ini, gunung-gunung gagah yang sebelum ini indah kini terlihat seram, menjulang di kanan dan kiri jalan. Sungguh manusia seperti kami adalah makhluk yang tidak berdaya dan tidak ada ertinya di celah-celah alam raya yang sedemikian berkuasa. Mungkin ini suatu peringatan kecil dari Tuhan supaya aku lebih banyak mengingatNya di dalam melakukan perjalanan.

Hospital Reckong Peo

Setibanya di hospital Reckong Peo, kami terus mengejarkan Prateek ke balai kecemasan. Heena dan Prince membawanya masuk ke dalam sementara aku dan Jyoti perlu menjaga kereta di luar. Dengan keadaan cermin yang kini sudah pecah, kecurian pasti berlaku jika tidak ada sesiapa yang mengawasi. Sejam berikutnya, kelibat mereka bertiga keluar semula dari pintu hospital. 

"Syukurlah, tidak ada sebarang kecederaan serius," kata Heena, "keputusan x-ray menunjukkan bahu Prateek tiada sebarang retak atau patah, hanya terseliuh dan lebam saja."

Selesai dengan urusan perubatan, masih ada beberapa urusan lain yang perlu dibereskan Prateek dan Heena. Mereka perlu ke pejabat daerah supritendan polis untuk melaporkan kemalangan sebelum membaiki cermin kereta yang pecah. Justeru itu mereka akan bermalam di Reckong Peo untuk hari ini. Prince dan Jyoti pula memutuskan untuk meneruskan perjalanan mereka, menaiki bas dari sini dan seterusnya menuju ke Kaza. Di perkarangan hospital, ini adalah akhir pertemuan kami berlima sebelum berpisah membawa haluan perjalanan masing-masing.

"Jai Bhagwan Din, semoga sentiasa di bawah lindungan," ucap Prateek, "saya harap perjalanan kamu di India terus lancar, dan saya minta maaf dengan semua kesulitan ini." 

"Saya simpati dengan apa yang terjadi. Semoga lekas sembuh. Terima kasih menumpangkan saya ke sini. Abharihoon bhaijaan, bahut dhanyavaad." Aku mengucapkan terima kasih yang paling dalam kepadanya.

Kini aku kembali bersendirian melangkahkan kaki ke pekan Reckong Peo yang terkurung oleh barisan gunung-gunung raksasa di sekeliling. Reckong Peo mendapat namanya sempena kumpulan suku yang pernah mendiami tempat ini pada ribuan tahun silam. Pekan mungil yang berdiri pada ketinggian 2290 meter ini merupakan ibu daerah bagi Kinnaur. Maka tak hairanlah terdapat banyak pejabat kerajaan yang ada di sini seperti District Magistrate, Superintendent Office, Hospital, Jabatan Meteorologi, dan lain-lain. 

Walau bagaimanapun aku tidak kembali menemui Shiv, si ejen yang berjanji untuk menguruskan inner line permit aku ke Kaza. Spiti Valley kini sudah seakan samar dalam bayangan, aku merasa seperti ingin cepat-cepat pergi meninggalkan negeri ini. Sudah tiga minggu aku berjalan di Himachal Pradesh, masih ada lima negeri lagi yang perlu aku jelajahi dengan tempoh visa yang hanya berbaki kurang dua bulan lagi. Tambahan pula sudah lama aku tak mandi dan mencuci baju, jadi mungkin sudah sampai masanya untuk aku lari dari kedinginan Himalaya dan berpindah ke negeri seterusnya. 

Apakah aku trauma dengan musibah yang terjadi? Kuch nahi, tidak sama sekali. Kemalangan boleh berlaku di mana-mana saja dan pada bila-bila masa tanpa mengira tempat sekalipun. Aku percaya, hambatan dan rintangan di jalan, semuanya itu ada yang mengatur. Aku teringat, semasa di Keylong beberapa minggu yang lalu, ketika aku mencari trak tumpangan menuju ke Ladakh, aku malah dilarang Uncle Bodh walaupun ada dua trak yang siap untuk berangkat ke Leh pada keesokan pagi. Semasa dalam perjalanan ke Lembah Parvati, aku mendapat khabar bahawa trak yang sudah berangkat itu ternyata tersekat dan terperangkap dalam timbunan salji saat melintasi jalan pergunungan Leh-Manali Highway yang berbahaya. Tak tahu pula berapa lama masa yang diperlukan untuk bantuan tiba. Tak perlu dibayangkan, aku hanya belajar bersyukur untuk segala kejadian yang aku alami.

"Lapan ratus rupee, bas akan berangkat dua jam lagi," kata penjaga kaunter sambil menghulurkan tiket bas yang akan berangkat menuju Haridwar. Kini tiket sudah berada di tangan, aku siap untuk kembali melakukan semula perjalanan. 22 jam dari sekarang, aku akan menjejakkan kaki ke negeri yang baru, Uttarakhand.

Pekan Reckong Peo

Pusat kota

Stesen bas Reckong Peo

Chitkul (2): Mendapat Tumpangan




23 November 2019, Chitkul.

Suhu pada waktu malam dan awal pagi di Chitkul bagaikan sebuah mimpi ngeri. Aku tak tahu pasti berapa darjah suhu di desa ini kerana ketiadaan sambungan internet tapi berdasarkan pengamatan aku sejak semalam, kebanyakan paip air di sini tidak ditutup sepenuhnya untuk membolehkan aliran air terus berjalan sekaligus mencegah air membeku di dalam paip. Bukankah situasi sedemikian rupa mencerminkan suhu di sini berada pada tahap yang ekstrem? 

"Amaran kuning sudah dikeluarkan oleh Meteorologi Delhi," kata Kezang Lee, seorang pemilik dhaba di desa ini. "Lapan daerah Himachal Pradesh sudah mula berjaga-jaga. Tempat ini juga bakal kosong menjelang bulan Januari. Seluruh desa akan diselimut salji tebal, dan semua penduduk akan turun ke Sangla." 

Penginapan aku berharga Rs400 untuk satu malam (RM24) adalah yang termurah
di desa ini tapi tentunya tidak murah bagi ukuran poket aku

Kezang adalah seorang guru di desa Chitkul. Maka tak hairanlah bahasa Inggerisnya begitu baik. Muridnya yang kurang daripada 30 orang adalah anak-anak jirannya sendiri. Gajinya kecil. Untuk menambah penghasilan, Kezang membuka dhaba, satu-satunya kedai makan yang dibuka pada awal pagi di desanya. 

Di pagi hari, lembu dan kambing diiring oleh para kaum ibu untuk merumput di jangal. Kata jangal dari bahasa Hindi kemudian menjelma menjadi jungle dalam bahasa Inggeris, yang bererti hutan rimba. Tetapi jangan bayangkan hijaunya rimba. Jangal di sini hanya semak belukar kering yang menguning kerana sekarang adalah penghujung musim luruh. Anak-anak kecil yang mengikuti ibunya seketika berubah menjadi koboi yang gagah perkasa di atas keldai, menyebat punggung lembu dan kambing yang tidak menurut.

Imej Chitkul yang menarik perhatian aku adalah rumah-rumah tradisionalnya yang dibina dari kayu dan batuan gunung dengan berbumbungkan papan, selain kuil Buddha dan menara kecil. Walau bagaimanapun, penggunaan bumbung timah juga semakin banyak, terutamanya di sekolah menengah dan barak tentera. 

Kuil Kagyupa mempunyai imej lama yang sangat bernilai dari Buddha Shakyamuni, Roda Hidup Mandala dan empat Raja di kedua-dua sisi pintu. Chitkul adalah titik terakhir yang praktikal bagi para penziarah Parikrama untuk ke Kinner Kailash yang masyhur di kalangan penganut Hindu dan Buddha Kinnaur.

Berziarah ke Kinner Kailash tidaklah mudah. Selepas melintasi tebing Charang sejauh 5 km, terdapat pula lorong yang curam ke lereng Bukit Slithery menuju Chitkul sepanjang 3.5 km. Dewa Chitkul adalah satu-satunya dewa bukan Buddha yang dihormati oleh para penziarah Parikrama. Mereka percaya bahawa Dewa Chitkul mempunyai kaitan dengan Dewa Gangotri hinggakan baru-baru ini ada penduduk tempatan yang membawanya ke Gangotri melintasi pergunungan tinggi dengan hanya berjalan kaki.

Rumah tradisional penduduk

Lapangan bermain di sekolah rendah

Stor penyimpanan jerami

Chitkul terletak kira-kira 40 km dari Karcham, tepat di jalur perdagangan lama antara Tibet dan Hindustan lama. Lembah Sangla adalah syurga bagi pencinta alam; terutamanya selepas Raksham hingga ke Chitkul. Lembah ini sangat indah, di sebelah kiri mengalirnya Sungai Baspa yang dinaungi gunung-gunung salji dan di tebing kanan pula membentang dataran yang penuh dengan kebun epal dan rumah-rumah kayu tradisional.

Usai sarapan aku duduk bersendirian di tepi jalan utama untuk mendapatkan tumpangan kembali ke Reckong Peo. Aku perlu kembali ke sana sebelum tengah hari kerana sudah berjanji dengan ejen perjalanan yang akan menguruskan permit kemasukan aku ke Lembah Spiti. Mujur nasibku baik pagi ini, tidak sampai 20 minit menunggu, sebuah SUV berhenti dan siap untuk menumpangkan aku.

Ada empat orang di dalam kereta ini, Prateek, Heena, Prince, dan Jyoti. Dua pasangan muda dari Mumbai dan Delhi ini sedang bercuti selama seminggu di Himachal Pradesh. Mereka semua nyata bersahabat. Di dalam kereta, Prince menemuramah aku tentang kisah penjelajahanku ke 16 negeri India setakat ini sambil Jyoti merakam video kami bersoal jawab.

"Kamu pasti popular selepas saya memuat naik video ini kelak," kata Jyoti, "warga India sendiri pun tak ramai yang berpeluang menjejakkan kaki ke berbagai negeri seperti kamu."

Kereta yang dipandu Prateek bergoncang hebat melintasi barisan gunung gersang. Jalan berkelok-kelok di atas bebatuan. Suatu ancaman yang paling berbahaya ketika menuruni Desa Chitkul di pagi hari adalah 'black ice', iaitu lapisan ais lutsinar di atas jalan yang membuatkan tayar kenderaan tergelincir apabila melaluinya. Sungguh alam yang keras tanpa ampun di luar sana. Aku tertanya-tanya bagaimana agaknya penduduk di sini menjalani kehidupan seharian. Hanya mereka yang kental sajalah yang mampu bertahan di alam seperti ini.

Di tengah perjalanan, kami beberapa kali berhenti untuk bergambar dan memotret foto-foto alam sekeliling. Aku sebagai penumpang yang tak berbayar terpaksa menurut saja walaupun sedang mengejar masa untuk sampai ke Reckong Peo dengan segera. 

SUV Prateek kembali mengharungi jalan hancur melewati pinggang gunung. Lekuk-lekuk di lereng gunung ini sungguh mengerikan. Di luar sana ada sebuah traktor pengangkut kayu yang terguling. Ditinggalkan begitu saja di alam yang tak bersahabat ini. Menyusuri laluan berbahaya yang berketinggian rata-rata 3500 meter ini, aku cepat-cepat memejamkan mata ketika mula terasa seperti diserang oleh motion sickness.

Prannngggg...!!! Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi kaca pecah yang sangat kuat. Kereta yang aku tumpangi kini terlibat kemalangan. 

(Bersambung)

Dari kiri: Prince, Jyoti, Pratik, & Heena

Pekan Sangla

Jalan raya menyusuri pinggang gunung

Chitkul (1): Desa Terakhir di Hujung India


21 November 2019, Chitkul.

Ada satu formula yang selalu disebut para petualang, kenikmatan perjalanan itu adalah berlawanan dengan kecepatan berjalan. Pemandangan terindah dan pengalaman yang dalam itu justeru akan terlihat apabila kita melambatkan langkah, dan berhenti sejenak. Dalam ajaran Buddha, perjalanan fizik itu sebenarnya adalah perjalanan ke dalam hati, batas antara dunia nyata dengan dunia spiritualiti, dan ianya sangat tipis. Dalai Lama pernah berkata, pusat semesta itu berada dalam diri kita masing-masing.

Benar saja. Selepas lebih seminggu menetap di Dharamshala, aku  malah semakin terlarut dengan kehidupan harian di kota spiritual para pelarian Buddhisme Tibet tersebut. Tempoh yang selama itu menjadikan punggung aku terasa berat dan malas untuk memulakan semula perjalanan yang aku telah lengahkan sejak hari ketiga hingga hari kelapan. Namun penjelajahan tetap perlu diteruskan. Aku adalah nomad, nafasku adalah perpindahan.

Berita tentang jalan ke Lembah Spiti yang masih dibuka menerusi Reckong Peo sangat mengujakan aku. Sudah lama aku teringin untuk ke sana sejak di Keylong lagi tetapi hasrat itu terbatal selepas jalan Gramphu-Batal-Kaza telahpun ditutup akibat salji tebal. Kini aku memilih untuk terus bertualang di belahan lain Himachal Pradesh dan berpindah ke Kinnaur pula untuk minggu yang berikutnya.

Jarak dari Lembah Kangra ke Daerah Kinnaur agak jauh, perjalanan 500km dengan menaiki bas uzur untuk kesekian kali mengoyak-ngoyakkan tubuh setiap penumpang yang berjuang keras di dalam perutnya. Aku tiba di Reckong Peo pada awal pagi selepas mengharungi 20 jam merentasi jalan-jalan pergunungan Himalaya yang kejam serta turut memberikan motion sickness kepada beberapa orang penumpang.

Aku tiba di Reckong Peo ketika sinar mentari belum menyebar di seluruh pekan

Jarang gunung-gunung Himalaya sambung menyambung sejauh mata memandang

Pekan kecil Reckong Peo

Destinasi pertama aku di pekan kecil ini adalah District Magistrate; pejabat daerah untuk mendapatkan Inner Line Permit ke Spiti Valley. Permit merupakan satu kewajipan utama bagi setiap pengunjung asing yang ingin ke tempat-tempat seperti Ladakh dan Spiti. Walaupun kawasan ini terbuka untuk pelancong India dan asing, namun jaraknya yang dekat dengan sempadan Indo-China membuatkan pemeriksaan untuk memastikan setiap pergerakan pengunjung adalah penting bagi pasukan tentera.

"Tidak, kamu tak boleh memohon permit di sini," kata seorang staf yang aku temui di pejabat daerah, "kamu perlu pergi ke pejabat agensi pelancongan dan mereka akan tolong kamu uruskan semuanya."

Salah satu kerumitan yang bercampur dalam urusan mendapatkan permit ini adalah penglibatan agensi pelancongan. Aku diminta untuk mendapatkan surat tulisan tangan dari ejen perjalanan berdaftar yang menyatakan bahawa mereka menaja aku dan kemudian barulah permit boleh dikeluarkan. Aku yakin, penglibatan ejen pasti menjurus kepada caj perkhidmatan mereka. Lalu permit yang pada asalnya percuma sudah pasti bakal mempunyai 'harga'.

"Bhaiya, solo traveler agak sukar nak dapat permit," kata Shiv, lelaki yang mengaku sebagai ejen permit. "Syarat kelulusan adalah minima dua orang pengunjung ke atas. Tapi jangan khuatir, kamu bayar saya 400 rupee, saya akan cuba sebaik mungkin untuk dapatkan kamu permit."

Tanpa banyak bicara, lelaki ini menghulurkan aku sekeping borang untuk diisi, kemudian dia meminta aku menyediakan beberapa salinan passport, visa, gambar, dan itinerari perjalananku ke Lembah Spiti. Rumit bukan? Tentu saja. Jauh lebih rumit daripada mendapatkan Inner Line Permit untuk masuk ke negeri Sikkim di timur laut India.


Borang permohonan Inner Line Permit ke Spiti Valley

"Maaf bhaiya, pegawai yang meluluskan permit kini bercuti selama seminggu," kata Shiv selepas menamatkan satu panggilan telefon, "pembantunya pula tidak ada di pejabat sekarang. Nampaknya saya tak dapat uruskan permit kamu hari ini. Beginilah, lepas selesai isi borang, kamu pulang dulu. Esok pagi pukul sepuluh kamu datang lagi ke pejabat saya. Kita akan terus pergi ke pejabat daerah," katanya lagi.

Aku kembali semula ke kawasan pekan, membuang masa dengan merambah setiap jalan dan lorong bagi mencari sesuatu yang tersembunyi untuk ditemukan, namun tidak ada apa yang menarik di pekan kecil ini. Reckong Peo bukanlah destinasi pelancongan. Tempat ini hanyalah sebuah pekan kecil yang terkepung oleh jajaran gunung raksasa bertudung salju, sangat tipikal dengan desa-desa lain di Himachal Pradesh.

Sementara menunggu tibanya hari esok, dengan spontan aku memutuskan untuk mengambil bas dan menuju ke Chitkul, sebuah desa terpencil di Lembah Baspa. Menurut kajian Pusat Sains Atmosfera di IIT Delhi, Chitkul adalah kawasan yang mempunyai udara terbersih di seluruh India. Ia adalah desa terakhir yang terletak di jalur perdagangan antara Tibet dan Hindustan Lama, sekaligus merupakan titik terakhir di mana orang asing seperti aku boleh berkunjung tanpa memerlukan sebarang permit. 

Perjalanan yang seharusnya mengambil masa selama 3 jam mengalami kelewatan satu jam lagi akibat tayar bas yang tiba-tiba bocor di pertengahan jalan. Bertualang di alam liar sememangnya tak mudah, sebarang masalah di luar kawalan memang boleh berlaku pada bila-bila waktu. Akhirnya selepas 4 jam bergoncang dahsyat di dalam perut bas, aku sudah berada di Chitkul. 

(Bersambung)


Pemandu bas menukar tayar yang bocor

Papan tanda yang menyambut kedatangan ke Chitkul, desa terakhir India

Jalan utama Chitkul

Desa tipikal di Himachal Pradesh yang terkurung gunung

Tak ramai penduduk yang terlihat di siang hari kerana semuanya keluar bekerja

Mathi Temple, rumah ibadah yang telah berusia 500 tahun

Salji menyelimut sebahagian kawasan yang terlindung daripada matahari

Trekking menyusuri Sungai Baspa sejauh 3km ke pos tentera di
perbatasan Tibet dibenarkan, namun mengambil gambar sama sekali dilarang

Desa ini terlihat sepi kerana populasinya yang kurang dari 1000 orang

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!