Tujuh Stepwells Menakjubkan di India dan Cara Untuk Mengunjunginya


Setiap peradaban yang hebat pasti menyumbang sesuatu yang istimewa dalam senarai seni bina agung di dunia. Jika tamadun Mesir telah membangun piramid manakala Yunani mendirikan tiang-tiang Korinthos, India pula membina stepwell,  atau ‘perigi bertangga’ dalam erti yang paling harfiah. Stepwell adalah bentuk khas sistem takungan air di sub-benua India, dan perigi ini dipercayai telahpun digali sejak 3 milenium sebelum masihi. Daripada hanya sebuah lubang di tanah berpasir, ia terus berevolusi dari masa ke semasa menjadi suatu karya seni yang bersenibina rumit.

Di India, stepwell disebut dengan banyak nama. Dalam Bahasa Hindi ia dinamai sebagai baori, baoli, baudi, bawdi, atau bavadi. Dalam bahasa Gujarat pula ia biasa disebut vav.

Negeri-negeri di bahagian barat India seperti Rajasthan dan Gujarat, merupakan wilayah yang memiliki iklim tak bersahabat. Kadar curahan hujan di pinggir Gurun Thar itu memang rendah. Tambahan pula keadaan buminya yang berpasir dan berlumpur, cepat sekali menyerap air hujan yang turun tidak kira walau seberapapun derasnya.

Hasil daripada kebijakan para penguasa di wilayah-wilayah kering kontang ini pada ketika itu, mereka menggali kolam-kolam yang dalam (mungkin juga boleh disebut sumur) yang berfungsi untuk menampung air bagi keperluan rakyatnya.

Meskipun begitu, kolam-kolam dari abad pertengahan yang senibina dan fungsinya luar biasa ini perlahan-lahan terkubur digilas putaran roda zaman. Pada tahun 1864, penjelajah Perancis Louis Rousselet menemukannya. Dia terkesima dan menggambarkan stepwell di dalam catatan perjalanannya sebagai kolam air yang luas, terselimut dengan pohon dan bunga teratai, sekaligus tempat ribuan ekor burung bermain di atas air. Dia menuliskan pula, di pinggiran kolam para warga mandi-manda dikelilingi hutan yang hijau.

Rousselet seolah-olah bukan menggambarkan kolam kuno berukuran mega, melainkan sebuah danau. Dari keterangan Rousselet, sumur atau kolam itu memang luar biasa. Ia mampu menangani masalah air di wilayah paling kering di India itu. Di tepi gurun Thar, hujan mampu turun dengan sangat deras, namun genangan air pula boleh secepat kilat menghilang.

Dengan kegarangan musim panas yang bersuhu di atas 40 darjah, tanah berlumpur pun tidak mampu menampung air. Orang-orang pula memerlukan solusi yang praktikal, agar jalur perdagangan di India Utara itu tak kehilangan prestij dan mati. Lalu pada tahun 550 Masihi, stepwell pertama dibangun, namun yang paling terkenal dibangun pada abad pertengahan.

Pembangunan yang diinisiatifkan oleh para penguasa Gujarat dan Rajasthan ketika itu, diperkirakan mencapai sehingga lebih 3000 stepwell. Meskipun banyak yang sudah hancur dan tertimbus di beberapa titik pada zaman kuno, atau dipenuhi dengan sampah sarap pada era moden, namun beberapa kolam luar biasa itu masih ada. Di New Delhi saja, ada lebih daripada 30 stepwell.

Chand Baori di Abhaneri, 100 km dari kota Jaipur, Rajasthan, merupakan stepwell terbesar yang tersisa. Secara visual, Chand Baori memiliki struktur empat sisi yang dalam beserta sebuah kuil besar di satu sisi. Ia mempunyai 3500 anak tangga bertingkat (Escher-esqeu) yang berbaris menuruni tiga sisi lainnya, setinggi 13 lantai pada kedalaman 30 meter. Pembinaanya bermula dari abad ke-10, dan didedikasikan untuk Harshat Mata, dewi kegembiraan dan kebahagiaan.

Air memainkan peranan khusus dalam mitologi Hindu, sebagai batas antara langit dan bumi yang dikenal sebagai tirtha. Sebagai tirtha buatan manusia, stepwell bukan hanya berfungsi sebagai sumber air minum, tetapi juga tempat suci bagi penganut Hindu untuk mandi, doa, dan meditasi.

Hari ini, stepwell - sama ada yang ditinggalkan atau masih digunakan - boleh ditemui tersebar di seluruh India, rata-rata berada di utara dan barat negara ini – yang biasanya jauh dari laluan mainstream para pelancong. Berikut adalah senarai pilihan tujuh  stepwell yang paling spektakular, beserta perincian tentang cara untuk anda mengunjunginya sendiri.


Chand Baori di rajasthan, stepwell yang bagi aku paling menakjubkan di India

1. Chand Baori, Abhaneri, Rajasthan

Merupakan stepwell yang terbesar di seluruh India, Chand Baori telah banyak kali tampil sebagai lokasi tarian untuk bermacam video muzik Bollywood. Ia turut pernah menjadi lokasi penggambaran filem Batman: The Dark Knight Rise pada 2012. Terdapat 3500 anak tangga pada setiap sisinya yang menuju ke pusat kolam, tersusun dalam corak menyilang yang rumit bak berlian dipotong - walaupun memiliki kedalaman 13 tingkat dan berjarak 35 meter dari satu sisi ke seberang.

Cara ke sana: Abhaneri terletak 100km dari Kota Jaipur. Bagi backpacker yang ingin ke sana dengan kos murah, anda mempunyai pilihan samada untuk menaiki shared-taxi ataupun bas awam yang memerlukan transit di Sikandra dan Gular. Namun jika anda mempunyai bajet lebihan, sebaiknya buatlah tempahan sebuah teksi yang boleh membawa anda melakukan day trip ke Abhaneri.


Perigi gergasi Rani-Ki-Vav peninggalan Kerajaan Chalukya

2. Rani-ki-Vav, Patan, Gujarat

Mendapat jolokan the grand-daddy of Indian stepwells, Rani-ki-Vav adalah salah satu daripada beberapa peninggalan kerajaan Chaulukya yang pernah berkuasa memerintah wilayah besar Gujarat dan Rajasthan pada abad ke-11. Selain rangkaian lapisan dinding dan tiang-tiangnya yang bersulam ukiran indah, perigi monumen ini telah dibangun atas perintah Udayamati, isteri kepada raja Chalukya Bhimdev I.

Pemuliharaan Rani-ki-Vav yang luar biasa ini sebenarnya adalah kerana dari bencana alam - monumen ini dipenuhi dengan keladak pada abad ke-13 sebelum dipulihkan lalu popular kembali pada tahun 1940-an. Hari ini, Rani-ki-Vav telahpun disenarai ke dalam tapak warisan Unesco, kerana struktur asasnya yang sangat besar, dan kerumitan serta keanggunan ukiran Vishnu dan dewa-dewa lain yang terpapar pada setiap inci batu yang terdedah.

Cara ke sana: Patan terletak kira-kira 130km dari Ahmedabad dan memerlukan perjalanan selama 3 jam dengan teksi, atau lebih lagi jika anda menaiki bas awam dari stesen bas ST Ahmedabad. Anda juga boleh membuat pilihan untuk bermalam di Patan jika tidak mahu terkejar-kejar dengan masa.


Agrasen Ki Baoli yang berlatarkan kota metropolis Delhi

3. Agrasen Ki Baoli, Delhi

Sebuah mercu tanda Delhi yang terlupakan ini sentiasa terbuka kepada umum  di tengah jalanan kota New Delhi, hanya beberapa minit dari pusat perniagaan tersibuk, Connaught Place. Perigi ini digali 60m ke dalam perut bumi di tengah ibu kota India, dan hanya boleh diakses dengan tangga tunggal. Melalui strukturnya yang dilihat pada hari ini, kemungkinan besar ia telah dibangun pada zaman kejayaan Tughlaq pada abad ke-14, ketika Delhi diperintah oleh dinasti kesultanan Turki. Ada ura-ura yang mengatakan bahawa tempat ini ‘berpenunggu’ - oleh jin yang menghuni runtuhan Tughlaqabad dan Feroz Shah Kotla. Hari ini, Agrasen Ki Baoli adalah tempat tumpuan pengunjung untuk bergambar kerana ia pernah menjadi lokasi penggambaran filem blockbuster arahan Aamir Khan, PK pada 2015.

Cara ke sana: Agrasen Ki Baoli terletak tepat di tengah-tengah New Delhi, berdekatan dengan berbagai penginapan menarik di ibu kota. Haveli Dharampura misalnya, yang mahal tetapi menawan kerana menyajikan keanggunan Mughal di lorong-lorong kota lama, sementara golongan backpacker pula tentunya akan meninap di sekitar Paharganj.


Adalaj Vav adalah sebuah karya agung seni ukiran batu

4. Adalaj Vav, Adalaj, Gujarat

Walaupun tidak dapat bersaing pada skala Rani-ki-Vav, stepwell abad ke-15 di Adalaj di tengah Gujarat ini adalah sebuah karya agung daripada seni ukiran batu – ibarat kotak permata dengan lajur-lajur tiang mengelilingi liang perigi yang berbentuk oktagon di tengahnya, berselimut pula dengan kerawang yang dihiasi ukiran bunga, gajah, dewa dan bermacam ornamen indah.

Cara ke sana: Adalaj mudah diakses dari Ahmedabad dengan auto-rickshaw atau teksi melalui jalan yang menuju ke Gandhinagar. Masa perjalanan sekitar 30 minit sahaja.


Walaupun kebanyakan stepwell terdapat di barat dan utara India, Pushkarini adalah salah satu contoh hebat yang terdapat di selatan negara itu.

5. Pushkarini, Hampi, Karnataka

Stepwell biasanya terdapat di India utara, tetapi runtuhan kota empayar Vijayanagar di Hampi turut ditemukan sebuah perigi yang seumpamanya, disebut Pushkarini, yang dibina dengan gaya stepwell.

Cara ke sana: Hampi boleh diakses melalui stesen keretapi Hospet, kemudian anda perlu membuat perjalanan singkat dengan bas ke Hampi Bazaar.


Rajon Ki Baoli terletak di tapak arkeologi Mehrauli

6. Rajon Ki Baoli, Delhi

Entri kedua dalam carta stepwell di Delhi, tempat takungan air tersembunyi di hutan kering dan berdebu dekat Tapak Arkeologi Mehrauli ini selalu diabaikan oleh para pengunjung yang lebih memilih untuk ke Qutab Minar, sekaligus menjadikan lokasi yang terpencil ini sepi pengunjung.

Cara ke sana: Anda boleh sampai ke Mehrauli dengan menaiki metro, dan terdapat banyak penginapan murah di sekitar Hauz Khas sekiranya anda ingin bermalam di kawasan yang berdekatan.


Perigi Surya Kund merupakan sebahagian daripada Kuil Matahari abad ke-11 di Modhera

7. Surya Kund Stepwell, Modhera, Gujarat

Kuil Matahari abad ke-11 di Modhera ini dibina supaya matahari pagi bersinar ke bahagian dalaman semasa berlakunya ekuinoks - penghormatan kepada penguasa dinasti Solanki, yang dikhabarkan berasal dari matahari. Surya Kund adalah sebuah perigi besar yang dipenuhi dengan lebih daripada 100 shikhara kecil (Menara kuil), seperti galeri seni yang penuh dengan batu ukiran. Seluruh kompleks ini telah diilhamkan oleh raja Bhimdev I, yang isterinya bertanggung jawab atas pembinaan Rani-ki-Vav di Patan (rujuk nombor 2).

Cara ke sana: Modhera boleh diakses dengan bas dari Ahmedabad dan transit di Mahesana, tetapi lebih mudah jika anda mendapatkan khidmat teksi di Ahmedabad dan berkunjung ke Modhera dan Rani-ki-Vav dalam perjalanan yang sama.


Dharamkot: Day of Imprisoned Writers


15 November 2019, Dharamkot.
Mereka menjarah generasi anda,
namun cuba melakukan kerja-kerja 'pemulihan semula'.
Jangan lupakan tentang penjajahan China,
ke atas tanah dan rakyat di dalam negara.

Telah dieksploitasi semua yang nenek moyang turunkan,
bangsa kalian kini di ambang kemerosotan.
Berpeganglah antara satu sama lain demi penyatuan,
kerana perpaduan akan terus menjadi kekuatan.

Piagam tetaplah piagam, melainkan anda menjadikannya perlembagaan.
China di Tibet telah menghapus tradisi ribuan tahun,
dan anda kini diasingkan ke dalam kemodenan.
Sekarang, saya justeru terjebak oleh keingintahuan,

"apakah anda menyokong tingkah laku buruk mereka?"

Bendera merah & bintang kuning berkibar sejak pencerobohan,
membawa kepada beribu-ribu pelarian dan pemindahan.
Ramai yang syahid dalam revolusi besar-besaran,
mengorban nyawa demi evolusi masa depan.

Enam dekad kesyahidan demi negara,
kamu bangkit dari ketidakjelasan untuk pengiktirafan dunia.
Wahai lelaki & wanita, muda & tua, kini tiba masa untuk kemerdekaan,
ayuhlah terbang seperti burung yang bebas dari penjajahan.

Puisi tersebut telah aku tuliskan khas untuk malam sambutan Day of Imprisoned Writer.

15 November merupakan Hari Memperingati Penulis Tibet yang Dipenjara. Ia adalah hari tahunan antarabangsa yang bertujuan untuk mengenal dan menyokong para penulis yang berani menentang penindasan hak asasi manusia terhadap kebebasan bersuara demi menyampaikan maklumat.

Pada malam tersebut, sebuah acara malam puisi telah dianjurkan oleh Gu Chu Sum Movement Association of Tibet di Dharamkot, Dharamsala untuk mengingati penulis-penulis Tibet yang berani menentang kezaliman Pemerintah China dan menjadi suara bagi rakyat Tibet pada umumnya, yang mengalami kesengsaraan dan ketidakpastian atas nama 'kumpulan etnik minoriti' di bawah rejim komunis China sejak tahun 1950-an. 

Setakat hari ini, terdapat lebih daripada 30 orang penulis Tibet dan golongan intelektual terkenal yang telah ditangkap atau hilang tanpa kesan selepas China menguatkuasakan larangan untuk menulis artikel dan lagu yang menyatakan pandangan mereka.

Malam puisi ini dihadiri oleh majoriti warga Tibet sendiri, rakyat India tempatan, termasuk sejumlah besar pelancong asing dari berbagai negara. Dan aku sangat berbesar hati menjadi orang Malaysia pertama yang diundang untuk turut serta menyampaikan puisi sekaligus bersama menjayakan acara tahunan ini. 

Sebuah malam yang indah untuk dikenang.

Jumpa lagi, Dharamsala...














Dharamsala (4): Debat


15 November 2019, Dharamsala.

Hampir satu millennium silam, Dharamsala berada di bawah kepimpinan Dinasti Katoch yang menguasai sebahagian besar Lembah Kangra. Dinasti ini dipercayai sebagai antara dinasti tertua di dunia. Di Era kolonialisme British, Dharamsala dijadikan sebagai 'Summer Capital' atau ibu kota musim panas. Kemudian kota ini menjadi sorotan dunia ketika menjadi tempat pelarian Dalai Lama ke-14, Tenzin Gyatso pada 1959. Dan setahun selepas bertapaknya Dalai Lama di sini, Dharamsala secara rasmi dijadikan wilayah pentadbiran para pelarian Tibet yang disebut CTA (Cental Tibetan Administration). Dan sejak itulah kota Dharamsala dibanjiri para pelarian Tibet hingga saat ini.

Namgyal Monastery, sebuah institut Buddhisme terpenting di Dharamsala, terletak hanya satu kilometer dari pusat kota McLeodGanj. Ia ditutup pada hari minggu, namun dibuka kepada pengunjung yang mahu menyaksikan debat keagamaan setiap hari.

Di sekitar kuil ini, orang Tibet dengan khusyuk melaksanakan ibadah mengelilingi kuil. Mereka berjalan perlahan, dengan mulut terkumat-kamit dan tangan terus memutar roda doa. Ada barisan silinder emas bertulis mantera suci, setiap kali memutarnya, pahala semakin bertambah.


Hanyut dalam doa

Batu-batu besar di lereng tebing pun dilukis gambar dewa. Ada Yama, Dewa Kematian yang menyeramkan, berbadan biru, berkepala kerbau, berkalung untaian kepala manusia, dan berdiri di atas kerbau raksasa. Ada pula gambar para mantan Dalai Lama, dimuliakan dalam posisi bermeditasi. Asap dupa mengepul, suasana mistik menyelimut. Dari balik selubung kabus dan mendung, kemegahan puncak-puncak emas Namgyal Monastery menyerlah. 

Nenek tua terhanyut dalam doa dan mantera. Matanya terpejam. Mulutnya terus mengumat-kamit. Tangan kanannya memutar tongkat roda doa berwarna emas. Bunyi berderek muncul dari rantai besi yang turut berputar, setiap putaran roda. Tangan kirinya memutar tasbih. Namgyal Monastery di hadapannya, menjadi curahan segala takzim.

"Kamu tak mahu masuk?" Tanya seorang sami menegur aku dari belakang, "saya tahu kamu tak mahu keluarkan duit untuk bayar tiket. Jangan risau, mari ikut saya ikut laluan belakang." 

Aku tidak menjawab, tapi cuma tersenyum dan mengangguk.

Lalu aku pun mengikut sami ini masuk ke dalam. Monastery ini memang besar, selayaknya sebagai sebuah kuil institut terpenting di Dharamsala. Ia menempatkan asrama ratusan drapa (sami junior) yang menuntut ilmu dan para Lama atau sami mengambil ujian pengetahuan Buddhisme, sebelum diangkat menjadi guru agama Buddha. 

Ujian keagamaan yang ditempuh para Lama adalah debat terbuka di hadapan puluhan sami. Debat, adalah bahagian daripada pembelajaran Buddhisme Tibet. Hingga sekarang, tradisi debat selepas kelas agama masih hidup di kuil ini. Setiap petang, para sami membincangkan ilmu keagamaan yang baru dipelajari melalui diskusi di perkarangan kuil.


Sami junior sedang berdebat

Sami junior dibahagikan secara berpasangan. Setiap pasangan, seorang berdiri di hadapan, menyampaikan pendapatnya dalam bahasa Tibet yang mendesis-desis cepat. Sambil berhujah, tangan kanannya diangkat ke udara dan tangan kirinya direndahkan. Ketika dia mengakhiri kalimatnya, kedua telapak tangan ditepukkan dengan kuat, sambil kaki dihentakkan.

Perkarangan kuil ini begitu hidup sekali, penuh dengan tepukan, hentakan kaki, dan teriakan. Tak pernah aku saksikan debat yang sedemikian penuh tenaga dan semangat. Intimidatif. Ah, andai saja aku mampu faham bahasa Tibet, dan faham setiap kalimat dalam perdebatan ramai ini.

Setiap tepukan dan hentakan, bukan hanya membangunkan kesedaran lawannya, tetapi juga menunjukkan pelepasan diri dari egoisme pandangan peribadi. Acara debat umum ini dirancang sedemikian rupa, sehingga setiap sami sedar bahawa sebenarnya semakin dalam pengetahuan, semakin tidak tahu mereka jadinya. Semua peserta harus terlepas dari kepercayaan buta, pengetahuan yang tak didasarkan dengan pengalaman spiritual. Doktrin, dogma,  teori, semua diujikan. Semua larut dalam teriakan keras, tepukan tangan, dan hentakan kaki.

Bayang-bayang semakin panjang, matahari semakin menjauh di ufuk barat. kelas debat yang menjadi objek potret kamera puluhan pengunjung domestik dan rombongan pelancong asing ini berakhir. Para sami kembali menuju ke asramanya, para pelawat bercengkerama tentang keeksotikan acara yang baru saja mereka saksikan. Ada yang terpesona, ada yang tertanya-tanya apakah acara ini benar-benar debat agama yang sesungguhnya atau hanya diadakan untuk tontonan para pengunjung? Dengan setiap kuil yang mengenakan bayaran masuk di tempat ibadah, dan para sami muda yang leka bermain telefon di tengah acara debat, sejauh mana materialisme bercampur dengan peribadatan di era modenisasi kini menjadi tanda tanya.


Lampu mentega menyala dalam nuansa mistik

Roda doa gergasi

Sami yang membawa aku masuk ke dalam kuil melalui jalan belakang

Dharamsala (3): Kebebasan


14 November 2019, Dharamsala.

"Agama Kristian dan Buddha ada banyak persamaan. Kedua-duanya berdiri di atas dasar kebahagiaan di dunia lain, dan mengajarkan kesederhanaan dalam hidup. Di Tibet, orang tidak perlu terburu-buru dari pagi sampai ke malam oleh apa yang disebut 'peradaban'. Di sini, agama menguasai sebahagian besar kehidupan individu, sebagaimana dunia Barat pada Zaman Pertengahan."
Demikian petikan dari buku Seven Years in Tibet terbitan tahun 1952 tulisan petualang lagenda Austria, Heinrich Harrer yang pernah hidup bersama Dalai Lama.

Tetapi ada perbezaan dalam kenyataannya hari ini. Dalai Lama pun sudah tidak lagi tinggal di Tibet selepas mendapat hak suaka politik dari India.

Lebih enam puluh tahun lebih berselang, materialisme, 'peradaban', tuntutan duniawi, sekarang telah menjadi bahagian kehidupan orang Tibet moden. Dan kini, aku menyaksikannya sendiri di Dharamsala. Pembangunan terus menerus mengangkat darjat hidup orang Tibet, dari masyarakat terkebelakang yang hidup dalam syurga spiritual mereka kini menuju ke kehidupan yang lebih moden dengan membanting tulang memenuhi keperluan material. Gaya hidup sudah jauh berubah.

Pagi ini aku duduk di gerobok peniaga jalanan sambil menikmati kehangatan secawan teh mentega bersama seorang sami yang fasih bertutur Inggeris dan Hindi. Aku sempat bertanyakan tentang siapakah gerangan anak kecil pada gambar yang terpapar di seberang jalan sana. 

Sami ini menjelaskan budak lelaki itu adalah adalah Panchen Lama ke-11 dari Buddha Tibet yang diangkat oleh Dalai Lama dan berbagai pemimpin Buddha Tibet lainnya. Panchen Lama adalah pemimpin spiritual bagi umat Buddha Tibet yang kedua terpenting selepas Dalai Lama dan dianggap sebagai inkarnasi dari Buddha Amitabha. Kata ini sendiri bermaksud "pelajar agung" yang merupakan singkatan dari bahasa Sanskrit Paṇḍita (yang bererti pelajar) dan Chenpo (yang bererti agung) dalam bahasa Tibet. Fungsi Panchen Lama adalah mengesahkan kelahiran semula Dalai Lama. Tetapi tidak semua hal diceritakannya.

Penganut Buddha percaya kepada reinkarnasi. Dalai Lama, Sang Buddha Hidup, Lautan Kebijaksanaan, selepas meninggal rohnya akan menitis lagi ke tubuh bayi yang baru lahir. Kemudian para sami akan mencari ke seluruh penjuru Tibet untuk menemukan titisan roh Dalai Lama. Dan hanya Panchen Lama yang mempunyai kuasa untuk mengesahkan bayi yang dipercayai sebagai kelahiran semula sang Dalai. Demikian pula sebaliknya, titisan Panchen juga cuma ditentukan oleh Dalai Lama.

Di sinilah letaknya kontroversi. Dalam penentuan Panchen Lama ke-11, Dalai Lama Tenzin Gyatso, menominasikan Gedhun Choekyi Nyima, seorang anak kecil Tibet dari Desa Lhari yang lahir pada 1989. Anak kecil ini tiba-tiba lenyap tanpa berita pada 17 Mei 1995, tiga hari selepas diangkat sebagai Panchen Lama ke-11 oleh Dalai Lama. Dikhabarkan dia telah diculik oleh otoriti Republik Rakyat China dan tidak lagi terlihat oleh masyarakat sejak hari itu. Ini kerana Beijing telah menafikan pilihan Dalai Lama dengan menunjuk Gyancain Norbu sebagai Panchen Lama ke-11. Sang Panchen yang sekarang hidup di Beijing, dan kebetulan merupakan putera dari seorang anggota Parti Komunis. Istana asal Panchen Lama yang di Tashilhunpo sudah tidak lagi dihuni, kini kosong dan tertutup bagi semua pengunjung.

Kontroversi ini adalah rahsia umum. Ramai yang tahu, tetapi tak ada yang berani memperkatakannya. Membahaskan tentang Panchen Lama dan Dalai Lama di Tibet, di mana setiap dinding punya mata dan telinga, sama ertinya mencari jalan menuju ke penjara. Walaupun bukan pilihan sang Dalai, umat Tibet kini terpaksa menerima bahawa Gyancain Norbu sebagai pemimpin suci yang harus dihormati oleh semua umat yang taat. Foto lelaki muda ini tersebar di mana-mana, diletakkan di altar ibadah, menjadi azimat pembawa keberuntungan. Sedangkan foto Dalai Lama Tenzin Gyatso dan Panchen pilihannya adalah barang tabu di seluruh Tibet. Yang menyimpan apalagi mempamerkan di depan umum langsung akan dipenjara.

"Sudah 24 tahun dia diculik," kata sami ini, "tapi kami mahu Beijing tahu yang Pentadbiran Tibet Pusat di sini tidak akan pernah berputus asa untuk memperjuangkan kebebasan semula Panchen Lama dan negara Tibet sendiri!"

Benar saja. Di kota 'Kerajaan Tibet Dalam Buangan' ini, ada banyak pertubuhan, persatuan, dan organisasi yang giat memperjuangkan kemerdekaan Tibet dari Republik Rakyat China sebagai sebuah negara berdaulat. Banyak slogan dan bendera 'Free Tibet' yang berkibar di merata tempat. Malah kempen ini turut mendesak pihak United Nations (UN) untuk campur tangan dalam penuntutan hak asasi manusia di negara asal mereka. 

Isu ini sangat kompleks. Unsur geopolitik juga sebenarnya turut terkait rapat dalam penguasaan China ke atas Tibet pada hari ini demi mengepung India. Namun begitu soal agama juga tidak terkecuali.

Agama di Tibet bukan sekadar kehidupan spiritual. Fitnah politik juga kental bercampur di dalamnya. Tidak ada benar dan salah di sini, tidak ada juga hitam dan putih. Andai kata China tak campur tangan di Tibet, mungkin Tibet masih akan hidup dalam dunianya sendiri, pendewaan Dalai Lama, berbahagia dalam syurganya yang miskin dan terkebelakang. Setelah China masuk, orang Tibet 'dibebaskan' dari feudalisme kaum sami dan lama terhormat, pembangunan jalan merambah ke desa-desa terpencil, pendidikan di mana-mana, layanan kesihatan moden menggantikan dukun-dukun tradisional, dan di sisi lain pula, pengaruh adat kuno dan fanatisme agama justeru semakin berkurang.

Tak ada hitam dan tak ada putih. Tibet kini sudah berada di abad ke-21 menjalani takdirnya di bawah kibaran bendera merah dengan lima bintang. Sementara di Dharamsala, rakyat-rakyat Tibet yang 'terbuang' ini terus giat menekan Beijing demi menuntut pembebasan Panchen Lama ke-11 dan memperjuangkan kebebasan ibu pertiwi mereka. 

(Bersambung)


Demonstrasi aman kadang kala dianjurkan oleh para aktivitis

Bendera Tibet banyak berkibar di Dharamsala

Slogan ini turut terlihat di mana-mana

Kontroversi penculikan Panchen Lama ke-11 oleh Republik Rakyat China masih diperjuangkan rakyat Tibet sehingga kini 

Dharamsala (2): Perjalanan Impian


13 November 2019, McLeod Ganj.

"Tashidelek!" Dua orang sami muda menghentikan aku yang sedang berjalan sendirian menelusuri lorong-lorong McLeodGanj.

"Buddha memberkati." Mereka membongkok. Aku ikut membongkok, menundukkan kepala kami sebagai tanda salam yang paling terhormat.

Jalanan kota ini tak pernah sepi. Bendera warna-warni yang signifikan menghiasi sepanjang jalan, masing-masing mewakili unsur langit - biru, angin - putih, api - merah, air - hijau, dan bumi - kuning. Enam puluh tahun sejak bertapaknya Dalai Lama di Dharamsala, sudah begitu banyak perubahan di tempat berkampungnya para pelarian Tibet ini. Kenderaan ke sana ke sini di jalan utama termasuk di lorong sempit. Kedai-kedai berbaris, menunjukkan ekonomi yang semakin berkembang. Kafe Korea menebarkan aroma hidangan kimchi yang menggoda. Orang-orang berpakaian trend masa kini, berkasut tumit tinggi dan dikilap hitam mengilat, berjalan di ruas jalan yang sama dengan para sami, lelaki berjaket bulu, atau perempuan berpakaian tradisional.

Dharamsala adalah percampuran berbagai unsur kehidupan. Para lama atau sami mundar mandir di jalanan yang kerlap-kerlip oleh lampu neon moden, sibuk berbual dengan telefon pintar. Ada pula yang menikmati jalan-jalan petang di kota, membeli momo – dumpling ala Tibet dari warung kecil penjaja. Para sami muda di kota ini cukup berduit juga rupanya. Selain membaca sutra dan mantera di dalam kuil, mereka turut keluar untuk merambah kesenangan duniawi di keramaian kota.

Lama di zaman moden sudah sibuk dengan telefon pintar di tangan

"Tashidelek," dua sami berambut pendek hampir botak ini menghentikan lamunan aku.

"Beramallah, beramallah.. Kami datang dari kuil. Kamu boleh memberikan sumbangan secara sukarela, demi amal baik, karma yang bagus, dan nasib keberuntungan."

Aku membuka dompet, mengeluarkan selembar wang 10 rupee, dan memberikan kepada salah seorang sami muda ini.

"Tuocetse. Terima kasih," sekali lagi mereka menunduk.

Seorang lagi meraih sesuatu dalam lipatan jubah merah maroonnya, mengeluarkan batu hitam kecil.

"Terimalah ini, azimat dari kuil kami. Dengan menyimpan azimat ini, Buddha akan melindungi kamu dari kekuatan jahat."

Aku sebenarnya sama sekali tak percaya dengan azimat-azimat ini, tetapi aku terima juga pemberian mereka sebagai kenang-kenangan. Sami yang satu lagi kemudiannya mengeluarkan buku tebal.

"Sekarang kamu isi buku sumbangan," perintahnya, "tulis nama, alamat, dan jumlah sumbangan."

Aku melihat senarai penyumbang lainnya. Semua menulis angka besar-besar – seratus, dua ratus, lima ratus rupee. Sedangkan aku hanya menyumbang sepuluh rupee sahaja, perlukah aku tulis di sini? Lagi pula, aku tak yakin dua sami di pinggir jalan ini boleh menerima sedekah sampai ratusan rupee.

Setelah aku menulis buku itu, kedua drapa (sami junior) ini meminta aku untuk menyumbang lagi.

"Bukankah tadi katanya sukarela? Bukankah tadi kamu kata berapa pun tak ada masalah? Sepuluh rupee adalah nilai yang mampu saya berikan," aku mengelak.

Kedua-dua sami ini tak mahu tahu, mereka setengah memaksa meminta aku memberi lebih banyak lagi.

Aku berbalik arah, meninggalkan mereka cepat-cepat. Sungguh tak disangka, kedua sami itu mengejar.

"Pulangkan! Pulangkan!" kata seorang dari mereka dengan kasar.

Setelah batu hitam itu berpindah tangan, kembali lagi ke tangan sami itu, mereka langsung berlalu pergi. Tanpa ucapan terima kasih apa pun.

Aku tertanya-tanya, seburuk inikah moral sami di sini? Sanggup menggunakan simbol-simbol keagamaan untuk memeras orang?

"Kamu harus berhati-hati di sini," kata Soumyadeep, seorang peniaga chai. "Di sini yang berpakaian sami bukan semuanya patuh agama. Ramai lama palsu yang pekerjaannya menipu, menggunakan nama Buddha untuk mengaut untung. Sama halnya seperti segelintir sadhu Hindu yang pura-pura suci!"

Sekumpulan drapa bermain di perkarangan asrama

Konsep menunggang agama bukan lagi perkara asing bahkan dalam agama Islam sekalipun, golongan ini memang wujud. Walaupun demikian, aku percaya bukan bererti yang memeras orang, belanja momo di jalanan, memasuki butik-butik pakaian, atau asyik memilih-milih handphone semuanya adalah sami palsu. Sami asli pun mungkin berbuat demikian, apalagi sekarang para sami sudah ada wang.

"Saya berasal dari Kham, dua orang rakan saya ini pula dari U-Tsang dan Amdo, tiga wilayah berbeza di Tibet," kata seorang sami muda bertopi bulu yak. 

Sami muda ini, dengan beberapa orang rakannya, melakukan perjalanan panjang dari Tibet ke India demi untuk bertemu dengan Dalai Lama yang hidup dalam pengasingan di Dharamsala. 

"Perjalanan ini begitu bererti buat kami," kata sami ini, “kami menghabiskan ribuan yuan, tinggal di penginapan murah, dan menumpang berbagai kenderaan untuk sampai ke India. Wang kami tak banyak yang berbaki. Tapi setidaknya, salah satu keinginan hidup untuk bertemu dengan Yang Mulia Dalai Lama dengan mata kepala sendiri sudahpun tercapai."

Seorang sami yang lain pula menambah, "tahun lepas, ada kawan saya cuba menyeludup dari Qinghai hingga ke Tibet, berusaha keluar dari negeri China. Tetapi malang, di perbatasan Nepal dia ditangkap oleh tentera China. Akhirnya dia dikirim balik ke Lhasa, dipulangkan ke Qinghai, dipenjara, dan diberi amaran keras. Namun saya yakin dia tak takut, suatu masa nanti dia pasti akan mencuba lagi."

Hidup memang berat. Namun lebih berat lagi bila membuat perjalanan seperti mereka yang berjuang untuk menjadi pelarian ke negara asing. Mereka masih muda. Ziarah bagi mereka bukan hanya perjalanan spiritual, tetapi juga melihat warna-warni kota moden yang bebas dari kongkongan pemerintah China ini. Di Monasteri, mereka tersenyum bahagia saat dipotret oleh pengunjung asing yang berkeliling di hadapan kuil penempatan Dalai Lama, beribu batu jauhnya dari kampung halaman – perjalanan yang begitu ramai para sami di Tibet impikan.

(Bersambung)

Pemandangan memukau sebuah dusun di Dharamsala pada waktu pagi 

Warna-warni kibaran bendera ibadah yang mewakili unsur semulajadi pada setiap warna

Acara debat harian para sami (aku akan ceritakan pada post yang seterusnya)

Dharamsala (1): Modenisasi



11 November 2019, Dharamsala.

Hujan rintik-rintik pada pagi yang menyembulkan sinar mentari dari balik barisan gunung berselimut salji. Kabus nipis menyelimuti permadani hijau di kakinya. Sungai jernih yang mengalirkan glacier ais menampakkan kemilau sang suria. Sejauh mata memandang, yang terlihat hanyalah rantai pergunungan dan perbukitan yang nampak sambung menyambung, seolah membius diri yang masih duduk berjuang di dalam bus tua kusam ini, menempuh perjalanan berat yang seakan menampar-nampar tubuh tatkala melewati jalanan berbatu. Perut aku sudah lama berkeroncong sejak malam semalam, dan sehingga kini tetap masih belum diisi. Akhirnya selepas beberapa jam kemudiannya, aku selamat tiba di Dharamsala. 

Dharamsala adalah sebuah kota kecil yang berada di kaki pergunungan Himalaya, terletak di barat laut negeri Himachal Pradesh. Kota yang berdiri pada altitud 1750 meter di pinggang gunung ini menyajikan gugusan pergunungan Himalaya dengan puncak-puncak saljunya. Dharamsala bagaikan magnet syurga dunia yang menawarkan kedamaian bagi para pencari tujuan hidup.

Kota ini dahulu dikenali dengan nama Bhagsu di bawah kepimpinan Dinasti Katoch, dinasti yang dipercayai sebagai keluarga kerajaan tertua di dunia. Pada tanggal 29 April 1959 Dalai Lama ke 14, Tenzin Gyatsoyang bersama pengikutnya melakukan perjalanan panjang dari Tibet menuju India untuk mendapatkan hak suaka setelah jatuhnya gerakan pemberontakan Tibet akibat konflik politik dengan Tanah Besar China.

Kota McLeodGanj

Di Dharamsala, Dalai Lama hidup dalam pengasingan dan pada bulan Mei 1960, beliau secara rasminya telah menubuhkan Pentadbiran Tibet Pusat (kerajaan Tibet dalam buangan). Sejak saat itu Bhagsu dikenal seluruh dunia dengan nama Dharamsala. Dalam bahasa Sanskrit, Dharamsala dalam erti paling harfiah bermaksud rumah tumpangan atau tempat beristirahat bagi para peziarah keagamaan. Di tahun berikutnya para pengikut Dalai Lama dari Lhasa melakukan eksodus ke India, lalu membuatkan Dharamsala mendapat jolokan dengan gelaran 'Little Lhasa'.

Nanti dulu, masih ada tumpangan lain yang harus aku cari di terminal ini kerana tujuan asalku adalah untuk naik ke 'Upper Dharamsala' atau lebih dikenal sebagai McLeodGanj. Di sanalah tempat di mana Dalai Lama tinggal. Mujur saja bas awam hanya memungut tambang serendah 18 rupee untuk perjalanan yang tidak terlalu jauh, tapi perlu mendaki naik di jalanan yang meliuk dan menanjak tajam. 

McLeodGanj mendapat nama sempena Sir Donald Friell McLeod, seorang bekas Leftenan Gabenor British Punjab dan di sini aku telah menemukan oasis komuniti Tibet. Di langit-langit McLeodganj, tergantung bendera doa yang berkibar dengan aksara Tibet, melambai-lambai ditiup angin. Tak hanya di langit jalanan, malah di atap rumah, di ranting pepohonan bahkan menjulur dari satu bukit ke bukit yang lain. Meskipun nuansa Tibet terasa kental di sini, namun aroma India tak hilang begitu saja, masih ada kelibat lenggokan lembu berjalan santai di lorong-lorong kota. Jalanan di sekitar McLeodGanj nampak sesak dengan pengunjung. Kuil dan stupa bersanding mesra bersama deretan hotel dan kedai. Beberapa sami berpakaian merah maroon berjalan berkeliling dengan membawa tasbih di tangan sambil mulutnya yang tak henti membaca mantera. Ritual sebenarnya bukan hanya di dalam kuil saja. Dalam tradisi Buddha Tibet, mengelilingi tempat-tempat suci juga bahagian dari ibadah ziarah.

Untuk seketika, aku seperti berada di Tibet kerana ramai sami terlihat di merata kawasan

Dalai Lama dianggap sebagai Buddha hidup oleh para penganut Buddha

Ketika di awal kedatangan Dalai Lama ke tempat ini, Dharamsala adalah sebuah wilayah yang sangat sederhana dan nyaris tak terlihat oleh pelancong luar. Orang Tibet di sini hidup dalam dunia mereka sendiri – dunia spiritual mereka, pemujaan dan ritual mereka, kosmologi mereka sendiri. Mereka mengorbankan waktu dan tenaga besar untuk ziarah ke tempat-tempat suci, dari pagi sampai malam hanya memutar roda doa dan tasbih, melantunkan doa tanpa henti. Dengan penuh kekhusyukan, orang Tibet tradisional mengelilingi lapangan stupa, bersujud di hadapan kuil suci, menampalkan dahi di bendera ibadah, terperangkap dalam kepercayaan mistik mereka. 

Namun kini materialisme, 'peradaban', tuntutan duniawi, telah menjadi bahagian kehidupan orang Tibet moden. Lapangan di hadapan Namgyalma Stupa ini, titik awal dari ziarah berkeliling kuil suci, sudah dipenuhi kedai-kedai yang berjajar, menawarkan alat sembahyang, baju sejuk, seluar, sampai DVD. Lintasan 'kora' (amalan meditasi dalam tradisi Buddha Tibet) di jalan-jalan sempit sekeliling Namgyalma juga sudah penuh dengan penjaja jalanan, restoran, dan bar. Dharamsala kini sudah menjadi tempat pelancongan lainnya. Tetapi kemodenan di mana-mana tak menghalangi para penziarah yang khusyuk, berkeliling dengan perlahan-lahan, terus membaca mantera dan memutar roda doa.

Kawasan dengan jalanan yang lebar ini dipenuhi dengan pengunjung dari serata dunia, mengingatkan aku akan suasana Khao San Road di Bangkok. Dari pengembara bergaya hippie hingga yang memakai jubah ala Dalai Lama ada semua. Mereka bukan sekadar datang sebentar kemudian berlalu pergi, tapi kebanyakan dari mereka sudah tinggal berbulan-bulan di sini, mencari pencerahan hidup dan menikmati kedamaian yang ditawarkan atau mempelajari lebih dalam tentang agama Buddha.

Nuansa backpackers ghetto di McLeodGanj
McLeodGanj Main Square bertindak sebagai pusat kota 

Tidak hanya pelancong. Sami Buddha dari seluruh dunia turut datang ke sini untuk bertemu sang sami suci Dalai Lama, mulai dari negeri Timur Mongolia sampai dari dataran Eropah. Bukan cuma bertemu, mereka juga belajar tentang agama Buddha dan kedamaian hidup. Jangan hairan, jika sepanjang jalanan kawasan ini ramai sekali kelibat sami lelaki dan wanita mengenakan jubah warna merah maroon ala Dalai Lama.

Terlepas dari pusat keagamaan dan kerohanian, kawasan McLeodGanj juga kini sudah berubah menjadi 'backpackers ghetto' seperti Paharganj di New Delhi. Deretan penginapan murah dan kedai menjual souvenir khas Tibet tersebar di setiap penjuru. Mulai baju, dekorasi rumah, buku, hingga barangan aksesori. Restoran di sini pun banyak yang menjual makanan ala Eropah. Mudah sekali menemukan kedai pastri dan kek. Hotel di kawasan ini juga murah dan menyajikan pemandangan permadani perbukitan serta barisan gunung tandus berjubah salju.

Pembangunan dan globalisasi memang mengubah daerah eksotik menjadi kota moden biasa, seperti kota-kota lainnya di abad milenium. Apakah orang-orang Tibet berbahagia dengan kemajuan materialisme yang kini mereka nikmati? Tak mudah untuk dijawab. Di sisi lain pula, layakkah para pelancong menuntut daerah-daerah lain untuk tetap hidup dalam keterbelakangan, supaya tetap 'eksotik' dan 'misteri' di lokasi-lokasi yang terpencil, sebagai taman bermain untuk melupakan deraan hidup dunia moden?

(Bersambung)

Sami wanita


Majoriti kedai buku di Dharamsala menjual buku-buku keagamaan dan kisah kehidupan Dalai Lama


Namgyalma Stupa berdiri di antara barisan kedai dan hotel

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!