Memaparkan catatan dengan label jaipur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jaipur. Papar semua catatan

Tujuh Stepwells Menakjubkan di India dan Cara Untuk Mengunjunginya


Setiap peradaban yang hebat pasti menyumbang sesuatu yang istimewa dalam senarai seni bina agung di dunia. Jika tamadun Mesir telah membangun piramid manakala Yunani mendirikan tiang-tiang Korinthos, India pula membina stepwell,  atau ‘perigi bertangga’ dalam erti yang paling harfiah. Stepwell adalah bentuk khas sistem takungan air di sub-benua India, dan perigi ini dipercayai telahpun digali sejak 3 milenium sebelum masihi. Daripada hanya sebuah lubang di tanah berpasir, ia terus berevolusi dari masa ke semasa menjadi suatu karya seni yang bersenibina rumit.

Di India, stepwell disebut dengan banyak nama. Dalam Bahasa Hindi ia dinamai sebagai baori, baoli, baudi, bawdi, atau bavadi. Dalam bahasa Gujarat pula ia biasa disebut vav.

Negeri-negeri di bahagian barat India seperti Rajasthan dan Gujarat, merupakan wilayah yang memiliki iklim tak bersahabat. Kadar curahan hujan di pinggir Gurun Thar itu memang rendah. Tambahan pula keadaan buminya yang berpasir dan berlumpur, cepat sekali menyerap air hujan yang turun tidak kira walau seberapapun derasnya.

Hasil daripada kebijakan para penguasa di wilayah-wilayah kering kontang ini pada ketika itu, mereka menggali kolam-kolam yang dalam (mungkin juga boleh disebut sumur) yang berfungsi untuk menampung air bagi keperluan rakyatnya.

Meskipun begitu, kolam-kolam dari abad pertengahan yang senibina dan fungsinya luar biasa ini perlahan-lahan terkubur digilas putaran roda zaman. Pada tahun 1864, penjelajah Perancis Louis Rousselet menemukannya. Dia terkesima dan menggambarkan stepwell di dalam catatan perjalanannya sebagai kolam air yang luas, terselimut dengan pohon dan bunga teratai, sekaligus tempat ribuan ekor burung bermain di atas air. Dia menuliskan pula, di pinggiran kolam para warga mandi-manda dikelilingi hutan yang hijau.

Rousselet seolah-olah bukan menggambarkan kolam kuno berukuran mega, melainkan sebuah danau. Dari keterangan Rousselet, sumur atau kolam itu memang luar biasa. Ia mampu menangani masalah air di wilayah paling kering di India itu. Di tepi gurun Thar, hujan mampu turun dengan sangat deras, namun genangan air pula boleh secepat kilat menghilang.

Dengan kegarangan musim panas yang bersuhu di atas 40 darjah, tanah berlumpur pun tidak mampu menampung air. Orang-orang pula memerlukan solusi yang praktikal, agar jalur perdagangan di India Utara itu tak kehilangan prestij dan mati. Lalu pada tahun 550 Masihi, stepwell pertama dibangun, namun yang paling terkenal dibangun pada abad pertengahan.

Pembangunan yang diinisiatifkan oleh para penguasa Gujarat dan Rajasthan ketika itu, diperkirakan mencapai sehingga lebih 3000 stepwell. Meskipun banyak yang sudah hancur dan tertimbus di beberapa titik pada zaman kuno, atau dipenuhi dengan sampah sarap pada era moden, namun beberapa kolam luar biasa itu masih ada. Di New Delhi saja, ada lebih daripada 30 stepwell.

Chand Baori di Abhaneri, 100 km dari kota Jaipur, Rajasthan, merupakan stepwell terbesar yang tersisa. Secara visual, Chand Baori memiliki struktur empat sisi yang dalam beserta sebuah kuil besar di satu sisi. Ia mempunyai 3500 anak tangga bertingkat (Escher-esqeu) yang berbaris menuruni tiga sisi lainnya, setinggi 13 lantai pada kedalaman 30 meter. Pembinaanya bermula dari abad ke-10, dan didedikasikan untuk Harshat Mata, dewi kegembiraan dan kebahagiaan.

Air memainkan peranan khusus dalam mitologi Hindu, sebagai batas antara langit dan bumi yang dikenal sebagai tirtha. Sebagai tirtha buatan manusia, stepwell bukan hanya berfungsi sebagai sumber air minum, tetapi juga tempat suci bagi penganut Hindu untuk mandi, doa, dan meditasi.

Hari ini, stepwell - sama ada yang ditinggalkan atau masih digunakan - boleh ditemui tersebar di seluruh India, rata-rata berada di utara dan barat negara ini – yang biasanya jauh dari laluan mainstream para pelancong. Berikut adalah senarai pilihan tujuh  stepwell yang paling spektakular, beserta perincian tentang cara untuk anda mengunjunginya sendiri.


Chand Baori di rajasthan, stepwell yang bagi aku paling menakjubkan di India

1. Chand Baori, Abhaneri, Rajasthan

Merupakan stepwell yang terbesar di seluruh India, Chand Baori telah banyak kali tampil sebagai lokasi tarian untuk bermacam video muzik Bollywood. Ia turut pernah menjadi lokasi penggambaran filem Batman: The Dark Knight Rise pada 2012. Terdapat 3500 anak tangga pada setiap sisinya yang menuju ke pusat kolam, tersusun dalam corak menyilang yang rumit bak berlian dipotong - walaupun memiliki kedalaman 13 tingkat dan berjarak 35 meter dari satu sisi ke seberang.

Cara ke sana: Abhaneri terletak 100km dari Kota Jaipur. Bagi backpacker yang ingin ke sana dengan kos murah, anda mempunyai pilihan samada untuk menaiki shared-taxi ataupun bas awam yang memerlukan transit di Sikandra dan Gular. Namun jika anda mempunyai bajet lebihan, sebaiknya buatlah tempahan sebuah teksi yang boleh membawa anda melakukan day trip ke Abhaneri.


Perigi gergasi Rani-Ki-Vav peninggalan Kerajaan Chalukya

2. Rani-ki-Vav, Patan, Gujarat

Mendapat jolokan the grand-daddy of Indian stepwells, Rani-ki-Vav adalah salah satu daripada beberapa peninggalan kerajaan Chaulukya yang pernah berkuasa memerintah wilayah besar Gujarat dan Rajasthan pada abad ke-11. Selain rangkaian lapisan dinding dan tiang-tiangnya yang bersulam ukiran indah, perigi monumen ini telah dibangun atas perintah Udayamati, isteri kepada raja Chalukya Bhimdev I.

Pemuliharaan Rani-ki-Vav yang luar biasa ini sebenarnya adalah kerana dari bencana alam - monumen ini dipenuhi dengan keladak pada abad ke-13 sebelum dipulihkan lalu popular kembali pada tahun 1940-an. Hari ini, Rani-ki-Vav telahpun disenarai ke dalam tapak warisan Unesco, kerana struktur asasnya yang sangat besar, dan kerumitan serta keanggunan ukiran Vishnu dan dewa-dewa lain yang terpapar pada setiap inci batu yang terdedah.

Cara ke sana: Patan terletak kira-kira 130km dari Ahmedabad dan memerlukan perjalanan selama 3 jam dengan teksi, atau lebih lagi jika anda menaiki bas awam dari stesen bas ST Ahmedabad. Anda juga boleh membuat pilihan untuk bermalam di Patan jika tidak mahu terkejar-kejar dengan masa.


Agrasen Ki Baoli yang berlatarkan kota metropolis Delhi

3. Agrasen Ki Baoli, Delhi

Sebuah mercu tanda Delhi yang terlupakan ini sentiasa terbuka kepada umum  di tengah jalanan kota New Delhi, hanya beberapa minit dari pusat perniagaan tersibuk, Connaught Place. Perigi ini digali 60m ke dalam perut bumi di tengah ibu kota India, dan hanya boleh diakses dengan tangga tunggal. Melalui strukturnya yang dilihat pada hari ini, kemungkinan besar ia telah dibangun pada zaman kejayaan Tughlaq pada abad ke-14, ketika Delhi diperintah oleh dinasti kesultanan Turki. Ada ura-ura yang mengatakan bahawa tempat ini ‘berpenunggu’ - oleh jin yang menghuni runtuhan Tughlaqabad dan Feroz Shah Kotla. Hari ini, Agrasen Ki Baoli adalah tempat tumpuan pengunjung untuk bergambar kerana ia pernah menjadi lokasi penggambaran filem blockbuster arahan Aamir Khan, PK pada 2015.

Cara ke sana: Agrasen Ki Baoli terletak tepat di tengah-tengah New Delhi, berdekatan dengan berbagai penginapan menarik di ibu kota. Haveli Dharampura misalnya, yang mahal tetapi menawan kerana menyajikan keanggunan Mughal di lorong-lorong kota lama, sementara golongan backpacker pula tentunya akan meninap di sekitar Paharganj.


Adalaj Vav adalah sebuah karya agung seni ukiran batu

4. Adalaj Vav, Adalaj, Gujarat

Walaupun tidak dapat bersaing pada skala Rani-ki-Vav, stepwell abad ke-15 di Adalaj di tengah Gujarat ini adalah sebuah karya agung daripada seni ukiran batu – ibarat kotak permata dengan lajur-lajur tiang mengelilingi liang perigi yang berbentuk oktagon di tengahnya, berselimut pula dengan kerawang yang dihiasi ukiran bunga, gajah, dewa dan bermacam ornamen indah.

Cara ke sana: Adalaj mudah diakses dari Ahmedabad dengan auto-rickshaw atau teksi melalui jalan yang menuju ke Gandhinagar. Masa perjalanan sekitar 30 minit sahaja.


Walaupun kebanyakan stepwell terdapat di barat dan utara India, Pushkarini adalah salah satu contoh hebat yang terdapat di selatan negara itu.

5. Pushkarini, Hampi, Karnataka

Stepwell biasanya terdapat di India utara, tetapi runtuhan kota empayar Vijayanagar di Hampi turut ditemukan sebuah perigi yang seumpamanya, disebut Pushkarini, yang dibina dengan gaya stepwell.

Cara ke sana: Hampi boleh diakses melalui stesen keretapi Hospet, kemudian anda perlu membuat perjalanan singkat dengan bas ke Hampi Bazaar.


Rajon Ki Baoli terletak di tapak arkeologi Mehrauli

6. Rajon Ki Baoli, Delhi

Entri kedua dalam carta stepwell di Delhi, tempat takungan air tersembunyi di hutan kering dan berdebu dekat Tapak Arkeologi Mehrauli ini selalu diabaikan oleh para pengunjung yang lebih memilih untuk ke Qutab Minar, sekaligus menjadikan lokasi yang terpencil ini sepi pengunjung.

Cara ke sana: Anda boleh sampai ke Mehrauli dengan menaiki metro, dan terdapat banyak penginapan murah di sekitar Hauz Khas sekiranya anda ingin bermalam di kawasan yang berdekatan.


Perigi Surya Kund merupakan sebahagian daripada Kuil Matahari abad ke-11 di Modhera

7. Surya Kund Stepwell, Modhera, Gujarat

Kuil Matahari abad ke-11 di Modhera ini dibina supaya matahari pagi bersinar ke bahagian dalaman semasa berlakunya ekuinoks - penghormatan kepada penguasa dinasti Solanki, yang dikhabarkan berasal dari matahari. Surya Kund adalah sebuah perigi besar yang dipenuhi dengan lebih daripada 100 shikhara kecil (Menara kuil), seperti galeri seni yang penuh dengan batu ukiran. Seluruh kompleks ini telah diilhamkan oleh raja Bhimdev I, yang isterinya bertanggung jawab atas pembinaan Rani-ki-Vav di Patan (rujuk nombor 2).

Cara ke sana: Modhera boleh diakses dengan bas dari Ahmedabad dan transit di Mahesana, tetapi lebih mudah jika anda mendapatkan khidmat teksi di Ahmedabad dan berkunjung ke Modhera dan Rani-ki-Vav dalam perjalanan yang sama.


Jaipur: Paniwala


Jerebu tebal menjarah New Delhi ketika aku siap meninggalkan metropolis ini secara drastik

Oktober 2017

    Musibah besar berlaku di New Delhi ketika jerebu tebal menyelimut seluruh cakerawala ibu kota ini. Ketika itu metropolis ini cuma berdiri dengan satu warna; kelabu suram. Kerajaan mengumumkan darurat bagi tempoh tertentu. Sekolah ditutup, bahkan larangan kepada orang ramai untuk keluar dari rumah sekalipun. Tapi siapa yang peduli? India tetap dengan imejnya sendiri. Kota yang berpopulasi 20 juta penduduk ini tetap 'hidup' seperti biasa dengan berbagai cerita baru setiap hari. Hari kelima di sini, aku sudah mula diserang batuk teruk akibat pencemaran. Jika menetap lebih lama, mungkin sistem respirasi tubuh aku akan menjadi lebih parah. Lalu aku membuat keputusan drastik untuk lari ke Rajasthan bagi mendapatkan udara yang lebih bersih untuk bernafas.

Di Jaipur, aku berkenalan dengan Zheng Xuepeng, seorang backpacker China yang yang sedang bertualang lima bulan keliling India. Walaupun berteman, aku tetap juga belum menemukan semula semangat traveling yang hilang kerana batuk yang masih berterusan. Bersama Zheng, kami berdua menyusuri jalan-jalan kota merah jambu Jaipur.

Di negeri Rajasthan, pelbagai kota kuno berasosiasi dengan warna: kota merah jambu bagi Jaipur, kota biru bagi Jodhpur, dan kota emas pula bagi Jaisalmer. Kota Jaipur disebut kota merah jambu kerana di balik benteng kota kuno ini, banyak bangunan berwarna merah jambu. Sebenarnya sejarah merah jambu ini tidaklah terlalu lama. Pada tahun 1876, ketika Putera Edward VII berkunjung, kota ini disolek habis-habisan, menjadi kota cantik berwarna romantik – merah jambu.

Bangunan yang menjadi ikon Jaipur adalah Hawa Mahal, yang terlihat seperti istana tinggi dan megah, dilengkapi dengan 953 lubang jendela. Hawa bererti angin. Dari lubang jendela ini, angin berhembus, memberi kenyamanan bagi yang ada di balik bangunan ini. Walaupun ia tampak seperti istana raksasa dari luar, sebenarnya Hawa Mahal hanyalah sebidang dinding sahaja, bahagian dari istana raja Jaipur, yang dibangun oleh Maharaja Pratap Singh pada 1799. Barulah aku tau yang kemegahan bangunan berbentuk luar biasa ini sesungguhnya hanyalah dinding kosong yang buruk rupa.



Hawa Mahal 

Kami terus bersama meneroka kota kuno ini. Betapa aku kagum dengan jalannya yang lurus dan teratur, berpetak-petak, laksana kota terancang. Zheng Xuepeng si backpacker China ini pula dengan observasinya yang lebih tajam, mengagumi keteraturan kota ini dari segi konsep sebaran para pedagang. Di satu blok, semua kedai menjual makanan, di blok lain pula khusus bagi barangan perhiasan, ada blok untuk penjual katil charpoi, hingga blok kawasan khusus bagi tukang besi, tikar, basikal, dan penjual kendi. Kerana klasifikasi dagangan yang begitu rapi, kami seketika tersesat untuk mencari makanan sewaktu perut sudah mula berkeroncong minta diisi.

Lalu lintas padat, hon kenderaan sambung-menyambung tanpa henti. Anjing liar, lembu dan kambing tak bertuan berkeliaran di setiap penjuru jalanan. Orang ramai ke hulu ke hilir ke pasar dan kuil, sibuk dengan urusan harian mereka. Tetapi yang paling menjengkelkan adalah pemandu rickshaw dan penjual cenderamata yang berteriak kasar memanggil kami dengan laungan "Halo! Halo! Japan! Korea!"



Kesibukan harian Kota Merah Jambu 

Di belahan lain pinggir sebatang jalan, aku ternampak seorang penjual air dan terus mengajak Zheng ke sana untuk mengisi botol minuman yang telah kosong.

"Hari Om, kishor.." penjaga tempat ini menyapa kami. Kedut menghiasi wajah tuanya. Aku singgah ke pondoknya yang sederhana di pinggir jalan, di tepi rendangnya sebatang pohon besar.

"Hari om maa ji.." Aku membalas sapanya.

Kendi demi kendi air bersusun rapi di pelantar. Nenek ini mengisi setiap kendi air itu. Air kosong jernih dan menyegarkan ini tersedia bagi sesiapa pun yang melintas.

"Maa ji, berapa yang harus dibayar kami untuk minum air ini?" Aku bertanya.

"Kuch nehi. Tidak sama sekali. Air ini sentiasa tersedia secara percuma," dia menjawab dengan perlahan, tenang, dan lembut.

Air ini adalah lambang cinta dan pengabdian. Wanita tua ini bernama Ritsika. Dia adalah seorang paniwala. Pani bermaksud air, dan wala adalah akhir kata dalam bahasa Hindi untuk menyebut orang. Tukang air biasanya duduk tenang di sudut-sudut jalanan Rajasthan dengan kendi di tangan mereka. Air bercucur keluar dari leher kendi dan sedia dialirkan ke kerongkong orang-orang lalu lalang yang kehausan. Paniwala tidak menarik bayaran sedikit pun untuk pekerjaan ini, walaupun terkadang orang yang meminum tetap akan memberikan sedekah seadanya.

Nenek Ritsika mengajak aku masuk ke dalam pondoknya. Lebarnya tak lebih daripada satu meter. Aku dan Zheng agak berhimpit mencari keselesaan duduk di ruang sempit ini. Dindingnya berwarna kuning suram, bergambar hiasan-hiasan Hinduisme, seperti chakra, tulisan 'Om', dan swastika. Di sudutnya pula ada meja kecil dengan beberapa gambar Tuhan Shiva, sang dewa pemusnah yang bertangan banyak.

Wajah tua nenek Ritsika sentiasa tenang. Umurnya sudah 65 tahun, dan dia tinggal bersendirian di sini. Pada siang hari dia bekerja sebagai tukang sapu di sekolah kerajaan. Di petang hari dia kembali ke pondok ini, meneruskan tradisi keluarganya secara turun-temurun.




Nenek Ritsika 

“Keluarga kami sudah menjalankan tradisi sebagai paniwala turun-temurun. Mulai dari datuk saya, ayah saya, dan sekarang saya,” nenek Ritsika bercerita.

Pondok kecil di tepi pohon rendang ini sudah berusia puluhan tahun, menyimpan pelbagai cerita daripada beberapa generasi. Aku melihat di dinding, tergantung potret-potret lama.

"Itu mendiang ayah saya," nenek Ritsika menunjukkan foto seorang lelaki tua yang dalam imaginasi aku adalah seorang 'sadhu'.

Ayah nenek Ritsika dahinya botak. Rambutnya putih memanjang, dan janggut putihnya panjang sampai ke dada. Dia tidak berbaju. Pinggangnya dibalut lungi putih. Di dahinya antara kedua kening ada oles garis panjang tika berwarna merah oren, seperti yang biasanya dibubuhkan orang Hindu selepas sembahyang.

Mendiang yang dulu kononnya adalah orang suci, telah meninggal dunia beberapa tahun yang silam. Semasa hidupnya dulu, sang ayah juga mengabdikan diri sebagai paniwala. Bukan hanya orang tempatan yang mengenalinya, malah tempat ini dulu juga dikunjungi ramai orang asing.

"Bahkan ada yang menginap hingga berbulan-bulan di sini," kenang nenek Ritsika.

Dia menghulurkan buku testimoni peninggalan ayahnya. Ternyata di Jaipur bukan hanya pemilik hotel, pemandu rickshaw, dan penjual chai saja yang ada buku testimoni. Bahkan orang suci penyedia air segar yang tidak dibayar pun ada buku seperti ini.

Kami membelek-belek helaian buku tua itu, harta karun nenek Ritsika yang bernilai sentimental. Isinya jauh lebih menarik daripada buku tebal kepunyaan si pemilik hotel. Di sini ada surat-surat, foto, dan poskad yang dikirim dari berbagai penjuru dunia, dari berbagai hirisan zaman.

Buku ini adalah sepotong sejarah. Aku membaca penulisan demi penulisan surat yang dikirim para petualang dunia yang pernah singgah di tempat ini, berjumpa dengan mendiang ayah nenek Ritsika, dan menulis tentang kisah kehidupan manusia di tempat ini.

Seorang petualang dari tahun 1969 menulis, "Bapa India-ku, engkaulah semangat hidupku." Sang petualang mengisahkan semenjak dia meninggalkan pondok ini, betapa sedihnya dia mendengar tentang pembunuhan di zaman Indra Gandhi, dan bagaimana pengembaraannya di Pakistan yang penuh dengan bom. Si pengembara menulis surat ini dari Afghanistan, sebuah negara yang ketika itu adalah persinggahan favorite kaum hippie. Kepada sang swami, dia terus mengisahkan pengalaman batinnya di negara Afghan.

Dia memanggil ayah nenek Ritsika dengan sebutan swami, gelaran untuk guru suci Hindu, sang pemilik diri sendiri. Perkataan swami inilah asal bagi kata 'suami' dalam bahasa Melayu.

Sang swami mempunyai aura yang sangat dalam. Seorang pengelana bahkan rela menginap berbulan-bulan di pondok kecil ini hanya demi melihat wajahnya. "Tak perlu ada kata-kata yang terucap. Kita tak perlu banyak bercakap. Dengan hanya melihat wajah anda saya merasa tenang."

"Terima kasih untuk air anda yang menyegarkan, dan terima kasih juga untuk 'minuman hijau' itu."

Sepotong tulisan ini membuat aku tergelak. Minuman hijau yang dimaksudkan sudah tentunya 'bhang', serbuk yang terhasil daripada tumbukan daun dan bunga ganja, dicampur air dan diminum. Walaupun tergolong dalam kategori dadah, minuman ini suci bagi para sadhu kerana Dewa Shiva juga peminum air 'bhang'. Nenek Ritsika bertanya sekiranya kami ingin mencuba, tapi kami menolak tawarannya.

Nenek Ritsika cuma tersenyum. Senyumannya seakan memancarkan sebuah aura kesucian seperti mendiang ayahnya, sang swami. Sungguh, aku dan Zheng merasakan kedamaian berada di pondok sepi ini, di mana pengabdian diri adalah jauh lebih bernilai daripada apa pun kekayaan material duniawi.

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!