Memaparkan catatan dengan label petualang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label petualang. Papar semua catatan

Backpacking Pakistan 21: Wanita Pakistan di Mata Seorang Pengembara Wanita

 

Poster filem Pashto di sebuah panggung wayang Peshawar

8 Mac 2020, Happy Women's Day

Sempena Hari Wanita sedunia yang disambut pada hari ini, suka untuk aku kongsikan cerita tentang kehidupan wanita Pakistan yang telah aku dengarkan dari seorang teman. Semasa aku bergabung bersama Couchsurfing community berkhemah di Taman Negara Bukit Margala Islamabad bulan lalu, aku sempat bertemu dengan Ammara, yang lebih mesra dipanggil Ammu, gadis Oman yang berkeliling di Pakistan seorang diri.

Dari Naran Kagan, dia menjelajahi Hunza, Fairy meadows, Shandoor, Gilgit, Khunjerab pass, Mangho Peer, Makli, Liari, Ranikot, Katas Raj, Perbatasan Kasur dan Wagah, Multan, Hyderabad, hingga ke Lahore. Setelah berkeliling di berbagai penjuru negara ini sendirian, aku bertemu dengan Ammu di Islamabad sebelum dia meneruskan perjalanannya turun ke selatan negara sedang aku pula menghala ke barat.

Sebelum memulakan perjalanan di Pakistan, Ammu sudah dipenuhi oleh ketakutan tentang betapa seramnya kelakuan lelaki Pakistan terhadap perempuan. Banyak cerita backpacker perempuan yang mengalami gangguan seksual selama di Pakistan, mulai dari gerombolan lelaki yang tak pernah puas memandang tubuh wanita dari hujung kepala sampai hujung kaki, hingga kategori lelaki jalanan yang menjamah dan merimaskan. Jangankan perempuan, sebagai lelaki asing, aku pun pernah mengalami gangguan.

Tapi ternyata sudah hampir dua bulan Ammu di sini, dia sama sekali tak mengalami pengalaman yang tak mengenakkan seperti itu. Malah dia sempat terharu oleh keramahtamahan orang Pakistan. Ketika di Lahore, dia menginap di rumah keluarga penunggang rickshaw (pengangkutan roda tiga di Pakistan). Abang kepada si penunggang rickshaw pula bekerja sebagai receptionist hotel. Bersama orang tua, isteri, dan anak-anak, tiga generasi keluarga besar ini tinggal bersama di bawah satu bumbung. Dari rumah mungil itulah, Ammu mulai menyelam ke dalam hidup wanita Pakistan.

"Menjadi perempuan asing itu membolehkan saya mempunyai dua identiti," kata Ammu.

Dia bebas makan dan berborak bersama kaum lelaki dalam keluarga itu. Di lain waktu, Ammu turut mempunyai akses ke bahagian rumah yang terdalam, berbagi cerita dan gosip dengan kaum perempuan anggota keluarga. Perihal ini adalah hampir mustahil untuk dialami oleh lelaki, baik lelaki Pakistan mahupun lelaki asing mana pun.

Dari berbagai cerita Ammu, aku sangat tertarik mendengar pelbagai selok belok Pakistan yang selama ini tak pernah terjangkau oleh mata aku. Misalnya, bagaimana kehidupan kaum wanita Pakistan di balik tirai cadar?


Terbungkus burqa

Jangan terkejut kalau mereka, seperti perempuan di belahan bumi lainnya, juga suka berdiskusi tentang kecantikan. Perempuan Pakistan yang hampir tidak nampak sama sekali di jalanan, dan kalau keluar pun selalu terbungkus rapat dengan niqab atau burqa, juga suka membincangkan perihal kosmetik yang paling mutakhir, pelembab wajah yang paling mujarab, bahkan teknik paling berkesan untuk menghilangkan bulu badan.

"Sebenarnya hidup mereka sangat selesa," Ammu mengisahkan pengalamannya beberapa hari tinggal di sudut rumah keluarga Pakistan, "Mereka hanya menyiapkan sarapan, makan tengah hari , memasak, dan membersihkan rumah. Selepas itu mereka boleh kembali berhias."

Pertama sekali menghias alis mata. Alis yang dicukur rapi menambahkan indahnya mata mereka yang cantik. Kemudian mengecat kuku dan tangan dengan henna (inai). Ini adalah kegiatan sosialisasi para wanita di rumah itu. Mereka saling mengecat sambil berbual tanpa henti. Mereka menghabiskan waktu berjam-jam untuk menorehkan sebuah karya seni yang indah di atas tangan mereka, dan apabila keluar dari rumah, semua kecantikan itu tersembunyi dalam balutan cadar yang tertutup rapat.

Pernah suatu hari Ammu diajak menonton filem di panggung wayang bersama seluruh anggota keluarga. Kaum perempuan keluarga itu sejak dari petang sibuk memilih pakaian, menghadapkan diri di depan cermin, menghiasi sekujur wajah dan tangan dengan berbagai pewarna, belum lagi deretan gelang, anting-anting, cincin, dan lain-lain perhiasan... Hanya untuk menonton filem pun perlukan waktu tiga jam untuk berdandan. Dan apabila keluar saja dari pintu rumah, dalam sekelip mata, rombongan puteri cantik tersebut berubah wujud menjadi susuk tubuh dalam kain hitam pekat. Yang tersisa cuma segaris pandangan mata. Kecantikan mereka yang tiada tara itu hanya diperuntukkan bagi suami tercinta.

Kaum perempuan keluarga itu kemudian berdesak-desakan dalam auto rickshaw mungil milik sang suami. Ketika sampai di panggung, sementara si lelaki membeli tiket, Ammu yang kerimasan pun ikut keluar. Serentak para perempuan dalam purdah itu menjerit panik, "Jangan! Jangan keluar! It’s very dangerous!"

"Kenapa? Kenapa mereka selalu hidup dalam ketakutan?" sebuah pertanyaan retorik dari hati Ammu.


Perempuan Pakistan di bazar

Mereka seperti tercabut dari keamanan di balik tembok rumah. Kaum perempuan ini tak pernah menginjakkan kaki keluar rumah sendirian tanpa ditemani lelaki anggota keluarga. Dan apabila mereka berada di luar zon selesa, mereka merasa dunia luar begitu berbahaya.

Aku juga pernah merasai pengalaman menonton filem Pakistan di panggung wayang ketika di Peshawar tempoh hari. Namun filem Pakistan sama sekali tak meninggalkan kesan bagus di benak aku. Ia agak kotor. Kalau dimainkan di Malaysia, tentu saja akan ditapis oleh lembaga perfileman.

Jalan ceritanya cuma mendatar, tambahan pula aku tak begitu faham bahasa Pashto. Yang aku tonton adalah hanya lelaki yang membawa senjata, kisah asmara, dan perempuan menari-nari. Di negara jiran India, Bollywood menjadi imej cantik negara itu yang ditayangkan ke seluruh dunia. Tetapi filem yang aku tonton di Peshawar bukanlah imej sebenar Republik Islam Pakistan.

Lima belas minit pertama, tanpa sebab dan tanpa alasan adalah adegan tembak-menembak tanpa henti. Para lelaki berjambang lebat membawa senjata api. Sang pelakon bersimbah darah, tapi tak tercedera. Tiba-tiba, juga tanpa sebab tanpa alasan, babak filem berpindah lokasi ke hari mandir, kuil Hindu – di mana para perempuan melenggang lenggok dalam tarian.

Peraturan ketat di negara ini memang tak memungkinkan adegan membuka baju, namun pembikin filem tak hilang akal dengan menyunting gerakan ghairah penuh simbolik. Hasilnya malah lebih berani dan erotik daripada filem porno. Seorang perempuan gemuk berpakaian basah dan agak tembus pandang yang menggoyang pinggulnya di air pancuran, memperagakan gerakan erotisme yang sangat mengghairahkan. Tapi kenapa perempuan gemuk? Ia memang aneh, perempuan bertubuh penuh lemak adalah selera konsumer filem di sini.

Babak tarian wanita itu juga berlangsung selama lima belas minit tanpa henti. Kemudian, tuppp, berpindah lagi ke adegan tembak-menembak para lelaki. Lima belas minit berterusan, pindah lagi ke tari-tarian. Pergantian babak sangat kasar, guntingan dua filem yang dipaksakan untuk tampil bersama, seolah-olah lagu dan tarian erotik itu memang selingan atau sajian utama yang dipaparkan dalam filem ini. Berterusan, berganti-ganti tanpa henti sampai tiga jam penuh.

Berbalik semula kepada kisah perjalanan Ammu, pengalaman menyelami kehidupan perempuan Pakistan sungguh merupakan pengalaman baru baginya. Ammu yang terbiasa dengan penampilan sederhana, dengan baju lengan pendek, seluar jeans, jaket, serta tidak berhijab, sering dipandang aneh oleh wanita Pakistan terutamanya ketika menaiki bas awam.

"Sebenarnya," katanya lagi, "semua ini bertujuan untuk melindungi perempuan."

Di dalam bas, tempat khusus perempuan adalah tempat yang aman daripada jilatan mata kaum lelaki. Di restoran, ada ruang khusus yang sentiasa tersedia buat pengunjung perempuan, agar tak terlihat oleh lelaki lain. Perempuan tak perlu beratur di kaunter. Perempuan selalu ditemani dan dikawal ketika keluar dari rumah. Sungguh, itu merupakan perlindungan yang luar biasa. Tetapi kalau difikirkan semula, dari mana datangnya keperluan untuk selalu terus dilindungi? Ketakutan? Tradisi? Atau justeru kerana bahayanya para lelaki yang masih menggoda kaum perempuan walau sudah bercadar sekali pun?


Wanita Pakistan umumnya tidak ke Masjid

Aku teringat dengan perbualan bersama seorang penumpang bas di kota Mardan yang pernah bekerja di Arab Saudi. Dengan penuh rasa hiba, dia meluahkan rasa simpati terhadap negara-negara seperti Indonesia dan Filipina.

"Lihat, sampai perempuan pun terpaksa bekerja jauh-jauh ke negara Arab!" Malah lelaki ini juga tahu bahawa ada wanita yang menjadi buruh binaan di Malaysia. "Apalah nasib perempuan-perempuan itu….kasihan… harus bekerja keras… Di mana suami mereka?"

Apa yang biasa bagi kita, belum tentu tepat bagi mereka. Namun bagi kaum perempuan Pakistan, tak ada tempat yang lebih nyaman dari istana di sudut rumah, yang lebih aman dengan perlindungan suami dan kaum keluarga.

(bersambung)


Bersama Ammu di Margala Hills


Backpacking Pakistan 20: Pengembara dari Catalan

 

Bahrain merupakan sebuah desa merangkap pekan kecil yang terletak tepat di titik pertemuan antara Daral Khwar (kiri) dan Swat River (kanan)

7 Mac 2020

"Datanglah lagi ke sini jika ada masa," kata Rehman Uddin, "pintu rumah ini sentiasa terbuka buat kamu." Riak nada kata-katanya penuh dengan kesayuan, pelukannya erat sekali, seakan berat untuk melepaskan aku pergi.

Sudah begitu lama aku menginap di Odigram. Pada awalnya aku cuma mahu singgah ke desa ini untuk beberapa hari sahaja, tapi udara pergunungan syurgawi yang menyihir dan keselesaan yang sudah begitu lama tidak aku rasai justeru telah mendatangkan penyakit malas, yang mana tak ada sebarang kaedah penyembuhan melainkan cuma sang empunya diri yang mampu melawannya.

Lepas dari kemalasan, sekarang aku ditekan dengan rasa hampa. Dulu semangat kembara aku sebelum datang ke Lembah Swat begitu meluap-luap, ingin menelusuri sejarah Buddha yang pernah bertapak di sini sebelum datangnya Islam, ingin menggali kisah Taliban yang pernah menawan Lembah Swat, dan ingin bertemu dengan wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki Pathan di desa Buner. Tapi kini, aku tak lebih dari seorang musafir yang cuma melewatkan hari di halaman rumah, menonton YouTube, membaca buku sepanjang hari, dan mengagumi keindahan hamparan salju di puncak gunung yang putih bersih.

Hingga pada akhirnya, hadir juga tekad yang membulat. Aku membuat keputusan untuk menyambung perjalanan. Sudah terlalu lama aku beristirahat di sini. Dengan tempoh visa yang cuma tinggal sebulan setengah, masih banyak lagi tempat yang ingin aku teroka dan masih ramai lagi orang yang aku mahu jumpa.

Ringkas cerita, keesokan harinya aku sudahpun berada di Upper Swat, atau lebih tepat lagi, di Bahrain. Bahrain (juga dieja Behrain) adalah sebuah pekan kecil yang terletak 60km dari Kota Mingora dan berketinggian 4700 kaki di tebing Sungai Swat. Tempat ini dinamakan Bahrain (yang bermaksud dua sungai dalam erti harfiah) kerana lokasinya yang tepat di titik pertemuan antara Daral Khwar dan Swat River. Ia terkenal dengan resort-resort percutian tepi sungai, kraf tangan tempatan, dan pemandangan menakjubkan barisan gunung ganang yang mengepung seluruh pekan. Bahrain juga merupakan base camp bagi laluan trail yang membawa para trekker menuju ke tasik Daral dan Saidgai.


Pekan Bahrain

Ketibaan aku di Bahrain disambut Bakht Mand Khan, seorang lelaki tempatan yang sudah mengundang aku menginap di rumahnya sejak beberapa minggu lalu. Penampilannya kemas, orangnya tidak terlalu tinggi, wajahnya bersih tanpa sebarang jambang, dan bahasa Inggerisnya fasih. Walaupun baru berjumpa buat kali pertama, keakraban kami sudah seperti sahabat lama. Bakht Mand adalah seorang yang gemar bergurau serta mudah ketawa.

Aku dibawa berjalan meninggalkan kawasan pekan dan seterusnya menuju ke rumahnya yang terletak di permukiman desa di lereng gunung. Jalan belakang gunung ini cukup panjang, datar, dan tidak terlalu sukar untuk ditelusuri. Kecuali di beberapa tempat yang terkena longsoran dari puncak, jalan tertutup oleh tompokan batu. Aku memang kurang gemar kalau lalu di jalan seperti ini. Seram sekali bila perlu melintasi tompokan bongkahan batu sedangkan di bawah sana ada jurang menganga dan di atas puncak sana pula batu besar boleh turun pada bila-bila masa.

"Cepat! Cepat!" kata Bakht Mand menyorak. Melintasi kawasan longsoran memang perlu cepat, kerana tanah tidak stabil dan longsoran masih boleh terjadi. Dengan backpack berat yang dipikul di bahu, aku malah merangkak dengan kedua telapak tangan di atas bebatuan seperti bayi yang baru belajar berjalan. Sungguh perjalanan di desa-desa utara Pakistan memang memerlukan sejumput lebih banyak jiwa petualang.


Swat River yang surut pada musim sejuk

Tetapi petualangan aku ini seperti tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan lelaki Sepanyol yang aku temui di malam harinya. Wajahnya serius, tak ada senyum di bibirnya. Janggut panjang yang dipintal menghiasi wajahnya yang bujur. Matanya segaris, suram. Kulitnya putih, namun tak terawat, berkerak di sana-sini. Sungguh kontras dengan diri aku yang selalu mengenakan krim pelembap. Dia tipikal orang Eropah yang mengembara dengan cara hippie: bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan menumpang kenderaan orang dan menjalani hidup bertahun-tahun di atas jalan. Tapi yang membuat aku seketika merasa takjub adalah, dia mampu bertutur bahasa Melayu kerana pernah berkelana di Malaysia dan Indonesia selama dua tahun.

Jauh-jauh dari Wilayah Catalonia asalnya, lelaki ini lebih terlihat seperti warga dusun Pakistan. Dia berbalut shalwar kamiz yang penuh kedutan, berpadu dengan sehelai shawl yang melintang di bahu. Dengan gerakan perlahan dia membuka selembar peta Asia yang sudah lusuh dan koyak, penuh tampalan selotip di sana-sini, sempat membuat aku mengira kertas peta itu terbuat daripada plastik.

"This way," katanya dengan suara berat dan pekat, tipikal loghat orang Latin yang bercakap dalam bahasa Inggeris, "adalah jalan menuju Chapursan."

"Chapursan? Tempat apa itu?"

"Ia adalah syurga tersembunyi. Di peta ini kamu boleh lihat ada Koridor Wakhan di sini," katanya sambil menunjukkan dataran sempit yang menjulur panjang di timur laut Afghanistan, "Chapursan terletak tak jauh dari sempadan Wakhan. Begitu terpencil dan tersembunyi. Sebuah syurga di hujung dunia, terkunci waktu."

"Untuk sampai ke sini," lanjut lelaki Sepanyol ini, "kamu harus melintasi Mastooj, Istach, sampai Broghil, desa terakhir di Upper Chitral. Kalau dari Gilgit pula, kamu boleh melalui Karakoram Highway hingga Afiyatabad kemudian belok ke kiri ke utara ke arah sempadan Afghanistan."

Semua nama itu masih asing bagiku, tetapi aku justeru terpesona dengan perjalanan (lebih tepat lagi, petualangan) lelaki ini. Siapa sangka dengan penampilannya yang kusut masai seperti ini, ternyata dia adalah seorang pengelana besar, pemberani yang mempertaruhkan apa pun demi menemukan rahsia alam di lembah-lembah yang terpencil. Dia jelas adalah jenis pengembara yang begitu aku kagumi.

Dia sudah berkelana ke pelbagai penjuru Pakistan, dari perbatasan Taftan, turun hingga Karachi di selatan, naik ke utara, dan kini menuju ke barat. Semuanya dengan menahan kenderaan di jalanan. Percuma, tanpa sebarang kos.

Susah? Tentu saja tidak. Dia mampu bertutur bahasa asas Urdu. Yang lebih mengagumkan, dia sentiasa belajar bahasa tempatan di setiap tempat yang dia singgahi. Di Quetta, dia bertutur bahasa Balochi, bahasa Sindh di Karachi, Punjabi di Lahore, Kashmiri di Azad Kashmir, Khowari di Chitral, dan sekarang dia mempelajari bahasa Pashto di Khyber Pakhtunkhwa.

Walaupun terdengar patah-patah, ternyata dia tidak ada kesulitan sama sekali untuk berkomunikasi dengan orang tempatan. Tak pernah dia tinggal di mana-mana penginapan berbayar, kerana selalunya hanya menggunakan Couchsurfing, kadangnya pula di warung teh, yang selalu menyediakan tempat bermalam percuma bagi siapa pun yang singgah makan di sana.

Lelaki ini masih menunjukkan tempat-tempat mahaindah di peta robeknya. Ada Salang Pass di Afghanistan yang menurutnya adalah lintasan gunung terindah yang pernah dia lalui, di samping Lebuhraya Pamir di Tajikistan, Karakoram di Pakistan, dan Kardhungla Pass di India. Aku merasa ikut bertualang bersamanya dalam angan, mengembara melintasi kota-kota kuno yang ditunjukkan di atas peta.

Berkeliling di Asia tengah dengan menumpang trak, berbicara bahasa tempatan dengan fasih, menginap secara percuma di sepanjang perjalanan, mengunjungi dusun terpencil di balik gunung, mencari syurga di lembah yang tersembunyi, perjalanan seperti lelaki ini sungguh aku idamkan. Aku membayangkan diriku juga dapat berkeliling di Asia Tengah suatu hari nanti.

Namun aku tak tahu apakah aku mampu mengikut jejak langkahnya. Apa yang pasti, di dalam sebuah kedai makan di pekan kecil Bahrain, aku terpukau dengan petualangan seorang pengembara dari Catalan.

(bersambung)


Makanan istimewa Bahrain, chapli kebab

Rumah keluarga Bakht Mand

Terkurung gunung


Backpacking Pakistan 4: Lahore

Pusat bandar Lahore yang sesak dan padat


13 Januari 2020

Tak banyak yang dapat aku lihat pada tiga hari pertama di Pakistan kerana aku tinggal di Manawan, sebuah pekan yang terletak 15km jauhnya dari Lahore, dan berjarak 20km dari sempadan India. Di hari berikutnya baru aku punya kesempatan untuk meneroka Kota Lahore sekaligus memasuki dunia Pakistan yang sebenar. Padat, ramai, kotor, kuno, dan hanya kaum lelaki yang mendominasi segenap sudut pandangan.

Lahore adalah bandar kedua terbesar di Pakistan, dan merupakan ibu kota tradisional wilayah Punjab selama lebih satu milenium yang dianggap sebagai pusat kebudayaan negara. Pusat bandar Lahore adalah Walled City, sebuah kawasan yang begitu padat dengan penduduk di setiap kilometer persegi. Ia telah bertapak sejak ribuan tahun yang silam dan telah menjadi pusat selama ia diwujudkan. Warisan empayar Mughal dan Sikh masih bertahan di Kubu Lahore, Masjid Badshahi dan Gurdwara, sementara Mall pula dipenuhi dengan bangunan kolonial-gothik dari British Raj, manakala pinggiran bandar Gulberg pula menempatkan rumah-rumah agam dan kawasan membeli-belah kelas atasan.


Delhi Gate, salah satu daripada enam pintu masuk ke Walled City. Dinamakan Delhi kerana gerbang ini menghadap timur, ke arah Delhi di India. Selama era Mughal, gerbang ini berfungsi sebagai pintu masuk utama ke Lahore.

Lahore berpopulasi kira-kira 12 juta penduduk dan sangat meriah dengan pentas kehidupan. Metropolis ini merupakan bandar mesra yang sosial dan liberal. Ia telah melalui berbagai lintasan waktu serta zaman perevolusian budaya, intelektual, muzikal, sastera, dan humanistik. Inilah Pakistan di dalam bayanganku, yang aku mimpikan selama ini. Para lelaki berjubah panjang berkibar-kibar lalu lalang di sepanjang jalan. Aroma kebab yang menusuk hidung, juga lazatnya teh susu panas yang dituang ke dalam barisan cawan. Suara minyak yang pecah menjerit di atas kuali datar, menggoreng roti nipis yang renyah lagi panas. Sayang sekali kerana duit saku aku yang terhad, aku tidak berkehendak sedikitpun untuk merasainya. Setiap hari makananku adalah hidangan yang disediakan oleh tuan rumah - kiriman Ilahi yang selalu aku syukuri.

Sejak meninggalkan India beberapa hari lalu, kehidupan manusia di seberang sana kini tinggal memori. Sekarang aku sudah berada di Pakistan, sebuah dunia yang sama sekali berbeza. Di jalanan hanya ada lelaki, dan cuma lelaki. Aku sempat terpesona dengan busana tradisional yang dipakai oleh semua lelaki Pakistan bernama Shalwar kamiz. Shalwar adalah seluar besar dan longgar yang kalau dibentang lebarnya boleh mencapai satu meter. Kamiz pula adalah jubah panjang yang menjuntai sampai ke lutut. Sungguh bila dipakai angin musim sejuk yang menggigit langsung menerobos ke dalam seluar.

Justeru aku menjadi tertarik dengan trend pakaian yang dahsyat ini.

Bagaimana pula halnya dengan perempuan di sini? Aku nyaris tak melihatnya sama sekali. Mereka sebenarnya ada, namun jumlahnya boleh dihitung dengan jari, itu pun terbungkus rapat dari hujung kepala sampai ke mata kaki. Memang di negara ini, umumnya perempuan tidak keluar rumah sendirian tanpa ditemani oleh saudara lelaki. Ini tentu saja sebuah kejutan budaya bagiku walaupun aku berasal dari negara yang bermajoriti Muslim. Jangan hairan kalau ada perempuan yang berjalan sendirian di jalanan, dia pasti menjadi pusat perhatian ratusan pasang mata para lelaki yang menatap tajam dan liar. Ramai backpacker perempuan asing yang mengalami hal seperti ini ketika berkunjung ke Pakistan.

Di tempat-tempat umum Pakistan, misalnya di terminal bas, stesen kereta api atau restoran, air minum percuma selalu tersedia namun hanya dengan sebuah gelas. Satu-satunya gelas ini boleh digunakan oleh sesiapa saja, dan tidak perlu dicuci terlebih dahulu. Boleh dikatakan, ini adalah 'air minuman umum' dan 'gelas umum' yang sentiasa tersedia. Semua orang bebas minum dengan menggunakan gelas yang sama tanpa rasa jijik. Aku membayangkan jikalau ada penyakit berjangkit menular di Pakistan, pasti seluruh negara ini akan tertular, kerana kebiasaan mereka meminum air dari gelas yang sama. Namun ada orang Pakistan berkata kepada aku, "penyakit itu kehendak Allah. Jika Allah mahu engkau sakit maka engkau akan sakit. Jika Allah mengkehendaki engkau sihat maka engkau akan terus sihat." Perkongsian gelas seperti ini sama sekali tidak wujud di India, sekaligus membuatkan aku pada mulanya seperti tak biasa. Namun ini adalah budaya di negara ini, dan aku seharusnya tidak perlu risau untuk mengikuti cara mereka.


Kereta keldai masih menjadi pengangkutan utama untuk mengangkut barang

Di Anarkali Food Street aku berjumpa dengan sekumpulan lelaki berbangsa Pashtun dari Afghanistan yang kini menetap di Pakistan. Ini adalah kali pertama aku bertemu dengan orang-orang Afghan. Sepertimana yang pernah aku lihat di internet, susuk wajah orang Afghan memang identik dengan gambaran klise: sedikit bengis, berjanggut lebat, bersama tatapan mata yang tajam. Mereka memilih untuk melarikan diri dari negaranya dan memulakan kehidupan baru di Pakistan akibat kemelut berpanjangan yang menggoncang negara mereka sejak bertahun lama.

Kehidupan pelarian Afghan di sini merupakan dilema tersendiri bagi kerajaan Pakistan. Pada satu sisi, mereka adalah saudara sesama Muslim yang perlu dibantu, namun di sisi lain kedatangan mereka semakin meningkatkan jumlah pengangguran, kemiskinan, dan jenayah di negara ini. Para pelarian Afghan ini umumnya tidak mempunyai pekerjaan tetap di Pakistan. Di Lahore, ramai yang bekerja sebagai pedagang di bazar, sedangkan anak-anak kecil malah ada yang menyelongkar gundukan sampah di sudut-sudut jalan.

Anak jalanan yang rata-ratanya berbangsa Pashtun ini adalah salah satu sisi dinamik pergulatan hidup di Pakistan. Menurut laporan badan PBB, dianggarkan kira-kira 1.2 juta kanak-kanak hidup di jalanan Pakistan, menghasilkan pendapatan kurang dari dua dolar sehari, lalu menjadi sasaran penyalahgunaan kanak-kanak dan eksploitasi seksual. Mereka melakukan berbagai pekerjaan, mulai dari mengorek sampah, mencuci pinggan mangkuk di restoran, menjual buah-buahan, mencuci kereta, hingga melayani tetamu hotel.

Seiring dengan keadaan di Afghanistan yang mulai stabil, ramai pelarian Afghan mula mengorak langkah pulang ke kampung halaman. Tetapi para lelaki ini memilih untuk menjalani kehidupan di tanah pelarian, kerana bagi mereka kampung halaman masih belum aman. Seorang lelaki tersenyum kepada aku dan berkata, "Kunjungilah negara kami, tanah bangsa Pashtun, dan kamu akan lihat bagaimana ramahnya orang Pathan sepertimana kami menyambut kamu di sini."


Pasar harian

Bangsa Pashtun adalah bangsa majoriti yang menghuni Afghanistan, tetapi juga merupakan etnik minoriti terbesar di Pakistan. Mereka mendiami daerah barat Pakistan, terutama di Peshawar, di dalam wilayah besar yang bernama Khyber Pakhtunkhwa. Di Pakistan, mereka juga disebut sebagai Pathan, dan sering menjadi 'bahan' masyarakat Pakistan kerana sifat mereka yang umumnya konservatif, keras, kasar, dan tidak boleh bertutur bahasa Urdu dengan baik.

Menurut sejarahnya, Afghanistan dan Pakistan dibelah oleh garis yang dilakar oleh tangan penjajah British. Garisan ini disebut sebagai Durrand Line, yang secara tepat membelah negeri orang Pashtun seperti mana Sir Cyril Radcliffe membahagi sempadan Punjab untuk Pakistan dan India. Akibatnya, sebahagian orang Pashtun tinggal di Afghanistan, dan sebahagian lagi tinggal di Pakistan dan menjadi Pathan.

Namun begitu ramai orang Pashtun yang tidak menerima pembelahan ini. Orang Pashtun di Kandahar masih menganggap Khyber Pakhtunkhwa yang sekarang dimiliki Pakistan adalah bahagian daripada negeri mereka. Sedangkan orang Pathan di Pakistan pun tidak sepenuhnya terintegrasi dengan masyarakat arus utama Pakistan, kerana mereka punya tradisi yang berbeza, bahasa Pashto yang berbeza, bahkan gaya hidup yang sama sekali berbeza.

Tatapan mata dan ekspresi yang berbeza, setiap wajah mereka punya cerita. Tentang hidup, tentang perjuangan, tentang kepercayaan, tentang impian, harapan, angan-angan, cita-cita, dan mimpi. Aku ingin mendengarkan cerita-cerita itu lebih banyak lagi, memahami apa makna perjalanan dan perjuangan hidup bagi mereka. Aku ingin bertemu dengan lebih ramai orang, belajar dan bertutur dalam bahasa mereka, mendengarkan langsung kisah hidup itu diceritakan dari mulut mereka dalam bahasa mereka sendiri. Begitu banyak yang ingin aku tanyakan, begitu banyak yang ingin aku dengarkan.

(bersambung)


Tukang jahit dan pedagang sayur

Stesen keretapi Lahore

Pakora dan manisan, makanan jalanan yang mengingatkan aku dengan India

Ramai kanak-kanak tak bersekolah yang bekerja dan menjaja di jalanan

Backpacking Pakistan 3: Nasionalisme

 

Langkah tegap tentera perbatasan Pakistan

11 Januari 2020

    Cuba lihat peta dunia. Perhatikan bagaimana muka bumi ini dilakar oleh garisan-garisan yang mencorak kawasan darat. Garis hitam tebal itu disebut garis sempadan negara. Di atas peta, garis-garis ini mungkin hanya coretan yang membatasi setiap bidang tanah. Namun di atas bumi yang sesungguhnya, garis ini justeru memisahkan takdir dan jalan kehidupan para penduduk yang hidup di kedua-dua sisi.

Tiga tahun silam, aku pernah berdiri perbatasan ini, lebih tepat lagi di sisi India, larut dalam kehingarbingaran gelora nasionalisme ribuan pesorak. Setiap petang, perbatasan ini menjadi medan persaingan semangat kebangsaan ketika bendera kedua-dua negara diturunkan dan pintu pagar sempadan ditutup rapat-rapat. Hari ini, aku sekali lagi berada di perbatasan ini, tapi di sisi Pakistan.

Baca juga: Hindustan Yang Terbelah

Dinginnya udara Punjab yang menggigit di bulan Januari tidak sedikit pun menghalang pendukung Pakistan untuk hadir ke upacara harian ini. Aku melangkah dengan bangga bersama-sama rakyat tempatan yang rata-ratanya berbalut pakaian tradisional mereka yang disebut shalwar qamiz. Pintu gerbang Pakistan berwarna hijau bertakhtakan bulan sabit dan bintang berwarna putih, sebagaimana lambang benderanya.

Di seberang sana, tampak kelihatan rakyat India melimpah ruah di podium besar di kiri dan kanan. Lautan manusia dengan warna-warni pakaiannya membentuk paduan indah yang memberontak mengisi setiap jengkal ruang. Bendera India berkibar di antara kerumunan penonton. Ada pasukan pancaragam, tentera berseragam, pelajar sekolah, gadis bersari, dan pemuda berjaket kulit yang rancak menari diiringi dentuman muzik Bollywood.

Di sisi Pakistan pula, pengunjungnya tetap ramai, namun jika dibandingkan dengan sisi India, kami diibaratkan hanya segelintir daripada jumlah mereka. Untuk pengunjung asing dan tetamu istimewa ada tempat yang dikhaskan, berdekatan dengan gerbang perbatasan, supaya dapat menyaksikan pemandangan terbaik. Memang tipikal orang Pakistan yang memberikan banyak penghormatan bagi orang asing. Sedangkan ketika di India dulu aku sentiasa terhimpit di tengah kerumunan orang yang semuanya seakan tak mahu mengalah.

Walaupun kami tidak seramai mereka, bukan bermaksud tak ada semangat di sini. Ada empat orang lelaki berada tengah lapangan, salah seorang daripadanya kudung kaki kiri, datang ke sini pada setiap hari untuk membangkitkan sorak-sorai pendukung Pakistan yang sedikit ini. Mereka berbaju hijau dengan gambar bulan sabit dan bintang, bertulis huruf Urdu: "Pakistan Zindabad! Hidup Pakistan!"


Pemandu sorak


Dari arah India terdengar juga sorakan gemuruh "Hindustan Zindabad! Hindustan Zindabad!"

Di sisi Pakistan kami pun tak mahu kalah dengan laungan "Pakistan Zindabad! Pakistan Zindabad!"

Tetapi di sini slogan-slogan bernada keagamaan lebih mendominasi, seperti seruan kalimah syahadah. Jangan lupa, Pakistan adalah sebuah negara yang berdiri di atas dasar agama.

"Nara e takbir!!!" Teriak sang juru acara.

"Allahuakbar!!!" Massa Pakistan menyahut dengan suara lemah, tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan bunyi paluan genderang di India sana.

Si pemandu sorak tidak berpuas hati, dia berteriak lagi.

"NARA E TAKBIR!!!"

Balasannya kali ini sedikit lebih kuat.

"Nara e Risallah!!!" Serunya sambil mengangkat kedua tangannya.

Bendera besar Pakistan yang dipegangnya berkibar gagah.

"Ya Rasulullah!!!" Laung para pendukung Pakistan.

"Nara e Haidir!!!" Jerit sang juru acara.

"Ya…..Ali!!!" Massa Pakistan menyahut. Kata 'Ya' diucapkan panjang, dan nama 'Ali' dilafaz dalam satu hentakan.

Semangat seluruh rakyat Pakistan kini setara dengan semangat empat lelaki yang begitu gagah berani di hadapan lautan pendukung Hindustan itu. Mereka seperti tentera Daud yang tak gentar dengan keperkasaan pasukan Jalut. Lantunan teriakan dan slogan kejayaan Pakistan terus mengalir dari mulut mereka.


Acara bermula


Acara utama bermula. Sepasang perajurit Pakistan, berpakaian hitam dan seluar hitam serta topi hitam berbentuk kipas, melangkah dengan gerakan mengangkat kaki tinggi-tinggi sampai lebih dari sudut tegak lurus. Mereka beriringan menuju gerbang perbatasan. Dari arah India juga datang sepasang tentera perbatasan, berseragam coklat dan juga bertopi kipas warna merah, dengan gerakan yang similar.

Pakistan dan India adalah ibarat cermin. Jika yang satu berbuat sesuatu maka yang satunya akan membalas secara resiprokal. India dan Pakistan adalah dua bayangan yang saling tidak mengalah. Kalau satu menikam dengan pisau, satunya lagi akan membalas dengan belati. Andai satu membuat bom atom, esoknya yang satu akan mewujudkan bom nuklear. Begitulah kedua bayangan ini saling bersaing.

Sementara garis sempadan, tepat di antara kedua gerbang, tampak begitu jelas oleh kehadiran pendukung kedua-dua negara. Tetapi tak banyak di antara mereka yang mampu melintasi garis ini, untuk mengetahui kehidupan di seberang dengan mata mereka sendiri. Dunia yang sama sekali berbeza tersembunyi di balik sempadan, tetapi perbezaan itu terbungkus dengan aksi simetri yang tak pernah habis.

Di perbatasan ini, semangat kebangsaan yang simetri ini saling menghambat satu sama lain. Garis sempadan di antara kedua pintu gerbang inilah yang menjadi cerminnya. Langkah-langkah kaki para tentera perbatasan begitu tinggi, nyaris menyentuhkan lutut ke wajah. Pendukung Pakistan bersorak-sorai menaikkan semangat para wira mereka. Di sebelah garis sana juga turut tak mahu kalah, ribuan pendukung India berseru dahsyat. Sama seperti di sini, hanya lakonnya saja yang berbeza. Ini adalah teater nasionalisme yang epik dimainkan di atas perbatasan negara.

Bendera Pakistan diturunkan menyilang dari gerbang kiri ke kanan. Demikian pula bendera India. Kedua bendera turun serentak. Tak ada satu pun yang mahu benderanya berada di bawah bendera seteru. Keduanya bergerak sejajar setiap saat. Saat sampai di bawah, tentera Pakistan menerima bendera dan langsung melipatnya. Di sebelah sana, dalam tempo yang sama, gerakan yang simetri dilakukan oleh tentera India.

Dengan satu lagi hentakkan kaki dan pandangan yang tajam, tentera kedua-dua negara saling bertentangan. Kemudian mereka bersalaman sekilas lalu berbalik semula ke arah negara masing-masing, berbaris dengan langkah tegap dan gagah membawa bendera nasional.

Pintu gerbang Pakistan tertutup dan dalam masa yang sama, pintu India juga ditutup. Kini tiba giliran para pengunjung dibenarkan turun dari tempat duduk untuk bergambar bersama tentera masing-masing yang telah mengharumkan nama bangsa. Begitu juga yang berlaku di balik gerbang sebelah sana. Kesimetrian yang saksama ini justeru menjadikan permusuhan antara kedua negara ini menjadi sebuah nuansa yang harmoni.

Satu sempadan, satu cermin, dua bayangan saling menyerupai. Konflik mereka pun seperti bayangan di atas cermin yang berbalas. Dalam tujuh puluh tahun terakhir, isu perbatasan masih menjadi sumber permusuhan antara kedua-dua negara yang menyebabkan perang tercetus sampai tiga kali, menggunakan anggaran jutaan dollar yang sepatutnya dapat mengenyangkan perut dan memberi pendidikan kepada rakyat jelata.

Alangkah indahnya mimpi masa depan Asia Selatan jika perseteruan dua saudara ini berakhir satu hari nanti.

(bersambung)


Para pendukung Pakistan yang didominasi laki-laki

Usai acara, pagar sempadan kembali ditutup rapat-rapat

Backpacking Pakistan 2: Menembus Perbatasan

Baab-i-Azadi bermaksud 'Gerbang Kemerdekaan' dalam erti harfiah

 10 Januari 2020

    Perbatasan Wagah dan Attari, demikian ia dikenal. Aku pernah berdiri di sini pada tahun 2017 yang lalu sewaktu datang untuk menyaksikan upacara harian penurunan bendera di antara kedua-dua negara. Ketika itu aku sempat bermimpi untuk melintasi sempadan ini suatu hari nanti. Dan pada akhirnya, berselang tiga tahun kemudian di hari ini, mimpiku menjadi nyata. Aku kembali lagi ke perbatasan ini untuk berjalan menembus garis sempadan yang memisahkan negara India dan Pakistan.

Kedua-dua negara jiran ini sudahpun berseteru sejak Tanah Hindustan dibelah oleh Garis Raddcliffe. Pakistan lahir melalui lakaran tangan Sir Cyril Radcliffe dari British India pada 1947 ketika umat Muslim di Hindustan menuntut agar diberi negara sendiri. Pakistan itu bermaksud 'Negara yang Murni', dan cita-cita luhurnya adalah sebuah negara Muslim yang berdiri di atas kesucian agama Islam. Namun begitu, pertikaian dan perselisihan selalu saja mewarnai sejarah kedua-dua negara, lalu menyebarkan rasa benci yang menular hingga ke sanubari rakyat jelata.

"Jangan ke sana!" Tegas Mannu, pemuda yang aku temui di Rajasthan dua tahun lalu, "di sana tak selamat, Pakistan ada ramai pengganas!"

Awas, di India, ungkapan "Chalo Pakistan" tak boleh dilafaz sebarangan. Majoriti rakyat India memendam benci dan rasa jijik yang mendalam terhadap negara ini. Mendengar saja namanya boleh membuat darah mereka naik. Membandingkan mereka dengan rakyat Pakistan atau mengajak mereka berkunjung ke negara ini adalah ibarat sebuah penghinaan. Justeru aku tertanya-tanya mengapa Pakistan selalu digambarkan sebagai negara antagonis yang penuh golak? Kenapa imej Pakistan di mata India cuma hitam dan kelabu? Siapa yang menyuntik doktrin ini ke dalam minda mereka?

India dan Pakistan mempunyai sempadan sepanjang 3000 kilometer, tetapi hanya satu sahaja perbatasan rasmi yang dibuka, iaitu perbatasan Wagah yang teramat sepi, kecuali pada petang hari semasa upacara penurunan bendera berlangsung. Tak ramai orang yang menyeberangi sempadan ini, kerana visa India nyaris mustahil untuk orang Pakistan, dan visa Pakistan pula sama rumitnya bagi orang India. Rata-rata yang melintasi perbatasan ini adalah orang asing.

"Berikan saya passport dan visa kamu," pinta seorang petugas imigresen begitu aku tiba di mejanya. 

"Kenapa mahu ke Pakistan?"

"Bagaimana boleh mendapat visa tiga bulan?"

"Apa pekerjaan kamu?" 

Dia mengajukan soalan bertubi-tubi kepada aku kerana biasanya pelancong yang masuk ke Pakistan hanya diberi visa lawatan selama sebulan melainkan seseorang itu adalah pemegang visa professional. Namun semua pertanyaan si petugas imigresen ini dapat aku jawab secara tenang dan meyakinkan sebelum dia memberikan cop keluar dari India di helaian passportku.

"Namaste bhai sahab!" Aku mengucap salam perpisahan kepada dua orang tentera India yang mengawal pagar sempadan. Lontaran sepasang senyuman sinis mereka adalah pemandangan terakhir India yang terlihat di mata aku sebelum pagar kembali ditutup rapat-rapat.

Pintu gerbang Pakistan kini sudah terpampang di hadapan. 'Baab-i-Azadi' yang tertulis di atas gerbang itu dalam bahasa Urdu dimaksudkan sebagai 'Gerbang Kemerdekaan' dalam erti paling harfiah. Ia dibangunkan pada 2001 untuk memperingati ratusan ribu umat Muslim yang mati syahid sewaktu dalam perjalanan mencapai tanah tumpah darah mereka yang suci ketika Pakistan dibelah dari India. Bendera hijau dan putih bersama bulan sabit dan bintang milik Pakistan berdiri di atas gerbang, megah berkibar menentang langit yang biru.

Jika dibandingkan dengan perbatasan India yang ketara ketat, perbatasan Pakistan pula jauh lebih sederhana dan penuh suasana kekeluargaan. Ketibaan aku di lapangan langsung disambut hangat oleh petugas imigresen dan beberapa orang pengurup wang tak berlesen yang sedang menghisap rokok di luar pagar kompleks, lalu menghidangkan secawan chai sambil meminta aku duduk sebentar bersama mereka. Bukannya bertanyakan khabar, aku malah diajak berbual tentang konflik Kashmir dan ketegangan terkini antara US-Iran.

Pengalaman masuk ke dalam bangunan imigresen Pakistan juga bukan seperti memasuki ruang imigresen negara-negara yang pernah aku kunjungi. Para petugas dilihat sedang asyik bermain game dengan telefon pintarnya, ada yang sedang mendengar muzik, ada pula yang rancak berbual di meja rakan sekerja sampai tak sedar akan kehadiran aku di ruangan ini. Siapa saja yang tak bosan bekerja di perbatasan sepi seperti ini. Berurusan dengan imigresen Pakistan pula sangat mudah dan cepat. Passport dan visa aku hanya dilihat sekilas sebelum dihentam dengan cop kemasukan.

"Selamat datang ke Pakistan," ucap si petugas wanita di meja kaunter, "menginap di mana?"

"Di rumah teman saya di daerah Manawan," jawab aku ringkas.

"Jangan lupa berkunjung ke Peshawar,” sarannya, “di sana kamu boleh lihat keramahtamahan bangsa Pashtun yang tak ada bandingnya," tambah petugas ini lagi seperti mempromosikan tempat kelahirannya.

"Ho jayega!" Ujar aku dengan bersemangat, "inshAllah."

Sejurus berikutnya, aku sudah berjalan santai menuju keluar dari kompleks imigresen. Kota Lahore masih berjarak 30 kilometer dari Wagah, mujur seorang teman couchsurfing yang aku hubungi sebelumnya sudah menantikan ketibaanku dengan keretanya di luar pagar. Kenderaan yang aku naiki terus memecut laju menuju Lahore. 

Dari jendela kereta, mata aku liar mengintip panorama di sepanjang jalan. Wajah Pakistan yang terlihat pada kilas pandangan pertama sungguh kontras dengan India sana. Setelah sekian lama mengembara di India, berucap bahasa mereka, makan hidangan yang sama dengan mereka, menjalani keseharian bersama mereka, kini semua itu hanya tinggal memori yang bakal membekas. Di hadapan aku sekarang adalah pemandangan jalan yang berlubang-lubang, barisan rumah-rumah kotak yang diselimuti persekitaran kotor, kepulan debu yang memenuhi ruang udara, membuatkan aku merasa seperti berada di padang pasir.

Ini adalah sebuah dunia lain yang hanya terletak beberapa jengkal dari tanah musuh seterunya. Selamat datang ke Pakistan, dunia terlarang yang hanya hidup dalam bayangan imaginasi orang India.

(bersambung)


Bas bernombor 23 yang aku naiki dari Amritsar ke perbatasan Wagah. Harga tambang cuma 35 rupee

Selfie pertama sejurus keluar dari kompleks imigresen

Kebanggaan nasional

Selamat datang ke Pakistan


Backpacking Pakistan 1: Jalan Menuju Pakistan

 


7 Januari 2020

    Aku menjejakkan kaki ke Amritsar buat kali yang kedua. Namun, kedatangan aku pada kali ini bukannya bertujuan untuk berjalan-jalan atau berkeliling kota melainkan hanya untuk berehat selama beberapa hari. Petualangan berat di India sejak Oktober tahun lalu sudah membuatkan aku merasa hampir burnout sekaligus memerlukan aku untuk berhenti sejenak sebelum meneruskan semula perjalanan yang masih panjang. 

Begitu tiba di Amritsar, aku terus menuju ke Golden Temple untuk mencari penginapan. Bagi yang belum tahu, Golden Temple bukan cuma sekadar rumah ibadah yang mesra pengunjung malah ia juga menawarkan penginapan buat para musafir yang datang bertandang. Sesiapa pun boleh menginap di sini secara percuma. Seorang petugas yang melihat aku berjalan sendirian dengan menggalas backpack di luar kompleks datang menyapa lalu membawa aku ke sebuah dormitory yang bernama 'Guru Arjan Nev Diwas', sebuah bilik sederhana yang mampu memuatkan 8 orang pada satu masa. Setiap musafir dibenarkan untuk menginap di sini selama tiga hari. 

Golden Temple, lokasi berziarah bagi para umat Sikh, adalah tempat paling suci dalam agama Sikhisme. Jumlah penganut Sikh di seluruh dunia dianggarkan sekitar 27 juta orang, dan 83 peratus daripadanya tinggal di India. Amritsar, kota di perbatasan Pakistan-India ini adalah kota suci. Sebelum tanah Punjab digaris sempadankan (pemisahan dua negara), terdapat ramai penganut Sikh di Lahore dan juga Amritsar. Bahkan hingga ke Afghanistan. Namun ketika India dan Pakistan digarisbataskan, negeri Punjab langsung terbelah menjadi dua, satu sisi untuk Muslim (Pakistan) dan satu sisi lagi untuk non-Muslim (India). Pada saat pembelahan inilah terjadinya proses migrasi besar-besaran dari dua sisi Punjab. Dan pembelahan ini turut terpalit dengan kes pembantaian manusia yang dicatat sebagai paling besar dalam sejarah dunia.


Penjaga kompleks yang sentiasa berkeliling memegang tombak

Sekitar 10 juta manusia berpindah dari kedua belah sisi, dan tak kurang dari sejuta orang telah terbunuh. Hindu dan Sikh yang berpindah dari Lahore dibantai umat Muslim di sisi India, dan demikian pula takdir yang dialami umat Muslim yang melakukan eksodus menuju tanah impian mereka yang berdiri di atas nama agama, Pakistan. Selepas Pakistan menjadi sebuah negara, hanya tinggal segelintir sahaja umat Hindu dan Sikh di Lahore, tetapi masih banyak lagi umat Muslim di sisi India. Dan sejak saat itulah kebencian di antara dua negara ini kekal tegang sehingga ke hari ini.

Umat Sikh dikenal dengan peraturan hidup mereka yang tidak memotong rambut atau mencukur jambang seumur hidup. Kaum lelaki seakan tidak pernah lepas dari serban mereka. Kaum perempuan juga turut tidak memotong, memendekkan rambut, mahupun mencukur alis. Ajaran Sikh merupakan paduan antara ajaran Islam dan Hindu, demikian juga senibinanya. Pendiri agama Sikh, Guru Nanak adalah seorang petualang besar pada zamannya, hingga pernah mengembara ke Tibet, Cina, Pakistan, Afghanistan, bahkan sampai ke Arab Saudi demi mencari kebenaran. Beliau menentang sistem kasta dan pemujaan patung dalam agama Hindu serta 'ketidaktoleransian' dalam agama Islam. Sejak Sikh diasaskan, agama ini telah mempunyai 10 orang guru agung sebelum kitab suci, Guru Granth Sahib diangkat sebagai guru kesebelas sekaligus menjadi guru yang terakhir sehingga kini.

Sejarah agama Sikh juga tidak begitu mulus. Raja-raja Mughal yang beragama Islam dulunya sering menguasai Amritsar dan menghancurkan kuil-kuil Sikh. Golden temple di Amritsar, yang ibarat Kota Mekah bagi umat Sikh, telah mengalami berpuluh kali kerosakan dan pembangunan semula. Kali terakhir ia dirosakkan oleh pemerintah India ketika umat Sikh menuntut berdirinya sebuah republik baru bernama Khalistan. Kemelut ini juga telah meragut nyawa perdana menteri India pada ketika itu, Indira Ghandi. Pembangunan semula kemudian dilakukan oleh pihak pemerintah berikutnya namun kemudian dihancurkan lagi oleh penganut Sikh, hanya kerana untuk dibangunkan lagi oleh mereka sendiri.


Kuil suci di waktu malam

Golden Temple atau kuil emas dalam erti paling harfiah, terletak di tengah kolam suci bernama Amrit Sarovar, adalah kuil terpenting bagi umat Sikh. Seumur hidup, para penganut Sikh di seluruh dunia mengharapkan setidaknya berziarah sekali ke tempat ini. Di sini tersedia penginapan percuma dan makan minum percuma buat semua pengunjung tanpa mengira kasta dan agama, dengan syarat semua pengunjung harus menutup kepala. Tak sedikit pula pemeluk agama ini yang melakukan sujud, mencelupkan kaki, bahkan pada musim sejuk yang menggigit ini ada yang mencelupkan seluruh tubuh ke dalam air kolam suci Amrit Sarovar yang biru dan dingin itu.

Catatan perjalanan yang berkaitan: Kuil Emas Amritsar

Hari ini merupakan hari terakhir aku di India selepas mengharungi tiga bulan perjalanan panjang di negara berjuta warna ini. Perjalanan aku terpaksa dihentikan di negeri ke-19 kerana tempoh visa yang hampir tamat. Oleh itu aku akan menyeberang ke Pakistan selama beberapa bulan sebelum merangka perjalanan balik ke India bagi menyambung semula misi menjelajah ke 10 lagi negeri yang berbaki.

Perjalanan aku menembus masuk ke Pakistan melalui satu-satunya pintu sempadan yang dibuka di Attari-Wagah akan menyusul pada episod yang seterusnya. Sudahkah anda bersedia untuk berjalan bersama?

Chalo Pakistan!

(bersambung)


Pagi yang dingin di Golden Temple

Kota Amritsar yang padat pengunjung

Pedagang pisang

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!