Memaparkan catatan dengan label punjab. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label punjab. Papar semua catatan

Backpacking Pakistan 4: Lahore

Pusat bandar Lahore yang sesak dan padat


13 Januari 2020

Tak banyak yang dapat aku lihat pada tiga hari pertama di Pakistan kerana aku tinggal di Manawan, sebuah pekan yang terletak 15km jauhnya dari Lahore, dan berjarak 20km dari sempadan India. Di hari berikutnya baru aku punya kesempatan untuk meneroka Kota Lahore sekaligus memasuki dunia Pakistan yang sebenar. Padat, ramai, kotor, kuno, dan hanya kaum lelaki yang mendominasi segenap sudut pandangan.

Lahore adalah bandar kedua terbesar di Pakistan, dan merupakan ibu kota tradisional wilayah Punjab selama lebih satu milenium yang dianggap sebagai pusat kebudayaan negara. Pusat bandar Lahore adalah Walled City, sebuah kawasan yang begitu padat dengan penduduk di setiap kilometer persegi. Ia telah bertapak sejak ribuan tahun yang silam dan telah menjadi pusat selama ia diwujudkan. Warisan empayar Mughal dan Sikh masih bertahan di Kubu Lahore, Masjid Badshahi dan Gurdwara, sementara Mall pula dipenuhi dengan bangunan kolonial-gothik dari British Raj, manakala pinggiran bandar Gulberg pula menempatkan rumah-rumah agam dan kawasan membeli-belah kelas atasan.


Delhi Gate, salah satu daripada enam pintu masuk ke Walled City. Dinamakan Delhi kerana gerbang ini menghadap timur, ke arah Delhi di India. Selama era Mughal, gerbang ini berfungsi sebagai pintu masuk utama ke Lahore.

Lahore berpopulasi kira-kira 12 juta penduduk dan sangat meriah dengan pentas kehidupan. Metropolis ini merupakan bandar mesra yang sosial dan liberal. Ia telah melalui berbagai lintasan waktu serta zaman perevolusian budaya, intelektual, muzikal, sastera, dan humanistik. Inilah Pakistan di dalam bayanganku, yang aku mimpikan selama ini. Para lelaki berjubah panjang berkibar-kibar lalu lalang di sepanjang jalan. Aroma kebab yang menusuk hidung, juga lazatnya teh susu panas yang dituang ke dalam barisan cawan. Suara minyak yang pecah menjerit di atas kuali datar, menggoreng roti nipis yang renyah lagi panas. Sayang sekali kerana duit saku aku yang terhad, aku tidak berkehendak sedikitpun untuk merasainya. Setiap hari makananku adalah hidangan yang disediakan oleh tuan rumah - kiriman Ilahi yang selalu aku syukuri.

Sejak meninggalkan India beberapa hari lalu, kehidupan manusia di seberang sana kini tinggal memori. Sekarang aku sudah berada di Pakistan, sebuah dunia yang sama sekali berbeza. Di jalanan hanya ada lelaki, dan cuma lelaki. Aku sempat terpesona dengan busana tradisional yang dipakai oleh semua lelaki Pakistan bernama Shalwar kamiz. Shalwar adalah seluar besar dan longgar yang kalau dibentang lebarnya boleh mencapai satu meter. Kamiz pula adalah jubah panjang yang menjuntai sampai ke lutut. Sungguh bila dipakai angin musim sejuk yang menggigit langsung menerobos ke dalam seluar.

Justeru aku menjadi tertarik dengan trend pakaian yang dahsyat ini.

Bagaimana pula halnya dengan perempuan di sini? Aku nyaris tak melihatnya sama sekali. Mereka sebenarnya ada, namun jumlahnya boleh dihitung dengan jari, itu pun terbungkus rapat dari hujung kepala sampai ke mata kaki. Memang di negara ini, umumnya perempuan tidak keluar rumah sendirian tanpa ditemani oleh saudara lelaki. Ini tentu saja sebuah kejutan budaya bagiku walaupun aku berasal dari negara yang bermajoriti Muslim. Jangan hairan kalau ada perempuan yang berjalan sendirian di jalanan, dia pasti menjadi pusat perhatian ratusan pasang mata para lelaki yang menatap tajam dan liar. Ramai backpacker perempuan asing yang mengalami hal seperti ini ketika berkunjung ke Pakistan.

Di tempat-tempat umum Pakistan, misalnya di terminal bas, stesen kereta api atau restoran, air minum percuma selalu tersedia namun hanya dengan sebuah gelas. Satu-satunya gelas ini boleh digunakan oleh sesiapa saja, dan tidak perlu dicuci terlebih dahulu. Boleh dikatakan, ini adalah 'air minuman umum' dan 'gelas umum' yang sentiasa tersedia. Semua orang bebas minum dengan menggunakan gelas yang sama tanpa rasa jijik. Aku membayangkan jikalau ada penyakit berjangkit menular di Pakistan, pasti seluruh negara ini akan tertular, kerana kebiasaan mereka meminum air dari gelas yang sama. Namun ada orang Pakistan berkata kepada aku, "penyakit itu kehendak Allah. Jika Allah mahu engkau sakit maka engkau akan sakit. Jika Allah mengkehendaki engkau sihat maka engkau akan terus sihat." Perkongsian gelas seperti ini sama sekali tidak wujud di India, sekaligus membuatkan aku pada mulanya seperti tak biasa. Namun ini adalah budaya di negara ini, dan aku seharusnya tidak perlu risau untuk mengikuti cara mereka.


Kereta keldai masih menjadi pengangkutan utama untuk mengangkut barang

Di Anarkali Food Street aku berjumpa dengan sekumpulan lelaki berbangsa Pashtun dari Afghanistan yang kini menetap di Pakistan. Ini adalah kali pertama aku bertemu dengan orang-orang Afghan. Sepertimana yang pernah aku lihat di internet, susuk wajah orang Afghan memang identik dengan gambaran klise: sedikit bengis, berjanggut lebat, bersama tatapan mata yang tajam. Mereka memilih untuk melarikan diri dari negaranya dan memulakan kehidupan baru di Pakistan akibat kemelut berpanjangan yang menggoncang negara mereka sejak bertahun lama.

Kehidupan pelarian Afghan di sini merupakan dilema tersendiri bagi kerajaan Pakistan. Pada satu sisi, mereka adalah saudara sesama Muslim yang perlu dibantu, namun di sisi lain kedatangan mereka semakin meningkatkan jumlah pengangguran, kemiskinan, dan jenayah di negara ini. Para pelarian Afghan ini umumnya tidak mempunyai pekerjaan tetap di Pakistan. Di Lahore, ramai yang bekerja sebagai pedagang di bazar, sedangkan anak-anak kecil malah ada yang menyelongkar gundukan sampah di sudut-sudut jalan.

Anak jalanan yang rata-ratanya berbangsa Pashtun ini adalah salah satu sisi dinamik pergulatan hidup di Pakistan. Menurut laporan badan PBB, dianggarkan kira-kira 1.2 juta kanak-kanak hidup di jalanan Pakistan, menghasilkan pendapatan kurang dari dua dolar sehari, lalu menjadi sasaran penyalahgunaan kanak-kanak dan eksploitasi seksual. Mereka melakukan berbagai pekerjaan, mulai dari mengorek sampah, mencuci pinggan mangkuk di restoran, menjual buah-buahan, mencuci kereta, hingga melayani tetamu hotel.

Seiring dengan keadaan di Afghanistan yang mulai stabil, ramai pelarian Afghan mula mengorak langkah pulang ke kampung halaman. Tetapi para lelaki ini memilih untuk menjalani kehidupan di tanah pelarian, kerana bagi mereka kampung halaman masih belum aman. Seorang lelaki tersenyum kepada aku dan berkata, "Kunjungilah negara kami, tanah bangsa Pashtun, dan kamu akan lihat bagaimana ramahnya orang Pathan sepertimana kami menyambut kamu di sini."


Pasar harian

Bangsa Pashtun adalah bangsa majoriti yang menghuni Afghanistan, tetapi juga merupakan etnik minoriti terbesar di Pakistan. Mereka mendiami daerah barat Pakistan, terutama di Peshawar, di dalam wilayah besar yang bernama Khyber Pakhtunkhwa. Di Pakistan, mereka juga disebut sebagai Pathan, dan sering menjadi 'bahan' masyarakat Pakistan kerana sifat mereka yang umumnya konservatif, keras, kasar, dan tidak boleh bertutur bahasa Urdu dengan baik.

Menurut sejarahnya, Afghanistan dan Pakistan dibelah oleh garis yang dilakar oleh tangan penjajah British. Garisan ini disebut sebagai Durrand Line, yang secara tepat membelah negeri orang Pashtun seperti mana Sir Cyril Radcliffe membahagi sempadan Punjab untuk Pakistan dan India. Akibatnya, sebahagian orang Pashtun tinggal di Afghanistan, dan sebahagian lagi tinggal di Pakistan dan menjadi Pathan.

Namun begitu ramai orang Pashtun yang tidak menerima pembelahan ini. Orang Pashtun di Kandahar masih menganggap Khyber Pakhtunkhwa yang sekarang dimiliki Pakistan adalah bahagian daripada negeri mereka. Sedangkan orang Pathan di Pakistan pun tidak sepenuhnya terintegrasi dengan masyarakat arus utama Pakistan, kerana mereka punya tradisi yang berbeza, bahasa Pashto yang berbeza, bahkan gaya hidup yang sama sekali berbeza.

Tatapan mata dan ekspresi yang berbeza, setiap wajah mereka punya cerita. Tentang hidup, tentang perjuangan, tentang kepercayaan, tentang impian, harapan, angan-angan, cita-cita, dan mimpi. Aku ingin mendengarkan cerita-cerita itu lebih banyak lagi, memahami apa makna perjalanan dan perjuangan hidup bagi mereka. Aku ingin bertemu dengan lebih ramai orang, belajar dan bertutur dalam bahasa mereka, mendengarkan langsung kisah hidup itu diceritakan dari mulut mereka dalam bahasa mereka sendiri. Begitu banyak yang ingin aku tanyakan, begitu banyak yang ingin aku dengarkan.

(bersambung)


Tukang jahit dan pedagang sayur

Stesen keretapi Lahore

Pakora dan manisan, makanan jalanan yang mengingatkan aku dengan India

Ramai kanak-kanak tak bersekolah yang bekerja dan menjaja di jalanan

Backpacking Pakistan 1: Jalan Menuju Pakistan

 


7 Januari 2020

    Aku menjejakkan kaki ke Amritsar buat kali yang kedua. Namun, kedatangan aku pada kali ini bukannya bertujuan untuk berjalan-jalan atau berkeliling kota melainkan hanya untuk berehat selama beberapa hari. Petualangan berat di India sejak Oktober tahun lalu sudah membuatkan aku merasa hampir burnout sekaligus memerlukan aku untuk berhenti sejenak sebelum meneruskan semula perjalanan yang masih panjang. 

Begitu tiba di Amritsar, aku terus menuju ke Golden Temple untuk mencari penginapan. Bagi yang belum tahu, Golden Temple bukan cuma sekadar rumah ibadah yang mesra pengunjung malah ia juga menawarkan penginapan buat para musafir yang datang bertandang. Sesiapa pun boleh menginap di sini secara percuma. Seorang petugas yang melihat aku berjalan sendirian dengan menggalas backpack di luar kompleks datang menyapa lalu membawa aku ke sebuah dormitory yang bernama 'Guru Arjan Nev Diwas', sebuah bilik sederhana yang mampu memuatkan 8 orang pada satu masa. Setiap musafir dibenarkan untuk menginap di sini selama tiga hari. 

Golden Temple, lokasi berziarah bagi para umat Sikh, adalah tempat paling suci dalam agama Sikhisme. Jumlah penganut Sikh di seluruh dunia dianggarkan sekitar 27 juta orang, dan 83 peratus daripadanya tinggal di India. Amritsar, kota di perbatasan Pakistan-India ini adalah kota suci. Sebelum tanah Punjab digaris sempadankan (pemisahan dua negara), terdapat ramai penganut Sikh di Lahore dan juga Amritsar. Bahkan hingga ke Afghanistan. Namun ketika India dan Pakistan digarisbataskan, negeri Punjab langsung terbelah menjadi dua, satu sisi untuk Muslim (Pakistan) dan satu sisi lagi untuk non-Muslim (India). Pada saat pembelahan inilah terjadinya proses migrasi besar-besaran dari dua sisi Punjab. Dan pembelahan ini turut terpalit dengan kes pembantaian manusia yang dicatat sebagai paling besar dalam sejarah dunia.


Penjaga kompleks yang sentiasa berkeliling memegang tombak

Sekitar 10 juta manusia berpindah dari kedua belah sisi, dan tak kurang dari sejuta orang telah terbunuh. Hindu dan Sikh yang berpindah dari Lahore dibantai umat Muslim di sisi India, dan demikian pula takdir yang dialami umat Muslim yang melakukan eksodus menuju tanah impian mereka yang berdiri di atas nama agama, Pakistan. Selepas Pakistan menjadi sebuah negara, hanya tinggal segelintir sahaja umat Hindu dan Sikh di Lahore, tetapi masih banyak lagi umat Muslim di sisi India. Dan sejak saat itulah kebencian di antara dua negara ini kekal tegang sehingga ke hari ini.

Umat Sikh dikenal dengan peraturan hidup mereka yang tidak memotong rambut atau mencukur jambang seumur hidup. Kaum lelaki seakan tidak pernah lepas dari serban mereka. Kaum perempuan juga turut tidak memotong, memendekkan rambut, mahupun mencukur alis. Ajaran Sikh merupakan paduan antara ajaran Islam dan Hindu, demikian juga senibinanya. Pendiri agama Sikh, Guru Nanak adalah seorang petualang besar pada zamannya, hingga pernah mengembara ke Tibet, Cina, Pakistan, Afghanistan, bahkan sampai ke Arab Saudi demi mencari kebenaran. Beliau menentang sistem kasta dan pemujaan patung dalam agama Hindu serta 'ketidaktoleransian' dalam agama Islam. Sejak Sikh diasaskan, agama ini telah mempunyai 10 orang guru agung sebelum kitab suci, Guru Granth Sahib diangkat sebagai guru kesebelas sekaligus menjadi guru yang terakhir sehingga kini.

Sejarah agama Sikh juga tidak begitu mulus. Raja-raja Mughal yang beragama Islam dulunya sering menguasai Amritsar dan menghancurkan kuil-kuil Sikh. Golden temple di Amritsar, yang ibarat Kota Mekah bagi umat Sikh, telah mengalami berpuluh kali kerosakan dan pembangunan semula. Kali terakhir ia dirosakkan oleh pemerintah India ketika umat Sikh menuntut berdirinya sebuah republik baru bernama Khalistan. Kemelut ini juga telah meragut nyawa perdana menteri India pada ketika itu, Indira Ghandi. Pembangunan semula kemudian dilakukan oleh pihak pemerintah berikutnya namun kemudian dihancurkan lagi oleh penganut Sikh, hanya kerana untuk dibangunkan lagi oleh mereka sendiri.


Kuil suci di waktu malam

Golden Temple atau kuil emas dalam erti paling harfiah, terletak di tengah kolam suci bernama Amrit Sarovar, adalah kuil terpenting bagi umat Sikh. Seumur hidup, para penganut Sikh di seluruh dunia mengharapkan setidaknya berziarah sekali ke tempat ini. Di sini tersedia penginapan percuma dan makan minum percuma buat semua pengunjung tanpa mengira kasta dan agama, dengan syarat semua pengunjung harus menutup kepala. Tak sedikit pula pemeluk agama ini yang melakukan sujud, mencelupkan kaki, bahkan pada musim sejuk yang menggigit ini ada yang mencelupkan seluruh tubuh ke dalam air kolam suci Amrit Sarovar yang biru dan dingin itu.

Catatan perjalanan yang berkaitan: Kuil Emas Amritsar

Hari ini merupakan hari terakhir aku di India selepas mengharungi tiga bulan perjalanan panjang di negara berjuta warna ini. Perjalanan aku terpaksa dihentikan di negeri ke-19 kerana tempoh visa yang hampir tamat. Oleh itu aku akan menyeberang ke Pakistan selama beberapa bulan sebelum merangka perjalanan balik ke India bagi menyambung semula misi menjelajah ke 10 lagi negeri yang berbaki.

Perjalanan aku menembus masuk ke Pakistan melalui satu-satunya pintu sempadan yang dibuka di Attari-Wagah akan menyusul pada episod yang seterusnya. Sudahkah anda bersedia untuk berjalan bersama?

Chalo Pakistan!

(bersambung)


Pagi yang dingin di Golden Temple

Kota Amritsar yang padat pengunjung

Pedagang pisang

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!