Memaparkan catatan dengan label Pakistan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pakistan. Papar semua catatan

Bahasa Urdu dan Kerumitannya

Urdu ditulis dalam gaya Nastaliq tulisan Arab


Urdu, bahasa kebangsaan Republik Islam Pakistan, merupakan bahasa yang menarik untuk dipelajari oleh para linguis bahkan sesiapa saja yang ingin mendalami kehidupan dan budaya di sub-benua India. Mungkin masih ada yang belum tahu bahawasanya bahasa Urdu itu similar dengan bahasa kebangsaan seteru terbesarnya, Hindi dari Hindustan (India). 


Walaubagaimanapun, bentuk fizikal aksara kedua-dua bahasa itu sama sekali berbeza. Hindi ditulis dalam tulisan Sanskrit Devnagari sementara Urdu ditulis dalam tulisan Perso-Arab, atau tulisan Arab yang ditulis dalam gaya Nasta'liq (satu gaya utama dalam tulisan Abjad Parsi, dan secara tradisionalnya merupakan skrip utama dalam seni khat Parsi yang dikembangkan di Iran).


Bunyi Urdu dan Hindi juga terdengar seakan sama. Sebenarnya, dalam kebanyakan perbualan, sukar bagi kita untuk tahu sama ada seseorang itu sedang bercakap dalam Bahasa Urdu ataupun Hindi, melainkan kita mampu menangkap percakapan orang Pakistan yang menggunakan lebih banyak perkataan pinjaman dari Bahasa Arab dan orang India pula menggunakan kata-kata kuno Sanskrit. Hubungan antara kedua bahasa ini malahan lebih dekat berbanding bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia, di mana loghat kedua-dua dialek ini jelas terdengar berbeza. Di sisi lain pula, hubungan Urdu dan Hindi juga sebanding dengan bahasa Malaysia dan Indonesia, kerana orang Malaysia memperoleh banyak perkataan yang berasal dari bahasa Arab manakala Indonesia pula dari bahasa Sanskrit.


Ini berikutan hubungan kuat peradaban Indonesia dengan agama Hindu India (bahkan nama Indonesia bermula dengan ‘Indo', dikatakan akronim dari Indian Ocean). Sebagai contoh, ‘horizon’ dalam bahasa Malaysia bererti ufuk, yang merupakan kata yang sama dalam bahasa Urdu (افق), yang dikutip dari bahasa Arab. Dalam bahasa Indonesia pula, 'horizon' bermaksud cakrawala dengan kata yang berakar dari bahasa Sanskrit (cakravāla). Sebagai anak Malaysia yang membesar dengan lambakan filem-filem Hindustan di saluran tv, aku sedikit sebanyak dapat memahami Hindi, dan turut dapat meneka-neka ketika berbual dengan penduduk Pakistan.


Bahasa Hindi dan Urdu relatifnya serupa, namun tak ramai yang tahu akan fakta ini, bahkan penduduk tempatannya sendiri. Semasa di India dulu, aku pernah berbual dengan beberapa orang yang mengatakan mereka tidak pandai berbahasa Urdu. Apa yang mereka tahu, bahasanya itu sangat indah. Padahal mereka bertutur dalam Bahasa Hindi, yang sejatinya sangat mirip dengan bahasa Urdu. Semasa aku di Lahore Januari lalu, ada seorang budak lelaki meminta aku mengucapkan beberapa baris ayat Hindi yang aku pelajari ketika di India. Lalu aku pun menjawab santai, “Koi baat nahi. Mera nam Sharifuddin hai, mein Malaysia se hoon”. Dia malah membantah, “Itu bahasa Urdu. Bukannya Hindi!”


Ironinya, walaupun Urdu merupakan bahasa nasional Pakistan, namun penuturnya cuma 10% sahaja di seluruh negara


Secara linguistik, Hindi dan Urdu adalah satu bahasa, atau setidaknya, dua dialek, walaupun penampilannya dalam bentuk tulisan adalah sama sekali berbeza. Perbezaan itu sebenarnya (atau mungkin) ditekankan oleh kebencian politik antara kedua-dua negara sejak negeri Punjab dibelah pada Ogos 1947. Barangkali teori serupa juga berlaku terhadap bahasa Indonesia dan Malaysia (tapi tak ada pula yang mengatakan Bahasa Brunei dari Negara Brunei Darussalam, sebagai bahasa ketiga dari akar yang sama).


Lebih menarik lagi, bahasa Urdu itu agak mirip dengan bahasa Inggeris. Ia merupakan bahasa Indo-Eropah. Banyak ciri bahasa Inggeris terdapat dalam bahasa Urdu, seperti kata jantina, kata kerja, dan kata ganti nama. Namun begitu, bahasa Urdu bukanlah bahasa yang mudah dikuasai. Bahkan ramai orang Pakistan, terutama dari kawasan perbatasan di Wilayah Khyber Pakhtunkhwa (KPK) dan Wilayah Gilgit-Baltistan (Northern Areas) masih tak mampu berbahasa Urdu dengan sempurna. Kesalahan gramatikal mereka dalam pertuturan justeru membuatkan orang Pakistan lain menyindir mereka dengan menggelarkan semua orang dari wilayah tersebut sebagai ‘Khan’. Khan adalah nama umum bagi orang-orang Pashtun (juga dikenal sebagai Pathan atau Pakhtun) di KPK. Malah orang-orang dari Kawasan Utara seperti Gojal, Gilgit, Hunza, dan lain-lain juga merasa jengkel apabila orang Pakistan lainnya turut menggelar mereka sebagai Khan.


Berbalik kepada kesalahan tatabahasa, orang-orang dari kawasan yang aku tuliskan ini sebenarnya tidak menggunakan bahasa Urdu sebagai bahasa utama, kerana bahasa ibunda mereka itu sesungguhnya berbeza dengan bahasa Urdu, baik dalam perbendaharaan kata dan bahkan tatabahasanya.


Konsep Urdu mungkin berbeza sama sekali dan tidak dapat diterima oleh kita yang bertutur bahasa Melayu. Untuk mengucapkan "saya tahu Urdu" dalam bahasa Urdu, secara harfiahnya mereka akan mengatakan "kepada saya Urdu datang (mujhe Urdu aati hai)". Bagi kalimat ini, dalam fikiran kita, 'saya' merupakan subjeknya. Tetapi dalam bahasa Urdu, 'saya' berubah menjadi pelengkap. Subjeknya adalah 'Urdu'. Untuk menambah pelengkap, kata kerja akan mengikuti subjek, 'datang' harus cocok dengan 'Urdu' dan bukannya 'saya'. Ia akan lebih sempurna apabila kita menggunakan kata itu dengan jantina maskulin atau feminin. 'Urdu' adalah feminin. ‘Saya’ mungkin feminin dan maskulin, bergantung kepada siapa yang mengucapkannya. Dalam kalimat ini, kerana 'Urdu' adalah subjek, maka kata kerja menjadi feminin ('aati' adalah bentuk feminin dan 'aata' adalah maskulin untuk kata 'datang').


Tetapi konsep ini terlalu sukar bagi orang Pathan dan penduduk di Northern Areas, di mana pembahagian tatabahasa dan jantina berlaku. Seorang lelaki di Gilgit yang sangat yakin dengan bahasa Urdu-nya, mengatakan kepada aku bahawa kita sebagai lelaki hanya boleh mengucapkan "mujhe Urdu aata hai". Hakikatnya dia pun keliru dengan konsep subjek dan objek yang kompleks dalam bahasa Urdu.

Apa yang menjadi kata kerja dalam bahasa kita, mungkin menjadi kata benda dalam bahasa Urdu. Jika dalam bahasa Inggeris kita mengatakan "I’m looking for you," dalam bahasa Malaysia, "saya mencari kamu", tetapi dalam bahasa Urdu ia menjadi "aap ki talash karta hun", yang bermaksud "saya melakukan pencarian kamu".


Yang lebih menyukarkan lagi, Urdu juga bertukar subjek dan objek apabila berkait dengan kalimat 'past tense' (perbuatan fizikal yang berlaku pada masa lalu). Objek dalam present tense adalah subjek dalam past tense, dan ia perlu sepadan dengan kata kerja. Jika dalam bahasa Inggeris kita berkata, "I saw a car." Dalam bahasa Urdu ia menjadi "kepada saya kereta telah dilihat". Ini adalah konsep yang sangat sukar bagi mereka yang bukan penutur asli Urdu. Semasa aku di Islamabad, seorang pemandu Uber berbangsa Pathan berkata, "ham ko filam dekhta hai (filem menonton saya)" ketika dia ingin mengatakan, "mari kita menonton filem". Bahkan kesalahannya mengandungi kesalahan lain. Pertama, ia bukan past tense. Kedua, ‘filam' (filem) adalah feminin, dan ‘dekhta' (lihat) adalah kata kerja maskulin.


Selain daripada tatabahasanya yang rumit, bahasa ini juga agak menarik jika dilihat pada sisi budayanya. Sepertimana orang Pakistan, bahasa Urdu itu seksis, kerana pemisahan jantina yang kental. Sebagai contoh, dalam bahasa Urdu, bentuk kata kerja jamak digunakan untuk menghormati lelaki, tetapi ayat dengan bentuk jamak tidak boleh digunakan ketika mengucapkan penghormatan kepada wanita. Sebilangan orang menggunakan fenomena bahasa ini untuk berjenaka dalam bentuk maskulin dan feminin, dengan menyapa lelaki menggunakan kata kerja feminin.


Contoh lain bagi bahagian seksis bahasa Urdu ialah apabila bercakap dengan sekumpulan orang yang terdiri daripada wanita, maka kata kerja dalam bentuk feminin harus digunakan untuk merujuknya. Tapi jika di dalam kumpulan itu terdapat lelaki, walaupun cuma seorang, maka bentuk kata kerja maskulin perlu digunakan. Logik ini tidak dapat diubah. Seratus wanita tidak cukup untuk mengubah jantina seorang lelaki, tetapi seorang lelaki sudah cukup untuk menjadikan sekumpulan seratus wanita mengikut sistem kata jantina lelaki.


Bahasa Hindi menggunakan tulisan Sanskrit Devnagari


Terlepas dari segala kerumitannya, Urdu merupakan bahasa yang indah, dan tidak ada yang menafikan tentang perihal tersebut. Bahasa Urdu telah meminjam banyak sekali perkataan dari Bahasa Parsi orang Iran. Kosa kata Parsi kemudiannya turut memperkaya bahasa Hindi. Urdu dan Hindi berakar di India Utara ketika Empayar Mughal menguasai tanah Hindoostan ratusan tahun yang lampau. Ramai yang mengatakan bahawa orang-orang dari Lucknow di Uttar Pradesh, bertutur bahasa Urdu dalam bentuk yang paling murni. Aku juga sempat mengagumi bahasanya yang santun, yang berasal dari taaruf ala Parsi. Jika kita orang Melayu biasa mengatakan "jemputlah masuk", penutur bahasa Urdu akan mengucapkan, "silakan bawa kehormatanmu ke dalam (tashrif laie)". Untuk menjemput seseorang duduk, mereka mengatakan "sila letakkan kehormatanmu (tashrif rakhie)". Dan apabila meminta seseorang untuk pergi, mereka akan berkata "tolong bawa semua kehormatanmu (tashrif le jaie)".


Lihatlah bagaimana penggunaan kata 'tashrif' yang bererti kehormatan justeru mengindahkan setiap baris kata yang diucap. Walaubagaimanapun ada sebilangan orang memberitahu aku bahawa makna sebenar 'tashrif' bukanlah 'kehormatan'; tapi ‘bottom’ atau punggung. Jika benar sekalipun, cara pengucapan itu masih tetap terdengar indah bukan?


Akhir sekali, satu perihal yang masih menjadi tanda tanya aku tentang bahasa Urdu adalah mengapa bahasa ini begitu seksis, sementara Parsi tidak mempunyai sebarang kata jantina dalam bahasanya. Tetapi apabila kata nama diimport dari Parsi ke Urdu, secara automatik ia akan diberi jantina. Aku tak tahu pasti bagaimana kata-kata yang diimport ini dapat menentukan jantina menjadi maskulin atau feminin, atau memang hanya bergantung kepada nasibnya?


Entahlah, mungkin aku perlu melakukan perjalanan ke Iran selepas ini untuk belajar asas Bahasa Parsi.

Hidup Di Atas Landasan Iman

 


Republik Islam Pakistan, sebuah negara yang didirikan untuk menempatkan umat Islam dari tanah India sekaligus menubuhkan sebuah negara mengikut cara yang disarankan oleh agama, adalah antara negara yang paling terkenal di kalangan negara-negara Islam. Melalui sebuah perbualan bersama seorang cendekiawan Pakistan ketika aku di Islamabad, aku diberitahu bahawa penubuhan asal Pakistan pada 1947 adalah demi menjamin kehidupan pada jalan yang disukai Tuhan.

Apakah maksud nama Pakistan? Secara rasmi, Pakistan bermaksud tanah yang suci. Beberapa orang lain pula mendakwa bahawa nama negara itu merujuk kepada akronim Pakistan: Punjab, Afghanistan, Kashmir, Sindh, dan Baluchistan (Bangladesh, bekas Pakistan Timur, sama sekali tidak mendapat tempat atas nama negara itu). Seorang lelaki lain di Lahore pernah memberitahu aku, makna bagi Pakistan adalah Laillahaillallah, kalimah suci umat Islam, yang bermaksud tidak ada tuhan melainkan Allah. Namun walau apapun maksudnya, nama negara ini sudahpun menyimpul harapan untuk menjadi negara yang diredhai Tuhan.

Iman, atau kepercayaan, adalah bahagian terpenting dalam agama. Ada enam kepercayaan dasar dalam Islam, iaitu beriman kepada Tuhan, beriman kepada para malaikat, beriman kepada kitab suci, beriman kepada nabi-nabi, beriman kepada hari akhirat, serta beriman kepada segala ketentuan dan takdir. Iman sama sekali tidak membenarkan kita mempersoalkan sama ada Tuhan itu wujud ataupun tidak, kerana sekiranya kita punya iman, kita perlu yakin bahawa Tuhan itu ada.

Iman adalah jawapan bagi setiap persoalan. Walaupun aku sendiri membesar di dalam negara Islam, tapi pengalaman berbaur bersama orang Pakistan selama berbulan-bulan dan menyaksikan keteguhan iman mereka membuat aku merasa takjub. Aku pernah berdiskusi dengan seorang tukang masak tentang kebiasaan orang Pakistan yang berkongsi gelas minuman ketika makan di warung. Semasa di India, aku mendapati tabiat minum dari jag air atau berkongsi gelas juga adalah perkara lazim, tapi orang India tidak menyentuh bibir gelas atau muncung jag secara langsung dengan mulut mereka. Namun di Pakistan, semua itu tidak menjadi masalah. Kita boleh minum dari gelas yang sama yang digunakan orang lain, seolah-olah ia adalah gelas kita sendiri. Lalu aku bertanya kepada si tukang masak, apakah tidak ada penyakit yang menular dengan kelaziman ini?

Dia menceritakan kepada aku sebuah kisah; seorang saintis British memberikan tangannya untuk dijilat oleh seekor anjing. Kemudian saintis itu membersihkan tangannya dengan sabun yang banyak, menggosok dengan kuat, dan mencuci dengan sempurna. Selepas itu dia meletakkan tangannya yang telah dicuci di bawah mikroskop dan mendapati banyak bakteria yang masih melekat di tangannya. Lalu dia pun terus mencuci tangannya lagi, dan lagi. Namun tangannya tidak juga bersih.

Seorang mullah (ulama) Muslim kemudian melakukan hal yang sama dengan saintis tersebut; menghulurkan tangannya untuk dijilat anjing. Tetapi mullah itu tidak mencucinya. Dia hanya membaca beberapa potong doa, meludah tangannya, dan mengeringkannya. Kemudian apabila tangan sang mullah diperiksa di bawah mikroskop, keajaiban pun berlaku. Tidak ada satu pun bakteria di tangannya. Kejadian tersebut membuatkan saintis British itu memeluk Islam. Tetapi moral dari cerita ini adalah, anda tidak akan jatuh sakit atau dijangkiti oleh orang lain jika anda makan sesama Muslim. Si tukang masak yang menceritakan kisah ini kepada aku adalah seorang Pashtun dari Peshawar, sebuah kota yang terletak di Khyber Pakhtunkhwa, wilayah yang mempunyai kepercayaan tradisi paling kuat di seluruh Pakistan.

Norma ini bukan sahaja mengenai perkongsian gelas minuman, tetapi juga tentang kebiasaan orang yang tidak mencuci tangan sebelum makan. Melalui pemerhatian aku, ramai orang yang terus memakan roti (makanan ruji di Pakistan) selepas bekerja tanpa membasuh tangan terlebih dahulu. Aku tak tahu pasti sama ada mereka malas untuk mencuci tangan, atau kekurangan air, ataupun ianya memang kepercayaan turun temurun yang mengatakan bahawa mereka tidak akan jatuh sakit.

Di Pakistan, undangan makan bersama dari orang tempatan memang tak pernah berhenti

Di desa-desa di Malaysia, banyak jawapan tentang pantang larang yang dikembalikan kepada alasan yang tidak diketahui, dan adakalanya bersifat mistik. Contohnya, orang tua melarang anak-anak duduk di bantal. Jika tidak, bisul akan tumbuh punggung. Ibu bapa juga melarang anak dara menyanyi ketika di dapur; dikhuatiri nanti akan bersuamikan orang tua. Ada pula larangan menumbuk batu lesung di malam hari kerana perbuatan itu akan memanggil sesuatu makhluk yang tidak diundang datang ke rumah.

Tetapi sering kali, para ibu bapa juga tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya dengan hujah yang jelas, lalu mereka menggunakan perkataan mitos 'tak elok', berdosa, dan tabu. Aku teringat di zaman kanak-kanak, salah seorang makcik aku pernah melarang aku mengangkat kaki ketika meniarap. Aku pun bertanya kenapa. Lalu dia cuma menjawab, 'tak elok'. Istilah 'tak elok' bukan hanya sekadar pantang larang, tapi juga mengandungi konotasi menakut-nakutkan kanak-kanak bahawa nasib buruk bakal datang jika pantang larang itu tidak dipatuhi. Istilah ini adalah mitos yang kuat menghantui waktu kecilku dulu.

Di Pakistan, lain pula ceritanya. Banyak persoalan yang dikembalikan kepada agama. Seorang lelaki di Mardan pernah meminta aku untuk tidak minum sambil berdiri, kemudian dengan segera membawakan kerusi dan meminta aku duduk. Aku pun bertanya kenapa. Dia menjelaskan perbuatan itu adalah gunna (dosa) di dalam Islam. Di hari yang lain, ketika aku sedang berjalan di kota Mingora bersama Matthew (seorang teman backpacker dari US), kami melihat seorang budak lelaki sedang menggosok gigi dengan kayu sugi (kelaziman di India dan Pakistan). Matthew pun bertanya kepada budak itu kenapa tidak menggunakan berus gigi. Lalu si budak menjawab menggosok gigi dengan kayu sugi lebih disukai oleh Nabi, dan ia adalah sunnah, kerana Nabi juga menggosok gigi dengan kayu sugi. Bagi Matthew sendiri, perihal seperti ini agak mengejutkan beliau apabila menyaksikan orang Pakistan yang bersungguh cuba meniru cara kehidupan Nabi dengan begitu terperinci hinggakan pengunaan alat yang digunakan Nabi untuk membersih gigi. Dia berpendapat, Nabi menggunakan kayu sugi kerana baginda hidup lebih seribu tahun yang lalu dan mungkin pada zaman itu berus gigi belum tercipta. Tetapi bagi orang Pakistan, kepercayaan yakni keimanan itu adalah jawapannya. Kemudian barulah Matthew sedar bahawa membela janggut dan memakai jubah juga adalah sunnah, kerana Nabi turut mempunyai janggut dan memakai jubah.

Solat diawal waktu sentiasa menjadi keutamaan meskipun berada di alam liar

Solat, lima waktu sehari, adalah salah satu rukun Islam terpenting. Laungan azan di kebanyakan wilayah Pakistan biasanya disampaikan oleh pembesar suara dari masjid, kecuali di daerah Upper Chitral dan Lembah Hunza di mana majoriti penduduknya adalah pengikut Ismaili atau Aga Khani, yang dianggap sebagai sebagai bukan Islam oleh Muslim Sunni. Di Pakistan Utara, menurut pemahaman Ismailiyah, azan itu adalah komunikasi peribadi antara seorang hamba dan Tuhannya, justeru pengumuman dan panggilan itu tidak diperlukan. Namun begitu di wilayah-wilayah lain Pakistan, laungan azan setiap kali tiba waktu solat boleh disamakan seperti Malaysia, dengan jumlah sahut-sahutan yang lebih meriah. Orang Pakistan juga sangat menghormati azan. Ketika aku berada di sebuah kafe internet di Gilgit, petugas kafe menghentikan muzik serta merta ketika laungan azan berkumandang. Tidak ada sebarang nyanyian yang diizinkan ketika azan berkumandang, tetapi berbual-bual masih dibolehkan. Di Lembah Swat, aku pernah diminta oleh beberapa orang lelaki Pashtun untuk berhenti membaca buku ketika azan sedang berkumandang. Walaupun aku hanya membaca secara senyap, tapi mungkin perbuatan aku itu tidak sopan di mata orang-orang Pathan yang konservatif.

Itulah definisi iman, atau kepercayaan, yang menjawab segalanya. Pernah satu hari, aku berbual tentang konsep perancangan keluarga dengan seorang guru sekolah di Mastuj. Aku bertanyakan pendapatnya tentang kepentingan untuk tidak memiliki anak yang ramai, terutamanya ketika kos sara hidup yang semakin membebankan ibu bapa di era millennium ini. Kemudian dia dengan tegas menyatakan bahawa konsep merancang keluarga adalah idea dari negara-negara barat untuk menangani peningkatan jumlah orang Islam yang semakin besar. Lalu aku pun memberitahunya bahawa di Singapura, Indonesia, dan Malaysia misalnya, rakyat disarankan untuk memiliki keluarga kecil demi menjaga kualiti makanan, pendidikan, dan kesihatan anak-anak yang lebih baik, kerana kualiti adalah lebih penting daripada kuantiti, lebih-lebih lagi pada zaman kini semuanya menjadi semakin mahal.

“Mahal? Tidak ada kata mahal untuk anak-anak kami,” kata guru itu.

“Tapi bukankah kita perlukan duit yang tak sedikit untuk membesarkan anak-anak yang ramai?”

Lalu dia memberikan aku contoh. Lihat saja, markhor (haiwan kebangsaan Pakistan) di pergunungan yang tidak mempunyai wang, tetapi Allah memberikan mereka makan, dan mereka tetap hidup. Lihat pokok-pokok di hutan yang tidak bimbang dengan kehidupan mereka kerana mereka sentiasa dilindungi oleh Allah. Sekiranya Allah dapat memberi makan markhor dan pokok, mengapa kita perlu bimbang Allah tidak dapat memberi kita makan?

Markhor, spesis kambing liar yang menghuni kawasan pergunungan Pakistan utara

Aku menyanggah, kita bukannya haiwan, kita memerlukan makanan yang berkualiti untuk anak-anak membesar dengan sihat.

Guru itu kemudian mengatakan bahawa Allah sudah berjanji ketika kita makan di malam hari, kita tidak perlu risaukan hari esok. Allah pasti akan memberi rezeki kepada anak-anak. Dan juga telah dinyatakan di dalam Kitab Suci bahawa wanita yang melahirkan ramai anak akan mendapat tempat di syurga kelak.

Perbincangan itu malah bertukar menjadi soal keimanan dan kepercayaan. Lantas aku mengembalikannya kepada konsep perancangan keluarga.

Aku menjelaskan pembangunan sesebuah negara haruslah seimbang antara kerohanian dan kebendaan, dan perancangan keluarga tidak sekadar bersandar pada satu aspek. Si guru menjawab dia tidak peduli dengan dunia yang materialistik, kerana yang utama adalah kehidupan selepas mati. Ini kerana hidup yang kita jalani sekarang adalah singkat. Sangat singkat. Tetapi kehidupan setelah mati itu amat panjang. Untuk berapa lama? Tiada sesiapa yang tahu melainkan sang Pencipta waktu.

Oleh sebab itu, bila bercakap tentang perihal kebendaan seperti kualiti makanan dan pendidikan yang baik, itu semua tidak ada apa-apa bagi si guru itu. Dan mengenai perancangan keluarga pula, tentu saja, walaupun dia seorang yang terpelajar dan memegang jawatan sebagai pengajar, dia malah tidak bersetuju dengan konsep itu, kerana dia yakin bahawa perancangan keluarga adalah ideologi Barat untuk mengawal populasi umat Islam.

Di Pakistan, adalah sangat penting untuk kita menghormati budaya dan kepercayaan masyarakat setempat agar tidak menyinggung perasaan mereka

Berdoa di makam wali dipercayai boleh mengabulkan doa, berkat dari karamah sang wali asalkan para penziarah mengimaninya (percaya)

Petapa sufi yang digelar sebagai 'baba'

Solat boleh dilakukan di mana saja jika tidak berkesempatan hadir ke masjid

Backpacking Pakistan 35: Repatriasi

 

Bulan-bulan penuh perjuangan di atas jalan kembali bermain dalam memori

11 April 2020

    Sudah 3 minggu aku terkandas di ibu kota Islamabad akibat sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap seluruh negara. Ini berikutan situasi wabak Covid-19 yang sudah diluar kawalan dan semakin memburuk hari demi hari. Pakistan juga telah menutup semua pintu sempadan dan juga lapangan terbang, sekaligus menyebabkan aku juga tidak dapat keluar dari negara ini.

20 Mac lalu, aku baru saja menarik nafas lega setelah selamat tiba di kota Gilgit dari Abottabad selepas mengharungi perjalanan yang begitu panjang dari Lembah Swat. Dan ketika aku ingin melanjutkan petualangan menuju utara ke Lembah Hunza, tiba-tiba satu SMS singkat oleh seorang teman dari desa Karimabad membubarkan segala perancangan yang telah aku rangka.

"Shareef, saya fikir kamu tak boleh datang ke Hunza sekarang. Pihak kerajaan baru saja mengumumkan lockdown di seluruh wilayah Gilgit-Baltistan," demikian tulisnya. Ringkas, namun cukup menghampakan aku yang membacanya.

Kemudian datang lagi SMS yang kedua, "lekas keluar dari Gilgit sebelum tidak ada kenderaan langsung di atas jalan. Pergilah ke Islamabad supaya kamu dapat berhubung dengan pihak konsulat," pesan Najeeb, pemuda yang pada awalnya mengundang aku ke rumahnya di Hunza.

Aku menurut apa yang telah dinasihatkan Najeeb menerusi SMS darinya, tetapi dalam masa yang sama aku berdepan masalah untuk mencari tempat tinggal di sekitar Rawalpindi mahupun Islamabad. Ini kerana tidak ada seorang pun host dari Couchsurfing yang bersedia menerima tetamu tika pandemik Covid-19 sudah mulai menular ke seluruh penjuru negara. Tambahan lagi, wilayah Punjab, Balochistan, dan Sindh antara yang paling teruk terkesan setelah menghimpun ramai angka korban.

Guesthouse di sekitar ibu kota juga sudah tidak lagi mengalu-alukan kedatangan warganegara asing. Tak kurang juga hotel-hotel dan penginapan lain yang sudah mula diarah untuk menghentikan operasi oleh pihak berkuasa tempatan.

Aku amat bernasib baik apabila Mohsin dan Sara, pasangan suami isteri yang aku kenali ketika aku di Islamabad Januari lalu menawarkan aku untuk menginap di rumah mereka. "Tinggallah seberapa lama pun yang kamu mahu," kata Sara, wanita Iran yang baru saja berkahwin dengan Mohsin pada hujung tahun 2019, "sudah menjadi kewajipan kami membantu musafir yang terkandas."

Sepanjang tiga minggu aku di Islamabad, aku mendapati ibu kota ini begitu kontras dengan kota kembarnya, Rawalpindi. Di Islamabad, hanya premis-premis perniagaan sahaja yang ditutup. Namun kehidupan hariannya tetap berjalan seperti biasa. Penjaja di jalanan kota masih berdagang seperti biasa, kenderaan-kenderaan tetap lalu lalang di atas jalan raya seperti biasa, para pengemis, dan orang awam masih berjalan ke sana ke sini seperti tidak ada apa-apa yang berlaku, dan begitu juga masjid, tempat di mana para lelaki berhimpun untuk melakukan ibadah setiap hari, tetap ramai seperti hari-hari biasa.

"Imam kami mengatakan virus ini tidak akan menjangkiti kami seperti di negara barat," ujar Haji Durani, lelaki 52 tahun yang aku temui di gerbang sebuah masjid pinggir kota, "umat Islam mementingkan kebersihan diri, kita mencuci tangan, muka, dan kaki lima kali sehari sebelum bersolat, lalu kenapa kita harus khuatir? Khuda (Tuhan) sentiasa ada bersama kita!"

Aku menyangkal kata-kata Haji Durani. Setinggi manapun tingkat iman kita, siapakah di antara kita yang lebih afdal daripada para sahabat? Mereka yang dimuliakan pun turut tidak terlepas dari serangan wabak. Pada zaman kepimpinan Umar al-Khatab, pernah tersebar sejenis wabak berjangkit dan bahkan ada sahabat-sahabat Nabi yang mulia seperti Abu Ubaidah al-Jarrah (salah satu dari 10 orang yang dijamin masuk syurga), Muadz Bin Jabal, dan beberapa lagi sahabat lain yang menjadi korban akibat dijangkiti wabak itu.

"Saya mahu azan sebentar lagi. Kalau kamu mahu ikut solat, silakan masuk ke dalam masjid. Tak ada apa yang perlu dirisaukan, kuatkan iman kamu dan percaya pada yang Satu," kata Haji Durani lantas meninggalkan aku terpinga-pinga di pintu masjid.

Jamia Masjid Diwan Umar Farooq di sektor F-10, Islamabad

Tentu saja aku tidak menerima pelawaan lelaki itu. Menyaksikan kedegilan para ahli masjid di seluruh Pakistan ini, takut sekali aku membayangkan sekiranya gelombang kedua dan ketiga datang membadai negara yang berpopulasi 220 juta orang ini.

Keesokan harinya, aku pun membuat keputusan untuk menamatkan perjalanan aku di sini yang sudah menjangkau setengah tahun dan pulang ke Malaysia kerana bimbang dengan ketidakpastian hari-hari mendatang sekiranya aku terus menetap di Pakistan. Dengan bantuan kakitangan pihak Konsulat dan kedutaan Malaysia di Islamabad, juga hasil perbincangan dua hala antara pihak Wisma Putra dan menteri luar Pakistan yang memakan masa selama berminggu-minggu, akhirnya sebuah pesawat khas berjaya diaturkan untuk berlepas dari Islamabad ke Kuala Lumpur.

Hari ini merupakan detik bersejarah buatku. Tanggal 11 April 2020, pesawat Pakistan International Airline bernombor PK894 meninggalkan landasan tepat pada pukul 3 pagi menuju Kuala Lumpur. Pesawat yang berkapasiti lebih daripada 300 tempat duduk ini tampak lengang dengan banyak kekosongan kerusi kerana hanya 196 orang penumpang sahaja yang mengisi perut pesawat.

Terlalu banyak rintangan dan halangan yang perlu aku hadapi untuk pulang ke tanah air. Dari proses mendapatkan tiket penerbangan yang sangat mahal bagi ukuran dompetku, sehinggalah perjalanan untuk mencapai lapangan terbang pada malam keberangkatan yang mana aku rasakan terlalu panjang untuk dituliskan di sini. Justeru aku hanya bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memudahkan segala urusanku.

Singkat cerita, pesawat sudah pun perlahan-lahan berlepas meninggalkan bumi. Sudah lama sekali aku tidak naik pesawat. Seperti anak kecil yang baru pertama kali terbang, aku duduk di pinggir jendela, terpegun menyaksikan perubahan spektrum bumi. Lampu-lampu kota Islamabad tampak seperti kerlipan bintang yang bertabur sejauh mata memandang.

Garis langit kota dalam beberapa jam berubah menjadi puncak-puncak gunung salju yang samar-samar disuluh cahaya bulan. Gagah dan penuh keagungan. Mungkinkah pesawat ini sedang terbang di atas bumi India? Apakah di bawah itu Himachal Pradesh? Atau Uttarakhand? Kenangan aku melayang pada beratnya petualangan di Himachal Pradesh, mulai dari Manali, hingga ke Chitkul, desa terakhir India di sempadan Tibet. Mungkin jalan pergunungan yang dulunya menghalang perjalanan aku ke Lembah Spiti masih lagi terbungkus salji pada ketika kini.

Aku teringat betapa beratnya melintasi pergunungan Himachal Pradesh, kepanikan semasa kereta yang aku tumpangi kemalangan ditimpa batuan gunung, atau ketika menunggu tumpangan berjam-jam di lereng gunung kerana tidak ada kenderaan yang melintas, atau seksaan tidur malam pada musim dingin yang menggigit di sebuah kedai makan, juga momen-momen berserah diri ketika sesat tanpa telefon pintar yang rosak di Dehradun.

Di sini, di kerusi tempat aku duduk sekarang, ribuan kaki di atas bumi, semua rintangan dan halangan di darat berlalu dalam hitungan saat. Dengan kelajuan 832 kilometer sejam, bulan-bulan penuh perjuangan di India dan Pakistan di atas daratan yang berkerut-kerut sama dengan perjalanan udara beberapa minit saja. Tetapi inilah keajaiban sebuah perjalanan. Ratusan hari perjalanan darat memang boleh digantikan dengan beberapa minit penerbangan, tetapi kebijaksanaan yang diajarkan oleh alam memang tak dapat disamakan.

Selamat tiba di KLIA

Pukul 12 tengah hari, 12 April 2020, pesawat ini selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, atau lebih dikenali dengan nama KLIA. Malaysia, panas dan lembab. Dibandingkan Pakistan yang dingin dan kering, ini adalah dunia yang berbeza. Aku belum sampai di rumah, tetapi kampung halaman di sini rasanya sudah dekat sekali. Perjalanan setengah tahun tanpa henti, melintasi pergunungan Himalaya, gurun pasir Gujarat, warna-warni India, kehangatan persahabatan Pakistan, petualangan gila di daerah berbahaya Tribal Area, kemodenan Islamabad, dan tak lupa juga hari-hari yang getir sepanjang lockdown di Pakistan, akhirnya berakhir di sini.

Aku yakin, suatu saat nanti (yang kita belum tahu bila), badai pandemik Covid-19 ini pasti akan berlalu, dan sebahagian besar dari kita akan terus berjuang. Namun yang jelas, dunia kita pasca pandemik mungkin tidak akan pernah sama lagi. Banyak hal yang akan berubah dalam hidup kita. Yang paling jelas adalah cara kita mengembara. Sektor yang paling terjejas dari pandemik ini adalah industri yang berhubungan dengan perjalanan, iaitu pengangkutan dan pelancongan, yang akan memerlukan waktu lebih panjang untuk kembali pulih dari trauma. Para pejalan di masa akan datang mungkin akan diminta menunjukkan sijil kesihatan bebas corona atau buku rekod vaksin corona, sebagaimana surat keterangan vaksin 'yellow fever' yang diminta beberapa negara di masa kini. Para pelancong pun akan lebih mempertimbangkan faktor kesihatan dalam memilih destinasi mereka, sehingga negara-negara yang gagal menangani pandemik ini dengan serius mungkin tidak lagi menjadi pilihan.

Covid-19 telah menjadi tentangan bersama yang perlu dihadapi seluruh umat manusia. Pandemik ini untuk sementara waktu, memang terlihat seperti raksasa halimunan yang menghentikan roda globalisasi dunia kita secara mendadak. Tetapi sebagai produk globalisasi, ia tetap mengajarkan hal yang sangat penting tentang globalisasi: bahawa takdir semua umat manusia di bumi ini saling terikat antara satu sama yang lain. Kita semua adalah manusia yang sama, di bumi yang sama, berganding bahu untuk menghadapi masa depan global yang sama.

Tak ada kata yang cukup untuk mengungkapkan perasaan aku setelah dapat kembali semula ke tanah air selepas memulakan perjalanan dari Kerala, Oktober tahun lalu. Ribuan terima kasih aku ucapkan kepada semua kenalan di Malaysia (anda tahu anda siapa) yang secara langsung dan tidak langsung memberikan sokongan di sepanjang perjalanan aku di Asia Selatan.

Jutaan penghargaan buat tuan Deddy Faisal dan semua petugas Malaysia In Pakistan, Fareed producer stesen Radio Chitral FM, seluruh keluarga Jalal Uddin di Lembah Swat, pasangan Mohsin dan Sara di Islamabad, Biren Thapar di Lucknow, teman pertamaku di Lahore Yasir Muhammad, Kevin Baldha dan rakan-rakan yang menyelamatkan aku di Gujarat, Sharif Ahmad di Lembah Kalash, Adnan Aloi si pemilik Nan Cafe di Upper Chitral, dan semua penduduk Pakistan yang sentiasa menghulur tangan bagi musafir. Tanpa bantuan persaudaraan daripada mereka semua, mungkin agak mustahil untuk aku bertahan dan terus berjalan.

Terima kasih, jazakallah, dhanyavaad, syukriya, mehrbani, tashakor, dir manana, and thank you to all of you guys. Stay bless, stay safe, and take care.

Pakistan, aku pasti akan kembali.

Phir milenge.

(Tamat)

Keadaan Lapangan Terbang Islamabad yang lengang selepas pemerintah menutup sempadan negara

Penjarakan sosial dipraktikkan di dalam pesawat

Semua penumpang pesawat perlu menjalani ujian kesihatan sejurus tiba di Malaysia

Aku ditempatkan di Putrajaya Mariott Hotel bagi menjalani kuarantin wajib selama 14 hari

Backpacking Pakistan 34: Gilgit-Baltistan

 

Gilgit terletak di antara beberapa pemandangan gunung yang paling dramatik di dunia

22 Mac 2020

Jarak dari Abbottabad menuju kota Gilgit di utara hanya sejauh 386 kilometer. Akan tetapi seperti halnya perjalanan lain di Pakistan yang penuh dengan liku-liku petualangan, tempoh perjalanan kami telah memakan masa sepuluh jam lebih.

         Gilgit adalah ibu kota bagi wilayah Gilgit-Baltistan. Kota ini terletak di lembah yang luas berdekatan dengan pertemuan Sungai Gilgit dan Sungai Hunza, yang merupakan salah satu dari dua kota penghubung utama di Northern Areas untuk melakukan ekspedisi ke banjaran Himalaya. Kota yang lain ialah Skardu. Para trekker dan pendaki yang menuju ke pergunungan Karakoram mahupun Himalaya akan singgah di Gilgit terlebih dahulu. Kebanyakan orang biasanya memilih untuk pergi ke Gilgit melalui jalan udara, kerana perjalanan darat dari Islamabad ke Gilgit yang melalui Lebuhraya Karakoram harus ditempuhi setidaknya antara 14 hingga 24 jam, sedangkan perjalanan udara hanya mengambil masa selama 45 hingga 50 minit.

Dikisahkan, kira-kira satu milenium yang silam, lembah ini pernah menjadi pusat utama bagi agama Buddha, di mana agama ini menyebar dari Asia Selatan ke seluruh penjuru Asia. Ia dianggap sebagai koridor Buddhisme kerana ramai sami Cina yang datang ke Kashmir untuk belajar serta mengajarkan agama Buddha. Selain itu, ia juga merupakan perhentian penting bagi Jalan Sutera kuno di mana nama Gilgit pernah disebut dalam catatan perjalanan pengembara lagenda Tang Xuanzang.


Monumen persahabatan yang dibangun di persimpangan Lebuhraya Karakoram

Hari ini, Gilgit berfungsi sebagai persimpangan utama Lebuhraya Karakoram yang bersambung ke kota Kashgar di Xinjiang serta bandar-bandar lain Pakistan termasuk Skardu, Chitral, Peshawar, dan Islamabad. Kegiatan ekonomi bandar ini pula tertumpu kepada pertanian, dengan gandum, jagung, dan barli adalah penghasilan utama bagi tanaman penduduk di sini.

Wilayah yang sejuk ini adalah entiti politik paling utara di Pakistan. Ia berbatasan dengan Khyber-Pakhtunkhwa, Koridor Wakhan di Afghanistan, Xinjiang di China, dan Jammu Kashmir di India. Selama di Gilgit, aku tinggal di rumah seorang rakan Couchsurfing merangkap seorang pegawai bank bernama Zamin Haidir, yang terletak di pinggiran kota.

Zamin sebenarnya adalah penganut syiah aliran Jaafari, yang sama sekali berbeza dengan orang Ismaili yang mendominasi daerah Chitral. Gilgit-Baltistan adalah satu-satunya wilayah yang dihuni oleh majoriti orang Syiah dengan 80% penduduknya merupakan Syiah Jaafari, 10% daripadanya pula orang Ismaili, manakala 10% lagi adalah pengikut Sunni yang merangkumi kedua-dua aliran Deobandi (jamaah tabligh) dan Barelwi (ahli sunnah) yang berpegang kepada mazhab Hanafi.

Jaafar as-Sadiq adalah imam keenam bagi pengikut syiah. Selepas kewafatannya, orang syiah mula berbeza pendapat tentang siapa yang akan menjadi imam setelahnya kerana Jaafar memiliki dua orang putera. Lalu lahirlah aliran Ismaili apabila sebilangan orang syiah memilih untuk mengikuti Ismail ibn Jaafar manakala yang selebihnya pula mengangkat Musa al-Kadhim sebagai imam ketujuh. Jaafar as-Sadiq juga turut dihormati oleh orang Sunni kerana riwayat yang menyatakan bahawa beliau pernah menjadi guru bagi Abu Hanifa (pendiri mazhab Hanafi) dan Malik bin Anas (pendiri mazhab Maliki).

Kehidupan di desa tempat tinggal Zamin berjalan sederhana. Pagi hari, selepas Zamin keluar bekerja, aku hanya melewatkan masa beristirehat di halaman rumah sambil membaca buku dan menghirup teh hijau hangat yang disediakan ibunya. Ada daya magis luar biasa yang aku rasakan di sini. Barisan gunung tinggi seakan memancarkan udara murni untuk bernafas. Di sini tak perlu kita bicara tentang pencemaran dan pemanasan global. Kenyamanan Gilgit justeru menjadikan aku malas. Siapa saja yang tak menjadi malas apabila menikmati kehidupan tanpa hingar-bingar, keluh-kesah, dan kemorat-maritan dunia? Siapa pula yang tak terbius dengan keindahan nirmala gunung-ganang Himalaya dan Rakaposhi? Di sini yang berkuasa hanyalah nyanyian bisu barisan pergunungan yang bergema hingga ke relung hati. Satu jam.. Dua jam... Aku terbang bersama waktu.


Bersama anak lelaki Zamin yang berusia 2 tahun

Daripada terus terpana oleh daya pukau gunung-gunung itu, aku memilih untuk keluar menjelajahi kota Gilgit. Seperti biasa, keramahtamahan khas warga Pakistan yang aku temui di jalanan bukan lagi sesuatu yang mengejutkan selepas berbulan-bulan aku berjalan di negara ini. Undangan minum teh memang tak pernah berhenti ditawarkan oleh orang-orang samada dari pejalan kaki, pengusaha hotel, mahupun pemilik warung.

Pukul 13:00, aku singgah di sebuah restoran untuk makan tengah hari. Di restoran ini aku berjumpa dengan Tim dan Lauren, pasangan dari Belanda yang mengembara di Pakistan menggunakan sebuah jeep yang dipandu langsung dari negaranya menuju India. Ketika bertemu aku, pertanyaan yang pertama yang keluar dari mulut Tim adalah, "Is the Wagah border still open?" Mereka sebenarnya sudah mulai khuatir sekiranya tidak dapat menyeberang ke India kerana baru-baru ini pemerintah Pakistan sudahpun mengambil langkah menutup pintu ke Iran di perbatasan Taftan demi mengekang penularan wabak coronavirus.

Pasangan ini baru saja datang dari Hunza setelah melewatkan beberapa hari di sana, dan sekarang menuju ke Abbottabad, lalu ke Islamabad, dan ke Lahore.

Sebaik mengetahui aku dari Malaysia, Lauren menjadi sangat teruja.

"Wow! I love your country very much!" serunya.

Dia masih terkenangkan betapa damainya ‘syurga’ di Pulau Tioman, beberapa tahun lalu. Aku seakan tak percaya tatkala mendengarkan nama Pulau Tioman disebut di dalam sebuah restoran dekat utara Pakistan. Kemudian dia sibuk menceritakan betapa indahnya pergunungan Karakoram dan Pamir yang perkasa dengan jubah putih yang menjuntai dari puncak hingga ke lereng di Lembah Hunza. "You should go there, it’s fantastic!"

Luar biasa, gunung-gunung yang berpuisi, aliran sungai yang memahat, dan hamparan padang hijau yang mewarnai. Hari-hari yang mereka lalui serasa terbang di hadapan puncak-puncak tirus pergunungan ‘katedral’ Passu yang menjulang ke langit dan Lembah Hunza bersalju, ditemani dudhpatti – teh susu panas, roti chapati, dan seplastik aprikot kering.

Mencari perlindungan insurans terbaik untuk kereta anda? klik policystreet.com

Dari cerita menggebu-gebu pasangan Belanda inilah aku mulai meraba bayang-bayang Hunza. Ya, daerah tetangga itu hanya berjarak 100 kilometer di sini.

Kami mengucapkan salam perpisahan sekitar pukul 15:30, apabila Tim dan Lauren mula meminta diri untuk meneruskan perjalanan mereka menuju ke Abbottabad di selatan. Di luar restoran, terpampang barisan huruf-huruf gergasi yang berdiri sejajar membentuk sepotong ayat tipikal seperti di kota-kota lain seluruh dunia.

"I LOVE GILGIT". Itulah tanda ungkapan yang dibangun oleh pihak pentadbiran tempatan untuk menunjukkan semangat patriotisme terhadap wilayah ini. 

(bersambung)


Ukiran batu Buddha di Gilgit, membuktikan agama ini telah bertapak di sini sejak sekian lama

Dumpling atau manto, adalah makanan popular di daerah ini

Kota Gilgit

Aktiviti berjabat tangan sudah dilarang sejak coronavirus mula menular di Gilgit-Baltistan

Tanda patriotisme

Pejabat pos besar Kota Gilgit



Backpacking Pakistan 32: Sebuah Desa di Pinggiran Abbottabad

 

Permainan kriket mengisi petang hari anak-anak muda di desa Sheikul Bandi


20 Mac 2020

    Di sebuah desa kecil Sheikhul Bandi, 3 kilometer dari kota Abbottabad, aku diundang untuk menginap di rumah keluarga Pathan.

Pemuda ini bernama Qassim Jadoon, berumur 24 tahun. Wajahnya bujur. Bola matanya besar. Hidungnya mancung, dan garis wajahnya kuat. Tubuhnya sederhana dan kurus. Kulitnya putih bersih, jauh lebih putih daripada ukuran orang Punjabi atau Sindhi. Qassim adalah lelaki dari suku Jadoon, salah satu cabang suku bangsa Pashtun, yang disebut Pathan dalam Bahasa Urdu. Orang Pashtun juga sering dipanggil sebagai Afghan, etnik terbesar yang menduduki Afghanistan.

Persinggahan aku di rumah keluarga Qassim sebenarnya adalah secara kebetulan. Ketika dalam perjalanan menuju ke Gilgit dari Lembah Swat yang jauhnya lebih 600 km, aku baru tahu rupanya aku tak akan sampai ke destinasi yang dituju pada hari yang sama. Pemandu kereta yang aku tumpangi menyarankan aku untuk turun bermalam di Abbottabad sebelum mencari tumpangan lain ke Gilgit pada keesokan hari. Kebetulan pula Qassim, pemuda yang aku kenali dua bulan lalu di Islamabad sedang bercuti di kampung halamannya. Melalui perbualan singkat menerusi Whatsapp, dia mengajak aku bermalam di desanya yang bernama Sheikhul Bandi.


Bersama Qassim semasa di Islamabad

Abbottabad berada dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa atau KPK, wilayah yang terletak di sempadan Afghanistan peninggalan kolonial Inggeris. Majoriti penduduk wilayah ini merupakan etnik Pashtun atau Pathan, bangsa yang tersohor akan kegagahan dan kekeraskepalaannya. Tak seperti British India yang tertakluk dalam kekuasaan Inggeris, orang Pathan mempunyai daerah yang separuh merdeka. Daerah itu dinamakan Federally Administered Tribal Area (FATA) atau Pentadbiran Persekutuan Daerah Persukuan di mana undang-undang kolonial tidak terjangkau di sana. Di tribal area, orang Pathan masih menerapkan hukum adat dan kesukuan mereka yang didasarkan atas nilai-nilai Pashtunwali.

Catatan berkaitan Tribal Area: Backpacking Pakistan 15

Kini, romantisme tribal area sama sekali bukan lagi tentang romantisme suku-suku eksotik yang menghuni pedalaman gunung-ganang tersembunyi. Bila bercakap tentang tribal area di wilayah KPK, yang terbayang adalah orang-orang berkopiah dan bertopi pakol yang menggalas senjata atau pejuang Taliban yang bersembunyi di gua-gua. Hanya beberapa kilometer sahaja dari kota Peshawar, sejurus melintasi Baab-i-Khyber (Gerbang Khyber) menuju ke Khyber Pass, tribal area digarissempadankan. Daerah tersebut sama sekali terlarang untuk dikunjungi oleh orang asing, atas alasan keselamatan.

Catatan berkaitan Khyber Pass: Backpacking Pakistan 14

Sheikhul Bandi, kampung bagi suku Jadoon, memang bukan dalam lingkaran tribal area. Tetapi di dalam sebuah warung teh, saat aku berbual bersama para lelaki Pathan di depanku, ada hembusan keganasan tribal yang dapat aku rasakan, terutamanya melalui percakapan seorang rakan Qassim.

“Saya benci orang Hazara,” katanya.

Hazara adalah etnik kedua terbesar di Afghanistan, tetapi minoriti di negara ini. Di Pakistan, kebanyakan orang Hazara tinggal di Quetta di wilayah Balochistan. Bangsa ini mempunyai raut wajah Mongoloid dan menganut fahaman Syiah.

“Di Afghanistan sana, Hazara membunuh ramai orang Pashtun. Mereka itu kafir!” Tambah lelaki ini.

Konflik Hazara membunuh Pahstun dan Pashtun membunuh Hazara sudah menjadi berita yang seakan tak ada kesudahan di Afghanistan. Di negara perang tersebut, darah dibalas darah. Dendam kesukuan tidak pernah habis. Perang tak pernah berakhir di sana sejak puluhan tahun yang lalu. Semangat kebencian suku-suku Afghan itu bahkan sampai di Pakistan, atau lebih tepat lagi di Balochistan, wilayah yang dihuni oleh majoriti pelarian Hazara dari tanah Afghanistan.


Pelitup muka mula dijual secara besar-besaran di jalanan kota selepas kematian pertama berkaitan Covid-19 dilaporkan pada 20 Mac


Kalau konflik Hazara dan Pashtun adalah masalah rumit primordialisme etnik yang bercampur dengan dendam, kebanggaan kesukuan, sentimen agama, budaya, fanatisme, dan pergeseran nilai, namun di mata Qassim semuanya itu sederhana, “Hazara membunuh orang Pashtun sebab kami bercakap bahasa yang berbeza,” ujar Qassim, “kami bertutur Pashto sedangkan mereka berbahasa Dari!”

Aku tak tahu pasti bagaimana ketegangan permusuhan antara dua bangsa ini di seberang sana. Yang aku tahu, situasi di sini memperlihatkan aku lebih kepada penindasan ke atas orang-orang Hazara. Komuniti Hazara di Quetta, dikhabarkan menjadi korban penganiayaan dan kekerasan. Sudah ribuan lelaki, wanita dan anak-anak kecil Hazara kehilangan nyawa mereka dan lebih daripada 1500 orang tercedera dalam beberapa siri insiden pengeboman di Quetta sejak tahun 2013. Kelompok militan ekstrim Muslim Sunni Pakistan dan Lashkar-e-Jhangvi, dipercayai menjadi dalang di balik serangan-serangan ke atas komuniti Hazara tersebut.

Sejarah menuliskan, bangsa Hazara telah tinggal di Pakistan sejak abad ke-17, di sebuah wilayah bernama Khurasan, yang kemudiannya dimasukkan ke wilayah Afghanistan secara politik.  Lalu bangsa ini berpindah tempat pada masa selanjutnya kerana penganiayaan yang dilakukan oleh Emir Abdul Rahman Khan, raja Afghanistan yang berkuasa pada abad ke-19. Orang Hazara secara umumnya merupakan minoriti Muslim Syiah yang berada di Pakistan, negara yang didominasi Muslim Sunni dan bangsa ini mudah dikenali melalui wajah Mongoloid mereka.

Berbagai pertubuhan pembelaan seperti Hazara Tribe International Network, dibentuk bagi menyuarakan kecaman, serta perhimpunan untuk melakukan penentangan terhadap penindasan. Diaspora Hazara di Australia, Eropah Barat dan Amerika Utara juga melakukan tunjuk perasaan dari masa ke semasa. Haji Mohammad Mohaqiq, seorang pemimpin politik Hazara di Afghanistan, turut menunjukan keprihatinan terhadap masyarakat Hazara di Quetta.

Tapi konservatisme Islam versi Pathan bukan perihal yang boleh dibuat main. Bangsa ini berpegang teguh dengan pegangan sunni Hanafi. Siapa saja yang berfahaman bukan sunni adalah kafir di mata mereka. Noktah. Perbahasan tentang konflik sektarian terus menjadi topik pengisi minum petang aku bersama para pemuda Pathan ini yang terus berkobar-kobar menghujat orang Hazara tanpa ampun. Menyesalnya aku kerana membangkitkan pertanyaan tentang isu ini pada awalnya. Di warung teh ini, di mana warga desa yang lain turut bercengkerama melewatkan petang hari, menatap aku dengan penuh keingintahuan apabila mendengarkan perbualan kami yang membicarakan tentang syiah dan Hazara.


Ramai pemilik kedai di Abbottabad mula menutup kedai sejak Covid-19 sudah menular ke wilayah Khyber Pakhtunkhwa meskipun pada ketika itu pihak pemerintah masih belum mengisytiharkan lockdown di seluruh negara

Di sini, aku menyerahkan sepenuhnya nasib aku di tangan Qassim yang menemaniku. Orang Pashtun, walaupun terkenal dengan sifat keras dan garang, sebenarnya memegang kuat prinsip hidup bangsa mereka yang disebut Pashtunwali. Perkara nombor satu daripada semboyan hidup mereka adalah melmastia, iaitu keramahtamahan. Mereka sentiasa memberikan yang terbaik bagi tetamu, tanpa mengharap imbalan apa pun. Jangan terkejut, tuan rumah bahkan sanggup merelakan nyawanya tergadai demi melindungi sang tetamu. Boleh jadi itulah alasan yang paling kukuh untuk menjelaskan mengapa Mullah Omar, komandan mujahidin Pashtun yang memimpin Taliban tak mahu menyerahkan Osama Bin Laden walaupun negaranya diporakperandakan tentera musuh. Osama, pengasas al-Qaeda berwarganegara Arab Saudi yang dibuang kerakyatan datang ke Afghanistan sebagai tetamu. Ribuan nyawa orang Afghan melayang hanya untuk melindungi sang tetamu yang satu ini.

Selepas sepuluh tahun diburu, Osama akhirnya ditembak mati di kota ini, Abbottabad pada tahun 2011, atau lebih tepat lagi di Bilal Town, sebuah pekan kecil yang hanya berjarak kurang 5 km dari desa Sheikhul Bandi.

Seorang lelaki menyampuk, “Osama itu hanya watak ciptaan Amerika untuk memecahbelahkan umat Islam. Bahkan bangunan WTC pun dihancurkan Amerika sendiri untuk dijadikan alasan menyerang umat Islam!”

Teori konspirasi ini tampaknya sangat lazim di banyak negara. Aku pernah mendengar penjelasan yang serupa ketika aku di India dahulu.

Check this out: Air Asia Grocer

Petang berganti senja, desa Sheikhul Bandi pun berganti wajah. Langit biru yang mulanya bermandi awan, berubah menjadi merah dan jingga ketika mentari mulai perlahan-lahan terbenam di balik pergunungan menjulang. Tumbuhan di sekeliling yang kembali menghijau pasca musim dingin tetap menyejukkan mata yang memandang. Anak-anak muda masih rancak bermain kriket di kaki bukit sedangkan para penggembala mula memimpin haiwan ternakan balik ke kandang. Aku sempat meneguk secawan teh yang terakhir di warung ini, sebelum Qassim mengajak aku pulang.

Dalam remang-remang senja, dari jauh aku melihat siluet beberapa lelaki berjalan menggalas senapang di bahu. Mungkin pihak berkuasa yang sedang membuat rodaan, atau mungkin pula penduduk desa yang baru pulang dari memburu. Aku tak tahu.

Tapi tak ada apa yang perlu dikhuatirkan ketika menjadi mehman di sini. Ada Qassim yang sentiasa melindungi aku. Sebagai seorang tetamu, aku amat menghargai akan kemurahan hati orang Pashtun yang sangat memuliakan mehmannya.

(bersambung)


Bermain ludo bagi mengisi kebosanan masa lapang 

Bersantai di bawah matahari bersama keluarga Qassim

Hidangan malam istimewa: Roti nan bersama otak lembu

Bukannya barisan kenderaan yang mengisi jalanan desa sebaliknya haiwan ternakan yang berkeliaran


Featured Post

Backpacking Pakistan 2: Menembus Perbatasan

Baab-i-Azadi bermaksud 'Gerbang Kemerdekaan' dalam erti harfiah   10 Januari 2020      Perbatasan Wagah dan Attari, demikian ia dik...

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!