Backpacking Pakistan 20: Pengembara dari Catalan

 

Bahrain merupakan sebuah desa merangkap pekan kecil yang terletak tepat di titik pertemuan antara Daral Khwar (kiri) dan Swat River (kanan)

7 Mac 2020

"Datanglah lagi ke sini jika ada masa," kata Rehman Uddin, "pintu rumah ini sentiasa terbuka buat kamu." Riak nada kata-katanya penuh dengan kesayuan, pelukannya erat sekali, seakan berat untuk melepaskan aku pergi.

Sudah begitu lama aku menginap di Odigram. Pada awalnya aku cuma mahu singgah ke desa ini untuk beberapa hari sahaja, tapi udara pergunungan syurgawi yang menyihir dan keselesaan yang sudah begitu lama tidak aku rasai justeru telah mendatangkan penyakit malas, yang mana tak ada sebarang kaedah penyembuhan melainkan cuma sang empunya diri yang mampu melawannya.

Lepas dari kemalasan, sekarang aku ditekan dengan rasa hampa. Dulu semangat kembara aku sebelum datang ke Lembah Swat begitu meluap-luap, ingin menelusuri sejarah Buddha yang pernah bertapak di sini sebelum datangnya Islam, ingin menggali kisah Taliban yang pernah menawan Lembah Swat, dan ingin bertemu dengan wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki Pathan di desa Buner. Tapi kini, aku tak lebih dari seorang musafir yang cuma melewatkan hari di halaman rumah, menonton YouTube, membaca buku sepanjang hari, dan mengagumi keindahan hamparan salju di puncak gunung yang putih bersih.

Hingga pada akhirnya, hadir juga tekad yang membulat. Aku membuat keputusan untuk menyambung perjalanan. Sudah terlalu lama aku beristirahat di sini. Dengan tempoh visa yang cuma tinggal sebulan setengah, masih banyak lagi tempat yang ingin aku teroka dan masih ramai lagi orang yang aku mahu jumpa.

Ringkas cerita, keesokan harinya aku sudahpun berada di Upper Swat, atau lebih tepat lagi, di Bahrain. Bahrain (juga dieja Behrain) adalah sebuah pekan kecil yang terletak 60km dari Kota Mingora dan berketinggian 4700 kaki di tebing Sungai Swat. Tempat ini dinamakan Bahrain (yang bermaksud dua sungai dalam erti harfiah) kerana lokasinya yang tepat di titik pertemuan antara Daral Khwar dan Swat River. Ia terkenal dengan resort-resort percutian tepi sungai, kraf tangan tempatan, dan pemandangan menakjubkan barisan gunung ganang yang mengepung seluruh pekan. Bahrain juga merupakan base camp bagi laluan trail yang membawa para trekker menuju ke tasik Daral dan Saidgai.


Pekan Bahrain

Ketibaan aku di Bahrain disambut Bakht Mand Khan, seorang lelaki tempatan yang sudah mengundang aku menginap di rumahnya sejak beberapa minggu lalu. Penampilannya kemas, orangnya tidak terlalu tinggi, wajahnya bersih tanpa sebarang jambang, dan bahasa Inggerisnya fasih. Walaupun baru berjumpa buat kali pertama, keakraban kami sudah seperti sahabat lama. Bakht Mand adalah seorang yang gemar bergurau serta mudah ketawa.

Aku dibawa berjalan meninggalkan kawasan pekan dan seterusnya menuju ke rumahnya yang terletak di permukiman desa di lereng gunung. Jalan belakang gunung ini cukup panjang, datar, dan tidak terlalu sukar untuk ditelusuri. Kecuali di beberapa tempat yang terkena longsoran dari puncak, jalan tertutup oleh tompokan batu. Aku memang kurang gemar kalau lalu di jalan seperti ini. Seram sekali bila perlu melintasi tompokan bongkahan batu sedangkan di bawah sana ada jurang menganga dan di atas puncak sana pula batu besar boleh turun pada bila-bila masa.

"Cepat! Cepat!" kata Bakht Mand menyorak. Melintasi kawasan longsoran memang perlu cepat, kerana tanah tidak stabil dan longsoran masih boleh terjadi. Dengan backpack berat yang dipikul di bahu, aku malah merangkak dengan kedua telapak tangan di atas bebatuan seperti bayi yang baru belajar berjalan. Sungguh perjalanan di desa-desa utara Pakistan memang memerlukan sejumput lebih banyak jiwa petualang.


Swat River yang surut pada musim sejuk

Tetapi petualangan aku ini seperti tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan lelaki Sepanyol yang aku temui di malam harinya. Wajahnya serius, tak ada senyum di bibirnya. Janggut panjang yang dipintal menghiasi wajahnya yang bujur. Matanya segaris, suram. Kulitnya putih, namun tak terawat, berkerak di sana-sini. Sungguh kontras dengan diri aku yang selalu mengenakan krim pelembap. Dia tipikal orang Eropah yang mengembara dengan cara hippie: bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan menumpang kenderaan orang dan menjalani hidup bertahun-tahun di atas jalan. Tapi yang membuat aku seketika merasa takjub adalah, dia mampu bertutur bahasa Melayu kerana pernah berkelana di Malaysia dan Indonesia selama dua tahun.

Jauh-jauh dari Wilayah Catalonia asalnya, lelaki ini lebih terlihat seperti warga dusun Pakistan. Dia berbalut shalwar kamiz yang penuh kedutan, berpadu dengan sehelai shawl yang melintang di bahu. Dengan gerakan perlahan dia membuka selembar peta Asia yang sudah lusuh dan koyak, penuh tampalan selotip di sana-sini, sempat membuat aku mengira kertas peta itu terbuat daripada plastik.

"This way," katanya dengan suara berat dan pekat, tipikal loghat orang Latin yang bercakap dalam bahasa Inggeris, "adalah jalan menuju Chapursan."

"Chapursan? Tempat apa itu?"

"Ia adalah syurga tersembunyi. Di peta ini kamu boleh lihat ada Koridor Wakhan di sini," katanya sambil menunjukkan dataran sempit yang menjulur panjang di timur laut Afghanistan, "Chapursan terletak tak jauh dari sempadan Wakhan. Begitu terpencil dan tersembunyi. Sebuah syurga di hujung dunia, terkunci waktu."

"Untuk sampai ke sini," lanjut lelaki Sepanyol ini, "kamu harus melintasi Mastooj, Istach, sampai Broghil, desa terakhir di Upper Chitral. Kalau dari Gilgit pula, kamu boleh melalui Karakoram Highway hingga Afiyatabad kemudian belok ke kiri ke utara ke arah sempadan Afghanistan."

Semua nama itu masih asing bagiku, tetapi aku justeru terpesona dengan perjalanan (lebih tepat lagi, petualangan) lelaki ini. Siapa sangka dengan penampilannya yang kusut masai seperti ini, ternyata dia adalah seorang pengelana besar, pemberani yang mempertaruhkan apa pun demi menemukan rahsia alam di lembah-lembah yang terpencil. Dia jelas adalah jenis pengembara yang begitu aku kagumi.

Dia sudah berkelana ke pelbagai penjuru Pakistan, dari perbatasan Taftan, turun hingga Karachi di selatan, naik ke utara, dan kini menuju ke barat. Semuanya dengan menahan kenderaan di jalanan. Percuma, tanpa sebarang kos.

Susah? Tentu saja tidak. Dia mampu bertutur bahasa asas Urdu. Yang lebih mengagumkan, dia sentiasa belajar bahasa tempatan di setiap tempat yang dia singgahi. Di Quetta, dia bertutur bahasa Balochi, bahasa Sindh di Karachi, Punjabi di Lahore, Kashmiri di Azad Kashmir, Khowari di Chitral, dan sekarang dia mempelajari bahasa Pashto di Khyber Pakhtunkhwa.

Walaupun terdengar patah-patah, ternyata dia tidak ada kesulitan sama sekali untuk berkomunikasi dengan orang tempatan. Tak pernah dia tinggal di mana-mana penginapan berbayar, kerana selalunya hanya menggunakan Couchsurfing, kadangnya pula di warung teh, yang selalu menyediakan tempat bermalam percuma bagi siapa pun yang singgah makan di sana.

Lelaki ini masih menunjukkan tempat-tempat mahaindah di peta robeknya. Ada Salang Pass di Afghanistan yang menurutnya adalah lintasan gunung terindah yang pernah dia lalui, di samping Lebuhraya Pamir di Tajikistan, Karakoram di Pakistan, dan Kardhungla Pass di India. Aku merasa ikut bertualang bersamanya dalam angan, mengembara melintasi kota-kota kuno yang ditunjukkan di atas peta.

Berkeliling di Asia tengah dengan menumpang trak, berbicara bahasa tempatan dengan fasih, menginap secara percuma di sepanjang perjalanan, mengunjungi dusun terpencil di balik gunung, mencari syurga di lembah yang tersembunyi, perjalanan seperti lelaki ini sungguh aku idamkan. Aku membayangkan diriku juga dapat berkeliling di Asia Tengah suatu hari nanti.

Namun aku tak tahu apakah aku mampu mengikut jejak langkahnya. Apa yang pasti, di dalam sebuah kedai makan di pekan kecil Bahrain, aku terpukau dengan petualangan seorang pengembara dari Catalan.

(bersambung)


Makanan istimewa Bahrain, chapli kebab

Rumah keluarga Bakht Mand

Terkurung gunung


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

List of Articles

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!