Kedai kraftangan di Pakistan |
29 Januari 2020
Mardan, bermaksud ‘tanah
lelaki pemberani’ (the Land of Brave Men)
dalam erti paling harfiah adalah sebahagian daripada Lembah Peshawar ketika
seluruh kawasannya pernah menjadi wilayah kekuasaan kerajaan Gandhara purba
sebelum ditakluk oleh Alexander the Great yang tiba di Lembah Indus melalui
Khyber Pass. Selepas Raja Alexander mati, Mardan terus menjadi saksi bisu
kepada beberapa pemerintahan yang berdiri setelahnya mulai dari Chandragupta,
Ashoka, Afghan, Ghaznavid, Mughal, hingga empayar British.
Mardan merupakan salah satu
daerah dalam negeri Pashtunistan sebelum Sir Henry Mortimer Durand dari British
India mengukir Durand Line yang telah
membelah negeri bangsa Pashtun. Orang Pashtun masih mengamalkan Pashtunwali, budaya pribumi turun
temurun, dan identiti pra-Islam ini masih signifikan bagi kebanyakan kaum
Pashtun dan ia merupakan salah satu faktor yang memperlihatkan bahawa negeri
Pashtunistan masih wujud.
Meskipun orang Pashtun
dipisahkan secara politik oleh garis sempadan antara Pakistan dan Afghanistan,
banyak puak Pashtun dari kawasan FATA (Federally
Administered Tribal Areas) dan wilayah-wilayah yang bersebelahan dengan Afghanistan,
cenderung untuk tidak peduli akan undang-undang sekaligus melintasi Khyber Pass
dengan mudah untuk menghadiri majlis perkahwinan, perjumpaan keluarga atau
mengambil bahagian dalam majlis bersama
suku kaum yang dikenali sebagai 'jirgas.'
Dalam kata mudah, Tribal Areas adalah daerah istimewa di Pakistan. Kawasan-kawasan ini memang berada di dalam Pakistan tetapi undang-undang negara sudah tidak terjangkau di sini. Sesuai dengan perjanjian, suku-suku Pashtun yang mendiami daerah sekitar perbatasan negara, masih diizinkan untuk memelihara tradisi mereka, mempunyai pemerintahan sendiri, undang-undang sendiri yang didasarkan hukum adat. Daerah ini kemudian disebut Tribal Areas, yang terdiri dari beberapa agency. Ketika Pakistan lahir pada tahun 1947, status Tribal Areas masih dilanjutkan sehingga kini.
Kabus pagi yang tebal di Mardan |
Hari ini hari Jumaat, kota
Mardan sepi sekali. Hampir semua kedai tidak dibuka kerana orang Pashtun sangat
menghormati penghulu segala hari sebagaimana yang tertulis dalam al-Quran untuk
meninggalkan semua jual beli. Di tengah tebalnya kabus pagi, aku berjalan
sendiri menelusuri jalanan kota untuk mencari minuman hangat. Mujur ada satu
kedai teh yang dibuka di sebuah lorong kecil di pinggir kota.
Di kedai ini aku disapa oleh
Mustaq Ahmad, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun. Bahasa Melayunya begitu
fasih. Dia pernah bekerja selama 12 tahun di Malaysia, 2 kali lebih lama
daripada Wajahat Nordin, pemuda yang aku kenali di Islamabad tempoh hari. Tapi gaya
pertuturan lelaki ini lebih kepada loghat Sabah kerana beliau telah tinggal di
Sabah selama 7 tahun sebelum berpindah ke tanah semenanjung. Setiap kali berbicara,
di hujung kalimatnya pasti ditambah dengan kata 'bah'.
Kesempatan berjumpa dengan orang
Pashtun yang mampu bertutur Melayu tentu saja mengujakan aku. Pertemuan dengan
Mustaq memberikan aku kesempatan untuk menggali dengan lebih dalam tentang adat
tradisi orang Pathan. Aku bertanya mengapa pemisahan lawan jenis sangat penting
di dalam budaya mereka.
Suasana di dalam kedai teh Pakistan. Teh hijau disebut kahwah sedangkan teh susu pula disebut chai |
"Islam
mengatakan," kata Mustaq, "perempuan terlalu cantik untuk pergi ke
pasar untuk membeli kosmetik. Kalau dia memakai kosmetik, dia akan mengundang
perhatian para lelaki, dan para lelaki akan ingin mendapatkannya, dan kadangnya
sehingga menggunakan kekerasan."
Itu ertinya, kalau perempuan
diperkosa, maka itu kesalahan si perempuan kerana terlalu menarik? Dan bukannya
salah para lelaki yang tidak mampu mengawal nafsu mereka?
Mustaq tidak menyangkal.
Kemudian dia membuat perumpamaan lain. Dia mengambil sebiji gula-gula dari
piring kecil di sebelah teko teh.
"Lihat gula-gula ini.
Kalau saya suka dengan gula-gula ini, maka saya akan berusaha mendapatkannya.
Secara legal ataupun ilegal. Paham?"
Aku membantah. "Kenapa
cara ilegal diperbolehkan? Kamu hanya
boleh mengambil gula-gula yang secara hukum
adalah milik kamu setelah dibeli daripada penjual. Ada undang-undang yang
melindungi."
Lalu dia membuat perumpamaan
lain.
"Kalau kamu ada duit
yang banyak, dan saya minta duit kamu. Apakah kamu akan beri?"
"Tidak," jawab
aku.
"Maka saya akan
membunuh kamu," kata Mustaq tegas.
"Tapi itu adalah duit
saya. Mahu beri atau tidak, itu adalah hak saya."
"Kenapa kamu tidak
beri?"
Nampaknya konsep 'hak dan
kewajiban' sangat kental dalam fikiran aku. Dalam nilai-nilai inilah aku
dibesarkan di Malaysia. Tetapi konsep aku tidak sama dengan konsep mereka.
Segala sesuatu yang bebas berkeliaran, boleh dimiliki oleh semua orang (lelaki)
yang menginginkan. Dalam hal ini termasuk perempuan.
"Kamu tahu HIV? Sehingga
kini tidak ada vaksin untuk mencegah virus ini. Tapi dalam Islam kita yang suci
ada cara yang paling mujarab," terang Mustaq. Dan ia adalah melarang
hubungan antara lelaki dan perempuan, yang akhirnya mencegah terjadinya
hubungan seksual di antara keduanya. "Buktinya," lanjut Mustaq,
"jumlah penderita AIDS di negara-negara Muslim sangat rendah jika
dibandingkan dengan negara barat."
Dalam pandangannya tentang
Islam pula, bahkan bertentangan mata di antara lawan jenis adalah dosa, kerana
ini akan membawa menuju zina.
Aku berkata, burqa hanya ada
di Pakistan dan Afghanistan, dan niqab juga tidak popular di negara-negara
Muslim seperti Indonesia dan Malaysia. Aku melihatnya sebagai perbezaan
interpretasi antara Muslim di berbagai negara.
"Tidak!" Mustaq
tegas membantah. "Islam hanya ada satu. Undang-undangnya semua sama. Nabi
kita ada mengatakan, daripada 73 golongan orang beriman, hanya satu saja di
jalan yang benar."
"Dan adakah mereka itu
golongan Muslim Pathan?" tanya aku.
"Saya tidak jamin semua
itu Pathan".
"Lalu siapa yang paling
mendekati jalan yang benar?"
Dia mengatakan, hanya
orang-orang berbahasa Pashto di bawah rejim Taliban yang mengikut jalan Islam.
Dia tidak memandang rendah terhadap Muslim di negara lain, namun dia kesal
kerana terlalu ramai wanita Muslim di serata dunia yang tidak berhijab. Mereka
semua telah keluar dari lingkaran, katanya, kerana kecantikan bukan untuk dipamerkan.
Lelaki ini turut mengatakan
masyarakat Muslim yang paling ideal adalah masyarakat syariah di bawah
kepemimpinan Nabi dan para Khalifah, 1500 tahun lalu. "Kita harus
mengikuti cara Islam. Apabila seseorang mencuri, maka tangannya harus dipotong,
sehingga orang tidak berani lagi mencuri. Itu adalah cara yang paling
adil."
Mustaq menyambung lagi,
"di wilayah Pashtun, kamu tidak perlu takut berjalan dengan membawa ribuan
dolar, tidak ada orang yang akan merompak kamu." Orang Pathan terutamanya
di Tribal Areas memang tidak patuh
dengan undang-undang negara tapi kuat dengan pegangan konservatif mereka
seperti yang pernah dibawa oleh Taliban. "Hukuman mati memang patut diberikan
kepada perompak, lalu anggota tubuh yang dikerat diletakkan di sisi bahu jalan.
Ini adalah terapi kejutan bagi mereka yang berhasrat mahu merompak,"
tambah beliau, "bayangkan jika hukum ini diterapkan, tentu saja seluruh
dunia ini akan aman!"
Mustaq bahkan melarang
keluarganya menonton tv. Aku bertanya apakah tv itu tidak Islamik?
Dia menjawab. "Ayah
saya dulu kata, kalau kamu menonton tv, maka besok isteri kamu juga akan
menonton tv. Kamu dan isteri kamu akan menonton tv bersama. Lalu dia akan
meniru apa yang ditonton di tv. Dia akan berdandan, dia akan keluar rumah. Itu
sumber maksiat. Mereka juga akan beli alat kosmetik, barang yang tidak berguna,
dan bukannya membelanjakan wang untuk barang-barang yang diperlukan
keluarga."
Bahkan mendengar muzik juga
diharamkan.
"Empat mazhab Islam
berpegang mengatakan muzik itu haram, jadi siapakah kita untuk membantah?"
Baiklah. Tv haram. Muzik pun
haram, kerana boleh membawa interaksi antara lelaki dan perempuan, dan hubungan
ini dianggap dosa, zina. Intinya, bangsa Pashtun ingin mempertahankan batas-batas
yang kuat antara kedua jenis kelamin hingga tidak ada interaksi sama sekali,
dan apa pun yang membahayakan dianggap dosa.
Mustaq juga memendam
kebencian mendalam terhadap imigresen Malaysia yang menangkapnya tanpa sebab
sehingga dia dihantar pulang (isu ini tidak akan aku ceritakan sepenuhnya kerana
ia sangat memalukan petugas imigresen negara kita). Alkisahnya, ketika di dalam
tahanan, dia telah diminta oleh seorang pegawai imigresen Melayu untuk memotong
janggutnya hanya kerana wajahnya menyerupai pengganas, namun Mustaq enggan.
Lantas dia digari dan pegawai itu sendiri yang memotong janggutnya secara
paksa. Sedangkan seorang lelaki Sikh yang bersamanya dalam tahanan turut
mempunyai janggut lebat, tapi tidak pula dipotong dengan alasan agama Sikh
melarang.
Matahari pagi semakin
meninggi, kabus tebal yang menyelimut kota Mardan beransur-ansur hilang dari
pandangan. Kedai teh ini juga mulai penuh dengan pelanggan yang berdatangan dan
perbualan aku bersama Mustaq terpaksa dihentikan. Kami berjanji untuk berjumpa
lagi pada esok hari di kedai jahitnya. Sebelum mengakhiri pertemuan, Mustaq
mengakui dia tidak sama sekali menolak Islam di negara lain, pandangan orang
Pathan tentang Islam juga mungkin tidak diterima oleh orang Pakistan yang lain,
atau Muslim yang lain di belahan dunia yang lain. Tapi dia yakin, jalan yang
dilaluinya adalah yang paling benar. Seperti yang dikatakannya, di antara 73
golongan umat Islam, hanya ada satu yang benar. Yang manakah itu, hanya Tuhan
yang tahu.
(bersambung)
Kota yang sepi di hari Jumaat |
Bersama Mustaq, lelaki Pakistan yang fasih berbahasa Melayu |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan