Memaparkan catatan dengan label Mardan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mardan. Papar semua catatan

Backpacking Pakistan 11: Konservatisme

 

Kedai kraftangan di Pakistan

29 Januari 2020

    Mardan, bermaksud ‘tanah lelaki pemberani’ (the Land of Brave Men) dalam erti paling harfiah adalah sebahagian daripada Lembah Peshawar ketika seluruh kawasannya pernah menjadi wilayah kekuasaan kerajaan Gandhara purba sebelum ditakluk oleh Alexander the Great yang tiba di Lembah Indus melalui Khyber Pass. Selepas Raja Alexander mati, Mardan terus menjadi saksi bisu kepada beberapa pemerintahan yang berdiri setelahnya mulai dari Chandragupta, Ashoka, Afghan, Ghaznavid, Mughal, hingga empayar British.

Mardan merupakan salah satu daerah dalam negeri Pashtunistan sebelum Sir Henry Mortimer Durand dari British India mengukir Durand Line yang telah membelah negeri bangsa Pashtun. Orang Pashtun masih mengamalkan Pashtunwali, budaya pribumi turun temurun, dan identiti pra-Islam ini masih signifikan bagi kebanyakan kaum Pashtun dan ia merupakan salah satu faktor yang memperlihatkan bahawa negeri Pashtunistan masih wujud.

Meskipun orang Pashtun dipisahkan secara politik oleh garis sempadan antara Pakistan dan Afghanistan, banyak puak Pashtun dari kawasan FATA (Federally Administered Tribal Areas) dan wilayah-wilayah yang bersebelahan dengan Afghanistan, cenderung untuk tidak peduli akan undang-undang sekaligus melintasi Khyber Pass dengan mudah untuk menghadiri majlis perkahwinan, perjumpaan keluarga atau mengambil  bahagian dalam majlis bersama suku kaum yang dikenali sebagai 'jirgas.'

Dalam kata mudah, Tribal Areas adalah daerah istimewa di Pakistan. Kawasan-kawasan ini memang berada di dalam Pakistan tetapi undang-undang negara sudah tidak terjangkau di sini. Sesuai dengan perjanjian, suku-suku Pashtun yang mendiami daerah sekitar perbatasan negara, masih diizinkan untuk memelihara tradisi mereka, mempunyai pemerintahan sendiri, undang-undang sendiri yang didasarkan hukum adat. Daerah ini kemudian disebut Tribal Areas, yang terdiri dari beberapa agency. Ketika Pakistan lahir pada tahun 1947, status Tribal Areas masih dilanjutkan sehingga kini.


Kabus pagi yang tebal di Mardan

Hari ini hari Jumaat, kota Mardan sepi sekali. Hampir semua kedai tidak dibuka kerana orang Pashtun sangat menghormati penghulu segala hari sebagaimana yang tertulis dalam al-Quran untuk meninggalkan semua jual beli. Di tengah tebalnya kabus pagi, aku berjalan sendiri menelusuri jalanan kota untuk mencari minuman hangat. Mujur ada satu kedai teh yang dibuka di sebuah lorong kecil di pinggir kota.

Di kedai ini aku disapa oleh Mustaq Ahmad, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun. Bahasa Melayunya begitu fasih. Dia pernah bekerja selama 12 tahun di Malaysia, 2 kali lebih lama daripada Wajahat Nordin, pemuda yang aku kenali di Islamabad tempoh hari. Tapi gaya pertuturan lelaki ini lebih kepada loghat Sabah kerana beliau telah tinggal di Sabah selama 7 tahun sebelum berpindah ke tanah semenanjung. Setiap kali berbicara, di hujung kalimatnya pasti ditambah dengan kata 'bah'.

Kesempatan berjumpa dengan orang Pashtun yang mampu bertutur Melayu tentu saja mengujakan aku. Pertemuan dengan Mustaq memberikan aku kesempatan untuk menggali dengan lebih dalam tentang adat tradisi orang Pathan. Aku bertanya mengapa pemisahan lawan jenis sangat penting di dalam budaya mereka.


Suasana di dalam kedai teh Pakistan. Teh hijau disebut kahwah sedangkan teh susu pula disebut chai

"Islam mengatakan," kata Mustaq, "perempuan terlalu cantik untuk pergi ke pasar untuk membeli kosmetik. Kalau dia memakai kosmetik, dia akan mengundang perhatian para lelaki, dan para lelaki akan ingin mendapatkannya, dan kadangnya sehingga menggunakan kekerasan."

Itu ertinya, kalau perempuan diperkosa, maka itu kesalahan si perempuan kerana terlalu menarik? Dan bukannya salah para lelaki yang tidak mampu mengawal nafsu mereka?

Mustaq tidak menyangkal. Kemudian dia membuat perumpamaan lain. Dia mengambil sebiji gula-gula dari piring kecil di sebelah teko teh.

"Lihat gula-gula ini. Kalau saya suka dengan gula-gula ini, maka saya akan berusaha mendapatkannya. Secara legal ataupun ilegal. Paham?"

Aku membantah. "Kenapa cara ilegal diperbolehkan? Kamu hanya boleh mengambil gula-gula yang secara hukum adalah milik kamu setelah dibeli daripada penjual. Ada undang-undang yang melindungi."

Lalu dia membuat perumpamaan lain.

"Kalau kamu ada duit yang banyak, dan saya minta duit kamu. Apakah kamu akan beri?"

"Tidak," jawab aku.

"Maka saya akan membunuh kamu," kata Mustaq tegas.

"Tapi itu adalah duit saya. Mahu beri atau tidak, itu adalah hak saya."

"Kenapa kamu tidak beri?"

Nampaknya konsep 'hak dan kewajiban' sangat kental dalam fikiran aku. Dalam nilai-nilai inilah aku dibesarkan di Malaysia. Tetapi konsep aku tidak sama dengan konsep mereka. Segala sesuatu yang bebas berkeliaran, boleh dimiliki oleh semua orang (lelaki) yang menginginkan. Dalam hal ini termasuk perempuan.

"Kamu tahu HIV? Sehingga kini tidak ada vaksin untuk mencegah virus ini. Tapi dalam Islam kita yang suci ada cara yang paling mujarab," terang Mustaq. Dan ia adalah melarang hubungan antara lelaki dan perempuan, yang akhirnya mencegah terjadinya hubungan seksual di antara keduanya. "Buktinya," lanjut Mustaq, "jumlah penderita AIDS di negara-negara Muslim sangat rendah jika dibandingkan dengan negara barat."

Dalam pandangannya tentang Islam pula, bahkan bertentangan mata di antara lawan jenis adalah dosa, kerana ini akan membawa menuju zina.

Aku berkata, burqa hanya ada di Pakistan dan Afghanistan, dan niqab juga tidak popular di negara-negara Muslim seperti Indonesia dan Malaysia. Aku melihatnya sebagai perbezaan interpretasi antara Muslim di berbagai negara.

"Tidak!" Mustaq tegas membantah. "Islam hanya ada satu. Undang-undangnya semua sama. Nabi kita ada mengatakan, daripada 73 golongan orang beriman, hanya satu saja di jalan yang benar."

"Dan adakah mereka itu golongan Muslim Pathan?" tanya aku.

"Saya tidak jamin semua itu Pathan".

"Lalu siapa yang paling mendekati jalan yang benar?"

Dia mengatakan, hanya orang-orang berbahasa Pashto di bawah rejim Taliban yang mengikut jalan Islam. Dia tidak memandang rendah terhadap Muslim di negara lain, namun dia kesal kerana terlalu ramai wanita Muslim di serata dunia yang tidak berhijab. Mereka semua telah keluar dari lingkaran, katanya, kerana kecantikan bukan untuk dipamerkan.

Lelaki ini turut mengatakan masyarakat Muslim yang paling ideal adalah masyarakat syariah di bawah kepemimpinan Nabi dan para Khalifah, 1500 tahun lalu. "Kita harus mengikuti cara Islam. Apabila seseorang mencuri, maka tangannya harus dipotong, sehingga orang tidak berani lagi mencuri. Itu adalah cara yang paling adil."

Mustaq menyambung lagi, "di wilayah Pashtun, kamu tidak perlu takut berjalan dengan membawa ribuan dolar, tidak ada orang yang akan merompak kamu." Orang Pathan terutamanya di Tribal Areas memang tidak patuh dengan undang-undang negara tapi kuat dengan pegangan konservatif mereka seperti yang pernah dibawa oleh Taliban. "Hukuman mati memang patut diberikan kepada perompak, lalu anggota tubuh yang dikerat diletakkan di sisi bahu jalan. Ini adalah terapi kejutan bagi mereka yang berhasrat mahu merompak," tambah beliau, "bayangkan jika hukum ini diterapkan, tentu saja seluruh dunia ini akan aman!"

Mustaq bahkan melarang keluarganya menonton tv. Aku bertanya apakah tv itu tidak Islamik?

Dia menjawab. "Ayah saya dulu kata, kalau kamu menonton tv, maka besok isteri kamu juga akan menonton tv. Kamu dan isteri kamu akan menonton tv bersama. Lalu dia akan meniru apa yang ditonton di tv. Dia akan berdandan, dia akan keluar rumah. Itu sumber maksiat. Mereka juga akan beli alat kosmetik, barang yang tidak berguna, dan bukannya membelanjakan wang untuk barang-barang yang diperlukan keluarga."

Bahkan mendengar muzik juga diharamkan.

"Empat mazhab Islam berpegang mengatakan muzik itu haram, jadi siapakah kita untuk membantah?"

Baiklah. Tv haram. Muzik pun haram, kerana boleh membawa interaksi antara lelaki dan perempuan, dan hubungan ini dianggap dosa, zina. Intinya, bangsa Pashtun ingin mempertahankan batas-batas yang kuat antara kedua jenis kelamin hingga tidak ada interaksi sama sekali, dan apa pun yang membahayakan dianggap dosa.

Mustaq juga memendam kebencian mendalam terhadap imigresen Malaysia yang menangkapnya tanpa sebab sehingga dia dihantar pulang (isu ini tidak akan aku ceritakan sepenuhnya kerana ia sangat memalukan petugas imigresen negara kita). Alkisahnya, ketika di dalam tahanan, dia telah diminta oleh seorang pegawai imigresen Melayu untuk memotong janggutnya hanya kerana wajahnya menyerupai pengganas, namun Mustaq enggan. Lantas dia digari dan pegawai itu sendiri yang memotong janggutnya secara paksa. Sedangkan seorang lelaki Sikh yang bersamanya dalam tahanan turut mempunyai janggut lebat, tapi tidak pula dipotong dengan alasan agama Sikh melarang.

Matahari pagi semakin meninggi, kabus tebal yang menyelimut kota Mardan beransur-ansur hilang dari pandangan. Kedai teh ini juga mulai penuh dengan pelanggan yang berdatangan dan perbualan aku bersama Mustaq terpaksa dihentikan. Kami berjanji untuk berjumpa lagi pada esok hari di kedai jahitnya. Sebelum mengakhiri pertemuan, Mustaq mengakui dia tidak sama sekali menolak Islam di negara lain, pandangan orang Pathan tentang Islam juga mungkin tidak diterima oleh orang Pakistan yang lain, atau Muslim yang lain di belahan dunia yang lain. Tapi dia yakin, jalan yang dilaluinya adalah yang paling benar. Seperti yang dikatakannya, di antara 73 golongan umat Islam, hanya ada satu yang benar. Yang manakah itu, hanya Tuhan yang tahu.

(bersambung)


Kota yang sepi di hari Jumaat

Bersama Mustaq, lelaki Pakistan yang fasih berbahasa Melayu

Backpacking pakistan 10: Burqa

 

Terbungkus burqa

27 Januari 2020

    Matahari semakin menjauh di ufuk barat dan bumbung langit mulai gelap. Dingin mengigit sepuluh hujung jari dan mengebaskan seluruh wajah. "Musim sejuk tahun ini sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini," kata Shah Hussain, "Bulan lepas Mardan merekodkan 2°c, suhu paling rendah dalam sejarah!"

Shah Hussain membawa aku pulang ke rumahnya yang terletak di jantung kota. Ada sebuah ruang khusus untuk tetamu. Dalam tradisi Pashtun, para perempuan di rumah tidak boleh dilihat sama sekali oleh lelaki asing. Oleh yang demikian, ada sebuah ruangan khas bagi tetamu lelaki yang dalam bahasa Pashto disebut 'betak' disediakan dan sentiasa terpisah dari ruang rumah utama.

Pemuda ini merupakan satu-satunya kaum adam di rumah ini. Bapanya telah meninggal dunia beberapa tahun lalu dan dua orang adik beradik lainnya adalah perempuan. Urusan interaksi antara lawan jenis di Pakistan (terutamanya orang Pashtun yang konservatif) sentiasa menjadi hal yang teramat sensitif. Maka semasa melayani aku sebagai tetamu sekaligus menghormati ibunya yang terlindung purdah di sisi lain rumah, Shah Hussain berulang alik membawa nasi palau, kari biri-biri, dan teh hijau yang hangat dari dapur. Sungguh keramahtamahan orang Pakistan tidak pernah gagal membuat hati aku tersentuh. Orang yang baru saja aku kenali beberapa jam yang lalu kini sudah memperlakukan aku seperti sahabat lama.


Ruangan khas untuk tetamu disebut betak

Usai makan malam, kami duduk bersama di ruang 'betak' ini sambil berbual tentang kisah perjalanan panjang aku di India. Shah Hussain begitu takjub dan teruja ketika melihat gambar-gambar dari India di galeri telefon pintarku. "Saya teringin sekali pergi ke India," keluhnya, "tapi itu sama sekali mustahil bagi rakyat Pakistan. Tanah India ibarat dunia terlarang meskipun kami negara berjiran. Bukankah itu hal yang tak masuk akal?"

Selepas beberapa ketika, perbualan kami berubah topik apabila aku mulai bertanya tentang perspekstif  Islam dari mata Pashtun. Aku mempersoalkan kenapa aku tidak boleh melihat ibu dan dua orang kakaknya di rumah ini. Apakah ianya salah untuk aku mengucapkan salam dan hormat kepada mereka, tanya aku.

"Dalam Islam ada sebuah lingkaran. Dan kita tidak boleh keluar dari lingkaran itu," jawab Shah Hussain tegas. "Kamu sangat beruntung dapat melihat kecantikan para wanita di negara kamu. Tambahan pula kamu pengembara, tentu saja kamu telah melihat bermacam jenis kecantikan perempuan di merata belahan muka bumi ini."

Sebenarnya kenyataan beliau itu bukannya bernada cemburu, kerana Shah Hussain melanjutkan lagi hujahnya. "Di wilayah kami, tanah bangsa Pashtun, kecantikan perempuan bukanlah untuk ditunjukkan, sebab itu tidak ada kecantikan di Khyber Pakhtunkhwa. Kami semua mengikut Islam. Di dalam Islam ada lingkaran, dan kami tidak akan sesekali keluar dari lingkaran itu."

Mengenai lingkaran yang diperkatakan, dia kemudiannya menjelaskan dengan lebih lanjut. "Islam mengatakan," - Shah Hussain menggunakan dua kata ini untuk memulakan hujah, yang menjadi tunjang bagi setiap kenyataannya, "sudah menjadi kewajiban para lelaki untuk menyediakan apa saja keperluan wanita. Apa saja. Makanan, pakaian, alat kosmetik, dan apa pun yang mereka mahukan. Justeru itu tidak ada sebab untuk perempuan bekerja di luar. Tidak ada perlunya mereka keluar dari rumah."

Dari sudut pandang pemuda ini, perempuan yang bekerja di luar rumah sudah melanggar aturan agama, kerana kaum adam diciptakan sebagai penyedia sekaligus pelindung kaum hawa.

"Bagaimana jika suami perempuan itu mati?" Aku bertanya.

"Perempuan itu akan menjadi tanggungjawab adik beradiknya yang lelaki," jawab Shah Hussain. Jika perempuan itu tidak ada saudara lelaki, maka barulah perempuan itu diizinkan keluar bekerja."

Perihal ini sebenarnya sudah cukup umum di Pakistan - negara yang berdiri di atas kemurnian Islam tetapi budaya orang Pashtun malahan lebih tegas lagi. Orang-orang Pashtun sangat kuat berpegang dengan pantang larang agama. Mereka tidak pernah menunjukkan kaum wanita yang ada dirumah mereka kepada lelaki mana pun.

Penolakan untuk menunjukkan ibu, isteri, atau saudara perempuan kepada lelaki lain dianggap sebagai bahagian daripada agama. Itulah salah satu 'lingkaran dalam Islam' yang dimaksudkan Shah Hussain.

"Perempuan Pashtun adalah kebanggaan dan maruah yang harus kami jaga. Meskipun begitu mereka masih dibenarkan untuk keluar rumah," kata Shah Hussain, "tetapi mereka perlu memakai burqa, atau setidaknya niqab."

Burqa adalah cadar Afghan yang sangat umum terlihat di wilayah Khyber, di mana para wanita Pashtun membungkus seluruh tubuh termasuk wajah dan juga mata. Sedangkan niqab pula menutup seluruh wajah pemakainya kecuali segaris pandangan mata.

Sebagaimana yang aku tahu dari ajaran Islam di Malaysia, kedua tapak tangan dan wajah adalah bukan bahagian dari aurat perempuan. Kerana itu, berhijab seharusnya sudah cukup. Bukankah dalam al-Quran pun tertulis begitu?

Shah Hussain menolak hujah aku serta-merta. "Tidak. Perempuan hanya diizinkan menunjukkan wajah ketika mereka bersolat. Saat mereka sembahyang, jilbab tidak menutup wajah mereka. Tetapi ketika mereka keluar, mereka harus memakai burqa untuk menutup wajah sepenuhnya. Itulah yang sebenarnya dikatakan dalam Quran al-Karim. Kamu harus tahu tentang itu."

Shah Hussain bercerita lagi, pada suatu hari ketika Nabi Muhammad SAW berjalan kaki bersama seorang anak perempuannya, puterinya telah menatap wajah seorang pengemis lelaki yang buta. Nabi berkata, "Wahai anakku, mengapa kau melakukan hal itu?" Si puteri memberikan alasan bahawa pengemis itu buta, dan tidak dapat melihat wajahnya. "Itu tidak adil wahai puteriku," kata Nabi, "dia memang buta, tapi engkau tidak buta."

Moral daripada kisah itu, Shah Hussain menggarisbawahkan bahawa melihat lawan jenis di dalam budaya bangsa Pashtun adalah dilarang sama sekali.

(bersambung)


Kecantikan wanita bukan untuk ditunjukkan

Kota Mardan yang tradisional

Kereta keldai masih menjadi pengangkutan utama bagi penghantar barang

Qingqi (sebutan: cingci) merupakan pengangkutan awam utama di sini

Backpacking Pakistan 9: Tanah Orang Pashtun

 

Selamat datang ke Khyber Pakhtunkhwa

26 Januari 2020

"Bilakah kamu akan ke Peshawar?" Soal seorang lelaki tak dikenali yang menghantar mesej kepada aku melalui aplikasi Couchsurfing. "Singgahlah dulu ke Mardan untuk beberapa hari. Kemudian baru sambung perjalanan ke Peshawar," tambahnya.

Pemuda ini bernama Shah Hussain. Sebenarnya aku sudahpun terima undangannya sejak aku masih berada di Lahore. Tapi oleh kerana tujuan aku selepas Islamabad adalah Peshawar, maka aku langsung tak memberi respon kepada mesejnya. Sehinggalah sehari sebelum aku meninggalkan Islamabad, aku membuat keputusan untuk mengubah haluan ke Mardan, bandar kedua terbesar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, yang bermaksud Tanah Bangsa Pashtun dalam erti paling harfiah. Hampir 99% penduduk wilayah ini bertutur dalam bahasa Pashto, bukan Urdu.

Dari terminal bas Pir Wadhai di Rawalpindi, pembuluh nadi Pakistan, aku menaiki van yang menuju ke kota Mardan. Kebetulan penumpang di sebelahku adalah seorang Pathan/Pashtun berusia 32 tahun (walaupun wajahnya kelihatan lebih tua dari usianya). Bahasa Inggerisnya sangat bagus, jadi aku tidak melepaskan peluang untuk berbual dengannya dan bertanya bermacam perkara tentang negara ini. Banyak yang kami bahaskan di sepanjang perjalanan mulai dari isu Kashmir, Garis Durand yang membelah tanah Pashtun, sejarah awal Pakistan, hingga ke isu taliban - sebuah pergerakan fundamental politik Islam bangsa Pashtun yang berusaha menerapkan nilai-nilai mereka ke seluruh Afghanistan.


Mencari pengangkutan

"Bangsa Pashtun adalah bangsa yang berani," ujarnya, "ketika perang tahun 1965, negara ini masih lemah dari segi ketenteraan. Jadi apabila sebarang masalah berlaku di sempadan Kashmir, orang-orang Pashtun yang akan tiba dahulu sebelum perajurit negara sempat sampai. Kami tidak membeli senjata tapi kami membuatnya sendiri."

Lelaki ini juga mengaku pernah pergi ke Afghanistan. Katanya, semasa zaman Taliban dulu mereka tidak perlu menggunakan pasport untuk pergi ke Afghanistan, kerana berjambang lebat sudah cukup sebagai pasport. Di zaman Taliban, undang-undang sangat keras, mereka menerapkan hukuman potong tangan untuk pencuri, potong lengan bagi perempuan yang kelihatan auratnya, atau hukuman mati bagi pembunuh jika keluarga korban tidak mahu memberi keampunan. Kesilapan Taliban, menurutnya, adalah mereka menerapkan hukum Islam secara ekstrem serta sangat mendadak, dan tidak mengimplimentasikannya secara berperingkat. Akibatnya, mereka tidak disokong oleh sebahagian besar orang Afghan. Walau bagaimanapun, selama tempoh kekuasaan Taliban, Afghanistan jauh lebih aman dan stabil.


Negeri bangsa Pashtun (kawasan berwarna hijau) yang dibelah oleh Durrand Line.

Sehingga ke hari ini, lelaki ini masih tak habis berfikir mengapa Amerika giat memerangi Taliban. Sebab masalahnya bukan Taliban yang menghancurkan WTC ketika peristiwa 11 September. Tambahan pula Osama Bin Laden, watak utama dalam isu tersebut, adalah pelarian dari Arab Saudi yang sudah tidak diakui kerakyatan di negaranya sendiri.

"Osama memang bertapak Afghanistan ketika dia menjadi buruan Amerika, tapi kemudiannya dia menyeberang masuk ke Pakistan, dan disambut dengan keramahtamahan khas orang Pashtun di Abbottabad, yang terletak dalam wilayah ini. Tahukah kamu, kami bangsa Pashtun berpegang dengan semboyan hidup yang disebut Pakthanwali, dan salah satu bahagian utamanya adalah melmastia, iaitu hospitaliti terhadap tetamu dan melindungi tetamu, walau apapun yang terjadi. Bahkan kalau perlu mengorbankan nyawa sendiri sekalipun, kami sedia. Jadi sebab itulah Amerika harus mengambil masa sampai 10 tahun untuk memburu dan membunuh Osama, kerana pantang hukumnya bagi orang Pashtun untuk menyerahkan tetamu kami ke tangan mereka."

Mendengarkan cerita lelaki ini, aku justeru merasa kagum dengan pegangan hidup bangsa mereka. Van yang kami naiki terus meluncur laju menyusuri Lebuhraya Islamabad - Peshawar yang lengang. Gerbang besar bertulis "Welcome to Khyber Pakhtunkhwa, the Land of Hospitality" menyambut setiap kenderaan yang melintasi Attock - garis sempadan yang memisahkan wilayah Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa.

Ketibaan aku di Mardan sudahpun dinantikan oleh Shah Hussain yang menyambut aku dengan penuh kehangatan seperti sahabat lama. Pemuda ini berkeras mahu membantu memikul kedua-dua backpack aku kerana dia berfikir aku sudah keletihan selepas mengharungi perjalanan panjang dari Islamabad. Sungguh aku merasa kekok apabila seseorang yang baru aku kenali kini secara sukarela menjadi pembantu. Di wilayah yang baru ini, aku menjadi semakin tidak sabar untuk mengalami dan mendalami kehidupan serta budaya orang-orang Pashtun yang mendiami daerah ini.

(bersambung)


Barisan van yang menanti penumpang di Pir Wadhai

Van yang aku naiki menuju mardan

Tidak ada keselesaan di sepanjang perjalanan kerana van diisi dengan jumlah penumpang yang melebihi had kapasitinya. Hal ini adalah perkara biasa di Pakistan

Kota Mardan yang sibuk

Makanan pertama aku di Mardan - sup ayam ala China. Sangat baik untuk menghangatkan tubuh di musim sejuk yang menggigit

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!