Terbungkus burqa |
27 Januari 2020
Matahari semakin menjauh di
ufuk barat dan bumbung langit mulai gelap. Dingin mengigit sepuluh hujung jari dan
mengebaskan seluruh wajah. "Musim sejuk tahun ini sangat berbeza dengan
tahun-tahun sebelum ini," kata Shah Hussain, "Bulan lepas
Mardan merekodkan 2°c, suhu paling rendah dalam sejarah!"
Shah Hussain membawa aku
pulang ke rumahnya yang terletak di jantung kota. Ada sebuah ruang khusus untuk
tetamu. Dalam tradisi Pashtun, para perempuan di rumah tidak boleh dilihat sama
sekali oleh lelaki asing. Oleh yang demikian, ada sebuah ruangan khas bagi
tetamu lelaki yang dalam bahasa Pashto disebut 'betak' disediakan dan sentiasa terpisah dari ruang rumah utama.
Pemuda ini merupakan satu-satunya
kaum adam di rumah ini. Bapanya telah meninggal dunia beberapa tahun lalu dan
dua orang adik beradik lainnya adalah perempuan. Urusan interaksi antara lawan jenis
di Pakistan (terutamanya orang Pashtun yang konservatif) sentiasa menjadi hal
yang teramat sensitif. Maka semasa melayani aku sebagai tetamu sekaligus
menghormati ibunya yang terlindung purdah di sisi lain rumah, Shah Hussain
berulang alik membawa nasi palau, kari biri-biri, dan teh hijau yang hangat
dari dapur. Sungguh keramahtamahan orang Pakistan tidak pernah gagal membuat
hati aku tersentuh. Orang yang baru saja aku kenali beberapa jam yang lalu kini sudah
memperlakukan aku seperti sahabat lama.
Ruangan khas untuk tetamu disebut betak |
Usai makan malam, kami duduk
bersama di ruang 'betak' ini sambil berbual
tentang kisah perjalanan panjang aku di India. Shah Hussain begitu
takjub dan teruja ketika melihat gambar-gambar dari India di galeri telefon
pintarku. "Saya teringin sekali pergi ke India," keluhnya, "tapi
itu sama sekali mustahil bagi rakyat Pakistan. Tanah India ibarat dunia
terlarang meskipun kami negara berjiran. Bukankah itu hal yang tak masuk akal?"
Selepas beberapa ketika,
perbualan kami berubah topik apabila aku mulai bertanya tentang perspekstif Islam dari mata Pashtun. Aku mempersoalkan kenapa
aku tidak boleh melihat ibu dan dua orang kakaknya di rumah ini. Apakah ianya
salah untuk aku mengucapkan salam dan hormat kepada mereka, tanya aku.
"Dalam Islam ada sebuah
lingkaran. Dan kita tidak boleh keluar dari lingkaran itu," jawab Shah
Hussain tegas. "Kamu sangat beruntung dapat melihat kecantikan para wanita
di negara kamu. Tambahan pula kamu pengembara, tentu saja kamu telah melihat
bermacam jenis kecantikan perempuan di merata belahan muka bumi ini."
Sebenarnya kenyataan beliau itu
bukannya bernada cemburu, kerana Shah Hussain melanjutkan lagi hujahnya.
"Di wilayah kami, tanah bangsa Pashtun, kecantikan perempuan bukanlah
untuk ditunjukkan, sebab itu tidak ada kecantikan di Khyber Pakhtunkhwa. Kami
semua mengikut Islam. Di dalam Islam ada lingkaran, dan kami tidak akan
sesekali keluar dari lingkaran itu."
Mengenai lingkaran yang
diperkatakan, dia kemudiannya menjelaskan dengan lebih lanjut. "Islam
mengatakan," - Shah Hussain menggunakan dua kata ini untuk memulakan
hujah, yang menjadi tunjang bagi setiap kenyataannya, "sudah menjadi
kewajiban para lelaki untuk menyediakan apa saja keperluan wanita. Apa saja.
Makanan, pakaian, alat kosmetik, dan apa pun yang mereka mahukan. Justeru itu tidak
ada sebab untuk perempuan bekerja di luar. Tidak ada perlunya mereka keluar dari
rumah."
Dari sudut pandang pemuda
ini, perempuan yang bekerja di luar rumah sudah melanggar aturan agama, kerana
kaum adam diciptakan sebagai penyedia sekaligus pelindung kaum hawa.
"Bagaimana jika suami
perempuan itu mati?" Aku bertanya.
"Perempuan itu akan menjadi
tanggungjawab adik beradiknya yang lelaki," jawab Shah Hussain. Jika
perempuan itu tidak ada saudara lelaki, maka barulah perempuan itu diizinkan keluar bekerja."
Perihal ini sebenarnya sudah
cukup umum di Pakistan - negara yang berdiri di atas kemurnian Islam tetapi
budaya orang Pashtun malahan lebih tegas lagi. Orang-orang Pashtun sangat kuat
berpegang dengan pantang larang agama. Mereka tidak pernah menunjukkan kaum wanita yang ada dirumah mereka kepada lelaki mana pun.
Penolakan untuk menunjukkan
ibu, isteri, atau saudara perempuan kepada lelaki lain dianggap sebagai
bahagian daripada agama. Itulah salah satu 'lingkaran dalam Islam' yang
dimaksudkan Shah Hussain.
"Perempuan Pashtun
adalah kebanggaan dan maruah yang harus kami jaga. Meskipun begitu mereka masih
dibenarkan untuk keluar rumah," kata Shah Hussain, "tetapi mereka perlu memakai burqa, atau setidaknya niqab."
Burqa adalah cadar Afghan
yang sangat umum terlihat di wilayah Khyber, di mana para wanita Pashtun membungkus
seluruh tubuh termasuk wajah dan juga mata. Sedangkan niqab pula menutup
seluruh wajah pemakainya kecuali segaris pandangan mata.
Sebagaimana yang aku tahu
dari ajaran Islam di Malaysia, kedua tapak tangan dan wajah adalah bukan bahagian dari aurat perempuan. Kerana itu, berhijab seharusnya sudah cukup. Bukankah
dalam al-Quran pun tertulis begitu?
Shah Hussain menolak hujah aku serta-merta. "Tidak. Perempuan hanya diizinkan menunjukkan wajah ketika mereka bersolat. Saat mereka sembahyang, jilbab tidak menutup wajah
mereka. Tetapi ketika mereka keluar, mereka harus memakai burqa untuk menutup
wajah sepenuhnya. Itulah yang sebenarnya dikatakan dalam Quran al-Karim.
Kamu harus tahu tentang itu."
Shah Hussain bercerita lagi, pada
suatu hari ketika Nabi Muhammad SAW berjalan kaki bersama seorang anak
perempuannya, puterinya telah menatap wajah seorang pengemis lelaki yang buta.
Nabi berkata, "Wahai anakku, mengapa kau melakukan hal itu?" Si
puteri memberikan alasan bahawa pengemis itu buta, dan tidak dapat melihat wajahnya.
"Itu tidak adil wahai puteriku," kata Nabi, "dia memang buta,
tapi engkau tidak buta."
Moral daripada kisah itu,
Shah Hussain menggarisbawahkan bahawa melihat lawan jenis di dalam budaya
bangsa Pashtun adalah dilarang sama sekali.
(bersambung)
Kecantikan wanita bukan untuk ditunjukkan |
Kota Mardan yang tradisional |
Kereta keldai masih menjadi pengangkutan utama bagi penghantar barang |
Qingqi (sebutan: cingci) merupakan pengangkutan awam utama di sini |