Memaparkan catatan dengan label Peshawar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Peshawar. Papar semua catatan

Backpacking Pakistan 13: Peshawar


3 Februari 2020

Ibu kota bagi Wilayah Khyber Pakhtunkhwa ini seakan mesin waktu yang melemparkan aku ke zaman Seribu Satu Malam. Di sini, yang mendominasi cuma satu warna; coklat kelabu. Peshawar, sebuah kota berdebu di hujung Pakistan adalah dunia barat yang liar. Atmosferanya, bahayanya, dengusannya, bahkan ketidakaturan trafiknya, kehingarbingaran Peshawar terasa begitu ganas. Para lelaki Pashtun bertopi pakol dan berpakaian tradisional salwar kameez lalu lalang di lorong-lorong kota yang berliku-liku bak labirin.

Di dunia yang hanya dikuasai lelaki ini, wajah wanita hampir tak terlihat sama sekali. Lelaki-lelaki berjanggut lebat dengan kibaran salwar kameez yang gagah menguasai seluruh penjuru kota. Para lelaki itu sentiasa tersenyum ramah dan menyapa aku dengan pertanyaan yang sama berulang-ulang kali, "hello, how are you? What’s your good name? Where are you from?" Tak kurang juga ada yang secara sukarela minta dipotret, "one picture! One picture!"


Gembira difoto

Keldai-keldai menarik kereta pengangkut barang menyusuri jalanan sesak di bazar kota. Wanita-wanita yang terlihat di sini tidak ramai jumlahnya, ada yang sepenuhnya terkurung burqa, dan ada pula yang mengenakan niqab, berjalan menunduk sambil menutup cadar di wajahnya. Sesekali tersingkap niqab yang dipakai mereka akibat terhembus angin lalu, sekaligus menampakkan aku dengan sekilas wajah wanita Pathan yang sama sekali tidak pernah kulihat sebelum ini. Maha suci Tuhan yang menciptakan berbagai jenis kelompok manusia, sungguh wajah perempuan Pashtun adalah seindah ciptaan. Maka memang wajarlah apa yang dikatakan oleh Mustaq tempoh hari, "wanita adalah maruah kami. Dalam budaya Pashtun, kecantikan itu bukan untuk ditunjukkan."

Sejarah Peshawar yang sudah lebih dari dua ribu tahun menjadikan tempat ini sebagai tempat yang istimewa untuk menikmati berbagai macam wajah eksotik dari segala penjuru Asia. Deretan bangunan kunonya juga bagaikan lukisan yang terpapar di buku cerita dongeng, dipenuhi pejalan kaki berserban dan berkopiah.

Berbeza dengan kota-kota lain yang telah aku singgahi di Pakistan, keindahan dan misteri kota ini masih diselimuti oleh hembusan dengus bahaya. Posisi Peshawar berhubung langsung dengan Khyber Pass di mana setiap hari ganja dan candu diseludup dari Afghanistan ke seluruh penjuru dunia. Undang-undang negara Pakistan pun hanya mampu menjangkau hingga batas akhir jalan utama, selepas itu akan mula memasuki daerah Tribal Area di mana hanya undang-undang suku kaum tempatan yang diterapkan. Di daerah persukuan atau Tribal Area, senjata api diproduksi besar-besaran setiap hari secara terang-terangan, bahan-bahan terlarang diseludupkan dan diperdagangkan dengan meluas, bahkan gerakan Taliban dikhabarkan cukup aktif di sana kerana tidak terlindung lagi oleh undang-undang negara mana pun.

Oleh sebab besarnya risiko di daerah liar tersebut, kerajaan Pakistan justeru melarang warga negara asing untuk memasuki wilayah yang berlabel Tribal Area, melainkan jika mendapat surat kebenaran terlebih dahulu daripada Political Agency Office dan ditemani oleh tentera bersenjata.


Kota tua Peshawar

Nuansa Peshawar begitu tradisional berbanding kota-kota lain di Pakistan

Tak jauh dari Peshawar, ada sebuah desa bernama Dara Adamkhel di mana majoriti penduduknya hanya menghasilkan satu jenis produk: senjata api. Di sana ada 40 ribu orang yang bekerja dalam sektor pembuatan / perniagaan senjata, dan mereka siap menjualnya kepada siapa pun yang sedia membayar. Senjata-senjata yang diproduksikan di Dara Adamkhel juga banyak diseludup ke seluruh Tribal Area termasuk Afghanistan, semakin menebarkan aroma darah di daerah-daerah itu. Maka tidak salah jika kota Peshawar dan khususnya Dara Adamkhel digelar sebagai 'Wild West' Asia Selatan.

Meskipun demikian, Peshawar masih punya sisi lain yang jauh lebih romantis dan bersahabat.

Bangunan-bangunan indah dan megah peninggalan Empayar Mughal masih kukuh berdiri menghiasi sudut-sudut kota. Peshawar memiliki beberapa bazar yang begitu hidup dalam kesehariannya. Sadar Bazar adalah tempat terbaik untuk mencari penginapan murah, jus buah-buahan, nasi palau dan briyani, ayam goreng, chai atau kahwa, ais krim kulfi, dan pelbagai lagi hidangan lazat lainnya.


Faluda, makanan khas Peshawar yang berupa mee digaul bersama potongan ais krim

Sedangkan Khyber Bazaar yang berdekatan dengan kota kuno, seakan melontarkan aku kembali ke zaman kejayaan para sultan dahulu, di mana kereta keldai dan kuda merayap lambat di tengah barisan bangunan lama yang mulai lapuk ditelan zaman. Panggilan azan bersahut-sahutan memanggil nama-Nya apabila masuk waktu solat, sementara pasar di lorong-lorong sempit yang hiruk-pikuk tidak pernah sepi oleh teriakan para penjual yang menawarkan bermacam barang dagangan. Ada bahagian khusus menjual pakaian. Ada yang khusus menjual barangan elektronik. Ada pula bahagian khusus bagi jaket dan kasut terpakai yang dijual dengan harga yang sangat murah. Bahkan topi beruntai manikam dari Kandahar, topi pakol dari Gilgit, hingga songkok hitam Melayu, semuanya ada di bazar ini.

"Kamu benar-benar mahu ke Tribal Area?" tanya Saddam, seorang kawanku di sini.

Aku hanya mengangguk.

"Di sana itu daerah berbahaya, lagi pula terlarang untuk orang asing. Apa yang kamu mahu cari di sana sebenarnya?"

Apa yang aku cari? Pertanyaan ini acap kali menghantui aku di dalam perjalanan. Apa yang aku cari di tempat-tempat berdebu dan kuno, yang mana pelancong pun malas untuk membayangkannya. Aku sering bertempur dengan pertanyaan yang satu ini. Kerap kali orang yang bertanya tidak akan faham dengan penjelasanku. Soalan tentang tujuan perjalanan yang biasanya ditanyakan dengan serius, pasti kemudiannya akan berakhir dengan menghablur begitu saja, lalu menjadi penghias percakapan belaka. Tetapi walau apapun, aku tetap juga mahu pergi ke Tribal Area!

"Baiklah, kalau itu yang kamu mahu, saya akan cuba uruskan," kata Saddam, seakan faham dengan keinginan aku yang mendalam. "Untuk masuk ke Tribal Area, kamu perlu menempuh dua pos pemeriksaan tentera. Pergi ke sana dengan menaiki kereta tentunya bukan idea yang baik. Jadi saya akan suruh anak buah saya bawa kamu ke sana dengan motor sebab motosikal memang jarang ditahan."

Mendengar kata-kata Saddam, keterujaan aku menghambur. Sungguh inilah budaya orang Pashtun yang tidak akan sesekali mengecewakan hasrat si tetamu. Prinsip Pakhtunwali begitu kuat mengakar dalam sanubari mereka. Esok pagi-pagi, Hasnin dan Ali akan membawa aku menyeludup masuk ke Tribal Area menuju Khyber Pass, lintasan tersohor dan juga medan tempur yang pernah dilalui oleh para penakluk dunia sejak ribuan tahun lalu.

(Bersambung)


Pedagang buah

Jalanan sibuk adalah bahagian daripada keseharian

Pasar ikan. Hanya ikan yang boleh didapati di sini kerana pengikut mazhab Hanafi tidak memakan makanan laut yang lain selain ikan.

Bangunan kuno

Kapoor Haveli, rumah agam keluarga Kapoor yang kian musnah ditelan zaman. Raj Kapoor lahir di sini sebelum berpindah ke India ketika pemisahan India-Pakistan pada 1947. Bintang Bollywood, Karisma & Kareena Kapoor adalah generasi keempat bagi keluarga ini.


Rumah Jan Muhammad, datuk kepada bintang Bollywood, Shah Rukh Khan. Bapa Shah Rukh, Taj Mohammad lahir di rumah ini sebelum turut berpindah ke India pada 1947. Rumah ini masih terpelihara sehingga kini kerana didiami oleh sepupu Shah Rukh, Noor Jehan, salah seorang ahli majlis tempatan.

Backpacking Pakistan 12: Sufisme

 


30 Januari 2020

    Asap hashish (ganja) mengepul, memenuhi ruangan kecil yang dikerumuni oleh puluhan lelaki. Gendang berdetak bertalu-talu, berpadu dengan petikan sitar dan irama harmonium menghipnosis semua yang ada. Seorang lelaki bertingkah kaki menari di tengah lingkaran, beraksi seperti orang yang dikhayalkan ekstasi. Larut dalam buaian spiritualiti.

Sufisme, juga dikenal sebagai tasawuf, adalah aliran mistik dalam Islam yang percaya bahawa mendekatkan diri kepada Tuhan tidak hanya melalui satu cara saja, tetapi juga termasuk dengan muzik dan tarian. Di Asia Tengah dan sub-benua India, Sufisme adalah sebahagian daripada budaya Islam itu sendiri.

Baca juga: Qawwali

Hari ini hari Khamis, bulan bersinar terang merambah kegelapan malam Jumaat. Suasana Dargah (makam) Syed Sitar Shah yang terletak di Lakar Mandi, sebuah kawasan penempatan padat di Peshawar seakan melemparkan aku ke alam lain. Tempat ini hidup di dalam dunianya sendiri, dalam dunia yang begitu berbeza dengan hiruk pikuk kesibukan kota tua ini.

Aku menyusuri lorong-lorong sempit sebelum tiba di makam suci ini. Semua orang harus menanggalkan kasut di depan pintu. Di balik gerbang, ada sebuah halaman lapang berlantaikan marmar. Di sini hanya ada laki-laki. Perempuan dilarang masuk sama sekali. Ratusan lelaki berpakaian shalwar kamiz berpusu-pusu menuju ke ruang acara di mana persembahan qawwali mengambil tempat.

Untungnya aku menjadi satu-satunya orang asing di sini. Aku dipelawa maju ke hadapan sekaligus mendapat tempat terbaik untuk menyaksikan para pemuzik qawwali. Di antara kerumunan lelaki lelaki Pashtun ini, Semerbak baru harum bunga mawar bercampur dengan asap yang mengepul di mana-mana. Bau hashish, candu, menusuk tajam ke dalam rongga hidung.

"Ini adalah cara mendekatkan diri kepada Tuhan," kata seorang lelaki, sambil menghisap dalam-dalam hashish yang sudah dicampur ke dalam rokoknya. Aku meminta izin untuk memotret gambarnya menghisap candu namun tak dibenarkan dengan alasan khuatir gambar dia akan tular kerana dia adalah seorang penjawat awam.


Kerumunan pengunjung menonton pemuzik sufi di ruangan sempit

"Ini bukannya Islam!" Kata Hasnin, "apanya yang Sufi, mereka cuma orang-orang kebanyakan yang mencari alasan untuk menghisap barang haram." Hasnin adalah pemuda Peshawar yang membawa aku ke sini bagi menyaksikan qawwali. Menurut dia, amalan menghisap hashish sudah menjadi tradisi negara ini sejak dahulu lagi dan hampir 50% lelaki di seluruh Pakistan mengambilnya.

Sufi, adalah aliran Islam yang menembus kemapanan, anti peraturan yang mengikat. Kalau Wahabi dan Taliban melarang muzik, pengikut Sufi justeru menggunakan muzik sebagai salah satu cara ibadah mereka. Candu dilarang dalam Islam, tetapi beberapa orang pengikut sufi menggunakannya untuk memudahkan mereka mencapai keadaan yang menyatu dengan Tuhan. Penggunaan hashish untuk mencapai kenikmatan spiritualiti mengingatkan aku kepada golongan sadhu, pertapa Hindu di India yang melepaskan diri mereka daripada kesenangan duniawi.

Remang-remang lampu menambahkan lagi suasana mistik di kawasan permakaman ini. Semakin malam, suasana semakin ramai dan padat dengan orang yang berdatangan. Bunyi tabla dipukul bertalu-talu, menghantarkan nuansa pemujaan ke tempat ini.


Memasuki alam bawah sedar

Di sebuah ruangan lain, bunga-bungaan terkalung di tubuh seorang lelaki berjubah lusuh, berjaket tebal, berkulit gelap dan berkepala botak. Matanya terpejam. Perlahan, perlahan, badannya berayun, semakin cepat, semakin cepat, sehingga begitu cepat. Ada daya hipnotis di dalamnya. Tubuhnya berputar… semakin cepat, semakin cepat, hingga tubuhnya larut dalam putaran. Aku melihat orang-orang lain yang menonton, juga mula menggeleng-gelengkan kepala seperti penagih ekstasi.

Di sebuah ruangan yang lainnya pula, kali ini lebih terang dengan cahaya lampu, ada tiga orang penari, yang satunya berbaju coklat, dua lagi berbaju kelabu, menari di tengah lingkaran. Mereka bertingkah kaki, berpadu mengikut irama paluan tabla. Kepala mereka bergeleng-geleng, berirama bersama alunan harmonium. Ketika tabla mereda kecepatannya, gerak kaki dan tariannya itu melambat. Ketika muzik bergema cepat, mereka beraksi lincah seperti orang yang sedang dirasuk. Bunyi trompet yang ditiup oleh seorang pemuzik lelaki semakin menambah kemistikan suasana.

Mereka tenggelam ke dalam irama dan lagu. Entah kekuatan magis apa yang membuat para penari ini semakin hanyut. Gerakan berputar, bertingkah, aroma hashish, asap rokok, dan chillum berisi air, serta lantunan doa-doa dan puisi-puisi Islamik yang terus mengalir, membawa nuansa magis yang semakin menghanyutkan. Orang-orang berteriak, "Jhulelal! Jhulelal!", naik turun seperti debur ombak. Jhulelal adalah seorang suci yang diagungkan umat Hindu dan di-sufi-kan oleh umat Muslim.


Bergilir menikmati chillum

Malam semakin larut, suasana semakin menghipnosis. Si pemain tabla semakin bersemangat menabuh alat muzik yang dimainkannya cepat-cepat. Semakin cepat juga gerakan tari dan putaran yang semakin menggila, melompat-lompat, membuat tubuh manusia-manusia yang seakan terasuk itu semakin tidak terkawal lagi gerakan badannya.

"Pemain gendang itu sebenarnya pekak dan bisu," bisik seorang pemuda lain ke telingaku. Dengan kecacatan pendengarannya itu dia tak merasakan betapa dahsyatnya kekuatan tabuhannya. Muzik magis ini sudah menghipnosis ramai penonton di barisan hadapan. Dua orang lelaki tua berjanggut lebat, duduk bersila menundukkan kepalanya sambil kedua telapak tangannya bertepuk laju tanpa sedar. Penonton lain sudah tenggelam ke dalam asap ganja, alunan doa, dan irama muzik spiritual ini.

Lewat tengah malam, semakin ramai orang yang ikut menari. Keringat mengucur deras. Mata mereka terpejam. Kepala mereka terus menerus digeleng dengan cepat, kabur dalam remang-remang lampu pekuburan.

Irama muzik qawwali bagaikan daya graviti yang membuat planet-planet berputar. Para penari terus berputar, melompat, bertingkah, berseru, liar bak gasing yang dilepas daripada talinya. Ratusan bintang yang menghiasi langit malam turut menjadi penonton putaran tubuh manusia-manusia berjubah ini.

Aku turut hanyut ketika melihat jubah seorang lelaki yang berkibar bak Superman yang sedang menari tanpa henti. Tanpa sedar, kepala aku juga turut bergoyang seakan larut ke dalam muziknya yang merasuk sanubari.

"Mast qalandar!!!!" seorang lelaki gemuk yang sedang menonton berteriak. "Mast qalandar mast! Mast qalandar mast! Mast! Mast!" Ratusan orang lain yang berada di depan unggun api di perkarangan makam menyambut teriakannya. Mast qalandar adalah seruan bagi seorang guru Sufi ternama dari abad ke-13, Hazrat Lal Shahbaz Qalandar. Mast adalah keadaan di mana seseorang dirasuk ilham, mendapat pencerahan, lalu menyatu dengan kekuatan spiritual yang agung.

"Jangan kamu fikir mereka itu sedang menari," ujar seorang lelaki yang menyapa aku, "tidak ada tarian dalam Islam, gerakan itu disebut dhamal."

"Dalam keadaan seperti itu," seorang lelaki lain berbisik, "ketika mereka sudah tidak sedar lagi apa yang mereka lakukan, mereka merasa begitu dekat dengan Allah, dengan Khuda (Tuhan). Itulah tujuan dari semua ini."

Di tengah kegelapan malam, di bawah pengaruh ganja dan candu berserta alunan muzik qawwali yang menghipnosis para hadirin, beberapa lelaki berjubah terus berputar… berputar… berputar… Memasuki alam bawah sedar, orang-orang ini mencapai orgasme spiritual.

(bersambung)


Makam orang suci yang disebut dargah




Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!