Claim promo code bernilai $16 di sini!

Manikarnika: Ghat Pembakaran Mayat di Varanasi




    Esak tangis mengiringi pemergian seorang lelaki tua berkasta Brahmin. Raungan, ratapan, dan air mata membasuh aroma kesedihan. Jenazah itu dibilas ke dalam air Sungai Ganges yang keruh, ditabur bunga bersama 'Puja Thali' (sesajen atau semahan yang mengandungi lilin, beras, kelapa, dan serbuk berwarna yang dipersembahkan ketika menjalani ritual keagamaan). Alunan mantera Hindu turut mengiringi.


Kayu api bersusun rapi di tepi sungai. Dalam tradisi pembakaran mayat umat Hindu, kasta juga memainkan pengaruh. Yang termasuk di dalam golongan atasan, keluarga kerajaan, dan kasta tinggi, mayatnya dibakar di tempat khas, malah ada juga tempat pembakaran mayat yang eksklusif. Dan bagi para kasta bawahan pula, mayatnya dibakar di merata kawasan.

 

Di sini aku berkenalan dengan Raj. Lelaki ini menjelaskan, lelaki tua itu adalah orang besar yang sangat dihormati. Kematiannya pun dikatakan wajar, sakit tua. Jenazah si mati diletakkan di atas tompokan kayu, setelah itu dibilas lagi dengan air suci oleh sang pendeta. Denting loceng, alunan mantera, dan ratapan pilu terus mengiringi ketika api mulai marak.

 

Ini merupakan kali pertama aku menyaksikan proses pembakaran mayat sedekat ini. Tubuh kaku itu terlihat jelas meleleh seperti lilin. Jari-jari kakinya mulai menyatu, kemudian membulat, dan seterusnya hancur tak berbentuk. Ketika jasad ini mati, semuanya kembali ke dalam wujud yang sama. Tidak peduli dengan apa kastanya, sebesar mana kekayaannya, setinggi apa jawatannya, sebanyak manapun pencapaian yang pernah digenggamnya, tubuh dan jasad akan hancur bersama menjadi abu dan debu.


kremasi

Di hadapan kematian, manusia seperti menjadi ahli filsuf. Di depan upacara pembakaran tubuh si mati, Raj menerangkan kepada aku tentang erti kehidupan dan kematian. Beliau menerangkan, betapa tak abadinya hidup manusia, bermula daripada ketiadaan dan kembali semula kepada ketiadaan. Alangkah sayangnya jika hidup yang berharga ini dilewatkan begitu sahaja, tanpa makna dan tanpa faedah. Roh kehidupan yang melekat di dalam tubuh hanya untuk sementara. Setelah itu, hidup yang kita jalani hanya akan menjadi sejarah yang cuma akan dikenang oleh segelintir orang. Tidak ada ertinya lagi semua kebanggaan, kekayaan duniawi, dan populariti yang diraih – semuanya lenyap bersama jasad yang melebur.

 

"Ramai orang yang hidup tetapi tak hidup. Mereka semua salah tentukan tujuan hidup. Kebanyakannya hanya mengejar wang, properti, emas, perempuan, kuasa... Tapi apakah mereka bahagia?" Tanya Raj kepada aku ketika kami bersama menyaksikan mayat yang berada di atas tompokan kayu itu perlahan-lahan melepuh dan melebur ditelan api yang garang menjulang. "Palsu, semua itu palsu. Ramai orang tak pernah tahu apa yang penting di dalam dunia. Itulah sebuah hidup yang hampa," kata Raj lagi, "bahagia itu tak pasti, cuma mati yang pasti. Ingatlah pada kematian, itu kunci kebahagian. Maka berterima kasihlah dengan kematian, kerana kematian adalah guru terbesar dalam kehidupan."


Anggota keluarga yang ditinggalkan siap memasuki fasa perkabungan. Kaum perempuan terus meratap. Kaum lelaki mencukur habis rambut mereka, dan cuma menyisakan sejumput kecil di bahagian belakang kepala.


Penganut Hindu percaya dengan reinkarnasi. Kematian bukanlah pengakhiran melainkan sebuah permulaan bagi perjalanan baru. Roh yang baru sahaja meninggalkan jasad setelah tubuh hancur, kini bersiap sedia untuk memulakan lagi kehidupan yang berikutnya. Abu mayat ditabur ke dalam Sungai Ganges yang mengalir perlahan, lalu ia akan menyusuri perjalanan ratusan kilometer hingga ke muara sungai di Teluk Benggala di timur India, sekaligus menutup kisah babak kehidupannya yang baru sahaja berlalu. Dan babak yang baru pula akan segera bermula.



Seorang wanita menabur abu mayat ke Sungai Ganges 

Varanasi adalah tanah impian buat para penganut Hindu mengakhiri kehidupan, terutamanya bagi golongan warga emas yang sedang menanti ajal. Justeru itu terdapat ramai kaum tua yang menghuni Shri Satua Baba Ashram berhampiran dengan Manikarnika Ghat. Mereka percaya bahawa jiwa manusia yang mati akan menemukan 'moksha' (keselamatan) apabila dibakar di hadapan Sungai Ganges. Oleh sebab itulah ramai orang tua dari seluruh penjuru negara mengimpikan untuk mati di sini. Mereka datang ke Varanasi dan menghabiskan hari-hari terakhir mereka untuk menyerap  karisma ghat – semangat yang membuat kematian tidak menyakitkan dan tidak penting untuk difikirkan. Walaubagaimanapun, keadaan tempat ini agak merimaskan. Orang-orang tua terbaring di atas katil yang berjajar, berdesak-desak di dalam ruangan yang sempit. Ruang dapur agak gelap dan berbau. Terlihat kelibat seorang lelaki tua sedang menyiapkan makanan di atas kuali. Namun, di tengah kesederhanaan kehidupan manusia di tempat ini, tersirat kegembiraan daripada riak senyum di wajah mereka.


Beberapa perempuan tua berbaju sari pelbagai warna duduk di anjung. Mereka sudah sangat tua, kerut-kerut wajah mereka mengguratkan usia yang teramat lanjut. Tangan mereka bergetar. Tetapi, bulatan tika di dahi terlihat seakan pancaran aura mistik. Hanyut dalam alunan tetabuhan dan mantera dari yang terdengar dari ghat berdekatan, para wanita tua itu larut ke dalam dunia spiritualiti.




Menantikan kematian 

Sebagai tempat yang suci, Ashram ini juga dipenuhi dengan ramai petapa Hindu seperti Raj yang disebut 'sadhu' – golongan manusia yang melepaskan segala ke-duniawi-an mereka untuk mencari kebenaran hakiki. Para sadhu ini telah berkelana dan mengembara ke seluruh penjuru negeri, hidup dari belas kasihan alam dan orang lain, melepaskan mimpi-mimpi tentang kehidupan, dan tampil dalam wujud yang sukar digambarkan.

 

Ada sadhu yang berambut pilinan, bersahabat dengan ular dan serangga. Ada yang tubuhnya berbalut abu, tidak berbaju dan hanya mengenakan lungi lusuh menutup alat kelamin. Berbekalkan tongkat kayu dan kantung sedekah, mereka berkeliling memberi berkah. Para sadhu tidak mencukur rambut dan janggut. Ketika mati, mayat mereka juga tak dibakar, kerana roh mereka dikatakan lepas dari putaran reinkarnasi.

 

Begitupun, tidak semua sadhu itu benar-benar merupakan orang suci. Di zaman yang serba materialistik kini, ada golongan penunggang agama yang sanggup berdandan menjadi sadhu demi untuk mendapatkan wang. Ada yang menikmati hidupnya menjadi orang suci kerana gemar menghisap hahish atau ganja – untuk hanyut ke dalam kenikmatan nirwana. Ada pula yang bergaya di hadapan kamera untuk mendapatkan duit pemberian para pelancong, malah ada pula beberapa sadhu yang cukup agresif menarik tangan aku meminta difoto (dan diberi sedekah tentunya).



Sadhu di Varanasi 

Aku berkesempatan mengunjungi penempatan sadhu yang berdekatan dengan Manikarnika Ghat. Tempat ini dihuni lebih daripada lima orang suci. Di penempatan yang sesederhana ini, terdapat juga lembu dan kambing yang tinggal bersama. Dalam agama Hindu, lembu dianggap haiwan yang suci. Maka tidak hairanlah para sadhu juga tidur bersama lembu. Di siang hari, ritual menghisap ganja berlangsung. Seorang sadhu muda tampan bersama balutan kepala yang tinggi, dengan daun telinga yang berlubang besar ditembusi anting-anting berat, dengan penuh kekhusyukan, mata terpejam, perlahan-lahan menghisap paip hookah. Kepulan asap dihembus dari mulutnya. Matanya tetap terpejam, menikmati setiap hembusan kenikmatan itu. Paip berpindah dari tangan ke tangan sadhu lain yang berjanggut lebat. Dia turut menikmati kenikmatan yang sama. Lima orang lelaki suci ini duduk bersama membentuk bulatan, bergilir menikmati kedamaian nirwana.

 

Seorang sadhu menarik aku masuk ke dalam, meminta aku untuk memeriksa sebuah peti televisyan yang rosak. Dia baru sahaja memperolehi sekeping cakera DVD tentang Afrika, tetapi apabila dimainkan, tv ini sama sekali tidak mengeluarkan sebarang suara. Rupanya di tempat ini, selain kenikmatan syurgawi daripada marijuana, juga terdapat alat tontonan yang mengisi kebosanan mereka.

 

Di antara sadhu yang paling dihormati di Manikarnika Ghat, ada seorang lelaki tua berumur lebih tujuh puluh tahun yang dipanggil baba, menjalani hidupnya dengan hanya meminum susu lembu. Dia tidak pernah makan sama sekali dan tidak juga minum minuman lain. Tubuhnya kurus melidi, berambut panjang, tidak terurus, kesat, dan digulung menjadi seperti sanggul di atas kepalanya yang terlihat seperti fesyen dreadlocks.


Baba sudah berkelana ke hampir seluruh pelusuk India dan Nepal. Dia juga sering mendapat undangan untuk mengajar dan memberi ceramah keagamaan. Walaupun sumber kehidupannya cuma daripada susu lembu yang suci, tetapi ilmunya sudah mendatangkan ramai murid dari Nepal dan seluruh negara.



Baba 

Di India, Shiva, Vishnu, dan Parvati merupakan tiga dewa utama Hindu. Manikarnika mendapat namanya daripada bahasa Sanskrit yang bererti 'anting-anting'. Ada dua mitos yang mengisahkan tentang sejarah ghat suci ini. Alkisahnya, Dewa Shiva telah turun untuk mandi di ghat sebuah kolam yang dibina oleh 'chakra' Dewa Vishnu. Usai mandi, Shiva merasa begitu segar dan bertenaga lalu membuatkannya menari riang ketika menaiki tangga ghat, sehingga membuatkan anting-anting ditelinganya tercicir lalu hilang tanpa disedari.

 

Sebuah lagi mitos mengisahkan bahawa Dewi Parvati telah menyembunyikan anting-antingnya sendiri di kota ini dan meminta Dewa Shiva untuk mencarinya supaya orang-orang suci akan datang dan menetap di Kashi (nama kuno bagi Varanasi) sebagai 'Vishwanath' (penyembah Dewa Shiva). Penganut Hindu juga percaya apabila mati di sini, Yamaduta (malaikat maut) tidak dapat menghantar roh si mati ke neraka kerana dengan adanya Dewa Shiva sebagai pelindung.

 


Varanasi, kota suci yang disebut-sebut sebagai tamadun kedua tertua di dunia ini penuh dengan mistik dan spiritual. Kota ini telah tertulis di dalam sejarah selama lebih daripada tiga ribu tahun. Di dalam sebuah catatan perjalanan, Mark Twain pernah mengatakan bahawa Varanasi adalah lebih tua daripada sejarah, lebih tua daripada tradisi, malahan lebih tua daripada lagenda peradaban dan bermungkinan dua kali lebih tua jika kesemuanya disatukan.

 

Secara purata, kira-kira 250 hingga 300 mayat dibakar di sini pada setiap hari, dari pagi sehingga malam. Namun begitu, roda-roda kehidupan terus berputar seperti biasa – bunyi hon kenderaan yang tidak pernah sunyi, lembu dan kambing yang berkeliaran di lorong-lorong kota, kuil-kuil yang tidak henti menerima kunjungan para penziarah yang mahu beribadah, peniaga-peniaga jalanan yang memekik-mekik memanggil pembeli, para sadhu yang mencari hakikat, golongan tua yang menanti ajal, jenazah-jenazah yang hancur meleleh, dan abu mayat yang ditabur ke dalam Sungai Ganges menantikan reinkarnasi.

 

Berdiri di hadapan mayat-mayat yang melepuh ditelan api, manusia menjadi sedar, bahawa hidup di dunia ini hanyalah sebuah perjalanan yang bermula daripada debu yang akhirnya akan kembali semula menjadi debu.



Kanak-kanak bersembahyang di hadapan Sungai Ganges pada setiap pagi 

Upacara penyucian tubuh dan rohani di Sungai Ganges

Apakah mereka benar-benar 'orang suci' ataupun sekadar 'penunggang agama'? 

Ulasan

Popular Posts

Malindo Air

Malindo Air
Cash Voucher RM50

Search accomodation for your next trip!

Klook Travel

Klook.com