Memaparkan catatan dengan label Tamil Nadu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tamil Nadu. Papar semua catatan

Tamil Nadu: Tetamu


1 Februari 2019, Chidambaram.

"Ane, kam!" Aku dipangggil seorang lelaki tua yang sedang melepak di hadapan rumahnya ketika aku berjalan sendirian melintasi sebuah perkampungan nelayan dekat Chidambaram tempoh hari. "Ona kap ti!" Suaranya garau mengundang aku duduk sebentar untuk minum chai bersama kawan-kawannya, malah menawarkan lagi sepotong kek pisang untuk dimakan. Aku pula hampir tak mampu berkata apa-apa menerima ketulusan persahabatan ini. 

    Jika anda menjelajah Tamil Nadu, ada satu hal yang selalu hadir: keramahtamahan. Ia sentiasa hidup dalam budaya orang Tamil samada anda menggunakan Couchsurfing, Airbnb, ataupun berjalan sendiri masuk ke kawasan perkampungan mereka. Tak kira betapa miskin penduduknya, taraf pelajaran ataupun latar belakang sosialnya, semua seakan berlumba menawarkan sesuatu pada orang luar. 

Konsep ini sangat melekat dalam sanubari mereka. Begitu hebat, sampaikan aku malu sendiri. Tuan rumah tak makan tak mengapa, asalkan tetamunya dihidangkan makanan yang cukup dan banyak. Malah aku dipaksa untuk tambah makanan lagi walaupun perut sudah penuh terisi.

Satu perkara yang aku belajar di sini: Mencuci pinggan sendiri selepas makan dianggap sebagai tidak sopan. Sebagai tetamu, kita perlu membiarkan sahaja pinggan di tempat makan kerana kerja mengemas adalah tanggungjawab tuan rumah. Cara melipat daun pisang selepas makan pun ada caranya dan maksud tersendiri. (Bagi yang belum tahu, orang Tamil lebih prefer gunakan daun pisang berbanding pinggan sewaktu makan, dan budaya ini masih kental di Tamil Nadu berbanding negeri-negeri lain). 

Di negeri ini, aku telah menginap bersama penduduk tempatan di lima lokasi berbeza. Dari kota metropolis Chennai, Auroville, Thanjavur, Madurai, hingga ke Nagercoil di Kanyakumari. Sama sekali tak ada beza dalam soal hospitaliti. Dan inilah layanan yang aku terima di setiap rumah yang aku tumpangi.

Penginapan aku di Auroville

Aku teringat dengan kisah di Thanjavur, ketika aku ditegur pada suatu pagi. Subuh itu, semasa seluruh penghuni rumah masih larut di alam mimpi, aku keluar sebentar untuk minum chai di kedai seberang jalan. Sekembalinya aku ke rumah, aku ditegur oleh Pargunan,

"kenapa kamu keluar minum di kedai sana? Minta saja apa yang kamu mahu dan tak perlu dapatkan sendiri. Kamu dah buat keluarga saya ini seperti dalam kekurangan. Saya pasti malu kalau jiran memperkatakan tentang hal ini nanti."

"Kalau kamu mahu minum chai, anak saya boleh buatkan, kalau kamu lapar, anak saya boleh sediakan makanan untuk kamu, saya harap kamu tak minum chai di luar lagi esok lusa," katanya dengan nada hampa.

Orang Tamil tak pernah bermain-main dalam bab melayani tetamu. Bagi mereka, ia menyiratkan penghormatan tertinggi kepada orang luar, kemurahan hati sebagai sebahagian dari ibadah, dan ketulusan untuk menolong sesama manusia seperti yang diajarkan agama hindu.

Pintu masuk ke perkampungan nelayan Chidambaram

Rumah-rumah daif para nelayan

Ini membuatkan aku teringat dengan kisah-kisah tentang betapa dahsyatnya nabi dan para sahabat melayan tetamunya. Mereka sanggup tak makan dan membiarkan isteri dan anak-anak kelaparan asalkan perut tetamu dapat dikenyangkan. Apakah masih wujud lagi budaya sehebat itu dalam diri kita di zaman kini? Aku tidak pasti. Tapi ada beberapa pelajaran penting dan nilai-nilai murni dari agama lain yang aku bawa bersama dari tempat-tempat ini.

Usai sarapan pagi bersama mereka, aku langsung naik ke atas rooftop dan termenung sendirian. Sedikit tekanan dan rasa bersalah menyelubung diri. Hanya kerana secawan chai yang aku minum di kedai seberang jalan pada awal pagi tadi.

Guli adalah permainan utama orang-orang di kampung ini tidak kira dewasa atau kanak-kanak

Para nelayan turun ke laut

Bersiar-siar bersama teman tempatan

Auroville: Utopia di Selatan India




Auroville yang dikenali sebagai The City of Dawn adalah sebuah pekan kecil berkeluasan 20 kilometer persegi yang terletak di daerah Villupuram, Tamil Nadu, 10 kilometer di utara Wilayah Persekutuan Puducherry. Kota ini telah diasaskan pada 1968 oleh seorang wanita Perancis bernama Mira Richard atau lebih dikenali sebagai 'The Mother' di kalangan penduduknya dan ia dibangunkan dengan tujuan untuk menjadi bandar sejagat dan mewujudkan perpaduan umat manusia di mana para lelaki dan perempuan dari berbagai negara dapat hidup bersama secara aman dan keharmonian yang progresif tanpa terikat oleh sebarang undang-undang, kepercayaan agama, haluan politik, dan masalah perkauman.

Sesuai dengan mottonya: Fertile, Certitude, Sincerity, Revelation, dan Transformation, Auroville mengimpikan untuk menjadi sebuah kota yang ideal untuk populasi seramai 50 ribu orang. Seni bina bangunan-bangunannya adalah gabungan daripada unsur barat dan elemen India tradisional. Ia terletak di landskap kecil di luar bandar, di kawasan tanah merah, di tengah hutan hijau. Pendapatan utama penduduk Auroville diperoleh daripada sektor pertanian, kraf tangan, makanan, projek pendidikan dan pembangunan teknologi alternatif. Seluruh kota ini memperoleh tenaga semulajadi yang dijana oleh panel solar dan kincir angin, manakala sumber air pula datang dari dalam perut bumi.




Pembentukan komuniti Auroville adalah untuk mencapai kemakmuran, yang membawa kehidupan bermakna melalui kerja-kerja fizikal yang disokong oleh disiplin dalam bentuk kesedaran rohani (spiritualisme), bukannya dogma atau perlakuan ritual. Walaubagaimanapun, tempat ini punya sejarah naik dan turun, seperti perselisihan yang pernah berlaku di antara komuniti Auroville dan Sri Aurobindo Society (SAS) di Puducherry ke atas hak pemilikan kota ini selepas kematian pengasasnya, 'The Mother'. SAS telah menyekat penyaluran dana kepada Auroville dan memaksa Auroville berdikari tanpa memperolehi sebarang suntikan dana kewangan. Perebutan kuasa semakin memuncak, lalu tercetus keganasan sebanyak beberapa kali sehingga memaksa polis membuat campur tangan. Pada satu tahap, konflik ini menjadi semakin sulit sehingga beberapa negara barat terpaksa memberikan bantuan kepada penduduk Auroville. Namun selepas pertikaian ini dibawa ke perbincangan mahkamah, akhirnya Mahkamah Tinggi memutuskan untuk memihak kepada Auroville, dan Akta Auroville serta merta diluluskan, yang menyaksikan tanggungjawab bagi pentadbiran penempatan ini diletakkan di tangan tujuh anggota majlis, yang terdiri daripada gabungan wakil kerajaan negeri, SAS, dan komuniti Auroville sendiri. Kini, Auroville turut mendapat sokongan daripada kerajaan pusat, UNESCO, dan UN.


Jalan raya berselimut debu tanah merah yang tipikal di Auroville

PEMBANGUNAN

Aku difahamkan bahawa seluruh komuniti Auroville telah disuntik dengan doktrin egalitarianism dan equalitarianism yang memegang kepercayaan bahawa semua manusia adalah sama dalam nilai asas mahupun status sosial yang merupakan salah satu trend di dalam falsafah politik. Pelbagai usaha pembangunan giat dilakukan dan banyak peluang pekerjaaan telah berjaya diwujudkan untuk memperbaiki kehidupan kaum berkasta rendah di kawasan kampung. Terdapat lima buah perkampungan di sekitar Kuilapalayam yang dirangkumkan menjadi Auroville. Auroville bekerjasama rapat bersama kampung-kampung tersebut menerusi Auroville Village Action Trust yang menjalankan berbagai projek berbeza untuk penduduk sekitar. Auroville Village Action Group (AVAG) adalah antara yang terbesar. Badan ini membangunkan program memperkasakan wanita, pendidikan dan sokongan kewangan, serta menjual produknya sendiri atas nama AVAG, Surya dan Kudumbam sebagai salah satu usaha sosial. Aktiviti lain yang berada di bawah AVAG adalah Pusat Pembelajaran Hayat, Sekolah Perindustrian Auroville, Pusat Kebudayaan Mohanam, Perkhidmatan Kesihatan Auroville, Sekolah Deepam untuk kanak-kanak cacat, Pusat Komuniti Thamarai, dan Hutan Perubatan Martuvam. Program-program tersebut secara langsung membolehkan para belia mendapatkan pendidikan yang berguna. Setiap penduduk, tidak kira apapun jawatan yang dipegang, hanya memperoleh pendapatan tetap sebanyak 12 ribu rupee sebulan (sekitar RM 700). Kira-kira hampir 3000 orang dari 58 negara yang berbeza kini telah menjadi penduduk tetap Auroville. Penempatan komuniti di sini merangkumi dari kawasan hutan hinggalah ke pantai, dan tujuan kota eksperimen ini dibina bukanlah sebagai sebuah destinasi pelancongan, namun bilangan pengunjung yang datang ke Auroville semakin meningkat saban tahun setelah pusat spiritual terpenting yang bernama Matrimandir siap dibina pada tahun 2008.

Matrimandir dibina pada titik tengah Auroville

Auro Beach

EKONOMI

Meskipun Kerajaan India memiliki dan mengurus Auroville Foundation, namun ia hanya membiayai sebahagian kecil daripada bajet Auroville. Sumbangan utama sebenarnya datang dari unit komersial Auroville yang menyalurkan 33% daripada keuntungan mereka kepada Dana Pusat melalui sumbangan. Terdapat juga guest house, unit pembinaan bangunan, teknologi maklumat, perniagaan berskala kecil dan sederhana, pelbagai jenis kraftangan dan barangan alat tulis yang boleh dibeli di Auroville dan Puducherry, atau di serata India dan juga di luar negara. Setiap perolehan ini turut menyumbang sebahagian besar keuntungan mereka kepada perbandaran. Lebih daripada 5,000 orang yang kebanyakannya dari kawasan berdekatan, kini bekerja dalam pelbagai unit dan bidang.

Tidak ada sebarang transaksi tunai di kalangan penduduk Auroville, kerana setiap orang telah diberikan nombor akaun yang berhubung secara langsung dengan akaun peribadi. Penduduk Auroville turut melakukan sumbangan bulanan kepada masyarakat tidak kira dalam bentuk tenaga, wang, atau apa saja. Terdapat juga sebuah badan komuniti yang bertanggungjawab membantu mana-mana penduduk Auroville yang memerlukan. Badan ini akan menyalurkan bantuan keperluan asas kepada mereka secara berkala bagi memastikan tiada penduduk yang kesusahan. Bukankah ia seperti konsep zakat yang diterapkan dalam agama Islam?

PELUANG MENJADI SUKARELAWAN

Memandangkan kota ini bukanlah sebuah kawasan pelancongan, maka tidak ada banyak tempat menarik yang boleh dilihat di sini. Meskipun begitu komuniti Auroville sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengunjung yang berminat terutamanya golongan backpacker untuk menetap sementara di sini bagi mendalami dan memahami konsep kota ini, seperti mana yang telah aku lakukan tempoh hari. Banyak peluang untuk menjadi sukarelawan yang ditawarkan, seperti di Sadhana Forest, Solitude Farm, dan Buddha Garden di mana para pengunjung berpeluang bebaur dengan komuniti kota utopia ini. Aktiviti-aktiviti yang dijalan adalah termasuk penanaman semula hutan, pertanian organik, penyelidikan asas pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan desa, teknologi, perancangan bandar, pengurusan air, aktiviti kebudayaan, dan khidmat masyarakat.


Perhutanan semula di Sadhana Forest

Persembahan kebudayaan diadakan pada setiap minggu di Mohanam Cultural Centre

Ekonomi dan kehidupan di Auroville sentiasa mencatatkan perkembangan positif dan eksperimen ini terus dijalankan demi mencapai visinya. Pengalaman berkunjung dan menetap sementara di Auroville membuatkan aku berfikir, bagaimana jika seluruh dunia turut menerapkan konsep yang sama seperti apa yang dipraktikkan oleh kota ini? Mampukah dunia yang kita duduki ini akan menjadi lebih baik berbanding sekarang?

Tamil Nadu: Destinasi Pelancongan Nombor Satu India

Nilgiri Toy Train

    Jika anda berpendapat bahawa Kerala, Goa atau Jammu dan Kashmir adalah destinasi yang menjadi pilihan ramai pelancong ke India, itu memang tidak dapat disangkal lagi. Namun begitu tahukah anda, ketiga-tiga negeri tersebut sebenarnya masih tidak dapat mencabar kedudukan Tamil Nadu sebagai destinasi pelancongan nombor satu di India. Negeri ini telah menyambut lebih daripada 344 juta orang pelancong dari dalam dan luar negara pada tahun 2016 dan terus mencatat peningkatan pada tahun-tahun berikutnya serta berjaya mengekalkan kedudukan rankingnya di tempat yang teratas sehingga kini, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan India. Tamil Nadu secara harfiahnya bererti 'Tanah Bangsa Tamil' adalah sebuah negeri di Selatan India yang terkenal dengan kuil dan seni bina, makanan, filem dan tarian India klasik serta muzik Karnatik. Bahasa umum yang digunakan di seluruh negeri adalah bahasa Tamil dan bahasa Inggeris di bandar-bandar utama dan ibu kota Chennai. Tamil Nadu adalah lokasi bersejarah pemerintahan kerajaan Chera, Chola, Pandya dan Pallava yang terkenal semasa India purba dan zaman pertengahan.

Dalam siri perjalanan aku di India, aku telah merambah berbagai negeri dan Tamil Nadu telah menjadi negeri yang paling lama aku singgah, iaitu selama lebih daripada sebulan. Melalui pemerhatian aku, Tamil Nadu adalah sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai aspek kebudayaan dan keindahan alam semula jadinya. Ibu kota bagi negeri ini - Chennai (sila rujuk artikel aku yang terdahulu) yang sebelum ini dikenali sebagai Madras, menempatkan lebih daripada dua puluh tapak bersejarah dan struktur warisan. Ia juga terkenal dengan kuil-kuil yang menjulang tinggi serta menawarkan berbagai cerita yang berbeza melalui setiap penampilan dan senibinanya. Selain itu, perihal lain yang tak kurang menarik tentang Tamil Nadu adalah pantai-pantai yang ada di sepanjang negeri ini.

Selain Chennai, berikut adalah lokasi-lokasi yang telah aku jelajahi sepanjang pengembaraan di Tamil Nadu;


Kanyakumari

Terletak di titik terhujung selatan India, Kanyakumari yang mendapat nama daripada Devi Kanya Kumari adalah sebuah daerah yang sebelum ini dikenali dengan nama 'Cape Comorin' ketika zaman kolonial. Ia terletak pada konvergensi tiga samudera; Laut Arab, Lautan Hindi, dan Teluk Bengal. Kanyakumari juga merupakan salah satu lokasi utama penziarahan penganut Hindu selain mempunyai penduduk setempat yang sangat bersahabat. Penyair dan filosofi terkenal India, Swami Vivekananda telah menghabiskan masa yang lama bermeditasi di sini dan oleh kerana itu sebuah monumen besar mengenai beliau dibangunkan di tepi pantai. Mahatma Gandhi turut pernah berkunjung ke Kanyakumari dan tarikan lain yang terkenal di sini adalah makam yang didedikasikan terhadap beliau dalam bentuk Kuil Matahari Orissan. Di sini terdapat fenomena yang jarang berlaku namun ia bergantung kepada keadaan cuaca, iaitu anda berpeluang menyaksikan matahari terbenam dan bulan terbit secara serentak pada waktu senja.



Berlokasi pada titik paling selatan di India, Kanyakumari adalah sebuah pekan kecil yang terletak di antara pertemuan Lautan Hindi, Laut Arab dan Teluk Bengal.

Pada bulan April dan Mei, anda berpeluang menyaksikan matahari dan bulan berdepan sesama sendiri secara sejajar di kaki langit Kanyakumari

Kodaikanal

Kodaikanal adalah sebuah lokasi pelancongan tanah tinggi yang berada pada ketinggian 2231 meter di atas paras laut. Ia merupakan sebuah kota kecil di atas bukit di daerah Dindigul. Nama Kodaikanal dalam bahasa Tamil yang membawa maksud ‘The Gift of the Forest’ dan ia turut diberi jolokan sebagai ‘Princess of the Hill Stations’ yang menjadikan lokasi ini sentiasa dibanjiri dengan kunjungan pelancong. Air terjun, cuaca, taman, tasik, flora dan fauna di sini memaparkan berbagai keajaiban alam yang berbumbungkan satu langit yang sama.

Tasik Kodaikanal

Kodaikanal menawarkan beberapa laluan trekking yang menarik, salah satunya adalah laluan di sepanjang sungai yang menuju ke Dolphin Nose. Buku panduan trekking secara percuma boleh didapati di mana-mana pejabat pelancongan sekitar Kodaikanal, dan ia boleh menjadi rujukan untuk pengunjung memilih senarai laluan trekking berdasarkan tahap-tahap kesukaran yang berbeza.

Mahabalipuram

Juga dikenali sebagai Mamallapuram atau ‘Tujuh Pagoda’, Mahabalipuram adalah sebuah bandar yang terletak di daerah Chengalpattu di tenggara Tamil Nadu. Ia terkenal dengan warisan kebudayaan zaman silam, dengan struktur binaan bersejarah yang tercatat di dalam senarai tapak warisan dunia UNESCO. Mahabalipuram adalah salah satu daripada dua bandar pelabuhan utama pada abad ke-7 pada zaman kerajaan Pallava. Seiring dengan kemakmuran ekonomi, ia menjadi tempat berpusatnya beberapa monumen pertempuran yang diukir daripada batu yang bertarikh abad ke-7 dan ke-8 seperti Rathas (kuil-kuil dalam bentuk kereta), Mandapas (tempat perlindungan gua), Arjuna’s Penance (ukiran batu terbesar di Asia yang bercirikan mitos dan kesenian Hindu) dan Kuil Shore yang didedikasikan untuk Dewa Shiva, Durga, Vishnu, Krishna dan lain-lain. Oleh kerana kotanya yang kecil, anda boleh melakukan perjalanan di sini dengan hanya menyewa basikal atau berjalan kaki sahaja.

Krishna Butterball adalah sebiji batu gergasi asli yang terletak di lereng bukit, batu ini seakan melawan hukum fizik jika dilihat melalui penglihatan kasar. Ia menjadi lokasi tumpuan bagi pengunjung bergambar dengan meletakkan tangan di bawah batu ini seolah-olah mereka menahannya daripada bergolek ke bawah.

Banyak kesenian ukiran batu peninggalan zaman purba yang boleh ditemui di Mahabalipuram dan Five Rathas adalah salah satunya. 

Madurai

Metropolis yang terletak di tebing Sungai Vaigai ini merupakan bandar ketiga terbesar di Tamil Nadu dan dianggap sebagai salah satu kota tertua di dunia kerana telah menjadi penempatan utama sejak dua millennium silam. Madurai menempatkan sejumlah besar kuil-kuil megah yang jelas menggambarkan bandar kerohanian dan keagamaan bagi penganut Hindu. Bandar ini mempunyai beberapa monumen bersejarah, seperti Kuil Meenakshi Amman dan Istana Tirumala Nayaka. Ia adalah pusat perindustrian dan pendidikan yang penting di Tamil Nadu dan bandar ini juga adalah hab kepada pelbagai industri perkilangan, getah, kimia, dan granit.


Oleh kerana kompleks Kuil Meenakshi Amman yang terlalu besar, aku terpaksa naik ke atas rooftop bangunan sekitar untuk memotret kuil yang menempatkan patung-patung dewa Hindu yang tidak terhitung jumlahnya ini.

Coimbatore

Coimbatore yang juga dikenali sebagai Kovai dan Koyamuthur adalah sebuah lagi metropolis di Tamil Nadu. Ia terletak di tebing Sungai Noyyal dan dikelilingi oleh banjaran Western Ghats. Terkenal dengan kebudayaan, sejarah, dan kuilnya, Coimbatore mempunyai beberapa sisi yang berbeza, justeru ia disebut sebagai ‘Manchester of India.’ Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Coimbatore adalah bandar kedua terbesar di Tamil Nadu selepas Chennai dan ia merupakan salah satu hub pengeksport terbesar barang kemas, daging dan telur ayam serta komponen auto.


Tugu Adiyogi yang berketinggian 112 kaki di Coimbatore.

Thanjavur

Thanjavur yang dahulunya dikenali sebagai Tanjore, adalah salah satu pusat terpenting bagi keagamaan, kesenian, dan senibina warisan India Selatan. Kebanyakan kuil-kuil besar Chola, yang merupakan Monumen Warisan Dunia UNESCO, terletak di sekitar Thanjavur terutamanya Kuil Brihadeshwara atau lebih dikenali sebagai Big Temple, yang terletak di pusat bandar. Di Thanjavur juga kita boleh melihat lukisan Tanjore, seni lukisan yang unik di wilayah ini. Selain itu, bandar ini juga merupakan pusat pertanian utama yang terletak di Cauvery Delta dan dikenali sebagai Rice bowl of Tamil Nadu.

Big Temple adalah lokasi yang wajib dilawati di Thanjavur. Korang boleh menyaksikan kehebatan senibina di seluruh kuil Shiva ini dan juga taman kecil yang indah di halaman belakangnya.

Kesempatan meraikan Festival Pongal di Thanjavur bersama penduduk tempatan memberikan aku peluang menonton temasya tahunan yang dianggap kontroversi, Jallikatu.

Aku turut berpeluang menonton program kebudayaan yang diadakan di Big Temple pada malam Pongal.



Ooty

Jika Kodaikanal merupakan ‘Princess of the Hill Stations’, Udagamandalam yang lebih dikenali sebagai Ooty pula adalah ‘Queen of the Hill Stations’. Ia adalah sebuah kota tanah tinggi di daerah Nilgiri. Ooty terletak 86 km di utara Coimbatore dan merupakan salah satu lokasi pelancongan yang paling terkenal di Tamil Nadu. Pada awalnya Ooty diduduki oleh orang-orang Toda sebelum ia jatuh ke tangan British pada akhir abad ke-18. Ekonominya banyak bergantung kepada sektor pelancongan dan pertanian, serta pembuatan ubat-ubatan dan perfileman fotografi. Keindahan persekitaran semula jadi Ooty berjaya menarik ramai pengunjung justeru itu ia menjadi destinasi utama para pelancong untuk melarikan diri daripada musim panas Tamil Nadu yang memanggang.

Seperti Darjeeling Himalayan Railway (DHR) di West Bengal, Tamil Nadu pula mempunyai Nilgiri Mountain Railway (NMR) yang turut beroperasi menggunakan tenaga stim. Keretapi ini mengangkut penumpang dari Mettupalayam ke Ooty.

Ooty berdiri pada ketinggian 7347 kaki di atas paras laut di banjaran pergunungan Nilgiri menjadikan ia sangat sesuai untuk penanaman pokok teh. 

Tiruchirappalli

Tiruchirappalli (dahulunya Trichinopoly dalam bahasa Inggeris), juga dikenali sebagai Trichy, adalah sebuah lagi metropolis bagi Tamil Nadu. Trichy adalah bandar raya aglomerasi keempat terbesar di negeri ini. Terletak 322 kilometer di selatan Chennai dan 374 kilometer di utara Kanyakumari, Geografi Tiruchirappalli berada hampir tepat pada titik tengah bagi negeri Tamil Nadu. Cauvery Delta bermula 16 kilometer dari barat bandar ini di mana Sungai Kaveri terbelah menjadi dua, lalu membentuk Pulau Srirangam, yang kini dimasukkan ke dalam Perbandaran Kota Tiruchirappalli.

Rockfort Temple, sebuah kompleks gergasi yang mempunyai banyak kuil. Thayumaanavar, Uchchi pillayar dan Maanikka vinayagar adalah kuil-kuil yang utama di sini.

Korang boleh menikmati skyline Kota Trichy dari puncak Rock Fort Temple. 

Chidambaram

Chidambaram adalah sebuah bandar di daerah Cuddalore. Bandar ini dipercayai telah dibangunkan dan diperintah sejak zaman purba, pada era yang berbeza, oleh kerajaan Pallavas hingga abad ke-9, kerajaan Cholas pada Abad Pertengahan, Kemudian kerajaan Pandyas, Empayar Vijayanagar, Marathas sehingga pemerintahan British pada era kolonial. Bandar ini terkenal dengan Kuil Thillai Nataraja dan festival kereta kuda tahunan yang berlangsung pada setiap bulan Disember hingga Januari (dalam bulan Tamil Marghazhi yang dikenali sebagai ‘Margazhi Urchavam’) dan Jun hingga Julai (dalam bulan Tamil Aani yang dikenali sebagai ‘Aani Thirumanjanam’).

Salah satu aktiviti wajib sekiranya anda berkunjung ke Chidambaram adalah mengambil boat tour di Pichavaram Backwater yang menawarkan pemandangan menakjubkan dari laman ekologi ini. Perjalanan mengelilingi tasik paya bakau ini mengambil masa kira-kira 2 jam.

Chidambaram mempunyai salah satu kuil yang majestik di Tamil Nadu. Kuil ini didedikasikan kepada Nataraja - Shiva sebagai dewa tarian

Makanan tempatan yang ditawarkan

Selain daripada idli dan dosa yang sememangnya menjadi makanan yang sangat popular di selatan India, ada banyak lagi variasi makanan yang boleh korang cuba seperti medhu vadas dan sambhar. Selain itu masih ada nanjil fish curry, meat madras, pal payasam, poori masala, dan lain-lain.

Penggunaan daun pisang secara tradisional sebagai alas makanan sangat meluas di Tamil Nadu tidak kira di kedai-kedai makan atau di rumah-rumah penduduk negeri ini.

Waktu terbaik untuk kunjungan

Secara umumnya Tamil Nadu bercuaca tropika sepanjang tahun, maka korang tidak akan merasakan variasi suhu seperti yang korang alami di utara India. Iklim di selatan India biasanya akan berada di tahap yang selesa dari bulan November hingga pertengahan bulan Mac, menjadikannya waktu terbaik untuk korang melakukan kunjungan!

Chennai Central

Keindahan Ooty



Tamil Nadu: Dua Puluh Minit di Sebuah Sudut Thanjavur




Ting.. tang… ting… tang…, kedua bilah gunting besi beradu dengan pantas sekali, berdentang-denting bergantian di sisi kiri dan kanan telingaku. Sebuah irama yang sudah sekian lama tidak aku dengar, setelah hanya mesin pemotong rambut elektrik yang merajai barbershop pada masa kini.

    Dimulai dari rasa rimas yang teramat sangat, menyengat kedua sisi kepalaku yang ditumbuhi oleh rambut-rambut yang semakin hari semakin melebat, aku melangkahkan kaki mencari tukang gunting rambut di hujung pekan. Cukup tersembunyi di balik lorong-lorong sempit tak jauh dari rumah Gobi (host couchsurfing) di Thanjavur, Tamil Nadu, sebuah kedai gunting rambut dengan hanya dua bangku terjajar rapi, dua orang barber, dan dua orang yang pelanggan. Ruangan mungil ini dilengkapi dengan dua buah sinki, nampaknya kepala pengunjung akan ditempatkan ke sinki itu untuk dibasahi sebelum gunting dan pisau cukur menjalankan tugasnya di kepala mereka. Tak nampak satu pun peralatan elektrik di sini, semuanya serba mekanik. Oh, tak lupa juga bunyi bilah-bilah gunting yang terus beradu berdenting-denting.

Ketika tiba giliranku mendapatkan pelayanan, rambutku terlebih dahulu mendapatkan 'siraman' segar dari air yang mengucur deras dari sinki kecil itu. Tak lama kemudian, bilah-bilah gunting rambut yang panjang itu mula beradu sengit menunaikan tugas mereka, yang denting-dentingnya mengingatkanku pada waktu kecilku, dua puluh tahun yang lalu, ketika mama mendorong kepalaku ke depan dan ke belakang sambil menggunting rambutku yang masih lebat. Dan pada saat itu, selalu dengan tak sabar aku bertanya pada mama, “dah ke belum ma? lama lagi ke?”. Bilah-bilah gunting terus beradu, dan mereka bekerja dengan begitu sabar sekali, hingga beberapa ratus hembusan nafasku berlalu.

Kepalaku didorong ke depan, ke belakang, ke kiri, dan ke kanan. Helai-helai rambut berjatuhan, bak daun-daun berguguran menjelang musim luruh di utara negara ini tiba. Dan ketika kira-kira sudah terasa sejuknya udara di kepalaku, manakala rambut-rambut yang menutup sisi kepala itu perlahan-lahan menjarang, si pemotong rambut bermisai lebat itu mengambil sebidang cermin sambil menantikan aku mengangguk-anggukkan kepala. Kemudian, kedua tangannya dikatupkan, disertakan dengan hentaman keras memijat-mijat kulit kepalaku. Sakit dan pening yang aku dapat rasakan. Namun aku tahu, banyak pengunjung yang datang ke sini hanya untuk merasakan hentaman dan pijatan itu.

"Wokey anne.. Fifty rupee. Sudah selesai, abang. 50 rupee." Si pemotong rambut ini mengakhiri tugasnya sambil menanti wang bayaran yang bakal aku hulurkan.

Meneroka Kota Chennai


Chennai, ibu kota yang dianggap sebagai 'gigacity' adalah sebuah metropolis yang terletak di pantai utara negeri Tamil Nadu. Tamil Nadu secara harfiahnya bermaksud Tanah Bangsa Tamil adalah negeri ketiga belas dalam siri pengembaraan saya di India. Ia adalah sebuah negeri di selatan India yang terkenal dengan kuil-kuil dan seni binanya, makanan, filem, tarian India klasik dan juga muzik karnatik. Bahasa utama di negeri ini adalah bahasa Tamil (juga ditulis sebagai Thamizh) dan Bahasa Inggeris terutamanya di bandar-bandar besar termasuk ibu kotanya sendiri, Chennai. Tamil Nadu adalah lokasi peradaban empayar Chera, Chola, Pandya dan Pallava yang terkenal ketika zaman India purba dan pada zaman pertengahan.

Saya tiba di Chennai selepas menempuh perjalanan panjang selama tiga belas jam dari Stesen keretapi Visakhapatnam. Bandar ini merupakan bandar keenam terbesar dan metropolis keempat terbesar di India. Ia adalah hab kepada industri automobil, elektrik dan lain-lain kejuruteraan, di mana banyak syarikat antarabangsa melakukan pelaburan di sini. Chennai juga merupakan lokasi yang baik untuk memulakan perjalanan darat menyusuri persisir Coromandel Coast menuju ke destinasi-destinasi lain di bahagian timur India selatan dengan melalui ECR (East Coast Road) yang menjanjikan panorama mengagumkan sepanjang perjalanan.

Chennai pernah diperintah oleh Portugis pada abad ke-16 sebelum Inggeris mengambil alih dari abad ke-18 hingga ke-20. Kota ini masih mengekalkan beberapa bangunan yang telah dibina sejak abad ke-17. Ia beriklim tropika yang sama seperti Malaysia dan di sinilah terletaknya Marina Beach, pantai urban yang kedua terpanjang di dunia sepanjang 13 kilometer.


Kota yang berusia empat abad ini dahulunya dikenali sebagai Madras dan berpopulasi lebih daripada sepuluh juta orang. Ia berfungsi sebagai salah satu pintu masuk utama ke selatan India serta mempunyai budaya dan adegan seni tempatan yang berkembang maju. Ia merupakan salah satu destinasi utama bagi pelancongan dan perubatan dan juga dianggap sebagai salah satu bandar paling pesat berkembang di dunia walaupun berada di ranking yang tidak memuaskan dari segi kebersihan.

Kesesakan lalu lintas di hadapan Chennai Central

Perjuangan menaiki bas awam

Kereta lembu banyak digunakan oleh para peniaga jalanan di Chennai 

Budaya

Dari sudut pandang saya, budaya di kota metropolitan ini agak berbeza daripada bandar-bandar lain di India. Tradisi dan budaya Tamil adalah sangat asli di sini dan boleh dilihat melalui tarian, pakaian, dan patung. Chennai adalah pertembungan antara ortodoks dan bandar kosmopolitan moden. Budayanya mencerminkan penduduknya yang pelbagai. Kesenian tradisional, muzik, tarian dan semua bentuk seni Tamil Nadu tumbuh membiak dan berkembang di sini sejak dari dulu. Pakaian umum penduduk setempat adalah konservatif tetapi golongan muda berpakaian lebih kontemporari. Senibinanya pula berkisar tentang keagungan kuil-kuil purba yang menjulang tinggi seakan menggapai langit.

Makanan

Bahan yang berasaskan beras adalah makanan ruji di Chennai. Dosa, Idli dan Uttapam sangat popular di sini. Negeri Tamil Nadu mempunyai banyak tempat yang menarik di dalam peta kuliner negara. Chennai menawarkan pelbagai hidangan vegetarian dan bukan vegetarian. Makanan di sini mendapat rasa yang istimewa daripada pelbagai rempah dan perencah yang digunakan di dalam setiap masakannya. Kelapa dan asam jawa dan adalah satu kemestian untuk hampir ke semua resipi makanan vegetarian. Bagaimanapun garam masala agak jarang digunakan dalam masakan kaum Tamil.

Meneroka Kota Chennai


Fort St George adalah tempat terbaik untuk memulakan perjalanan menghala ke George Town, daerah komersial lama yang terletak di pusat bandar. Anda juga boleh menaiki auto-rickshaw atau bas awam jika tidak mahu berjalan kaki. Terdapat banyak kawasan membeli belah moden yang boleh disinggahi di sepanjang jalan utamanya, Anna Salai. (Rujuk peta)
Peta Chennai

Tempat-tempat menarik di Chennai


Marina Beach

Marina Beach adalah pantai sepanjang 13 kilometer yang tidak pernah surut dengan pengunjung yang berjalan-jalan di sepanjang persisirnya. Di sepanjang pantai, terdapat banyak bangunan yang dibina sejak zaman pemerintahan British. Ia adalah tempat beriadah yang paling popular bagi penduduk tempatan, terutamanya pada waktu malam dan hujung minggu. Ia juga boleh menjadi sangat sesak pada cuti umum dan agak lengang pada awal pagi di mana anda boleh menikmati permulaan hari dan melihat matahari terbit di pantai ini. Walaubagaimanapun mandi dan berenang di pantai ini adalah dilarang sama sekali.
Pemandangan Marina Beach dari puncak Madras lighthouse


Fort St George dan sekitarnya.

Sebuah kubu pertahanan Inggeris pertama di india yang dibina pada 1644 dan kini digunakan oleh kerajaan negeri. Berhampiran kubu ini terdapat sebuah plak peringatan di Gereja St. Mary (1680) untuk gabenor Inggeris Bengal, Robert Clive. Madras High Court yang dibina pada 1892 terletak berhampiran dengan kubu ini dan adalah sebuah bangunan tipikal zaman kolonial dengan kubah, tingkap yang melengkung, berwarna merah dan putih. Manakala Fort Museum pula adalah tempat pameran pelbagai barang berharga yang berkaitan dengan sejarah India.
Fort St George

Madras High Court

Chennai Government Museum


Rangka sempurna seekor gajah, pameran botani, seni kontemporari - terdapat banyak lagi yang boleh dilihat di sini. Muzium arkeologi ini juga mempunyai salah satu koleksi terbaik arca gangsa pada zaman India kuno.
Government Museum

Film City Chennai

Pengunjung dibenarkan untuk bersiar-siar di sekitar prop di dalam studio AVM dan menonton filem yang sedang di dalam pembikinan. Semak dahulu waktu operasi studio ini sebelum membuat kunjungan.


Cara untuk ke studio ini adalah dengan menaiki bas bernombor 17M dari Anna Salai atau 17E dari Egmore Station. 
M.G.R. Film City

Guindy National Park


Dengan keluasannya yang hanya 3 kilometer, taman negara ini boleh dikatakan sangat kecil. Tetapi ia merupakan satu-satunya taman negara di India yang sangat dekat dengan kota metropolis utama. Ia adalah habitat kepada lebih daripada 2000 ekor rusa dan pelbagai haiwan lain. Tarikan sebenar di sini adalah flora dan faunanya. Sejak penukaran status daripada kawasan memburu kepada taman negara pada tahun 1978, kehijauan hutan di sini mula terpelihara untuk semua tumbuhan dan haiwan.
Guindy National park, taman negara terkecil di India

Pulicat Lake


Terletak 50 kilometer dari Kota Chennai, Pulicat Lake adalah kawasan tadahan air tawar kedua terbesar di India selepas Chilika Lake dan berukuran 759 kilometer persegi. Tasik ini adalah salah satu daripada tiga kawasan tadahan air terpenting untuk menarik awan hujan monsun timur laut pada bulan Oktober hingga Disember bagi Tamil Nadu.
Pagi di Pulicat Lake

Kanchipuram


Berlokasi 70 kilometer dari Chennai, Kanchipuram yang juga disebut Kanchi adalah bekas ibu kota empayar kerajaan Pallava. Kota kecil yang berpopulasi seramai 200 ribu orang ini adalah salah satu daripada tujuh kota suci di india. Selain itu, tenunan sutera tempatan yang dianggap terbaik di India turut dilakukan di sini - pertama kali ditenun untuk raja-raja Pallava pada abad ke 6 hingga ke 9. Sutera di sini juga boleh didapatkan dengan harga yang jauh lebih murah daripada tempat-tempat lain di serata negara. 
Penenun sutera di Kanchipuram

P.S. Air Asia dan Malaysia Airlines melakukan penerbangan setiap hari dari Kuala Lumpur ke Chennai.

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!