Chennai, ibu kota yang dianggap sebagai 'gigacity' adalah
sebuah metropolis yang terletak di pantai utara negeri Tamil Nadu. Tamil Nadu
secara harfiahnya bermaksud Tanah Bangsa Tamil adalah negeri ketiga belas dalam siri
pengembaraan saya di India. Ia adalah sebuah negeri di selatan India yang
terkenal dengan kuil-kuil dan seni binanya, makanan, filem, tarian India klasik
dan juga muzik karnatik. Bahasa utama di negeri ini adalah bahasa Tamil (juga
ditulis sebagai Thamizh) dan Bahasa Inggeris terutamanya di bandar-bandar besar
termasuk ibu kotanya sendiri, Chennai. Tamil Nadu adalah lokasi peradaban
empayar Chera, Chola, Pandya dan Pallava yang terkenal ketika zaman India purba
dan pada zaman pertengahan.
Saya tiba di Chennai selepas menempuh perjalanan
panjang selama tiga belas jam dari Stesen keretapi Visakhapatnam. Bandar ini merupakan bandar
keenam terbesar dan metropolis keempat terbesar di India. Ia adalah hab kepada
industri automobil, elektrik dan lain-lain kejuruteraan, di mana banyak
syarikat antarabangsa melakukan pelaburan di sini. Chennai juga merupakan
lokasi yang baik untuk memulakan perjalanan darat menyusuri persisir Coromandel
Coast menuju ke destinasi-destinasi lain di bahagian timur India selatan dengan
melalui ECR (East Coast Road) yang menjanjikan panorama mengagumkan sepanjang
perjalanan.
Chennai pernah diperintah oleh Portugis pada abad
ke-16 sebelum Inggeris mengambil alih dari abad ke-18 hingga ke-20. Kota ini
masih mengekalkan beberapa bangunan yang telah dibina sejak abad ke-17. Ia
beriklim tropika yang sama seperti Malaysia dan di sinilah terletaknya Marina
Beach, pantai urban yang kedua terpanjang di dunia sepanjang 13 kilometer.
Kota yang berusia empat abad ini dahulunya dikenali
sebagai Madras dan berpopulasi lebih daripada sepuluh juta orang. Ia berfungsi
sebagai salah satu pintu masuk utama ke selatan India serta mempunyai budaya
dan adegan seni tempatan yang berkembang maju. Ia merupakan salah satu
destinasi utama bagi pelancongan dan perubatan dan juga dianggap sebagai salah
satu bandar paling pesat berkembang di dunia walaupun berada di ranking yang
tidak memuaskan dari segi kebersihan.
Kesesakan lalu lintas di hadapan Chennai Central |
Perjuangan menaiki bas awam |
Kereta lembu banyak digunakan oleh para peniaga jalanan di Chennai |
Budaya
Film City Chennai
Guindy National Park
Pulicat Lake
Dari sudut pandang saya, budaya di kota metropolitan ini agak berbeza
daripada bandar-bandar lain di India. Tradisi dan budaya Tamil adalah sangat
asli di sini dan boleh dilihat melalui tarian, pakaian, dan patung. Chennai
adalah pertembungan antara ortodoks dan bandar kosmopolitan moden. Budayanya
mencerminkan penduduknya yang pelbagai. Kesenian tradisional, muzik, tarian dan
semua bentuk seni Tamil Nadu tumbuh membiak dan berkembang di sini sejak dari
dulu. Pakaian umum penduduk setempat adalah konservatif tetapi golongan muda berpakaian
lebih kontemporari. Senibinanya pula berkisar tentang keagungan kuil-kuil purba
yang menjulang tinggi seakan menggapai langit.
Makanan
Bahan yang berasaskan beras adalah makanan ruji di
Chennai. Dosa, Idli dan Uttapam sangat popular di sini. Negeri Tamil Nadu
mempunyai banyak tempat yang menarik di dalam peta kuliner negara. Chennai
menawarkan pelbagai hidangan vegetarian dan bukan vegetarian. Makanan di sini
mendapat rasa yang istimewa daripada pelbagai rempah dan perencah yang
digunakan di dalam setiap masakannya. Kelapa dan asam jawa dan adalah satu
kemestian untuk hampir ke semua resipi makanan vegetarian. Bagaimanapun garam
masala agak jarang digunakan dalam masakan kaum Tamil.
Meneroka Kota Chennai
Fort St George adalah tempat terbaik untuk memulakan
perjalanan menghala ke George Town, daerah komersial lama yang terletak di
pusat bandar. Anda juga boleh menaiki auto-rickshaw atau bas awam jika tidak
mahu berjalan kaki. Terdapat banyak kawasan membeli belah moden yang boleh
disinggahi di sepanjang jalan utamanya, Anna Salai. (Rujuk peta)
Peta Chennai |
Tempat-tempat menarik di Chennai
Marina Beach
Marina Beach adalah pantai sepanjang 13 kilometer
yang tidak pernah surut dengan pengunjung yang berjalan-jalan di sepanjang
persisirnya. Di sepanjang pantai, terdapat banyak bangunan yang dibina sejak
zaman pemerintahan British. Ia adalah tempat beriadah yang paling popular bagi
penduduk tempatan, terutamanya pada waktu malam dan hujung minggu. Ia juga
boleh menjadi sangat sesak pada cuti umum dan agak lengang pada awal pagi di
mana anda boleh menikmati permulaan hari dan melihat matahari terbit di pantai
ini. Walaubagaimanapun mandi dan berenang di pantai ini adalah dilarang sama
sekali.
Pemandangan Marina Beach dari puncak Madras lighthouse |
Fort St George dan sekitarnya.
Sebuah kubu pertahanan Inggeris pertama di india
yang dibina pada 1644 dan kini digunakan oleh kerajaan negeri. Berhampiran kubu
ini terdapat sebuah plak peringatan di Gereja St. Mary (1680) untuk gabenor
Inggeris Bengal, Robert Clive. Madras High Court yang dibina pada 1892 terletak
berhampiran dengan kubu ini dan adalah sebuah bangunan tipikal zaman kolonial
dengan kubah, tingkap yang melengkung, berwarna merah dan putih. Manakala Fort
Museum pula adalah tempat pameran pelbagai barang berharga yang berkaitan
dengan sejarah India.
Fort St George |
Madras High Court |
Chennai Government Museum
Rangka sempurna seekor gajah, pameran botani, seni
kontemporari - terdapat banyak lagi yang boleh dilihat di sini. Muzium
arkeologi ini juga mempunyai salah satu koleksi terbaik arca gangsa pada zaman
India kuno.
Government Museum |
Film City Chennai
Pengunjung dibenarkan untuk bersiar-siar di sekitar
prop di dalam studio AVM dan menonton filem yang sedang di dalam pembikinan.
Semak dahulu waktu operasi studio ini sebelum membuat kunjungan.
Cara untuk ke studio ini adalah dengan menaiki bas
bernombor 17M dari Anna Salai atau 17E dari Egmore Station.
M.G.R. Film City |
Guindy National Park
Dengan keluasannya yang hanya 3 kilometer, taman negara
ini boleh dikatakan sangat kecil. Tetapi ia merupakan satu-satunya taman negara
di India yang sangat dekat dengan kota metropolis utama. Ia adalah habitat
kepada lebih daripada 2000 ekor rusa dan pelbagai haiwan lain. Tarikan sebenar
di sini adalah flora dan faunanya. Sejak penukaran status daripada kawasan
memburu kepada taman negara pada tahun 1978, kehijauan hutan di sini mula
terpelihara untuk semua tumbuhan dan haiwan.
Guindy National park, taman negara terkecil di India |
Pulicat Lake
Terletak 50 kilometer dari Kota Chennai, Pulicat
Lake adalah kawasan tadahan air tawar kedua terbesar di India selepas Chilika
Lake dan berukuran 759 kilometer persegi. Tasik ini adalah salah satu daripada
tiga kawasan tadahan air terpenting untuk menarik awan hujan monsun timur laut
pada bulan Oktober hingga Disember bagi Tamil Nadu.
Pagi di Pulicat Lake |
Kanchipuram
Berlokasi 70 kilometer dari Chennai, Kanchipuram
yang juga disebut Kanchi adalah bekas ibu kota empayar kerajaan Pallava. Kota
kecil yang berpopulasi seramai 200 ribu orang ini adalah salah satu daripada
tujuh kota suci di india. Selain itu, tenunan sutera tempatan yang dianggap
terbaik di India turut dilakukan di sini - pertama kali ditenun untuk raja-raja
Pallava pada abad ke 6 hingga ke 9. Sutera di sini juga boleh didapatkan dengan
harga yang jauh lebih murah daripada tempat-tempat lain di serata negara.
Penenun sutera di Kanchipuram |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan