Kuil Emas Amritsar

Senja hari di Golden Temple

    Kolam suci memantulkan bayangan kuil emas yang bersinar gemerlapan. Bacaan kitab suci Guru Granth Sahib mengalun perlahan tanpa henti dengan iringan nada muzik yang lembut mendatar. Petang ini, sungguh aku terpaku di bawah keagungan tempat ini.

Perjalanan panjang dari Jammu ke Amritsar di negeri Punjab membuat seluruh tubuhku lesu. Ditambah pula dengan bahu yang lenguh akibat berjalan kaki sejauh beberapa kilometer dengan menggalas backpack yang berat. Tetapi entah kenapa, di hadapan Golden Temple (kuil emas) yang menjadi tempat paling suci bagi umat Sikh ini, aku merasa segala keletihan dan kesakitan lenyap seketika.

Tempat ini adalah 'Gurdwara' paling terkenal, yang menjadi kebanggaan bagi umat Sikh di seluruh dunia. Gurdwara adalah rumah ibadah penganut agama Sikh. Gurdwara ini terletak di Amritsar, dinamakan Harmandir Sahib. Sebuah binaan berwarna emas, bersinar gemilang diterpa sinar matahari. Kuil ini terletak tepat di tengah-tengah kolam besar berbentuk segi empat. Seluruh kuil ini berlantaikan marmar.

Sebenarnya Amritsar adalah nama kolam ini. 'Amrit Sarovar' bererti kolam air suci, yang kemudiannya menjadi nama kompleks kuil ini. Hingga akhirnya, seluruh kota ini dinamakan Amritsar. Kolam ini dianggap begitu suci. Ratusan umat Sikh mencelupkan diri ke dalam airnya yang sejuk. Ritual mandi ini bukan sekadar membasuh diri secara badani, tetapi juga pembasuhan dan penyucian jiwa spiritual dan rohani.

Selesai melakukan mandi suci

Terdapat lebih daripada 15 juta orang penganut agama Sikh di India. Kaum lelaki Sikh mudah dikenali dengan turban mereka yang membumbung tinggi. Mereka sentiasa menutup rambut panjangnya dengan turban. Di dalam agama Sikh, kesh atau rambut yang tidak dipotong, adalah salah satu simbol terpenting. Sepanjang apa pun rambut, janggut, dan semua bulu di sekujur tubuh tak boleh dipotong.

Kaum lelaki menyembunyikan rambut panjangnya dengan rapi di bawah turban mereka. Kaum wanita pula selain berambut panjang, mereka juga tidak boleh mencukur kening. Rambut mempunyai makna yang penting dalam agama ini. Masuk ke dalam tempat suci ini, semua orang diharuskan untuk menutup rambut masing-masing, tak kira dengan turban, skarf, topi, tudung, ataupun kain.

Tidak banyak yang aku tahu tentang agama Sikh. Seorang penziarah muda dari tanah Punjab menjelaskan, “rambut adalah lambang kesucian yang dianugerahkan Tuhan kepada umat manusia. Tidak memotong rambut bermaksud kami menerima dan mensyukuri apa yang dianugerahkan oleh Tuhan.”

Kuil emas ini terbuka bagi semua orang, tak kira dari agama apa, bahkan bagi yang tidak beragama pun, disambut dengan penuh keramahtamahan. Aku menetap dua malam di sini secara percuma dan makanan juga tersedia secara percuma. Tentunya rahmat besar bagi pengembara sengkek berdompet nipis. Bahagian informasi kompleks ini menyediakan buku-buku percuma tentang agama Sikh. Aku mula membaca tentang sejarah hidup Guru Nanak.


Makanan yang tersedia di Langar 23 jam sehari

Sri Guru Nanak Dev, atau Guru Nanak, adalah pengasas agama Sikh. Beliau dilahirkan dalam keluarga Hindu pada abad ke 14. Sejak kecil, Guru Nanak sudah menunjukkan pemberontakan terhadap ajaran Hindu. Sebuah kisah yang paling terkenal adalah bagaimana semasa kecilnya beliau menolak pemakaian benang suci janeu. Dalam tradisi Brahmin, kanak-kanak yang berganjak dewasa akan mengenakan benang suci putih yang diikatkan melingkar dari bahu kiri hingga ke pinggang kanan. Benang ini perlu dipakai sepanjang hidup. Sekurang-kurangnya sekali dalam setahun, janeu kaum Brahmin akan diganti dalam sebuah upacara khusus.

Hanya orang daripada kasta Sudra – kasta terendah, yang tidak melingkarkan janeu pada tubuh mereka. Tetapi Guru Nanak sama sekali tidak peduli, tetap tidak mahu memasang benang itu ke tubuhnya. Baginya, kualiti manusia bukan ditentukan oleh seurat benang.

Guru Nanak kerap berdebat dengan pemimpin agama Hindu dan Muslim. Saripati keagungan kedua agama besar itu juga nampak dalam ajarannya. Guru Nanak adalah seorang pengembara lagenda, menempuh perjalanan beribu-ribu kilometer untuk mencari kebenaran hidup, pencerahan batin, dan keagungan Tuhan. Dia melintasi gunung-gunung bersalji di Himalaya menuju Tibet, melintasi gurun Sindh, menyeberangi laut Arab, menempuh perjalanan suci ke tanah Mekah, Baghdad, Parsi, Afghan, untuk belajar dari alam semesta raya. Guru Granth Sahib pula - nama bagi kitab suci umat Sikh, bukan hanya ditulis oleh guru-guru Sikh, tetapi juga oleh orang-orang suci dari kepercayaan dan agama lain.

"Tuhan hanya ada satu, manusia boleh berhubung terus dengan Tuhan tanpa perlukan perantaraan ritual atau pendeta, dan penolakan terhadap pembezaan manusia berdasar kasta dan gender adalah point-point utama dalam ajaran Sikh." Jawab seorang pemuda lain ketika aku bertanya tentang perbezaan agama Sikh dan Hindu.

Bagaimanapun sejarah agama Sikh yang kini berusia lima abad ini sebenarnya banyak liku. Kuil emas ini sudah beberapa kali dihancurkan para penguasa daripada berbagai agama yang datang dari berbagai penjuru bumi. Dibangun lagi, dihancurkan lagi, dibangun lagi, diserang lagi, dan seterusnya. Kali terakhir adalah pada tahun 1980an ketika pasukan India di bawah pemerintahan Indira Gandhi menyerang kaum pemisah Sikh yang berhasrat mendirikan Republik Khalistan – sebuah negara baru bagi umat Sikh – yang menggunakan kuil ini sebagai tempat berlindung. Bangunan suci ini rosak teruk.



Larut dalam doa

Dan sekarang, setelah lebih daripada tiga puluh tahun berselang, sisa-sisa kehancuran masa lalu itu sudah tak dapat dilihat lagi sama sekali. Yang aku rasakan kini adalah damai, di bawah alunan bacaan kitab sucinya yang mengalun setiap waktu. Di sebelah sini, seorang lelaki berturban meniarap di lantai, memberi sujud yang paling dalam ke hadapan kuil emas yang megah di tengah kolam. Di sebelah sana, seorang lelaki berjambang lebat terlihat sedang larut dalam doa-doanya.

Duduk bersendirian di tepi kolam di tempat suci penganut Sikh ini, sungguh hati aku turut ditenggelamkan oleh perasaan tenang yang sepenuhnya.



Para penziarah
Gemerlapan Kuil Emas di kala malam



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!