Auroville yang dikenali
sebagai The City of Dawn adalah
sebuah pekan kecil berkeluasan 20 kilometer persegi yang terletak di daerah
Villupuram, Tamil Nadu, 10 kilometer di utara Wilayah Persekutuan Puducherry.
Kota ini telah diasaskan pada 1968 oleh seorang wanita Perancis bernama Mira Richard atau lebih dikenali sebagai 'The
Mother' di kalangan penduduknya dan ia dibangunkan dengan tujuan untuk menjadi
bandar sejagat dan mewujudkan perpaduan umat manusia di mana para lelaki dan
perempuan dari berbagai negara dapat hidup bersama secara aman dan keharmonian
yang progresif tanpa terikat oleh sebarang undang-undang, kepercayaan agama, haluan
politik, dan masalah perkauman.
Sesuai dengan
mottonya: Fertile, Certitude, Sincerity, Revelation, dan Transformation,
Auroville mengimpikan untuk menjadi sebuah kota yang ideal untuk populasi seramai
50 ribu orang. Seni bina bangunan-bangunannya adalah gabungan daripada unsur
barat dan elemen India tradisional. Ia terletak di landskap kecil di luar
bandar, di kawasan tanah merah, di tengah hutan hijau. Pendapatan utama
penduduk Auroville diperoleh daripada sektor pertanian, kraf tangan, makanan,
projek pendidikan dan pembangunan teknologi alternatif. Seluruh kota ini memperoleh
tenaga semulajadi yang dijana oleh panel solar dan kincir angin, manakala
sumber air pula datang dari dalam perut bumi.
Pembentukan
komuniti Auroville adalah untuk mencapai kemakmuran, yang membawa kehidupan
bermakna melalui kerja-kerja fizikal yang disokong oleh disiplin dalam bentuk
kesedaran rohani (spiritualisme), bukannya dogma atau perlakuan ritual. Walaubagaimanapun,
tempat ini punya sejarah naik dan turun, seperti perselisihan yang pernah berlaku
di antara komuniti Auroville dan Sri Aurobindo Society (SAS) di Puducherry
ke atas hak pemilikan kota ini selepas kematian pengasasnya, 'The Mother'. SAS telah menyekat
penyaluran dana kepada Auroville dan memaksa Auroville berdikari tanpa
memperolehi sebarang suntikan dana kewangan. Perebutan kuasa semakin memuncak,
lalu tercetus keganasan sebanyak beberapa kali sehingga memaksa polis membuat
campur tangan. Pada satu tahap, konflik ini menjadi semakin sulit sehingga
beberapa negara barat terpaksa memberikan bantuan kepada penduduk Auroville. Namun
selepas pertikaian ini dibawa ke perbincangan mahkamah, akhirnya Mahkamah
Tinggi memutuskan untuk memihak kepada Auroville, dan Akta Auroville serta
merta diluluskan, yang menyaksikan tanggungjawab bagi pentadbiran penempatan
ini diletakkan di tangan tujuh anggota majlis, yang terdiri daripada gabungan
wakil kerajaan negeri, SAS, dan komuniti Auroville sendiri. Kini, Auroville turut
mendapat sokongan daripada kerajaan pusat, UNESCO, dan UN.
Jalan raya berselimut debu tanah merah yang tipikal di Auroville |
PEMBANGUNAN
Aku difahamkan bahawa seluruh komuniti Auroville telah disuntik dengan doktrin egalitarianism dan equalitarianism yang memegang kepercayaan bahawa semua manusia adalah sama dalam nilai asas mahupun status sosial yang merupakan salah satu trend di dalam falsafah politik. Pelbagai usaha pembangunan giat dilakukan dan banyak peluang pekerjaaan telah berjaya diwujudkan untuk memperbaiki kehidupan kaum berkasta rendah di kawasan kampung. Terdapat lima buah perkampungan di sekitar Kuilapalayam yang dirangkumkan menjadi Auroville. Auroville bekerjasama rapat bersama kampung-kampung tersebut menerusi Auroville Village Action Trust yang menjalankan berbagai projek berbeza untuk penduduk sekitar. Auroville Village Action Group (AVAG) adalah antara yang terbesar. Badan ini membangunkan program memperkasakan wanita, pendidikan dan sokongan kewangan, serta menjual produknya sendiri atas nama AVAG, Surya dan Kudumbam sebagai salah satu usaha sosial. Aktiviti lain yang berada di bawah AVAG adalah Pusat Pembelajaran Hayat, Sekolah Perindustrian Auroville, Pusat Kebudayaan Mohanam, Perkhidmatan Kesihatan Auroville, Sekolah Deepam untuk kanak-kanak cacat, Pusat Komuniti Thamarai, dan Hutan Perubatan Martuvam. Program-program tersebut secara langsung membolehkan para belia mendapatkan pendidikan yang berguna. Setiap penduduk, tidak kira apapun jawatan yang dipegang, hanya memperoleh pendapatan tetap sebanyak 12 ribu rupee sebulan (sekitar RM 700). Kira-kira hampir 3000 orang dari 58 negara yang berbeza kini telah menjadi penduduk tetap Auroville. Penempatan komuniti di sini merangkumi dari kawasan hutan hinggalah ke pantai, dan tujuan kota eksperimen ini dibina bukanlah sebagai sebuah destinasi pelancongan, namun bilangan pengunjung yang datang ke Auroville semakin meningkat saban tahun setelah pusat spiritual terpenting yang bernama Matrimandir siap dibina pada tahun 2008.
Matrimandir dibina pada titik tengah Auroville |
EKONOMI
Meskipun Kerajaan
India memiliki dan mengurus Auroville Foundation, namun ia hanya membiayai
sebahagian kecil daripada bajet Auroville. Sumbangan utama sebenarnya datang
dari unit komersial Auroville yang menyalurkan 33% daripada keuntungan mereka
kepada Dana Pusat melalui sumbangan. Terdapat juga guest house, unit pembinaan
bangunan, teknologi maklumat, perniagaan berskala kecil dan sederhana, pelbagai
jenis kraftangan dan barangan alat tulis yang boleh dibeli di Auroville dan
Puducherry, atau di serata India dan juga di luar negara. Setiap perolehan ini turut
menyumbang sebahagian besar keuntungan mereka kepada perbandaran. Lebih
daripada 5,000 orang yang kebanyakannya dari kawasan berdekatan, kini bekerja
dalam pelbagai unit dan bidang.
Tidak ada sebarang transaksi tunai di kalangan penduduk Auroville, kerana setiap orang telah diberikan nombor akaun yang berhubung secara langsung dengan akaun peribadi. Penduduk Auroville turut melakukan sumbangan bulanan kepada masyarakat tidak kira dalam bentuk tenaga, wang, atau apa saja. Terdapat juga sebuah badan komuniti yang bertanggungjawab membantu mana-mana penduduk Auroville yang memerlukan. Badan ini akan menyalurkan bantuan keperluan asas kepada mereka secara berkala bagi memastikan tiada penduduk yang kesusahan. Bukankah ia seperti konsep zakat yang diterapkan dalam agama Islam?
PELUANG MENJADI SUKARELAWAN
Memandangkan kota
ini bukanlah sebuah kawasan pelancongan, maka tidak ada banyak tempat menarik yang
boleh dilihat di sini. Meskipun begitu komuniti Auroville sentiasa mengalu-alukan
kedatangan pengunjung yang berminat terutamanya golongan backpacker untuk menetap sementara di sini bagi mendalami dan
memahami konsep kota ini, seperti mana yang telah aku lakukan tempoh hari.
Banyak peluang untuk menjadi sukarelawan yang ditawarkan, seperti di Sadhana Forest, Solitude Farm, dan Buddha Garden di mana para pengunjung berpeluang bebaur
dengan komuniti kota utopia ini. Aktiviti-aktiviti yang dijalan adalah termasuk
penanaman semula hutan, pertanian organik, penyelidikan asas pendidikan,
penjagaan kesihatan, pembangunan desa, teknologi, perancangan bandar,
pengurusan air, aktiviti kebudayaan, dan khidmat masyarakat.
Perhutanan semula di Sadhana Forest |
Persembahan kebudayaan diadakan pada setiap minggu di Mohanam Cultural Centre |
Ekonomi dan kehidupan di Auroville sentiasa mencatatkan perkembangan positif dan eksperimen ini terus dijalankan demi mencapai visinya. Pengalaman berkunjung dan menetap sementara di Auroville membuatkan aku berfikir, bagaimana jika seluruh dunia turut menerapkan konsep yang sama seperti apa yang dipraktikkan oleh kota ini? Mampukah dunia yang kita duduki ini akan menjadi lebih baik berbanding sekarang?