Memaparkan catatan dengan label backpacking india. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label backpacking india. Papar semua catatan

Itinerari 30 Hari Mengelilingi India



Baru-baru ini ada seorang anak muda yang terinspirasi dengan perjalanan aku meredah India dan dia juga bercadang nak melakukan perkara yang sama.

Tapi masalahnya majikan dia cuma boleh beri cuti tanpa gaji selama 30 hari sahaja. Jadi dia minta aku bina satu itinerari yang membolehkan dia buat satu pusingan lengkap berkeliling tanah besar India.

Sebenarnya aku pun tak pandai sangat merancang perjalanan sebab selama aku travel tak pernah pun ada itinerari. Tapi untuk tidak mengecewakan dia, aku cuba buatkan. Assume perjalanan panjang ini bermula dari Delhi dan berakhir di Delhi.



Hari pertama & kedua: Delhi

Delhi adalah bandar terbesar di India. Ia juga merupakan salah satu kota tertua di dunia, bersama Jerusalem dan Varanasi. Selama ribuan tahun, kota ini dikatakan telah mengalami kehancuran dan pembangunan semula sebanyak sebelas kali. Kota ini juga dikatakan muncul dalam epik mitologi India Mahabharata sebagai Indraprastha. Tempat yang dicadangkan untuk dilawati dalam tempoh dua hari di sini adalah;

Akshardham Temple
Qutb Minar
Lotus temple
India gate
Red Fort
Chandni Chowk

Delhi juga mempunyai terlalu banyak makanan yang boleh dicuba. Ia terkenal dengan makanan jalanan yang kebanyakannya terdiri daripada makanan marhaen seperti pani puri, paratha, chaat, dan kebab.

Delhi juga dihubungkan dengan baik oleh jalur lebuh raya dan rel keretapi ke bahagian lain di India. Cari overnight bus ke Haridwar untuk menjimatkan kos penginapan satu malam.


Qutb Minar: Peninggalan Dinasti Mamluk yang pernah menguasai Delhi. Baca catatan kunjungan aku di sini

Keseharian di Chandni Chowk yang sesak

Hari ke-3: Haridwar

Haridwar bermaksud "tempat tinggal Tuhan Vishnu" adalah salah satu kota paling suci di India. Ia terletak dekat bukit-bukau Himalaya di negeri Uttarakhand dan merupakan salah satu lokasi ziarah yang paling dihormati bagi umat Hindu di seluruh dunia. Ada banyak kuil yang didedikasikan untuk berbagai dewa yang boleh anda lawati di sini.

Dan jangan ketinggalan untuk menyaksi Ganga Aarti, yang berlangsung pada setiap senja. Aarti adalah ritual yang menggunakan api sebagai persembahan. Ia biasanya dibuat dalam bentuk lilin atau pelita yang menyala. Di Sungai Ganga atau Ganges, 'diya' kecil dengan lilin dan bunga akan dihanyutkan ke sungai sebagai persembahan kepada dewa Ganga.

Haridwar mempunyai banyak tempat yang menyediakan makanan vegetarian. Beberapa sajian yang terkenal ialah aloo bhaji, poori, kachori dan paratha.

Destinasi seterusnya adalah Manali yang terletak hampir 500km dari Haridwar. Anda boleh menaiki bas untuk menuju ke sana. Perjalanan mengambil masa selama kira-kira 13 jam.


Tugu Dewa Vishnu berdiri megah di tebing Sungai Ganga

Ganga Aarti di Haridwar. Baca catatan aku tentang Haridwar di sini

Hari ke-4 & ke-5: Manali

Manali ialah hill station yang terletak pada ketinggian 2050m (6398 kaki) di Himalaya. Terletak di hujung utara Lembah Kullu di Himachal Pradesh, ia merupakan tempat pelancongan yang popular bagi orang India pada musim panas dan destinasi yang dilitupi salji pada musim sejuk.

Kunjungan ke India takkan lengkap kalau tak ada pengalaman ke kaki Himalaya. Manali terletak di kawasan pergunungan Sungai Beas (Vyaas dalam bahasa Hindi) yang mengalir dari Himalaya ke Himachal Pradesh. Banyak tempat yang boleh diterokai bergantung kepada musim kunjungan dan antara tempat yang boleh dilawati adalah;

Solang Valley
Hidimba temple
Rohtang Pass

Anda juga harus mencuba makanan tradisional Himachal Pradesh yang dikenali sebagai 'Dham' yang biasanya hanya dihidangkan dalam upacara perkahwinan. Namun beberapa restoran tempatan juga ada menyediakan hidangan istimewa ini.

Manali dihubungkan dengan lebuh raya ke Chandigarh dan perjalanan dengan bas mengambil masa selama 8 jam.

Menaiki bas milik kerajaan menawarkan kos yang lebih murah berbanding syarikat bas swasta

Hidimba Temple, kuil purba yang masih berdiri di Manali

Manali terbahagi dua; kota baru dan kota lama. Penginapan murah banyak terdapat di kota lama


Hari ke-6: Chandigarh

Chandigarh adalah bandar moden terancang di India, yang dikenali sebagai 'The Beautiful City'. Chandigarh direka oleh arkitek Perancis Le Corbusier dan mempunyai perbezaan yang unik sebagai ibukota antara dua negeri, Punjab dan Haryana. Bandar ini diurustadbir secara langsung oleh kerajaan pusat.

Perihal yang paling menarik tentang bandar ini ialah hamparan langit biru dengan berlatarbelakangkan banjaran pergunungan. Dari bandar ini, anda akan melihat barisan Bukit Shivalik sambung menyambung dan pemandangan samar kuil lama yang didedikasikan untuk Dewi Chandi (15 km dari Chandigarh) dari mana bandar ini mendapat namanya.

Chandigarh terkenal dengan makanan jalanan yang disebut 'Dhabas'. Ia menyediakan hidangan Punjabi yang terkenal termasuk Butter Chicken, Dal Makhni, dan Lassi.

Chandigarh juga merupakan bandar yang sangat selamat. Dengan kadar jenayah terendah di negara ini, anda sentiasa berasa selamat pada setiap masa.

Destinasi seterusnya, Jaipur di Rajasthan. Anda boleh menaiki bas selama 13 jam atau menaiki overnight train selama 10 jam. Hari ke 7 berakhir di dalam perjalanan ini.

Hari ke-8 & 9: Jaipur

Jaipur ialah bandar terbesar di negeri Rajasthan yang dibangun pada abad ke-18 oleh Sawai Jai Singh sebagai bandar terancang pertama di India. Jaipur adalah tarikan utama pelancong di kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa. Ia merupakan salah satu titik penting bagi Golden Triangle Delhi, Jaipur dan Agra serta berfungsi sebagai batu loncatan untuk pengembara yang menuju ke kota lain di tengah padang pasir seperti Jodhpur dan Jaisalmer.

Juga dikenali sebagai 'Pink City', tempat ini pastinya perlu ada dalam itinerari apabila ke India. Jaipur terkenal dengan benteng kubu dan istana lama. Antara tempat yang perlu dilawati adalah;

Amber fort
Hawa Mahal
Jaigarh fort

Semasa di Rajasthan, anda harus mencuba makanan tradisionalnya, Rajasthani Thaali.

Destinasi seterusnya berjarak lebih daripada 1000km. Jadi anda perlu menaiki keretapi untuk mencapai kota Mumbai. Bergantung kepada kecepatan keretapi, masa yang diambil untuk ke Mumbai berbeza mulai dari 19 jam sehingga 22 jam. Hari ke-10 akan berakhir di dalam perjalanan ini.


Hawa mahal, mercu tanda kota Jaipur. Baca catatan aku tentang Jaipur di sini

Hari ke-11 & 12: Mumbai

Mumbai, seperti yang anda tahu, adalah ibu kota komersial India dan merupakan salah satu bandar pelabuhan utama di negara ini. Mumbai dikenal sebagai bandar India yang paling eklektik dan kosmopolitan dilambangkan dengan kehadiran Bollywood di sini, pusat industri filem dan TV Hindi yang berpengaruh di peringkat global. Ia juga merupakan rumah kepada penduduk setinggan terbesar di India. Justeru Mumbai adalah dua dunia yang hidup bersama, kontras-kontras yang saling berpadu, membentuk sinergi warna-warni kehidupan yang dinamik, bertenaga, namun juga penuh derita dan air mata.

Kota ini menarik ramai pelancong dari seluruh dunia dan antara tempat yang perlu dikunjungi adalah;

Dhobi Gaat
Marine Drive
Haji Ali Dargah
Gateway of India

Destinasi seterusnya adalah Goa yang berjarak kira-kira 600km dari Mumbai dan mengambil masa selama 12 jam perjalanan.


Gateway of India yang tidak pernah sepi pengunjung

Selamat datang ke Dhobi Ghat, dobi terbesar di dunia


Terminal Chhatrapati Shivaji Maharaj, terminal keretapi bersejarah di kota Mumbai yang tersenarai di dalam tapak warisan sejarah UNESCO

Hari ke-13 & 14: Goa

Sebuah negeri di pantai Barat India, Goa adalah bekas tanah jajahan Portugis dengan sejarah yang kaya. Dengan keluasan yang hanya 3,700 kilometer persegi beserta populasi kira-kira 1.8 juta, Goa adalah negeri yang terkecil di India. Ia mempunyai gabungan unik antara budaya dan seni bina India dan Portugis yang menarik kira-kira 2.5 juta pengunjung setiap tahun sejak zaman hippie (nenek moyang backpacker) pada tahun 1960-an

Negeri ini juga mempunyai magnet yang tersendiri untuk menarik ramai pelancong kerana terkenal dengan pantainya, sukan lasak, dan gereja-gereja lama.

Goa juga terkenal dengan makanan laut. Udang, lobster, ketam, ikan, kerang, dan tiram digunakan untuk membuat kari, kentang goreng, sup, dan acar.

Cara terbaik untuk ke destinasi seterusnya adalah dengan overnight train kerana tiada bas yang menuju ke sana.


Goa terletak di pantai barat daya India di persisir Laut Arab

Banyak gereja dan katedral lama yang dibangun Portugis ketika menduduki Goa sejak tahun 1510 sehingga 1961

Hari ke-16: Kochi

Kochi (dahulunya Cochin; Malayalam: കൊച്ചി) ialah sebuah bandar kosmopolitan di negeri Kerala dengan pelabuhan komersial yang sibuk. Kochi ialah hab kewangan Kerala dengan populasi lebih daripada 2 juta orang, aglomerasi bandar terbesar di negeri ini. Ia adalah salah satu destinasi pelancongan utama di India. Kochi terletak di pantai barat daya India. Beberapa tempat yang boleh dilawati di sini adalah:

Fort Kochi
Jews Town
Kerala Kathakali Centre

Destinasi seterusnya adalah Munnar yang mengambil masa 4 jam untuk sampai ke sana.


Jews Town, kota kecil yang dihuni oleh orang Yahudi Kochi

Aku berkesempatan singgah dan bertemu dengan mendiang Uncle Vijayan di kedai teh miliknya. Kisah beliau boleh anda baca di sini

Teknik menjaring ikan tradisional di Kochi yang disebut Cheena Vala (Chinese Fishing Net)

Hari ke-17 & 18: Munnar

Munnar ialah satu lagi hill station yang indah, dan merupakan pusat peranginan musim panas British ketika zaman kolonial. Pelancong datang ke sini untuk melihat ladang teh yang luas di sini. Pekannya masih mengekalkan nuansa tipikal kota-kota India. Ia adalah tempat yang menarik untuk dilawati terutama di kawasan luar bandar di sekitarnya. Munnar juga merupakan tempat yang popular untuk berbulan madu India.

Pekan ini dibahagikan kepada dua bahagian, Old Munnar, di mana pejabat maklumat pelancongan berada, dan Munnar, di mana stesen bas dan kebanyakan penginapan berada.

Ini adalah destinasi yang beriklim dingin di Kerala dan merupakan salah satu tempat yang perlu dikunjungi di India. Antara tempat yang boleh dilawati di sini;

Eravikulam national park
Top station
Mattupetty dam

Destinasi berikutnya adalah Alleppey yang juga mengambil masa 4 jam perjalanan.


Munnar terletak di tanah tinggi banjaran Western Ghat dan beriklim dingin

Hari ke-19: Alleppey

Alappuzha atau Alleppey lebih dikenali sebagai 'Venice of the East' yang mempunyai masa lalu yang gemilang. Tempat ini merupakan rangkaian laluan air yang luas dan mempunyai banyak houseboat seperti di Tasik Dal di Srinagar, Kashmir. Perihal menarik tentang Alleppey secara amnya ialah cuaca. Oleh kerana ia terletak berdekatan laut, maka suhunya lebih sederhana berbanding sentral India. Suhu di sini jarang melebihi 35 darjah dan tidak pernah di bawah 20 darjah. 

Masa terbaik untuk lawatan adalah dari September hingga Mac. Ketika musim monsun hujan sentiasa lebat. Kendatipun, kini pelancongan monsun juga kian popular dari Jun hingga Ogos.

Kerala dikenali sebagai 'The Land of Spices' dan makanan Kerala biasanya panas dan pedas. Makanan tradisional Kerala umumnya dihidangkan di atas daun pisang seperti tradisi masyarakat Tamil di Tamil Nadu.

Detinasi seterusnya agak jauh dan anda perlu menaiki train untuk ke sana. Perjalanan akan memakan masa 28 jam dan hari ke-20 akan berakhir di sini.


Pelbagai rempah ratus terdapat di sini yang signifikan kepada makanan tempatan

Pani puri, makanan jalanan yang harus dicuba

Banyak houseboat yang beroperasi di Alleppey sekaligus menawarkan pengalaman menarik bagi pengunjung yang bercuti di sini

Hari ke-21 & 22: Hyderabad

Sebuah lagi metropolis yang kaya dengan sejarah dan tradisi, Hyderabad kini bersaing dengan Bangalore dan Chennai untuk merebut mahkota ibu kota IT India; Microsoft, Amazon dan Google mempunyai ibu pejabat India mereka di sini.

Ramai pelancong tidak pernah terlepas dengan tarikan di kota lama, tetapi anda masih belum benar-benar melihat Hyderabad sehingga anda menerokai belahan lain kota ini. Bandar ini terbahagi kepada utara, barat, timur dan selatan daerah tengah. Terdapat perbezaan dalam budaya yang boleh dilihat di seluruh bandar.

Juga dikenali sebagai 'The Pearl City', Hyderabad terkenal dengan monumen warisan, mutiara, dan masakan tempatan yang lazat. Antara tempat yang wajib dikunjungi adalah;

Falaknuma palace
Golconda fort
Charminar

Tiada makanan lain yang perlu dicari disini melainkan Briyani Hyderabad, kerana di sinilah tempat kelahirannya nasi beriyani. Untuk penggemar chai, anda wajib mencuba Irani Chai, yang bertekstur lebih pekat dan berkrim daripada chai biasa.

Dari kota ini, anda boleh menaiki keretapi menuju ke destinasi seterusnya, Kolkata. Perjalanan akan memakan masa selama 25 jam dan hari ke-23 berakhir di dalam perjalanan ini.


Meskipun sebahagiannya telah menjadi puing-puing runtuhan, namun Golconda Fort masih menampakkan kemegahan masa lalunya

Charminar adalah mercu tanda Hyderabad. Ia bermaksud 'empat menara' dalam erti harfiah. 

Hyderabad merupakan kota pertama yang aku jejak di India

Hari ke-24: Kolkata

Kota yang terletak di tebing sungai, Kolkata disebut sebagai 'The City of Joy' dan 'Cultural Capital of India' kerana pernah 
melahirkan generasi penyair, penulis, penerbit filem dan pemenang Hadiah Nobel.

Kolkata dikenali kerana warisan kebudayaannya yang kaya dan pesona dunia kuno. Kolkata dahulunya dikenal dengan nama Calcutta ialah ibu kota bagi West Bengal dan bandar terbesar di India selepas Delhi dan Mumbai. Jika Bangalore dianggap sebagai Seattle di India, maka Kolkata ialah London. Jika sebelum ini anda pernah berkunjung ke satu atau dua bandar metropolitan India, maka anda harus untuk melawat Kolkata juga. Suka atau benci, anda pasti tidak akan melupakan metropolis ini.

Beberapa tempat yang boleh dilawati di sini:

Victoria Memorial
Howrah Bridge
Dakshineshwar Kali temple

Kolkata dihuni oleh masyarakat Benggali kerana ia bersempadan dengan Bangladesh. Masakan Bengali terkenal di Kolkata dengan ikan, nasi dan buah-buahan yang banyak. Terdapat lebih daripada 40 jenis ikan air tawar boleh didapati di kota ini.

Dari Kolkata, anda perlu menaiki overnight train ke New Jalpaiguri atau desbut dengan nama singkatannya, NJP. Dari sana, dapatkan sharing jeep atau bas untuk ke Gangtok, Sikkim. Ia cuma mengambil masa kira-kira 2 jam. Namun perlu diingat, pengunjung dari luar negara perlu memohon permit terlebih dahulu untuk masuk ke Sikkim.


Selamat datang ke Kolkata, kota ke-7 terpadat di India dengan populasi 15 juta penduduk

Kolkata merupakan satu-satunya kota yang mempunyai tram di India. Pengangkutan ini telah beroperasi sejak 1902

Beca dua roda masih menjadi pengangkutan utama di Kolkata. Khidmat penarik beca boleh didapati di mana-mana

Hari ke-25, 26, & 27: Sikkim

Sikkim ialah sebuah negeri di Timur India yang terletak di kaki Himalaya yang juga bersempadan dengan Tibet, Nepal, dan Bhutan. Namanya diambil daripada perkataan 'Su', 'Him' iaitu tempat tinggal yang cantik dalam erti harfiah. Pergunungan yang dilitupi salji & lembah hijau yang subur bukan sahaja menyegarkan jiwa anda, ia juga membuatkan pengunung terpana dengan keindahan alam semula jadinya. Hampir 40% daripada keseluruhan negeri ini adalah hutan.

Sikkim adalah negeri kedua terkecil selepas Goa dan juga salah satu destinasi pelancongan yang indah selain Kashmir. Anda boleh menghabiskan masa lebih dari 2 minggu untuk meneroka tempat ini tetapi memandangkan anda cuma ada 3 hari di sini, cuba lawati tempat-tempat ini;

Nathula Pass
Tsomgo Lake
Rumtek Monastery
Gurudongmar Lake
Yumthang Valley

Masakan Nepal sangat popular di Sikkim kerana tempat ini dihuni oleh majoriti etnik Nepal. Beberapa hidangan popular di Sikkim adalah seperti Momos dan Thukpa.

Dari Sikkim, anda perlu berpatah semula ke NJP untuk menaiki train ke Agra. Perjalanan mengambil masa selama 27 ke 32 jam bergantung dengan jadual dan kecepatan train. Hari ke-28 dihabiskan di dalam perjalanan.


Setiap warga asing perlu mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum merentasi sempadan Sikkim

Sikkim adalah negeri di timur laut India yang bersempadan dengan Tibet, Nepal, & Bhutan. Ia merupakan sebahagian daripada Himalaya, sekalgus menyajikan landskap yang dramatik

Di Sikkim aku menginap di rumah warga tempatan. Wajah penduduk Sikkim mirip dengan orang Nepal

Hari ke-29: Agra

Agra ialah sebuah bandar bersejarah di negeri Uttar Pradesh, India utara, kira-kira 200 km dari Delhi. Juga merupakan salah satu titik bagi Golden Triangle, ia terletak 240 km dari Jaipur dan terkenal di seluruh dunia kerana monumen, warisan lama, bazar berwarna-warni, dan kota yang mesra pelancong.

Cara terbaik untuk menghabiskan perjalanan panjang anda adalah dengan berkunjung ke Taj Mahal, yang diiktiraf sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia. Perlu diingat, monumen tersebut sentiasa dibanjiri pelancong setiap hari. Datang seawal pagi untuk mengelak daripada keramaian pengunjung. Jika mempunyai lebihan masa, anda boleh melawat Agra Fort juga.

Agra terkenal di seluruh India dengan pelbagai manisan yang ditawarkan di kota ini.

Jarak Agra ke New Delhi cuma 22km dan mengambil masa 3 jam dengan kereta untuk balik ke sana. Tapi jika menaiki bas pula, masa perjalanan mungkin berganda.


Kecantikan Taj Mahal membuatkan aku mati kata ketika melihatnya buat kali pertama

Monumen ini dikunjungi ribuan orang saban hari

Hari ke-30: Kembali ke New Delhi

Jadi inilah saja itinerari terbaik yang boleh aku cadangkan untuk trip selama sebulan mengelilingi tanah besar India. Sebuah perjalanan panjang yang memakan jarak lebih 9000km. Ada beberapa tempat lagi yang aku mahu masukkan tapi disebabkan dengan kekangan masa 30 hari, mungkin anda boleh cuba ke sana lagi pada trip yang lain.

Mengembara di India akan memberi pengalaman yang luar biasa bagi sesiapa yang mahu melihat dunia. Bagi aku, India adalah salah satu negara yang anda perlu kunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Semoga bermanfaat.


Menghadiri temasya perkahwinan di India adalah pengalaman yang tak dapat aku lupakan

Buat tempahan keretapi secara online untuk memastikan perjalanan anda lebih lancar

Lotus Temple, rumah agama bagi penganut Baha'i

India Umumkan Pengeluaran Setengah Juta Visa Percuma Untuk Pelancong Asing


Kerajaan India bakal mengeluarkan setengah juta visa percuma bagi pelancong asing  yang mahu berkunjung ke India demi menghidupkan kembali sektor pelancongan


Binaan ikonik India, Taj Mahal di Agra
28 Jun 2021

NEW DELHI: Untuk menjana semula ekonomi dalam sektor pelancongan, pemerintah India akan memberikan visa percuma kepada 500,000 pelancong yang ingin berkunjung ke India. Menteri Kewangan, Nirmala Sitharaman mengatakan sokongan kewangan akan turut diberikan kepada lebih daripada 11,000 pemandu pelancong, perjalanan dan syarikat pelancongan yang berdaftar.

Semasa taklimat, pembentangan kementerian kewangan mengatakan bahawa seramai 11 juta pengunjung asing mengunjungi India pada tahun 2019, dan telah membelanjakan kira-kira 30 bilion dolar secara kolektif untuk percutian dan perniagaan.

Purata penginapan harian bagi seorang pelancong asing di India adalah selama 21 hari sementara purata perbelanjaan harian pula adalah sekitar 34 dolar (2400 rupee).


Kehijauan lanskap Munnar di Kerala, salah satu daripada keindahan alam yang ditawarkan selatan India

Beliau mengatakan, setelah penggantungan pengeluaran visa untuk perjalanan antarabangsa ditarik semula kelak, seramai lima ratus ribu pelancong pertama akan diberikan visa secara percuma. Keseluruhan implikasi kewangan daripada ukuran ini adalah sebanyak 100 juta rupee. Skim ini akan berjalan hingga 31 Mac 2022, atau sehingga 500,000 visa dikeluarkan, mana yang lebih awal.

"Ini akan memberikan insentif secara langsung kepada pelancong jangka pendek yang akan mengunjungi India," tambah Nirmala, "selain itu, kerajaan juga akan memberikan dana perniagaan atau pinjaman peribadi kepada para pengusaha di sektor pelancongan untuk bangkit semula dan memulakan semula perniagaan yang telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19."

Sumber: The Times of India. Untuk bacaan lanjut boleh klik di sini.

P.S. Tak sabar nak kembali menjelajah tanah Hindustan. Ada 10 lagi negeri yang berbaki untuk aku melengkapkan perjalanan impian ke semua 29 negeri di India. Semoga ada sinar buat rakyat Malaysia untuk berjalan semula ke luar negara kelak. Sekiranya anda berjaya mendapatkan skim visa percuma ini, manakah destinasi yang menjadi pilihan anda nanti?


Ketibaan keretapi di Shimla, Himachal Pradesh


Kisah Penjual Chai yang Mengelilingi Dunia

 

Vijayan dan Mohana

29 Januari, 2019

Sebilangan besar dari kita pasti bermimpi untuk mengembara keliling dunia, namun tak semua orang mempunyai keberanian untuk mengejar mimpi itu dengan tekad yang bulat. Di pinggir jalanan kota Kochi, Kerala, ada Vijayan dan Mohana - pasangan yang mula merealisasikan mimpi-mimpi masa muda mereka sejak awal 70-an - dan telah mengembara ke berbagai belahan dunia bersama-sama walaupun dengan keadaan kewangan yang buruk. Pasangan veteran ini merupakan pemilik Sree Balajee Coffee House, sebuah kedai teh di pinggir jalanan Ernakulam yang merupakan satu-satunya sumber penghasilan harian mereka. Cerita Vijayan dan Mohana telah membuatkan ramai orang di seluruh dunia mengagumi kemampuan mereka untuk melakukan perjalanan ke 25 negara setakat ini melalui kombinasi antara simpanan Rs 300 sehari dan pinjaman wang dari bank. Di seluruh India, Vijayan dan Mohana mungking merupakan penjual teh yang paling menginspirasikan selepas Narendra Modi!


Aku sempat singgah di kedai teh mereka dan bertemu dengan Vijayan sendiri semasa kunjungan aku ke Kerala pada awal tahun 2019. Ketika ditanya bagaimana dia memutuskan untuk fokus kepada perjalanan berbanding hal-hal lain, Vijayan mengatakan, "Semangat saya untuk mengembara yang mendorong. Saya dilahirkan di tanah India, dan terdapat banyak negara lain di dunia dengan budaya yang berbeza. Saya mahu melihat semuanya." Walaupun ada segelintir pihak yang menyuarakan keprihatinan bahawa mereka juga perlu menyimpan untuk perawatan kesihatan, namun Vijayan memiliki kepercayaan penuh terhadap Sang Pencipta. "Saya hanya mahu terus berjalan," katanya, "selebihnya saya serahkan kepada tuhan yang sentiasa menjaga saya dan keluarga."




Ratusan foto dan keratan akhbar tentang kisah mereka menghiasi dinding kedai

Kedai teh mereka, yang memaparkan ratusan koleksi foto negara yang mereka kunjungi, peta, dan keratan akhbar mengenai kisah mereka, biasanya ditutup ketika mereka melancong. Britain. Perancis. Eropah. Mesir. USA. UAE. Afrika Selatan. Brazil. Peru. Argentina. Pasangan ini telah menjejakkan kaki di kesemua negara tersebut bersama. Malah kehidupan Vijayan dan Mohana juga telah sedikit berubah, sejak kisah mereka menarik perhatian para wartawan serta pembuat filem Hari M. Mohanan untuk menghasilkan sebuah dokumentari pendek yang memaparkan perjalanan unik mereka berjudul Invisible Wings sekaligus berjaya menggondol Anugerah Filmfare.



"Sejak dari itu, ada pihak yang mula menaja," kata Vijayan, “Amitabh Bachchan menyumbang Rs 50000. Anupam Kher juga telah memberikan Rs 50000, dan tak kurang pula beberapa peminat dari Bangalore memberi kami dari Rs 3 ke 6 lakhs." Tak perlu untuk diperkatakan, pelbagai tajaan ini justeru membuatkan rancangan perjalanan mereka menjadi lebih mudah daripada sebelumnya. Sungguhpun demikian, populariti sama sekali tidak mengubah Vijayan menjadi seseorang yang berbeza. “Saya tetap seperti apa adanya. Saya menjalani hidup yang sederhana, membuka kedai dan menjual chai (teh) setiap hari, memakai baju lusuh dan mundu (kain sarong dalam bahasa Malayalam). Bagaimanapun, saya juga punya beberapa baju kot dan seluar yang saya akan pakai ketika bepergian atau bertemu orang.


Vijayan berkongsi pengamatannya mengenai kehidupan di India berbanding di negara lain. “Di India, tabiat orang membuang air di tempat umum, meludah di depan umum, adalah perbuatan yang menjengkelkan. Semasa saya berkunjung ke negara lain, saya lihat mereka sangat menjaga kebersihan tanah mereka." Dia melanjutkan lagi, "orang India juga harus ada kesedaran untuk menghormati negara sendiri."


"Saya juga sudah tiga kali ke Malaysia," jelas Vijayan lagi. 

"Jadi bahagian manakah yang menarik di Malaysia?" Tanya aku. 

“Kuala Lumpur, Penang, Johor,” jawabnya pantas.


Salah satu kekangan yang dihadapi Vijayan dan Mohana setiap kali melancong adalah bahasa. Mujur saja, khidmat tour guide yang mereka gunakan sentiasa membantu mereka dalam memahami sesuatu. Perihal ini juga yang membuatkan Vijayan sentiasa berpesan kepada anak muda - “Belajarlah berbagai bahasa - maka anda akan memiliki lebih keyakinan yang dengannya anda akan dapat gunakan untuk menjelajah dunia.”


Vijayan menyiapkan chai para pelanggan

Di kedai teh kecil kepunyaan mereka, tidak ada khidmat pekerja yang digunakan melainkan pasangan ini sendiri yang bekerja sebagai pelayan dan pembancuh teh. Perbualan aku dengan Vijayan tidak dapat berlangsung lama kerana kesibukannya melayani pelanggan-pelanggan lain.


Pertemuan yang singkat namun mengujakan. Siapa sangka, perjalanan aku di Kerala telah mempertemukan aku dengan orang yang turut memiliki mimpi yang sama sepertiku. Dalam hidup kita, memang ada mimpi-mimpi yang layak diperjuangkan, dan kisah tentang perjalanan pasangan ini telahpun memperdengarkan aku dengan salah satu daripadanya.


Salam perpisahan

Bagi yang ingin bertemu dengan Vijayan dan Mohana kelak, boleh cari mereka di kedai teh mereka yang beralamat di Salim Rajan Rd, Gandhi Nagar, Ernakulam, Kerala.



Lima Stesen Keretapi Terbesar di India

 


Indian Railways, berada di kedudukan keempat di dunia dengan landasan sepanjang kira-kira 114500 kilometer dan memiliki 7500 stesen di seluruh penjuru negara. Ia merupakan satu-satunya rangkaian kereta api di dunia yang dipacu oleh satu badan tunggal, iaitu Kementerian Keretapi India. Dalam artikel ini, aku mahu menunjukkan kepada anda senarai lima stesen keretapi terbesar di India yang telah aku jejaki.


1. Howrah Junction Railway Station, Kolkata



Howrah Junction adalah stesen keretapi tertua dan terbesar di India. Seiring dengan statusnya, ia juga merupakan salah satu stesen keretapi yang paling sibuk di India. Sekurang-kurangnya sejuta orang melakukan perjalanan dari stesen ini pada setiap hari.

Bilangan platform: 23

Bilangan landasan: 25


2. Sealdah Railway Station, Kolkata




Stesen keretapi Sealdah adalah stesen pertama yang aku jejak ketika kali pertama masuk ke negeri West Bengal. Sungguh, stesen ni sangat besar dan aku difahamkan bahawa 1.8 juta orang menaiki keretapi di stesen ini saban hari. Ia juga merupakan antara stesen keretapi yang tertua di India sejak dibuka sekitar 158 tahun yang lalu ketika kota metropolis Kolkata masih menjadi ibu negara British India.

Bilangan platform: 21

Bilangan landasan: 27


3. Chhatrapati Shivaji Terminus, Mumbai


Mumbai CST bersenibina kolonial

Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus atau dikenal dengan nama Mumbai CST adalah stesen bersejarah dan disenaraikan sebagai salah sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO. Ia juga dikenali sebagai Victoria Terminus. Tidak hanya sekadar sebuah stesen keretapi, Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus juga berfungsi sebagai terminal pengangkutan metro di kota Mumbai.


Keindahan Mumbai CST kala malam

Bilangan platform: 18

Bilangan landasan: 36


4. New Delhi Railway Station, New Delhi



Sesuai dengan lokasinya yang terletak di jantung kota Delhi, stesen keretapi New Delhi adalah urat nadi India yang berhubung dengan seluruh pelusuk negara. Ia adalah antara stesen keretapi yang tersibuk di India dari segi frekuensi keretapi dan aspek perjalanan penumpang. Di samping itu, ia juga merupakan stesen keretapi yang beroleh pendapatan tertinggi. Hampir, sekitar 400 buah kereta api melintasinya setiap hari.

Bilangan platform: 16

Bilangan landasan: 18


5. Chennai Railway Station, Chennai



Chennai Railway Station adalah stesen keretapi utama di bandar Chennai, ibu kota bagi negeri Tamil Nadu. Stesen ini berhubung dengan bahagian utara India termasuk Kolkata, New Delhi, Mumbai. Kira-kira lebih daripada setengah juta orang menggunakan stesen itu setiap hari, menjadikannya stesen keretapi paling sibuk di selatan India.

Bilangan platform: 17

Bilangan landasan: 30


Maka, benarlah kata orang bahawa keretapi India adalah garis kehidupan bangsanya dan merupakan bahagian penting yang tak terpisahkan bagi setiap rakyatnya. Inilah dia lima stesen keretapi terbesar di India yang pernah aku singgahi. Sekiranya anda belum pernah mengunjunginya, tunggu apa lagi?

Baca juga: 8 Perjalanan Keretapi yang Anda Harus Cuba Salah Satunya Jika ke India

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!