Vijayan dan Mohana |
29 Januari, 2019
Sebilangan besar dari kita pasti
bermimpi untuk mengembara keliling dunia, namun tak semua orang mempunyai
keberanian untuk mengejar mimpi itu dengan tekad yang bulat. Di pinggir jalanan
kota Kochi, Kerala, ada Vijayan dan Mohana - pasangan yang mula merealisasikan
mimpi-mimpi masa muda mereka sejak awal 70-an - dan telah mengembara ke berbagai
belahan dunia bersama-sama walaupun dengan keadaan kewangan yang buruk. Pasangan
veteran ini merupakan pemilik Sree Balajee Coffee House, sebuah kedai teh di pinggir
jalanan Ernakulam yang merupakan satu-satunya sumber penghasilan harian mereka. Cerita Vijayan
dan Mohana telah membuatkan ramai orang di seluruh dunia mengagumi kemampuan
mereka untuk melakukan perjalanan ke 25 negara setakat ini melalui kombinasi
antara simpanan Rs 300 sehari dan pinjaman wang dari bank. Di seluruh India,
Vijayan dan Mohana mungking merupakan penjual teh yang paling menginspirasikan
selepas Narendra Modi!
Aku sempat singgah di kedai teh mereka dan bertemu dengan Vijayan sendiri semasa kunjungan aku ke Kerala pada awal tahun 2019. Ketika ditanya bagaimana dia memutuskan untuk fokus kepada perjalanan berbanding hal-hal lain, Vijayan mengatakan, "Semangat saya untuk mengembara yang mendorong. Saya dilahirkan di tanah India, dan terdapat banyak negara lain di dunia dengan budaya yang berbeza. Saya mahu melihat semuanya." Walaupun ada segelintir pihak yang menyuarakan keprihatinan bahawa mereka juga perlu menyimpan untuk perawatan kesihatan, namun Vijayan memiliki kepercayaan penuh terhadap Sang Pencipta. "Saya hanya mahu terus berjalan," katanya, "selebihnya saya serahkan kepada tuhan yang sentiasa menjaga saya dan keluarga."
Ratusan foto dan keratan akhbar tentang kisah mereka menghiasi dinding kedai |
Kedai teh mereka, yang memaparkan ratusan koleksi foto negara yang mereka kunjungi, peta, dan keratan akhbar mengenai kisah mereka, biasanya ditutup ketika mereka melancong. Britain. Perancis. Eropah. Mesir. USA. UAE. Afrika Selatan. Brazil. Peru. Argentina. Pasangan ini telah menjejakkan kaki di kesemua negara tersebut bersama. Malah kehidupan Vijayan dan Mohana juga telah sedikit berubah, sejak kisah mereka menarik perhatian para wartawan serta pembuat filem Hari M. Mohanan untuk menghasilkan sebuah dokumentari pendek yang memaparkan perjalanan unik mereka berjudul Invisible Wings sekaligus berjaya menggondol Anugerah Filmfare.
"Sejak dari itu, ada pihak
yang mula menaja," kata Vijayan, “Amitabh Bachchan menyumbang Rs 50000.
Anupam Kher juga telah memberikan Rs 50000, dan tak kurang pula beberapa peminat
dari Bangalore memberi kami dari Rs 3 ke 6 lakhs." Tak perlu untuk diperkatakan,
pelbagai tajaan ini justeru membuatkan rancangan perjalanan mereka menjadi
lebih mudah daripada sebelumnya. Sungguhpun demikian, populariti sama sekali tidak
mengubah Vijayan menjadi seseorang yang berbeza. “Saya tetap seperti apa
adanya. Saya menjalani hidup yang sederhana, membuka kedai dan menjual chai (teh) setiap
hari, memakai baju lusuh dan mundu
(kain sarong dalam bahasa Malayalam). Bagaimanapun, saya juga punya beberapa baju
kot dan seluar yang saya akan pakai ketika bepergian atau bertemu orang.
Vijayan berkongsi pengamatannya
mengenai kehidupan di India berbanding di negara lain. “Di India, tabiat orang membuang
air di tempat umum, meludah di depan umum, adalah perbuatan yang menjengkelkan.
Semasa saya berkunjung ke negara lain, saya lihat mereka sangat menjaga
kebersihan tanah mereka." Dia melanjutkan lagi, "orang India juga
harus ada kesedaran untuk menghormati negara sendiri."
"Saya juga sudah tiga kali ke Malaysia," jelas Vijayan lagi.
"Jadi bahagian manakah yang menarik di Malaysia?" Tanya aku.
“Kuala Lumpur, Penang, Johor,” jawabnya pantas.
Salah satu kekangan yang
dihadapi Vijayan dan Mohana setiap kali melancong adalah bahasa. Mujur saja,
khidmat tour guide yang mereka gunakan
sentiasa membantu mereka dalam memahami sesuatu. Perihal ini juga yang
membuatkan Vijayan sentiasa berpesan kepada anak muda - “Belajarlah berbagai
bahasa - maka anda akan memiliki lebih keyakinan yang dengannya anda akan dapat
gunakan untuk menjelajah dunia.”
Vijayan menyiapkan chai para pelanggan |
Di kedai teh kecil kepunyaan mereka, tidak ada khidmat pekerja yang digunakan melainkan pasangan ini sendiri yang bekerja sebagai pelayan dan pembancuh teh. Perbualan aku dengan Vijayan tidak dapat berlangsung lama kerana kesibukannya melayani pelanggan-pelanggan lain.
Pertemuan yang singkat namun
mengujakan. Siapa sangka, perjalanan aku di Kerala telah mempertemukan aku
dengan orang yang turut memiliki mimpi yang sama sepertiku. Dalam hidup kita,
memang ada mimpi-mimpi yang layak diperjuangkan, dan kisah tentang
perjalanan pasangan ini telahpun memperdengarkan aku dengan salah satu
daripadanya.
Salam perpisahan |
Bagi yang ingin bertemu dengan Vijayan dan Mohana kelak, boleh cari mereka di kedai teh mereka yang beralamat di Salim Rajan Rd, Gandhi Nagar, Ernakulam, Kerala. |