Memaparkan catatan dengan label madhya pradesh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label madhya pradesh. Papar semua catatan

Indore: Gelagat Orang Muda


26 Disember, 2019

    Dari sekadar berkenalan di warung teh, sekarang pemuda ini sudah mengundang aku menginap di rumahnya di Indore.

Namanya Amit Sharma. Masih muda, 21 umurnya. Sederhana tinggi, berpostur kurus, tidak terlalu gelap dan tidak pula terlalu cerah. Dia tak boleh berbahasa Inggeris dengan lancar. Kalau bercakap bahasa Hindi, setiap kalimatnya hampir selalu diakhiri dengan kata matlab, yang ertinya adalah 'maksudnya', seolah-olah setiap kalimatnya terlalu susah difahami dan pendengar harus selalu perlukan penjelasan lebih lanjut. Di rumah dia bertutur bahasa Marwari, yang merupakan bahasa ibunda bagi seluruh keluarganya yang berasal dari Rajasthan. 

“Kamu harus belajar bahasa Marwari, matlab bahasa ini sangat indah dan lucu,” demikian sarannya.

Rumah Amit terletak di Shanti Nagar, antara kawasan kejiranan terpadat di pinggiran kota Indore. Dahulunya Indore di abad ke-16 adalah pusat perdagangan di antara Deccan dan Delhi. Bandar ini dan sekitarnya terletak di bawah Empayar Hindu Maratha sejak abad ke-17 selepas Maratha Peshwa Baji Rao mengambil alih pemerintahan Malwa. Pada zaman British Raj pula, Indore diperintah oleh dinasti Maratha Holkar hingga kerajaannya lenyap dan melebur ke dalam Kesatuan India. Kota ini pernah bertindak sebagai ibu kota Madhya Bharat dari 1950 hingga 1956 sebelum India menukar nama negeri ini kepada Madhya Pradesh. Khazanah kekayaan dan kejayaannya masih terlihat sehingga hari ini.

Istana Rajwada

Indore tentu saja pernah menjadi tempat yang sangat makmur. Kebersihan yang terlihat di setiap inci jalanan kota justeru mengingatkan aku kepada Mysore di Karnataka. Kota yang dikhabarkan sebagai bandar terbersih di India ini telah mengharungi berbagai putaran roda zaman dengan berdiri sebagai saksi bisu sejak kemegahan raja-raja Holkar. Lihatlah Rajwada, istana bersejarah tujuh tingkat berusia 200 tahun yang dibina dalam campuran gaya Muslim, Maratha dan Perancis. Tiga tingkat pertama dibina dengan batu dan empat lantai atas terbuat daripada kayu, yang menjadikannya sangat rentan terhadap kemusnahan oleh api. Rajwada pernah terbakar sebanyak tiga kali dalam sejarahnya; kebakaran terakhir yang berlaku pada tahun 1984 menyaksikan kemusnahan yang paling besar. Hanya bahagian depan istana yang masih kekal. Hari ini, pengubahsuaian dijalankan oleh kerajaan negeri untuk menampakkan semula keagungan silam istana lama ini.

Bukan hanya istana milik Holkar yang megah berdiri, masih ada pula Lalbagh Palace, salah satu monumen terbesar Dinasti Holkar di tengah bekas-bekas keteraturan tata kota yang sistematik, peninggalan masa lalunya yang gemilang. Ibarat sebuah cerminan rasa kepada kemegahan dan gaya hidup mereka, pembinaan Lalbagh Palace bermula pada tahun 1886 di bawah Tukoji Rao Holkar II, dan dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa terakhir disiapkan pada tahun 1921 di bawah Tukoji Rao Holkar III. Banyak majlis diraja pernah diadakan di sini. Ia berkeluasan 28 hektar sekaligus menjadikannya sebagai salah satu taman mawar terbaik yang wujud di tanah India. 

Lalbagh Palace yang indah

Tempat tinggal Amit terletak di kawasan yang berpadu antara keserabutan dan keteraturan. Jalan raya berturap membentang lurus, membahagi perumahan menjadi blok-blok kotak. Tetapi sebaik memasuki kompleks koloni ini, rumah kotak-kotak tersebar berserabut, walaupun masih punya keteraturan lain – keseragaman bentuk dan ukuran.

Amit baru sahaja menamatkan pengajian di salah sebuah universiti di sini. Indore dianggap sebagai hab pendidikan negara kerana mempunyai kedua-dua kampus IIT (Indian Institute of Technology) dan IIM (Indian Institute of Management). Kota ini terletak di selatan Dataran Tinggi Malwa, pada ketinggian 550 meter (1800 kaki) di atas paras laut, sekaligus mempunyai ketinggian tertinggi di kalangan bandar-bandar utama di Central India. 

Rumah Amit cukup sederhana. Ada satu TV, dua katil, dan kipas siling. Bilik mandi dan tandas ada di pekarangan, tidak di dalam rumah. Ibunya lebih gemar memasak dengan dapur kayu walaupun dapur gas ada tersedia. Sebenarnya keluarga Amit boleh dikatakan cukup tawaduk, tambahan pula ayahnya merupakan seorang 'petaji', matlab, seorang swami di salah sebuah kuil di sini. 

Amit ada dua orang adik namun rumahnya terasa sunyi sekali. Matlab, adiknya masih belum pulang dari sekolah. Hanya dia dan ibunya yang ada di rumah pada siang hari sementara bapanya bertugas di kuil hingga lewat petang. Amit mengajak aku menonton perlawanan kriket di TV ketika ibunya sedang sibuk di dapur menyediakan makanan tengah hari. Untuk melayani aku sebagai tetamu di samping membantu tugas ibunya, dia berulang alik membawa nasi, sup sayur, dan minuman dari dapur. Sekali lagi, keramahtamahan warga India membuat hati aku tersentuh. Orang yang baru aku kenal di stesen keretapi pun sudah memperlakukan aku seperti kawan lama.

Petang hari, ketika matahari sudah mulai berkurang teriknya, Amit mengajak aku berkeliling kota menaiki motor bersama kawannya, Avinash. Dia turut mengajak beberapa lagi kawan lainnya ikut serta. Jadi aku pun mengikut saja kawanan anak muda ini yang kerjanya membuat onar di atas jalan raya tanpa helmet. Aku hanya mampu pasrah sebagai pembonceng ketiga. Gaya tunggangan mereka bahaya sekali. Matlab, suka bermain throttle. sekejap laju, kemudian perlahan, laju lagi, perlahan lagi. Tak hanya membuat onar tapi juga menjengkelkan pengguna jalan raya yang lain. Matlab, di tengah jalanan sesak pun masih sempat berzigzag. Dia bahkan cuba melakuan wheelie walaupun ada dua pembonceng di belakang, membuat jantung aku hampir gugur tika bersama mereka di atas motor.

Anak muda Indore

Namun begitu ada satu hal yang aku suka dengan Amit, orangnya jujur dan tidak munafik. Dia tak menutup kelakuan buruknya dengan apologi agama atau budaya. Meskipun bapanya seorang petaji, dia tidak suka terikat dengan berbagai perintah agama. Matlab, iman itu tak dapat diwarisi. Dia tidak kisah memakan daging lembu di warung orang muslim meskipun lembu adalah haiwan yang suci dalam Hinduisme.

"Kenapa perlu banyak larangan dalam pemakanan?" Soal Amit, "bukankah daging memberikan tubuh kita protein? Badan saya pasti lebih kurus daripada sekarang kalau cuma memakan sayur seumur hidup!"

Hobinya yang lain adalah mengunyah paan, buah pinang yang bersiram rempah masala dan dibungkus daun, dikunyah seperti sireh, lalu diludahkan. Hasilnya, gigi dan bibirnya merah seperti baru minum darah. Kalau anak muda Malaysia tak pernah menganggap mengunyah sireh sebagai kebiasaan yang cool, tapi bagi Amit justeru itu adalah lambang kemachoannya dan kegagahannya. Paan juga boleh didapatkan dalam bentuk segera, matlab, dijual secara paket. Ia mudah ditemukan di merata kawasan terutamanya di kedai-kedai runcit. Selain itu, rokok juga peneman Amit ketika meminum alkohol. 

Pada sebelah malam, aku diajak Amit berkumpul bersama teman-temannya, di rumah salah seorang rakan yang kebetulan kosong kerana ibu bapa rakannya itu pergi menziarahi saudara untuk beberapa hari. Jadi malam ini adalah malam todi. Erti harfiah todi ialah air nira yang sudah bertukar menjadi masam selepas didedahkan selama beberapa jam pada suhu bilik. Bagi mereka, nira ini air yang nikmat – minuman beralkohol yang memabukkan.

Air nira di sini diperoleh daripada pohon kurma. Di tengah gelapnya malam, aku dibawa Amit ke sebuah perkebunan berdekatan untuk membeli air nira kurma segar kerana aku tak mahu meminum air nira yang beralkohol. Air nira dijual pada harga 100 rupee sebungkus di pasar harian, namun aku hanya membayar 30 rupee di sini, berkat membeli secara langsung daripada si petani. 

Mabuk bersama bagi kawanan anak muda ini adalah lambang persahabatan mereka. Muzik Bollywood dimainkan dengan kuat sekali melalui bluetooth speaker. Para pemuda ini menari seperti bintang filem, mengiringi lagu Munna Badnaam Hua yang kian popular pasca filem Dabang 3. Kemudian todi itu dicampur bersama ais di dalam sebuah jag, dibancuh, kemudian dituang ke dalam gelas. Masing-masing bergiliran meneguk dari gelas yang sama, sambil menghisap rokok secara kongsi. Setiap kali selesai tegukan, mereka mengunyah bikaji - snek bercampur kacang dari Asia Selatan, yang katanya bertujuan untuk menawarkan todi yang diminum. 

Ritual persahabatan anak muda ini biasanya berlangsung sekali dalam seminggu. Kehingarbingaran mengisi seluruh ruangan rumah ini, hingga membuatkan aku tak ingin ikut serta, dan hanya duduk bersendirian di kerusi sambil memerhati gelagat mereka. Ritual ini berakhir dengan penuh cemas ketika salah seorang daripada mereka mulai muntah-muntah. Perutnya seperti meledak, isinya tak henti mencurah sampai sekujur tubuhnya lemah.

Paan yang ditelannya – lambang kegagahan dan kemachoannya – rupanya sama sekali tidak bersahabat dengan todi kurma yang diminumnya. Seorang samseng jalanan ini akhirnya harus bersandar di tepi dinding, matlab, sekarang dia malah tertidur sebagai pemabuk yang tidak lagi sedarkan diri.

Indore memang sebuah kota yang sangat bersih hinggakan tidak ada sampah di atas jalan pasar

Kebersihan kota ini mengingatkan aku dengan Mysore di Karnataka

Amit dan keluarganya

Bhopal (2): Taj-Ul Masajid

Gerbang Taj-Ul Masajid

21 Disember, 2019

    Aku sebenarnya kurang begitu tertarik dengan kegiatan mengunjungi muzium, benteng kuno, monumen, atau lain-lain kawasan yang berkait dengan sejarah lama. Bagi aku tempat-tempat itu adalah masa lalu yang sudah mati. Ia cuma merupakan beberapa peninggalan empayar dan dinasti terdahulu yang dikerumuni keramaian pengunjung dari seluruh penjuru dunia.

Untuk mengisi hari, aku berjalan kaki menelusuri setiap penjuru lorong-lorong kecil di Chowk Bazaar untuk melihat bagaimana kota lama ini berfungsi menjalani kesehariannya. Ratusan masjid yang berdiri di Old Bhopal sungguh mengingatkan aku kepada Lombok, yang dikenali sebagai 'Pulau Seribu Masjid' di Indonesia. Di sana ada masjid, di sini ada masjid, di situ pun ada masjid. 

"Pergilah berkunjung ke Taj-Ul Masajid," kata Mahmud, seorang penjual briyani, "kamu tentu belum pernah tahu bahawa ada masjid yang lebih besar daripada Jama Masjid di Delhi."

Saranan Mahmud lantas membuat aku tertarik untuk mencari dan berkunjung ke masjid yang disebutnya. Tambah Mahmud, Taj-Ul Masajid adalah masjid ketiga terbesar di dunia selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi (tapi selepas itu aku baru tahu yang masjid ini sebenarnya adalah yang ketujuh terbesar). Namun di kota kuno yang padat ini, aku perlu mengharung puluhan lorong bersimpang siur bak permainan labirin yang menyesatkan sang pejalan, dan selepas beberapa ketika aku akhirnya tiba di perkarangan masjid gergasi ini hasil bantuan beberapa penduduk tempatan. Untuk seketika aku dirundung rasa takjub.

Keagungan masa lalu empayar Islam yang pernah mendominasi tanah Hindustan suatu ketika dahulu jelas terpancar dari Taj-Ul Masajid yang berdiri megah mendominasi pemandangan langit kota kuno ini. Taj-Ul, yang bererti mahkota, secara harfiah mendeskripsikan kebesaran rumah ibadah umat Muslim ini. Kemegahan senibinanya memang mencerminkan perihal itu. Masjid ini dibina antara tahun 1868 hingga 1901, yang diilhamkan oleh Sultan Shah Jehan Begum. Ia dibangunkan daripada batu-batu merah, dan terletak di tepi sebuah tasik yang disebut sebagai Motia Talab. Airnya memantulkan refleksi kemegahan Taj-Ul Masajid. Dari tepi tasik, masjid ini nampak bersinar memanjang menampilkan sudut-sudut yang penuh ornamen. Takzim menyelubung sanubari siapa pun yang berkunjung ke sini, kota kuno yang terletak di jantung Madhya Pradesh. 

Mungkin ramai di antara kita yang berfikir bahawa Jama Masjid di Delhi adalah masjid yang terbesar di India. Namun hakikatnya, ia tidak setanding Taj-Ul Masajid yang mempunyai ukuran kawasan dalaman kira-kira 430 ribu kaki persegi dengan kapasiti yang mampu memuatkan seramai 175 ribu orang jemaah pada satu masa. Pintu gerbang Taj-Ul Masajid membentang tinggi, berhadap-hadapan dengan sebuah madrasah, seperti jiplakan cermin tembus pandang. Gerbang utama, berbentuk kotak, bertabur dengan ukiran dekorasi yang dibuat dengan ketelitian tahap tinggi, bertahtakan huruf-huruf Arab, asma Allah dan Muhammad yang disamarkan dalam ornamen-ornamen yang menyelimut seluruh dinding. Warnanya coklat kemerahan, menyiratkan kejayaan masa lalu, dan berkilauan diterpa mentari di petang hari.

Masjid yang berusia lebih daripada satu abad ini mempunyai 3 kubah marmar dan dihiasi dengan dua minaret yang menjulang setinggi 18 tingkat, berselimut ukiran-ukiran terperinci yang indah. Sayangnya, pengurusan masjid tidak mengizinkan aku naik ke puncak menara untuk memotret seluruh kota Bhopal lama dari aras tinggi. Laluan utamanya mengagumkan dengan tiang-tiang menarik dan lantai marmar menyerupai seni bina Mughal seperti Jama Masjid di Delhi dan Masjid Badshahi di Lahore. Perkarangan dalam masjid berbentuk persegi. Di tengah halaman pula terdapat sebuah kolam besar untuk para jemaah berwudhu. 

Perkarangan Taj-Ul Masajid

Mustaffa, seorang kakitangan madrasah di kompleks masjid ini, berwajah seperti orang dari Asia tengah. Bola matanya biru kehijauan, kulitnya putih bersih, dan rambutnya sedikit perang. Tubuhnya agak kurus, namun tetap gagah berselimut jubah yang menghangatkan tubuh di musim sejuk ini. Kepalanya tak pernah lepas dari kopiah putih berhiaskan sulam-sulaman tradisional.

"Kopiah ini dari Malaysia, dibeli semasa ayah saya ke sana tiga tahun lalu," ujarnya bangga. Perjalanan sang bapa mengikuti rombongan jemaah tabligh yang mengunjungi markas-markas dan madrasah-madrasah di sekitar Malaysia dan Indonesia suatu ketika dulu adalah perjalanan yang fenomenal baginya.

"Di rumah ada gambar-gambar Malaysia. Saya sukakan Masjid Putrajaya. Negara kamu benar-benar bersih dan indah," tambah Mustaffa.

Mustaffa bekerja di madrasah. Katanya baru-baru ini saja, setelah bernikah, dia taubat dan kembali ke jalan yang benar. Dulunya, anak lelaki sang imam ini lebih banyak menghabiskan waktunya bermain dengan kehidupan duniawi. Abang dan adik Mustaffa semuanya aktif di madrasah dan masjid ini.

Mustaffa membawa aku berkeliling masjid, melihat aktiviti para pelajar madrasah menghafaz Quran setelah usai solat asar. Petang hari pula, para pelajar keluar beriadah bermain kriket di perkarangan luar masjid. Kehidupan yang tertutup di balik dinding madrasah, kini berubah menjadi tawa ceria anak-anak muda yang bermain di dalam beberapa kelompok kumpulan. 

Diterpa sinar keemasan mentari senja, di sudut masjid, terlihat seorang imam sedang khusyuk membaca Quran Nur Karim mengisi waktu. Jubah hitam membungkus tubuhnya, dengan kepala berbalut serban. Dia larut dalam kekhusyukan bacaan, berpadu dengan bayang-bayang lengkungan kubah menara masjid yang disiram bilasan cahaya.

Maghrib memasuki waktunya. Sang muazzin mula berteriak melaungkan azan yang menggemakan seluruh kota lama. Hari aku berakhir di sini. 

Waktu solat

Rutin harian para pelajar madrasah menghafaz al-Quran selepas solat asar


Bahagian dalam masjid

aktiviti permainan kriket di petang hari




Bhopal (1): Dunia Memang Kecil

Selamat datang ke negeri yang ke-18, Madhya Pradesh

19 Disember, 2019

    Sebenarnya aku masih mencari-cari kembali semangat perjalanan yang sempat hilang rentetan bermacam masalah melanda kebelakangan ini. Draf catatan perjalanan di Uttarakhand tentang kisah ibu kota yoga di Rishikesh dan keputusasaan aku di Dehradun kini lesap begitu saja selepas telefon rosak total dan aku pula sudah merasa terlalu malas untuk menuliskannya semula. 

Namun dalam masa yang sama, perjalanan tetap perlu diteruskan juga kerana aku telah mematikan langkah untuk tempoh yang terlalu lama di Lucknow. Dari Uttar Pradesh, aku membuat keputusan untuk berpindah ke kota yang baru dan Bhopal adalah destinasi yang aku seterusnya.

Berdiri sebagai ibu kota bagi negeri Madhya Pradesh, metropolis ini adalah pusat bagi pengoperasian kerajaan negeri dan ia merupakan bandar besar yang terletak di tengah-tengah sub-benua India. Bhopal pada asalnya pernah disebut 'Bhoj-pal', yang dinamakan sempena Raja Bhoja, pemimpin Dinasti Paramara yang mengilhami penubuhan kota ini pada abad ke-11. Bhopal hidup dalam kecampuradukan antara budaya kehidupan lama dan baru dengan sisi kota lama (Old Bhopal) yang memperlihatkan aku kepada pengaruh Mughal dan sisi kota baru (New Bhopal) yang mempamerkan pembangunan terancang sekaligus menunjukkan kebanggaan sebagai sebuah bandar raya moden India.

Taj-Ul Masajid, masjid terbesar di India dan dipercayai ketiga terbesar di dunia selepas Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi di Arab Saudi

"The City of Lakes, demikian Bhopal dikenal," kata Piyush, pemuda tempatan yang mengalu-alukan ketibaanku ke rumahnya kelmarin.

Menurut beliau, kota ini mempunyai kira-kira 14 buah tasik dan beberapa daripadanya adalah tasik buatan yang telah digali sejak pemerintahan Raja Bhoja hingga Empayar Mughal. Menyaksikan lambakan tasik di kota ini sungguh mengingatkan aku dengan Udaipur di Rajasthan yang turut diberi jolokan serupa.

"Petang nanti kamu ikut saya makan di luar ok?" Pinta Piyush. "Saya mahu berjumpa dengan seorang kawan lama yang kebetulan sedang berada di Bhopal untuk beberapa hari. Dia seorang penulis dan baru saja melancarkan buku barunya bulan lepas."

Entah kenapa, Piyush mengingatkan aku dengan seorang lelaki yang pernah menghantar mesej kepadaku baru-baru ini menerusi Couchsurfing. Dalam mesejnya, lelaki tersebut mengundang aku untuk berjumpa dan minum kopi bersamanya jika aku mempunyai masa terluang di sini. Beliau juga mengatakan dirinya merupakan seorang penulis yang baru sahaja melancarkan buku terbaru. Namun aku tidak membuat sebarang janji kepada lelaki itu kerana aku masih belum punya apa-apa perancangan sepanjang di Bhopal.

"Beberapa hari lepas ada seorang couchsurfer yang mengajak saya berjumpa, tapi saya tidak berjanji apa-apa dengan dia," aku memberitahu Piyush, "katanya dia juga penulis, dan baru-baru ini buku karyanya telah dilancarkan di laman Amazon."

Tiba-tiba raut wajah Piyush berubah, lantas dia separuh berteriak.

"Hei! Jangan kata yang kita sedang bercakap tentang orang yang sama!"

Siapa sangka, Abhi, lelaki yang menghantar mesej untuk mengundang aku minum kopi bersamanya tempoh hari juga merupakan kawan kepada Piyush. Dan pada petang itu, aku berjumpa dengan beliau secara kebetulan walaupun kami tidak membuat sebarang temu janji sebelumnya.

What a small world. Dunia memang kecil. Perjalanan adalah perambahan dunia dengan meraba-raba. Kadangnya tanpa sengaja kita menemukan takdir manusia yang terjalin dengan begitu rapi, seperti babak filem Hindustan yang penuh dengan kebetulan. Bahkan di tempat yang masih baru ini, aku menemukan sebuah takdir perjodohan untuk yang kesekian kali.

Selamat datang ke negeri yang ke-18, Madhya Pradesh.

Tugu Raja Bhoja berdiri megah di Upper lake

Kanak-kanak tempatan yang sangat bersahabat

Chowk Bazaar merupakan jantung kota Old Bhopal, yang mirip dengan Chandni Chowk di Delhi

Makan malam bersama Piyush dan Abhi




Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!