26 Disember, 2019
Dari sekadar berkenalan di warung teh, sekarang pemuda ini sudah mengundang aku menginap di rumahnya di Indore.
Namanya Amit Sharma. Masih muda, 21 umurnya. Sederhana tinggi, berpostur kurus, tidak terlalu gelap dan tidak pula terlalu cerah. Dia tak boleh berbahasa Inggeris dengan lancar. Kalau bercakap bahasa Hindi, setiap kalimatnya hampir selalu diakhiri dengan kata matlab, yang ertinya adalah 'maksudnya', seolah-olah setiap kalimatnya terlalu susah difahami dan pendengar harus selalu perlukan penjelasan lebih lanjut. Di rumah dia bertutur bahasa Marwari, yang merupakan bahasa ibunda bagi seluruh keluarganya yang berasal dari Rajasthan.
“Kamu harus belajar bahasa Marwari, matlab bahasa ini sangat indah dan lucu,” demikian sarannya.
Rumah Amit terletak di Shanti Nagar, antara kawasan kejiranan terpadat di pinggiran kota Indore. Dahulunya Indore di abad ke-16 adalah pusat perdagangan di antara Deccan dan Delhi. Bandar ini dan sekitarnya terletak di bawah Empayar Hindu Maratha sejak abad ke-17 selepas Maratha Peshwa Baji Rao mengambil alih pemerintahan Malwa. Pada zaman British Raj pula, Indore diperintah oleh dinasti Maratha Holkar hingga kerajaannya lenyap dan melebur ke dalam Kesatuan India. Kota ini pernah bertindak sebagai ibu kota Madhya Bharat dari 1950 hingga 1956 sebelum India menukar nama negeri ini kepada Madhya Pradesh. Khazanah kekayaan dan kejayaannya masih terlihat sehingga hari ini.
|
Istana Rajwada |
Indore tentu saja pernah menjadi tempat yang sangat makmur. Kebersihan yang terlihat di setiap inci jalanan kota justeru mengingatkan aku kepada Mysore di Karnataka. Kota yang dikhabarkan sebagai bandar terbersih di India ini telah mengharungi berbagai putaran roda zaman dengan berdiri sebagai saksi bisu sejak kemegahan raja-raja Holkar. Lihatlah Rajwada, istana bersejarah tujuh tingkat berusia 200 tahun yang dibina dalam campuran gaya Muslim, Maratha dan Perancis. Tiga tingkat pertama dibina dengan batu dan empat lantai atas terbuat daripada kayu, yang menjadikannya sangat rentan terhadap kemusnahan oleh api. Rajwada pernah terbakar sebanyak tiga kali dalam sejarahnya; kebakaran terakhir yang berlaku pada tahun 1984 menyaksikan kemusnahan yang paling besar. Hanya bahagian depan istana yang masih kekal. Hari ini, pengubahsuaian dijalankan oleh kerajaan negeri untuk menampakkan semula keagungan silam istana lama ini.
Bukan hanya istana milik Holkar yang megah berdiri, masih ada pula Lalbagh Palace, salah satu monumen terbesar Dinasti Holkar di tengah bekas-bekas keteraturan tata kota yang sistematik, peninggalan masa lalunya yang gemilang. Ibarat sebuah cerminan rasa kepada kemegahan dan gaya hidup mereka, pembinaan Lalbagh Palace bermula pada tahun 1886 di bawah Tukoji Rao Holkar II, dan dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa terakhir disiapkan pada tahun 1921 di bawah Tukoji Rao Holkar III. Banyak majlis diraja pernah diadakan di sini. Ia berkeluasan 28 hektar sekaligus menjadikannya sebagai salah satu taman mawar terbaik yang wujud di tanah India.
|
Lalbagh Palace yang indah
|
Tempat tinggal Amit terletak di kawasan yang berpadu antara keserabutan dan keteraturan. Jalan raya berturap membentang lurus, membahagi perumahan menjadi blok-blok kotak. Tetapi sebaik memasuki kompleks koloni ini, rumah kotak-kotak tersebar berserabut, walaupun masih punya keteraturan lain – keseragaman bentuk dan ukuran.
Amit baru sahaja menamatkan pengajian di salah sebuah universiti di sini. Indore dianggap sebagai hab pendidikan negara kerana mempunyai kedua-dua kampus IIT (Indian Institute of Technology) dan IIM (Indian Institute of Management). Kota ini terletak di selatan Dataran Tinggi Malwa, pada ketinggian 550 meter (1800 kaki) di atas paras laut, sekaligus mempunyai ketinggian tertinggi di kalangan bandar-bandar utama di Central India.
Rumah Amit cukup sederhana. Ada satu TV, dua katil, dan kipas siling. Bilik mandi dan tandas ada di pekarangan, tidak di dalam rumah. Ibunya lebih gemar memasak dengan dapur kayu walaupun dapur gas ada tersedia. Sebenarnya keluarga Amit boleh dikatakan cukup tawaduk, tambahan pula ayahnya merupakan seorang 'petaji', matlab, seorang swami di salah sebuah kuil di sini.
Amit ada dua orang adik namun rumahnya terasa sunyi sekali. Matlab, adiknya masih belum pulang dari sekolah. Hanya dia dan ibunya yang ada di rumah pada siang hari sementara bapanya bertugas di kuil hingga lewat petang. Amit mengajak aku menonton perlawanan kriket di TV ketika ibunya sedang sibuk di dapur menyediakan makanan tengah hari. Untuk melayani aku sebagai tetamu di samping membantu tugas ibunya, dia berulang alik membawa nasi, sup sayur, dan minuman dari dapur. Sekali lagi, keramahtamahan warga India membuat hati aku tersentuh. Orang yang baru aku kenal di stesen keretapi pun sudah memperlakukan aku seperti kawan lama.
Petang hari, ketika matahari sudah mulai berkurang teriknya, Amit mengajak aku berkeliling kota menaiki motor bersama kawannya, Avinash. Dia turut mengajak beberapa lagi kawan lainnya ikut serta. Jadi aku pun mengikut saja kawanan anak muda ini yang kerjanya membuat onar di atas jalan raya tanpa helmet. Aku hanya mampu pasrah sebagai pembonceng ketiga. Gaya tunggangan mereka bahaya sekali. Matlab, suka bermain throttle. sekejap laju, kemudian perlahan, laju lagi, perlahan lagi. Tak hanya membuat onar tapi juga menjengkelkan pengguna jalan raya yang lain. Matlab, di tengah jalanan sesak pun masih sempat berzigzag. Dia bahkan cuba melakuan wheelie walaupun ada dua pembonceng di belakang, membuat jantung aku hampir gugur tika bersama mereka di atas motor.
|
Anak muda Indore
|
Namun begitu ada satu hal yang aku suka dengan Amit, orangnya jujur dan tidak munafik. Dia tak menutup kelakuan buruknya dengan apologi agama atau budaya. Meskipun bapanya seorang petaji, dia tidak suka terikat dengan berbagai perintah agama. Matlab, iman itu tak dapat diwarisi. Dia tidak kisah memakan daging lembu di warung orang muslim meskipun lembu adalah haiwan yang suci dalam Hinduisme.
"Kenapa perlu banyak larangan dalam pemakanan?" Soal Amit, "bukankah daging memberikan tubuh kita protein? Badan saya pasti lebih kurus daripada sekarang kalau cuma memakan sayur seumur hidup!"
Hobinya yang lain adalah mengunyah paan, buah pinang yang bersiram rempah masala dan dibungkus daun, dikunyah seperti sireh, lalu diludahkan. Hasilnya, gigi dan bibirnya merah seperti baru minum darah. Kalau anak muda Malaysia tak pernah menganggap mengunyah sireh sebagai kebiasaan yang cool, tapi bagi Amit justeru itu adalah lambang kemachoannya dan kegagahannya. Paan juga boleh didapatkan dalam bentuk segera, matlab, dijual secara paket. Ia mudah ditemukan di merata kawasan terutamanya di kedai-kedai runcit. Selain itu, rokok juga peneman Amit ketika meminum alkohol.
Pada sebelah malam, aku diajak Amit berkumpul bersama teman-temannya, di rumah salah seorang rakan yang kebetulan kosong kerana ibu bapa rakannya itu pergi menziarahi saudara untuk beberapa hari. Jadi malam ini adalah malam todi. Erti harfiah todi ialah air nira yang sudah bertukar menjadi masam selepas didedahkan selama beberapa jam pada suhu bilik. Bagi mereka, nira ini air yang nikmat – minuman beralkohol yang memabukkan.
Air nira di sini diperoleh daripada pohon kurma. Di tengah gelapnya malam, aku dibawa Amit ke sebuah perkebunan berdekatan untuk membeli air nira kurma segar kerana aku tak mahu meminum air nira yang beralkohol. Air nira dijual pada harga 100 rupee sebungkus di pasar harian, namun aku hanya membayar 30 rupee di sini, berkat membeli secara langsung daripada si petani.
Mabuk bersama bagi kawanan anak muda ini adalah lambang persahabatan mereka. Muzik Bollywood dimainkan dengan kuat sekali melalui bluetooth speaker. Para pemuda ini menari seperti bintang filem, mengiringi lagu Munna Badnaam Hua yang kian popular pasca filem Dabang 3. Kemudian todi itu dicampur bersama ais di dalam sebuah jag, dibancuh, kemudian dituang ke dalam gelas. Masing-masing bergiliran meneguk dari gelas yang sama, sambil menghisap rokok secara kongsi. Setiap kali selesai tegukan, mereka mengunyah bikaji - snek bercampur kacang dari Asia Selatan, yang katanya bertujuan untuk menawarkan todi yang diminum.
Ritual persahabatan anak muda ini biasanya berlangsung sekali dalam seminggu. Kehingarbingaran mengisi seluruh ruangan rumah ini, hingga membuatkan aku tak ingin ikut serta, dan hanya duduk bersendirian di kerusi sambil memerhati gelagat mereka. Ritual ini berakhir dengan penuh cemas ketika salah seorang daripada mereka mulai muntah-muntah. Perutnya seperti meledak, isinya tak henti mencurah sampai sekujur tubuhnya lemah.
Paan yang ditelannya – lambang kegagahan dan kemachoannya – rupanya sama sekali tidak bersahabat dengan todi kurma yang diminumnya. Seorang samseng jalanan ini akhirnya harus bersandar di tepi dinding, matlab, sekarang dia malah tertidur sebagai pemabuk yang tidak lagi sedarkan diri.
|
Indore memang sebuah kota yang sangat bersih hinggakan tidak ada sampah di atas jalan pasar |
|
Kebersihan kota ini mengingatkan aku dengan Mysore di Karnataka
|
|
Amit dan keluarganya
|