Aku sebenarnya kurang begitu tertarik dengan kegiatan mengunjungi muzium, benteng kuno, monumen, atau lain-lain kawasan yang berkait dengan sejarah lama. Bagi aku tempat-tempat itu adalah masa lalu yang sudah mati. Ia cuma merupakan beberapa peninggalan empayar dan dinasti terdahulu yang dikerumuni keramaian pengunjung dari seluruh penjuru dunia.
Untuk mengisi hari, aku berjalan kaki menelusuri setiap penjuru lorong-lorong kecil di Chowk Bazaar untuk melihat bagaimana kota lama ini berfungsi menjalani kesehariannya. Ratusan masjid yang berdiri di Old Bhopal sungguh mengingatkan aku kepada Lombok, yang dikenali sebagai 'Pulau Seribu Masjid' di Indonesia. Di sana ada masjid, di sini ada masjid, di situ pun ada masjid.
"Pergilah berkunjung ke Taj-Ul Masajid," kata Mahmud, seorang penjual briyani, "kamu tentu belum pernah tahu bahawa ada masjid yang lebih besar daripada Jama Masjid di Delhi."
Saranan Mahmud lantas membuat aku tertarik untuk mencari dan berkunjung ke masjid yang disebutnya. Tambah Mahmud, Taj-Ul Masajid adalah masjid ketiga terbesar di dunia selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi (tapi selepas itu aku baru tahu yang masjid ini sebenarnya adalah yang ketujuh terbesar). Namun di kota kuno yang padat ini, aku perlu mengharung puluhan lorong bersimpang siur bak permainan labirin yang menyesatkan sang pejalan, dan selepas beberapa ketika aku akhirnya tiba di perkarangan masjid gergasi ini hasil bantuan beberapa penduduk tempatan. Untuk seketika aku dirundung rasa takjub.
Keagungan masa lalu empayar Islam yang pernah mendominasi tanah Hindustan suatu ketika dahulu jelas terpancar dari Taj-Ul Masajid yang berdiri megah mendominasi pemandangan langit kota kuno ini. Taj-Ul, yang bererti mahkota, secara harfiah mendeskripsikan kebesaran rumah ibadah umat Muslim ini. Kemegahan senibinanya memang mencerminkan perihal itu. Masjid ini dibina antara tahun 1868 hingga 1901, yang diilhamkan oleh Sultan Shah Jehan Begum. Ia dibangunkan daripada batu-batu merah, dan terletak di tepi sebuah tasik yang disebut sebagai Motia Talab. Airnya memantulkan refleksi kemegahan Taj-Ul Masajid. Dari tepi tasik, masjid ini nampak bersinar memanjang menampilkan sudut-sudut yang penuh ornamen. Takzim menyelubung sanubari siapa pun yang berkunjung ke sini, kota kuno yang terletak di jantung Madhya Pradesh.
Mungkin ramai di antara kita yang berfikir bahawa Jama Masjid di Delhi adalah masjid yang terbesar di India. Namun hakikatnya, ia tidak setanding Taj-Ul Masajid yang mempunyai ukuran kawasan dalaman kira-kira 430 ribu kaki persegi dengan kapasiti yang mampu memuatkan seramai 175 ribu orang jemaah pada satu masa. Pintu gerbang Taj-Ul Masajid membentang tinggi, berhadap-hadapan dengan sebuah madrasah, seperti jiplakan cermin tembus pandang. Gerbang utama, berbentuk kotak, bertabur dengan ukiran dekorasi yang dibuat dengan ketelitian tahap tinggi, bertahtakan huruf-huruf Arab, asma Allah dan Muhammad yang disamarkan dalam ornamen-ornamen yang menyelimut seluruh dinding. Warnanya coklat kemerahan, menyiratkan kejayaan masa lalu, dan berkilauan diterpa mentari di petang hari.
Masjid yang berusia lebih daripada satu abad ini mempunyai 3 kubah marmar dan dihiasi dengan dua minaret yang menjulang setinggi 18 tingkat, berselimut ukiran-ukiran terperinci yang indah. Sayangnya, pengurusan masjid tidak mengizinkan aku naik ke puncak menara untuk memotret seluruh kota Bhopal lama dari aras tinggi. Laluan utamanya mengagumkan dengan tiang-tiang menarik dan lantai marmar menyerupai seni bina Mughal seperti Jama Masjid di Delhi dan Masjid Badshahi di Lahore. Perkarangan dalam masjid berbentuk persegi. Di tengah halaman pula terdapat sebuah kolam besar untuk para jemaah berwudhu.
Mustaffa, seorang kakitangan madrasah di kompleks masjid ini, berwajah seperti orang dari Asia tengah. Bola matanya biru kehijauan, kulitnya putih bersih, dan rambutnya sedikit perang. Tubuhnya agak kurus, namun tetap gagah berselimut jubah yang menghangatkan tubuh di musim sejuk ini. Kepalanya tak pernah lepas dari kopiah putih berhiaskan sulam-sulaman tradisional.
"Kopiah ini dari Malaysia, dibeli semasa ayah saya ke sana tiga tahun lalu," ujarnya bangga. Perjalanan sang bapa mengikuti rombongan jemaah tabligh yang mengunjungi markas-markas dan madrasah-madrasah di sekitar Malaysia dan Indonesia suatu ketika dulu adalah perjalanan yang fenomenal baginya.
"Di rumah ada gambar-gambar Malaysia. Saya sukakan Masjid Putrajaya. Negara kamu benar-benar bersih dan indah," tambah Mustaffa.
Mustaffa bekerja di madrasah. Katanya baru-baru ini saja, setelah bernikah, dia taubat dan kembali ke jalan yang benar. Dulunya, anak lelaki sang imam ini lebih banyak menghabiskan waktunya bermain dengan kehidupan duniawi. Abang dan adik Mustaffa semuanya aktif di madrasah dan masjid ini.
Mustaffa membawa aku berkeliling masjid, melihat aktiviti para pelajar madrasah menghafaz Quran setelah usai solat asar. Petang hari pula, para pelajar keluar beriadah bermain kriket di perkarangan luar masjid. Kehidupan yang tertutup di balik dinding madrasah, kini berubah menjadi tawa ceria anak-anak muda yang bermain di dalam beberapa kelompok kumpulan.
Diterpa sinar keemasan mentari senja, di sudut masjid, terlihat seorang imam sedang khusyuk membaca Quran Nur Karim mengisi waktu. Jubah hitam membungkus tubuhnya, dengan kepala berbalut serban. Dia larut dalam kekhusyukan bacaan, berpadu dengan bayang-bayang lengkungan kubah menara masjid yang disiram bilasan cahaya.
Maghrib memasuki waktunya. Sang muazzin mula berteriak melaungkan azan yang menggemakan seluruh kota lama. Hari aku berakhir di sini.
Waktu solat |
Rutin harian para pelajar madrasah menghafaz al-Quran selepas solat asar |
aktiviti permainan kriket di petang hari |