Memaparkan catatan dengan label pelajaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelajaran. Papar semua catatan

Sebuah Pelajaran Dari Sabah

Kenangan menggapai penghujung tanah Borneo di Kudat

Sebaik mendapat email tentang pembatalan penerbangan aku ke Pakistan pada hujung Oktober lalu, aku langsung mendapatkan tiket baru yang dijadualkan berlepas pada 1 Disember. Ketika itu, otak aku mula ligat berfikir ke manakah destinasi yang perlu aku pergi untuk mengisi kekosongan bulan November. Setelah berkira-kira dan membuat sedikit research, aku membuat keputusan drastik dengan memilih untuk terbang ke Sabah setelah berjaya menyambar tiket satu hala ke Sandakan dengan harga yang tidak sampai RM45.

Mengenangkan Sabah yang merupakan negeri terakhir untuk aku melengkapkan perjalanan ke semua negeri di Malaysia, desus hati aku kuat mengatakan, “inilah masanya!” Dan dalam masa yang sama, aku turut mahu merangkumkan perjalanan ini bersama Labuan memandangkan wilayah itu juga merupakan satu-satunya wilayah persekutuan yang belum pernah aku pergi. 

Sehingga pada hari pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sandakan, aku seakan masih tidak percaya yang aku telahpun sampai di negeri terakhirku. Meskipun sejak zaman sebelum pandemik dahulu terdapat banyak tiket penerbangan murah yang boleh aku dapatkan untuk ke sini, namun hati aku tak pernah sekalipun berkeinginan untuk mendapatkannya kerana aku lebih banyak menghabiskan masa berkelana di luar negara sejak 2017.

Kota Sandakan memberikan aku kejutan pertama setibanya aku di Sabah

Kejutan pertama yang aku terima di kota Sandakan ialah ketidakwujudan hostel yang aku tempah secara dalam talian. Lebih memeningkan, hostel tersebut juga tidak wujud di dalam Google Map! Hal ini menyebabkan aku terpaksa menyewa sebuah single room berharga RM45/malam di Sandakan Backpackers selama di Sandakan berikutan 7 buah backpackers hostel yang pernah wujud kini semuanya telah menghentikan operasi. Demikian begitu dahsyatnya badai pandemik yang sama sekali telah mematikan bisnes-bisnes penginapan bajet di seluruh kota. 

Sabah adalah negeri amat luas memandangkan ia negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Luasnya kira-kira dua kali ganda negeri Pahang. Perjalanan dari Sandakan ke Kota Kinabalu (KK) sahaja mengambil masa lebih enam jam. KK ke Tawau pula mengambil masa kira-kira sembilan jam. Malahan ia lebih lama daripada tempoh perjalanan warga Kuala Lumpur untuk pulang ke Kelantan.

Apa yang membezakannya ialah, tidak ada lebuh raya bertol di sini. Rata-rata rakyatnya akan menggunakan laluan yang melalui Kundasang untuk bepergian dari pantai barat ke pantai timur Sabah.

Selamat datang ke Kota Kinabalu, metropolis keenam terbesar di Malaysia

Selama berjalan di negeri ini, pelajaran pertama untuk aku adalah nama seseorang tidak menggambarkan agama. Pernah beberapa kali aku terkeliru samada orang-orang yang aku temui itu beragama Islam ataupun bukan. Di negeri ini, bangsa bukanlah penanda mutlak untuk mengecop status agama seseorang. Agama juga tidak merujuk kepada bangsa, kaum, dan etnik tertentu.

Semasa dalam perjalanan dari Kampung Melangkap menuju Ranau, satu pasangan kekasih beretnik Kadazan-Dusun telah menumpangkan aku dengan jeep mereka. Pada awalnya, aku sangka pasangan itu bukan orang Muslim namun sebenarnya mereka beragama Islam. Semasa di Kudat pula, aku pernah mengikut seorang lelaki tempatan yang mengundang aku minum bersama rakan-rakannya di sebuah restoran cina.

Para lelaki itu berbangsa Rungus. Si lelaki yang membawa aku ke restoran itu beragama Islam. Rakan lain daripada kaum sama pula beragama Kristian.

Gereja Katolik umat Nasrani Sabah

Hal ini mungkin kerana kebanyakan daripada mereka lebih terbuka dengan konsep perkahwinan campur.

Di mata rakyat Sabah, ia bukan suatu hal yang pelik jika satu keluarga mempunyai ramai ahli keluarga dengan agama yang berbeza.

Ini belum mengambil kira dari segi aspek asimilasi kepercayaan tertentu yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Keunikan gaya hidup ini jelas dapat dilihat ketika upacara tertentu seperti jika ada berlaku kematian.

Untuk mengelakkan daripada kekeliruan, aku lebih banyak menyapa orang dengan kata kata “salam” berbanding “assalamualaikum” ketika bercakap dan bersalaman.

Ini kerana nama seseorang mungkin kedengaran seperti orang Islam, tetapi sebenarnya bukan.

Aneka makanan boleh didapati di pasar makanan Kota Kinabalu yang dibuka setiap petang

Perjalanan sentiasa tidak pernah gagal mengajarkan kita berbagai pengetahuan baru. Di sini, aku baru tahu tentang kaum dan etnik Sabah sebenarnya lebih banyak daripada apa yang aku tahu sebelumnya seperti orang Bugis, Kadazan-Dusun, dan Bajau. Ada lebih daripada 30 kumpulan lain seperti Lundayeh, Bonggi, Paitan, Lotud, Minokok, Tidung, serta Ubian. Ada banyak Bahasa yang sama sekali berbeza, namun bahasa Melayu dalam loghat Sabah telah menyatukan kesemua etnik di negeri ini.

Ketika di Tanjung Aru, seorang teman ada menceritakan keluarga besarnya yang menganut berbagai agama. Ibunya merupakan seorang Kristian manakala bapanya beragama Islam. Dia menceritakan minggu lalu dia baru sahaja menghadiri majlis perkahwinan ibu saudaranya di sebuah gereja di Tambunan. Upacaranya amat panjang iaitu hampir dua jam. Ia diselangi dengan ucapan paderi, doa keagamaan dan lantunan lagu dalam tiga bahasa termasuk bahasa Melayu. Namun bagi aku sendiri, ia bukanlah suatu perihal yang pelik apabila nama Allah ada disebut di dalam gereja kerana aku juga pernah menyaksikan hal serupa di negara jiran.

Tambahnya, majlis resepsi perkahwinan yang diadakan di negeri ini juga tidak ada banyak masalah tentang hidangan kerana tuan rumah biasanya akan menyediakan dua stesen bufet untuk orang Muslim dan bukan Muslim.

Titik pertemuan antara Laut China Selatan dan Laut Sulu di Kudat

Toleransi antara kaum dan agama yang kuat ini juga dapat dilihat pada papan-papan iklan di tepi jalan yang banyak memaparkan iklan mengenai program agama bukan Islam.

Pelbagai jenis gereja dan kuil Buddha yang berukuran besar dan kecil juga mudah ditemukan di mana-mana daerah seluruh Sabah.

Konsep keterbukaan seperti ini mungkin sukar untuk dilihat di tanah semenanjung tapi dari sudut pandang aku sendiri yang telah banyak berkelana di berbagai negara, ini adalah apa yang disebut sebagai keharmonian.

Makan semeja dengan orang yang bukan seagama juga buka lagi perkara pelik.

Ia bukanlah hal yang tabu untuk diperkatakan dan mereka juga tidak terlalu cepat melatah mengenai isu berkaitan makanan. Mereka bukannya tidak menitikberatkan hukum, cuma rata-ratanya tidak menjadikan ia sebagai satu isu dalam pergaulan keseharian.

Yang pastinya, mereka tetap menghormati agama dan kepercayaan masing-masing.

Pekan lama Beaufort yang menggamit nostalgia masa lalu

Meskipun aku tidak dapat mengembara ke seluruh pelusuk negeri kerana hanya ada tiga minggu untuk diisi, Sabah sempat menyedarkan aku bahawa ada banyak perkara yang aku perlu belajar lagi daripada penduduk negeri ini. Namun pelajaran terbesar yang diajarkan di sini adalah; pentingnya toleransi bagi mengecapi kehidupan yang harmoni.

Pertanyaan tentang apa agamaku apa agamamu serta perbalahan tentang siapa pendatang dan siapa tuan tanah tidak akan memberikan sebarang langkah kehadapan.

Kerana ia adalah sangat penting untuk menciptakan perpaduan hidup senegara, yang hanya boleh terwujud ketika orang-orang dapat menghormati perbezaan dan menjunjung persamaan harkat kemanusiaan daripada sekadar membabi-buta membela kesempitan identiti dan agama masing-masing. Bagaimana kita boleh mengharapkan penyatuan keluarga malaysia, kalau kita masih belum mampu berdamai dengan diri kita sendiri?

Terima kasih Sabah.

Berkhemah di Polumpong Campsite, Kota Belud

Ranau menjadi destinasi pilihan aku berbanding Kundasang yang terlalu sesak dengan pengunjung

Aki Nabalu, dahulu hanya di dalam angan, kini sudah di depan pandangan


Empati: Pelajaran Dari Dalam Sebuah Bas


Perjalanan dengan bas di India selalu penuh warna. Pengalaman aku semasa menaiki bas dari Kasol ke Shimla November lalu adalah salah satunya. Pengalaman ini sebenarnya boleh dikatakan normal dalam perjalanan di India. Bas-bas di India biasanya diubahsuai untuk menempatkan 50 tempat duduk dalam sebuah bas yang asalnya hanya berkapasiti 40 kerusi. Akibatnya, sebuah jendela bas terkadang harus dikongsi oleh dua baris penumpang.

Penumpang di depan aku, seorang wanita berbungkus sari, dengan selamba membuka jendela di samping tempat duduknya lebar-lebar. Akibatnya, separuh bahagian dari jendela yang terbuka itu tepat di sebelah aku yang duduk di kerusi belakang, mengalirkan angin bulan November yang luar biasa dinginnya ke dalam bas. Penumpang-penumpang lain di baris belakang yang turut dihembus sapuan angin dingin itu semuanya marah. Bahkan ada ibu-ibu yang membawa bayi, dan bayinya menangis kedinginan. Tak hairanlah, musim sejuk seakan dipindahkan langsung ke dalam bas, sedangkan perempuan yang membuka jendela itu hanya bersejuk-sejuk sahaja kerana angin tidak menghembus tepat ke wajahnya. Semua orang berteriak, menyumpah seranah, meminta agar jendela itu ditutup kembali. Tapi orang India memang terkenal dengan konsistensinya, demikian juga lembu-lembu di jalan yang tak pernah peduli dengan kenderaan yang lalu lalang. Perempuan ini pun tetap selamba dengan tak mahu menurunkan jendelanya walau beberapa milimeter sekalipun.

Selepas beberapa jam menempuh perjalanan yang menyeksa, aku masuk angin. Bayi yang menangis itu pun akhirnya diam juga mungkin kerana kepenatan. Dan suara orang-orang yang berteriak-teriak juga sudah menjadi serak.

Tapi aku tak ingin membahaskan tentang kekeraskepalaan ini. Aku mahu bercakap tentang empati, iaitu menempatkan posisi kita di posisi orang lain. Andai saja perempuan itu boleh memikirkan seksaan yang dialami penumpang lain, yang tak dialami oleh dirinya sendiri, mungkin dia boleh menutup sedikit jendelanya. Namun sebelum menyalahkan dia, apakah kita juga mempunyai cukup empati di sini? Sering kali kita mendengar para pengunjung asing di India yang mengeluh tentang betapa kotornya negara tersebut, betapa degil orang-orangnya, betapa buruk pelayanannya, bla bla bla. Aku pernah berjumpa dengan seorang traveler dari negara kita yang tak habis-habis membandingkan India dengan Malaysia. Dan aku tak nafikan kadangnya aku sendiri pun pernah juga mengeluh betapa kurangnya common sense orang-orang di sana.

Namun pengalaman di dalam bas itu benar-benar membuat aku sedar, yang aku pun masih tak cukup empati. Dulu ketika aku masih baru di India, aku selalu jengkel dengan bagaimana orang India selalu menyapa "halo! Halo!" dengan nada keras yang jelas mempamerkan ketidaksopanan. Aku menantikan sapaan lembut seperti "brother", "mister", atau "excuse me". Namun begitu perlukah kita mempersalahkannya jika kita berada di posisi mereka. Pernahkah kita perhatikan yang mereka juga memanggil "halo" sesama orang India lainnya. Dan bagi mereka panggilan itu tak lebih dari sekadar norma dalam menyapa.

Contoh lain pula mengenai ketidakaturan sistem yang selalu dikritik oleh orang-orang putih. Atau aku yang sempat hairan kenapa laki-laki India suka mencurahkan air kumuhnya 'di tepi' dan bukannya 'di dalam' tandas umum. Ketika di Darjeeling, aku pernah cuba untuk menunjukkan contoh baik dengan menggunakan tandas umum, lalu aku automatik juga melakukan hal yang sama seperti lelaki India lainnya (bagi yang faham saja).

Dengan adanya empati, kita akan berhenti daripada berterusan menilai sesebuah tempat yang kita kunjungi dari sudut pandang dan perspektif standard nilai kita sendiri. Sebaliknya kita akan belajar untuk berfikir dari sisi mereka.

Kembali ke cerita perempuan yang membuka jendela itu. Siapa tahu mungkin dia sedang kepanasan? Atau mungkin juga dia akan muntah kerana motion sickness (mabuk kenderaan)?

HRTC, bas awam milik kerajaan yang mampu mencapai seluruh penjuru negeri Himachal Pradesh
(kecuali pada musim sejuk)

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!