10 Pantai Terbaik di Pulau Langkawi

Disebut-sebut sebagai permata bagi negeri Kedah, Pulau Langkawi adalah antara sebuah destinasi percutian pantai yang menarik di Malaysia. Terdiri daripada 99 buah pulau di sekelilingnya, syurga tropika ini dipenuhi dengan hutan hijau dan gunung ganang, pantai berpasir, coklat bebas cukai, pokok-pokok kelapa yang melambai-lambai ditiup bayu beserta pemandangan matahari terbenam yang begitu indah.



Mudah diakses dengan laluan udara dari Kuala Lumpur mahupun dengan menaiki feri dari jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis, Langkawi merupakan sebuah pulau yang sangat menarik untuk diterokai, serta menjadi kegemaran para pelancong dari seluruh dunia. Pulau ini memiliki banyak pantai yang mungkin tidak dapat anda kunjungi kesemuanya dalam satu kunjungan singkat, dan mungkin juga sukar untuk mengetahui di mana hendak bermula, jadi artikel ini ditulis untuk mengecilkan senarainya buat anda yang merancang untuk bercuti ke sana kelak.

1. Pantai Chenang


Pantai terpanjang sekaligus terkenal di Langkawi ini terletak di sebelah barat pulau. Pasir lembut yang dibarisi pokok-pokok kelapa dan pusat-pusat peranginan menyajikan pemandangan Pulau Tepor dan Pulau Rebak dari kejauhan. Pengunjung pantai boleh menyewa kerusi malas untuk bersantai sementara pelbagai kedai, restoran dan bar bebas cukai terbentang di sepanjang Jalan Pantai Chenang. Selain daripada beristirehat dan menikmati senja yang damai, pengunjung juga sudah dibenarkan untuk mandi dan berenang di pantai yang tenang dan hangat ini.

2. Pantai Tengah


Terletak di selatan Pantai Chenang, Pantai Tengah pada dasarnya adalah kesinambungan dari Pantai Chenang sekiranya kita melihat peta. Tidak banyak yang ditawarkan oleh Pantai Tengah kepada pelancong, namun beberapa chalet asas dan resort masih terdapat di sini. Ini membolehkan pengunjung berpeluang untuk berehat dalam privasi relatif. Selain syurga bagi peluncur air, beberapa aktiviti sukan air termasuk bot pisang dan jet ski juga bermula di Pantai Tengah.

3. Pantai Kok


Selalu disebut sebagai pantai terbaik di Langkawi untuk percutian mewah, Pantai Kok menyediakan hamparan pasir yang indah dan pilihan resort mewah. Di pantai barat berhampiran Kereta Kabel Langkawi, kawasan pantai menawarkan pelbagai jenis restoran, manakala mereka yang mencari romantik boleh menikmati matahari terbenam sambil menikmati minuman.

Tebus baucar RM50 daripada Firefly di sini

Pantai yang indah dengan pasir yang bersih dan air jernih sekaligus menjadikan tempat ini begitu popular untuk menikmati minum petang. Pantai Kok terletak kira-kira 12km ke utara Pantai Chenang, dan merupakan sebuah teluk yang dikelilingi oleh bukit batu kapur dan hutan hijau. Lokasinya berdekatan kawasan dermaga di Teluk Burau, tempat terletaknya Telaga Harbour Marina di mana kapal-kapal layar berlabuh. Selain itu ia mempunyai beberapa tarikan rekreasi yang berhampiran termasuk stesen kereta kabel ke puncak Gunung Mat Cincang dan juga Air Terjun Telaga Tujuh.

4. Teluk Datai


Teluk Datai atau Datai Bay adalah sebuah kawasan mewah di Langkawi, dengan beberapa pusat peranginan yang berkos tinggi. Anda tidak perlu risau untuk mengunjungi Datai Bay, kerana pantai ini terbuka kepada orang ramai dan sangat berbaloi untuk meluangkan masa di sini. Keterpencilan relatif kawasan itu menjadikan pantai ini tenang, bersih dan diliputi oleh hutan dan pergunungan, menghasilkan beberapa pemandangan indah ketika anda berenang di perairan yang jernih.

5. Rocky Beach


Pantai ini mempunyai kelebihan kerana ia sangat terpencil sehingga hampir tiada siapa yang tahu kewujudannya. Tersembunyi tidak jauh dari Air Terjun Temurun, anda perlu berjalan melalui sedikit kawasan hutan dan belukar untuk sampai ke sini, dan setelah berjalan beberapa ratus meter, anda akan diganjarkan dengan sebuah pantai berbatu yang aman. Batu-batu di sini membuatkan berjalan berkaki ayam tidak digalakkan. Ada banyak tempat berteduh dan pengasingan di sini menjadikan pantai ini sangat bagus untuk duduk dan berehat, sambil ditenangkan oleh deruan ombak.

6. Pantai Pasir Tengkorak


Tersembunyi di pinggir persisiran pantai utara, Pantai Pasir Tengkorak menyediakan tempat terpencil untuk anda menikmati pantai yang dikelilingi hutan. Air yang jernih menjadikannya sesuai untuk berenang, dan keterasingannya membolehkan anda berkemungkinan dapat menikmati pantai tanpa ada pengunjung lain – pada hari biasa  namun perlu berjaga-jaga dengan kelibat monyet yang berkeliaran selain kekurangan fasiliti yang lain sementara Pulau Tarutao, Thailand, hanya berjarak kurang daripada 5km dari sini

7. Teluk Yu (Shark Bay)


Jangan khuatir dengan namanya, pantai kecil yang hanya terbentang sepanjang 200 meter (656 kaki) ini tidak ada kelibat ikan jerung – ia sebenarnya mengambil namanya daripada patung jerung batu yang didirikan di sepanjang persiaran. Walaupun saiznya agak kecil, pengunjung sering menilai Teluk Yu sebagai salah satu pantai terbaik di Langkawi. Perairan yang tenang menjadikannya tempat yang sesuai untuk berenang manakala beberapa restoran dan kafe terletak di persiaran dan Kompleks Kraf Langkawi pula cuma terletak beberapa minit jauhnya. Dari Shark Bay, ayuh kita meneruskan perjalanan ke Pantai Pasir Hitam.

8. Pantai Pasir Hitam


Sesuai dengan namanya, pasir di pantai ini berwarna hitam. Terletak beberapa kilometer di barat daya Tanjung Rhu yang terkenal, beberapa cerita rakyat menyelubungi pantai misteri ini dan pasir hitamnya - daripada kisah helang gergasi dan bangkai kapal sehingga keajaiban geologi dan abu dari padi yang terbakar - walaupun tiada siapa yang tahu kisah yang sebenar. Berjalan-jalan di sepanjang pantai sambil melihat jeti kayu tradisional yang menghidangkan suasana perkampungan nelayan berhampiran yang menjangkau ke laut. Pasir Hitam bukanlah pantai terbaik di Langkawi untuk berjemur, tetapi ia tetap menjanjikan satu kunjungan yang menarik.

9. Pantai Jalan Tanjung Rhu


Sebelum sampai ke Tanjung Rhu di penghujung utara, anda akan melalui jalan utama di sepanjang persisir pantai utara. Dengan hamparan pasir yang memutih, Pantai Jalan Tanjung Rhu memiliki fasiliti yang memudahkan pengunjung bersiar-siar di sini. Walaupun pemandangannya mungkin tidak begitu menakjubkan seperti pemandangan jirannya di hujung utara, ia menyediakan tempat-tempat yang menarik untuk bergambar.

10. Pantai Tanjung Rhu


Tanjung Rhu adalah syurga berpasir yang merupakan sebuah tanjung dan memiliki pantai yang landai. Pasirnya putih dinaungi oleh pokok-pokok kelapa dan palma. Terdapat pelbagai jenis hidupan marin, menjadikannya tempat yang sesuai untuk menyewa beberapa peralatan snorkeling dan berkayak. Pantai Tanjung Rhu agak terpencil jauh dari keramaian dan mempunyai air biru zamrud yang cantik. Pemandangan indah Pantai Tanjung Rhu menjadikannya sebuah pantai yang bersih dan suci dari pencemaran.

Lihat juga: 8 hostel murah di Langkawi buat backpackers

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!