Claim promo code bernilai $16 di sini!

Jom ke Langkawi?


"Sebelum ini, saya bekerja sebagai kitchen helper di satu resort dekat Pantai Chenang, tapi sejak PKP yang pertama dulu, saya dicutikan", kata Ajis, seorang pekerja sambilan sebuah guesthouse di Langkawi kepada aku, "sampai ke hari ini, saya masih tak dipanggil. Jadi sekarang saya pun tak tahu samada resort tempat saya bekerja tu masih beroperasi atau sudah bungkus bang."

Malah, pemuda kelahiran Muar ini turut mendakwa hidupnya hanya bergantung sepenuhnya kepada food bank yang tersedia di sekitar Langkawi, selama tempoh lebih empat bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

"Mujur saya belum ada keluarga. Tapi, ramai teman saya di sini yang ada isteri dan anak turut dicutikan dan yang lebih berat, ada yang diberhentikan terus oleh majikan. Tak ada pilihan, mereka juga terpaksa bertahan hidup dengan food bank. Sebagai rakan, saya hanya boleh bersimpati sebab saya sendiri pun tak mampu nak membantu," tambah Ajis.

Ternyata penutupan sektor pelancongan negara dalam tempoh panjang memberi kesan yang memeritkan kepada penduduk Langkawi. Dan itulah faktanya!

Jika dibuat perbandingan angka kehadiran pelancong pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), lebih 3.9 juta kedatangan pengunjung telah direkodkan manakala pada tahun lalu, hanya kira-kira 1.9 juta pelawat sahaja yang bertandang.

Justeru sebaik sahaja kerajaan mengumumkan untuk membuka semula Pulau Langkawi sebagai program perintis gelembung pelancongan (travel bubble) Malaysia pada 16 September lalu, pelbagai reaksi timbul daripada orang ramai.

Ada yang merasakan ianya perlu supaya dapat memberi ‘kebebasan’ setelah sekian lama rakyat terperuk di rumah. Ada pula yang melihat ia merupakan suatu langkah yang kurang tepat daripada kerajaan kerana angka kes harian Covid-19 masih di paras berbelas ribu.

Betapa terujanya aku dapat kembali mengembara selepas lebih setahun terkurung

Namun, apa yang sedikit melegakan adalah apabila program vaksinasi negara begitu agresif dilaksanakan dan telahpun menampakkan hasil apabila kita dapat melihat jumlah kematian yang semakin menurun saban hari.

Setiap reaksi punya justifikasi tersendiri, tiada hitam atau putih. Tiada betul atau salah.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa pendapatan yang terjejas mampu memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental.

Malahan bukan hanya itu, tak mustahil juga akibat terputusnya pendapatan, ada pasangan suami isteri yang bercerai-berai sekaligus mengakibatkan institusi kekeluargaan runtuh begitu sahaja. Sekali lagi, kesan domino berlaku di situ.

Situasi ini diceritakan sendiri oleh seorang lelaki yang aku temui di Pantai Kok, baru-baru ini.

Keindahan senja di Telaga Harbour Marina

Katanya, lebih tragik apabila terdapat kes bunuh diri kerana tekanan hidup akibat kehilangan mata pencarian dan rumah tangga pula cuma menunggu hari menuju keruntuhan.

"Ramai warga Langkawi lega bila mendengar kerajaan mengumumkan pulau ini sebagai program perintis bagi gelembung pelancongan negara dan menjadi destinasi pertama yang dibuka untuk kunjungan semua.

"Bagi mereka yang tak terkesan mungkin merasakan pembukaan sektor ini suatu hal yang remeh. Tapi bagaimana pula dengan kami yang rata-rata hanya bergantung kepada sektor pelancongan? Cucuk kad ATM pun sudah tak keluar duit bang! Macam mana nak sara keluarga?" katanya kepada aku.

Meskipun itu hanyalah bualan kosong pengisi senja di Pantai Kok yang menjadi destinasi minum petang popular di Langkawi, kata-kata lelaki ini sungguh ada benarnya.

Ketika berada di Pantai Chenang, aku sempat singgah dan berjalan melewati barisan kedai di Telaga Walk yang dahulunya pernah meriah dengan pelbagai aktiviti ekonomi dan orang ramai, namun kini tidak ubah seperti sebuah tapak tinggal kosong melopong. Hanya kesunyian yang menjadi penghuni.

Telaga Walk kini menjadi sebuah tapak terbiar

Keadaan kereta berhias yang dahulunya pernah menjadi penyeri malam di Telaga Walk

Situasi serupa turut aku lihat di sepanjang pantai Tanjung Rhu di utara Langkawi, tidak begitu ramai pengunjung walaupun aktiviti riadah sudah dibenarkan kepada masyarakat setempat.

Mungkin kesuraman barisan lot kedai di sini turut memberi kesan terhadap mereka. Sepanjang sebulan berada di Pulau Langkawi, aku yang sudah lengkap divaksinasi menginap di dua lokasi berbeza untuk mengamati sendiri persediaan pengusaha penginapan menerima kehadiran pelancong.

Penginapan pertama aku adalah di Bonobo Hostel, Chenang sebelum aku berpindah ke Sea Gypsy Guesthouse di Kuala Teriang.

Menjadi kewajipan, mereka ingin melihat status vaksinasi lengkap dan status risiko yang terpapar di dalam aplikasi MySejahtera.

Malah sebelum terbang ke Langkawi bulan lalu, aku harus menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan Rapid Test Saliva di Lapangan Terbang Subang sebagaimana protokol pra-perjalanan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hanya penumpang pesawat yang mendapat keputusan ujian negatif sahaja yang dibenarkan terbang. Maka, pihak pengusaha pelancongan di sini tidak perlu khuatir sama sekali untuk menerima kemasukan jutaan pelawat yang datang dari seluruh negara.

Bagi aku sendiri, ia adalah satu protokol kesihatan yang wajar dilaksanakan bagi memastikan tiada risiko yang dibawa oleh para pengunjung yang boleh memberi kesan khususnya kepada warga tempatan.

Sepanjang sebulan di Langkawi, aku juga dapat melihat pemain industri lain seperti pusat rekreasi sudah mulai menjalankan persiapan dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP).

Tak kurang juga, terdapat majikan yang meletakkan syarat hanya pekerja yang sudah lengkap vaksinasi boleh kembali bekerja.

Pada pendapat aku, susulan pembukaan semula Pulau Langkawi, kita sebagai pengunjung haruslah mengambil inisiatif sendiri untuk patuh kepada SOP yang telah ditetapkan ketika berjalan dan bercuti ketika di dalam norma yang baru ini, meskipun kita sudah terbukti negatif selepas menjalani ujian saringan.

Lega juga rasanya kerana sepanjang aku berada di sini, tidak ada sebarang berita tentang kes baru yang dibawa oleh pelancong yang datang. Mungkin inilah perlindungan yang telah terbina melalui imuniti kelompok.

Meskipun begitu, semua ini bukanlah tiket untuk kita terus merasa selesa dengan keselamatan yang kita kecapi hari ini. Realitinya kita sendiri pun tak tahu, bilakah akhir daripada semua ini. Jadi nasihat aku, kita haruslah sentiasa bersiap siaga untuk hidup bersama Covid-19 di dalam fasa endemik sepertimana wabak denggi yang sehingga kini masih belum ada ubatnya, namun kita sudah mampu mengawalnya.

Dapatkan promosi penerbangan dan hotel di Langkawi di sini

Kecantikan Tanjung Rhu mengingatkan aku kepada Phuket

Hidden Beach, sebuah lokasi kegemaran aku di Langkawi kerana tidak diketahui ramai

Dataran Chenang juga sepi kunjungan pada hari-hari biasa

Dari sudut pandang aku, Tanjung Rhu adalah pantai yang tercantik di Langkawi


Ulasan

Popular Posts

Malindo Air

Malindo Air
Cash Voucher RM50

Search accomodation for your next trip!

Klook Travel

Klook.com