"Sebelum ini, saya bekerja sebagai kitchen helper di satu resort dekat Pantai Chenang, tapi sejak PKP yang pertama dulu, saya dicutikan", kata Ajis, seorang pekerja sambilan sebuah guesthouse di Langkawi kepada aku, "sampai ke hari ini, saya masih tak dipanggil. Jadi sekarang saya pun tak tahu samada resort tempat saya bekerja tu masih beroperasi atau sudah bungkus bang."
Malah, pemuda kelahiran Muar
ini turut mendakwa hidupnya hanya bergantung sepenuhnya kepada food bank yang tersedia di sekitar
Langkawi, selama tempoh lebih empat bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0
dilaksanakan.
"Mujur saya belum ada
keluarga. Tapi, ramai teman saya di sini yang ada isteri dan anak turut
dicutikan dan yang lebih berat, ada yang diberhentikan terus oleh
majikan. Tak ada pilihan, mereka juga terpaksa bertahan hidup dengan food bank. Sebagai rakan, saya hanya boleh
bersimpati sebab saya sendiri pun tak mampu nak membantu," tambah Ajis.
Ternyata penutupan sektor pelancongan
negara dalam tempoh panjang memberi kesan yang memeritkan kepada penduduk Langkawi. Dan itulah
faktanya!
Jika dibuat perbandingan angka
kehadiran pelancong pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik, berdasarkan data yang
dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), lebih 3.9 juta kedatangan
pengunjung telah direkodkan manakala pada tahun lalu, hanya kira-kira 1.9 juta
pelawat sahaja yang bertandang.
Justeru sebaik sahaja kerajaan
mengumumkan untuk membuka semula Pulau Langkawi sebagai program perintis
gelembung pelancongan (travel bubble)
Malaysia pada 16 September lalu, pelbagai reaksi timbul daripada orang ramai.
Ada yang merasakan ianya perlu
supaya dapat memberi ‘kebebasan’ setelah sekian lama rakyat terperuk di rumah.
Ada pula yang melihat ia merupakan suatu langkah yang kurang tepat daripada kerajaan kerana angka kes harian Covid-19 masih di paras berbelas ribu.
Betapa terujanya aku dapat kembali mengembara selepas lebih setahun terkurung |
Namun, apa yang sedikit
melegakan adalah apabila program vaksinasi negara begitu agresif dilaksanakan
dan telahpun menampakkan hasil apabila kita dapat melihat jumlah kematian yang semakin
menurun saban hari.
Setiap reaksi punya
justifikasi tersendiri, tiada hitam atau putih. Tiada betul atau salah.
Walau bagaimanapun, perlu
diingatkan bahawa pendapatan yang terjejas mampu memberi kesan buruk terhadap kesihatan
mental.
Malahan bukan hanya itu, tak
mustahil juga akibat terputusnya pendapatan, ada pasangan suami isteri yang
bercerai-berai sekaligus mengakibatkan institusi kekeluargaan runtuh begitu sahaja. Sekali
lagi, kesan domino berlaku di situ.
Situasi ini diceritakan sendiri
oleh seorang lelaki yang aku temui di Pantai Kok, baru-baru ini.
Keindahan senja di Telaga Harbour Marina |
Katanya, lebih tragik apabila
terdapat kes bunuh diri kerana tekanan hidup akibat kehilangan mata pencarian
dan rumah tangga pula cuma menunggu hari menuju keruntuhan.
"Ramai warga Langkawi
lega bila mendengar kerajaan mengumumkan pulau ini sebagai program perintis bagi
gelembung pelancongan negara dan menjadi destinasi pertama yang dibuka untuk
kunjungan semua.
"Bagi mereka yang tak
terkesan mungkin merasakan pembukaan sektor ini suatu hal yang remeh. Tapi bagaimana
pula dengan kami yang rata-rata hanya bergantung kepada sektor pelancongan? Cucuk
kad ATM pun sudah tak keluar duit bang! Macam mana nak sara keluarga?" katanya
kepada aku.
Meskipun itu hanyalah bualan
kosong pengisi senja di Pantai Kok yang menjadi destinasi minum petang popular
di Langkawi, kata-kata lelaki ini sungguh ada benarnya.
Ketika berada di Pantai Chenang,
aku sempat singgah dan berjalan melewati barisan kedai di Telaga Walk yang dahulunya pernah meriah dengan
pelbagai aktiviti ekonomi dan orang ramai, namun kini tidak ubah seperti sebuah tapak
tinggal kosong melopong. Hanya kesunyian yang menjadi penghuni.
Telaga Walk kini menjadi sebuah tapak terbiar |
Keadaan kereta berhias yang dahulunya pernah menjadi penyeri malam di Telaga Walk |
Situasi serupa turut aku lihat di sepanjang pantai Tanjung Rhu di utara Langkawi, tidak begitu ramai pengunjung walaupun aktiviti riadah sudah dibenarkan kepada masyarakat setempat.
Mungkin kesuraman barisan lot
kedai di sini turut memberi kesan terhadap mereka. Sepanjang sebulan berada di
Pulau Langkawi, aku yang sudah lengkap divaksinasi menginap di dua lokasi
berbeza untuk mengamati sendiri persediaan pengusaha penginapan menerima
kehadiran pelancong.
Penginapan pertama aku adalah
di Bonobo Hostel, Chenang sebelum aku berpindah ke Sea Gypsy Guesthouse di Kuala
Teriang.
Menjadi kewajipan, mereka
ingin melihat status vaksinasi lengkap dan status risiko yang terpapar di dalam
aplikasi MySejahtera.
Malah sebelum terbang ke
Langkawi bulan lalu, aku harus menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan
Rapid Test Saliva di Lapangan Terbang Subang sebagaimana protokol
pra-perjalanan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Hanya penumpang pesawat yang
mendapat keputusan ujian negatif sahaja yang dibenarkan terbang. Maka, pihak
pengusaha pelancongan di sini tidak perlu khuatir sama sekali untuk menerima
kemasukan jutaan pelawat yang datang dari seluruh negara.
Bagi aku sendiri, ia adalah
satu protokol kesihatan yang wajar dilaksanakan bagi memastikan tiada risiko
yang dibawa oleh para pengunjung yang boleh memberi kesan khususnya kepada warga
tempatan.
Sepanjang sebulan di Langkawi, aku juga dapat melihat pemain industri lain seperti pusat rekreasi
sudah mulai menjalankan persiapan dan menyediakan prosedur operasi standard
(SOP).
Tak kurang juga, terdapat majikan
yang meletakkan syarat hanya pekerja yang sudah lengkap vaksinasi boleh kembali
bekerja.
Pada pendapat aku, susulan
pembukaan semula Pulau Langkawi, kita sebagai pengunjung haruslah mengambil
inisiatif sendiri untuk patuh kepada SOP yang telah ditetapkan ketika berjalan dan bercuti ketika di dalam norma yang baru ini, meskipun kita sudah terbukti negatif selepas menjalani ujian
saringan.
Lega juga rasanya kerana
sepanjang aku berada di sini, tidak ada sebarang berita tentang kes baru yang
dibawa oleh pelancong yang datang. Mungkin inilah perlindungan yang telah
terbina melalui imuniti kelompok.
Meskipun begitu, semua ini bukanlah
tiket untuk kita terus merasa selesa dengan keselamatan yang kita kecapi hari ini. Realitinya
kita sendiri pun tak tahu, bilakah akhir daripada semua ini. Jadi nasihat aku, kita haruslah sentiasa
bersiap siaga untuk hidup bersama Covid-19 di dalam fasa endemik sepertimana wabak denggi yang sehingga kini masih belum ada ubatnya, namun kita sudah mampu mengawalnya.
Dapatkan baucar penerbangan RM50 daripada Fireflyz di sini
Kecantikan Tanjung Rhu mengingatkan aku kepada Phuket |
Hidden Beach, sebuah lokasi kegemaran aku di Langkawi kerana tidak diketahui ramai |
Dataran Chenang juga sepi kunjungan pada hari-hari biasa |
Dari sudut pandang aku, Tanjung Rhu adalah pantai yang tercantik di Langkawi |