Memaparkan catatan dengan label galeri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label galeri. Papar semua catatan

Rumah Mawart: Paduan Antara Galeri Seni, Kafe, dan Hostel

Selamat datang ke Rumah Mawart


    Pengalaman mendulang ilmu dan kemahiran sebagai barista ketika di Australia beberapa tahun yang lalu mendorong Ujay Omar Zaki, 30, memendam hasrat untuk menceburi bidang perniagaan dalam industri makanan dan minuman.

Kini, sang pengembara itu berjaya merealisasikan impiannya dengan mengusahakan sebuah kafe bernama Rumah Mawart yang tersembunyi di suatu sudut Kampung Mawar, terletak tidak jauh dari Kota Mahsuri dan berkonsepkan galeri dan bengkel seni merangkap hostel buat backpackers.

Trend orang muda sekarang suka mengambil gambar dan berkongsi di media sosial memberi idea kepada saya membuka kafe ini, malah pengembaraan sebelum ini yang telah membawa saya bepergian ke berbagai belahan dunia memberi inspirasi kepada saya untuk membuka kafe dan hostel di sini,” katanya.

Konsep klasik

Uniknya Rumah Mawart ini, dinding dan lantainya menggunakan kayu kerana ia bertemakan rumah melayu klasik yang memaparkan suasana hijau kampung di luar jendela dan didekorasikan dengan bermacam barangan antik di beberapa bahagian kafe. Semua itu adalah hasil tangan Ujay dan seorang rakan kongsinya yang mesra disapa dengan nama Lan.

Berkongsi cerita, pemuda kelahiran Kelantan ini yang gemar menjelajah ke ‘tempat orang’ sudah mengembara sejak usia remaja dan telah mengunjungi negara-negara Asia Tenggara hingga ke Timur Tengah sekaligus memberi ilham kepadanya untuk membuka kafe berkonsepkan galeri seni dan hostel itu.

“Sebenarnya kafe ini baru saja beroperasi sejak empat bulan yang lalu,” ujar Ujay, “sebelum ini Rumah Mawart adalah sebuah studio seni bebas yang telah dibuka sejak tahun 2015.


Bengkel seni disediakan buat pengunjung yang ingin belajar melukis

Antara hasil lukisan pengunjung terdahulu yang menghiasi dinding bengkel 

“Pada asalnya studio ini dikendalikan oleh saya dan Lan, dan kami hanya menawarkan produk-produk tentang seni lukisan. Selain itu kami juga mengajarkan pengunjung cara menconteng batik selain menawarkan pelbagai jenis batik untuk dijual, serta barangan kraftangan yang lain,” tambahnya lagi.

Sejak penubuhannya, Rumah Mawart tidak hanya menawarkan servis dan produk seni mereka di Pulau Langkawi, malahan menjalin kerjasama dengan kompleks kraf, hotel-hotel, dan turut terlibat dengan pelbagai exhibition di sekitar semenanjung Malaysia.

Sebagai seorang penggemar kopi, Ujay telah banyak mencuba bermacam jenis minuman kopi di setiap negara yang disinggahinya. Namun pengalamannya meminum kopi di Indonesia telah memberinya ilham untuk membuka perniagaan kafe dan dia terus memendam impian itu hinggalah dia berhasil mempelajari teknik-teknik barista semasa di Australia.

“Sejak Langkawi dibuka pada 16 September yang lalu, Rumah Mawart sedia menerima pelanggan yang ingin menginap di sini. Buat masa sekarang, kami mempunyai 8 katil bagi dormitory dan sebuah private room,” terang Ujay.

Ketika menyediakan kopi, sang barista akan turut bercerita

Variasi biji-biji kopi yang dikisar di sini datangnya dari berbagai penjuru dunia seperti Toraja (Indonesia), Santos (Brazil), Santa Ana (El Salvador), dan Dalat (Vietnam). Selain minuman kopi, Rumah Mawart juga menyediakan pelbagai juadah pencuci mulut yang terdiri daripada kek dan puding bermacam perisa.

Ketika kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini, alangkah terujanya aku tatkala mendapati yerba mate juga turut ditawarkan di kafe ini. Mate, juga dikenali sebagai chimarrão atau cimarrón merupakan sejenis minuman seduh berkafein yang dihasilkan dalam kalangan orang-orang Guaraní dan Tupí di benua Amerika Selatan; ia dihasilkan daripada daun tumbuhan spesies Ilex paraguariensis serta dihidangkan dengan bekas dan penyedut khas. Minuman ini terkenal sebagai minuman kesihatan. Ia biasanya diminum di Argentina di mana ia dikenali sebagai ‘minuman kebangsaan’ negara tersebut.

Minuman Yerba Mate

‘Mate’ berasal dari perkataan Bahasa Quechua ‘mati’ yang merujuk kepada sejenis labu (Lagenaria vulgaris).

Mengulas lanjut, Ujay dan Lan mula mengusahakan penjenamaan semula Rumah Mawart selepas beliau kembali ke tanah air pada tahun lalu.

“Memandangkan situasi pandemik yang masih belum memungkinkan saya keluar mengembara, ditambah pula dengan ketiadaan pelancong ke Langkawi yang menjejaskan aktiviti seni Rumah Mawart, kami berpendapat inilah masa sesuai untuk ‘kasi jadi’ idea perniagaan yang telah dirancang sejak dulu.

“Sepanjang tempoh PKP yang lalu, saya bersama Lan berkongsi melaburkan duit simpanan sendiri sebagai modal untuk mengubah spektrum bisnes kami. Bermula dengan berdua, kini kami sudah berenam,” kata Ujay.




Ujay mengakui pada permulaan perniagaan, ia tidak begitu memberangsangkan berikutan sektor pelancongan domestik masih belum dibuka.

Namun, sejak Langkawi dipilih menjadi perintis bagi gelembung pelancongan, ditambah pula dengan bantuan pelanggan-pelanggan kafe yang mempromosikan Rumah Mawart melalui media sosial, telah menjadikan kafenya semakin dikenali ramai.

Malah, anak ketiga daripada 20 beradik ini sekarang sudah mula tersenyum lebar apabila jualan makanan serta minuman di kafenya kini melonjak naik apabila menjadi tular.

Mengakhiri perbualan, Ujay sempat mengatakan bahawa jiwa petualangannya masih belum padam dan dia mempunyai impian untuk mengunjungi dan melihat sendiri kehidupan di Afghanistan selepas Taliban merampas kembali negara itu daripada kerajaan terdahulu.

Namun buat masa ini, dia mahu fokus dengan perniagaannya terlebih dahulu sehingga ianya benar-benar stabil sebelum dia menggalas backpacknya semula dan kembali menjengah dunia yang luas.

Bersama Ujay

Ruang bacaan

Bilik dormitori

Jangan lupa berkunjung ke Rumah Mawart sekiranya anda bercuti di Langkawi kelak!

Featured Post

Backpacking Pakistan 2: Menembus Perbatasan

Baab-i-Azadi bermaksud 'Gerbang Kemerdekaan' dalam erti harfiah   10 Januari 2020      Perbatasan Wagah dan Attari, demikian ia dik...

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!