Aku bukanlah seorang pengembara
berbasikal, tetapi inspirasi untuk melakukan perjalanan berbasikal ini terwujud
setelah melihat Backpackerbusuk & Violet Biru berbasikal secara solo di New
Zealand beberapa tahun yang lalu. Akhirnya mimpi itu mendorong aku menciptakan
sebuah petualangan sendiri. Walaubagaimanapun, perjalanan yang aku lakukan ini
adalah lebih kepada keinginan untuk mencuba dan merasai sendiri pengalaman baru
dalam mengembara.
Kayuhan solo di South Island
New Zealand ini bermula dari Picton menuju ke Rai Valley, seterusnya Nelson,
Motueka, Marahau, Punakaiki, Greymouth, Hokitika, Franz Josef, Wanaka,
Queenstown, Pukaki, Tekapo, dan berakhir di Christchurch.
Persiapan yang aku lakukan
sebelum membuat perjalanan ini tidaklah serapi para pengayuh lain yang lebih
berpengalaman. Aku boleh ibaratkan semuanya sebagai ‘tangkap muat.’ Aku
menggunakan mountain bike model Raleigh berharga NZD100 yang aku beli di
Auckland melalui Facebook Marketplace. Pannier bags dan carrier juga merupakan aksesori
terpakai yang aku beli dari sebuah kedai basikal di Auckland. Bagi peralatan
membaiki basikal seperti tools set, pam, dan tiub tayar pula aku dapatkan
dengan harga murah dari pasaraya Kmart.
|
Perjalanan bermula
|
|
Kayuhan pertama aku dari Picton menuju ke Rai Valley memakan jarak sejauh 62 kilometer |
|
Tayar depan basikal aku mengalami bocor kecil di Rai Valley. Mujur aku sempat tiba di campsite sebelum ia kempis sepenuhnya |
Di sini, suka aku nak
kongsikan beberapa aspek yang perlu dititikberatkan kalau ada di antara anda
yang turut punya impian untuk berkayuh di New Zealand satu hari nanti.
PERTAMA: RANCANG PERJALANAN,
PERIKSA KONDISI JALAN, DAN JARAK LALUAN
Dalam hal ini, aplikasi Google Maps sangat membantu. Ia memberitahu sepenuhnya tentang jarak, masa, dan corak
laluan yang akan dilalui dari segi pendakian, penurunan, mahupun jalanan datar.
Maka dengan ini kita boleh memastikan jarak dan masa kayuhan yang bakal diambil
dalam satu hari sebelum mencari destinasi untuk berhenti dan bermalam.
KEDUA: MENCARI LOKASI PERHENTIAN
DAN TEMPAT BERMALAM
Terdapat ribuan lokasi tapak
perkhemahan atau campsite di New Zealand. Untuk mencari campsite di sesuatu
tempat juga agak mudah dengan menggunakan aplikasi Rankers Camping NZ. Ia
sangat berguna kerana semua info yang diperlukan tentang sesebuah campsite itu
akan dipaparkan baik dari segi lokasi, harga, kemudahan asas yang tersedia, dan
review daripada para pengunjung yang pernah singgah di situ sebelum ini.
Bagaimanapun, terdapat dua
jenis campsite berbayar yang perlu anda tahu:
1. DOC (Department of
Conservation): campsite ini sentiasa menawarkan harga yang murah untuk
bermalam, sekitar NZD5-15 sahaja. Bahkan ada juga yang percuma. Namun begitu
kemudahan yang tersedia amat terhad. Jadi sekiranya ingin bermalam di DOC
campsite, anda perlu bersedia dengan peralatan yang lengkap untuk berkhemah dan
memasak.
2. Holiday Park Campsite: Kos
untuk bermalam di campsite ini lebih mahal, sekitar NZD20 ke atas namun selesa
kerana terdapat banyak kemudahan yang tersedia seperti dapur memasak, pantri, ruangan
menonton tv, bilik mandi, air panas, mesin basuh, sambungan internet, dan
berbagai lagi.
Lalu bagaimana pula dengan
wild camping?
Sesuai dengan namanya, wild
camping bukanlah sebuah tapak perkhemahan khusus melainkan perbuatan kita
mendirikan khemah secara bebas. Tetapi awas, wild camping di New Zealand adalah
salah di sisi undang-undang. Denda NZD200 bakal dikenakan kepada pelaku
sekiranya tertangkap. Begitupun, aku dapati masih ramai cyclist dan trekker
yang melakukan wild camping di banyak tempat, dengan syarat: lakukan di
tempat yang agak tersembunyi. Jika anda mahu lakukan wild camping di tempat yang
agak terbuka, pasang khemah ketika lewat petang dan yang paling penting adalah
pastikan anda tinggalkan lokasi tersebut pada awal pagi keesokan hari.
|
Wild camping di Maitai Valley |
|
Wild camping di Lake Pukaki |
|
Melakukan wild camping adalah salah di sisi undang-undang namun masih ramai pengembara yang melakukannya. Jadi sebarang risiko adalah dibawah tanggungan sendiri |
KETIGA: PENGINAPAN
Hostel: Aku tahu, hostel
adalah tempatnya para backpacker dan bukanlah keutamaan buat para cyclist, tapi
ada masanya aku merasakan perlu. Kerana sesebuah perjalanan itu bukanlah
tentang sentiasa bergerak dan berpindah, tapi ada saatnya perlu berehat, dan
mematikan langkah. Semasa di Nelson, aku terpaksa menginap di hostel untuk
beberapa hari kerana mengalami bengkak pada buku lali. Demikian juga semasa di
Queenstown ketika basikal aku rosak dan perlu dibaiki.
Warmshowers: Sejenis
aplikasi seperti Couchsurfing yang menawarkan servis hospitaliti percuma kepada
para pengembara, tetapi ianya khusus untuk mereka yang berbasikal. Aku
berkesempatan menginap bersama hos WarmShowers ketika berada di West Coast.
|
Berehat selama beberapa hari di Nelson disebabkan buku lali aku bengkak |
|
Warmshowers di rumah penduduk tempatan di West Coast |
|
Keretapi paling popular di New Zealand, Tranzalpine bertolak dari Greymouth ke Christchurch |
KEEMPAT: WANG TUNAI
Aku memulakan perjalanan dari Picton
tanpa sesen pun duit NZD di dalam saku. Ini kerana aku percaya sepenuhnya
dengan kad Bigpay, di mana semua transaksi dan segala jenis pembayaran boleh
dilakukan tanpa sebarang tunai di negara ini. Malangnya aku silap. Ada beberapa campsite
berbayar yang tidak menerima kad, terutamanya campsite DOC yang sama sekali
tidak ada penjaga. Maka wang tunai itu sememangnya perlu ada untuk membuat
bayaran ke dalam tabung yang disediakan.
|
Kayuhan mendaki sememangnya menguji mental dan fizikal |
|
Pagar coli 'Bradrona' yang kontroversi namun terkenal di kalangan pelancong di Central Otago, atau lebih tepat lagi di Lembah Cardrona |
KELIMA: PENGECASAN TELEFON DAN
POWER BANK
Ini adalah perkara terpenting
bagi para pengembara millennium. Apatah lagi ia ibarat nyawa kedua. Sungguh, di
zaman sekarang telefon adalah sahabat paling akrab ketika mengembara kerana
tahap kebergantungan kita dengan gajet yang satu ini memang tinggi. Jika tidak,
bagaimana kita dapat mengakses Google Maps, mencari campsite, bersosial media,
dan menghantar stay request kepada host di aplikasi WarmShowers? Justeru itu,
aku jarang sia-siakan peluang untuk mengecas telefon pintar dan powerbank
setiap kali aku singgah di cafe, campsite, hostel, perpustakaan, ataupun i-SITE
(pusat informasi pelancong) yang ada di hampir setiap kota.
|
Pekan mungil Hokitika |
|
Christchurch merupakan satu-satunya kota di New Zealand yang mempunyai Tram, mengingatkan aku dengan Kolkata di India |
|
Pekan Marahau |
KEENAM: BEKALAN MAKANAN
Bekalan makanan boleh anda
dapatkan dengan harga yang murah di pasaraya besar seperti pasaraya PAK'nSAVE, Countdown,
ataupun New World. Namun begitu, tiga pasaraya utama New Zealand ini cuma
terdapat di kota-kota tertentu. Semasa aku berkayuh di sepanjang laluan pantai
barat dari Hokitika menuju ke Wanaka, cuma ada pasaraya mini Four Square yang menjadi
satu-satunya tempat ideal untuk membeli stok makanan.
|
Banjaran Mount Cook |
|
Di Franz Josef, aku sempat membuat trekking ke glacier |
|
Bersiar-siar di dalam hutan simpan dekat Motueka |
Aku kira, cukuplah sampai di
sini. Mungkin ini sahaja enam perkara yang aku rasakan penting untuk anda ambil
tahu sekiranya berhajat untuk berkayuh di bumi Kiwi. Jika ada sebarang
pertanyaan yang lain, sila ajukan saja di ruangan komen.
Secara jujur, pengalaman
bikepacking buat pertama kali banyak mengajarkan aku hal-hal baru dalam
melakukan perjalanan berbasikal. Setelah menempuh jarak yang panjang dan medan yang
sukar, tentu sekali tersimpan beribu cerita dan rasa. Ada saatnya aku merasakan
puas ketika berhasil 'menaklukkan' suatu tentangan dalam kayuhan. Ada waktunya
aku cuma dirundung rasa benci, marah, dan letih menempuh sebuah perjalanan
berat. Ada masanya pula aku mati kata apabila terpaku oleh kebesaran alam yang
terpampang di depan mata. Sungguh, Pulau Selatan New Zealand boleh diibaratkan
sebagai sebuah planet lain yang tiada duanya.
|
Queenstown, sebuah lagi lokasi indah di New Zealand yang membuat aku mati kata |
|
Crown Range Pass, jalan raya tertinggi di New Zealand yang berjaya aku takluk |
|
Setiap destinasi bukanlah tujuan. Justeru aku lebih gemar menikmati perjalanan berbasikal di New Zealand secara perlahan-lahan |
Christchurch merupakan akhir
perjalanan aku. Dari kota ini, aku terbang kembali semula ke tanah air. Memang
aku belum berhasil menjelajah seluruh penjuru South Island, setidaknya enam
minggu hingga dua bulan diperlukan untuk merambah lebih banyak tempat, namun
trip ke India yang sudah menunggu membataskan tempoh kayuhan.
Dari angkasa raya, terlihat
barisan gunung-gunung bertudung salju memutih. Ada Mount Cook yang mempunyai
titik tertinggi di Southern Alps, ada Mount Aspiring yang menjulang megah
menggapai dada langit di sebelah tapak warisan dunia Te Wahipounamu, dan ada
pula beberapa lagi puncak bersalji yang aku tak ingat namanya.
Begitulah diperlihatkan alam
yang demikian berkuasa dari tingkap pesawat. Sungguh, dari batas cakerawala,
manusia ibarat setitik noktah tak bermakna di pinggang barisan gunung. Perjalanan
selama hampir sebulan yang penuh kisah berputar kembali di dalam benak ketika aku
berjuang mengayuh basikal dengan keadaan buku lali yang bengkak,
kegigihan menolak basikal selama lebih satu jam untuk menggapai puncak jalan
raya tertinggi di Crown Range Pass, momen-momen bertemu dan bermalam bersama
para cyclist lain di Rai Valley, saat gembira kerana bertemu rakan lama Ryu si backpacker Jerman di Motueka, mendengar berbagai kisah dan cerita
petualang dalam setiap perbualan, membuat aku terhanyut dalam renungan. Tentang
keriuhan berteman dan kesunyian bersendirian. Tentang kejatuhan dan
kebangkitan. Tentang keputusasaan dan perjuangan. Tentang kenangan, kejayaan,
impian, mimpi, dan realiti.
Aku meninggalkan bumi kiwi
dengan seribu satu kisah perjalanan yang membekas dalam memori. Apakah aku akan
punya rezeki lagi untuk membuat perjalanan baru? Mungkin saja, siapa tahu.
Kia ora, Te Waipounamu.
|
Bertemu rakan lama backpacker di Motueka mengingatkan kami dengan betapa kecilnya dunia |
|
Gerabak lama yang pernah mengangkut arang batu di zaman British |
|
Tasik Wanaka |
|
Bunga lupin yang mekar di Tasik Tekapo |
|
Berkhemah di Tasik Pukaki |
|
Senja yang damai |
|
Keindahan pantai di Punaikaiki |
|
Selain bentuk muka bumi yang berbukit, gravel road adalah salah satu cabaran berbasikal di New Zealand |
|
Aktiviti menghilangkan bosan di atas jalan |
|
Banyak bangunan kolonial yang masih terpelihara dengan baik di Christchurch |
|
Gambar terakhir sebelum basikal aku dileraikan
|
|
Kotak basikal boleh didapatkan di lapangan terbang dengan harga NZD20 |
|
Laluan kayuhan aku di South Island |