Backpacking Pakistan 31: Berpatah Haluan

 

Shandur, penghubung wilayah Khyber dan Gilgit hanya terletak 42 kilometer dari Mastuj


19 Mac 2020

Sarghuz, sebuah desa mungil di Upper Chitral yang tersembunyi dan terlupakan. Tidak ada apa yang dapat diharapkan di sini pada musim sejuk kerana yang ada hanya tiga hal: amukan angin, keheningbeningan rumah tak berpenghuni, dan kesuraman cakerawala tanpa cahaya matahari yang absen selama berbulan-bulan.

Meskipun aku cuma menginap di rumah Sadiq untuk satu malam, tetapi aku merasa sudah menjadi bahagian daripada keluarga itu sendiri. Keramahtamahan dan hospitaliti orang Ismaili meraikan tetamu memang tak perlu dibahaskan lagi. Ini kerana ia tersirat langsung dalam ajaran Aga Khan yang menyatakan bahawa pahala melayani tetamu adalah sama besarnya dengan pahala mengerjakan ibadah haji di kota Mekah. Oleh sebab itu umat Ismaili tidak terlalu menekankan pada ritual keagamaan seperti naik haji dan puasa Ramadan.

Subuh-subuh, aku sudah mula berkemas dan menyiapkan diri untuk kembali ke Mastuj. Ketika aku sudah siap sedia meninggalkan rumah Sadiq untuk memulakan perjalanan, si ibu memaksa aku untuk membawa roti buatan tangannya. Roti bagi orang Chitral bukan sekadar makanan tetapi juga barang suci yang harus dihormati. Roti tidak boleh diletak di atas tanah atau diterbalikkan. Dengan penuh rasa terima kasih, aku membungkus roti itu dan menyimpan ke dalam backpack.

Sebenarnya tujuan aku mengembara hingga ke daerah Upper Chitral atau lebih tepat lagi ke Mastuj adalah untuk merentasi wilayah Khyber Pakhtunkhwa ke Gilgit-Baltistan. Pekan Mastuj terletak tepat di persimpangan jalan yang menghubungkan Gilgit dengan Chitral melalui Shandur, tempat di mana terletaknya padang polo tertinggi di dunia. Pukul 6.30 pagi, aku sudah tercongok di terminal pengangkutan awam kerana tak mahu hilang kesempatan untuk memperoleh giliran pertama menaiki jeep yang mengangkut penumpang.

Malang sekali aku telah melakukan percaturan yang salah. Aku kira salji yang sudah mulai cair di sini akan membolehkan pengangkutan umum yang menghala ke Gilgit kembali beroperasi, tapi rupanya tidak ada. Belenggu penantian berjam-jam di sini hanya sia-sia. Satu jam.. Dua jam… Tiga jam…. Di sini waktu tak ada harganya, berlalu begitu saja bersama hembusan angin gunung.

kaha jana bhai? Mahu ke mana?” Tanya seorang lelaki yang menyapa aku.

“Gilgit, saya mahu ke Gilgit.” Jawab aku ringkas.

“Mustahil untuk ke sana pada waktu ini,” dia menyangkal, “laluan di Shandur masih ditutup, tak boleh diakses sama sekali.”

“Tapi bukankah salji di sini sudah mencair?”

Nahi bhaiya,” lelaki ini tertawa kecil, “Ketinggian Upper Chitral baru 2360 meter sedangkan Shandur Pass itu 3700 meter tingginya. Salji di sana masih tebal menutup jalan.”

“Adakah cara lain untuk saya pergi ke Gilgit dari sini?” Tanya aku lagi.

“Carilah tumpangan ke Swat,” sarannya, “hanya dari Mingora saja kamu boleh mendapatkan kenderaan yang menuju ke Gilgit. Tak ada cari lain lagi.”

Berita buruk dari lelaki itu bak siraman air dingin. Selepas berminggu-minggu aku berjalan hingga sampai ke Mastuj semata-mata untuk merentasi lintasan Shandur, sekarang aku malah disuruh berpatah balik ke Lembah Swat, yang letaknya hampir 400km dari sini, setidaknya memerlukan 12 jam perjalanan.

Walaupun kecewa, namun aku harus pasrah kerana aku percaya, hambatan dan rintangan di jalan, semuanya itu ada yang mengatur. Aku teringat, beberapa bulan yang lalu di India, ketika aku ingin menumpang trak dari Keylong menuju Ladakh, aku dihalang oleh Uncle Bodh yang melarang sekaligus memaksa aku untuk mengubah haluan. Semasa dalam perjalanan bas menuju ke Lembah Parvati, baru aku disedarkan bagaimana cara Tuhan menyelamatkan umat-Nya. Trak yang berkemungkinan aku tumpangi ke Ladakh itu kalau tidak dilarang oleh warga Keylong, ternyata tersekat dan terperangkap dalam timbunan salji saat melintasi jalan pergunungan Leh-Manali Highway yang berbahaya. Tak tahu pula berapa lama masa yang diambil untuk bantuan tiba. Untungnya aku dilarang mereka dari menumpang trak tersebut. Tak perlu dibayangkan, aku hanya belajar bersyukur untuk segala kejadian yang aku alami.

Dengan penuh kehampaan, aku melangkah gontai ke sebuah kedai teh di pinggir jalan. Pemilik kedai, seorang lelaki tua berjubah labuh dan berjanggut lebat, menyambut aku.


Warung teh di pinggir jalan

Belum sempat aku duduk di sudut warung, dua orang polis berseragam dan berselempang senapang datang.

“Siapa kamu? Hendak ke mana? Datang dengan siapa?” mereka menyoalku bertubi-tubi. Aku segera menghulurkan passport dan kertas visa. Mereka berlagak membaca, walaupun pasport itu terbalik.

“Tempat ini berbahaya,” kata polis itu, “pada musim sejuk memang tak ada pelancong asing yang berkunjung ke Mastuj. Sebab itu kami harus memastikan yang kamu bukan perisik.”

Setelah memastikan aku bukan lawan, si polis segera memanggil pemilik warung. “Cepat! Hidangkan makanan! Kasihan dia. Dari pagi belum sarapan!”

Lima minit kemudian di hadapan aku tersaji dua keping roti nan bersama sepiring kari daging, juga secawan kecil teh hijau dan semangkuk gula pasir. Beruntungnya sarapan aku pagi ini dibayar oleh polis itu.

Dalam sekejap, warung ini disinggahi oleh ramai pemandu jeep dan kenek. Mereka sudah selesai menyantap sarapan pagi, dan hanya duduk bercengkerama menghisap hashish sambil menantikan penumpang mengisi perut kenderaan. TV yang terpasang remang-remang, kadang visualnya benderang, kadang nyaris mati. Ini kerana sumber elektriknya dihasilkan oleh generator kecil yang bising di luar sana.


Berkongsi makanan

Dalam masa yang sama, si lelaki tua pemilik warung sempat berunding dengan seorang pemandu jeep untuk membawa aku kembali ke Swat. Yang lebih mengejutkan, dia turut membayar sepenuhnya duit tambang aku ke sana.

“Khoda hafez, dira manana!” Aku mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada pemilik warung sebelum masuk ke dalam jeep yang siap untuk berangkat.

Jeep dipandu laju menyusuri pinggang pergunungan. Angin berhembus kencang. Dingin menembus tulang, tetapi kehangatan dan kemurahan hati orang-orang Chitral akan selalu terpahat di dalam ingatan aku.

(bersambung)


Pekan Mastuj

Melewatkan hari di warung teh

Orang Chitral tak menggunakan bahasa Urdu, dan tak juga pandai berbahasa Inggeris, membuatkan aku sering berdepan kesukaran dalam berkomunikasi dengan mereka

Desa di kaki gunung

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!