Memaparkan catatan dengan label basikal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label basikal. Papar semua catatan

Bikepacking: Catatan & Panduan Berbasikal di New Zealand


Aku bukanlah seorang pengembara berbasikal, tetapi inspirasi untuk melakukan perjalanan berbasikal ini terwujud setelah melihat Backpackerbusuk & Violet Biru berbasikal secara solo di New Zealand beberapa tahun yang lalu. Akhirnya mimpi itu mendorong aku menciptakan sebuah petualangan sendiri. Walaubagaimanapun, perjalanan yang aku lakukan ini adalah lebih kepada keinginan untuk mencuba dan merasai sendiri pengalaman baru dalam mengembara.

Kayuhan solo di South Island New Zealand ini bermula dari Picton menuju ke Rai Valley, seterusnya Nelson, Motueka, Marahau, Punakaiki, Greymouth, Hokitika, Franz Josef, Wanaka, Queenstown, Pukaki, Tekapo, dan berakhir di Christchurch.

Persiapan yang aku lakukan sebelum membuat perjalanan ini tidaklah serapi para pengayuh lain yang lebih berpengalaman. Aku boleh ibaratkan semuanya sebagai ‘tangkap muat.’ Aku menggunakan mountain bike model Raleigh berharga NZD100 yang aku beli di Auckland melalui Facebook Marketplace. Pannier bags dan carrier juga merupakan aksesori terpakai yang aku beli dari sebuah kedai basikal di Auckland. Bagi peralatan membaiki basikal seperti tools set, pam, dan tiub tayar pula aku dapatkan dengan harga murah dari pasaraya Kmart.


Perjalanan bermula

Kayuhan pertama aku dari Picton menuju ke Rai Valley memakan jarak sejauh 62 kilometer

Tayar depan basikal aku mengalami bocor kecil di Rai Valley. Mujur aku sempat tiba di campsite sebelum ia kempis sepenuhnya

Di sini, suka aku nak kongsikan beberapa aspek yang perlu dititikberatkan kalau ada di antara anda yang turut punya impian untuk berkayuh di New Zealand satu hari nanti.


PERTAMA: RANCANG PERJALANAN, PERIKSA KONDISI JALAN, DAN JARAK LALUAN

Dalam hal ini, aplikasi Google Maps sangat membantu. Ia memberitahu sepenuhnya tentang jarak, masa, dan corak laluan yang akan dilalui dari segi pendakian, penurunan, mahupun jalanan datar. Maka dengan ini kita boleh memastikan jarak dan masa kayuhan yang bakal diambil dalam satu hari sebelum mencari destinasi untuk berhenti dan bermalam.


KEDUA: MENCARI LOKASI PERHENTIAN DAN TEMPAT BERMALAM

Terdapat ribuan lokasi tapak perkhemahan atau campsite di New Zealand. Untuk mencari campsite di sesuatu tempat juga agak mudah dengan menggunakan aplikasi Rankers Camping NZ. Ia sangat berguna kerana semua info yang diperlukan tentang sesebuah campsite itu akan dipaparkan baik dari segi lokasi, harga, kemudahan asas yang tersedia, dan review daripada para pengunjung yang pernah singgah di situ sebelum ini.

Bagaimanapun, terdapat dua jenis campsite berbayar yang perlu anda tahu:

1. DOC (Department of Conservation): campsite ini sentiasa menawarkan harga yang murah untuk bermalam, sekitar NZD5-15 sahaja. Bahkan ada juga yang percuma. Namun begitu kemudahan yang tersedia amat terhad. Jadi sekiranya ingin bermalam di DOC campsite, anda perlu bersedia dengan peralatan yang lengkap untuk berkhemah dan memasak.

2. Holiday Park Campsite: Kos untuk bermalam di campsite ini lebih mahal, sekitar NZD20 ke atas namun selesa kerana terdapat banyak kemudahan yang tersedia seperti dapur memasak, pantri, ruangan menonton tv, bilik mandi, air panas, mesin basuh, sambungan internet, dan berbagai lagi.

Lalu bagaimana pula dengan wild camping?

Sesuai dengan namanya, wild camping bukanlah sebuah tapak perkhemahan khusus melainkan perbuatan kita mendirikan khemah secara bebas. Tetapi awas, wild camping di New Zealand adalah salah di sisi undang-undang. Denda NZD200 bakal dikenakan kepada pelaku sekiranya tertangkap. Begitupun, aku dapati masih ramai cyclist dan trekker yang melakukan wild camping di banyak tempat, dengan syarat: lakukan di tempat yang agak tersembunyi. Jika anda mahu lakukan wild camping di tempat yang agak terbuka, pasang khemah ketika lewat petang dan yang paling penting adalah pastikan anda tinggalkan lokasi tersebut pada awal pagi keesokan hari.


Wild camping di Maitai Valley

Wild camping di Lake Pukaki

Melakukan wild camping adalah salah di sisi undang-undang namun masih ramai pengembara yang melakukannya. Jadi sebarang risiko adalah dibawah tanggungan sendiri

KETIGA: PENGINAPAN

Hostel: Aku tahu, hostel adalah tempatnya para backpacker dan bukanlah keutamaan buat para cyclist, tapi ada masanya aku merasakan perlu. Kerana sesebuah perjalanan itu bukanlah tentang sentiasa bergerak dan berpindah, tapi ada saatnya perlu berehat, dan mematikan langkah. Semasa di Nelson, aku terpaksa menginap di hostel untuk beberapa hari kerana mengalami bengkak pada buku lali. Demikian juga semasa di Queenstown ketika basikal aku rosak dan perlu dibaiki.

Warmshowers: Sejenis aplikasi seperti Couchsurfing yang menawarkan servis hospitaliti percuma kepada para pengembara, tetapi ianya khusus untuk mereka yang berbasikal. Aku berkesempatan menginap bersama hos WarmShowers ketika berada di West Coast.


Berehat selama beberapa hari di Nelson disebabkan buku lali aku bengkak 

Warmshowers di rumah penduduk tempatan di West Coast

Keretapi paling popular di New Zealand, Tranzalpine bertolak dari Greymouth ke Christchurch

KEEMPAT: WANG TUNAI

Aku memulakan perjalanan dari Picton tanpa sesen pun duit NZD di dalam saku. Ini kerana aku percaya sepenuhnya dengan kad Bigpay, di mana semua transaksi dan segala jenis pembayaran boleh dilakukan tanpa sebarang tunai di negara ini. Malangnya aku silap. Ada beberapa campsite berbayar yang tidak menerima kad, terutamanya campsite DOC yang sama sekali tidak ada penjaga. Maka wang tunai itu sememangnya perlu ada untuk membuat bayaran ke dalam tabung yang disediakan.


Kayuhan mendaki sememangnya menguji mental dan fizikal

Pagar coli 'Bradrona' yang kontroversi namun terkenal di kalangan pelancong di Central Otago, atau lebih tepat lagi di Lembah Cardrona

KELIMA: PENGECASAN TELEFON DAN POWER BANK

Ini adalah perkara terpenting bagi para pengembara millennium. Apatah lagi ia ibarat nyawa kedua. Sungguh, di zaman sekarang telefon adalah sahabat paling akrab ketika mengembara kerana tahap kebergantungan kita dengan gajet yang satu ini memang tinggi. Jika tidak, bagaimana kita dapat mengakses Google Maps, mencari campsite, bersosial media, dan menghantar stay request kepada host di aplikasi WarmShowers? Justeru itu, aku jarang sia-siakan peluang untuk mengecas telefon pintar dan powerbank setiap kali aku singgah di cafe, campsite, hostel, perpustakaan, ataupun i-SITE (pusat informasi pelancong) yang ada di hampir setiap kota.


Pekan mungil Hokitika

Christchurch merupakan satu-satunya kota di New Zealand yang mempunyai Tram, mengingatkan aku dengan Kolkata di India

Pekan Marahau

KEENAM: BEKALAN MAKANAN

Bekalan makanan boleh anda dapatkan dengan harga yang murah di pasaraya besar seperti pasaraya PAK'nSAVE, Countdown, ataupun New World. Namun begitu, tiga pasaraya utama New Zealand ini cuma terdapat di kota-kota tertentu. Semasa aku berkayuh di sepanjang laluan pantai barat dari Hokitika menuju ke Wanaka, cuma ada pasaraya mini Four Square yang menjadi satu-satunya tempat ideal untuk membeli stok makanan.


Banjaran Mount Cook

Di Franz Josef, aku sempat membuat trekking ke glacier

Bersiar-siar di dalam hutan simpan dekat Motueka


Aku kira, cukuplah sampai di sini. Mungkin ini sahaja enam perkara yang aku rasakan penting untuk anda ambil tahu sekiranya berhajat untuk berkayuh di bumi Kiwi. Jika ada sebarang pertanyaan yang lain, sila ajukan saja di ruangan komen.

Secara jujur, pengalaman bikepacking buat pertama kali banyak mengajarkan aku hal-hal baru dalam melakukan perjalanan berbasikal. Setelah menempuh jarak yang panjang dan medan yang sukar, tentu sekali tersimpan beribu cerita dan rasa. Ada saatnya aku merasakan puas ketika berhasil 'menaklukkan' suatu tentangan dalam kayuhan. Ada waktunya aku cuma dirundung rasa benci, marah, dan letih menempuh sebuah perjalanan berat. Ada masanya pula aku mati kata apabila terpaku oleh kebesaran alam yang terpampang di depan mata. Sungguh, Pulau Selatan New Zealand boleh diibaratkan sebagai sebuah planet lain yang tiada duanya.


Queenstown, sebuah lagi lokasi indah di New Zealand yang membuat aku mati kata

Crown Range Pass, jalan raya tertinggi di New Zealand yang berjaya aku takluk

Setiap destinasi bukanlah tujuan. Justeru aku lebih gemar menikmati perjalanan berbasikal di New Zealand secara perlahan-lahan

Christchurch merupakan akhir perjalanan aku. Dari kota ini, aku terbang kembali semula ke tanah air. Memang aku belum berhasil menjelajah seluruh penjuru South Island, setidaknya enam minggu hingga dua bulan diperlukan untuk merambah lebih banyak tempat, namun trip ke India yang sudah menunggu membataskan tempoh kayuhan.

Dari angkasa raya, terlihat barisan gunung-gunung bertudung salju memutih. Ada Mount Cook yang mempunyai titik tertinggi di Southern Alps, ada Mount Aspiring yang menjulang megah menggapai dada langit di sebelah tapak warisan dunia Te Wahipounamu, dan ada pula beberapa lagi puncak bersalji yang aku tak ingat namanya.

Begitulah diperlihatkan alam yang demikian berkuasa dari tingkap pesawat. Sungguh, dari batas cakerawala, manusia ibarat setitik noktah tak bermakna di pinggang barisan gunung. Perjalanan selama hampir sebulan yang penuh kisah berputar kembali di dalam benak ketika aku berjuang mengayuh basikal dengan keadaan buku lali yang bengkak, kegigihan menolak basikal selama lebih satu jam untuk menggapai puncak jalan raya tertinggi di Crown Range Pass, momen-momen bertemu dan bermalam bersama para cyclist lain di Rai Valley, saat gembira kerana bertemu rakan lama Ryu si backpacker Jerman di Motueka, mendengar berbagai kisah dan cerita petualang dalam setiap perbualan, membuat aku terhanyut dalam renungan. Tentang keriuhan berteman dan kesunyian bersendirian. Tentang kejatuhan dan kebangkitan. Tentang keputusasaan dan perjuangan. Tentang kenangan, kejayaan, impian, mimpi, dan realiti.

Aku meninggalkan bumi kiwi dengan seribu satu kisah perjalanan yang membekas dalam memori. Apakah aku akan punya rezeki lagi untuk membuat perjalanan baru? Mungkin saja, siapa tahu.

Kia ora, Te Waipounamu.


Bertemu rakan lama backpacker di Motueka mengingatkan kami dengan betapa kecilnya dunia

Gerabak lama yang pernah mengangkut arang batu di zaman British

Tasik Wanaka

Bunga lupin yang mekar di Tasik Tekapo

Berkhemah di Tasik Pukaki

Senja yang damai

Keindahan pantai di Punaikaiki

Selain bentuk muka bumi yang berbukit, gravel road adalah salah satu cabaran berbasikal di New Zealand

Aktiviti menghilangkan bosan di atas jalan

Banyak bangunan kolonial yang masih terpelihara dengan baik di Christchurch

Gambar terakhir sebelum basikal aku dileraikan

Kotak basikal boleh didapatkan di lapangan terbang dengan harga NZD20

Laluan kayuhan aku di South Island

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!