Memaparkan catatan dengan label petualangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label petualangan. Papar semua catatan

Backpacking Pakistan 26: Menuju Utara

Lukisan alam menghiasi cakerawala

 

14 Mac 2020

Penjelajahan aku di Lembah Kalash terpaksa ditamatkan pada hari ketiga. Subuh itu, badai salji turun menyelimuti seluruh desa dengan warna putih yang sempurna. Lebat sekali, hinggakan tak ada tanda-tanda untuk berhenti.

Ini adalah akhir bagi perjalanan aku di Bumburet. Memang aku belum berhasil meneroka seluruh Kalash, namun dengan keadaan cuaca musim sejuk yang tidak bersahabat,  aku harus segera keluar dari lembah ini sebelum terkandas total berhari-hari.

Betapa aku merasakan kelegaan luar biasa, ketika kereta wagon yang aku tumpangi tiba di Ayun, pekan mungil yang menghubungkan jalan antara Lembah Kalash dan lebuhraya nasional N-45 menuju ke kota Chitral. Kami sudah pun berpindah ke alitud yang lebih rendah, justeru tiada lagi salji yang turun dan pagi yang awalnya kelam kini beransur cerah.

Memasuki persimpangan jalan Chitral-Dir, pemandangan berganti seketika, dari putihnya panorama yang mendominasi berganti kepada bukit-bukit mulus berselimut pokok-pokok hijau dan putik bunga berbagai warna yang menanti masa untuk mekar. “Musim bunga sudah tiba,” kata Wahid, pemandu kereta ini, “hijau dan cerahnya dunia siap menggantikan kelabunya musim dingin.” Landskap Pakistan utara sungguh mirip dengan negara-negara jirannya di Asia Tengah sana.


Musim bunga sudah tiba

Kota Chitral hanya berjarak sejauh 37 kilometer, namun pemanduan sukar melewati alam liar membuatkan perjalanan kami hampir memakan masa tiga jam penuh. Setibanya di pusat bandar Chitral, kedua-dua kaki aku sudah lenguh sekali rasanya.

Kicha asus Sharif? Bagaimana khabarmu?” Soal, Farid Ahmad, lelaki berusia 45 tahun yang menjadi tuan rumah aku di Chitral.

Jama asus, saya sihat, alhamdulillah,” jawab aku dalam bahasa tempatan sekaligus mengundang rasa takjub pada reaksi wajah Farid. Sebenarnya aku telahpun belajar beberapa ucapan asas bahasa Khowar ketika aku berada di Bahrain beberapa minggu yang lalu. Bahasa Khowar, yang juga dikenal sebagai Chitrali, sepertimana Bahasa kalasha, adalah bahasa Indo-Aryan yang berasal dari kumpulan Dardic yang dituturkan di Pakistan utara.

‘Kho’ bererti orang Chitral, sedangkan ‘war’ bermaksud bahasa. Ia dituturkan oleh orang-orang Kho di seluruh Chitral, dan juga daerah Ghizer di Wilayah Gilgit-Baltistan (termasuk Gupis, Phander, Ishkoman, Yasin) di Punyal, dan di beberapa bahagian Upper Swat seperti Bahrain dan Kalam.

Farid bekerja sebagai produser di stesen radio Chitral FM. Wajahnya berjambang lebat, dahinya lebar, dan bertubuh sederhana. Tengah hari ini, dia mengajak aku ke stesen radio yang terletak di jantung kota. Di dalam konti, aku sempat ditemuramah oleh Akhtar, seorang penyampai radio di sini dalam satu segmen ringkas yang ke udara selama setengah jam. Akhtar meminta aku untuk berkongsi tentang kisah perjalananku yang kini memasuki bulan keenam bermula dari India hingga masuk ke Pakistan.


Stesen radio Chitral FM yang sederhana

Akhtar, petugas konti radio

Selebihnya, aku hanya melewatkan waktu di dalam pejabat Farid, berbual-bual bersama staf-staf yang lain sementara menunggu Farid menghabiskan tugasannya. Sehabisnya waktu pejabat, jam 4.30 petang, Farid membawa aku berkeliling di sekitar kota Chitral.

Ternyata Chitral juga tak kurang pesonanya. Ibu kota salah satu bekas negeri persekutuan British India ini terletak di tebing Sungai Kunar di kaki gunung Tirich Mir yang bertinggian 7708 meter sekaligus merupakan puncak tertinggi bagi pergunungan Hindu Kush. Beberapa lokasi bersejarah yang menarik perhatian aku untuk datang berkunjung adalah Shahi Qila, Chitral Fort, dan Shahi Mosque. Bangunan-bangunan kuno masih tegak berdiri, kejayaan masa lalu berpendar, kehidupan spiritual berbaur dengan adat dan hembusan nafas penduduk.

Chitral sebenarnya mempunyai sejarah yang istimewa. Ketika ini, Chitral adalah bahagian dari wilayah Khyber-Pakhtunkhwa, atau KPK, sebagaimana orang Pakistan menyebutnya. Di masa lalu, Chitral terpisah dari seluruh Pakistan. Ia pernah menjadi negeri berkerajaan, salah satu daripada tiga negeri persekutuan bersama-sama negeri Swat dan Dir yang berjiran. Semasa zaman kolonial, raja-raja dari tiga negeri ini menyatakan kesetiaan terhadap Inggeris, tetapi memerintah negeri mereka sendiri. Ketika Inggeris membelah tanah Hindustan pada 1947 yang menyaksikan Pakistan lahir ke muka bumi, barulah Chitral ikut melebur ke dalam Pakistan yang mula dibentuk.


Masjid Shahi

Farid membawa aku singgah di beberapa kedai milik teman-temannya. Seperti di mana-mana belahan Pakistan yang lain, undangan minum teh daripada orang-orang tempatan memang benar-benar tak pernah berhenti hinggakan perut aku sudah begitu penuh dan tak boleh lagi diisi.

Ishfaq, seorang penjahit topi pakol menghadiahkan aku sebuah topi baru. “Ambillah pakol daripada bulu biri-biri asli ini,” katanya, “tentu lebih selesa dipakai ketika cuaca sejuk. Pakol yang kamu pakai sekarang bukan topi asli Chitral.”

Selain daripada topi pakol pemberiannya, teh hangat, roti, dan genangan nasi berminyak turut disajikan kepada aku dengan ketulusan. Kemurahan hati Ishfaq memang sudah masyhur di seluruh pelusuk kota. Dia suka menjamu semua musafir yang melintas dengan makanan mewah dan tempat tidur yang nyaman. Namun aku terpaksa menolak ajakan untuk bermalam di rumahnya kerana aku sudahpun menginap di rumah Farid.

“Saya ini penganut Ismaili,” bisik Ishfaq, “di negara ini, umat Ismaili adalah orang pinggiran. Orang Syiah kata, Ismaili bukan bahagian daripada Syiah. Orang Sunni kata, Ismaili sama saja dengan semua orang Syiah, sesat. Tapi bagi saya, kita semua adalah sama, iaitu umat Muslim.”

“Bagi kami, yang terpenting dalam beragama adalah insaniat. Kemanusiaan. Semua manusia, apa pun agamanya adalah sama. Agama itu letaknya di dalam hati,” begitu ucapan lembut Ishfaq kepada aku. Insaniat, kemanusiaan, adalah prinsip dasar penganut Ismaili. Umat diajarkan untuk mencintai sesama manusia tanpa melihat apa pun suku dan agamanya.

“Bolehkah saya belajar dengan lebih dalam tentang Ismaili?” Pinta aku.

“Boleh, tentu saja,” jawab Ishfaq, “pergilah ke Upper Chitral. Orang Ismaili lebih ramai di sana.”

Aku jadi teruja dengan anjuran Ishfaq.

“Kalau kamu ingin belajar lebih banyak tentang ajaran Ismaili,” katanya lagi, “pergilah ke Booni atau Mastooj. Di sana majoriti penduduknya orang Ismaili. Tapi hati-hati, bahagian Upper Chitral sangat dingin pada masa ini. Di beberapa kawasan, matahari masih belum bersinar sama sekali.”

(bersambung)


Farid sedang bertugas

Pemandangan di halaman rumah Farid

Topi pakol Chitrali

Tak seperti virus corona, cat corona tidak membunuh

Malam di Chitral



Backpacking Pakistan 22: Perjalanan Berat di Bibir Jurang

 

Meniti laluan berliku

10 Mac 2020

Bila membahas tentang suku dengan gadis cantik, maka yang langsung terlintas biasanya orang-orang Uyghur. Tak salah, sebab memang bangsa ini memiliki wanita-wanita yang luar biasa. Tapi tentu mereka bukanlah satu-satunya. Geserkan sedikit peta dunia anda ke Pakistan, ternyata juga ada suku yang terkenal dengan kecantikannya, khususnya ciri khas matanya yang berwarna biru.

Hal yang menjadi pertanyaan retorik tentu tidak hanya soal kecantikannya saja, tapi juga tentang mata birunya. Setelah melewatkan beberapa hari di Bahrain, aku mulai meraba-raba peta Chitral untuk mencari di desa manakah tempat mereka tinggal. Bakht Mand mengatakan, suku bernama Kalash ternyata adalah dari keturunan Alexander the Great yang disebut sang penakluk itu. Lalu seperti apa pesona dan cerita tentang suku ini?

"Maaf bhai, jalan menghala ke Upper Dir masih ditutup," kata Noor Jaan Shah, pemandu lori yang menolak untuk menumpangkan aku ke Kalam, "satu-satunya cara untuk ke Chitral adalah kamu harus berpatah balik ke Mingora, kemudian cari kenderaan ke Timergara. Dari sana, baru kamu boleh dapatkan tumpangan menuju ke Chitral."

Kedengarannya mudah, tapi sebenarnya tidak sama sekali. Di terminal bas Mingora, aku terkandas selama berjam-jam akibat banyak Flying Coach yang tak mahu menumpangkan aku, si orang asing ini ke Timergara. Ada berita yang masih hangat tentang peristiwa yang berlaku baru-baru ini, di mana seorang anggota keselamatan ditembak mati di Manglor. Jadi sekarang kegiatan memburu si penembak yang dipercayai orang Afghan sedang dilakukan secara besar-besaran. Maka oleh sebab itu ramai pemandu yang mengelak untuk membawa aku menaiki kenderaan mereka. Alasannya, tidak mahu masa perjalanan mereka terbazir apabila berdepan dengan banyak sekatan jalan oleh pihak polis.

Hingga pada akhirnya, aku berjaya juga menemukan seorang pemandu yang mahu menumpangkan aku ke Timergara selepas aku berjaya meyakinkan dia dengan pelitup muka yang aku gunakan. Ini merupakan taktik ampuh yang membolehkan aku melepasi banyak check post tentera ketika menyeludup masuk ke tribal area tempoh hari. "Kamu berani sekali," kata Abdul Wahid, pemandu kereta ini, "saya sendiri pun belum pernah sampai di Khyber Pass. Sampai sekarang saya hanya mampu melihat gambar gerbang lagenda itu di wang 10 rupee saja!"


Pelitup muka adalah penting bagi mengelakkan aku dikenal sebagai orang asing

Di dalam perut kereta Toyota Corolla Touring Wagon keluaran tahun 1995, kami berdesak-desakan menuju ke Chitral. Total ada lima orang penumpang. Ada anak kecil yang disumbatkan di bahagian but kereta bersama basikal baru. Walaupun terhimpit di belakang, namun itu bukan masalah sama sekali bagi anak kecil ini kerana kegembiraannya mendapat basikal baru yang dibelikan bapanya itu jauh mengatasi beratnya perjalanan.

Pertama-tama kereta menyusuri jalan raya mulus hingga sampai ke Lower Dir. Selepas dari itu permukaan jalan mula rosak, tidak berturap, dan penuh lubang di sana sini. Dulu setiap kali tibanya musim sejuk, Chitral akan terkunci dari dunia luar kerana Lowari Pass yang menghubungkan Upper Dir dan Mirkhani ditutup sepenuhnya. Cuma pesawat satu-satunya pilihan yang ada. Baru pada tahun 2018 orang-orang tidak perlu lagi menggunakan laluan udara untuk ke Chitral selepas Lowari Tunnel yang digali bagi merentasi banjaran Hindu Kush sepanjang 10.4 kilometer dibuka kepada umum.

Jalan ini merupakan satu-satunya laluan yang menghubungkan Chitral dengan dunia luar ketika musim sejuk. Ia mirip dengan seutas garis nipis meliuk-liuk di bibir kematian. Jalan berbatu ini selebar 4-5 meter, hanya cukup untuk satu kenderaan. Di sebelah kanan ada dinding terjal gunung-gunung yang menjulang. Sesekali kerikil kecil jatuh dari atas dan mengetuk atap kereta, mengingatkan aku dengan kemalangan yang aku alami di Reckong Peo, India, tahun lalu. Di sebelah kiri pula menganga jurang curam, tegak lurus 90 darjah, sambil di bawah sana ada aliran sungai deras bergemuruh.


Lumpur dalam yang menelan hampir separuh tayar kereta

Jurang ini sedemikian dalam sehingga tidak usah dibayangkan apa yang akan terjadi kalau kereta yang kami tumpangi terbabas sedikit saja. Jalan batu kerikil dan diselangi lumpur dalam yang kami lintasi berbelok merangkul gunung, dengan selekoh yang menghampiri pusingan U. Apa jadinya bila berselisih dengan kenderaan lain dari arah berlawanan? Tak usah ditanyakan. Serahkan saja nasib kepada si pemandu yang berpengalaman.

"Ya Allah khair… Ya Allah khair! Ya Tuhan, tolong…!" seru aku dalam hati setiap kali kereta yang kami naiki ini membelok tajam. Dan mulut aku tak pernah berhenti terkumat-kamit membaca doa. Penumpang lainnya tertawa.

"Ini sudah biasa. Koi zabardast nehi hai.. Tidak ada istimewanya sama sekali."

Laluan mengerikan ini sungguh mengingatkan aku dengan jalan-jalan di Himachal Pradesh, India. Bagi anda yang pernah ke sana tentu tahu bagaimana seramnya menyusuri laluan-laluan sempit di pinggang Himalaya. Justeru perjalanan seperti ini membuat aku lebih mencintai hidup.

"Perjalanan ini akan semakin mendekatkan kamu dengan Tuhan!" Azhar, seorang penumpang yang ikut dalam satu kereta, terkekeh.

Tiba-tiba kereta berhenti. Di depan sudah ada barisan dua jip dan satu lori. Di depannya lagi ada sekumpulan lelaki yang sedang mengelilingi sesuatu.

Rupanya ada sebongkah batu gunung berukuran besar yang menutup jalan. Batu ini jatuh begitu saja dari tebing gunung, seakan ingin memecah kebosanan di kawasan tak berpenghuni ini dan terjun ke sungai yang mengalir dalam jurang yang menganga lebar. Longsoran batu raksasa adalah kejadian sehari-hari di sini, yang bagi orang Pakistan sama lazimnya dengan roti chapati dan chai di pagi hari.


Kejadian batu jatuh dari atas gunung adalah perkara biasa di sini

"Mari kita tolong mereka!" kata Azhar lantas keluar dari kereta untuk membantu kumpulan lelaki tersebut.

Para lelaki itu berusaha sekuat tenaga untuk menyingkirkan batu besar dari badan jalan. Ada yang mendorong, menolak, menendang, memukul, mencangkul, dan mengais. Namun batu itu tetap bergeming.

Dalam sekejap warna pakaian mereka menjadi coklat kelabu, sama seperti warna debu pasir yang muram sejauh mata memandang. Kraaak…. Perlahan-lahan, batu itu mulai bergeser. Lima orang bertungkus lumus di tepi jalan, mendorong batu besar itu dengan telapak tangan-tangan mereka bersama-sama yang akhirnya menyaksikan batu raksasa itu berhasil juga digiring ke mulut jurang.

Batu itu terjun ke dalam jurang yang menganga. Suara ledakan dahsyat baru terdengar lebih dari tiga saat setelah batu terjungkal dari bibir jurang. Sungai yang mengalir deras di bawah untuk beberapa saat diselimuti debu tebal.

Perjalanan dilanjutkan.

Tak sampai setengah jam kemudiannya, kali ini salji tebal pula yang menutup jalan. Hari semakin petang. Chitral masih jauh di depan. Tak ada pilihan, para penumpang terpaksa keluar lagi dari kereta untuk kedua kalinya bagi bersama-sama bekerja membuka ruang jalan.

Sungguh, perjalanan untuk bertemu dengan suku Kalash di Pakistan Utara bukanlah selancar yang aku mahukan.

(bersambung)


Jalan berkerikil yang menggoncang seluruh isi kenderaan

Salji menyelimuti bumi di daerah Upper Dir

Kenderaan pacuan empat roda menyusur garang di alam liar



Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!