Backpacking Pakistan 23: Jiwa India

Filem India banyak mendominasi kedai DVD di Pakistan


11 Mac 2020

India adalah seteru utama Pakistan. Jutaan dolar telah dibelanjakan Pakistan hanya untuk membangun pertahanan dan ketenteraan yang kuat bagi menghadapi negara jirannya yang raksasa itu. Setelah hampir tiga bulan aku berkelana di Pakistan, aku masih merasakan jiwa India hidup di sini.

Drosh adalah sebuah dusun kecil yang mungkin dilupakan kewujudannya dalam peta Pakistan. Ia terletak di daerah Lower Chitral dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa. Salji yang turun di sini beberapa hari lalu sudah berhenti sejak kelmarin. Aku menginap beberapa hari di desa ini selepas mendapat undangan daripada Wajid, seorang pemuda tempatan. Sejak semalam lagi, sinar matahari terus menerus memancar menaungi dusun ini. Hari ini, salji sudah pun mencair sepenuhnya dan Drosh tidak lagi dibungkus warna putih yang sempurna.

Kehidupan tenang tanpa gelora mengalir lambat di lereng pergunungan yang hening dan dingin. Di tengah kesepian, lagu Bollywood berdendang dari kaca tv. Ajay Devgan berdansa girang bersama Arshad Warsi dan Tusshar Kapoor di sebuah taman tema, mengelilingi Karena Kapoor bersama ratusan pengiring yang muncul entah dari mana. Mereka berdendang riang, Apna Har Din Aise Jiyo… Hidupkan Hari Anda Seperti Ini…. Sejurus berikutnya, video muzik berganti pula kepada babak yang emosional. Aamir Khan, superstar Bollywood yang selalu tampil dalam filem-filem berkualiti, menjadi bintang lagu Chaha Hai Tujhko, Sedang Menginginkan Kamu, soundtrack dari filem Mann yang Box Office pada tahun 1999.

Ketika aku di India beberapa bulan lalu, semua siaran di kaca tv, radio, sampai ke pedagang kaki lima di pinggir jalan semuanya memutarkan lagu-lagu hits terkini seperti Munna Badnam Hua pasca filem Dabangg 3 dan Ek Chumma dari filem Housefull 4. Tetapi selama aku di Pakistan, hanya lagu-lagu dari filem-filem lama sahaja yang dapat aku dengarkan.


Pagi di Drosh

Pagi ini Wajid mengundang beberapa orang temannya, sekelompok pemuda Chitrali, bersarapan bersama di mehman khana (ruangan tetamu yang disebut betak atau hujra di rumah orang Pathan). Tepat pukul 9, bekalan elektrik yang mulanya terputus kembali tersambung. Para pemuda ini bersorak riang. Televisyen dihidupkan bagi mengisi kebosanan. Kebetulan filem Pardes sedang ditayangkan di kaca tv.

Pardes, yang bermaksud 'tanah asing' dalam erti harfiah adalah filem terbitan tahun 1997 yang dibintangi Shah Rukh Khan dan Mahima Chaudhry. Aku pernah menonton filem ini beberapa kali. Ia mengisahkan tentang Kishorilal, seorang jutawan India di Amerika yang menginginkan seorang menantu perempuan berbangsa India untuk anaknya, Rajiv. Lalu dia mengikat tali pertunangan antara Rajiv dan Ganga, anak perempuan kepada sahabat baiknya yang tinggal di Dehradun. Walau bagaimanapun, pertunangan mereka tidak kekal lama kerana hati Ganga mencintai Arjun, anak angkat kepada Kishorilal.

Jika anda menonton filem-filem Bollywood tahun 90-an, anda pasti sedar bahawa jalan ceritanya begitu klise. Mimpi ala Cinderella, seorang gadis miskin namun cantik yang jatuh cinta kepada lelaki tampan dari keluarga kaya. Ini mengingatkan aku kepada drama Melayu yang selalu berkisar tentang konflik keluarga, cinta, rumah besar, kereta mewah, bisnes syarikat berjuta-juta, yang turut punya alur cerita yang sentiasa sama, namun tetap saja mendapat jumlah tontonan yang tinggi.

Tapi jangan berdebat dengan si Wajid atau kawannya si Hussain atau sepupunya si Ashfaq yang suka dengan filem Hindi. Sebagai peminat tegar, mereka tidak suka mendengar pendapat aku yang realistik. Apakah mereka begitu menjiwai sebuah mimpi, tentang perjuangan seorang gadis demi cinta kepada sang lelaki pujaan hati? Di negara seperti Pakistan dan India, perkahwinan adalah buah tangan perjodohan keluarga. Justeru, cerita cinta sepasang kekasih hingga melenggang ke mahligai impian memang cuma mimpi bagi orang kebanyakan.

Filem India ini juga menyajikan hiburan pencuci mata. Bila lagi mereka dapat melihat gadis cantik seksi yang bergaul dan menari bersama para lelaki kalau bukan di kaca tv? Pemandangan ini tak dapat dilihat di jalanan Drosh yang mungil, di mana hubungan antara lawan jantina sama sekali tak terlihat.

"Hindustan ki larkion ke bara dudh hai… Gadis Hindustan punya (maaf) payudara yang aduhai…" seorang kawan Wajid berbisik nakal.

Ke mana pergi kebencian mereka terhadap negara jirannya?

"Kami benci India, tapi suka dengan gadis-gadis dan filemnya," terang Wajid.

Sepanjang menumpang di rumah orang-orang Pakistan, aku mendapati banyak siaran di televisyen yang kerap memainkan filem-filem Bollywood, hiburan berjam-jam yang menawarkan sejuta mimpi. Manusia-manusia dari dua sisi perbatasan ini ternyata berkongsi mimpi yang sama.

Selain isi cerita yang sesuai dengan mimpi orang Pakistan, apa lagi yang membuat filem India begitu popular di negara muslim ini? Faktor bahasa adalah salah satunya. Pertuturan bahasa Urdu di Pakistan dengan bahasa Hindi di India boleh dikatakan hampir serupa. Budaya dan jalan hidup turut berasal dari akar yang sama.

Mereka mempunyai persamaan sejarah masa lalu. Dulu Pakistan, India, dan Bangladesh berada dalam jajahan kolonial Inggeris, di bawah payung gergasi yang bernama British Raj – empayar terbesar di seluruh Asia. Pakistan hanya mula terbentuk pada 1947 sebagai negara bagi umat Islam di tanah Hindustan. Sejak dari itu, orang-orang mula membahas tentang identiti ke-Pakistan-an.

Apakah yang disebut identiti Pakistan itu? Apakah Islam cukup kuat untuk menjadi identiti negara baru ini? Pakistan kala itu terdiri daripada Pakistan Barat (Pakistan sekarang) dan Pakistan Timur (Bangladesh). Namun hakikatnya, Islam tidak cukup kuat menjadi identiti kebersamaan Pakistan Barat dan Pakistan Timur sehingga akhirnya Bangladesh merdeka pada 1971. Memang banyak faktor yang menyebabkan terpisahnya Bangladesh daripada Pakistan, tapi kerenggangan asimilasi di antara warga kedua belah Pakistan itu adalah salah satu puncanya. hanya iman yang sama, namun bahasa, budaya, makanan, pakaian, dan lapisan masyarakatnya, semua berbeza.

Dalam perkembangan lain, perdebatan tentang identiti Pakistan terus mewarnai kolum pendapat di surat khabar. Aku sempat terbaca satu hantaran pembaca yang mengeluh tentang penayangan drama bersiri dan filem Hindi yang membuat orang Pakistan semakin terseret dalam jebakan kebudayaan India. Jangan pelik kalau disebabkan terlalu banyak menonton filem Hindi, umat Muslim di Punjab pun sampai ada yang mengucapkan kata namaste ketika menyapa.

Ketika identiti negara baru Pakistan masih terus digali, identiti 'pra-Pakistan' – budaya asli sebelum lahirnya negara ini, yang banyak yang mirip dengan Hindustan sana – masih terus hidup subur. Tak hairan, walaupun kerajaan sudah melarang filem Bollywood untuk dimainkan di panggung wayang, orang-orang masih gemar menontonnya di kaca TV yang menggunakan parabola untuk mencapai siaran dari tanah seberang. Di sini, nama Jackie Shroff, Katrina Kaif, dan Aishwarya Rai, atau filem-filem panas Sunny Leone, juga menjadi topik perbualan di kalangan lelaki. Kalau di India kata "Chalo Pakistan" atau 'pergilah ke Pakistan' adalah umpatan kasar yang boleh menaikkan kemarahan orang India, tapi di sini ucapan “Chalo Hindustan” malah disambut dengan tatap mata kehairanan kerana tidak difahami apa maksudnya.

Bagaimana pula dengan kebudayaan pop Pakistan?

"Saya benci India," kata seorang pemuda Lahore, "sepupu saya yang tinggal di England beritahu, setiap kali filem India ditayangkan di pawagam sana, orang Pakistan juga akan ikut menonton. Tapi bila giliran filem Pakistan dimainkan, tak ada langsung orang India yang datang."

Produk filem Pakistan memang tidak terlalu digemari di India, bahkan di Pakistan sendiri pun. Tetapi jangan pula dipukul rata. Masih ada muzik qawwali Nusrat Fateh Ali Khan sangat dihormati di sana. Atif Aslam serta Farhan Saeed juga mendulang kejayaan besar di India, termasuk band Sufi Junoon yang juga gah di Asia Selatan, walaupun di dusun kecil ini orang tetap lebih mengenali siapa itu Aishwarya Rai dan Rani Mukerji.

Aku kembali terlarut ke dalam rancangan yang ditayangkan TV Pakistan. Di malam harinya, usai siaran berita, sebuah filem hit Bollywood berjudul Dhoom 3 disiarkan. Pembikinan filem ini telah dibuat di Switzerland, lalu gerak-geri dan gaya hidup pelakonnya turut berunsur kebarat-baratan. Di mata aku, ia adalah filem Hollywood yang dilakonkan oleh orang India yang semuanya bertutur bahasa Urdu atau Hindi. Bapa Wajid yang pada mulanya turut bersama di ruangan ini hanya melihat sekilas, kemudian langsung berlalu pergi. Mungkin mimpi yang dijual dalam filem ini bukan lagi konsumsi orang dari peringkat umurnya. Sebaliknya, Wajid dan sepupunya kian khusyuk menyaksikan kemolekan artis-artis jelita dari seberang perbatasan sana.

(bersambung)


Lowari Tunnel yang menghubungkan Upper Dir ke Drosh menembus pergunungan Hindu Kush

Salji sudah mulai mencair ketika aku tiba di Drosh

Penghangat tubuh di malam hari

Sungai Chitral yang kering di musim sejuk

Backpacking Pakistan 22: Perjalanan Berat di Bibir Jurang

 

Meniti laluan berliku

10 Mac 2020

Bila membahas tentang suku dengan gadis cantik, maka yang langsung terlintas biasanya orang-orang Uyghur. Tak salah, sebab memang bangsa ini memiliki wanita-wanita yang luar biasa. Tapi tentu mereka bukanlah satu-satunya. Geserkan sedikit peta dunia anda ke Pakistan, ternyata juga ada suku yang terkenal dengan kecantikannya, khususnya ciri khas matanya yang berwarna biru.

Hal yang menjadi pertanyaan retorik tentu tidak hanya soal kecantikannya saja, tapi juga tentang mata birunya. Setelah melewatkan beberapa hari di Bahrain, aku mulai meraba-raba peta Chitral untuk mencari di desa manakah tempat mereka tinggal. Bakht Mand mengatakan, suku bernama Kalash ternyata adalah dari keturunan Alexander the Great yang disebut sang penakluk itu. Lalu seperti apa pesona dan cerita tentang suku ini?

"Maaf bhai, jalan menghala ke Upper Dir masih ditutup," kata Noor Jaan Shah, pemandu lori yang menolak untuk menumpangkan aku ke Kalam, "satu-satunya cara untuk ke Chitral adalah kamu harus berpatah balik ke Mingora, kemudian cari kenderaan ke Timergara. Dari sana, baru kamu boleh dapatkan tumpangan menuju ke Chitral."

Kedengarannya mudah, tapi sebenarnya tidak sama sekali. Di terminal bas Mingora, aku terkandas selama berjam-jam akibat banyak Flying Coach yang tak mahu menumpangkan aku, si orang asing ini ke Timergara. Ada berita yang masih hangat tentang peristiwa yang berlaku baru-baru ini, di mana seorang anggota keselamatan ditembak mati di Manglor. Jadi sekarang kegiatan memburu si penembak yang dipercayai orang Afghan sedang dilakukan secara besar-besaran. Maka oleh sebab itu ramai pemandu yang mengelak untuk membawa aku menaiki kenderaan mereka. Alasannya, tidak mahu masa perjalanan mereka terbazir apabila berdepan dengan banyak sekatan jalan oleh pihak polis.

Hingga pada akhirnya, aku berjaya juga menemukan seorang pemandu yang mahu menumpangkan aku ke Timergara selepas aku berjaya meyakinkan dia dengan pelitup muka yang aku gunakan. Ini merupakan taktik ampuh yang membolehkan aku melepasi banyak check post tentera ketika menyeludup masuk ke tribal area tempoh hari. "Kamu berani sekali," kata Abdul Wahid, pemandu kereta ini, "saya sendiri pun belum pernah sampai di Khyber Pass. Sampai sekarang saya hanya mampu melihat gambar gerbang lagenda itu di wang 10 rupee saja!"


Pelitup muka adalah penting bagi mengelakkan aku dikenal sebagai orang asing

Di dalam perut kereta Toyota Corolla Touring Wagon keluaran tahun 1995, kami berdesak-desakan menuju ke Chitral. Total ada lima orang penumpang. Ada anak kecil yang disumbatkan di bahagian but kereta bersama basikal baru. Walaupun terhimpit di belakang, namun itu bukan masalah sama sekali bagi anak kecil ini kerana kegembiraannya mendapat basikal baru yang dibelikan bapanya itu jauh mengatasi beratnya perjalanan.

Pertama-tama kereta menyusuri jalan raya mulus hingga sampai ke Lower Dir. Selepas dari itu permukaan jalan mula rosak, tidak berturap, dan penuh lubang di sana sini. Dulu setiap kali tibanya musim sejuk, Chitral akan terkunci dari dunia luar kerana Lowari Pass yang menghubungkan Upper Dir dan Mirkhani ditutup sepenuhnya. Cuma pesawat satu-satunya pilihan yang ada. Baru pada tahun 2018 orang-orang tidak perlu lagi menggunakan laluan udara untuk ke Chitral selepas Lowari Tunnel yang digali bagi merentasi banjaran Hindu Kush sepanjang 10.4 kilometer dibuka kepada umum.

Jalan ini merupakan satu-satunya laluan yang menghubungkan Chitral dengan dunia luar ketika musim sejuk. Ia mirip dengan seutas garis nipis meliuk-liuk di bibir kematian. Jalan berbatu ini selebar 4-5 meter, hanya cukup untuk satu kenderaan. Di sebelah kanan ada dinding terjal gunung-gunung yang menjulang. Sesekali kerikil kecil jatuh dari atas dan mengetuk atap kereta, mengingatkan aku dengan kemalangan yang aku alami di Reckong Peo, India, tahun lalu. Di sebelah kiri pula menganga jurang curam, tegak lurus 90 darjah, sambil di bawah sana ada aliran sungai deras bergemuruh.


Lumpur dalam yang menelan hampir separuh tayar kereta

Jurang ini sedemikian dalam sehingga tidak usah dibayangkan apa yang akan terjadi kalau kereta yang kami tumpangi terbabas sedikit saja. Jalan batu kerikil dan diselangi lumpur dalam yang kami lintasi berbelok merangkul gunung, dengan selekoh yang menghampiri pusingan U. Apa jadinya bila berselisih dengan kenderaan lain dari arah berlawanan? Tak usah ditanyakan. Serahkan saja nasib kepada si pemandu yang berpengalaman.

"Ya Allah khair… Ya Allah khair! Ya Tuhan, tolong…!" seru aku dalam hati setiap kali kereta yang kami naiki ini membelok tajam. Dan mulut aku tak pernah berhenti terkumat-kamit membaca doa. Penumpang lainnya tertawa.

"Ini sudah biasa. Koi zabardast nehi hai.. Tidak ada istimewanya sama sekali."

Laluan mengerikan ini sungguh mengingatkan aku dengan jalan-jalan di Himachal Pradesh, India. Bagi anda yang pernah ke sana tentu tahu bagaimana seramnya menyusuri laluan-laluan sempit di pinggang Himalaya. Justeru perjalanan seperti ini membuat aku lebih mencintai hidup.

"Perjalanan ini akan semakin mendekatkan kamu dengan Tuhan!" Azhar, seorang penumpang yang ikut dalam satu kereta, terkekeh.

Tiba-tiba kereta berhenti. Di depan sudah ada barisan dua jip dan satu lori. Di depannya lagi ada sekumpulan lelaki yang sedang mengelilingi sesuatu.

Rupanya ada sebongkah batu gunung berukuran besar yang menutup jalan. Batu ini jatuh begitu saja dari tebing gunung, seakan ingin memecah kebosanan di kawasan tak berpenghuni ini dan terjun ke sungai yang mengalir dalam jurang yang menganga lebar. Longsoran batu raksasa adalah kejadian sehari-hari di sini, yang bagi orang Pakistan sama lazimnya dengan roti chapati dan chai di pagi hari.


Kejadian batu jatuh dari atas gunung adalah perkara biasa di sini

"Mari kita tolong mereka!" kata Azhar lantas keluar dari kereta untuk membantu kumpulan lelaki tersebut.

Para lelaki itu berusaha sekuat tenaga untuk menyingkirkan batu besar dari badan jalan. Ada yang mendorong, menolak, menendang, memukul, mencangkul, dan mengais. Namun batu itu tetap bergeming.

Dalam sekejap warna pakaian mereka menjadi coklat kelabu, sama seperti warna debu pasir yang muram sejauh mata memandang. Kraaak…. Perlahan-lahan, batu itu mulai bergeser. Lima orang bertungkus lumus di tepi jalan, mendorong batu besar itu dengan telapak tangan-tangan mereka bersama-sama yang akhirnya menyaksikan batu raksasa itu berhasil juga digiring ke mulut jurang.

Batu itu terjun ke dalam jurang yang menganga. Suara ledakan dahsyat baru terdengar lebih dari tiga saat setelah batu terjungkal dari bibir jurang. Sungai yang mengalir deras di bawah untuk beberapa saat diselimuti debu tebal.

Perjalanan dilanjutkan.

Tak sampai setengah jam kemudiannya, kali ini salji tebal pula yang menutup jalan. Hari semakin petang. Chitral masih jauh di depan. Tak ada pilihan, para penumpang terpaksa keluar lagi dari kereta untuk kedua kalinya bagi bersama-sama bekerja membuka ruang jalan.

Sungguh, perjalanan untuk bertemu dengan suku Kalash di Pakistan Utara bukanlah selancar yang aku mahukan.

(bersambung)


Jalan berkerikil yang menggoncang seluruh isi kenderaan

Salji menyelimuti bumi di daerah Upper Dir

Kenderaan pacuan empat roda menyusur garang di alam liar



Backpacking Pakistan 21: Wanita Pakistan di Mata Seorang Gadis Pengembara

 

Poster filem Pashto di sebuah panggung wayang Peshawar

8 Mac 2020, Happy Women's Day

Sempena Hari Wanita sedunia yang disambut pada hari ini, suka untuk aku kongsikan cerita tentang kehidupan wanita Pakistan yang telah aku dengarkan dari seorang teman. Semasa aku bergabung bersama Couchsurfing community berkhemah di Taman Negara Bukit Margala Islamabad bulan lalu, aku sempat bertemu dengan Ammara, yang lebih mesra dipanggil Ammu, gadis Oman yang berkeliling di Pakistan seorang diri.

Dari Naran Kagan, dia menjelajahi Hunza, Fairy meadows, Shandoor, Gilgit, Khunjerab pass, Mangho Peer, Makli, Liari, Ranikot, Katas Raj, Perbatasan Kasur dan Wagah, Multan, Hyderabad, hingga ke Lahore. Setelah berkeliling di berbagai penjuru negara ini sendirian, aku bertemu dengan Ammu di Islamabad sebelum dia meneruskan perjalanannya turun ke selatan negara sedang aku pula menghala ke barat.

Sebelum memulakan perjalanan di Pakistan, Ammu sudah dipenuhi oleh ketakutan tentang betapa seramnya kelakuan lelaki Pakistan terhadap perempuan. Banyak cerita backpacker perempuan yang mengalami gangguan seksual selama di Pakistan, mulai dari gerombolan lelaki yang tak pernah puas memandang tubuh wanita dari hujung kepala sampai hujung kaki, hingga kategori lelaki jalanan yang menjamah dan merimaskan. Jangankan perempuan, sebagai lelaki asing, aku pun pernah mengalami gangguan.

Tapi ternyata sudah hampir dua bulan Ammu di sini, dia sama sekali tak mengalami pengalaman yang tak mengenakkan seperti itu. Malah dia sempat terharu oleh keramahtamahan orang Pakistan. Ketika di Lahore, dia menginap di rumah keluarga penunggang rickshaw (pengangkutan roda tiga di Pakistan). Abang kepada si penunggang rickshaw pula bekerja sebagai receptionist hotel. Bersama orang tua, isteri, dan anak-anak, tiga generasi keluarga besar ini tinggal bersama di bawah satu bumbung. Dari rumah mungil itulah, Ammu mulai menyelam ke dalam hidup wanita Pakistan.

"Menjadi perempuan asing itu membolehkan saya mempunyai dua identiti," kata Ammu.

Dia bebas makan dan berborak bersama kaum lelaki dalam keluarga itu. Di lain waktu, Ammu turut mempunyai akses ke bahagian rumah yang terdalam, berbagi cerita dan gosip dengan kaum perempuan anggota keluarga. Perihal ini adalah hampir mustahil untuk dialami oleh lelaki, baik lelaki Pakistan mahupun lelaki asing mana pun.

Dari berbagai cerita Ammu, aku sangat tertarik mendengar pelbagai selok belok Pakistan yang selama ini tak pernah terjangkau oleh mata aku. Misalnya, bagaimana kehidupan kaum wanita Pakistan di balik tirai cadar?


Terbungkus burqa

Jangan terkejut kalau mereka, seperti perempuan di belahan bumi lainnya, juga suka berdiskusi tentang kecantikan. Perempuan Pakistan yang hampir tidak nampak sama sekali di jalanan, dan kalau keluar pun selalu terbungkus rapat dengan niqab atau burqa, juga suka membincangkan perihal kosmetik yang paling mutakhir, pelembab wajah yang paling mujarab, bahkan teknik paling berkesan untuk menghilangkan bulu badan.

"Sebenarnya hidup mereka sangat selesa," Ammu mengisahkan pengalamannya beberapa hari tinggal di sudut rumah keluarga Pakistan, "Mereka hanya menyiapkan sarapan, makan tengah hari , memasak, dan membersihkan rumah. Selepas itu mereka boleh kembali berhias."

Pertama sekali menghias alis mata. Alis yang dicukur rapi menambahkan indahnya mata mereka yang cantik. Kemudian mengecat kuku dan tangan dengan henna (inai). Ini adalah kegiatan sosialisasi para wanita di rumah itu. Mereka saling mengecat sambil berbual tanpa henti. Mereka menghabiskan waktu berjam-jam untuk menorehkan sebuah karya seni yang indah di atas tangan mereka, dan apabila keluar dari rumah, semua kecantikan itu tersembunyi dalam balutan cadar yang tertutup rapat.

Pernah suatu hari Ammu diajak menonton filem di panggung wayang bersama seluruh anggota keluarga. Kaum perempuan keluarga itu sejak dari petang sibuk memilih pakaian, menghadapkan diri di depan cermin, menghiasi sekujur wajah dan tangan dengan berbagai pewarna, belum lagi deretan gelang, anting-anting, cincin, dan lain-lain perhiasan... Hanya untuk menonton filem pun perlukan waktu tiga jam untuk berdandan. Dan apabila keluar saja dari pintu rumah, dalam sekelip mata, rombongan puteri cantik tersebut berubah wujud menjadi susuk tubuh dalam kain hitam pekat. Yang tersisa cuma segaris pandangan mata. Kecantikan mereka yang tiada tara itu hanya diperuntukkan bagi suami tercinta.

Kaum perempuan keluarga itu kemudian berdesak-desakan dalam auto rickshaw mungil milik sang suami. Ketika sampai di panggung, sementara si lelaki membeli tiket, Ammu yang kerimasan pun ikut keluar. Serentak para perempuan dalam purdah itu menjerit panik, "Jangan! Jangan keluar! It’s very dangerous!"

"Kenapa? Kenapa mereka selalu hidup dalam ketakutan?" sebuah pertanyaan retorik dari hati Ammu.


Perempuan Pakistan di bazar

Mereka seperti tercabut dari keamanan di balik tembok rumah. Kaum perempuan ini tak pernah menginjakkan kaki keluar rumah sendirian tanpa ditemani lelaki anggota keluarga. Dan apabila mereka berada di luar zon selesa, mereka merasa dunia luar begitu berbahaya.

Aku juga pernah merasai pengalaman menonton filem Pakistan di panggung wayang ketika di Peshawar tempoh hari. Namun filem Pakistan sama sekali tak meninggalkan kesan bagus di benak aku. Ia agak kotor. Kalau dimainkan di Malaysia, tentu saja akan ditapis oleh lembaga perfileman.

Jalan ceritanya cuma mendatar, tambahan pula aku tak begitu faham bahasa Pashto. Yang aku tonton adalah hanya lelaki yang membawa senjata, kisah asmara, dan perempuan menari-nari. Di negara jiran India, Bollywood menjadi imej cantik negara itu yang ditayangkan ke seluruh dunia. Tetapi filem yang aku tonton di Peshawar bukanlah imej sebenar Republik Islam Pakistan.

Lima belas minit pertama, tanpa sebab dan tanpa alasan adalah adegan tembak-menembak tanpa henti. Para lelaki berjambang lebat membawa senjata api. Sang pelakon bersimbah darah, tapi tak tercedera. Tiba-tiba, juga tanpa sebab tanpa alasan, babak filem berpindah lokasi ke hari mandir, kuil Hindu – di mana para perempuan melenggang lenggok dalam tarian.

Peraturan ketat di negara ini memang tak memungkinkan adegan membuka baju, namun pembikin filem tak hilang akal dengan menyunting gerakan ghairah penuh simbolik. Hasilnya malah lebih berani dan erotik daripada filem porno. Seorang perempuan gemuk berpakaian basah dan agak tembus pandang yang menggoyang pinggulnya di air pancuran, memperagakan gerakan erotisme yang sangat mengghairahkan. Tapi kenapa perempuan gemuk? Ia memang aneh, perempuan bertubuh penuh lemak adalah selera konsumer filem di sini.

Babak tarian wanita itu juga berlangsung selama lima belas minit tanpa henti. Kemudian, tuppp, berpindah lagi ke adegan tembak-menembak para lelaki. Lima belas minit berterusan, pindah lagi ke tari-tarian. Pergantian babak sangat kasar, guntingan dua filem yang dipaksakan untuk tampil bersama, seolah-olah lagu dan tarian erotik itu memang selingan atau sajian utama yang dipaparkan dalam filem ini. Berterusan, berganti-ganti tanpa henti sampai tiga jam penuh.

Berbalik semula kepada kisah perjalanan Ammu, pengalaman menyelami kehidupan perempuan Pakistan sungguh merupakan pengalaman baru baginya. Ammu yang terbiasa dengan penampilan sederhana, dengan baju lengan pendek, seluar jeans, jaket, serta tidak berhijab, sering dipandang aneh oleh wanita Pakistan terutamanya ketika menaiki bas awam.

"Sebenarnya," katanya lagi, "semua ini bertujuan untuk melindungi perempuan."

Di dalam bas, tempat khusus perempuan adalah tempat yang aman daripada jilatan mata kaum lelaki. Di restoran, ada ruang khusus yang sentiasa tersedia buat pengunjung perempuan, agar tak terlihat oleh lelaki lain. Perempuan tak perlu beratur di kaunter. Perempuan selalu ditemani dan dikawal ketika keluar dari rumah. Sungguh, itu merupakan perlindungan yang luar biasa. Tetapi kalau difikirkan semula, dari mana datangnya keperluan untuk selalu terus dilindungi? Ketakutan? Tradisi? Atau justeru kerana bahayanya para lelaki yang masih menggoda kaum perempuan walau sudah bercadar sekali pun?


Wanita Pakistan umumnya tidak ke Masjid

Aku teringat dengan perbualan bersama seorang penumpang bas di kota Mardan yang pernah bekerja di Arab Saudi. Dengan penuh rasa hiba, dia meluahkan rasa simpati terhadap negara-negara seperti Indonesia dan Filipina.

"Lihat, sampai perempuan pun terpaksa bekerja jauh-jauh ke negara Arab!" Malah lelaki ini juga tahu bahawa ada wanita yang menjadi buruh binaan di Malaysia. "Apalah nasib perempuan-perempuan itu….kasihan… harus bekerja keras… Di mana suami mereka?"

Apa yang biasa bagi kita, belum tentu tepat bagi mereka. Namun bagi kaum perempuan Pakistan, tak ada tempat yang lebih nyaman dari istana di sudut rumah, yang lebih aman dengan perlindungan suami dan kaum keluarga.

(bersambung)


Bersama Ammu di Margala Hills


Backpacking Pakistan 20: Pengembara dari Catalan

 

Bahrain merupakan sebuah desa merangkap pekan kecil yang terletak tepat di titik pertemuan antara Daral Khwar (kiri) dan Swat River (kanan)

7 Mac 2020

"Datanglah lagi ke sini jika ada masa," kata Rehman Uddin, "pintu rumah ini sentiasa terbuka buat kamu." Riak nada kata-katanya penuh dengan kesayuan, pelukannya erat sekali, seakan berat untuk melepaskan aku pergi.

Sudah begitu lama aku menginap di Odigram. Pada awalnya aku cuma mahu singgah ke desa ini untuk beberapa hari sahaja, tapi udara pergunungan syurgawi yang menyihir dan keselesaan yang sudah begitu lama tidak aku rasai justeru telah mendatangkan penyakit malas, yang mana tak ada sebarang kaedah penyembuhan melainkan cuma sang empunya diri yang mampu melawannya.

Lepas dari kemalasan, sekarang aku ditekan dengan rasa hampa. Dulu semangat kembara aku sebelum datang ke Lembah Swat begitu meluap-luap, ingin menelusuri sejarah Buddha yang pernah bertapak di sini sebelum datangnya Islam, ingin menggali kisah Taliban yang pernah menawan Lembah Swat, dan ingin bertemu dengan wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki Pathan di desa Buner. Tapi kini, aku tak lebih dari seorang musafir yang cuma melewatkan hari di halaman rumah, menonton YouTube, membaca buku sepanjang hari, dan mengagumi keindahan hamparan salju di puncak gunung yang putih bersih.

Hingga pada akhirnya, hadir juga tekad yang membulat. Aku membuat keputusan untuk menyambung perjalanan. Sudah terlalu lama aku beristirahat di sini. Dengan tempoh visa yang cuma tinggal sebulan setengah, masih banyak lagi tempat yang ingin aku teroka dan masih ramai lagi orang yang aku mahu jumpa.

Ringkas cerita, keesokan harinya aku sudahpun berada di Upper Swat, atau lebih tepat lagi, di Bahrain. Bahrain (juga dieja Behrain) adalah sebuah pekan kecil yang terletak 60km dari Kota Mingora dan berketinggian 4700 kaki di tebing Sungai Swat. Tempat ini dinamakan Bahrain (yang bermaksud dua sungai dalam erti harfiah) kerana lokasinya yang tepat di titik pertemuan antara Daral Khwar dan Swat River. Ia terkenal dengan resort-resort percutian tepi sungai, kraf tangan tempatan, dan pemandangan menakjubkan barisan gunung ganang yang mengepung seluruh pekan. Bahrain juga merupakan base camp bagi laluan trail yang membawa para trekker menuju ke tasik Daral dan Saidgai.


Pekan Bahrain

Ketibaan aku di Bahrain disambut Bakht Mand Khan, seorang lelaki tempatan yang sudah mengundang aku menginap di rumahnya sejak beberapa minggu lalu. Penampilannya kemas, orangnya tidak terlalu tinggi, wajahnya bersih tanpa sebarang jambang, dan bahasa Inggerisnya fasih. Walaupun baru berjumpa buat kali pertama, keakraban kami sudah seperti sahabat lama. Bakht Mand adalah seorang yang gemar bergurau serta mudah ketawa.

Aku dibawa berjalan meninggalkan kawasan pekan dan seterusnya menuju ke rumahnya yang terletak di permukiman desa di lereng gunung. Jalan belakang gunung ini cukup panjang, datar, dan tidak terlalu sukar untuk ditelusuri. Kecuali di beberapa tempat yang terkena longsoran dari puncak, jalan tertutup oleh tompokan batu. Aku memang kurang gemar kalau lalu di jalan seperti ini. Seram sekali bila perlu melintasi tompokan bongkahan batu sedangkan di bawah sana ada jurang menganga dan di atas puncak sana pula batu besar boleh turun pada bila-bila masa.

"Cepat! Cepat!" kata Bakht Mand menyorak. Melintasi kawasan longsoran memang perlu cepat, kerana tanah tidak stabil dan longsoran masih boleh terjadi. Dengan backpack berat yang dipikul di bahu, aku malah merangkak dengan kedua telapak tangan di atas bebatuan seperti bayi yang baru belajar berjalan. Sungguh perjalanan di desa-desa utara Pakistan memang memerlukan sejumput lebih banyak jiwa petualang.


Swat River yang surut pada musim sejuk

Tetapi petualangan aku ini seperti tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan lelaki Sepanyol yang aku temui di malam harinya. Wajahnya serius, tak ada senyum di bibirnya. Janggut panjang yang dipintal menghiasi wajahnya yang bujur. Matanya segaris, suram. Kulitnya putih, namun tak terawat, berkerak di sana-sini. Sungguh kontras dengan diri aku yang selalu mengenakan krim pelembap. Dia tipikal orang Eropah yang mengembara dengan cara hippie: bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan menumpang kenderaan orang dan menjalani hidup bertahun-tahun di atas jalan. Tapi yang membuat aku seketika merasa takjub adalah, dia mampu bertutur bahasa Melayu kerana pernah berkelana di Malaysia dan Indonesia selama dua tahun.

Jauh-jauh dari Wilayah Catalonia asalnya, lelaki ini lebih terlihat seperti warga dusun Pakistan. Dia berbalut shalwar kamiz yang penuh kedutan, berpadu dengan sehelai shawl yang melintang di bahu. Dengan gerakan perlahan dia membuka selembar peta Asia yang sudah lusuh dan koyak, penuh tampalan selotip di sana-sini, sempat membuat aku mengira kertas peta itu terbuat daripada plastik.

"This way," katanya dengan suara berat dan pekat, tipikal loghat orang Latin yang bercakap dalam bahasa Inggeris, "adalah jalan menuju Chapursan."

"Chapursan? Tempat apa itu?"

"Ia adalah syurga tersembunyi. Di peta ini kamu boleh lihat ada Koridor Wakhan di sini," katanya sambil menunjukkan dataran sempit yang menjulur panjang di timur laut Afghanistan, "Chapursan terletak tak jauh dari sempadan Wakhan. Begitu terpencil dan tersembunyi. Sebuah syurga di hujung dunia, terkunci waktu."

"Untuk sampai ke sini," lanjut lelaki Sepanyol ini, "kamu harus melintasi Mastooj, Istach, sampai Broghil, desa terakhir di Upper Chitral. Kalau dari Gilgit pula, kamu boleh melalui Karakoram Highway hingga Afiyatabad kemudian belok ke kiri ke utara ke arah sempadan Afghanistan."

Semua nama itu masih asing bagiku, tetapi aku justeru terpesona dengan perjalanan (lebih tepat lagi, petualangan) lelaki ini. Siapa sangka dengan penampilannya yang kusut masai seperti ini, ternyata dia adalah seorang pengelana besar, pemberani yang mempertaruhkan apa pun demi menemukan rahsia alam di lembah-lembah yang terpencil. Dia jelas adalah jenis pengembara yang begitu aku kagumi.

Dia sudah berkelana ke pelbagai penjuru Pakistan, dari perbatasan Taftan, turun hingga Karachi di selatan, naik ke utara, dan kini menuju ke barat. Semuanya dengan menahan kenderaan di jalanan. Percuma, tanpa sebarang kos.

Susah? Tentu saja tidak. Dia mampu bertutur bahasa asas Urdu. Yang lebih mengagumkan, dia sentiasa belajar bahasa tempatan di setiap tempat yang dia singgahi. Di Quetta, dia bertutur bahasa Balochi, bahasa Sindh di Karachi, Punjabi di Lahore, Kashmiri di Azad Kashmir, Khowari di Chitral, dan sekarang dia mempelajari bahasa Pashto di Khyber Pakhtunkhwa.

Walaupun terdengar patah-patah, ternyata dia tidak ada kesulitan sama sekali untuk berkomunikasi dengan orang tempatan. Tak pernah dia tinggal di mana-mana penginapan berbayar, kerana selalunya hanya menggunakan Couchsurfing, kadangnya pula di warung teh, yang selalu menyediakan tempat bermalam percuma bagi siapa pun yang singgah makan di sana.

Lelaki ini masih menunjukkan tempat-tempat mahaindah di peta robeknya. Ada Salang Pass di Afghanistan yang menurutnya adalah lintasan gunung terindah yang pernah dia lalui, di samping Lebuhraya Pamir di Tajikistan, Karakoram di Pakistan, dan Kardhungla Pass di India. Aku merasa ikut bertualang bersamanya dalam angan, mengembara melintasi kota-kota kuno yang ditunjukkan di atas peta.

Berkeliling di Asia tengah dengan menumpang trak, berbicara bahasa tempatan dengan fasih, menginap secara percuma di sepanjang perjalanan, mengunjungi dusun terpencil di balik gunung, mencari syurga di lembah yang tersembunyi, perjalanan seperti lelaki ini sungguh aku idamkan. Aku membayangkan diriku juga dapat berkeliling di Asia Tengah suatu hari nanti.

Namun aku tak tahu apakah aku mampu mengikut jejak langkahnya. Apa yang pasti, di dalam sebuah kedai makan di pekan kecil Bahrain, aku terpukau dengan petualangan seorang pengembara dari Catalan.

(bersambung)


Makanan istimewa Bahrain, chapli kebab

Rumah keluarga Bakht Mand

Terkurung gunung


Backpacking Pakistan 19: Tuan Rumah

 

Tradisi tinggal sebumbung bersama keluarga besar sudah menjadi budaya penduduk Asia Selatan

6 Mac 2020

Sudah lebih dua minggu aku menetap di rumah Jalal Uddin, tuan rumah yang menumpangkan aku di kediaman keluarganya yang terletak di jantung pekan Odigram, sejak aku tiba di Lembah Swat dari Peshawar tempoh hari.

Odigram merupakan sebuah desa kecil yang hanya berjarak lapan kilometer dari Saidu Sharif, ibu daerah bagi Lembah Swat. Beberapa pakar arkeologi telah mengenal pasti bahawa Odigram dan sebuah lagi pekan terdekatnya, Barikot sebagai Ora dan Bazira, sebuah kota kuno di mana Alexander the Great pernah menghadapi salah satu pertempuran sebelum menawan sepenuhnya wilayah tersebut. Ahli arkeologi Itali telah menemukan dan menggali tapak ini pada tahun 1950-an dan berpendapat ia sudah pun diduduki sejak satu milenium sebelum masihi sehingga abad ke-14.

Semasa zaman Hindu Shahi dari abad ke-8 hingga abad ke-10, Odigram adalah ibu kota wilayah serantau Swat. Di lereng gunung Odigram terdapat runtuhan benteng istana Raja Gira, penguasa Hindu terakhir di Pakistan utara sebelum wilayah ini dikuasai oleh Mahmud Ghaznavi, penakluk dari Empayar Ghaznavid yang membawa Islam masuk ke Pakistan. Tak jauh dari istana Raja Gira turut ditemukan runtuhan Masjid Mahmud Ghaznavi, yang merupakan antara masjid terawal dibina di Pakistan utara. Masjid ini merupakan tarikan utama para pengunjung yang berdatangan ke Lembah Swat terutama pada musim panas.


Puing reruntuhan kota kuno Alexander the Great

"Rumah ini adalah rumah kamu," kata Jalal Uddin sewaktu kali pertama aku menghubunginya Oktober tahun lalu dari New Delhi, "datanglah bila-bila pun semahu kamu," demikian katanya berulang-ulang. Jalal Uddin sudah berusia 46 tahun, tetapi wajahnya kelihatan lebih muda daripada usianya kerana dia tidak membela jambang seperti kebanyakan lelaki Pashtun. Rambutnya juga dihitamkan agar menutup setiap helaian rambut yang mulai memutih. Sekujur tubuhnya besar dan gagah, ternyata dia bukan sebarangan orang. Jalal Uddin adalah seorang dermawan yang dihormati oleh masyarakat setempat kerana beliau juga memegang jawatan selaku kepala desa ini.

Kemurahan dan keramahtamahan Jalal Uddin menjadikan beliau cukup terpandang di seluruh pelusuk desa. "Hampir setiap malam ayah saya menjamu orang," ujar Azhar Uddin, anak sulung Jalal Uddin, "kalau misalnya waktu makan malam tak ada tetamu yang datang ke rumah, ayah bakal mengeluh. Seperti ada sesuatu yang kurang. Ada rasa bersalah dan tak enak." Siapa saja penduduk Odigram yang tak kenal dengan Jalal Uddin, yang kemurahan hatinya sudah masyhur di segenap sudut kawasan?

Jalal Uddin adalah seorang pedagang barangan antik. Terdapat banyak artifak yang tertanam di dalam perut bumi Odigram bekas peninggalan Kerajaan Gupta, Hindu Shahi, Ghaznavid, hingga Empayar Mughal yang menjadi sumber rezeki terpijak. Berbekalkan alat pengesan logam yang diimport dari California, beliau telah menemukan ratusan khazanah kuno di desa ini. Semua penemuan tersebut bahkan tidak dijual di dalam negara, tapi dipamerkan di galeri dan pejabatnya yang bertapak di kota Bangkok sebelum dihantar ke berbagai lagi negara lain. Untuk barangan yang lebih tinggi nilainya, ia akan dilepaskan melalui sistem pembidaan. Beberapa tahun lalu, Jalal Uddin mendapat durian runtuh apabila salah satu barangan antik miliknya berjaya terjual pada harga lumayan melalui sebuah acara bidaan yang berlangsung di Amerika Syarikat.

Pada mata aku, rumah Jalal Uddin memang cukup besar. Tak hairan, kerana ia dihuni oleh ramai orang. Ada ayahnya, Rehman Uddin yang sudah berusia 70-an, anak-anak dan isterinya, abang-abangnya dan hampir sedozen anak saudara. Namun jumlah penghuni di rumah ini masih dikira sedikit jika dibandingkan dengan rumah keluarga Razak yang pernah aku tumpangi di Peshawar, di mana 6 keluarga yang mempunyai seramai 54 orang tinggal dibawah satu bumbung yang sama.

Sebagai seorang mehman yang menumpang di sini, aku sama sekali tak pernah melihat penghuni wanita rumah ini. Mereka adalah makhluk halimunan yang hanya dapat aku dengar suaranya dan nikmati masakannya.

Meskipun begitu, aku langsung tidak merasa janggal. Aku sudah belajar tentang adat tradisi bangsa Pashtun sejak aku berada di Mardan bulan lalu. Di rumah keluarga Pathan, ada beberapa ruangan khusus untuk tetamu yang disebut khujra, dan setiap bilik yang diduduki disebut betak. Di sinilah aku tidur. Anggota keluarga lelaki datang silih berganti, mengajak aku berbual. Ketika waktu makan tiba, anak-anak kecil menyiapkan tadahan dan kendi air untuk aku mencuci tangan, menggelar tikar makan yang disebut dastarkhwan dan membawa pinggan-pinggan nasi. Apabila sudah selesai makan, anak-anak itu datang lagi untuk membawa pergi pinggan dan menggulung semula dastarkhwan.


Dastarkhwan wajib dibentang sebelum makanan dijamu

Kalau budak-budak itu tidak ada, maka seorang wanita anggota keluarga akan menggantikan tugasnya. Tetapi wanita ini tidak terlihat. Hanya sebatas di balik pintu. Kemudian giliran Jalal Uddin atau abangnya Jamal Uddin atau bapanya Rehman Uddin yang membantu aku membasuh tangan, membentang dastarkhwan, dan menemani aku makan. Masih ada lagi anak lelaki sulungnya, Azhar Uddin dan sepupunya, Zahir Uddin.

Kalau hendak ke tandas pun ada prosedur yang harus dipatuhi. Sungguh kesalahan besar yang aku lakukan kalau sampai lancang berkeliling rumah dan bertatap muka dengan kaum perempuan di rumah ini. Aku perlu memberi tahu salah seorang budak ataupun lelaki dalam keluarga ini untuk 'menyiapkan jalan' buat aku dari betak sampai ke tandas yang terletak di halaman keluarga. Tirai jendela semua ditutup terlebih dahulu dan kaum wanita segera bersembunyi di dalam rumah.

Ada anggota perempuan dalam rumah ini bekerja sebagai doktor. Ada juga yang menjawat jawatan guru sekolah. Aku hanya mendengar tentang mereka, tetapi tak pernah sekali pun aku diperkenalkan. Walaupun bercakap tentang modenisasi, pembebasan perempuan dari burqa, kesetaraan jantina, kegiatan pendidikan organisasi sosial, sesungguhnya keluarga ini masih tradisional dan kaum wanitanya masih hidup di balik cadar.

Tetapi jangan meragukan akan ketulusan mereka dalam bab melayani tetamu. Aku jadi belajar satu hal penting: jangan sekali-kali sebarangan mengucapkan keinginan ketika bertamu di rumah orang Pathan.

Pernah sekali aku bertanya kepada Rehman Uddin, di restoran manakah aku boleh membeli ayam bakar, makanan khas Lembah Swat yang lazat dan aromatik. Namun dia tidak memberi jawapan yang jelas. Tapi betapa terkejutnya aku, ketika waktu makan malam tiba, sepinggan besar ayam bakar sudahpun terhidang di atas dastarkhwan.

Bagi orang Pashtun, urusan melayani tetamu memang bukan hal yang main-main.

(bersambung)

Keseharian desa

Budak gembala

Berjemur pada waktu pagi adalah rutin bagi aku yang bergelut dengan kedinginan musim sejuk di Lembah Swat

Kanak-kanak dari keluarga miskin desa

Melihat kerasnya kehidupan warga miskin di sini yang hanya tinggal di dalam pondok jerami membuatan aku lebih mensyukuri akan nikmat Tuhan yang selalu aku lupa

Backpacking Pakistan 18: Urusan Pos yang Rumit

 

Saidu Sharif General Post Office


27 Februari 2020

Aku sungguh tak menyangka bahawa urusan mengepos bungkusan di Pakistan boleh menjadi pekerjaan yang paling rumit di dunia.

Setelah berjalan hampir lima bulan mengelana di India dan Pakistan, duit saku dalam simpanan aku semakin menipis dan berkurang. Meskipun wang 130 dolar (kira-kira 18000 rupee) yang aku bawa ketika menyeberang ke Pakistan dua bulan lalu masih berbaki, tapi aku sedar yang ia takkan kekal lama, samada cepat mahupun lambat, pasti akan habis juga bila sampai waktunya. Tak ada jalan lain, aku terpaksa melakukan kerja-kerja 'personal shopping' untuk menambah sedikit pendapatan agar dapat meneruskan perjalanan yang masih panjang.

Kelmarin aku pergi ke General Post Office di Saidu Sharif, yang merupakan pejabat pos terbesar di Lembah Swat (walaupun hakikatnya ia cuma sebesar pejabat pos kecil di Malaysia) untuk mengirim barang-barang yang dipesan oleh rakan-rakan di Facebook. Namun apa yang aku lalui di pejabat pos tersebut merupakan sebuah pengalaman yang cukup aneh dan penuh teka-teki. Pejabat pos di Pakistan sama sekali tidak menjual dan menyediakan sebarang kotak mahupun parcel kiriman. Justeru untuk membuat pengeposan, aku diarahkan untuk mencari kedai yang menjual parcel di luar kompleks terlebih dahulu sebelum datang semula.

Sekembalinya aku ke kaunter pos, masalah lain pula yang timbul. Si petugas kaunter langsung tidak tahu bagaimana caranya untuk menguruskan pengiriman barang ke luar negara. Lalu dia bertanya kepada teman sekerja di sebelahnya. Dan si temannya pula tidak tahu berapa jumlah caj penghantaran yang ditetapkan. Kemudian dia bertanya pula ke teman lainnya, namun teman yang satu ini malah tak mahu mengendahkannya kerana sedang sibuk bercakap di telefon. Dan pada akhirnya si pengurus yang terpaksa dipangggil datang ke kaunter ini.

"Tak boleh," kata si pengurus, "tin aluminium adalah antara bahan larangan yang tak boleh dipos."

Belum sempat aku berkata apa-apa, si pengurus terus berlalu pergi dari jendela kaunter sekaligus meninggalkan aku dan si petugas ini terpinga-pinga.

"Maf kijiye bhaiya, maafkan saya," kata petugas kaunter, "saya tak dapat membantu kamu."

Aku jadi bingung. Baru saja beberapa minggu lalu aku mengirim barangan yang sama di pejabat pos besar Peshawar, dan semua urusan aku berjalan lancar (dengan bantuan Hasnin) tanpa berdepan sebarang masalah. Cuma bezanya, ketika di Peshawar aku membuat pengeposan menggunakan envelop dan sekarang aku mahu menggunakan kotak.

"Mungkin kamu boleh gunakan cara yang sama," saran petugas lain di kaunter sebelah, "Envelop biasanya dianggap sebagai surat biasa kerana ia menggunakan setem dan surat-surat yang dipos memang tidak diperiksa isi kandungannya."

Tidak. Kali ini aku tak mahu menggunakan envelop lagi untuk mengepos tin minuman kerana kondisinya nanti pasti menyedihkan. Semua tin akan terkemik akibat kendalian yang kurang berhati-hati.

"Ham aur kya kar sakte hai?" kedua petugas ini mati akal, "apa lagi yang boleh kami lakukan?"


Siapa sangka di plaza Rahimabad yang usang ini terdapat sebuah cawangan pos di dalamnya

Tak putus asa, keesokan harinya aku pergi pula ke cawangan pos lain di Rahimabad, sebuah pekan kecil yang terletak di antara desa Odigram dan kota Mingora. Kali ini aku ditemani oleh Jalal Uddin.

Keadaan pejabat pos ini tampak begitu daif sekali. Ia terletak di dalam plaza Rahimabad yang usang, dan hanya mempunyai dua orang staf sahaja. Tidak ada sebarang sistem berkomputer di sini, semua urusan hanya dilakukan dengan tulisan tangan. Dan yang lebih menyedihkan, mereka sedang bertugas di dalam gelap kerana bekalan elektrik yang terputus. Mujur ada lampu suluh dari telefon bimbit mereka yang membantu.

"Tak boleh," tegas seorang staf muda di meja, "tin aluminium adalah bahan terlarang yang tak boleh dikirim ke luar negara!"

"Bhai.. Ini mehman, tetamu…" Kata Jalal Uddin di sebelahku, "tak bolehkah kamu beri sedikit layanan istimewa?"

Namun lelaki ini tetap menggelengkan kepala.

Jalal Uddin kemudiannya mengajak aku berpindah ke meja staf yang satu lagi. Petugas di meja ini adalah seorang lelaki tua, berumur dalam lingkungan 60-an. Berbeza dengan staf muda yang tadi, lelaki tua ini menyambut kami dengan keramahtamahan dan mempersilakan aku untuk duduk.

"Dia adalah anak saya," kata lelaki tua ini sambil menunjuk ke arah staf muda itu, "dia bukannya petugas pos, dia cuma datang membantu saya. Secara dasarnya, hanya saya seorang saja kakitangan pos di cawangan ini."

Aku jadi terkejut. Lelaki ini sebenarnya sudah bersara. Tapi kerana ketiadaan staf baru, pihak kerajaan meminta lelaki ini untuk menyambung perkhidmatannya di cawangan pos ini untuk beberapa tahun lagi. Penghasilan bulanannya cuma sekitar 15000 rupee (RM400) sebulan. Dengan penghasilan yang sekecil itu, lelaki ini malah perlu mengeluarkan duit poketnya sendiri untuk membeli peralatan asas pejabat seperti pen, dakwat cop, stapler, sampul surat, fail, dan lain-lain lagi kerana apa yang dibekalkan oleh ibu pejabat memang benar-benar tidak pernah sampai ke cawangan ini.

Perasaan simpati justeru menghambat aku ketika melihat kedaifan pejabat pos kecil ini yang beroperasi dalam keadaan yang serba kekurangan. Semua urusan di sini dilakukan dengan cara manual. Tidak ada komputer yang digunakan untuk merekod data, dan masih menggunakan borang bertulis yang rekodnya akan disimpan di dalam fail. Bahkan pejabat pos ini juga tidak mempunyai pita pelekat untuk membalut kotak bungkusanku. Lalu aku dan Jalal Uddin keluar sebentar untuk membeli beberapa peralatan asas dari kedai alat tulis dan menyumbangkannya kepada lelaki tua ini bagi kemudahan pejabatnya.

Wajahnya cerah, senyumannya melebar, penuh dengan rasa terharu menerima sumbangan dari kami.

"Sebenarnya, mengirim tin aluminium ke luar negara memang bermasalah. Tapi tak mengapa, oleh sebab kamu ini mehman – tetamu yang datang ke negara kami, saya akan menanggung segala risikonya kalau barang kamu tidak sampai ke tujuan."

Konsep mehman yang begitu kuat mengakar dalam sanubari orang Pashtun serta merta menghancurkan tembok birokrasi yang tebalnya berlapis-lapis. Tak sampai 10 minit, Bungkusan aku sudahpun diterima, dicop, dan direkod. Cajnya adalah sebanyak 2460 rupee untuk 1 kilogram yang pertama dan 660 rupee untuk penambahan kilogram yang seterusnya. Walaupun cajnya agak mahal bagi ukuran poket aku, namun harga yang aku bayar ini masih jauh lebih murah berbanding caj perkhidmatan syarikat penghantaran antarabangsa seperti FedEx atau DHL.

"Dir manana!" Aku mengucapkan terima kasih yang terdalam kepada lelaki tua ini dalam bahasa Pashto.

Di cawangan pos pekan kecil Rahimabad, aku jadi belajar ada banyak faktor yang menentukan keberhasilan – hubungan, suasana, keramahtamahan, keberuntungan, dan tak lupa tentunya, tempat dan masa. Ini bukan faktor sogok-menyogok, kerana petugas pos pun sebenarnya tak selalu faham akan peraturan yang berlaku. Seorang mehman yang datang kepada orang yang tepat di tempat yang tepat pada saat yang tepat boleh tersenyum bangga atas keberhasilannya menembus birokrasi Pakistan yang sukar difahami dengan nalar biasa.

(bersambung)


Bekerja di dalam gelap dengan bantuan lampu telefon

Akhirnya aku berjaya mengepos barang dari Pakistan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!