|
Kelaziman menaiki bas di Pakistan |
16 Januari 2020
Rawalpindi, atau lebih
dikenali dengan nama Pindi oleh orang Pakistan adalah sebuah bandar penuh
kesibukan yang berkedudukan strategik di antara Wilayah Punjab dan Azad
Kashmir. Meskipun hanya berjarak 10km dari kota moden Islamabad, namun ia sangat
kontras dengan ibu negara tersebut. Rawalpindi sungguh mengingatkan aku dengan Mumbai
di India. Bandar ini adalah metropolis dua dunia di mana terdapat pekan Bahria
- sebuah penempatan elit di pinggiran kota dan ada pula Pir Wadhai, kawasan
kotor yang memperlihatkan kemiskinan dan kemelaratan di mana-mana.
Stesen bas Pir Wadhai
merupakan hub pengangkutan utama, pembuluh nadi Pakistan yang menghubungkan semua kota di seluruh negara. Kawasan sibuk ini merupakan tempat interaksi antara para
saudagar, musafir, pedagang, pemandu, konduktor, tentera, pengemis, hingga
pelarian. Pelbagai mimpi menuntun beragam manusia sampai ke tempat ini. Di sinilah
mereka menggantungkan mimpi, bersama deru enjin bas yang tak pernah berhenti,
asap hitam, udara mencekik, debu beterbangan, dan tangisan anak kecil.
Bau busuk langsung menyambut
ketika aku turun dari bas berdekatan Pir Wadhai Chowk, sebuah
kawasan bazar yang penuh dengan jalan rosak tetapi malah menjadi tempat
perhentian segala macam jenis pengangkutan awam yang berhenti di Rawalpindi.
Menyengat, menusuk hidung, semua jenis sampah basah dan kering menyumbat
longkang terbuka dengan air hitam yang bergenang. Debu dan asap hitam
membungkus para manusia yang menjalani hidup. Ada orang yang sedang makan di
pinggir jalan sambil dihurungi lalat yang berterbangan. Tempat ini adalah syurga
bagi serangga kotor itu, tetapi bagaikan neraka bagi manusia yang tinggal di
sini.
Berhampiran Pir Wadhai ada
penempatan setinggan yang tak teratur. Warnanya semua sama – coklat kemerahan,
warna bata yang tidak dicat, beserta warna tanah lumpur yang membungkus bumi.
Sedikit variasi warna yang ada adalah warna sampah kertas dan plastik yang
berselerakan di lorong-lorong kecil. Di sebuah kawasan lain pula, hanya ada khemah-khemah yang bertebaran - tempat tidurnya para gelandangan.
|
Raja Bazar, pasar terpadat di Rawalpindi |
Siapa yang tinggal di sini?
Majoriti penduduknya adalah dari etnik Pashtun, iaitu pendatang dari barat.
Sebahagian besar orang Pashtun adalah pelarian dari Afghanistan, yang disebut
sebagai Pathan. Sebahagian yang lain pula berasal dari Wilayah Khyber
Pakhtunkhwa, mengadu nasib bersama mimpi mereka akan kehidupan yang makmur di
ibu kota. Ada juga orang Punjabi, Sindhi, Balochi, Balti, bahkan hingga orang
dari Gurun Thar yang terpencil. Seperti ada magnet yang menarik semua orang
dari seluruh penjuru negara sampai ke tempat ini.
Namun begitu kemakmuran yang
ditawarkan oleh ibu kota bukanlah untuk semua orang. Rumah-rumah mewah bak
istana sememangnya mengundang imaginasi tentang kehidupan kelas atasan yang
menghuni pinggiran bandar. Tetapi kelas pertengahan yang menjadi penggerak
ekonomi tidak begitu ketara terlihat kewujudannya. Pada sisi lain, warga miskin
Pakistan lebih mendominasi persekitaran Rawalpindi, walaupun tak sampai miskin
mutlak seperti di India di mana ratusan gelandangan tidur di jalanan tanpa
sebarang alas dan ribuan pengemis dengan agresif memeluk kaki para pejalan
tanpa putus asa sehingga diberikan wang sedekah. Jumlah penduduk miskin Pakistan
direkodkan sekitar 24% dan 6% daripada rakyatnya adalah penganggur.
Di Asia Selatan, Kanak-kanak
lelaki berumur seawal 10 hingga 12 tahun memang lazimnya sudah mula bekerja. Ada yang
menjadi mekanik motor, pembantu kedai, kuli pengangkut barang, yang kurang
bernasib baik pula mengais gundukan sampah, mencari tin aluminium atau botol plastik
untuk dikutip dan dimasukkan ke dalam karung yang digalas di bahu. Lalat dan kuman adalah teman
akrab mereka. Jubah mereka dipenuhi becak lumpur yang menghitam. Sedangkan kanak-kanak yang lain pula sibuk membantu orang tua mereka mengupas jagung, mengayak bijinya untuk dijemur. Yang lebih kecil lagi, masih belum terlalu banyak berfikir
tentang kerasnya hidup, menikmati hari dengan bermain di tepi longkang busuk dan menyeberang jambatan kayu di atas timbunan sampah. Budak berumur tujuh
tahun sudah mula mengulum naswar – sejenis
tembakau halus yang menjadi alternatif bagi rokok. Inilah keseharian kanak-kanak
di sini, kerana mereka tak punya tv untuk ditonton, buku untuk dibaca, mahupun video games untuk dimainkan.
Yang masih bayi pula menjadi
komoditi bagi mencari wang. Pengemis wanita berkulit gelap duduk di pinggir
jalan, bersiram asap hitam yang dimuntahkan ekzos bas dari pagi hingga malam, bersama bayi mungil di pelukannya untuk mencari simpati orang yang melintas. Tetapi apa yang
membuat aku takjub adalah, jumlah pengemis di sini relatif sedikit jika
dibandingkan dengan kemiskinan yang luas. Aku hanya melihat lima kanak-kanak dan tak sampai sepuluh orang pengemis perempuan berbungkus cadar tebal. Jika dibandingkan
dengan angka kemiskinan yang begitu besar, apalagi dibandingkan dengan kelamnya
wajah kemiskinan India, pengemis di Pakistan sangat kecil jumlahnya. Walaupun
hidup susah, namun kebanyakan daripada mereka masih berusaha hidup di atas ikhtiar sendiri.
Di sekitar genangan busuk,
ada puluhan pedagang makanan, mulai dari daging kebab, gorengan, jeruk, pisang,
nasi, rokok, kacang, baju, sampai topi pakol. Semuanya bercampur aduk menjadi
satu, dibungkus debu, asap, dan aroma busuk yang sama.
|
Berniaga di tepi tompokan sampah |
"Makanlah ini,"
kata Shazad, seorang penjual fruit chaat – salad buah-buahan khas Asia Selatan,
sambil menghulurkan sepiring potongan buah yang bersiram cairan putih. Aku sebenarnya
tak sanggup untuk memakannya, namun Shazad tetap memaksa. "Aap hamara mehman hai.
Kamu adalah tetamu saya. Makanlah." Pemuda ini bahkan menolak duit
bayaran. Di sebelah Shazad ada budak lain menjual hirisan daging lembu yang digoreng di
atas kuali datar berdiameter satu meter. Di depan gerobaknya ada takungan air
hitam pekat di lubang jalan. Lalat berterbangan. Pembantu budak itu mencuci
piring dengan air kotor berdekatan longkang. Di sini, perihal sedemikian adalah perkara biasa.
Banyak dinamik yang dialami
oleh anak jalanan dari kawasan penempatan miskin ini. Pendidikan hanyalah
sekadar mimpi, jumlah orang buta huruf di Pakistan masih tinggi. Pemisahan
jantina sangat kental, orang Pathan yang konservatif jarang mengirim anak
perempuannya bersekolah. Yang paling mengejutkan aku adalah sisi gelap
negara ini, iaitu eksploitasi seksual yang dialami oleh anak-anak miskin Rawalpindi.
Kanak-kanak lelaki di bawah
umur, dalam keterhimpitan ekonomi, malah dimanfaatkan oleh pemilik hotel untuk
menarik pelanggan, mulai dari penumpang bas, tentera, hingga ke pedagang sayur
dan buah. Kanak-kanak ini didandan kemas bagi merangsang libido para lelaki
yang tak punya tempat untuk disalurkan. Kes-kes liwat di Pakistan selalu disembunyikan
di bawah karpet, menjadi rahsia umum yang tabu untuk diperkatakan. Beberapa
budak pemuas nafsu ini hanya menerima bayaran beberapa ratus rupee sahaja untuk
sekali 'main'.
Rawalpindi, sebuah kota
padat di mana bermacam jenis manusia hidup di sini. Dari si miskin yang tak
punya rumah hingga si kaya yang hidup bergelimpang harta. Dari sebaik-baik
manusia hingga yang sebaliknya. Jenayah jalanan juga dikhabarkan masih
banyak berlaku di kawasan ini. Rawalpindi bukanlah tempat yang selamat untuk
pelancong asing berkeliling terutama bagi pengembara wanita yang bersendiri,
melainkan anda adalah jenis yang gemar meneroka sisi lain sebuah negara
yang bernama Pakistan.
(bersambung)
|
Penghantar barang
|
|
Mekanik cilik |
|
Markazi Jamia Masjid, masjid tecantik di Rawalpindi |
|
Pusat pakaian |
|
Lorong kota |