India Umumkan Pengeluaran Setengah Juta Visa Percuma Untuk Pelancong Asing


Kerajaan India bakal mengeluarkan setengah juta visa percuma bagi pelancong asing  yang mahu berkunjung ke India demi menghidupkan kembali sektor pelancongan


Binaan ikonik India, Taj Mahal di Agra
28 Jun 2021

NEW DELHI: Untuk menjana semula ekonomi dalam sektor pelancongan, pemerintah India akan memberikan visa percuma kepada 500,000 pelancong yang ingin berkunjung ke India. Menteri Kewangan, Nirmala Sitharaman mengatakan sokongan kewangan akan turut diberikan kepada lebih daripada 11,000 pemandu pelancong, perjalanan dan syarikat pelancongan yang berdaftar.

Semasa taklimat, pembentangan kementerian kewangan mengatakan bahawa seramai 11 juta pengunjung asing mengunjungi India pada tahun 2019, dan telah membelanjakan kira-kira 30 bilion dolar secara kolektif untuk percutian dan perniagaan.

Purata penginapan harian bagi seorang pelancong asing di India adalah selama 21 hari sementara purata perbelanjaan harian pula adalah sekitar 34 dolar (2400 rupee).


Kehijauan lanskap Munnar di Kerala, salah satu daripada keindahan alam yang ditawarkan selatan India

Beliau mengatakan, setelah penggantungan pengeluaran visa untuk perjalanan antarabangsa ditarik semula kelak, seramai lima ratus ribu pelancong pertama akan diberikan visa secara percuma. Keseluruhan implikasi kewangan daripada ukuran ini adalah sebanyak 100 juta rupee. Skim ini akan berjalan hingga 31 Mac 2022, atau sehingga 500,000 visa dikeluarkan, mana yang lebih awal.

"Ini akan memberikan insentif secara langsung kepada pelancong jangka pendek yang akan mengunjungi India," tambah Nirmala, "selain itu, kerajaan juga akan memberikan dana perniagaan atau pinjaman peribadi kepada para pengusaha di sektor pelancongan untuk bangkit semula dan memulakan semula perniagaan yang telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19."

Sumber: The Times of India. Untuk bacaan lanjut boleh klik di sini.

P.S. Tak sabar nak kembali menjelajah tanah Hindustan. Ada 10 lagi negeri yang berbaki untuk aku melengkapkan perjalanan impian ke semua 29 negeri di India. Semoga ada sinar buat rakyat Malaysia untuk berjalan semula ke luar negara kelak. Sekiranya anda berjaya mendapatkan skim visa percuma ini, manakah destinasi yang menjadi pilihan anda nanti?


Ketibaan keretapi di Shimla, Himachal Pradesh


Backpacking Pakistan 28: Agama Adalah Kemanusiaan

 

Keramahtamahan adalah jalan hidup warga desa

16 Mac 2020

Petang hari, ruangan ini mulai dipenuhi oleh lelaki-lelaki Ismaili dari seluruh desa untuk menghadiri mesyuarat rukun tetangga yang diadakan pada setiap minggu. Di desa yang bernama Kruijunali ini, abang Javed memegang jawatan selaku kepala desa, dan mesyuarat seharusnya diadakan di rumahnya. Namun pada setiap minggu, kediaman Javed dipilih menjadi lokasi tetap bagi perjumpaan berikutan rumahnya yang lebih besar berbanding orang lain.

Menjelang senja, mesyuarat pun usai. Para hadirin beransur-ansur pulang dan tinggallah aku bersama Javed dan abangnya si kepala desa, berbual-bual di mehman khana sambil menantikan makan malam yang sedang disediakan oleh anak perempuannya.

Abang Javed adalah seorang pengurus besar rangkaian Pakistan Tourism Development Corporation atau PTDC di motel milik pemerintah cawangan Mastooj. Tetapi sekarang dia bertugas di pejabat cawangan Booni kerana motel di Mastooj masih ditutup akibat terbungkus salji tebal. Walaupun jawatannya tinggi, namun orangnya sangat merendah diri. Dia berpakaian sederhana. Shalwar kamiz berwarna kelabu berpadu dengan rompi hitam. Kepalanya tak pernah lepas dengan topi pakol Chitrali bundar dan tebal. Bicaranya tenang, suaranya lembut. Ada aura yang terpancar dalam setiap kata yang mengalir. Walaupun dia tidak mampu berbahasa Inggeris dengan sempurna dan aku pula tidak terlalu memahami bahasa Khowari, ada dorongan entah dari mana yang membuat aku ingin berbual panjang dan berbagi kisah perjalananku dengannya. Untungnya ada anak saudara lelaki Javed yang menjadi penterjemah sukarela.


Senja hari di desa Kruijunali

“Motaaseb”. Kata ini meluncur dari mulut Ibrahim, anak saudara Javed yang satu ini, saat mendeskripsikan koversatisme bangsa Pashtun ketika perbincangan kami menyentuh topik orang Pathan. Motaaseb berarti fanatik, mengandung makna konotasi kekeraskepalaan dan kebodohan.

“Di Chitral tak ada banyak universiti besar, jadi kami terpaksa pergi ke kota-kota besar Pakistan untuk menyambung pengajian selepas tamat sekolah,” terang Ibrahim, “perempuan kami yang melanjutkan pelajaran di Peshawar terpaksa membungkus diri mereka dengan burqa kalau mahu keluar berjalan di kota. Ini gara-gara orang Sunni yang ramai di sana. Orang-orang motaaseb ini, pikirannya memang sudah buta. Mereka tidak suka melihat wajah perempuan. Kalau sampai wajah seorang perempuan terlihat, mereka kata berdosa. Apalagi itu namanya kalau bukan motaaseb?”

Kaum perempuan Ismaili bangga dengan kesederhanaan pakaian yang mereka pakai setiap hari. Sejak meninggalkan Lembah Swat, aku melihat sebuah dunia yang berbeza dengan Pakistan yang kukenali sebelumnya. Perempuan Ismaili berwajah terbuka dan terlihat jelas. Di sini, para perempuan juga turut mengusahakan perniagaan sendiri, bekerja, bertani, dan tidak selalu terkurung di dalam rumah. Cara bersalaman antara lelaki dan perempuan pula dengan mencium tangan antara satu sama lain, tak jarang juga, ada yang mencium pipi.

“Adat perempuan kami tidak memakai burqa. Tetapi mulai dari Swat dan seterusnya ke lain-lain daerah Khyber Pakhtunkhwa, kami tak punya pilihan lain selain memakaikan burqa kepada kaum wanita kami,” abang Javed menambah.

“Ini bukan tradisi kami. Kami cuma terpaksa,” suara Shafenaz terdengar dari dapur.

Ibrahim, dengan bijaksana menyatakan ketidaksetujuannya terhadap pemaksaan pakaian perempuan. ”Agama itu bukan di baju. Agama itu ada di dalam hati. Prinsip agama adalah kemanusiaan.”

Lalu aku bertanya tentang inti ajaran Ismaili.

Dia menjawab, “Agama kami adalah insaniat, kemanusiaan. Tidak peduli apa pun agama kamu, yang pertama-tama kau adalah manusia.”

Walaupun umat Ismaili adalah kaum marginal yang tinggal di kawasan pergunungan terpencil di Pakistan utara, aliran ini pernah mendominasi Asia Tengah pada zaman keemasan Jalan Sutera. Ismaili melahirkan ramai tokoh Islam yang berjasa bagi dunia Muslim mahupun seluruh umat manusia, misalnya Ibnu Sina yang dikenal sebagai Bapa Kedoktoran Dunia. Tetapi kemudian, ketika dinasti-dinasti Turki menguasai Asia Tengah dari abad ke-10 hingga ke-13, umat Ismaili terus menjadi sasaran penindasan oleh para penguasa yang tidak bersimpati terhadap kehidupan dan tradisi intelektual mereka. Lalu ia menyebabkan migrasi besar-besaran umat Ismaili dari kota-kota pusat peradaban Asia Tengah menuju daerah pergunungan terpencil di Badakhshan, Koridor Wakhan, hingga Pakistan utara.

Selama ratusan tahun, isolasi total dari kepungan gunung-gunung tinggi adalah penyelamat bagi orang Ismaili, membuat daerah ini sama sekali tak tersentuh radikalisasi serta kecamuk perang yang melanda Asia tengah dan Asia Selatan. Tidak ada kekacauan di sini (melainkan bencana alam), tidak pernah ada pertempuran, bahkan Taliban yang pernah menguasai Lembah Swat pun tidak hirau untuk datang ke sini. Justeru Pakistan utara terus hidup dalam kedamaian dunianya sendiri, bagaikan syurga yang tersembunyi.

Seperti halnya penghuni syurga yang tidak terikat dengan jerat materialisme, warga di Upper Chitral rela mengorbankan apa saja ketika menyambut tetamu. Tak peduli semiskin apa pun mereka, seberat manapun hidup, atau apakah mereka masih punya gandum untuk disantap, mereka akan tetap membuka pintu rumah mereka buat musafir yang memerlukan, tanpa memandang siapa, dari mana, dan beragama apa. Mereka percaya, semua musafir adalah rahmat dari Tuhan yang harus disyukuri, dan memberi bantuan bagi musafir adalah ibadah yang mengganjarkan pahala seperti orang mengerjakan haji di Mekah.

Malam ini aku disajikan dengan hidangan lauk pauk yang bersaiz luar biasa besar, ada ayam, kambing, sayuran, buah-buahan, roti, dhal, dan nasi.

“Terima kasih Shareef,” ucap Javed, “mari kita makan!”

“Bukankah saya yang harus mengucapkan terima kasih?” Tanya aku.

“Tidak, semua ini rezeki kamu,” terang Javed, “ketika di hari-hari biasa, kami sekeluarga tak pernah menjamah hidangan sebanyak ini. Tapi sejak kamu datang menginap, kaum perempuan di rumah ini menyediakan makanan yang lebih banyak daripada biasa. Lihatlah bagaimana kedatangan kamu telah membawa rezeki.”

Penjelasan Javed langsung menancap ke dalam benakku. Sungguh memang ada terselit kebenaran di dalam kata-katanya.

(bersambung)


Masjid umat Sunni berhadapan dengan Jemaat Khana umat Ismaili

Berkunjung ke Qaqlasht Meadow yang gersang di musim dingin

Ibrahim sempat membawa aku trekking di Booni Gol

Kawasan tanaman gandum warga desa

Sungai Mastooj kering di musim dingin

Backpacking Pakistan 27: Penganut Ismaili

 

Jemaat Khana, rumah ibadah orang Ismaili

15 Mac 2020

Bhai jaan, kamu mirip sekali dengan orang Pakistan,” kata Shah, pemandu kereta yang membawa aku menuju Booni yang terletak di daerah Upper Chitral.

Aku sudah lali dengan pujian orang-orang tempatan. Mungkin kerana tubuhku yang sentiasa tak lepas dengan pakaian tradisi lelaki Pakistan shalwar kamiz berpadu bersama topi pakol di atas kepala sepanjang berkelana di negara ini. Tak jarang juga, aku sering disalah anggap sebagai orang tempatan. Namun Pakistan bukanlah India. Jika di India aku selalu menyembunyikan statusku sebagai orang asing, di Pakistan pula aku lebih suka mendedahkan identitiku sebagai mehman.

Achaa.. Bohut acha hai.. Bagus sekali,” puji seorang penumpang lain.

Bhai jan, mein Musliman hoon. saya ini Muslim,” jawab aku

Mashallah. Masya Allah,” ucap Shah kagum, dan tanpa henti memuji nama Tuhan.

Kereta yang aku tumpangi ini bergoncang hebat. Jalan di Upper Chitral adalah sebatang jalan setapak sempit berdebu yang menanjak dan meleret mengikuti bahu pergunungan, tepat di tepi sungai Chitral yang bergolak hebat. Perjalanan berat ini hanya sejauh kira-kira 30 kilometer, namun memakan masa selama hampir dua jam penuh kerana permukaan jalannya yang teruk dan tidak mulus. Entah bila pemerintah Pakistan bakal membangun jalan raya berturap di sini, hanya Tuhan saja yang tahu. Lewat tengah hari, aku akhirnya selamat tiba di Booni ketika salji renyai-renyai turun menghujani seluruh desa ini.


Perjalanan menuju daerah Upper Chitral tidak mudah, terlebih lagi apabila berselisih dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan

Aku masuk ke sebuah kedai makan yang berdekatan untuk berlindung daripada salji dan dinginnya hembusan angin yang menggigit. Sekilas pandang, ia terlihat seperti kafe hipster. Seketika aku merasa takjub bila menemukan sebuah kafe seperti ini di desa terpencil kawasan pergunungan Pakistan. Kedai ini bernama Nan Cafe. Ia merupakan sebuah kafe yang diusahakan oleh wanita. Kafe ini menyediakan ruang makan kontemporari yang begitu bersahabat untuk menjamu para pengunjung dengan hidangan Chitrali dan makanan segera tempatan. Bahagian pengurusan dan dapur kedai ini turut dioperasikan oleh wanita sekaligus menjadikan Nan Cafe sebagai satu-satunya kedai makan mesra wanita di mana orang lelaki dan perempuan boleh makan bersama. Sungguh, belum pernah aku jumpa kafe yang seumpama ini di Pakistan.

Ini kerana di Booni, atau secara umumnya di daerah Upper Chitral, majoriti penduduknya adalah terdiri daripada pengikut aliran Ismaili.

Booni adalah sebuah desa besar yang berlokasi di persimpangan antara Sungai Mastuj dan lembah Rich dan Tirich yang menghadap dataran tinggi Qaqlasht. Sekilas pandang, suasana pekan Booni terlihat biasa seperti pekan-pekan kecil di belahan Pakistan yang lain, namun yang tak biasa adalah kaum perempuan di sini begitu bebas bercengkerama di jalanan, tanpa niqab, dan tanpa burqa.

“Ajaran kami tidak mengenal cadar untuk membungkus perempuan. Perempuan kami bebas dan merdeka, sebagaimana manusia seharusnya,” terang Adnan, anak lelaki kepada pemilik kafe ini. Dia bertugas sebagai pelayan pelanggan. Orangnya segak dan tampan, berjambang rapi, tutur katanya lembut dan ramah, serta mampu berbahasa Melayu dengan baik kerana dia pernah bekerja di Malaysia beberapa tahun yang lalu.

Lihatlah seluar moden dan jaket yang dia pakai. Cuba dengarkan lagu-lagu yang dia mainkan di dalam kafe ini. Belum lagi mulutnya yang turut fasih berbahasa Inggeris. Adnan dan rakan-rakannya adalah marhaen Pakistan yang sama seperti orang-orang lain yang aku telah temui sebelum ini,  tetapi betapa modennya penampilan mereka ini di mata aku.

Ajaran Ismaili terkenal sangat moderate. Perempuan Ismaili di Pakistan tidak membungkus wajahnya dengan burqa serta bebas keluar rumah, kerana mereka percaya bahawa perempuan itu sama kedudukannya dengan orang lelaki. Ajaran Ismaili juga tidak terlalu menekankan pada ritual keagamaan seperti puasa Ramadan dan naik haji.

“Saya memang tidak puasa, tetapi saya tetap sembahyang,” kata Mursed, seorang peniaga kedai runcit. Bahkan orang yang rajin sembahyang pun terbilang jarang di sini. Solat aliran Ismaili sangat berbeza dengan solat Muslim Sunni dan Syiah. Posisinya hanya duduk saja dan tidak berdiri. Tangannya dikatupkan seperti orang bersembah. Sembah ke kanan. Sembah ke kiri. Maksud dari gerakan ini disebut imam didar, iaitu menghormati para imam.

Aliran Ismaili adalah pecahan daripada Islam Syiah. Orang Syiah menjunjung tinggi garis Imamat, garis keturunan Nabi yang lelaki. Setelah wafatnya imam Syiah keenam (Ja’far as-Sadiq) yang mempunyai dua putera, orang Ismaili mengikuti Ismail ibn Ja'far sedangkan orang Syiah mengikuti Musa al-Kadhim. Garis Imamat orang Syiah terhenti sampai di imam yang kesebelas, dan kini mereka sedang menantikan kedatangan Imam kedua belas, iaitu Imam Mahdi. Sedangkan garis Imamat umat Ismaili masih terus berjalan, hingga sekarang imam ke-49, Yang Mulia Aga Khan, yang kini sudah menjadi warga negara Eropah. Umat Muslim majoriti di Pakistan, Afghanistan, dan bahkan Iran sering memandang rendah terhadap orang Ismaili, malah ada yang melabelkan mereka sebagai non-Muslim.

Orang Ismaili tidak sembahyang di masjid. Rumah ibadah mereka disebut jemaat khana, yakni rumah para jemaah. Di Desa Booni ada dua buah jemaat khana, tapi sayangnya aku tak berpeluang untuk masuk ke dalam kerana hanya umat Ismaili yang dizinkan masuk ke tempat ibadah mereka.

Javed Ahmed, lelaki 50-an yang menjawat jawatan pegawai tinggi kerajaan parti pembangkang tiba di kafe ini untuk menjemput aku ke rumahnya. Aku menghubungi Javed setelah mendapat anjuran daripada Farid, si producer radio yang menjadi tuan rumah aku di Kota Chitral. Untuk beberapa hari di sini, aku akan menginap di rumah Javed.


Rumah Javed di kaki gunung

Umat Ismaili terkenal dengan budaya menyambut tetamu yang luar biasa. Javed adalah seorang lelaki yang langsung tak pernah kukenal sebelum ini, bahkan bersemuka dengannya pun tidak pernah sama sekali. Berbekalkan anjuran seorang kawan yang diatur melalui perbualan telefon, aku kini sudahpun berada di rumahnya.

“Tinggallah di sini berapa hari pun kamu mahu,” katanya, “kerana rumah kami adalah rumahmu juga.”

Rumah-rumah orang Ismaili berbentuk sama seperti rumah-rumah moden, kecuali empat penjuru atap rumah yang dilengkungkan sedikit menaik seperti bumbung pagoda. Rumah ini disokong oleh lima tiang, yang pada awalnya merupakan simbol dewa-dewa dalam kepercayaan kuno pemujaan api Zarathustra, namun kini sudah diganti dengan makna lima anggota utama keluarga Nabi, iaitu Muhammad, Ali, Hassan, Hussain, dan Fatimah.

Ketika aku duduk di mehman khana (ruangan tetamu), anak perempuan Javed langsung muncul dari dapur dan menghidangkan teh hangat bersama beberapa keping roti bakar. Perihal yang paling mengejutkan aku di sini adalah menatap wajah perempuan - sesuatu yang sama sekali mustahil untuk berlaku di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Aku bertanya tentang kewajipan memakai tudung bagi mereka, sepertimana tradisi wanita Pashtun yang menyarung burqa.

Burqa malah tidak dikenal dalam kamus Javed. Dia sempat tersasul lidah menyebut kata itu, “Bur-qa atau buq-ra? Apa ya namanya?” Javed hanya tahu kata chadri atau cadar, padanan kata burqa yang lebih banyak digunakan di sini.

Bagi perempuan Ismaili di Upper Chitral, cadar sungguh adalah barang yang asing. Mereka tidak mengenakan pelitup kepala secara menyeluruh dan hanya membalut shawl pada sebahagian kepala dengan mendedahkan rambut hadapan, seperti kaum wanita Iran. Shawl juga berfungsi sebagai pelindung wajah mereka daripada tersiram debu yang sentiasa berterbangan di setiap sudut jalan.


Javed dan anak perempuannya

“Orang Ismaili adalah pecinta kebebasan. Dan sudah seharusnya ada kebebasan terhadap perempuan, kerana perempuan itu sejajar dengan lelaki,” terang Shafenaz, anak perempuan Javed, “kamu tahu, di Pakistan, perempuan Sunni tidak pergi ke masjid. Tetapi kaum perempuan Ismaili bersama-sama dengan kaum lelakinya juga pergi beribadah di jemaat khana, rumah ibadah orang Ismaili, tiga kali sehari.”

Orang Ismaili, nampak jauh lebih moderate berbanding orang Pakistan lainnya. Seperti halnya dengan Muslim di Malaysia, perempuan di sini memiliki kedudukan yang cukup tinggi seperti orang lelaki. Hal ini tersirat langsung dalam ajaran Aga Khan. Pemimpin spiritual umat Ismaili itu mengatakan: “Jika kau punya anak, maka kau wajib menyekolahkan anak-anakmu. Namun jika kau tidak punya cukup wang untuk menyekolahkan semua anakmu, maka sekolahkanlah dulu anakmu yang perempuan!”

Hal ini terbukti dengan tahap pendidikan di Upper Chitral yang boleh dikira menakjubkan. Berkat daripada Jaringan Pembangunan Aga Khan (AKDN) yang merambah di seluruh pelusuk Pakistan utara, angka celik huruf di Upper Chitral menghampiri 100 peratus, sedangkan menurut data yang diambil pada tahun 2017, baru sekitar 59% penduduk Pakistan mampu membaca dan menulis manakala 45 daripada 100 gadis Pakistan masih buta huruf.

“Di tahun 1970-an, Pakistan adalah negara berkembang,” kenang Javed, “bahkan kala itu Malaysia, Thailand, Indonesia pun masih dibelakang. Pada masa itu, 1 US dollar bersamaan dengan 4.7 rupee, betapa kukuhnya matawang kami. Tapi sekarang? Kami jadi negara terkebelakang dan setidaknya Indonesia masih terus berkembang. Apa sebabnya? Ketika itu setiap kota sekurang-kurangnya hanya punya satu madrasah saja, tapi sekarang ada ribuan madrasah.”

Madrasah di Pakistan, yang menurut Javed adalah sumber keterbelakangan negaranya, kerana cuma mengajari muridnya ilmu agama tanpa pengetahuan lain sama sekali. Tak ada matematik dan ilmu sains, pelajar madrasah juga tidak belajar geografi dan biologi. Madrasah semakin menumbuh di negara ini ketika para pemimpin negara berkompromi dengan ketua agama, demi mengekalkan kekuasaan masing-masing. Agama terus dipolitikkan, menjadi komoditi, dan lama-kelamaan menjadikan negara ini semakin tercicir digilas putaran roda zaman.

Javed turut mengkritik presiden Imran Khan sebagai seorang pemimpin sekular yang tidak memikirkan kemajuan rakyatnya di Pakistan utara, hinggakan organisasi dari luar milik Aga Khan yang datang ke desa-desa terpencil untuk membuat pembangunan. Aku tak tahu banyak tentang politik terkini Pakistan. Yang aku tahu presiden ini mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Tun Mahathir, ramai yang suka namun tak sedikit pula yang membenci.

“Kaum Ismaili di Pakistan utara lebih moden jika dibandingkan dengan orang Pakistan lain,” ujar Javed, “kuncinya adalah pendidikan. Upper Chitral, walaupun terpencil di celah pergunungan, tapi tidak ada penduduk yang buta huruf.”

(Bersambung)


Bersama Adnan di hadapan kafe milik keluarganya

Pejabat pos yang begitu usang

Pekan Booni

Backpacking Pakistan 26: Menuju Utara

Lukisan alam menghiasi cakerawala

 

14 Mac 2020

Penjelajahan aku di Lembah Kalash terpaksa ditamatkan pada hari ketiga. Subuh itu, badai salji turun menyelimuti seluruh desa dengan warna putih yang sempurna. Lebat sekali, hinggakan tak ada tanda-tanda untuk berhenti.

Ini adalah akhir bagi perjalanan aku di Bumburet. Memang aku belum berhasil meneroka seluruh Kalash, namun dengan keadaan cuaca musim sejuk yang tidak bersahabat,  aku harus segera keluar dari lembah ini sebelum terkandas total berhari-hari.

Betapa aku merasakan kelegaan luar biasa, ketika kereta wagon yang aku tumpangi tiba di Ayun, pekan mungil yang menghubungkan jalan antara Lembah Kalash dan lebuhraya nasional N-45 menuju ke kota Chitral. Kami sudah pun berpindah ke alitud yang lebih rendah, justeru tiada lagi salji yang turun dan pagi yang awalnya kelam kini beransur cerah.

Memasuki persimpangan jalan Chitral-Dir, pemandangan berganti seketika, dari putihnya panorama yang mendominasi berganti kepada bukit-bukit mulus berselimut pokok-pokok hijau dan putik bunga berbagai warna yang menanti masa untuk mekar. “Musim bunga sudah tiba,” kata Wahid, pemandu kereta ini, “hijau dan cerahnya dunia siap menggantikan kelabunya musim dingin.” Landskap Pakistan utara sungguh mirip dengan negara-negara jirannya di Asia Tengah sana.


Musim bunga sudah tiba

Kota Chitral hanya berjarak sejauh 37 kilometer, namun pemanduan sukar melewati alam liar membuatkan perjalanan kami hampir memakan masa tiga jam penuh. Setibanya di pusat bandar Chitral, kedua-dua kaki aku sudah lenguh sekali rasanya.

Kicha asus Sharif? Bagaimana khabarmu?” Soal, Farid Ahmad, lelaki berusia 45 tahun yang menjadi tuan rumah aku di Chitral.

Jama asus, saya sihat, alhamdulillah,” jawab aku dalam bahasa tempatan sekaligus mengundang rasa takjub pada reaksi wajah Farid. Sebenarnya aku telahpun belajar beberapa ucapan asas bahasa Khowar ketika aku berada di Bahrain beberapa minggu yang lalu. Bahasa Khowar, yang juga dikenal sebagai Chitrali, sepertimana Bahasa kalasha, adalah bahasa Indo-Aryan yang berasal dari kumpulan Dardic yang dituturkan di Pakistan utara.

‘Kho’ bererti orang Chitral, sedangkan ‘war’ bermaksud bahasa. Ia dituturkan oleh orang-orang Kho di seluruh Chitral, dan juga daerah Ghizer di Wilayah Gilgit-Baltistan (termasuk Gupis, Phander, Ishkoman, Yasin) di Punyal, dan di beberapa bahagian Upper Swat seperti Bahrain dan Kalam.

Farid bekerja sebagai produser di stesen radio Chitral FM. Wajahnya berjambang lebat, dahinya lebar, dan bertubuh sederhana. Tengah hari ini, dia mengajak aku ke stesen radio yang terletak di jantung kota. Di dalam konti, aku sempat ditemuramah oleh Akhtar, seorang penyampai radio di sini dalam satu segmen ringkas yang ke udara selama setengah jam. Akhtar meminta aku untuk berkongsi tentang kisah perjalananku yang kini memasuki bulan keenam bermula dari India hingga masuk ke Pakistan.


Stesen radio Chitral FM yang sederhana

Akhtar, petugas konti radio

Selebihnya, aku hanya melewatkan waktu di dalam pejabat Farid, berbual-bual bersama staf-staf yang lain sementara menunggu Farid menghabiskan tugasannya. Sehabisnya waktu pejabat, jam 4.30 petang, Farid membawa aku berkeliling di sekitar kota Chitral.

Ternyata Chitral juga tak kurang pesonanya. Ibu kota salah satu bekas negeri persekutuan British India ini terletak di tebing Sungai Kunar di kaki gunung Tirich Mir yang bertinggian 7708 meter sekaligus merupakan puncak tertinggi bagi pergunungan Hindu Kush. Beberapa lokasi bersejarah yang menarik perhatian aku untuk datang berkunjung adalah Shahi Qila, Chitral Fort, dan Shahi Mosque. Bangunan-bangunan kuno masih tegak berdiri, kejayaan masa lalu berpendar, kehidupan spiritual berbaur dengan adat dan hembusan nafas penduduk.

Chitral sebenarnya mempunyai sejarah yang istimewa. Ketika ini, Chitral adalah bahagian dari wilayah Khyber-Pakhtunkhwa, atau KPK, sebagaimana orang Pakistan menyebutnya. Di masa lalu, Chitral terpisah dari seluruh Pakistan. Ia pernah menjadi negeri berkerajaan, salah satu daripada tiga negeri persekutuan bersama-sama negeri Swat dan Dir yang berjiran. Semasa zaman kolonial, raja-raja dari tiga negeri ini menyatakan kesetiaan terhadap Inggeris, tetapi memerintah negeri mereka sendiri. Ketika Inggeris membelah tanah Hindustan pada 1947 yang menyaksikan Pakistan lahir ke muka bumi, barulah Chitral ikut melebur ke dalam Pakistan yang mula dibentuk.


Masjid Shahi

Farid membawa aku singgah di beberapa kedai milik teman-temannya. Seperti di mana-mana belahan Pakistan yang lain, undangan minum teh daripada orang-orang tempatan memang benar-benar tak pernah berhenti hinggakan perut aku sudah begitu penuh dan tak boleh lagi diisi.

Ishfaq, seorang penjahit topi pakol menghadiahkan aku sebuah topi baru. “Ambillah pakol daripada bulu biri-biri asli ini,” katanya, “tentu lebih selesa dipakai ketika cuaca sejuk. Pakol yang kamu pakai sekarang bukan topi asli Chitral.”

Selain daripada topi pakol pemberiannya, teh hangat, roti, dan genangan nasi berminyak turut disajikan kepada aku dengan ketulusan. Kemurahan hati Ishfaq memang sudah masyhur di seluruh pelusuk kota. Dia suka menjamu semua musafir yang melintas dengan makanan mewah dan tempat tidur yang nyaman. Namun aku terpaksa menolak ajakan untuk bermalam di rumahnya kerana aku sudahpun menginap di rumah Farid.

“Saya ini penganut Ismaili,” bisik Ishfaq, “di negara ini, umat Ismaili adalah orang pinggiran. Orang Syiah kata, Ismaili bukan bahagian daripada Syiah. Orang Sunni kata, Ismaili sama saja dengan semua orang Syiah, sesat. Tapi bagi saya, kita semua adalah sama, iaitu umat Muslim.”

“Bagi kami, yang terpenting dalam beragama adalah insaniat. Kemanusiaan. Semua manusia, apa pun agamanya adalah sama. Agama itu letaknya di dalam hati,” begitu ucapan lembut Ishfaq kepada aku. Insaniat, kemanusiaan, adalah prinsip dasar penganut Ismaili. Umat diajarkan untuk mencintai sesama manusia tanpa melihat apa pun suku dan agamanya.

“Bolehkah saya belajar dengan lebih dalam tentang Ismaili?” Pinta aku.

“Boleh, tentu saja,” jawab Ishfaq, “pergilah ke Upper Chitral. Orang Ismaili lebih ramai di sana.”

Aku jadi teruja dengan anjuran Ishfaq.

“Kalau kamu ingin belajar lebih banyak tentang ajaran Ismaili,” katanya lagi, “pergilah ke Booni atau Mastooj. Di sana majoriti penduduknya orang Ismaili. Tapi hati-hati, bahagian Upper Chitral sangat dingin pada masa ini. Di beberapa kawasan, matahari masih belum bersinar sama sekali.”

(bersambung)


Farid sedang bertugas

Pemandangan di halaman rumah Farid

Topi pakol Chitrali

Tak seperti virus corona, cat corona tidak membunuh

Malam di Chitral



Backpacking Pakistan 25: Mengintai Peradaban Suku Kalash

Gadis Kalash

13 Mac 2020

Kalash  Valley adalah sebuah lokasi eksotik di Pakistan utara yang terletak di barat Chitral. Ia terletak berhampiran dengan perbatasan Afghanistan dan masih cukup berbahaya untuk menuju ke sini disebabkan banyak aktiviti ‘bawah tanah’ yang dilakukan di tengah jalan oleh para penjahat dan oknum pejuang Afghan. Maka oleh kerana itu, menuju ke Kalash memerlukan kita untuk mengeluarkan sedikit ‘wang keamanan’ untuk pihak polis atas tentera Pakistan bagi menjaga keselamatan para pengunjung.

Di Lembah Bumburet, aku menginap di sebuah desa yang bernama Krakal. Cuaca awal pagi di desa yang dikepung oleh barisan pergunungan Hindu Kush ini begitu membekukan. Aku menggigil kedinginan walaupun tungku api tak pernah berhenti menyala. Kayu api dari pokok oak adalah bahan bakar utama tungku yang tersambung dengan cerobong asap berjelaga.

Daripada hanya berdiam diri di rumah, Hakeem mengajak aku berkeliling ke desa-desa lain di Lembah Bumburet. Selain Krakal, ada desa Batrik, Brun, dan Anish yang menarik untuk dikunjungi bagi melihat sendiri kehidupan suku kalash yang juga disebut Waigali atau Wai. Suku ini merupakan keturunan asli daripada kumpulan Dardic. Mereka bertutur dalam bahasa Kalasha, salah satu bahasa daripada bahasa keluarga Dardic cabang Indo-Aryan dan dianggap unik di kalangan orang Pakistan. Mereka juga dianggap sebagai kumpulan etnik agama terkecil di negara ini, yang menganut agama yang disifatkan oleh beberapa penulis dan ahli akademik lain sebagai bentuk animisme, iaitu sebuah kepercayaan kepada makhluk halus dan roh yang dipercayai merupakan asas kepercayaan agama yang mula-mula muncul dalam kalangan manusia primitif purba kala.

Istilah ini juga digunakan untuk merujuk kepada banyak suku yang berbeza termasuk Vai, Cima-nisei, Vanta, serta penutur Ashkun dan Tregami. Kalash dianggap sebagai penduduk asli benua Asia, melalui penghijrahan nenek moyang mereka ke Lembah Chitral dari suatu lokasi lain yang mungkin lebih jauh di bahagian selatan, yang disebut orang Kalash sebagai ‘Tsiyam’ dalam lagu dan dongeng rakyat mereka. Sebilangan tradisi Kalash menganggap orang Kalash adalah pendatang atau pelarian. Mereka juga dianggap cabang beberapa keturunan orang asing, seperti orang Gandhari dan orang-orang India di timur Afghanistan. Berdasarkan analisis pergeseran genetik, orang Kalash mungkin merupakan keturunan migran penghuni Eurasia utara, sekaligus antara pendatang terawal dari Asia Barat ke Asia Selatan.


Afghanistan hanya terletak di balik gunung

Wanita Kalash


Suku Nuristani yang menghuni wilayah Nuristan (dulunya dikenali sebagai Kafiristan) di timur Afghanistan pernah mempunyai budaya yang sama serta mengamalkan kepercayaan yang serupa yang dipegang oleh suku Kalash walaupun terdapat beberapa perbezaan. Pencerobohan Islam pertama di wilayah mereka tercatat dalam sejarah oleh sang penakluk, Mahmud Ghaznavi pada abad ke-11 sementara keberadaan mereka sendiri pertama kali dibuktikan pada tahun 1339 ketika pencerobohan Timur Lenk. Suku Nuristani telah memeluk agama Islam pada tahun 1895–96, walaupun beberapa bukti menunjukkan ada sebilangannya yang masih mengamalkan adat budaya mereka. Namun suku Kalash di Chitral masih lagi mengekalkan tradisi mereka yang tersendiri sehingga kini.

“Di masa lalu asalnya mereka tidak tinggal di lereng gunung, tapi di dataran dekat sungai,” terang Hakeem, “tapi disebabkan pernah terjadi banjir besar, rumah mereka musnah dan akhirnya terpaksa berpindah naik sampai ke lereng gunung dan membangun penempatan baru menggunakan kayu-kayu.”

Penduduk Kalash sangat baik dan menyambut hangat para pengunjung yang datang. Yang menarik adalah kebanyakan wanitanya semua mengenakan pakaian berwarna warni dari  hujung kepala sampai ke mata kaki.

“Di sini memang umumnya wanita, kalau pun ada lelaki, mereka sudah tua dan cuma melewatkan hari di rumah saja. Lelaki muda semuanya berhijrah ke kota besar di Pakistan untuk mencari wang. Dikumpulkan dan dibawa pulang untuk menyara keluarga kemudian kembali ke kota semula,” tambah Hakeem lagi.

Lembah Kalash dianugerahkan dengan tanah yang subur, meliputi lereng pergunungan yang dipenuhi pokok oak dan membolehkan pertanian intensif dilakukan, walaupun sebahagian besar orang-orang di sini masih menggunakan kaedah tradisional. Sungai Kunar yang mengalir melalui lembah ini dimanfaatkan untuk menggerakkan kincir air bagi menyiram tanaman melalui penggunaan saluran pengairan yang efektif. Gandum, jagung, anggur, epal, aprikot dan walnut adalah antara tanaman yang diusahakan di lembah ini, bersama beberapa lagi tanaman yang digunakan untuk memberi makan haiwan ternakan.


Penggunan bulu burung yang signifikan pada topi pakol lelaki Chitral

Suku Kalash memproduksi minuman anggur (wine) untuk diminum sendiri disamping juga menjualnya bagi menunjang kehidupan harian. Justeru, pokok anggur kebanyakannya ditanam di sekitar rumah mereka. Selain meminum wine, mereka juga memakan daging kambing sebagai makanan ruji dan sayur-sayuran serta jagung yang banyak tersimpan di dalam stor penyimpanan makanan di bawah rumah mereka sebagai stok makanan.

“Ketika salji lebat di musim sejuk, mereka sukar untuk keluar rumah. Jadi mereka hanya perlu mengambil dari stok jagung yang tersimpan di bawah rumah untuk dimasak,” terang Hakeem.

Budaya orang Kalash adalah unik dan berbeza dalam banyak hal berbanding etnik Islam kontemporari yang mengelilingi mereka di Pakistan utara. Mereka dianggap orang-orang musyrik kerana alam semula jadi memainkan peranan yang begitu signifikan dan spiritual dalam keseharian mereka. Sebagai bahagian daripada tradisi keagamaan mereka, haiwan korban akan ditawarkan dan festival diadakan sebagai bentuk ucapan terima kasih ke atas sumber daya yang melimpah di ‘Kalasha Desh’ (tiga lembah Kalash) yang memiliki budaya yang berbeza, iaitu Lembah Rumbur, Bumburet, dan Birir. Lembah Birir adalah yang paling tradisional sekaligus konservatif di antara kesemuanya.

Mitologi dan cerita rakyat Kalash juga sering dibandingkan dengan dongeng Yunani kuno, tapi sebenarnya mereka lebih dekat dengan tradisi Indo-Iran (pra-Zoroastrian-Veda). Kalash telah memikat para antropologi kerana budaya mereka yang begitu unik berbanding wilayah lain.

“Perempuan Kalash cantik sekali, bola matanya yang berwarna biru bahkan membuat mereka semakin cantik,” kata aku bersenda.

“Ya, ramai pengunjung dari luar pun berkata begitu,” jawab Hakim, “tapi kalau kamu tanya saya wanita mana yang tercantik di Pakistan, saya akan jawab wanita Pashtun.”

Penjelasan Hakeem itu membuat aku teringat kepada Shah Hussain, pemuda yang aku kenali di Mardan. Dia pernah memberitahuku bahawa tidak ada wanita dari berbagai bangsa di Pakistan yang dapat mengalahkan kecantikan wanita Pashtun. Bahkan wanita dari Kashmir sekalipun. Namun begitu, menurut hukum dan tradisi orang Pathan, kecantikan bukan untuk dipamer. Oleh sebab itulah wanita Pashtun sentiasa terkurung burqa dan hampir mustahil sama sekali untuk terlihat oleh lelaki asing.

DIJAUHKAN DARI KELUARGA

Pada umumnya wanita Kalash sangat sihat dan kuat. Namun apa yang lebih menarik, saat datang bulan ataupun hamil, mereka harus meninggalkan rumah dan akan diisolasikan di satu penempatan khusus, yang disebut bashalini, sekaligus dijauhkan daripada anggota keluarganya. Terdapat sebuah bashalini di setiap desa untuk menempatkan gadis-gadis yang sedang datang bulan, dan juga bagi wanita yang hamil. Penghuni bashalini terikat dengan aturan yang sangat ketat, sesuai dengan adat dan kepercayaan orang Kalash. Bahkan kaedah memberi makanan kepada mereka pun tidak boleh melibatkan sebarang sentuhan.


Bashalini, penempatan khusus buat gadis yang menginjak remaja dan wanita hamil

Si gadis yang sedang diisolasikan akan dipanggil ke luar, lalu makanan yang mahu diberikan akan diletakkan di halaman bashalini, kemudian diambil sendiri oleh gadis tersebut. Aktiviti harian mereka di bashalini adalah menjahit pakaian sendiri dengan mengait bebenang pelbagai berwarna, simbolik kepada kecerahan hidup dan semangat hidup wanita Kalash.

Sementara itu, pakaian lelaki Kalash hanya biasa-biasa saja seperti pakaian lelaki Pakistan lain umumnya – shalwar kamiz yang sederhana disamping topi pakol yang beratap datar dengan bulu burung menyembul di salah satu hujungnya. “Ini adalah gaya signifikan topi pakol Chitral,” terang Hakeem, “kamu takkan dapat lihat gaya seperti ini di mana-mana wilayah lain di Pakistan.”

PERAYAAN

Tiga festival utama di Lembah Kalash adalah Chilam Joshi pada pertengahan Mei, festival Uchau pada musim luruh, dan Chawmos pada pertengahan musim sejuk.

Mereka percaya bahawa Dewa Pastoral Sorizan melindungi ternakan pada musim luruh dan dingin dan berterima kasih kepadanya semasa festival Chawmos mengambil tempat. Sementara Goshidai (dipercayai sebagai Dewa Kalash) turut melakukan hal yang sama sampai festival Pul (pertengahan September) dan turut diraikan ketika festival Joshi di musim bunga. Joshi dirayakan pada akhir Mei setiap tahun. Hari pertama bagi Joshi adalah ‘Hari Susu’, di mana orang Kalash akan mempersembahkan susu yang telah diperam selama sepuluh hari sebelum festival berlangsung.

Festival Kalash yang terpenting adalah Chawmos yang dirayakan selama dua minggu ketika titik balik matahari musim dingin bulan Disember. Ia menandakan pengakhiran bagi kerja-kerja penuaian tanaman pada tahun tersebut. Festival ini melibatkan banyak muzik, tarian, dan haiwan korban. Banyak kambing yang didedikasikan untuk Dewa Balimain, yang diyakini datang berkunjung dari tanah air mitos Kalash, Tsyam selama tempoh perayaan. Haiwan ternakan yang dijadikan korban akan dipersembahkan di rumah ibadah Jestak Han, yang didedikasikan untuk nenek moyang mereka.


Jestak Han, rumah ibadah orang Kalash

Petani Kalash

Aku diberitahu bahawa ada satu festival yang disambut pada masa lalu tetapi kini sudah tidak lagi diraikan, iaitu festival Budulak, di mana seorang remaja lelaki terpilih akan dihantar ke pergunungan untuk tinggal bersama kambing sepanjang musim panas. Dia seharusnya menjadi gemuk dan kuat dari susu kambing yang dikonsumsi selama tempoh isolasi. Apabila perayaan tersebut tiba, dia diizinkan untuk melakukan hubungan seksual dalam lingkungan tempoh 24 jam dengan wanita mana pun yang dia inginkan, termasuk isteri orang, ataupun gadis perawan. Setiap anak yang dilahirkan dalam tempoh ini dianggap berkat. Namun demikian, orang-orang Kalash mendakwa mereka telah menghentikan amalan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana mendapat publisiti negatif di seluruh dunia. Selain daripada festival Budulak, suku Kalash di Chitral terus memelihara dan mempraktikkan adat tradisi budaya mereka dengan baik sehingga ke hari ini.

Keberuntungan aku ditemukan dengan Hakeem yang secara sukarela menjadi tour guide membawa aku berkeliling Kalash tidak kekal lama. Kesesokan pagi, seluruh penjuru desa dihujani salji yang luar biasa lebat, tak henti mencurah dari langit kelam. Lalu aku dinasihatkan oleh Hakeem untuk segera meninggalkan Bumburet sebelum aku terperangkap total selama berhari-hari di sini.

Tak ada pilihan, dalam kedinginan pagi yang menggigit, aku cepat-cepat mendapatkan tumpangan kenderaan yang keluar dari Bumburet menuju ke Kota Chitral. “Khuda hafiz, Tuhan memberkati, datanglah lagi ke Kalash musim panas nanti,” pesan Hakeem sambil memeluk aku erat-erat, sekaligus mengakhiri kunjungan aku yang cuma sempat bertahan tiga hari di Lembah Kalash.

(bersambung)


Peta Lembah Bumburet

Perkuburan lama Kalash. Orang Kalash dulunya tidak menanam mayat si mati, cukup dengan meletakkan mayat di dalam keranda kemudian ditempatkan di perkuburan

Orang Kalash memperingati nenek moyang mereka dengan memahat patung kayu dan menempatkannya di pintu masuk desa. Kundurik adalah bahagian daripada ritual Gandua

Tangga rumah orang Kalash yang begitu tradisional

Bersama Hakeem, tuan rumah sekaligus tour guide aku di Lembah Bumburet

Taburan salji lebat di hari ketiga memaksa aku segera meninggalkan Bumburet sebelum terperangkap selama berhari-hari di desa ini


Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!