Memaparkan catatan dengan label perjalanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perjalanan. Papar semua catatan

Backpacking Pakistan 33: Perjalanan Menuju Gilgit

 

Pemandangan dari lebuhraya Karakoram dekat Jaglot, di mana aku dapat menyaksikan tiga banjaran gunung bertemu

21 Mac 2020

Kenderaan yang membawa penumpang dari Abbottabad menuju Kota Gilgit sudah sibuk sejak pagi-pagi buta. Pukul 5, langit masih gelap, tapi bas-bas sudah terisi dan sedia untuk berangkat.

Ada beberapa jenis pengangkutan umum di Pakistan, bergantung pada model kenderaannya. Mulai dari yang paling murah, flying coach (van Toyota Hiace yang mampu memuatkan 14 orang penumpang) sehingga bas mini Toyota Coaster yang nyaman dan dijamin mahal. Aku memilih untuk menaiki flying coach, kerana aku pencinta kemurahan.

Kenapa ia disebut flying coach? Kerana kenderaan ini bergerak dengan laju, seperti sedang ‘terbang.’ Jangan berfikir hiperbola dulu, ‘terbang’ ini adalah perumpamaan ketika van ini garang menyusuri jalan raya dengan kecepatan yang mengatasi pengangkutan-pengangkutan awam lain di Pakistan.  

Tapi aku datang terlambat. Setelah pukul 5:30, penumpang sudah mulai jalan. Kenderaan hanya berangkat apabila penumpang penuh, dan kebanyakan para penumpang memilih untuk berangkat sebelum matahari terbit. Pukul 7, baru van ini berhasil mengumpulkan penumpang dan kami pun bergerak meninggalkan pekan Abbottabad.

Aku duduk di baris ketiga. Van ini sejatinya berkapasiti menampung 14 orang penumpang, tapi dipaksa mengangkut sehingga 18 orang. Di baris hadapanku ada dua orang perempuan terbungkus burqa. Kelihatannya, yang satu adalah wanita muda dan kurus, merupakan anak kepada perempuan yang satu lagi. Ketika aku masuk ke dalam van, mereka sudah duduk di sana dan sibuk mengurus seorang anak kecil. Di sebelah mereka pula ada seorang lelaki dan seorang budak, yang tentunya adalah kerabat mereka, kerana di Pakistan lelaki yang bukan mahram dilarang duduk di samping penumpang perempuan.


Berdesak-desakan di dalam flying coach

Para perempuan itu sangat terkejut ketika aku melangkah masuk ke dalam van, hanya kerana aku orang asing. Laki-laki pula. Si perempuan tua tidak menutup wajahnya dengan burqa, sedangkan si wanita muda sama sekali tidak pernah membuka burqa yang menutup wajahnya secara total, sehingga aku pun tidak punya bayangan bagaimana wujud rupanya. Mereka mulai menegurku. Aap kaha se hai? Kaha jana hai? Aap kisake saath safar kar rahe hai? Dari manakah kamu? Ke mana tujuan kamu? Dengan siapa kamu berjalan?

Semua percakapan dalam bahasa Urdu. Setelah hampir setengah tahun berjalan di sub-benua India, untungnya aku berhasil mempelajari asas pertuturan bahasa Hindi dan Urdu yang tidak jauh berbeza. Namun berbicara secara langsung dengan perempuan seperti ini di pakistan sempat membuat aku sedikit kekok. Malah aku yang merasa syok kerana mereka - para perempuan - terlebih dahulu memulakan percakapan dengan aku yang lelaki ini.

Pada masa yang sama, aku mulai memahami hubungan di antara mereka. Lelaki tua berjambang lebat yang duduk di kerusi depan di sebelah pemandu adalah sang ayah, dan perempuan tua di dalam burqa yang tidak menutupi wajah itu pula sang ibu. Si wanita muda dengan burqa yang tertutup rapat adalah menantu. Manakala Ahmad Nawaz, lelaki di baris depanku pula merupakan suami kepada wanita itu bersama anak lelaki mereka berusia 12 tahun yang bernama Najibullah. Masih ada dua anak kembar di samping mereka yang berusia empat tahun, iaitu Farida (perempuan) dan Faridullah (lelaki), semuanya adalah anak kepada wanita dan lelaki ini. Di Pakistan, sangat umum nama lelaki punya akhiran ullah, yang berasal dari nama Allah.

Kekekokanku dan kekhuatiranku berbicara dengan lawan jantina mungkin sedikit berlebihan, kerana aku sedar yang aku masih berada di wilayah KPK atau Khyber Pakhtunkhwa - tanah Orang Pashtun - yang terkenal dengan fahaman konservatisme. Tetapi di dalam kenderaan ini, aku menyaksikan para perempuan itu juga bercakap-cakap dengan para penumpang lelaki lain yang ada di sebelah dan juga belakangku. Malah terkadang mereka berkongsi makanan dan buah-buahan di sepanjang perjalanan. Burqa tidak menghalangi mereka untuk berkomunikasi dengan lawan jantina yang tidak dikenal, walaupun dengan kehadiran suami atau kepala rumah tangga di dalam kenderaan yang sama. Mereka bahkan terlibat dalam perbualan serius tentang politik dan agama dengan para penumpang lain (kebanyakannya, para lelaki yang bercakap, dan perempuan mendengar). Sang ayah yang duduk di bangku hadapan sama sekali tidak menunjukkan sebarang ketidaksenangan.

Rupa-rupanya mereka ini adalah keluarga Hindkowan atau disebut sebagai Hindki oleh orang Pakistan. Hindki adalah etnik yang berbeza daripada Pashtun walaupun mereka berasal dari daerah Peshawar menurut sejarah asal. Etnik ini merupakan cabang daripada bangsa Indo-Aryan, kumpulan budaya-linguistik yang berasal dari wilayah NWFP atau North-West Frontier Province (nama lama bagi KPK), Pothohar (sebuah dataran tinggi di timur laut Pakistan), dan Azad Kashmir. Orang Hindki bertutur dalam bahasa Hindko. Mereka aslinya menghuni kawasan-kawasan utara Pakistan yang tertumpu dekat sempadan Pakistan dan Afghanistan. Namun kini, etnik Hindki utamanya mendiami Peshawar, Nowshera, Mansehra, Abbottabad, dan Haripur. Di wilayah Khyber Pakhtunkhwa sendiri, sebilangan besar etnik ini mendiami daerah Hazara (jangan terkeliru dengan bangsa Hazara).

Aku jadi tertanya sekiranya orang Hindki bukan dari bangsa Pashtun, bagaimana pula pemakaian burqa boleh menyerap masuk ke dalam tradisi mereka?

“Kerana kami ini Hazarewal,” terang Nawaz, “iaitu gelaran bagi orang Hindki yang tinggal di daerah Hazara. Hazarewal pula tergolong dalam pelbagai latar belakang etnik. Hampir separuh penutur Hindko di bahagian Hazara adalah orang Pashtun.”

Check this out: Air Asia Grocer

“Kebanyakan suku Pashtun seperti Jadoon, Mashwani, Khattak, Utmanzai, dan Yousafzai memakai bahasa Hindko dan menjadi bahagian integral dari Hindki,” tambah isteri Nawaz.

Sejarah menuliskan bahawa orang Hindki adalah bahagian daripada bangsa Indo-Aryan yang berasal dari KPK dan Afghanistan timur. mereka dikenal sebagai orang Gandhara pada masa lalu, namun berubah menjadi Hindkowan apabila orang Pashtun yang berpindah ke wilayah KPK memanggil mereka sebagai Hindko. Istilah Hindko adalah perkataan asal Pashto yang merujuk kepada ‘bahasa India’ atau ‘bahasa Hind’.

Selanjutnya apabila majoriti orang Pashtun sudah mendiami KPK termasuk perkahwinan campur yang berlaku, orang Hindki pun mulai beradaptasi dan melebur ke dalam budaya Pashtun yang terkenal dengan pegangan tradisi mereka yang begitu kuat. Dan itu adalah salah satu faktor mengapa wanita Hindki di KPK menyarung burqa ketika keluar dari rumah sedangkan wanita Hindki di wilayah lain seperti Azad Kashmir dan Pothohar tidak terlalu terikat dengan aturan pemakaian yang sedemikian.

“Sharif, sekarang kamu harus belajar bahasa Hindko,” kata isteri Nawaz. Hindko adalah bahasa setempat yang berkerabat dengan bahasa Punjabi dan Saraiki (bahasa tempatan penduduk Multan), dan tidak terlalu jauh jaraknya dari bahasa Urdu sehingga aku masih mampu meneka-neka maksudnya. “Kalau kamu boleh berbahasa Hindko, kamu pasti akan lebih mudah berjalan-jalan di Azad Kashmir kelak,” wanita ini terus meyakinkan.

Dia kemudian mengucapkan beberapa kalimat Hindko, “Tum julsi? Men na julta. Tum ko pata? Mu ko ni pata.” Ertinya, ‘Kamu pergi? Saya tidak pergi. Kamu tahu? Saya tidak tahu.’ Aku kemudian mengulangi baris kata-kata itu, yang langsung disambut ledakan tawa seluruh isi kenderaan, termasuk si pemandu yang dari tadi tidak banyak bicara. Mungkin kerana lucu dengan loghat aku yang masih hancur.

Flying coach yang kami naiki terus meluncur laju menyusuri Lebuhraya Karakoram yang sepi. Jarak dari Abbottabad ke kota Gilgit adalah sejauh hampir 400km dan tempoh perjalanan ini memakan masa sehingga 10 jam. Aku menikmati indahnya pemandangan yang terpapar di luar jendela. Pemandangan lembah-lembah sudah mulai menghijau pasca musim dingin bersama sungai biru mengalir lembut di bawah sana, dihiasi pula dengan barisan gunung gersang yang kelabu, memberikan kontras warna yang begitu indah pada hamparan langit biru muda membara di hari yang cerah.

Sungguh, kelancaran perjalanan di sini begitu jauh berbeza dengan betapa beratnya petualangan aku di Pakistan utara di sebelah Chitral sana. Entah bila pihak pemerintah akan membangun jalan raya yang mulus seperti lebuhraya Karakoram - yang juga disebut National Highway 35 atau N35 di sini, aku pun tak tahu pasti.

(bersambung)


Flying coach yang garang menyusuri jalan raya dipandu oleh pemandu yang tak kalah cekapnya

Desa-desa mungil di kaki gunung

Petunjuk arah di Besham

Backpacking Pakistan 32: Sebuah Desa di Pinggiran Abbottabad

 

Permainan kriket mengisi petang hari anak-anak muda di desa Sheikul Bandi


20 Mac 2020

    Di sebuah desa kecil Sheikhul Bandi, 3 kilometer dari kota Abbottabad, aku diundang untuk menginap di rumah keluarga Pathan.

Pemuda ini bernama Qassim Jadoon, berumur 24 tahun. Wajahnya bujur. Bola matanya besar. Hidungnya mancung, dan garis wajahnya kuat. Tubuhnya sederhana dan kurus. Kulitnya putih bersih, jauh lebih putih daripada ukuran orang Punjabi atau Sindhi. Qassim adalah lelaki dari suku Jadoon, salah satu cabang suku bangsa Pashtun, yang disebut Pathan dalam Bahasa Urdu. Orang Pashtun juga sering dipanggil sebagai Afghan, etnik terbesar yang menduduki Afghanistan.

Persinggahan aku di rumah keluarga Qassim sebenarnya adalah secara kebetulan. Ketika dalam perjalanan menuju ke Gilgit dari Lembah Swat yang jauhnya lebih 600 km, aku baru tahu rupanya aku tak akan sampai ke destinasi yang dituju pada hari yang sama. Pemandu kereta yang aku tumpangi menyarankan aku untuk turun bermalam di Abbottabad sebelum mencari tumpangan lain ke Gilgit pada keesokan hari. Kebetulan pula Qassim, pemuda yang aku kenali dua bulan lalu di Islamabad sedang bercuti di kampung halamannya. Melalui perbualan singkat menerusi Whatsapp, dia mengajak aku bermalam di desanya yang bernama Sheikhul Bandi.


Bersama Qassim semasa di Islamabad

Abbottabad berada dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa atau KPK, wilayah yang terletak di sempadan Afghanistan peninggalan kolonial Inggeris. Majoriti penduduk wilayah ini merupakan etnik Pashtun atau Pathan, bangsa yang tersohor akan kegagahan dan kekeraskepalaannya. Tak seperti British India yang tertakluk dalam kekuasaan Inggeris, orang Pathan mempunyai daerah yang separuh merdeka. Daerah itu dinamakan Federally Administered Tribal Area (FATA) atau Pentadbiran Persekutuan Daerah Persukuan di mana undang-undang kolonial tidak terjangkau di sana. Di tribal area, orang Pathan masih menerapkan hukum adat dan kesukuan mereka yang didasarkan atas nilai-nilai Pashtunwali.

Catatan berkaitan Tribal Area: Backpacking Pakistan 15

Kini, romantisme tribal area sama sekali bukan lagi tentang romantisme suku-suku eksotik yang menghuni pedalaman gunung-ganang tersembunyi. Bila bercakap tentang tribal area di wilayah KPK, yang terbayang adalah orang-orang berkopiah dan bertopi pakol yang menggalas senjata atau pejuang Taliban yang bersembunyi di gua-gua. Hanya beberapa kilometer sahaja dari kota Peshawar, sejurus melintasi Baab-i-Khyber (Gerbang Khyber) menuju ke Khyber Pass, tribal area digarissempadankan. Daerah tersebut sama sekali terlarang untuk dikunjungi oleh orang asing, atas alasan keselamatan.

Catatan berkaitan Khyber Pass: Backpacking Pakistan 14

Sheikhul Bandi, kampung bagi suku Jadoon, memang bukan dalam lingkaran tribal area. Tetapi di dalam sebuah warung teh, saat aku berbual bersama para lelaki Pathan di depanku, ada hembusan keganasan tribal yang dapat aku rasakan, terutamanya melalui percakapan seorang rakan Qassim.

“Saya benci orang Hazara,” katanya.

Hazara adalah etnik kedua terbesar di Afghanistan, tetapi minoriti di negara ini. Di Pakistan, kebanyakan orang Hazara tinggal di Quetta di wilayah Balochistan. Bangsa ini mempunyai raut wajah Mongoloid dan menganut fahaman Syiah.

“Di Afghanistan sana, Hazara membunuh ramai orang Pashtun. Mereka itu kafir!” Tambah lelaki ini.

Konflik Hazara membunuh Pahstun dan Pashtun membunuh Hazara sudah menjadi berita yang seakan tak ada kesudahan di Afghanistan. Di negara perang tersebut, darah dibalas darah. Dendam kesukuan tidak pernah habis. Perang tak pernah berakhir di sana sejak puluhan tahun yang lalu. Semangat kebencian suku-suku Afghan itu bahkan sampai di Pakistan, atau lebih tepat lagi di Balochistan, wilayah yang dihuni oleh majoriti pelarian Hazara dari tanah Afghanistan.


Pelitup muka mula dijual secara besar-besaran di jalanan kota selepas kematian pertama berkaitan Covid-19 dilaporkan pada 20 Mac


Kalau konflik Hazara dan Pashtun adalah masalah rumit primordialisme etnik yang bercampur dengan dendam, kebanggaan kesukuan, sentimen agama, budaya, fanatisme, dan pergeseran nilai, namun di mata Qassim semuanya itu sederhana, “Hazara membunuh orang Pashtun sebab kami bercakap bahasa yang berbeza,” ujar Qassim, “kami bertutur Pashto sedangkan mereka berbahasa Dari!”

Aku tak tahu pasti bagaimana ketegangan permusuhan antara dua bangsa ini di seberang sana. Yang aku tahu, situasi di sini memperlihatkan aku lebih kepada penindasan ke atas orang-orang Hazara. Komuniti Hazara di Quetta, dikhabarkan menjadi korban penganiayaan dan kekerasan. Sudah ribuan lelaki, wanita dan anak-anak kecil Hazara kehilangan nyawa mereka dan lebih daripada 1500 orang tercedera dalam beberapa siri insiden pengeboman di Quetta sejak tahun 2013. Kelompok militan ekstrim Muslim Sunni Pakistan dan Lashkar-e-Jhangvi, dipercayai menjadi dalang di balik serangan-serangan ke atas komuniti Hazara tersebut.

Sejarah menuliskan, bangsa Hazara telah tinggal di Pakistan sejak abad ke-17, di sebuah wilayah bernama Khurasan, yang kemudiannya dimasukkan ke wilayah Afghanistan secara politik.  Lalu bangsa ini berpindah tempat pada masa selanjutnya kerana penganiayaan yang dilakukan oleh Emir Abdul Rahman Khan, raja Afghanistan yang berkuasa pada abad ke-19. Orang Hazara secara umumnya merupakan minoriti Muslim Syiah yang berada di Pakistan, negara yang didominasi Muslim Sunni dan bangsa ini mudah dikenali melalui wajah Mongoloid mereka.

Berbagai pertubuhan pembelaan seperti Hazara Tribe International Network, dibentuk bagi menyuarakan kecaman, serta perhimpunan untuk melakukan penentangan terhadap penindasan. Diaspora Hazara di Australia, Eropah Barat dan Amerika Utara juga melakukan tunjuk perasaan dari masa ke semasa. Haji Mohammad Mohaqiq, seorang pemimpin politik Hazara di Afghanistan, turut menunjukan keprihatinan terhadap masyarakat Hazara di Quetta.

Tapi konservatisme Islam versi Pathan bukan perihal yang boleh dibuat main. Bangsa ini berpegang teguh dengan pegangan sunni Hanafi. Siapa saja yang berfahaman bukan sunni adalah kafir di mata mereka. Noktah. Perbahasan tentang konflik sektarian terus menjadi topik pengisi minum petang aku bersama para pemuda Pathan ini yang terus berkobar-kobar menghujat orang Hazara tanpa ampun. Menyesalnya aku kerana membangkitkan pertanyaan tentang isu ini pada awalnya. Di warung teh ini, di mana warga desa yang lain turut bercengkerama melewatkan petang hari, menatap aku dengan penuh keingintahuan apabila mendengarkan perbualan kami yang membicarakan tentang syiah dan Hazara.


Ramai pemilik kedai di Abbottabad mula menutup kedai sejak Covid-19 sudah menular ke wilayah Khyber Pakhtunkhwa meskipun pada ketika itu pihak pemerintah masih belum mengisytiharkan lockdown di seluruh negara

Di sini, aku menyerahkan sepenuhnya nasib aku di tangan Qassim yang menemaniku. Orang Pashtun, walaupun terkenal dengan sifat keras dan garang, sebenarnya memegang kuat prinsip hidup bangsa mereka yang disebut Pashtunwali. Perkara nombor satu daripada semboyan hidup mereka adalah melmastia, iaitu keramahtamahan. Mereka sentiasa memberikan yang terbaik bagi tetamu, tanpa mengharap imbalan apa pun. Jangan terkejut, tuan rumah bahkan sanggup merelakan nyawanya tergadai demi melindungi sang tetamu. Boleh jadi itulah alasan yang paling kukuh untuk menjelaskan mengapa Mullah Omar, komandan mujahidin Pashtun yang memimpin Taliban tak mahu menyerahkan Osama Bin Laden walaupun negaranya diporakperandakan tentera musuh. Osama, pengasas al-Qaeda berwarganegara Arab Saudi yang dibuang kerakyatan datang ke Afghanistan sebagai tetamu. Ribuan nyawa orang Afghan melayang hanya untuk melindungi sang tetamu yang satu ini.

Selepas sepuluh tahun diburu, Osama akhirnya ditembak mati di kota ini, Abbottabad pada tahun 2011, atau lebih tepat lagi di Bilal Town, sebuah pekan kecil yang hanya berjarak kurang 5 km dari desa Sheikhul Bandi.

Seorang lelaki menyampuk, “Osama itu hanya watak ciptaan Amerika untuk memecahbelahkan umat Islam. Bahkan bangunan WTC pun dihancurkan Amerika sendiri untuk dijadikan alasan menyerang umat Islam!”

Teori konspirasi ini tampaknya sangat lazim di banyak negara. Aku pernah mendengar penjelasan yang serupa ketika aku di India dahulu.

Check this out: Air Asia Grocer

Petang berganti senja, desa Sheikhul Bandi pun berganti wajah. Langit biru yang mulanya bermandi awan, berubah menjadi merah dan jingga ketika mentari mulai perlahan-lahan terbenam di balik pergunungan menjulang. Tumbuhan di sekeliling yang kembali menghijau pasca musim dingin tetap menyejukkan mata yang memandang. Anak-anak muda masih rancak bermain kriket di kaki bukit sedangkan para penggembala mula memimpin haiwan ternakan balik ke kandang. Aku sempat meneguk secawan teh yang terakhir di warung ini, sebelum Qassim mengajak aku pulang.

Dalam remang-remang senja, dari jauh aku melihat siluet beberapa lelaki berjalan menggalas senapang di bahu. Mungkin pihak berkuasa yang sedang membuat rodaan, atau mungkin pula penduduk desa yang baru pulang dari memburu. Aku tak tahu.

Tapi tak ada apa yang perlu dikhuatirkan ketika menjadi mehman di sini. Ada Qassim yang sentiasa melindungi aku. Sebagai seorang tetamu, aku amat menghargai akan kemurahan hati orang Pashtun yang sangat memuliakan mehmannya.

(bersambung)


Bermain ludo bagi mengisi kebosanan masa lapang 

Bersantai di bawah matahari bersama keluarga Qassim

Hidangan malam istimewa: Roti nan bersama otak lembu

Bukannya barisan kenderaan yang mengisi jalanan desa sebaliknya haiwan ternakan yang berkeliaran


Backpacking Pakistan 31: Berpatah Haluan

 

Shandur, penghubung wilayah Khyber dan Gilgit hanya terletak 42 kilometer dari Mastuj


19 Mac 2020

Sarghuz, sebuah desa mungil di Upper Chitral yang tersembunyi dan terlupakan. Tidak ada apa yang dapat diharapkan di sini pada musim sejuk kerana yang ada hanya tiga hal: amukan angin, keheningbeningan rumah tak berpenghuni, dan kesuraman cakerawala tanpa cahaya matahari yang absen selama berbulan-bulan.

Meskipun aku cuma menginap di rumah Sadiq untuk satu malam, tetapi aku merasa sudah menjadi bahagian daripada keluarga itu sendiri. Keramahtamahan dan hospitaliti orang Ismaili meraikan tetamu memang tak perlu dibahaskan lagi. Ini kerana ia tersirat langsung dalam ajaran Aga Khan yang menyatakan bahawa pahala melayani tetamu adalah sama besarnya dengan pahala mengerjakan ibadah haji di kota Mekah. Oleh sebab itu umat Ismaili tidak terlalu menekankan pada ritual keagamaan seperti naik haji dan puasa Ramadan.

Subuh-subuh, aku sudah mula berkemas dan menyiapkan diri untuk kembali ke Mastuj. Ketika aku sudah siap sedia meninggalkan rumah Sadiq untuk memulakan perjalanan, si ibu memaksa aku untuk membawa roti buatan tangannya. Roti bagi orang Chitral bukan sekadar makanan tetapi juga barang suci yang harus dihormati. Roti tidak boleh diletak di atas tanah atau diterbalikkan. Dengan penuh rasa terima kasih, aku membungkus roti itu dan menyimpan ke dalam backpack.

Sebenarnya tujuan aku mengembara hingga ke daerah Upper Chitral atau lebih tepat lagi ke Mastuj adalah untuk merentasi wilayah Khyber Pakhtunkhwa ke Gilgit-Baltistan. Pekan Mastuj terletak tepat di persimpangan jalan yang menghubungkan Gilgit dengan Chitral melalui Shandur, tempat di mana terletaknya padang polo tertinggi di dunia. Pukul 6.30 pagi, aku sudah tercongok di terminal pengangkutan awam kerana tak mahu hilang kesempatan untuk memperoleh giliran pertama menaiki jeep yang mengangkut penumpang.

Malang sekali aku telah melakukan percaturan yang salah. Aku kira salji yang sudah mulai cair di sini akan membolehkan pengangkutan umum yang menghala ke Gilgit kembali beroperasi, tapi rupanya tidak ada. Belenggu penantian berjam-jam di sini hanya sia-sia. Satu jam.. Dua jam… Tiga jam…. Di sini waktu tak ada harganya, berlalu begitu saja bersama hembusan angin gunung.

kaha jana bhai? Mahu ke mana?” Tanya seorang lelaki yang menyapa aku.

“Gilgit, saya mahu ke Gilgit.” Jawab aku ringkas.

“Mustahil untuk ke sana pada waktu ini,” dia menyangkal, “laluan di Shandur masih ditutup, tak boleh diakses sama sekali.”

“Tapi bukankah salji di sini sudah mencair?”

Nahi bhaiya,” lelaki ini tertawa kecil, “Ketinggian Upper Chitral baru 2360 meter sedangkan Shandur Pass itu 3700 meter tingginya. Salji di sana masih tebal menutup jalan.”

“Adakah cara lain untuk saya pergi ke Gilgit dari sini?” Tanya aku lagi.

“Carilah tumpangan ke Swat,” sarannya, “hanya dari Mingora saja kamu boleh mendapatkan kenderaan yang menuju ke Gilgit. Tak ada cari lain lagi.”

Berita buruk dari lelaki itu bak siraman air dingin. Selepas berminggu-minggu aku berjalan hingga sampai ke Mastuj semata-mata untuk merentasi lintasan Shandur, sekarang aku malah disuruh berpatah balik ke Lembah Swat, yang letaknya hampir 400km dari sini, setidaknya memerlukan 12 jam perjalanan.

Walaupun kecewa, namun aku harus pasrah kerana aku percaya, hambatan dan rintangan di jalan, semuanya itu ada yang mengatur. Aku teringat, beberapa bulan yang lalu di India, ketika aku ingin menumpang trak dari Keylong menuju Ladakh, aku dihalang oleh Uncle Bodh yang melarang sekaligus memaksa aku untuk mengubah haluan. Semasa dalam perjalanan bas menuju ke Lembah Parvati, baru aku disedarkan bagaimana cara Tuhan menyelamatkan umat-Nya. Trak yang berkemungkinan aku tumpangi ke Ladakh itu kalau tidak dilarang oleh warga Keylong, ternyata tersekat dan terperangkap dalam timbunan salji saat melintasi jalan pergunungan Leh-Manali Highway yang berbahaya. Tak tahu pula berapa lama masa yang diambil untuk bantuan tiba. Untungnya aku dilarang mereka dari menumpang trak tersebut. Tak perlu dibayangkan, aku hanya belajar bersyukur untuk segala kejadian yang aku alami.

Dengan penuh kehampaan, aku melangkah gontai ke sebuah kedai teh di pinggir jalan. Pemilik kedai, seorang lelaki tua berjubah labuh dan berjanggut lebat, menyambut aku.


Warung teh di pinggir jalan

Belum sempat aku duduk di sudut warung, dua orang polis berseragam dan berselempang senapang datang.

“Siapa kamu? Hendak ke mana? Datang dengan siapa?” mereka menyoalku bertubi-tubi. Aku segera menghulurkan passport dan kertas visa. Mereka berlagak membaca, walaupun pasport itu terbalik.

“Tempat ini berbahaya,” kata polis itu, “pada musim sejuk memang tak ada pelancong asing yang berkunjung ke Mastuj. Sebab itu kami harus memastikan yang kamu bukan perisik.”

Setelah memastikan aku bukan lawan, si polis segera memanggil pemilik warung. “Cepat! Hidangkan makanan! Kasihan dia. Dari pagi belum sarapan!”

Lima minit kemudian di hadapan aku tersaji dua keping roti nan bersama sepiring kari daging, juga secawan kecil teh hijau dan semangkuk gula pasir. Beruntungnya sarapan aku pagi ini dibayar oleh polis itu.

Dalam sekejap, warung ini disinggahi oleh ramai pemandu jeep dan kenek. Mereka sudah selesai menyantap sarapan pagi, dan hanya duduk bercengkerama menghisap hashish sambil menantikan penumpang mengisi perut kenderaan. TV yang terpasang remang-remang, kadang visualnya benderang, kadang nyaris mati. Ini kerana sumber elektriknya dihasilkan oleh generator kecil yang bising di luar sana.


Berkongsi makanan

Dalam masa yang sama, si lelaki tua pemilik warung sempat berunding dengan seorang pemandu jeep untuk membawa aku kembali ke Swat. Yang lebih mengejutkan, dia turut membayar sepenuhnya duit tambang aku ke sana.

“Khoda hafez, dira manana!” Aku mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada pemilik warung sebelum masuk ke dalam jeep yang siap untuk berangkat.

Jeep dipandu laju menyusuri pinggang pergunungan. Angin berhembus kencang. Dingin menembus tulang, tetapi kehangatan dan kemurahan hati orang-orang Chitral akan selalu terpahat di dalam ingatan aku.

(bersambung)


Pekan Mastuj

Melewatkan hari di warung teh

Orang Chitral tak menggunakan bahasa Urdu, dan tak juga pandai berbahasa Inggeris, membuatkan aku sering berdepan kesukaran dalam berkomunikasi dengan mereka

Desa di kaki gunung

Backpacking Pakistan 30: Berkeliling Desa


18 Mac 2020

       Bayang matahari sudah lenyap di balik gunung batu yang menjulang bak tembok raksasa di kiri dan kanan. Langit petang di Sarghuz yang muram bertukar senja. Aku membonceng motosikal yang ditunggangi Sadiq pulang.

Meskipun desa ini begitu sepi ditinggalkan penduduk setiap kali tibanya musim sejuk, namun bukan bermakna semua rumah di sini kosong tak diduduki. Masih ada setidaknya 3 ke 4 rumah yang aku lihat masih ada penghuninya. Anak kecil berkejar-kejaran di halaman rumah, berteriak senang tatkala melihat ‘orang asing’ berjalan melintasi mereka. Ada yang malu-malu mengintip dari balik kaca jendela. Semua berjaket tebal, bertopi hangat. Beberapa daripadanya mengenakan sarung tangan yang berlubang-lubang. Daif sekali. Biri-biri Sarghuz lebih beruntung, kerana dikurniakan bulu yang tebal, menjuntai panjang sampai menyentuh tanah.

Walaupun alam di sini keras dan tak bersahabat, penduduk Sarghuz tidak luntur dengan kehangatannya menyambut ‘mehman’. Orang Pakistan tidak pernah bermain-main ketika menyebut kata mehman. Erti harfiah bagi tetamu. Kata itu menyiratkan penghormatan yang luar biasa terhadap musafir, kemurahan hati sebagai bahagian daripada ibadah, dan ketulusan untuk menolong sesama insan.

Sebuah pintu rumah batu terbuka. Seorang lelaki yang aku kira dalam lingkungan 50-an berkemeja kotak dan rompi merah mengundang aku dan Sadiq untuk singgah ke rumahnya. Dia langsung mendakap aku, ibarat saudara jauh yang sudah lama terpisah. Di Pakistan, berpelukan dahulu sebelum berjabat tangan adalah norma (atau mungkin budayanya?) berbanding negara kita yang melakukan sebaliknya. Menurut Sadiq, pelukan adalah tanda sebagai wujud penghormatan manakala bersalaman itu sunnah untuk menggugurkan dosa.



Lelaki ini adalah pakcik Sadiq, seorang freelancer yang baru berpindah ke desa ini sekitar tiga tahun lalu setelah sepuluh tahun bermustautin di United Kingdom. Penampilannya kemas dari batang tubuh hingga ke mata kaki, tentu saja dia bukan orang biasa. Tingkat pelajarannya tinggi. Bahasa Inggeris yang laju mengalir dari mulutnya sedikit sukar untuk aku fahami kerana loghat Britishnya yang agak kental.

Sebagaimana layaknya seorang intelektual, perbualan kami banyak berkisar tentang kemajuan. Katanya, dia kini bersama sebuah pertubuhan NGO miliknya sedang giat melakukan usaha untuk meminta pihak pemerintah membawa sambungan internet dan elektrik yang stabil masuk ke kawasan lembah tersembunyi ini. Dia juga berhubung rapat serta menjalin kerjasama dengan organisasi milik pemimpin umat Ismaili, Aga Khan Development Network dan  Aga Khan Foundation untuk merambah pembangunan sosio-ekonomi bagi komuniti marginal desa ini.

Impiannya memang menggunung tinggi, ingin melihat perubahan di dusun mati ini. Mimpi-mimpi itu juga yang membawanya pulang meninggalkan kehidupan selesa di eropah sana demi membaktikan diri kepada masyarakat desa. “Nabi berpesan,” katanya, “sebaik-baik manusia adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain.”

Aku jadi teringat dengan Javed semasa aku di Booni tempoh hari. Dia pernah mengatakan bahawa  orang Ismaili memang jarang berangkat naik haji. Imam besar mereka, Karim Aga Khan, menyarankan pengikutnya untuk menyumbangkan wang ke jemaat khana – masjid orang Ismaili – yang kemudiannya akan mengatur penggunaan wang itu buat keperluan ummah.

“Itulah sebabnya orang Ismaili lebih berpendidikan,” kata pakcik Sadiq menepuk dadanya dengan bangga, “Sembilan puluh sembilan persen orang Ismaili boleh baca tulis. Sedangkan Muslim lain di Pakistan, buta hurufnya sampai 60 persen, terutama kaum perempuan.”

Isterinya turut berada di ruangan ini. Tapi dia tak banyak bicara. Hanya tersenyum senang melihat kami berbual panjang. Dengan cekatan perempuan bertudung separa ini langsung menyiapkan chapati, yang digoreng di atas kuali datar. Kemudian datang pula seorang jiran perempuan, bergabung bersama kami. Kedua-dua wanita ini bersalaman dan saling mencium tangan pada saat bersamaan.

Angin masih menderu kencang ketika kami meminta diri untuk meninggalkan rumah pakcik Sadiq. Gelap senja menutup pandangan. Di sini hanya ada satu jalan, tidak ada percabangan atau persimpangan. Semuanya dibatasi bayangan gunung-gunung raksasa yang megah bak tembok tak tertembus.

Malam hari, giliran ibu Sadiq pula yang bekerja. Perempuan separuh abad yang bertudung hijau ini sibuk menyiapkan makan malam. Menunya adalah hirisan kentang dan daging kambing. Baunya harum sekali. Dia memasak di ruangan yang sama dengan tempat tidur. Tetapi justeru di bahagian ruangan inilah kedinginan musim sejuk terasa begitu hangat.

Tempat memasak rumah ini berhubung dengan cerobong. Asap dapur menguap berkepul-kepul ke luar rumah. "Cerobong ini baru diperkenalkan di awal tahun 80-an," terang bapa Sadiq, "sebelumnya, tanpa cerobong asap, banyak kecelakaan, bayi-bayi menjadi buta."

"Oh bahaya juga ya," aku tercengang melihat kepulan asap hitam itu, sambil membayangkan anak-anak kecil yang tidur dalam ruang yang dipenuhi asap yang dihasilkan oleh bakaran kayu kering.

Tangan ibu Sadiq sangat cekap menguli tepung, kemudian mencelupkan ke dalam minyak di kuali, digoreng dengan api kecil. Ini adalah shelpek, roti goreng tradisional orang Asia Tengah. Ia dihidangkan bersama dooth pati chai (teh susu) yang masin. Sebelum mula bersantap, dua anak saudara Sadiq terlebih dahulu melayani orang-orang dewasa di rumah ini.

Yang seorang membawa pot berisi air hangat, seorang lagi dengan baskom dan serbet. Air mengucur dari leher pot, membasahi kedua-dua tangan aku, dan mengalir ke baskom yang ditadah di bawah. Kemudian giliran ayah Sadiq, disusuli Sadiq dan abangnya. Di sini turutan juga adalah penting. Mehman selalu yang pertama.

Tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Ayah Sadiq bergegas bangkit dan menyalakan lampu mentol yang menggunakan tenaga bateri sekaligus menambah seberkas cahaya dalam kepekatan malam. Api unggun di tengah ruangan terus berkobar marak.

Dalam remang-remang cahaya di rumah ini, denting dawai rubab abang Sadiq memecah kesunyian. Suaranya melenting, mengalun lembut, membawa nuansa pergunungan dan padang rumput ke dalam ruangan gelap ini. Sadiq pula memainkan seruling. Semua diam, takzim mendengarkan sang pelantun yang wajahnya berkedip-kedip dalam keremangan mentol lampu.

Lailai lailailailai lailai lailailailaiiiii….,” dia memulakan lagunya, dilanjutkan sebaris puisi dalam bahasa Khowar atau Chitrali, bahasa yang dipakai di Lembah Mastuj dan berkerabat dengan bahasa Shina yang dituturkan penduduk Lembah Yasin, dekat wilayah Gilgit-Baltistan.


Memetik rubab di dalam remang cahaya lampu

Gunung-gunung tinggi yang menjulang mengurung manusia-manusia dalam keterisolasian menjadikan lembah-lembah di Pakistan Utara kaya dengan keragaman budaya, identiti, dan bahasa. Dari orang gunung bawah yang berbicara bahasa Kohistan, orang Kalash yang animis bertutur Bahasa Kalasha, sampai orang Hunza yang berbahasa Burusashki yang menghentak, hingga orang Tajik di Broghil yang bercakap bahasa Wakhi dan menghirup teh susu bercampur garam seperti orang Kashmir.

Pukul dua belas tengah malam, seluruh isi rumah sudah mula mengantuk. Mata aku juga mulai terasa berat. Badan aku sudah remuk setelah menempuh perjalanan berat dari Booni ke Mastuj, selain seharian berjalan berkeliling desa, bertamu di rumah pakcik Sadiq, sampai mendengar cerita abangnya yang seakan tiada kesudahan. Sadiq menyiapkan tilam tebal, lengkap dengan dua lapis selimut tebal yang berat. Aku membenamkan tubuh seperti roti sandwich di antara lipatan selimut.

Lampu mentol dimatikan. Gelap menyelimuti seluruh ruangan.

Fir milenge. Jumpa lagi besok,” ucap aku menutup malam.

“Insya Allah….,” Si bapa menyahut.

(Bersambung)


Kanak-kanak desa riang melihat orang luar berkunjung ke Sarghuz

Kambing biri-biri di Sarghuz yang berbulu lebat


Backpacking Pakistan 28: Agama Adalah Kemanusiaan

 

Keramahtamahan adalah jalan hidup warga desa

16 Mac 2020

Petang hari, ruangan ini mulai dipenuhi oleh lelaki-lelaki Ismaili dari seluruh desa untuk menghadiri mesyuarat rukun tetangga yang diadakan pada setiap minggu. Di desa yang bernama Kruijunali ini, abang Javed memegang jawatan selaku kepala desa, dan mesyuarat seharusnya diadakan di rumahnya. Namun pada setiap minggu, kediaman Javed dipilih menjadi lokasi tetap bagi perjumpaan berikutan rumahnya yang lebih besar berbanding orang lain.

Menjelang senja, mesyuarat pun usai. Para hadirin beransur-ansur pulang dan tinggallah aku bersama Javed dan abangnya si kepala desa, berbual-bual di mehman khana sambil menantikan makan malam yang sedang disediakan oleh anak perempuannya.

Abang Javed adalah seorang pengurus besar rangkaian Pakistan Tourism Development Corporation atau PTDC di motel milik pemerintah cawangan Mastooj. Tetapi sekarang dia bertugas di pejabat cawangan Booni kerana motel di Mastooj masih ditutup akibat terbungkus salji tebal. Walaupun jawatannya tinggi, namun orangnya sangat merendah diri. Dia berpakaian sederhana. Shalwar kamiz berwarna kelabu berpadu dengan rompi hitam. Kepalanya tak pernah lepas dengan topi pakol Chitrali bundar dan tebal. Bicaranya tenang, suaranya lembut. Ada aura yang terpancar dalam setiap kata yang mengalir. Walaupun dia tidak mampu berbahasa Inggeris dengan sempurna dan aku pula tidak terlalu memahami bahasa Khowari, ada dorongan entah dari mana yang membuat aku ingin berbual panjang dan berbagi kisah perjalananku dengannya. Untungnya ada anak saudara lelaki Javed yang menjadi penterjemah sukarela.


Senja hari di desa Kruijunali

“Motaaseb”. Kata ini meluncur dari mulut Ibrahim, anak saudara Javed yang satu ini, saat mendeskripsikan koversatisme bangsa Pashtun ketika perbincangan kami menyentuh topik orang Pathan. Motaaseb berarti fanatik, mengandung makna konotasi kekeraskepalaan dan kebodohan.

“Di Chitral tak ada banyak universiti besar, jadi kami terpaksa pergi ke kota-kota besar Pakistan untuk menyambung pengajian selepas tamat sekolah,” terang Ibrahim, “perempuan kami yang melanjutkan pelajaran di Peshawar terpaksa membungkus diri mereka dengan burqa kalau mahu keluar berjalan di kota. Ini gara-gara orang Sunni yang ramai di sana. Orang-orang motaaseb ini, pikirannya memang sudah buta. Mereka tidak suka melihat wajah perempuan. Kalau sampai wajah seorang perempuan terlihat, mereka kata berdosa. Apalagi itu namanya kalau bukan motaaseb?”

Kaum perempuan Ismaili bangga dengan kesederhanaan pakaian yang mereka pakai setiap hari. Sejak meninggalkan Lembah Swat, aku melihat sebuah dunia yang berbeza dengan Pakistan yang kukenali sebelumnya. Perempuan Ismaili berwajah terbuka dan terlihat jelas. Di sini, para perempuan juga turut mengusahakan perniagaan sendiri, bekerja, bertani, dan tidak selalu terkurung di dalam rumah. Cara bersalaman antara lelaki dan perempuan pula dengan mencium tangan antara satu sama lain, tak jarang juga, ada yang mencium pipi.

“Adat perempuan kami tidak memakai burqa. Tetapi mulai dari Swat dan seterusnya ke lain-lain daerah Khyber Pakhtunkhwa, kami tak punya pilihan lain selain memakaikan burqa kepada kaum wanita kami,” abang Javed menambah.

“Ini bukan tradisi kami. Kami cuma terpaksa,” suara Shafenaz terdengar dari dapur.

Ibrahim, dengan bijaksana menyatakan ketidaksetujuannya terhadap pemaksaan pakaian perempuan. ”Agama itu bukan di baju. Agama itu ada di dalam hati. Prinsip agama adalah kemanusiaan.”

Lalu aku bertanya tentang inti ajaran Ismaili.

Dia menjawab, “Agama kami adalah insaniat, kemanusiaan. Tidak peduli apa pun agama kamu, yang pertama-tama kau adalah manusia.”

Walaupun umat Ismaili adalah kaum marginal yang tinggal di kawasan pergunungan terpencil di Pakistan utara, aliran ini pernah mendominasi Asia Tengah pada zaman keemasan Jalan Sutera. Ismaili melahirkan ramai tokoh Islam yang berjasa bagi dunia Muslim mahupun seluruh umat manusia, misalnya Ibnu Sina yang dikenal sebagai Bapa Kedoktoran Dunia. Tetapi kemudian, ketika dinasti-dinasti Turki menguasai Asia Tengah dari abad ke-10 hingga ke-13, umat Ismaili terus menjadi sasaran penindasan oleh para penguasa yang tidak bersimpati terhadap kehidupan dan tradisi intelektual mereka. Lalu ia menyebabkan migrasi besar-besaran umat Ismaili dari kota-kota pusat peradaban Asia Tengah menuju daerah pergunungan terpencil di Badakhshan, Koridor Wakhan, hingga Pakistan utara.

Selama ratusan tahun, isolasi total dari kepungan gunung-gunung tinggi adalah penyelamat bagi orang Ismaili, membuat daerah ini sama sekali tak tersentuh radikalisasi serta kecamuk perang yang melanda Asia tengah dan Asia Selatan. Tidak ada kekacauan di sini (melainkan bencana alam), tidak pernah ada pertempuran, bahkan Taliban yang pernah menguasai Lembah Swat pun tidak hirau untuk datang ke sini. Justeru Pakistan utara terus hidup dalam kedamaian dunianya sendiri, bagaikan syurga yang tersembunyi.

Seperti halnya penghuni syurga yang tidak terikat dengan jerat materialisme, warga di Upper Chitral rela mengorbankan apa saja ketika menyambut tetamu. Tak peduli semiskin apa pun mereka, seberat manapun hidup, atau apakah mereka masih punya gandum untuk disantap, mereka akan tetap membuka pintu rumah mereka buat musafir yang memerlukan, tanpa memandang siapa, dari mana, dan beragama apa. Mereka percaya, semua musafir adalah rahmat dari Tuhan yang harus disyukuri, dan memberi bantuan bagi musafir adalah ibadah yang mengganjarkan pahala seperti orang mengerjakan haji di Mekah.

Malam ini aku disajikan dengan hidangan lauk pauk yang bersaiz luar biasa besar, ada ayam, kambing, sayuran, buah-buahan, roti, dhal, dan nasi.

“Terima kasih Shareef,” ucap Javed, “mari kita makan!”

“Bukankah saya yang harus mengucapkan terima kasih?” Tanya aku.

“Tidak, semua ini rezeki kamu,” terang Javed, “ketika di hari-hari biasa, kami sekeluarga tak pernah menjamah hidangan sebanyak ini. Tapi sejak kamu datang menginap, kaum perempuan di rumah ini menyediakan makanan yang lebih banyak daripada biasa. Lihatlah bagaimana kedatangan kamu telah membawa rezeki.”

Penjelasan Javed langsung menancap ke dalam benakku. Sungguh memang ada terselit kebenaran di dalam kata-katanya.

(bersambung)


Masjid umat Sunni berhadapan dengan Jemaat Khana umat Ismaili

Berkunjung ke Qaqlasht Meadow yang gersang di musim dingin

Ibrahim sempat membawa aku trekking di Booni Gol

Kawasan tanaman gandum warga desa

Sungai Mastooj kering di musim dingin

Backpacking Pakistan 26: Menuju Utara

Lukisan alam menghiasi cakerawala

 

14 Mac 2020

Penjelajahan aku di Lembah Kalash terpaksa ditamatkan pada hari ketiga. Subuh itu, badai salji turun menyelimuti seluruh desa dengan warna putih yang sempurna. Lebat sekali, hinggakan tak ada tanda-tanda untuk berhenti.

Ini adalah akhir bagi perjalanan aku di Bumburet. Memang aku belum berhasil meneroka seluruh Kalash, namun dengan keadaan cuaca musim sejuk yang tidak bersahabat,  aku harus segera keluar dari lembah ini sebelum terkandas total berhari-hari.

Betapa aku merasakan kelegaan luar biasa, ketika kereta wagon yang aku tumpangi tiba di Ayun, pekan mungil yang menghubungkan jalan antara Lembah Kalash dan lebuhraya nasional N-45 menuju ke kota Chitral. Kami sudah pun berpindah ke alitud yang lebih rendah, justeru tiada lagi salji yang turun dan pagi yang awalnya kelam kini beransur cerah.

Memasuki persimpangan jalan Chitral-Dir, pemandangan berganti seketika, dari putihnya panorama yang mendominasi berganti kepada bukit-bukit mulus berselimut pokok-pokok hijau dan putik bunga berbagai warna yang menanti masa untuk mekar. “Musim bunga sudah tiba,” kata Wahid, pemandu kereta ini, “hijau dan cerahnya dunia siap menggantikan kelabunya musim dingin.” Landskap Pakistan utara sungguh mirip dengan negara-negara jirannya di Asia Tengah sana.


Musim bunga sudah tiba

Kota Chitral hanya berjarak sejauh 37 kilometer, namun pemanduan sukar melewati alam liar membuatkan perjalanan kami hampir memakan masa tiga jam penuh. Setibanya di pusat bandar Chitral, kedua-dua kaki aku sudah lenguh sekali rasanya.

Kicha asus Sharif? Bagaimana khabarmu?” Soal, Farid Ahmad, lelaki berusia 45 tahun yang menjadi tuan rumah aku di Chitral.

Jama asus, saya sihat, alhamdulillah,” jawab aku dalam bahasa tempatan sekaligus mengundang rasa takjub pada reaksi wajah Farid. Sebenarnya aku telahpun belajar beberapa ucapan asas bahasa Khowar ketika aku berada di Bahrain beberapa minggu yang lalu. Bahasa Khowar, yang juga dikenal sebagai Chitrali, sepertimana Bahasa kalasha, adalah bahasa Indo-Aryan yang berasal dari kumpulan Dardic yang dituturkan di Pakistan utara.

‘Kho’ bererti orang Chitral, sedangkan ‘war’ bermaksud bahasa. Ia dituturkan oleh orang-orang Kho di seluruh Chitral, dan juga daerah Ghizer di Wilayah Gilgit-Baltistan (termasuk Gupis, Phander, Ishkoman, Yasin) di Punyal, dan di beberapa bahagian Upper Swat seperti Bahrain dan Kalam.

Farid bekerja sebagai produser di stesen radio Chitral FM. Wajahnya berjambang lebat, dahinya lebar, dan bertubuh sederhana. Tengah hari ini, dia mengajak aku ke stesen radio yang terletak di jantung kota. Di dalam konti, aku sempat ditemuramah oleh Akhtar, seorang penyampai radio di sini dalam satu segmen ringkas yang ke udara selama setengah jam. Akhtar meminta aku untuk berkongsi tentang kisah perjalananku yang kini memasuki bulan keenam bermula dari India hingga masuk ke Pakistan.


Stesen radio Chitral FM yang sederhana

Akhtar, petugas konti radio

Selebihnya, aku hanya melewatkan waktu di dalam pejabat Farid, berbual-bual bersama staf-staf yang lain sementara menunggu Farid menghabiskan tugasannya. Sehabisnya waktu pejabat, jam 4.30 petang, Farid membawa aku berkeliling di sekitar kota Chitral.

Ternyata Chitral juga tak kurang pesonanya. Ibu kota salah satu bekas negeri persekutuan British India ini terletak di tebing Sungai Kunar di kaki gunung Tirich Mir yang bertinggian 7708 meter sekaligus merupakan puncak tertinggi bagi pergunungan Hindu Kush. Beberapa lokasi bersejarah yang menarik perhatian aku untuk datang berkunjung adalah Shahi Qila, Chitral Fort, dan Shahi Mosque. Bangunan-bangunan kuno masih tegak berdiri, kejayaan masa lalu berpendar, kehidupan spiritual berbaur dengan adat dan hembusan nafas penduduk.

Chitral sebenarnya mempunyai sejarah yang istimewa. Ketika ini, Chitral adalah bahagian dari wilayah Khyber-Pakhtunkhwa, atau KPK, sebagaimana orang Pakistan menyebutnya. Di masa lalu, Chitral terpisah dari seluruh Pakistan. Ia pernah menjadi negeri berkerajaan, salah satu daripada tiga negeri persekutuan bersama-sama negeri Swat dan Dir yang berjiran. Semasa zaman kolonial, raja-raja dari tiga negeri ini menyatakan kesetiaan terhadap Inggeris, tetapi memerintah negeri mereka sendiri. Ketika Inggeris membelah tanah Hindustan pada 1947 yang menyaksikan Pakistan lahir ke muka bumi, barulah Chitral ikut melebur ke dalam Pakistan yang mula dibentuk.


Masjid Shahi

Farid membawa aku singgah di beberapa kedai milik teman-temannya. Seperti di mana-mana belahan Pakistan yang lain, undangan minum teh daripada orang-orang tempatan memang benar-benar tak pernah berhenti hinggakan perut aku sudah begitu penuh dan tak boleh lagi diisi.

Ishfaq, seorang penjahit topi pakol menghadiahkan aku sebuah topi baru. “Ambillah pakol daripada bulu biri-biri asli ini,” katanya, “tentu lebih selesa dipakai ketika cuaca sejuk. Pakol yang kamu pakai sekarang bukan topi asli Chitral.”

Selain daripada topi pakol pemberiannya, teh hangat, roti, dan genangan nasi berminyak turut disajikan kepada aku dengan ketulusan. Kemurahan hati Ishfaq memang sudah masyhur di seluruh pelusuk kota. Dia suka menjamu semua musafir yang melintas dengan makanan mewah dan tempat tidur yang nyaman. Namun aku terpaksa menolak ajakan untuk bermalam di rumahnya kerana aku sudahpun menginap di rumah Farid.

“Saya ini penganut Ismaili,” bisik Ishfaq, “di negara ini, umat Ismaili adalah orang pinggiran. Orang Syiah kata, Ismaili bukan bahagian daripada Syiah. Orang Sunni kata, Ismaili sama saja dengan semua orang Syiah, sesat. Tapi bagi saya, kita semua adalah sama, iaitu umat Muslim.”

“Bagi kami, yang terpenting dalam beragama adalah insaniat. Kemanusiaan. Semua manusia, apa pun agamanya adalah sama. Agama itu letaknya di dalam hati,” begitu ucapan lembut Ishfaq kepada aku. Insaniat, kemanusiaan, adalah prinsip dasar penganut Ismaili. Umat diajarkan untuk mencintai sesama manusia tanpa melihat apa pun suku dan agamanya.

“Bolehkah saya belajar dengan lebih dalam tentang Ismaili?” Pinta aku.

“Boleh, tentu saja,” jawab Ishfaq, “pergilah ke Upper Chitral. Orang Ismaili lebih ramai di sana.”

Aku jadi teruja dengan anjuran Ishfaq.

“Kalau kamu ingin belajar lebih banyak tentang ajaran Ismaili,” katanya lagi, “pergilah ke Booni atau Mastooj. Di sana majoriti penduduknya orang Ismaili. Tapi hati-hati, bahagian Upper Chitral sangat dingin pada masa ini. Di beberapa kawasan, matahari masih belum bersinar sama sekali.”

(bersambung)


Farid sedang bertugas

Pemandangan di halaman rumah Farid

Topi pakol Chitrali

Tak seperti virus corona, cat corona tidak membunuh

Malam di Chitral



Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!